KUALA LUMPUR, 23 Feb: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Awang tidak menolak jika diwujudkan persefahaman politik antara Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan Kerajaan Pakatan Rakyat supaya kerajaan masing-masing tidak diganggu gugat antara satu sama lain sehingga menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang. Bagaimanapun persefahaman tersebut mestilah berasaskan kefahaman demokrasi, hormat menghormati dan keikhlasan.

“Kita tidak menolak jika ada pihak berusaha mewujudkan persefahaman politik (antara Pakatan dengan BN) supaya kerajaan yang ada tidak dikacau antara satu sama lain. Kami bersetuju tetapi persefahaman itu mestilah berasaskan lunas-lunas yang betul”.
Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawap pertanyaan pemberita pada sidang akhbarnya selepas berucap menutup program Ekspo Penerangan PAS Temerloh 2009 di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini 15 Februari lalu.
Perkara tersebut ditimbulkan ekoran tindakan BN yang merampas kuasa di Perak daripada Kerajaan Pakatan Rakyat baru-baru ini. Tindakan BN yang merampas kuasa itu seolah-olah membalas dendam amaran ketua umum PKR sebelum itu bahawa terdapat 40 Adun BN yang akan melompat kepada Pakatan dan seterusnya membentuk kerajaan baru di peringkat pusat.
Justeru jika wujud persefahaman agar kerajaan masing-masing tidak digugat antara satu sama lain sehingga PRU akan datang, bermakna hak rakyat yang memilih dan demokrasi dihormati.
“Bagaimanapun PAS tetap akan menangani politik negara secara demokratik, bermaruah dan menuruti lunas undang-undang negara. Kita juga tidak menderhaka sebagaimana didakwa sebaliknya Umno sedang mempermainkan institusi raja-raja,” ujarnya.
Persefahaman politik (understanding politic) antara Pakatan dan BN mula diperbincangkan ekoran perkembangan politik dilihat semakin tidak sihat dan masalah ekonomi yang semakin meruncing .
Krisis rampasan kuasa di Perak dan isu melibatkan exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong yang disifatkan permainan politik kotor dikhuatiri akan berterusan di mana kesannya - agenda untuk rakyat semakin kurang diberi perhatian oleh parti-parti yang memerintah sama ada peringkat faderal maupun negeri.
Dalam masa yang sama, Pakatan Rakyat juga dilihat memerlukan suasana yang lebih kondusif untuk memastikan gerak kerja mereka di negeri yang dimenangi berjalan lancar untuk membuktikan kemampuan mentadbir kepada rakyat.
BN juga dikatakan perlu kepada suasana politik yang lebih tenang ekoran berhadapan dengan pelbagai isu dalaman selepas melalui prestasi buruk dalam pilihan raya ke 12 lalu disamping untuk persediaan peralihan kuasa dalam Umno tidak lama lagi.

Naib presiden PAS,
Mohammad Sabu ketika mengulas perkembangan politik di Perak turut bersetuju diadakan understanding politic antara Pakatan dan BN untuk mengawal situasi negeri yang semakin tidak stabil.
Kata Mohammad, sekiranya BN tidak mengacau negeri Pakatan seperti Kedah, Perak dan Selangor Pakatan Rakyat juga tidak menggangu negeri yang kedudukan BN kritikal seperti Negeri Sembilan dan juga kerajaan pusat.
"Persefaham politik seperti ini perlu diusahakan...parti-parti yang memerintah boleh menumpukan agenda mereka untuk rakyat di negeri yang mereka kuasai disamping berpolitik seperti biasa.
"Selebihnya tunggu pilihan raya umum ke 13... masing-masing akan bertembung waktu itu di mana rakyat akan menentukkan parti mana yang mereka suka untuk memerintah," kata beliau mengemukakan pandangan.
Bagaimanapun pandangan agak berbeza dilontarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang tidak bersetuju pendekatan berdamai politik antara Pakatan dan BN.
Berhubungan isu rakyat yang semakin sengasara ekoran kemelut politik yang berlaku ketika ini, Mahfuz berkata situasi itu perlu dipertanggungjawabkan kepada Barisan Nasional kerana mereka telah memulakan pendekatan kotor untuk menganggu gugat negeri yan

g di perintah oleh Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kemelut politik yang berlaku hari ini boleh selesai sekiranya BN berhenti melakukan kerja-kerja kotor dan mengembalikan semula keadilan khususnya dalam kontek negeri Perak.
"Berikan hak untuk rakyat dengan mengadakan pilihan raya di Perak, saya percaya keadaan akan kembali seperti sedia kala," kata beliau.
Berhubung kepentingan rakyat yang wajar diberi perhatian melebihi politiking ketika ekonomi tidak menentu waktu ini, Kata Shamsul, selepas isu 16 September beliau melihat Pakatan Rakyat tidak lagi agresif terhadap kerajaan malahan negeri-negeri yang di kuasai oleh Pakatan Rakyat lebih memfokuskan kepada agenda mentadbir negeri.
Tetapi katanya, BN telah bertindak melampau menggangu gugat pentadbiran kerajaan Pakatan dengan pelbagai kerenah yang ditimbulkan.
Bagaimanapun beliau mengakui perkembangan yang berlaku hari ini sangat berbahaya kepada kestabilan politik apabila undang - undang dilanggar untuk kepentingan pihak tertentu dan hak rakyat dinafikan.
Siasah sebelum ini turut mencadangkan supaya satu pendekatan politik damai antara Pakatan Rakyat dan BN dilakukan untuk menghadapi krisis ekonomi di mana masing -masing perlu menumpukan kepada kepentingan rakyat.
Pensyarah di Jabatan Sejarah, Politik dan Strategi Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusoff, dalam reaksinya berhubung cadangan tersebut bersetuju supaya ‘gencatan senjata’ sementara diusahakan untuk meredakan pergolakan politik BN dengan Pakatan Rakyat.
“Sebagai orang akademik, saya rasa eloklah orang politik daripada kedua-dua belah pihak mencari jalan terbaik dengan berbincang secara lebih rasional demi kebaikan rakyat dan negara kita Malaysia.
“Pihak BN patut terima hakikat dan mengakui keputusan yang dibuat rakyat di mana beberapa negeri telah tejatuh ke tangan Pakatan.Oleh itu eloklah dikurangkan politiking berlebihan dan beralih memfokuskan kepada membangun negeri dan negara kita," ujar beliau.
Kata beliau lagi, tambahan pula suasana ekonomi yang tak menentu, BN sepatutnya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara atau usaha negatif hendak menumbangkan kerajaan Pakatan tetapi sepatutnya memfokuskan dan menumpukan perhatian untuk memajukan dan ekonomi.
"Begitu juga sebarang salah faham atau pergaduhan sesama rakyat harus diketepikan dahulu demi mencari kestabilan politik dan Negara.
"Jika itu dapat dilaksanakan, saya merasakan kestabilan itu akan menarik pelabur untuk datang memeriahkan lagi sektor ekonomi kita, tegas Dr Kamaruzaman.
Bagaimanapun Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Univerisit Malaya (UM), Prof Dr Mohamad Redzuan Othman memberikan reaksi berbeza kepada Siasah kerana menyifatkan usaha tersebut sesuatu yang mustahil dan tidak nampak jalan untuk berlaku.
"Orang politik tidak boleh nak resional, mereka berfikir cara lain, congak politik mereka lain," kata beliau.
Ujar beliau, walaupun pemimpin politik melaungkan kepentingan rakyat ataupun bangsa tetapi tidak lebih dari retorik sahaja.
"Kita lihat berapa banyak tindakan-tindakan orang politik yang merugikan rakyat dan bangsa tidak pernah mereka pedulikan....macam mana mereka nak bersatu kerana rakyat. satu peratus pun saya tidak nampak perkara ini akan terjadi," tambah beliau.