Thursday, August 28, 2008

Anwar selamat angkat sumpah, kini tunggu 16 September

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat mengangkat sumpah selaku anggota Parlimen Permatang Pauh jam 10.00 pagi tadi selepas menang dalam pilihan raya kecil dua hari lalu.

Ketibaan Anwar ke Parlimen di sambut oleh para pemimpin kanan Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penasihat DAP Lim Kit Siang dan juga lain-lain anggota Parlimen.

Beliau mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat dan sekaligus dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas Speaker mendapat surat sokongan PKR, DAP dan PAS.

Turut berada di Dewan Rakyat ketika itu adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Zaid Ibrahim.

Anwar dijangka akan menyertai perbahasan Buget 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri esok.

Parlimen akan bercuti sepanjang bulan Ramadhan dan perbahasan Buget akan bermula selepas hari raya Aidil Fitri.

Bagaimanapun, tarikh 16 September iaitu pertengahan puasa ini ditunggu oleh rakyat Malaysia kerana Anwar menjanjikan perubahan kerajaan pada tarikh itu.

Anwar ketika bercakap kepada pemberita selepas itu bergurau dengan berkata, "semua orang suruh saya bersumpah, jadi sekarang saya telah tunaikan," dengan diiringi gelak ketawa dari semua wartawan.

Anwar merujuk kepada sumpah yang dibuat oleh bekas pembancuh kopinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Ekoran itu, ramai pemimpin Umno yang mendesak dia juga bersumpah.

Jadi hari ini, sebagaimana kata Anwar, dia telah menunaikan desakan agar dia bersumpah itu tetapi dengan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.

Anwar juga berkata, dengan kemenangan besar beliau di Permatang Pauh "jelas sekali Perdana Menteri telah kehilangan mandat dan timbalan perdana menteri yang mengepalai kempen BN di sana telah ditolak sepenuhnya.

"Bukan sahaja mereka berdua tetapi juga Umno dan jugakroni mereka yang menyalahgunakan wang rakyat," tegas Anwar.

Wednesday, August 27, 2008

PAS rakam tahniah kemenangan PKR di Dewan Rakyat

Oleh ISMAIL HASHIM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos: PAS merakamkan ucapan tahniah pada Keadilan atas kemenangan besar Ketua Umum parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil P44 Permatang Pauh pada 26 Ogos baru lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di institusi perlembagaan negara itu sebelum meminta soalan no. 4nya dijawab oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas kemenangan besar yang dicapai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam pilihan raya Permatang Pauh," ucap Ketua Penerangan PAS sambil mendapat tepukan dari kalangan anggota parlimen PR.

Dalam sidang yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 itu telah dapat didengari oleh jutaan rakyat negara ini.

Belum sempat beliau menghabiskan ucapan itu, penyokong BN telah mengganggu kononnya tidak berkaitan dengan acara sidang. Keadaan menjadi lebih gamat bila Haji Mahfuz membangkitkan 'BN kalah juga meskipun berlindung di belakang punggung Saiful', disambut gelak ketawa sebahagian besar hadirin.

Bermula dari situ, kalangan penyokong BN dikepalai oleh Rompin, Dr Jamaluddin Jarjis meminta Haji Mahfuz menarik balik tanpa menyatakan perkataan berkaitan. Peristiwa menarik ini berakhir begitu sahaja tanpa ada sebarang tarik balik meskipun di kalangan penyokong BN masih tidak berpuas hati.

Dalam soalan tambahannya berkaitan pembinaan sekolah di seluruh negara yang hanya diberikan pada dua kontraktor sahaja, beliau juga mempersoalkan kenapa tidak diagihkan pada lebih ramai kontraktor yang ada.

Oleh sebab soalan tambahannya agak panjang, beliau telah ditegur oleh penyokong kerajaan yang menyifatkan beliau berceramah, Haji Mahfuz berkata, "mereka semua tidak berpeluang mendengar ceramah saya di Permatang Pauh...!" tegasnya.

Dalam pilihan raya kecil itu, Anwar telah menang dengan majoriti 15,671 undi bila mendapat undi sebanyak 31,195, calon BN, Dato' Ariff Shah Omar Shah (15,524) dan calon Akim, Hanafi Mamat 92 undi dan hilang wang deposit.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran penyandang kerusi itu, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar meletakkan jawatan bagi membuka laluan pada suaminya menjadi ahli parlimen bagi membawa perubahan pada landskap politik negara.

Sementara itu, Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada sesi pagi 28 Ogos seterusnya berperanan sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Azizah sebelum ini.

Ekoran itu, Anwar pasti berperanan besar di dalam membahaskan bajet negara 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Jumaat 29 Ogos.

Anwar dilihat sebagai tokoh yang paling layak bercakap tentang bajet, kewangan dan ekonomi kerana pengalaman menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada 2 Disember 1998 oleh Dr Mahathir ketika berkuasa dahulu.- IBH

7 malu besar

27 Ogos 2008

Pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pihak yang paling malu sekali dengan kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menambahkan majoriti kemenangan PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Selain beliau, turut malu besar adalah Ezam Mohd Nor yang menjadikan Anwar musuh peribadi beliau, Khairy Jamaludin yang mahu menguburkan Anwar dan Datuk S Nalakarupan yang menyerang beliau di bawah paras pinggang di samping Mohd Saiful Bukhari Azlan yang terpaksa menggadaikan maruah peribadi beliau sendiri.

Turut malu besar adalah TV3 yang membuat serangan besar-besaran terhadap Anwar tanpa berlapik dan akhbar Utusan Malaysia yang tidak menjaga langsung etika sebagai media utama negara.

Laporan penuh dalam Siasah minggu ini.

Tuesday, August 26, 2008

Anwar menang dengan menjoriti kurang 10 ribu?








Oleh: Hafiz Mohd Baqi


BUKIT MERTAJAM: Calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh, bagaimanapun dengan mejoriti lebih kecil berbanding mejoriti diperolehi isterinya, Dr Wan Azizah Ismail dalam pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 13,398 undi menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail.

Menurut beberapa sumber, Anwar kini dikatakan sedang mendahului calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah sehingga jam 1.00 tengahari dengan kedudukan yang agak jauh kedepan.

Bagaimanapun dibeberapa pusat pengundian, khususnya di kawasan ramai pengundi Melayu, undi terhadap calon BN turut menunjukkan peningkatan dan dijangka mampu merapatkan jarak dengan sokongan yang diperolehi oleh Anwar.

Seorang penganalisis turut mengakui peluang BN untuk mengalahkan Anwar semakin mengecil setelah tempoh mengundi hanya tinggal beberapa jam saja namun beliau percaya BN masih mampu mengurangkan mejoriti Anwar seperti yang diperolehi Wan Azizah pada Mac lalu.

"Ada sekitar 3000 penyokong BN yang mengundi PKR dalam pilihan raya umum lalu kerana protes, tetapi sukar dipastikan sejauh mana mereka ini akan 'swing' balik kepada parti asal mereka kali ini," kata beliau.

Kata penganalisis itu, mejoriti Anwar mungkin akan kurang daripada 10 ribu sekiranya berlaku perubahan dikalangan penyokong BN yang mengundi PKR dalam pilihan raya lalu.

"Bagaimanapun angka ini bergantung kepada peratusan keluar mengundi dan keberkesanan isu yang dimainkan oleh BN dalam kempen-kempen mereka," tambah beliau membuat analisis awal pengundian yang sedang berlangsung di Permatang Pauh hari ini.

Selain itu, faktor calon BN, Arif Shah juga dilihat akan memberi kesan kepada undi Anwar.

Dalam pilihan raya lalu, Arif Shah berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dalam masa dua lagi kerusi dan parlimen itu ditawan oleh Pakatan Rakyat.

"Calon BN ini ada kekuatan sendiri dalam parlimen Permatang Pauh kerana boleh menang diwaktu rakyat disini sebulat suara menolak BN," kata seorang pemerhati politik.

Daripada sumber penduduk, Arif Shah diterima oleh orang tempatan kerana beliau berani memperjuangkan kepentingan penduduk walaupun terpaksa menentang parti sendiri.

Naib Presiden PAS yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohammad Sabu ketika ditanya tentang calon Umno berkata, Arif Shah adalah pilihan yang paling tepat dibuat oleh BN.

"Nampaknya BN study untuk memilih calon ini kerana hanya beliau tidak ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu. Memang ini agak menghairankan," kata Mohamad kepada Siasah.

Bagaimanpun kata Naib Presiden PAS itu, beliau masih yakin kemenangan masih dipihak Anwar.

Dalam pada itu, seorang pengundi di Seberang Jaya ketika di temui berkata, mereka tidak rugi memilih Anwar kerana meraka akan mendapat kedua-duanya sebagai wakil kerana Arif Shah memang Adun mereka.

"Kalau pilih Anwar kami dapat Anwar dan Arif Shah tapi kalau pilih Arif Shah kami hanya dapat beliau seorang sahaja sebagai wakil kami," kata beliau.

"Tapi situasi ini tidak diperolehi oleh pengundi dalan DUN lain seperti penanti dan Permatang Pasir," tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan lebih 50 peratus daripada 58,459 ribu jumlah keseluruhan pengundi di Permatang Pauh telah keluar pengundi.

Anwar dan Isteri juga selesai mengundi di SK Sri Penanti manakala calon BN mengundi di Seberang Jaya.

Anwar yang berucap selepas selesai membunag undi berkata, beliau yakin mendapat sokongan kuat penduduk Permatang Pauh.

Sambil berharap dapat angkat sumpah di Parlimen esok Anwar menegaskan "kita akan masuk Parlimen dengan agenda yang jelas dan mereka (BN) patut bangun dengan menerima realitinya".

Seorang petugas PKR di Seberang Jaya ketika dihubungi turut mengesahkan PKR dalam keadaan agak selesa berdasarkan reaksi orang ramai yang datang mengundi sejak awal pagi walaupun katanya, ada kawasan yang memperlihatkan sokongan kepada BN agak ketara.

"Tapi mood yang ditunjukkan dikebanyakan pusat pengundian agak mustahil untuk menjangka Umno mampu membuat kejutan," kata beliau yang juga petugas ponduk panas PKR.

Sementara tinjauan wakil Siasah dibeberapa pusat mengundi, nisbah pengundi yang memasuki ponduk panas PKR masih mengatasi BN.

Pusat mengundi di Sekolah Tok Kembal, Penanti didapati tujuh daripada 10 pengundi yang datang untuk mengundi mengunjungi pondok panas PKR berbanding hanya tiga yang menuju ke pondok panas BN.

Di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya 2, sokongan pengundi kepada PKR berdasarkan kunjungan ke pondok panas lebih ketara apabila sembilan daripada 10 yang hadir untuk mengundi melakukan semakan daftar pemilih di pondok panas PKR.

Permatang Pauh: PKR hadapi cabaran getir, tetapi terus yakin


Oleh Haris Zalkapli


PERMATANG PAUH, 26 Ogos: Persaingan di pilihan raya kecil Permatang Pauh terus rancak dengan kedua-dua pihak, Parti Keadilan Rakyat dan Umno menunjukkan keyakinan masing-masing, walaupun kempen Umno terjejas teruk akibat kemunculan imam Ramlang Porigi yang berkempen bagi pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Semalam, malam menjelang hari mengundi, kempen kedua-dua pihak meneruskan kempen dalam hujan lebat dan di tengah-tengah kesesakan jalan raya menuju ke pekan Penanti dan Permatang Pauh.


Umno meneruskan kempen saat akhir dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti, manakala PKR dibantu oleh pemimpin PAS dan imam yang mendakwa diperintah menyaksikan sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan, memberikan kempen Anwar kredibiliti agama yang jauh lebih kuat berbanding Umno.


Kempen Umno, yang menumpukan pada usaha merosakkan imej Anwar dengan label ajen asing dan pengkhianat bangsa, dilihat tidak mendatangkan kesan pada menyokong kuat Anwar, tetapi mampu memberi kesan pada pengundi Melayu atas pagar.


Kehadiran ulama PAS menguatkan dorongan kepada ahli dan penyokong PAS untuk mengundi Anwar, walaupun ada yang masih mahu meneruskan boikot dengan menafikan undi.


Hari ini, menjelang tengah hari tadi, PKR mendakwa masih ramai belum keluar mengundi, disebabkan usaha parti pemerintah menghalang penduduk keluar mengundi.


“Peratus keluar mengundi masih rendah, disebabkan polis membuat sekatan jalan raya, bukan sahaja di kawasan ini tetapi juga di Rawang,” kata Shamsul Iskandar Mohd Akin, ketua Angkatan Muda PKR kepada Siasah.


Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor menyatakan sehingga pukul 12 tengahari tadi, jumlah yang telah mengundi mengundi ialah 44.8 peratus.


“Ini ialah usaha untuk mengurangkan pengundi dengan cara menyekat mereka daripada keluar, termasuk mereka yang pulang dari Lembah Kelang,” dakwa Shamsul.


Pihak pemerintah dilihat cuba menghalang orang ramai keluar mengundi sejak awal lagi dengan menetapkan hari mengundi pada hari bekerja.


Usaha ini bagaimanapun mengundang tindak balas DAP yang memerintah Pulau Pinang apabila Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan cuti umum di seluruh negeri untuk hari ini.


Mengulas perang imej yang berlangsung, Shamsul berpendapat kempen negatif untuk menjejaskan imej Anwar - seperti pendedahan Datuk S Nallakarupan yang Anwar menerima wang RM60 juta daripadanya – “tidak memberi kesan besar.”


Shamsul berkata, beliau yakin pendedahan imam yang menyaksikan sumpah Saiful pada saat akhir boleh membantu kempen Anwar.


Bagaimanapun, seorang pekerja Umno berpendapat kempen negatif Umno memberi kesan pada pengundi atas pagar dan pengundi warga tua, yang semakin ragu dengan imej bersih Anwar.


“Berdasarkan perkembangan peminggiran hak-hak Melayu oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang, projek babi di Selangor dan banyak lagi, Umno yakin kempen kami telah berjaya meyakinkan orang Melayu di sini, terutama atas pagar dan warga emas,” katanya yang tidak mahu namanya didedahkan.


Di Pulau Pinang, PAS turut melahirkan sikap kritikal terhadap Anwar yang secara de facto memimpin Pakatan Rakyat, walaupun pendirian ini lebih mudah dinyatakan dalam perbualan santai.


Bagaimanapun, beberapa penyokong PAS yang ditemui menunjukkan kesediaan bekerja untuk Pakatan Rakyat demi memastikan kerajaan Barisan Nasional dijatuhkan.


Sepanjang tempoh kempen, jentera PAS, termasuk dari luar Pulau Pinang kelihatan di seluruh Permatang Pauh, dan paling jelas dilihat di kediaman Adun Permatang Pasir, YB Hamdan Abdul Rahman.


Seorang aktivis PAS Permatang Pauh, Mohd Shukri Mustaffa berkata disebabkan kematangan PAS berpolitik, sentimen negatif itu berjaya diketepikan, tetapi pada masa sama menegaskan PAS perlu terus fokus pada haluan perjuangannya dalam meneruskan perkongsian dalam Pakatan Rakyat.


“Kita ketepikan sentimen dan mematuhi ketetapan yang telah dibuat oleh pimpinan parti,” tegasnya kepada Siasah.


“Selepas ini, berdasarkan usaha petugas-petugas PAS dalam pilihan raya kecil ini, parti-parti lain dalam Pakatan mesti lebih menghormati PAS yang telah menunjukkan peranan pentingnya dalam pilihan raya,” kata Mohd Shukri.

Monday, August 25, 2008

Selepas Gerakan, MCA juga mahu keluar dari BN

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Selepas Gerakan, MCA pula mengugut untuk mengkaji kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN) jika Umno terus menerus dengan slogan ketuanan Melayunya.

Calon Presiden MCA yang disokong oleh kepimpinan parti itu sekarang, Datuk Ong Tee Keat ketika bercakap di Pahang berkata, jika Umno terus dengan slogan ketuanan Melayu dan tidak membuat reformasi, anggota BN yang lain termasuk MCA akan meninggalkan BN.

Sebelum ini, Pemangku Persiden Gerakan, Datuk Dr Koh Tsu Koon memberitahu, bukan sahaja Gerakan mengkaji untuk keluar BN, parti-parti lain juga membuat kajian yang sama.

Penasihat Gerakan, Tun Lim Keng Yaik pula berkata, ia terserah kepada perwakilan parti itu yang akan bermesyuarat tidak lama lagi.

"Jika kami keluar BN nanti, kami tidak akan memperjuangkan satu kaum sahaja bahkan menjadi parti pelbagai kaum," kata Ong Tee Kiat, Naib Presiden MCA sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Cina, Nanyang Siangpau.

Sebelum ini, seorang lagi calon Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata, "MCA perlu mengkaji sikapnya seumpama 'orang gaji' kepada Umno."

Ong Tee Kiat dan Chua Soi Lek, ketika mereka berlumba untuk merebut hati perwakilan MCA menjadikan Umno sebagai tempat mereka memukul (punching bag), tulis Leslie Lau, wartawan laman web malaysiainsider.com.

Saturday, August 23, 2008

Permatang Pauh: Persaingan untuk meraih undi Melayu semakin rancak

Oleh: Hafiz Mohd Baqi BUKIT MARAJAM: Rata-rata pemerhati politik yang mengikuti perkembangan di Permatang Pauh hampir sekata calon parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghadapi masalah besar untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu pada 26 Ogos akan datang.

Peningkatan sokongan terhadap Anwar dari masyarakat Cina khususnya, semakin ketara dihari-hari terakhir berkempen. Dalam satu program makan malam di Seberang Jaya malam 22 ogos lalu misalnya dihadiri lebih 2000 masyarakat Cina dan India.

Situasi yang sama turut dilihat dalam program di pekan-pekan lebih kecil seperti di Pekan Penanti dan Pekan Permatang Pauh.

"Sokongan Cina dan India lebih mudah diukur kerana mereka yang hadir kebanyakannya orang tempatan," kata seorang petugas PKR yang
mengendalikan majlis makan malam di Seberang Jaya.
Anwar, Khalid Ibrahim, Azmin Ali dan Nurul Izzah yang berucap pada malam itu mendapat tepukan gemuruh dari keseluruhan yang hadir.

Selain itu, sekongan terbuka dan penglibatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kempen Anwar juga meletakkan Barisan Nasional (BN) hampir mustahil dapat meraih sokongan besar pengundi bukan Melayu dalam masa yang cukup singkat sebelum selasa ini.

Daripada 58,459 pengundi di Permatang pauh, 24.56 peratus (14,360) daripadanya adalah pengundi Cina dan 5.79 peratus (3,390) pula pengundi keturunan India.
Bagaimanapun sokongan daripada pengundi Melayu yang mewakili hampir 70 peratus atau 40,619 pengundi Permatang Pauh masih sukar dijangka walaupun tempoh berkempen hanya tinggal kurang daripada tiga hari.

Program-program ceramah Anwar dan para pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan saban malam turut sukar membuat ukuran sejauh mana sokongan pengundi kepada Anwar walaupun ada diantara program ceramah dihadiri puluhan ribu orang.

Menurut petugas Jentera pilihan raya PKR, orang luar terlalu ramai hadir terutama dari Kulim, Sungai Petani dan dari kawasan parlimen berhampiran selain dari petugas Pakatan Rakyat yang datang membantu Anwar daripada seluruh negara.

Dalam masa yang sama petugas wanita dan puteri Umno yang semakin agresif berkempen dari rumah kerumah dipercayai bakal menjadikan persaingan merebut undi Melayu akan bertambah sengit.
"Bimbang" kata seorang pimpinan Angkatan Muda PKR Pusat, Zulfikar ketika ditemui di Seberang Jaya. Tetapi katanya, beliau tidak
mendengar laporan ada kawasan kritikal.

"Umno menggunakan isu bertubi-tubi menyerang Anwar di sat-saat akhir mungkin akan meng-goyangkan pengundi atas pagar," ujar beliau.
BN kini memperhebatkan serangan ke atas Anwar dengan pelbagai isu disamping terus menjadikan isu liwat sebagai senjata mereka. Di beberapa jalan utama, jentera BN didapati mengedarkan Vcd perakuan sumpah Saiful Bukhari kepada orang ramai yang lalu lalang dikawasan ramai pengundi Melayu.

Selain itu turut dibawa berceramah untuk melawan kempen Anwar ialah bekas ketua AMK, Ezam Mohd Nor, rakan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan dan Bekas Naib Presiden PKR, Saidatul Badru Said Keruak.

Namun demikian, perkembangan tersebut turut dilihat BN agak terdesak khususnya kebimbangan mereka terhadap kempen Anwar bakal menjadi Perdana Menteri jika diberi peluang dalam pilihan raya kecil ini menjadi ahli Parlimen.

BN dikatakan sedang bekerja keras untuk meyakinkan pengundi Melayu bahawa dakwaan Anwar bakal mengambil alih pentadbiraan negara pada 16 September ini hanyalah satu pembohongan.

Satu ceramah khas bertajuk 'Anwar jadi PM 16 September?' di pekan Permatang Pauh turut dianjurkan oleh BN untuk menjawab kempen tersebut di samping menurunkan pimpinan BN daripada sabah bagi menafikan dakwaan ramai ahli Parlimen daripada negeri itu akan menyertai Pakatan Rakyat.
Dalam tinjaun Siasah pula, bendera-bendera, poster dan banting PKR menguasai hampir semua kawasan stategik di kawasan mejoriti pengundi Melayu.
Sepanjang jalan daripada Kubang Semang, Pekan Penanti, Kampung Petani, Kepala Bukit, Pematang Ara, Pematang rambai dan Pematang Pasir dipenuhi dengan bendera PKR yang hanya sedikit diselang-seli oleh bendera BN.

Gambaran yang sama turut dilihat dilokasi jalan menuju pekan Permatang Pauh, Seberang Jaya, Sama Gagah, Tanah Liat dan Guar Perahu.

Di Permatang Pasir pula Petugas PAS dilihat bertungkus lumus menggerakkan jentera membantu kempen Anwar. Permatang Pasir merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri yang diwakil oleh PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Gerak kerja daripada PAS yang menurunkan ramai pimpinannya dilihat dapat menguatkan sokongan daripada pengundi Melayu kepada Anwar dari kawasan itu.

Dua bilik gerakan PAS dibuka dalam kawasan tersebut iaitu di Pusat Khidmat masyarakat Adun Pengkalan Pasir dan disebuah Pasti yang dijadikan pejabat jabatan Pilihan Raya Negeri.

Sementara itu di pihak Anwar, kempen pada hari ketujuh semakin diperhebatkan setelah kempen pada hari kelima dan keenam agak perlahan ekoran hujan lebat sejak pagi hingga ke petang.

Risalah berupa menifesto yang mengandungi janji Anwar sekiranya menjadi PM diedarkan sejak tengah hari hingga ke malam termasuk kepada kenderaan yang melalui jalan dikawasan pilihan raya.


Selain itu jentera kempen Anwar turut menyediakan sebuah televisyen besar yang dibawa dengan sebuah treiler untuk menayangkan visual-visual kempen termasuk kenyataan-kenyataan daripada Anwar serta
pimpinan Pakatan Rakyat yang bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain sekitar permatang pauh.

Anwar sendiri hari ini turut memulakan programnya sejak awal subuh dan bergerak ke semua kawasan dengan pelbagai program yang diatur. Antara tempat yang menjadi tumpuan adalah majlis kenduri kahwin, perjumpaan dengan ibu tunggal, meraikan kemasukan ahli baru dan program solat hajat selepas Magrib.

Thursday, August 21, 2008

Jangan ulangi kesilapan pasca pilihan raya '99

21 Ogos 2008

PAS dikatakan berada di persimpangan ekoran isu muzakarah atau muqabalah PAS dan Umno. Apa kesan Muktamar PAS baru-baru ini kepada parti itu. Ikuti temubual wartawan Siasah, ZULKIFLI SULONG dan HIDAYATUL AKMAL AHMAD dengan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, DR DZULKIFLI AHMAD.

Antara yang dinyatakan beliau:

"Kemenangan kita dalam pilihan raya 2008 adalah dibina di atas sokongan kaum Cina dan India, atau dengan kata lain atas sokongan orang bukan Islam. Ini adalah lonjakan yang paling hebat yang dicapai oleh PAS sejak lebih 50 tahun berjuang. Ia adalah hasil usaha yang kita buat untuk memberikan keyakinan kepada orang bukan Islam atas platform PAS untuk Semua, Keadilan untuk semua dan sebagainya. Kita telah menolak ketakutan mereka kepada Negara Islam dengan mendatangkan manifesto baru bergelar Negara Berkebajikan dan kita menletakkan pendekatan kita bersifat substantif bukannya istilah atau konsep tetapi pada amalannya. "

"Postmortem 2004 merakamkan perkara itu antara lain bagaimana kita cukup berani. Saya tak cakap salah atau betul dari sudut hukum tapi dari sudut strategi adalah kurang bijak. Sebab itu kalau saya masih ingat Almarhum Ustaz Fadzil Noor tidak mengungkapkan dokumen itu dengan nama dokuman Negara Islam tetapi yang diungkapakn adalah "Penghayatan sebuah kerajaan sebuah pemerintahan Islam dalam abad ke-21 masihi". "

"Saya kira sementara kita merancang musuh juga merancang. Dan saya fikir musuh sudah melihat trend bahawa kekuatan PAS dan komponen Pakatan Rakyat ini adalah pilihan raya ke 13 bukan hanya 16 September ini. Saya kira yang mereka takut bukan masa terdekat ini tetapi yang mereka takut adalah momentum selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh menuju pilihan raya ke-12. Apa akan berlaku jika lima buah negeri Pakatan ini deliver dan merakyatkan ekonomi, keadilan sosial kepada semua lima negeri ini, dan bagi saya, ini yang mereka lebih takut. "

WAWANCARA PENUH DALAM SIASAH ESOK



Takdir penuh bersejarah buat BN

Oleh Gamgam

Saat penuh bersejarah, tarikh keramat 26 Ogos adalah tarikh maut buat Barisan Nasional (BN), terutama sekali Umno.

Ini adalah kali kedua di dalam sejarah negara tarikh ini dipilih bagi diadakan pilihan raya kecil.
20 tahun lalu, pada 26 Ogos 1988, BN (dibaca sebagai Umno) dengan tegasnya telah dibuang, dimalukan ketika pilihan raya kecil Johor Bahru yang ditandingi oleh Datuk Shahrir Abdul Samad.

Saya masih ingat detik itu dengan jelas kerana pada tarikh itu anak lelaki saya dilahirkan dan saya dalam keadaan berbelah-bahagi dan tertekan untuk menamakannya, juga Shahrir.


Sebagaimana saya menghormati arwah bapa mertua saya (semoga rohnya bersemadi dengan aman), saya memilih untuk tidak menerima cadangan beliau atas sebab yang tersangat mudah.

Walaupun ketika itu saya juga turut meminati Shahrir kerana kebolehannya mengambil tampuk pentadbiran Umno daripada raja yang zalim pada 1988, rasa hati saya memberitahu bahawa itu hanyalah sementara sahaja kerana berdasarkan sejarah Umno yang telah menghasilkan ramai wira, ianya bersifat sementara. Lama-kelamaan wira itu akan hanyut dibawa masa.

Masa telah membuktikan kata hati saya benar, Shahrir merangkak pulang ke pangkuan Umno dan ke pangkuan raja zalim yang hina yang akan sentiasa dikenang di dalam sejarah sebagai Bapa Rasuah, Kronisme dan Nepotisme dan juga penaung kepada politik palsu Malaysia.

Baru-baru ini, Datuk Arif Shah dengan penuh perasaan memilih nombor tiga daripada kertas undi yang ada pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Sambil menunjukkan lagak kebolehannya bertutur dalam banyak bahasa, beliau memberitahu bahawa nombor tiga atau dalam bahasa Mandarin disebut sebagai San atau ‘bukit’ dan secara tidak langsung menunjukkan beliau kini sudah berada di atas bukit.

“Ianya adalah petunjuk awal bahawa BN kini sudah mendahului parti lain dengan berada di puncak bukit. Dalam Kantonis, tiga disebut sebagai sam di mana bunyinya seakan sung dan ia bermaksud hidup atau bernyawa.”

Apa yang Arif Shah gagal untuk fahami di sini adalah 26 Ogos (2+6) adalah tidak berkaitan dengan angka tiga, tetapi lapan. Terjemahan serta pemahamannya berkenaan dengan angka tiga yang dipilih adalah salah sama sekali.

Selain daripada kebetulan ia adalah campuran dari tarikh tersebut, angka lapan juga adalah berkaitan dengan kerusi parlimen Permatang Pauh (P44 atau 4+4 = 8). Lapan adalah fatt atau bermaksud kemewahan bagi masyarakat Cina, maka secara tidak langsung, tarikh dan kerusi Parlimen menandakan negara sedang menuju ke arah kemakmuran dan kemewahan.

Contohnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengisytiharkan bahawa pilihan raya kecil Permatang Pauh ini bukan hanya berkenaan dirinya tetapi demi negara.

Jika Anwar menang (dan kemungkinannya beliau akan menang), ia adalah langkah penting bagi Pakatan Rakyat untuk melangkah lebih jauh menuju ke Putrajaya dan membuka lembaran baru kepada kemewahan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Tarikh penuh tersebut adalah 26.08.2008. Nombor tunggal bagi tarikh (2+6), bulan (0+8) dan tahun (2+0+0+8) atau 8+8+1=17). Jika kita cerakinkan nombor tersebut (1+7), kita masih akan mendapat angka lapan.

Jika kita bahagikan nombor tarikh hari, bulan dan tahun sebagaimana kita selalu menulisnya, ia akan menjadi semakin jelas dan bermakna apabila pilihan raya kecil diadakan pada tarikh ini.
Selalunya kita menulis 26.08.08. Cerakinkan tarikh itu mengikut hari, bulan dan tahun kita akan dapat 8+8+8 = 24. Angka 24 jika dipisahkan 2+4 = 6.

Jika 8 adalah bermaksud kemakmuran dan kemewahan kepada Negara, angka 6 juga turut membawa maknanya yang tersendiri. Mengapa? Ia bermaksud pada tarikh tersebut, negara memberi tumpuan kepada bakal perdana menteri keenam. Angka enam ini juga adalah cerakinan kepada sambutan Hari Kemerdekaan kita yang ke-51 (5+1=6).

Juga perlu ditekankan di sini iaitu Perdana Menteri yang kelima memulakan tugasnya pada 2003 (2+0+0+3 = 5).

Takrifan sebenar bagi pemilihan angka 3 atau ‘bukit’ bagi Arif Shah pada kertas undinya menandakan beliau dipilih oleh mereka yang berada di atas bukit atau kepimpinan kerajaan BN yang memerintah.

Mengenangkan ini adalah pertarungan sengit, Umno seumpama Jack dan Arif Shah adalah Jill dan kita tahu apa yang terjadi pada Jack dan Jill. Mereka berdua jatuh berguling menuruni bukit.

Selain daripada berterima kasih kepada Allah s.w.t dan pemilihan di Permatang Pauh, sesungguhnya Anwar perlu juga berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya kerana memilih tarikh tersebut bagi dirinya bertanding.

Suruhanjaya Pilihanraya menafikan hak Anwar untuk memenangi pilihan raya kecil dan mempunyai pengundi yang amat besar apabila mengadakannya pada hari bekerja – ia juga sebagai tindakan cuba melawan takdir. Tiada siapa yang dapat menghalang takdir atau ketetapan yang telah ditentukan untuk tampuk pemerintahan negara kita.

Para pengundi di Permatang Pauh tahu akan kenyataan sesungguhnya masa depan negara kini terletak di tangan mereka. Mereka juga matang dari segi politik serta sedar bahawa BN dan Umno menggantung harap masa depan politik mereka dengan kenyataan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pengundi di Permatang Pauh telah menunggu dengan penuh sabar hari penentuan ini untuk memastikan Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen dan mengembalikan maruah dan integriti negara ini.

Apabila Arif Shah dinamakan sebagai calon yang akan bertanding melawan Anwar, beliau mengisytiharkan ianya adalah pertarungan sengit. Sekali lagi, pengundi di Permatang Pauh yang akan menentukan samada ianya adalah pertarungan sengit atau Arif Shah akan kehilangan wang depositnya.

Jika anak lelaki saya lahir pada 26 Ogos 2008, saya tidak teragak-agak untuk menamakannya Anwar. Sebabnya juga mudah. Tidak seperti Shahrir, wira yang jatuh, Anwar adalah lelaki yang dijatuhkan secara dendam dan kejam naik mendadak sebagai wira Malaysia hari ini.

Dengan segala hormatnya, saya menyertai seluruh rakyat Malaysia mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Keenam apabila pengundi Permatang Pauh mengundi dengan bijak pada 26 Ogos 2008.

(Gamgam adalah nama samaran untuk seorang penulis keturunan India yang beragama Kristian. Tulisan ini dibuat dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh Fatiha Ahmad untuk pembaca Siasah).

Permatang Pauh penentu laluan Anwar

Oleh Hafiz Baqi

BUKIT MARTAJAM, 21 Ogos: Pengundi Permatang Pauh menjadi penentu kepada laluan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Awar Ibrahim ke Putrajaya seperti mana diwar-warkan.

PAS pula turun sepenuhnya ke Permatang Pauh bagi membantu kempen Anwar. Mulai dari Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada hari pernamaan calun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan turun mulai Ahad, 24 Ogos ini.

Anwar disebut-sebut akan mengambil alih pemerintahan negara setelah menjadi ahli Parlimen di mana antara strategi yang dikatakan beliau akan mendapat sokongan daripada wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang akan melompat parti sekaligus menjadikan Pakatan Rakyat menguasai Parlimen.

Sehubungan itu, pengundi Permatang Pauh diletakkan sebagai kumpulan paling penting dalam proses perubahan kuasa seperti mana dirancang Anwar.

Justeru, rata-rata pemerhati melihat keputusan tidak memihak kepada Anwar pada hari mengundi 26 ogos ini bukan sahaja akan melambatkan perubahan yang dirancang bahkan akan menyukarkan lagi laluan politik Anwar.

Di Permatang Pauh, setelah beberapa hari berkempen, isu peralihan kuasa mula mendominasi kempen pilihan raya dipihak Anwar walaupun Anwar sendiri terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu besar yang mengaitkan dirinya.

Pelancaran kempen “Merdeka dari Penindasan dan Kezaliman” yang dilancarkan oleh beliau di Seberang Jaya pada hari ketiga tempoh berkempen menyampaikan isyarat paling jelas kepada rakyat tentang proses peralihan kuasa yang sedang beliau rancangkan memerlukan sokongan.

"Inilah saatnya kita merebut makna kemerdekaan agar ianya benar-benar memerdekakan rakyat dan negara ini dari minda terpasung dan ketidakmatangan yang ditempa sendiri," kata Anwar.

Malahan dalam ucapannya sebelum pelancaran kempen tersebut, Anwar sakali lagi mengulangi komitmen ramai ahli Parlimen BN akan melompat parti sebaik sahaja beliau memasuk parlimen.

Dalam pada itu, BN dilihat semakin terkesan dengan kempen peralihan kuasa yang digunakan pihak Anwar di Permatang Pauh walaupun isu liwat dikatakan paling berkesan untuk mengurangkan sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar yang mengambil pendekatan tidak melayan serangan menggunakan isu liwat terhadap dirinya hampir berjaya menukar situasi apabila BN terpaksa bertungkus lumus menafikan kemampuan Anwar mengambil alih pimpinan negara.

Wednesday, August 20, 2008

Sumpah Saiful hanya berharga di Permatang Pauh, kata peguam

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Peguam Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azkan mungkin berharga di Permatang Pauh tetapi tiada nilainya jika kes Anwar dibicarakan menurut undang-undang Islam yang sebenar.

Hanipa berkata demikian dalam tulisannya di http://www.peguampas.blogspot.com/.

2 Exco: Pejabat MB Perak serah kepada BPR

IPOH, 20 Ogos: Pejabat Menteri Besar Perak menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menjalankan siasatan terhadap dua anggota Exconya yang kini ditahan.

Menurut Setiausaha Politik MB Perak, Misbahul Munir Masduki, kedua-dua Exco berkenaan kini ditahan reman sehingga Jumaat ini.

"Saya diberitahu wang RM20,000 yang ada dalam beg salah seorang Exco yang ditahan itu adalah wang pinjaman beliau untuk membaiki rumahnya.

"Bagaimana beliau ditangkap BPR, saya tidak tahu dan tidak dapat lagi bercakap dengan kedua-duanya untuk mengetahui perkara sebenar kerana kini mereka ditahan BPR," kata Misbah ketika dihubungi Siasah.

BPR menahan tiga pemimpin PKR Perak termasuk dua Exco kerajaan negeri dan seorang lagi bekas Adun untuk membantu siasatan terhadap satu dakwaan rasuah.

Sehingga kini, apa yang berlaku belum dapat dipastikan lagi.

"Kerajaan kita masih stabil kerana kita ada 31 manakala BN ada 28. Apabila kita hilang dua, katakanlah begitu, kerajaan yang ada ini masih majoriti satu kerusi iaitu kita jadi 29 kerusi berbanding BN 28," kata Misbah kepada Siasah.

Monday, August 18, 2008

Gerai Siasah paling meriah

IPOH, 18 Ogos: Gerai Siasah di Muktamar PAS ke 54 walaupun kecil sahaja, namun dianggap paling meriah dan penuh dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjungnya.

Gerai Siasah mencapai dua kemuncak dalam kempen kali ini iaitu pelancaran oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin dan kunjungan rombongan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhamad Nizar menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan mewarna Siasah yang disertai oleh kanak-kanak. Lebih 50 kanak-kanak menyertai pertandingan melukis itu.

Abdul Hadi pula menandantangani baju-T khas yang dikeluarkan sempena kempen itu. Turut menandatanganinya adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dan lain-lain pimpinan dan juga tetamu muktamar.

Selain mereka, kanak-kanaklah yang paling bermakna di gerai itu apabila setiap mereka diberikan belon khas berlogo Siasah.

Sunday, August 17, 2008

Nik Aziz beri 'kekuatan' pada Anwar

Oleh: Hafiz Mohd Baqi


BUKIT MARTAJAM: Kehadiran -pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengiringi Ketua Umum Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh 16 Ogos, hampir menyelesaikan konflik PAS-PKR berkaitan pilihan raya kecil yang menjadi kebimbangan ramai.

Kehadiran Nik Aziz bersama Naib Presiden PAS, Husam Musa dan
Mohammad Sabu, serta sekurang-kurangnya enam Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, iaitu Dr Hatta Ramli. Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Syed Azman Syed Nawawi, Dr Lo'lo Ghazali, Dr Mariah Mahmood dan Mujahid Yusuf ketika PAS dalam waktu yang sama sedang bermuktamar di Ipoh telah dilihat sebagai satu langkah paling berkesan untuk menyelesaikan isu memboikot kempen pilihan raya oleh sebahagian ahli PAS di Pulau Pinang mempengaruhi ahli-ahli yang lain.

Kehadiran ramai pimpinan PAS untuk memberi sokongan moral kepada Anwar itu begitu menarik perhatian bila mana mereka meninggalkan sebentar muktamar PAS yang penting dihadiri oleh semua pimpinan kerana selain ekoran tercetusnya kontraversi dalam PAS baru-baru ini, muktamar ke 54 ini juga merupakan muktamar para ahli PAS mempersoalkan secara terbuka hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Justeru kehadiran para pimpinan PAS itu dilihat mampu memberi suntikan semangat kepada ahli PAS untuk turun membantu Anwar dalam pilihan raya tanpa dibayangi oleh isu sama ada melibatkan hubungan PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat maupun isu yang sedang dihadapi oleh Anwar sendiri melibatkan tuduhan liwat.
Walaupun Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar sejak sekian lama dimana beliau dan Isterinya, Dr Wan Azizah Ismail memenangi kerusi parlimen di situ selama tujuh penggal, penglibatan ahli dan jentera PAS tetap dilihat penting untuk memastikan BN berputih mata sekali lagi.
Pimpinan tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang, Lim Guang Eng dan Karpal Singh turut hadir mengiringi Anwar.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 16 Ogos iaitu hari kedua muktamar PAS yang bermula pada 15 Ogos. Manakala muktamar Pemuda, Muslimat dan Ulama dibuat sehari lebih awal.

Nik Aziz yang sampai di pusat penamaan calon selepas Anwar memasuki dewan untuk proses pencalonan telah mengambil masa hampir satu jam di situ bersama pimpinan lain di ruang VIP yang disediakan.

Ketibaan beliau dengan kereta Proton Wira berwarna biru yang terpaksa melepasi kumpulan penyokong yang berkumpul dilaluan untuk memasuki pusat penamaan calon telah disambut dengan laungan takbir serta laungan reformasi.

Bahkan kereta dinaiki beliau telah diserbu oleh para penyokong yang mahu mendekati beliau sehingga terpaksa disuraikan oleh anggota polis. Manakala kehadiran Mohammad Sabu yang tidak memasuki ruang VIP sebaliknya berada bersama para penyokong di padang yang dikhaskan turut mendapat sambutan luar biasa.

Bagaimanapun Nik Aziz dan Mohammad pulang lebih awal sebelum proses penamaan calon berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari.


Dijangkakan lebih 50 ribu penyokong Pakatan Rakyat termasuk daripada PAS yang datang dari seluruh negara hadir mengiringi Anwar. Sebahagian mereka telah berada di lokasi pusat penamaan calon seawal jam 2.00 pagi lagi.

Sebelum ini dilaporkan ada sebahagian ahli PAS tidak mahu melibatkan diri dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan ditandingi oleh Anwar kerana tidak berpuas hati dengan PKR selepas pilihan raya umum 2008.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengesahkan perkara tersebut dalam sidang akhbarnya selepas merasmikan muktamar Jumaat lalu, tetapi menegaskan beliau telah turun ke Permatang Pauh dan mengarahkan jentera PAS membantu kempen Anwar.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam muktamar Dewan Pemuda turut mengarahkan Pemuda PAS memberi sokongan tidak berbelah bahagi membantu kempen Anwar.

Walaupun tercetusnya ada kalangan ahli PAS di Pulau Pinang mahu memboikot pilihan raya kecil, dalam tinjauan awal Siasah, tiada tanda- tanda ketara berlakunya usaha memboikot seperti mana didakwa, sebaliknya kerjasama khususnya kepada ahli-ahli PAS dari negeri lain yang hadir telah diberikan dengan baik oleh ahli PAS setempat seperti menyediakan tempat penginapan dan sebagainya.

Malahan bahan-bahan kempen seperti baju T turut disediakan kepada penyokong yang datang untuk mengikuti perarakan mengiringi Anwar di samping menyediakan bilik operasi kepada ahli PAS yang datang untuk bertugas.

Bendera-bendera PAS turut kelihatan dibeberapa lokasi disamping bendera yang dikibarkan pada kenderaan yang boleh dilihat dalam kawasan pilihan raya.
Dalam pilihan raya kecil ini Anwar disahkan sebagai calon selepas proses penamaan selesai dalam satu pertandingan tiga penjuru. Beliau akan ditentang oleh calon Barisan Nasional daripada Umno,Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar kanan) dan Hanafi Hamad dari AKIM (gambar kiri). Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan, Dr Mansor Othman telah menarik diri. Dalam pada itu SPR telah menerima lima bantahan tetapi semuanya ditolak.

Perarakan memasuki kawasan pusat penamaan calon bermula sekitar jam 8.00 pagi yang dimulakan oleh penyokong Anwar sebelum diikuti oleh penyokong BN.

Kedua-dua penyokong telah ditempatkan di Padang Dewan Institut Perguruan Tunku Bainun (tempat penamaan calon) dengan dipisahkan
oleh ruang kosong yang dikawal ketat oleh anggota FRU.

Sepanjang waktu menunggu, suasana agak panas apabila kedua-dua penyokong saling kata mengata antara satu sama lain termasuk dua insiden yang tidak diingini melibatkan seorang jurgambar di pukul dan ahli Putri Umno diraba.


Ikuti laporan khas pilihan raya kecil Permatang pauh dalam akhbar Siasah akan datang.

Saturday, August 16, 2008

Sekali lagi Abdul Hadi tegaskan PAS tidak akan bersama BN

IPOH, 16 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak akan bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau menyifatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah umpama orang lemas sekarang dan beriya-iya mahukan pertolongan PAS.

"Saya seorang nelayan, saya tahu cara hendak tolong orang lemas. Kalau kita pakai pendekatan I Love You, dengan kita sekali akan lemas," kata Abdul Hadi diikuti gelak ketawa para perwakilan PAS.

Abdul Hadi membuat ucapan penggulungan perbahasan Uacapan Dasar beliau yang dibahas sehari suntuk oleh para perwakilan.

Sebelum beliau, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din memberikan penjelasan bagi pihak Majlis Syura.

Esok muktamar PAS akan bersambung sehari lagi.

Pertandingan tiga penjuru di Permatang Pauh

PERMATANG PAUH, 16 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditentang dua calon dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh iaitu Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamad dari Akin.

Seorang calon bebas, Dr Mansor Othman (bekas pengerusi PKR Pulau Pinang) menarik balik kertas pencalonannya.

Dr Mansor dikatakan calon 'stand by' PKR jika kertas pencalonan Anwar ditolak.

'Jangan timbul lagi soal boikot'

IPOH, 16 Ogos: Isu sama ada PAS Pulau Pinang akan memboikot pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang ditandingi ketua Parti Keadilan Rakyat, Datuk Sri Anwar Ibrahim tidak perlu ditimbulkan lagi, kerana PAS telah memutuskan untuk membantu kempen ketua PKR itu.

Ini ditegaskan wakil PAS Pulau Pinang yang membahaskan ucapan dasar presiden hari ini, Mohd Fahwi Wahab, menjawab persoalan mengenai sikap PAS negeri itu yang dikatakan dipinggir oleh kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP negeri itu.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran petugas-petugas PAS dari luar Pulau Pinang untuk membantu kempen dan memastikan kemenangan Anwar.

PAS Pulau Pinang sebelum ini menimbangkan untuk memboikot pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai respons kepada apa yang disifatkan sebagai peminggiran PAS daripada pentadbiran Pulau Pinang.

Anwar yang menyerahkan borang pencalonan pagi tadi dan disahkan akan bertanding di parlimen itu mendapat sokongan ramai pemimpin PAS.

Dalam penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun di Bukit Mertajam, beliau diiringi mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Husam Musa, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Lo'lo Ghazali, Dr Mariah Mahmud dan Saari Sungib.

Anwar tidak perlu bersumpah, kata Presiden PAS

IPOH, 16 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak setuju jika Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin bersumpah sebagaimana yang dilakukan oleh bekas pembantunya, Saiful Azlan Bukhari.

"Hukum Islam tidak menghukum begitu," kata Abdul Hadi dalam sidang media selepas berehat dari muktamar tahunan PAS ke 54 hari ini.

Beliau menjawab soalan dari wartawan ekoran langkah pembantu Anwar, Saiful Bukhari membuat sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan semalam, sehari sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi berkata, PAS akan memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

"Kita setia dengan Pakatan Rakyat," kata Abdul Hadi.

Berhubung dengan cadangan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat menurut jejak langkah Kelantan mengharamkan judi dan mengawal penjualan arak, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu.

"Ketika kita hendak melaksanakan pengharaman judi di Terengganu dan Kelantan dahulu, kita tanya orang bukan Islam dahulu. Bila mereka kata judi juga dilarang oleh agama mereka, kita haramkan judi itupun dengan perlahan-lahan sehingga mereka ada pekerjaan lain.

"Arak pula dibenarkan oleh agama mereka, jadi kita benarkan untuk mereka.

"Tentang negeri-negeri Pakatan yang lain seperti Perak sekarang, kita kena memahami realiti kita berada dalam kerajaan campuran dan tidak mempunyai kuasa mutlak. Jadi dalam kerajaan sebegini kita utamakan pelaksanaan Islam yang universal yang tonjolkan keadilan seperti banteras rasuah dan sebagainya," kata Abdul Hadi.

Berhubung dengan kepimpinan Pakatan Rakyat pula, Abdul Hadi berkata, sehingga kini tidak ada mana-mana pihak dilantik menjadi pemimpinnya.

"Pengerusi mesyuarat pun kita buat secara bergilir-gilir. Ini kesepakatan kita," kata Abdul Hadi.

Selepas Najib, kini Saiful pula bersumpah

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Selepas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bersumpah dengan nama Allah dia tidak pernah kenal wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu, bekas pembantu Datuk Seri Anwar, Saiful Bukhari Azlan pula bersumpah dia diliwat oleh bekas bosnya itu malam tadi.

Bezanya, Najib bersumpah di depan perwakilan Umno di PWTC manakala Saiful di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di siarkan ke seluruh negara selepas itu.

Namun kenyataan Saiful selepas bersumpah bercanggah dengan dakwaan yang dikenakan ke atas Anwar kerana Saiful mendakwa dia diliwat secara paksa sedangkan dakwaan ke atas Anwar adalah di bawah seksyen 377B Penal Kod iaitu melakukan seks luar tabii secara sukarela.

Sebelum ini, dokumen dari Hospital Pusrawi tidak menunjukkan sebarang kejadian liwat berlaku ke atas Saiful dalam pemeriksaan yang dibuat pada 28 Julai. Saiful mendakwa diliwat pada 26 Julai.

Anwar ketika mengulas dakwaan di bawah 317B ini bertanya, "Jika suka sama suka, kenapa saya saja didakwa." Ulasan ini dibuat di luar mahkamah sesyen Kuala Lumpur selepas sahaja dakwaan ke atasnya dikenakan.

Friday, August 15, 2008

Gerai Siasah di muktamar PAS


IPOH: Dapatkan hadiah menarik dengan berkunjung ke gerai Siasah sempena muktamar PAS ke-54 bermula 14 - 17 Ogos ini di Stadium Indra Mulia, Ipoh.

Selain itu pengunjung juga boleh memiliki baju cenderahati muktamar keluaran Siasah dengan harga yang menarik.

Hadi sekali lagi tegaskan kepentingan sumbangan PAS

IPOH, 15 Ogos: Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan pentingnya sumbangan ahli-ahli dan jentera PAS kepada dalam pilihan raya umum lalu.


Dalam ucaptama merasmikan muktamar PAS ke-54 di sini, Hadi menegaskan PAS memberi sumbangan berharga kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam keadaan “amalan demokrasi yang dipenuhi kecacatan.”


“Kita hendaklah sama-sama menyedari betapa mahalnya pengorbanan ahli dan penyokong PAS untuk mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu,” kata Hadi dalam ucapan dasarnya bertema PAS untuk Semua.


“Perlu juga diingat bahawa PAS telah memberikan sahamnya yang sangat besar kepada kemenangan ini dengan mempunyai paling banyak jentera parti di kalangan Pakatan Rakyat dan bekerja untuk parti lain di kalangan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.


Hadi sebelum ini dalam wawancara dengan Harakah melahirkan rasa tidak puas hati dengan apa yang dilihat sebagai perkongsian yang tidak seimbang dalam Pakatan hingga meminggirkan PAS.


Ucapan yang dibuat sehari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh itu menunjukkan sikap PAS yang semakin asertif dalam perkongsian kuasa dengan Pakatan Rakyat terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik, DAP.

Thursday, August 14, 2008

Dewan Ulamak Perak pertahan tulisan jawi

IPOH, 14 Ogos: Wakil Dewan Ulamak PAS Perak mempertahankan tulisan jawi yang digunakan oleh Dewan Ulamak dalam mencetak ucapan ketua mereka dalam muktamar kali ini.

Bagi perwakilan itu, Dewan Ulamak mesti mempertahankan identiti ini kerana ia berasaskan Islam.

Beliau yang merupakan tuan rumah muktamar ini, mengulas berita yang tersiar dalam Harakahdaily.net, laman web rasmi Harakah yang dimiliki PAS, yang mempertikaikan penggunaan tulisan jawi itu.

Menurut Harakahdaily, ramai wartawan dari akhbar Cina mengadu masalah yang mereka hadapi dalam membuat laporan ucapan itu kerana tidak ada terjemahan dalam tulisan rumi atau Inggeris untuk memudahkan mereka membuat liputan.

PAS, Umno bersatu: Perancangan tak masuk akal


KUALA TERENGGANU, 14 Ogos: “Ini adalah satu perancangan yang tidak masuk akal.” Begitulah komen bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan isu pemimpin Umno pelawa PAS sertai Barisan Nasional (BN).

Baginya, apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa BN kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

“Ini ternyata kepada semua dunia bahawa Barisan Nasional kalah dalam tahun 2008. Pemimpinnya masih berkata: Oh, kami menang. Tengok lapan kerusi lagi dapat dua pertiga.

“Sebab itulah jumpa dengan PAS, kot-kot nak dapat PAS masuk sama. Jadi dia dapat cukup kerusi untuk dua pertiga. Jadi PAS pun teringin jugaklah kalau ditawar jadi Timbalan Perdana Menteri nombor dua,” ujarnya sinis.

Ahli Umno bernombor 0001 yang telah keluar parti itu berkata demikian pada majlis forum ‘Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu’ anjuran Badan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu di sebuah resort di sini, Sabtu lalu.

Katanya, pada anggapan pemimpin Umno, apabila PAS menyertai BN, maka mereka akan mendapat dua pertiga kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Jadi kuat baliklah. Tetapi malangnya, ada kemungkinan PAS masuk, orang lain keluar. Jadi, jumlahnya tak dapat jugak dua pertiga. Ini adalah satu perancangan yang tidak masuk akal,” katanya lagi.

Baginya, kalau ada pakatan yang semacam itu, kononnya untuk perkara tertentu, beliau fikir rakan-rakan Umno dalam BN tidak akan merasa senang hati dan sekali lagi Umno perlu melayan rakan-rakannya itu.

Sekarang inipun, tambahnya sudah layan tetapi Umno perlu melayan lebih lagi rakan-rakannya dan akan terus lemah walaupun bergabung dengan PAS.

Katanya, walaupun Umno mendapat 79 kerusi dan dicampur yang rakan-rakan lain di dalam BN sehingga dapat mendirikan kerajaan Pusat tetapi dari segi kekuatan mereka masih kalah kerana mereka sudah tidak berani untuk bercakap apa-apa terutama untuk mempertahankan dasar-dasar bagi melindungi orang Melayu.

Umno bersandiwara dalam isu muzakarah - Muslimat PAS

IPOH, 14 Ogos: Muslimat PAS menyifatkan para pemimpin Umno bersandiwara sahaja dalam usaha mereka untuk bermuzakarah dengan PAS.

Sebab itulah, selepas gagal meyakinkan PAS dengan janji-janji mereka, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri bertindak mendedahkan pertemuan ini kepada umum.

Demikian kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh ketika memberikan Ucapan Tema Muktamar Dewan Muslimat PAS ke 48 di dewan hotel Hillcity, Jalan Gopeng Khamis lepas.

Lebih 150 para perwakilan Muslimat PAS dari seluruh negara menyertai muktamar itu di samping beratus-ratus lagi pemerhati yang memenuhi Dewan Muskamar itu.

Muslimat PAS bermuktamar kali ini dengan tiga dari empat Adun mereka adalah Exco kerajaan negeri iaitu Wan Ubaidah Omar (Kelantan), Dr Halimah Ali (Selangor) dan Siti Ashah Ghazali (Kedah).

Mereka juga kini mempunyai tiga anggota Parlimen iaitu Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Siti Zailah Yusof (Rantau Panjang). Menurut Nuridah, selepas saja PRU12 selesai, sandiwara pemimpin UMNO semakin ketara.

Pelbagai tawaran, katanya, diajukan kepada PAS umpamanya untuk bergabung, berkongsi kuasa dan mengadakan muzakarah di atas nama perjuangan agama dan bangsa Melayu.

"UMNO beriya-iya menjemput pimpinan tertinggi PAS untuk mengadakan pertemuan. PAS menyambut baik undangan pertemuan atau muqabalah ini dan bersedia mendengar apa-apa yang dihajati UMNO," beritahu beliau kepada peserta muktamar.

Seiring dengan pendedahan Abdullah, kata Nuridah, media arus perdana milik mereka riuh-rendah menjaja isu ini bagi menanam bibit keraguan dalam usaha memecah-belah gabungan Pakatan Rakyat.

Namun PAS telah lama belajar tentang sepak terajang politik mereka khususnya pengalaman pahit bersama Barisan Nasional pada awal 70an dulu, katanya.

Sebenarnya, tambah Nuridah lagi, kedudukan PAS adalah sangat jelas dalam isu ini.

"Kita konsisten sejak dulu lagi bersedia bermuqabalah atau bermuzakarah dengan mana-mana pihak bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam dan masyarakat majmuk di Malaysia," kartanya.

Politik muzakarah

Bagi beliau, politik muzakarah ini sudah menjadi pendekatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak dahulu lagi.

Malah, katanya, ia selari dengan pandangan NGO-NGO Islam di satu perhimpunan di Johor Bahru selepas PRU12 yang lalu.

"Siapa yang menganjurkannya tidak penting. Tetapi resolusinya menyeru parti-parti orang Islam di negara ini bersatu atas dasar kepentingan Islam dan bangsa Melayu," katanya.

Namun begitu, kata Nuridah, sejak dua dekad berlalu UMNO tidak menunjukkan reaksinya dan tetap membisu dalam isu muzakarah ini.

Senario ini menampakkan saingan sengit antara UMNO dan PAS, katanya.

Bagi beliau, rakyat jelas dapat melihat sikap terbuka PAS dan pandangan kehadapan, berbanding dengan UMNO.

"Namun kini dalam suasana UMNO tersepit, tiba-tiba Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak PAS bersatu di atas kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

"PAS di bawah kepimpinan ulama telah mengambil langkah berhati-hati dalam menangani isu ini dan dalam masa yang sama mengambil peluang menyampaikan dakwah dan nasihat kepada semua termasuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional," tambah beliau lagi.

Bertenang dalam hadapi isu muzakarah PAS-Umno, kata Nasharudin

IPOH, 14 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa meminta ahli dan para penyokong PAS agar bertenang menghadapi isu muzakarah PAS dan Umno yang ada sekarang.

"Sebenarnya, di saat ini kita mesti bertenang dan follow perkembangan dari semua sudut very very closely. Jangan dikalutkan suasana," kata beliau ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS yang ke 49 di Stadium Indra Mulia malam tadi.

Menurutnya, apa yang dibuat oleh pemimpin PAS adalah atas keputusan Majlis Syura Ulama pada 23 April dan bukan untuk berunding kerusi.

"Yang paling penting, pimpinan kita bertemu pimpinan UMNO dengan mandat dan keputusan
Syura. Mereka pergi bukan untuk berunding kerusi jawatan menteri tetapi untuk beritahu pimpinan UMNO supaya terima Islam sebagai penyelesaian masalah ummat Malaysia. Benar, UMNO sedang lemah dan mereka mengajak kita dalam keadaan mereka lemah. Jika mereka kuat, mereka tidak mengajak kita," katanya di muktamar itu.

Bagi beliau, ruang dan medan dakwah terbentang luas dan PAS berdakwah dengan mengambil pentas politik berasaskan amalan prinsip demokrasi moden.

Majlis Syura Ulamak yang telah bersidang pada 23 April 2008 telah memutuskan untuk membenarkan beberapa pimpinan PAS bertemu dan berbincang dengan pimpinan UMNO mengenai permasalahan Islam dan orang Melayu akibat pasca PRU 12.

"Kita berpegang pada konsep tahalluf as-siyasi dan di atas konsep inilah kita berkerjasama dengan PKR dan DAP.

"Siapakah mad’u kita yang paling hampir dengan kita kalau bukan ahli PKR, DAP malah UMNO sekalipun? Benarkah ahli PKR dan DAP bukan mad’u yang perlu kita dakwahkan lagi kerana mereka sudah menjadi rakan sekutu kita?

"Barangkali sekutu politik ya, tapi bukan benar-benar memahami kita. Bukan sekutu yang memahami Islam sefaham kita. Bukankah DAP terang-terang menentang hasrat PAS untuk melaksanakan Islam dari dulu sampai sekarang, tak padam-padam. Tapi DAP masih sekutu politik PAS!

"Nisbahnya, jika sedemikian maka bermuzakarah dengan siapa sahaja perlu dilihat dalam rangka dakwah yang lebih luas," kata Nasharudin dalam ucapannya.

Pemuda PAS diarah gempur Permatang Pauh

IPOH, 14 Ogos: Seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat diarahkan supaya menggempur Permatang Pauh bagi memastikan kemenangan yang lebih besar untuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arahan ini dikeluarkan oleh ketuanya, Salahudin Ayub dalam Ucaptama beliau sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi.

Lebih 150 perwakilan di samping beribu-ribu pemerhati menyertai muktamar itu. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah merasmikan muktamar itu.

"Dewan Pemuda PAS akan membuka Markaz Besar untuk jentera pilihan raya kita dan Pemuda PAS hendaklah bekerja sepenuh hati untuk mempastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya ini, sekaligus merapatkan semula jentera PR dalam menghadapi BN," kata beliau diiringi laungan takbir oleh para perwakilan dan pemerhati.

Beliau mengambil kesempatan daripada muktamar ini untuk memetik pepatah Melayu Mekasar yang memperkatakan soal perjuangan pemuda.

Prof Hamka yang memetik pepatah ini menyebutkan:

”Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalauperahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskibagaimana besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebihmulia daripada berbalik haluan pulang”2. Ibarat kata pepatah ”Daripada hidupbercerminkan bangkai biar mati bergalang tanah.”

Perluaskan kerjasama dalam negeri Pakatan - Salahudin

IPOH, 14 Ogos: Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata, usaha-usaha memperteguhkan kemenangan dalam Pakatan Rakyat ini harus diperluaskan dengan kerjasama lebih erat di kalangan lima buah negeri yang dikuasai, khususnya dalam soal pentadbiran dan ekonomi.

"Saya mencadangkan supaya negeri-negeri ini mewujudkan koridor kuasa PR bagi memperteguh urus tadbir kerajaan dan pengurusan ekonomi," katanya ketika memberikan ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi
Salahudin juga berkata, antara kekuatan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk negeri ialah soal tanah dan agama yang mesti digemblengkan secara maksimum.

"Hasil bumi yang kaya ini mesti dimanfaatkan secara terancang untuk kebaikan bersama. Jaringan kerjasama ekonomi dan persefahaman politik mesti dibuat dengan segera.
"Saya menggesa supaya sebuah Jawatankuasa Pemandu PR di peringkat pusat diwujudkan supaya dasar-dasar kerajaan PR dapat diselaraskan, agihan sumber dan rancanganpembangunan bersama juga dapat diaturkan sehingga kita dapat menanganisekatan politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ke atas limabuah negeri ini.
"Jawatankuasa Pemandu ini perlu berperanan agar lima buah negeri PR ini menjadi satu ’Persekutuan’ yang saling bahu-membahu dalam mengekalkan keyakinan dan kepuasan rakyat," tegas beliau dalam ucapan itu.
Beliau juga meminta agar hubungan rakan-rakan PR mesti diperkukuhkan.
"Kita mesti menghormati dasar dan tujuan perjuangan rakan-rakan kita, tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus menghormati kita. Jika kita saling mempersoalkan dasar orang lain, maka selagi itu pakatan ini tidak akan kukuh.
"Islam yang didukung oleh PAS tidak pernah menzalimi atau menganiayai sesiapa, termasuk bukan Islam. Bahkan, Islamlah satu-satu sistem pemerintahan yang telah terbukti memberikan keadilan kepada semua manusia seperti yang terakam dalam sejarah Khulafa’," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan kepimpinan Pemuda PR agar memainkan peranan penting kearah menganjak paradigma pemikiran rakyat untuk memahami dasar perjuangan masing-masing dan mencipta satu era baru yang lebih kondusif untuk kita bekalkan kepada generasi akan datang.
"PAS berdiri tegak dan teguh sehingga hari ini kerana perjuangan Islam yang dilihat dan diyakini konsisten, DAP terus relevan di persada politik kerana nilai dan prinsip social democrat, socialistic inclination yang dipertahankan, manakala PKR terus mara dengan slogan keadilan untuk semua.
"Saya mengajak pimpinan Pemuda PR melangkah ke hadapan dengan nilai sejagat perjuangan ini serta membuktikan kepada Malaysia dan dunia bahawa kita mampu merealisasikan citi-cita perjuangan kita dengan penuh tanggungjawab.

"Saya tidak rela untuk terperangkap dan terjerumus dalam jebak dan konflikpermusuhan yang tak kunjung sudah yang mengheret kita Pemuda PR untukterus bersangka buruk dan membiarkan minda rakyat terus dibelenggu olehmomokan dan persepsi PAS dengan Islam yang ganas serta DAP dengan sikapchauvanisnya atau parti perkauman Cinanya.

"Telah sampai masanya kita Pemuda PR memulakan era baru dengan menamatkan konflik ini secepat mungkin," tegas beliau.

Katanya, segala konflik diantara mereka tidak akan dapat diselesaikan denganhanya mengambil perhitungan politik puak dan perkauman, sentimen untung rugipilihan raya semata-mata tetapi cara yang lebih bijak dan bertanggungjawabperlu diterokai.

"Gelanggang ilmu, persada pengetahuan dan pentas diskusiintelektual mesti disuburkan untuk kita mencambahkan politik berasaskan ilmu(k-politic) bagi kita mewajahkan semula perjuangan PR yang lebih menyakinkan.Politicians think for the next election, statesmen think for the next generation," kata beliau.

Tuesday, August 12, 2008

Nik Aziz akan iringi Anwar di hari pernamaan calon


KOTA BHARU, 12 Ogos: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengiringi Datuk Seri Anwar Ibrahim di hari pernamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh 16 Ogos ini.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas dengan Tvpas.com baru-baru ini.

16 Ogos adalah hari kedua muktamar PAS yang akan diadakan di Ipoh mulai 15 hingga 17 Ogos.

"Saya akan turun di hari penamaan calon, insya Allah," katanya sebagaimana yang dilaporkan Tvpas.

Beliau juga yakin Anwar boleh menang bahkan lebih besar berbanding dengan apa yang diperolehi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

"Kalau Wan Azizah boleh majoriti lebih 13,000, saya yakin Anwar akan dapat lebih lagi," katanya.

Nik Aziz yakin, pengundi Permatang Pauh tidak akan termakan dengan fitnah yang dihadapi Anwar.

Beliau menyifatkan mereka yang membuat tuduhan liwat ini sebagai tidak bermaruah dan bersifat kebinatangan.

"Belum dibawa ke mahkamah lagi sibuk dah luruhkan nama baik Anwar. Tv, radio, akhbar dah tuduh Anwar. Binatang ini akan masuk neraka jika Anwar tidak maaf. Mana boleh maruah tidak dibela," kata beliau.

Hanipa tidak setuju umat Islam 'serang' forum

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin mengambil sikap berbeza dengan beberapa pemimpin PAS dan juga NGO Islam yang lain dalam isu forum anjuran Majlis Peguam Malaysia bertajuk "Memeluk Islam".


Bagi beliau, ulama dan intelektual Islam terlepas peluang untuk berdialog secara langsung dan terbuka dengan golongan bukan Islam melalui forum ini.

Bagi beliau, intelektual Islam sepatutnya mengambil peluang ini untuk berdebat secara sihat dengan orang bukan Islam berkaitan isu "memeluk Islam" ini bukannya "menyerang" forum itu.

Beliau mahu intelektual Islam menerangkan kedudukan Islam dengan jelas kepada mereka dan bukannya bersifat opologetik dalam isu ini.

Baca sepenuhnya tulisan beliau dalam Bahasa Inggeris melalui blog beliau di sini.


http://peguampas.blogspot.com/

Sementara itu, Pemuda PAS sedia menjadi perantara untuk membolehkan Majlis Peguam berbincang secara tertutup mengenai apa-apa isu mengaitkan Islam dengan badan-badan Islam.

Ketuanya, Salahuddin Ayub menyatakan kesediaan untuk menjadi perantara bagi membolehkan dialog dan perbincangan dilangsungkan dengan tokoh ulama, mufti dan cendekiawan Islam khusus bagi membincangkan perkara-perkara sensitif berhubung Islam dan ajarannya.

"Majlis Peguam boleh menyenaraikan isu-isu yang mereka perlukan penjelasan yang mungkin dianggap sensitif tetapi masih boleh dibincangkan secara akademik dan tertutup," jelas Salahuddin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...