Monday, October 31, 2011

Pemuda PAS, Elton John dan tuntutan hak gay

Pemuda PAS sekali lagi terlibat dalam debat panas melibatkan golongan gay ekoran kecaman sayap parti Islam itu terhadap konsert penyanyi gay Elton John.

Pemuda PAS dikritik bekas mufti Perlis yang popular, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai tidak bersikap matang dalam hal ini dan berkecenderungan seperti Taliban yang pernah menguasai pemerintahan Afghanistan.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mengecam pandangan Asri itu yang disifatkan keterlaluan kerana cuba menyamakan PAS dengan Taliban yang menggunakan pendekatan keras.

Pemuda PAS mengambil sikap menolak hiburan yang dianggap membawa unsur negatif terutama kepada masyarakat Muslim Malaysia, dan giat menyatakan pandangan ini, menyentuh hasil seni popular termasuk filem.

Selain PAS, konsert penyanyi gay itu turut dikecam oleh Ikatan Muslimin Malaysia, Isma, yang memberi peringatan tentang usaha menyebarkan gaya hidup gay di Malaysia.

Tentangan Pemuda PAS terhadap konsert Elton John yang dijadual hujung November di Genting Highlands, Pahang, ialah yang kedua mencetuskan berita besar di negara ini berhubung isu gay, selepas bantahan konsert Adam Lambert tahun lalu.

Malaysia mendapat perhatian ekoran debat yang dicetuskan oleh pertembungan yang disebabkan oleh kebangkitan gay masa kini.

Mac lalu, penyanyi Lady Gaga mengkritik penapisan lagu tema gay nyanyiannya, Born This Way, dan menggesa peminatnya bangkit menyatakan bantahan.

"Anda mesti lakukan segala yang termampu sekiranya mahu dibebaskan oleh masyarakat anda, anda mesti mendesak, jangan berhenti dan mesti memprotes secara aman," penyanyi itu dilapor berkata.

Ogos lalu, seorang paderi gay berasal dari Malaysia, Ouyang Wen Fang yang menetap di Amerika Syarikat berkata akan mengadakan majlis perkahwinannya dengan seorang lelaki warga AS di Malaysia tahun depan, walaupun berdepan kecaman dan amaran.

Malaysia menyaksikan peningkatan aktiviti golongan gay dan kecenderungan seksual lain - yang diistilahkan sebagai LGBT; lesbian, gay, biseksual dan transgender - sejak beberapa tahun lalu, sebagai sebahagian peningkatan kesedaran terhadap hak asasi manusia yang bersumber Barat.

Salah satu aktiviti paling terbuka ialah Seksualiti Merdeka, acara tahunan melibatkan forum, ceramah dan pelbagai aktiviti seni yang diadakan secara konsisten sejak 2008.

Acara ini yang merupakan platform golongan gay menyebarkan publisiti tentang mereka dan menegaskan tuntutan hak mendapat sokongan pelbagai kumpulan, termasuk Majlis Peguam, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tenaganita dan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO).

Tahun ini, "pesta kebebasan seksualiti" ini dijadual diadakan pada 1 hingga 13 November di Pasar Seni, dengan perasmian oleh Datuk Ambiga Sreenevasan, aktivis hak asasi yang dipopularkan oleh himpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu.

Acara yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran hak kebebasan seksual itu pada tahun ini bertema Queer Without Fear, sebagai ekspresi menentang apa yang disifatkan sebagai homofobia dan diskriminasi terhadap golongan itu oleh masyarakat.

"Rakyat Malaysia kelihatan berani sejak beberapa tahun lalu. Kita telah menuntut pilihan raya yang bebas, keadilan, demokrasi. Ingatlah demokrasi bukan hak milik majoriti sahaja, atau yang berkuasa, atau yang paling lantang. Demokrasi milik semua," tegas gerakan itu sebagai kenyataan sempena Seksualiti Merdeka 2011.

Hal ini telah menampakkan implikasi yang luas, terutama melibatkan pertembungan kelompok konservatif dan liberal yang kini dapat diperhatikan bukan hanya dalam ruang politik.

Elemen gay kini semakin mudah kelihatan dalam budaya popular, termasuk karya-karya sastera, filem dan seni persembahan.

Perkembangan ini bakal menjadi satu isu kritikal dalam sosio-politik negara, menyaksikan pertembungan lebih keras dan menampakkan lagi kecenderungan ideologi dalam medan politik negara.

Friday, October 28, 2011

PAS ada 500 cyber troopers?

Pada 22 Oktober lalu, PAS mengadakan konvensyen media baharu dan teknologi maklumat di Taman Melewar, Gombak.

Laporan sebuah portal berita, yang tidak tepat dan memperbesarkan program itu memberi gambaran PAS sedang menyediakan 500 tentera siber untuk melawan kebangkitan tentera siber Umno.

Dalam suasana menjelang pilihan raya umum kini, berita seperti ini mudah untuk diperbesarkan, dan dilihat sebagai lebih besar berbanding apa yang sebenarnya.

Program tersebut lebih kepada persiapan melibatkan pekerja-pekerja teknologi maklumat bersifat teknikal berbanding penulis atau pengendali blog seperti yang digambarkan oleh laporan portal tersebut.

Blog-blog Umno mengulangi apa yang disebut oleh laporan portal itu, yang PAS sedang mempersiapkan 500 tentera siber melawan jentera media baharu Umno yang kini menguasai dunia blog politik tempatan.

Laporan itu sebenarnya mendedahkan sesuatu yang sukar diterima dan dilaksanakan, yakni jumlah tentera siber sehingga mencapai 500 orang.

Sekiranya diperhatikan dunia siber sejak seminggu lepas, belum kelihatan apa yang digembar-gemburkan itu. Sekiranya 500 tentera siber itu sudah bergerak, akan dapat dirasai pergerakan mereka itu,kerana 500 ialah angka yang besar.

Malah, sekiranya jumlah sebenar - jika ada tentera siber ini - jauh lebih kecil, misalnya 100, pergerakannya tetap akan dapat dirasai.

Hakikatnya, tentera siber PAS masih lagi bukan seperti yang dilaksanakan oleh Umno, dengan sekumpulan penulis blog yang didedikasikan untuk bergerak di barisan hadapan perang siber.

Selain media rasmi parti, perang siber PAS dilaksanakan secara sukarela oleh aktivis parti dan penyokong melalui blog dan media sosial seperti Facebook.

Mungkin disebabkan sifat sebagai parti pembangkang, tentera siber PAS masih bergerak secara bebas dan bersendirian tanpa sebarang usaha konkrit untuk menyusun gerakan mereka secara sistematik.

Tuesday, October 25, 2011

Isu murtad, ke mana arah sasarannya?

Oleh ABDUL HADI AWANG

Satu himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Kepada siapa ditujukan sekiranya ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil?

Dua perkara ini perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya, supaya kerja yang berjenama Islam mengikut landasannya yang sebenar dan menepati kebijaksanaan yang ditunjuk oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Kecintaan kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga adalah wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan mesej yang istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan memelihara iman yang ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang sama berjaya menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah Islamiah.

Perlu diambil iktibar, mengapa generasi awal Islam yang menghukum dengan keras terhadap orang Islam yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk Islam beribu kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan terhadap penganut agama lain.

Mengapa pula pada zaman kita ini diuar-uarkan ramai yang murtad sehingga membimbangkan dan diberitakan terlalu berkurangan orang yang berminat kepada Islam. Kalau ada sekalipun kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis daripada jabatan agama.

Sedangkan pada zaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru menganut Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang menjadi ketua negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang yang membina Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) bukan Islam Hadhari yang sudah hampir lenyap suaranya.

Satu masa yang masih dekat berlalunya, ada seorang hamba Allah berjawatan mufti, meuar-uarkan ribuan orang Melayu menjadi murtad dan masuk agama Kristian dan Hindu. Sehingga ada orang yang dipanggil polis dan mufti itu juga dipanggil polis untuk disoal siasat.

Namun beritanya hilang entah ke mana, entah diletak di bawah karpet atau di mana failnya. Wallahu’alam, terserah kepada pihak yang berkenaan sama ada ia berita benar atau provokasi yang sengaja dicetuskan.

Media Islam antarabangsa melaporkan perkembangan pesat Islam di Eropah, Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di England sahaja mereka yang baru masuk Islam mencecah setengah juta orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya kalangan terpelajar. Tiba-tiba masyarakat Islam di Malaysia dilanda taufan murtad.

Kesalahan murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam sahaja, tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam masyarakat majmuk bersama masyarakat Islam.

Orang Islam sendiri yang disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu yang murtad atau kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil terhadap rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan akhlaknya yang mulia. Adapun kalangan bukan Islam diajak berdialog secara ilmiah dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil. Inilah nas al-Quran dan Hadith.

Para ulama aqidah dan syariat menyatakan kepada umat Islam secara fardu ain, bahawa batas-batas iman dan kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila seseorang itu melakukan apa sahaja yang membatalkan iman dan Islamnya atau membatalkan dua kalimah syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan.

Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam, tetapi murtad juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau menganut sebahagian ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya kepada mana-mana ajaran Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun atau wajib dan sunat atau halal dan haram atau harus.

Murtad juga boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya secara ucapan, tulisan, kartun, lakonan drama dan sebagainya.

Adakah umat Islam hari ini diajar batas-batas iman dan kufur dan perkara-perkara yang membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar mempelajari batal sembahayang puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah murtad walaupun boleh dimaafkan kerana kejahilannya.

Rasulullah S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan di antara iman dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga. Walaupun semuanya wajib dicintai.

Tetapi aqidah Islam asas kepada selamatnya keluarga dan bangsa. Sehingga kaumnya menyedari bahawa selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat Islam dengan arab, sehingga melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam tidak berlaku zalim terhadap kaum lain. Slogan "Selamat Melayu Maka Selamat Islam" menandakan masih kabur kefahaman terhadap batas-batas iman dan kufur.

Seluruh kajian orentalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka mencapai kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah, hanya segelintir sahaja penganut Islam yang berjaya dimurtad meninggalkan agama Islam.

Maka dirancang melalui serangan pemikiran untuk memurtadkan umat Islam daripada mana-mana ajaran Islam melalui pendidikan, media dan budaya nafsu yang melalaikan. Bukan melalui cara meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi melakukan kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya menganut Islam.

Apabila munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki moden, dengan melaksanakan sekularisme yang memisahkan politik daripada agama Islam seperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah berani seorang tokoh besar ulama Turki Syeikh Mustafa Sobri, yang pernah menjadi Syeikhul Islam kepada kerajaan Uthmaniyyah.

Beliau menegaskan dalam buku yang dikarangnya: “Bahawa teori sekularisme yang memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam) adalah jalan pintas paling terdekat menuju ke arah murtad. Fatwa ini dikuatkan oleh Almarhum Mufti Arab Saudi Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Pengerusi Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf al-Qaradawi yang diberi anugerah Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.

PAS ingin mengambil contoh para Sahabat R.A. dan generasi awal umat Islam yang meneruskan perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi peristiwa murtad yang paling mencabar dalam seluruh sejarah Islam, dengan kejayaan mengambalikan semula ratusan ribu mereka yang murtad kepada Islam dan ramai kalangan selepas murtad berjaya menegakkan Islam sehingga menumbangkan kuasa besar Parsi yang zalim.

PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama di kalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan: Pencuri! Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang.

PAS tetap mengambil kira jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman yang menubuhkan Perkim dan berjaya mengislamkan tokoh-tokoh besar zamannya tanpa huru-hara, dan memerhati kalangan mereka yang gagal meneruskan perjuangannya dan Perkim hilang entah ke mana.

PAS juga mengambil kira kejayaan Almarhum Tun Datu Mustafa yang berjaya mengislamkan ribuan rakyat Sabah dengan pertubuhan United Sabah Islamic Association (USIA), dan memerhati mereka yang lupakan tugas dakwah susulan kerana ditindih oleh kayu-kayu balak di Sabah dan Sarawak.

PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah presiden PAS.

Friday, October 21, 2011

Pemuda PAS tegaskan sokong Himpun

Dewan Pemuda PAS Pusat terus menunjukkan sokongan kepada Perhimpunan Sejuta Umat yang dijadual esok di Shah Alam, Selangor, walaupun PAS secara rasmi tidak menyertai perhimpunan itu dengan alasan tidak mempolitikkan gerakan itu.

Timbalan Ketua Pemuda Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam dua tulisan di blog beliau menegaskan lagi sokongan untuk Himpun, yang dipercayai menggambarkan sentimen sejumlah besar ahli sayap parti itu.

Nik Abduh menerbitkan dua tulisan berkenaan Himpun selama dua hari berturut-turut pada Rabu dan Khamis, yang dilihat sebagai isyarat kepada Pemuda PAS dan membalas arahan halangan yang dikeluarkan oleh PAS Selangor.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan turut menyatakan sokongan melalui kenyataan pada Isnin, 17 Oktober.

Arahan menghalang ahli menyertai Himpun oleh PAS Selangor dikritik sebagai tidak perlu dan berlebihan oleh ramai ahli, selepas PAS pusat hanya menyatakan pendirian tidak menyertai tetapi tidak menyatakan halangan kepada ahli.

Rabu lalu, Nik Abduh dalam tulisan Mengapa PAS Menyokong Himpun? menjelaskan Pemuda PAS menyokong Himpun "dengan tujuan menunjukkan keprihatinan bersama terhadap usaha menyelamatkan dan memperkasakan akidah umat Islam daripada diganggu gugat oleh musuh-musuh Islam yang berusaha merosakkan akidah umat."

"Justeru PAS memandang tinggi usaha seluruh umat Islam untuk berhimpun memahamkan umat dan mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu yang lebih tegas melalui undang-undang yang diaktakan demi mencegah pencabulan ke atas maruah dan ruh umat Islam," tegasnya dalam pandangan yang selari dengan pendirian Himpun.

Pemuda PAS ialah salah sebuah kumpulan yang tersenarai sebagai penyokong Himpun, dengan ahlinya terlibat aktif dalam kumpulan yang menjadi penganjur bersama.

Himpun dikritik banyak pihak sebagai membawa pendekatan yang salah, termasuk oleh pemimpin PAS sendiri Dr Mujahid Yusof, yang menyatakan dialog antara agama sebagai pilihan yang lebih baik.

Mujahid juga dilapor melahirkan kebimbangan Himpun akan dieksploit oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda jahat - yang dipercayai merujuk kepada Umno dan penyokongnya - dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara agama.

Pengerusi bersama Himpun, Dr Yusri Mohamad dilapor kesal dengan kenyataan beberapa pemimpin politik Melayu yang didakwa kurang sensitif, termasuk mendakwa perhimpunan itu bukan wadah terbaik menangani isu seperti murtad.

Yusri dilapor berkata pemimpin politik Muslim sewajarnya menyokong Himpun walaupun enggan menyertai secara langsung.

Himpun juga berpendirian mengelakkan perhimpunan itu dipolitikkan tetapi mengalu-alukan penyertaan semua pihak beragama Islam.

Himpun juga memberi jaminan tidak akan membenarkan sebarang provokasi seperti dalam bentuk tulisan di sepanduk dibawa oleh peserta himpunan.

Perhimpunan seperti ini pernah diadakan pada Julai 2006 di Masjid Wilayah Jalan Duta dengan memberi tumpuan kepada isu murtad Lina Joy dan implikasi perundangannya dan tuntutan Majlis Antara Agama.

Perhimpunan itu juga digerakkan oleh Pertubuhan Pembela Islam dan Teras dan turut disertai wakil-wakil PAS.

Perhimpunan kali ini yang diadakan menyusul kes gereja Metodis yang dipercayai berusaha memurtadkan umat Muslim dibimbangi PAS bakal mendatangkan implikasi politik yang negatif terhadap kerajaan negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Kes tersebut menjadi kes terbaharu yang meletakkan PAS dalam kedudukan defensif dan dieksploit oleh Umno untuk mengukuhkan kempen negatif terhadap PAS, terutama di Selangor yang sebelum ini dikuasai Umno.

Thursday, October 20, 2011

Plot bunuh duta Saudi, KL tidak nyata pendirian jelas

Satu kenyataan menteri luar Malaysia yang dilaporkan Isnin lalu, yang mengulas satu isu besar di peringkat antarabangsa kelihatan telah berlalu tanpa diberi perhatian sewajarnya.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa kerajaan Iran terlibat dalam komplot untuk membunuh duta Arab Saudi di Washington, Adel al-Jubeir.

Dua rakyat Iran didakwa mempunyai hubungan dengan pengawal revolusi Iran dikatakan terlibat dengan komplot itu.

Seorang daripadanya, Manssor Arbabsiar yang memegang kerakyatan AS telah ditahan manakala seorang lagi, Gholam Shakuri berada di Iran.

Kenyataan Datuk Seri Anifah Aman itu, yang dilapor dalam satu berita ringkas lima perenggan oleh Bernama dan turut disiarkan Utusan Malaysia tidak memperlihatkan satu pendirian yang tegas dan bebas.

Laporan itu memperlihatkan satu pendirian yang mengelirukan, kerana mengutuk sesuatu yang didakwa dan tidak terbukti, dan bukan menggesa tindakan siasatan dijalankan.

Pendirian "mengutuk plot itu jika terbukti" seperti melepaskan batuk di tangga, kerana membuat satu kenyataan isu besar melibatkan hubungan penting Kuala Lumpur dengan negara lain tanpa menjelaskan sebarang hal penting.

Pada masa sama, satu kenyataan Anifah yang dipetik dalam laporan itu memperlihatkan pendirian bersungguh yang memperlihatkan Kuala Lumpur meyakini kebenaran plot yang didakwa itu.

"Kami mengutuk sekerans-kerasnya sebarang tindakan untuk membunuh seorang wakil diplomatik sebuah negara berdaulat yang merupakan orang yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa," kata Anifah dipetik Bernama.

Dakwaan yang ditimbulkan oleh peguam negara AS itu berpotensi meningkatkan lagi ketegangan di wilayah Teluk Parsi dan keseluruhan Asia Barat, dan menimbulkan juga kemungkinan konflik antara dua kuasa serantau itu.

Iran, dalam satu kenyataan kementerian luarnya menolak dakwaan itu yang disifatkan sebagai "tidak logik dan semata-mata satu pertunjukan media dan politik."

"Tuduhan tersebut dihasilkan oleh seorang agen rahsia yang tersembunyi, tidak dikenali berdasarkan kenyataan, tekaan dan sangkaan oleh individu-individu yang terlibat dalam penyeludupan dadah!" tegas kementerian luar Iran dalam kenyataannya.

Kenyataan rasmi kerajaan Iran itu, dan kenyataan pemimpinnya sebelum ini mengelak daripada mengecam Arab Saudi, memperlihatkan sikap berhati-hati Tehran dalam menangani politik serantau yang sedang menyaksikan potensi perubahan besar.

Menurut kenyataan itu, strategi Iran terhadap negara Arab terutama Arab Saudi "didasarkan pada keamanan, persaudaraan dan kerjasama sepenuhnya" untuk mengekalkan keamanan Asia Barat dan Teluk Parsi.

Iran dan Saudi ialah pesaing serantau yang sentiasa berusaha mengatasi dan menyekat pengaruh satu sama lain sejak tercetusnya revolusi di Iran pada 1979 yang mengubah rejim dan sistem pemerintahan.

Saudi melihat kebangkitan rakyat di Bahrain dan timur Saudi yang majoriti penduduknya Syiah sebagai satu komplot Iran untuk meluaskan pengaruh serantau.

Walau bagaimanapun, Iran dilihat cuba mencapai satu bentuk persetujuan dengan Saudi untuk mengelakkan daripada persaingan kedua-dua kuasa serantau tersebut mencetuskan konflik.

Pada Julai lalu, Menteri Pertahanan Iran Ahmad Vahidi dilapor berkata bahawa AS "sedang berusaha untuk memecah-belahkan negara serantau" untuk mengelakkan penubuhan sebuah aturan keselamatan serantau, yang berpotensi mengukuhkan pengaruh Iran atau mengawal persaingan Iran dengan Saudi.

Kenyataan terbaru Kuala Lumpur ini merupakan yang terbaharu memperlihatkan pendirian yang kelihatan tidak berdasarkan penilaian yang sewajarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pernah mengaitkan pembangkang Islamis Mesir dengan terorisme, menyokong tindakan keras Riyadh dan negara serantau di Bahrain dan mendakwa dunia akan menjadi lebih aman ekoran kematian Osama bin Laden.

Wednesday, October 19, 2011

Tolak Himpun, PAS ambil jalan selamat

PAS telah mengambil keputusan rasmi tidak terlibat dalam Perhimpunan Sejuta Umat atau Himpun yang dijadual 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Sebelum itu, PAS Selangor telah menunjukkan rasa tidak bersetuju dengan perhimpunan itu, yang kesannya boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu yang dikuasai PKR dan DAP.

Ekoran keputusan pusat itu, PAS Selangor pimpinan Dr Rani Osman mengeluarkan arahan kepada ahlinya supaya tidak menghadiri perhimpunan itu.

Himpun menggabungkan kumpulan-kumpulan Islam pelbagai aliran dan dipengerusikan secara bersama oleh aktivis sosial Azmi Abdul Hamid dan Dr Yusri Mohamad dari Pertubuhan Pembela Islam, Pembela, yang aktif dalam menangani isu berkaitan Islam yang kurang mendapat perhatian parti-parti politik sejak kebelakangan ini.

Himpun telah mendapat sokongan banyak kumpulan Islam, pertubuhan pelajar dan parti politik, termasuk Dewan Pemuda PAS dan pemuda dan wanita Umno, dua parti utama Melayu yang bertentangan dalam politik.

Salah sebuah penganjur bersama Himpun, Forkad atau Front Bertindak Anti Murtad digerakkan oleh aktivis PAS, termasuk setiausahanya Kamaruzaman Mohamad yang juga seorang pemimpin Pemuda PAS peringkat pusat.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam kenyataan 17 Oktober lalu menyatakan sokongan kepada Himpun yang sama dengan pendiriannya terhadap perhimpunan Bersih kedua Julai lalu.

"Dewan Pemuda PAS mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 6 buah NGO Bersih 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihan raya negara kita," menurut Nasrudin.

"Insya Allah, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober kelak. Semoga himpunan tersebut berjaya mencapai matlamat dan menepati objektif yang digariskan bersama berkat dan rahmat Allah SWT."

Pendirian PAS ini dilihat sebagai satu jalan selamat untuk tidak bersama satu aksi massa yang boleh memberi kesan negatif terhadap kerajaan negeri Selangor, negeri tempat berlaku kontroversi paling panas berhubung isu menyentuh sensitiviti umat Muslim terutama murtad dan penjualan arak.

Himpun secara efektif boleh menjadi satu program yang menjejaskan kerajaan negeri Selangor dan PAS di negeri itu yang mengambil pendirian selamat berhubung isu penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik dan siasatan pihak berkuasa agama terhadap sebuah gereja beberapa bulan lalu.

PAS dan PR kelihatan mengesyaki peranan Umno dalam perhimpunan itu, yang mempunyai rancangan merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Walau bagaimanapun, pendirian PAS ini menambahkan lagi kritikan bahawa parti itu tunduk kepada DAP dan PKR yang sekular dan liberal.

Perkembangan ini juga menyaksikan sikap pragmatik PAS yang banyak diperlihatkan sejak pilihan raya umum yang lalu, terutama di negeri Selangor. PAS mengambil pendirian berseberangan dengan Umno dalam banyak kes, sehingga kelihatan seolah-olah kedua-dua parti tersebut telah mengubah posisi.

PAS satu masa dahulu pernah mendesak penutupan kilang-kilang arak di Selangor, dalam kritikan konsistennya terhadap Umno yang menguasai Selangor.

Walau bagaimanapun, selepas menjadi sebahgian kerajaan negeri, parti itu dikritik kerana tidak berupaya menghalang penjualan arak di kedai 24 jam di kawasan majoriti Muslim di negeri Selangor, langkah yang jauh lebih kecil berbanding menutup kilang arak.

PAS juga sebelum ini mengkritik hebat kerajaan Umno Selangor dalam beberapa isu besar berkaitan Islam, termasuk melibatkan pemecatan mufti negeri satu masa dulu, Allahyarham Datuk Ishak Baharom ekoran kes penangkapan peserta ratu cantik beragama Islam.

Pendirian PAS itu juga memperlihatkan perbezaan dalaman berhubung isu sensitif tersebut. Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menunjukkan sokongan kepada perhimpunan itu, dan menyatakan pendirian tegas dalam waancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lalu.

Hasan, yang sering bertentangan pendapat dengan Khalid Samad yang kini timbalan pesuruhjaya di Selangor, sebelum ini dikritik hebat ekoran sokongannya terhadap siasatan terhadap sebuah gereja Metodis yang didakwa menjalankan usaha memurtadkan orang Muslim.

Sikap terhadap Himpun juga dipercayai turut disebabkan oleh penggerak-penggeraknya yang turut melibatkan Yusri, bekas presiden Abim yang kini bertentangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas pemimpin pertubuhan itu yang masih menguasai haluannya.

Himpun disifatkan sesetengah pihak sebagai anti-Kristian dan dibimbangi dieksploit oleh pihak tertentu yang berkepentingan, dan dikritik sebagai mengambil pendekatan salah dalam menangani isu akidah umat Muslim.

Yusri, pengerusi bersama Himpun walau bagaimanapun dilapor berkata pertubuhan itu tidak dikuasai mana-mana parti politik dan tidak dilaksanakan untuk menjadikan bukan Muslim sebagai musuh.

Pendatang asing tanpa izin: Malaysia tunggu saat kehancuran?

Isu pendatang tanpa izin ialah satu isu yang sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa Malaysia kerana pelbagai sebab. Antaranya Malaysia memerlukan tenaga kerja yang besar di pelbagai sektor, membuka ruang dan permintaan kepada buruh murah yang menjadi faktor kedatangan pendatang asing. Terkini, media tempatan mula memberi perhatian kepada pendatang asing, yang dikaitkan dengan pengundi hantu dan juga pendatang yang menjadi penjenayah. Artikel di bawah, tulisan ARIF ATAN, diterbitkan dalam akhbar Siasah pada Jun, 2010.

Alangkah ramainya pekerja asing yang mencari rezeki di negara ini. Tidak kurang juga pendatang asing yang masuk secara haram. Sebahagia besar hanya datang sebagai penjenayah termasuk perompak dan pengedar dadah serta pelacur di sebalik “topeng” permit kerja, pas pelajar dan pelancong.

Dalam persidangan Dewan Negara pada 3 Mei 2010 lalu, didedahkan statitik Jabatan Imigresen. Sehingga 31 Disember 2009, terdapat seramai 1.92 juta pendatang asing berpermit masuk ke tanahair ini iaitu warga Indonesia (991,940 orang), Bangladesh (319,020), Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382).

Namun, melihatkan kelibat mereka yang berada di mana-mana sahaja sehingga juruwang pusat beli-belah, pelayan restoran mewah dan pekerja hotel pun mereka juga walaupun tempat itu boleh diisi oleh anak tempatan, pastilah angka mereka jauh lebih besar lagi!

Apakah yang akan berlaku kepada aspek ekoposial (ekonomi-politik-sosial) Malaysia nanti paling kurang 50 tahun akan datang?

Kita semua maklum akibat kecuaian raja-raja Melayu dahulu maka satu demi satu negeri-negeri Melayu jatuh ke tangan penjajah melalui tipu helah yang dibayangi dengan tawaran harta dan kuasa.

Antaranya, bagaimana sultan Melaka boleh mudah terpedaya dengan Belanda yang mulanya konon mahu membeli tanah sebesar belulang lembu dengan wang sepenuh-penuhnya di atas belulang tersebut.

Singapura yang kini berwajah Hong Kong pun adalah akibat dijual raja. Mudah benar raja dan para pembesarnya menurunkan tandatangan dalam surat perjanjian dengan Inggeris. Akibatnya, nama Stamford Raffles yang dibanggakan sebagai pengasas Singapura pada tahun 1819 sekaligus menutup sejarah republik itu yang sebenarnya bermula dengan pemerintahan bangsa Melayu. Begitu jugalah yang berlaku kepada Pulau Pinang yang terlepas ke tangan Francis Light, Pattani ke tangan Siam dan negeri-negeri Melayu lain.

Kedatangan dan penguasaan penjajah khususnya Inggeris membawa bersama-samanya masuk beratus-ribu tenaga kerja asing dari China dan India. Akibatnya, berlaku perubahan mendadak dari segi komposisi penduduk Tanah Melayu. Kaum pendatang yang juga dahulunya digelar juga “orang-orang dagang” bertambah ramai sehingga mengatasi jumlah bangsa Melayu serta membolot kekayaan hasil-mahsul atau kek ekonomi tanahair ini.

Misalnya, jumlah penduduk Cina di Singapura telah meningkat daripada 3,000 orang pada tahun 1820 kepada 50,043 pada tahun 1860 (LA Mills dalam British Malaya 1824-1867 (1966), Itu baru dalam tempoh tidak sampai separuh abad! Menurut catatan WL Blyte dalam Kamaruzzaman Abd Kadir (1987) pula, jumlah imigran Cina di Selangor telah mencecah 65 peratus daripada penduduk negeri itu pada tahun 1901.

Di Kuala Lumpur dan Selangor juga, penglibatan orang Melayu dalam perniagaan runcit dan pasar pada tahun 1850-an jauh berkurang berbanding awal tahun 1830-an akibat daripada kemasukan ramainya kaum imigran terutamanya Cina. Demikian kenyataan daripada Hj Abdullah Hukum bin Abdul Rahim, pengasas Kampung Abdullah Hukum (kini tinggal sejarah) serta antara tokoh penting yang meneroka Kuala Lumpur dalam temubual pengarang Warta Ahad dari 6 Oktober 1935 hingga 17 November 1935. (Maklumat lanjut dalam Adnan Hj Nawang, Kuala Lumpur: Haji Abdullah Hukum (1997)

Jadi, dengan angka berjuta-juta pendatang asing termasuk dari Myanmar, Vietnam, Nepal dan Afrika yang merebut rezeki secara halal mahupun haram di Malaysia yang enggan diambil peduli oleh pemerintah tidak mustahil akan mengulang “musibah” yang pernah berlaku dahulu dan meranapkan kelangsungan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu kelak.

Berhubung dengan impak buruk kebanjiran imigran, disertakan petikan dari novel sebelum Perang Dunia Kedua bertajuk Melati Kota Bharu karya Abdul Kadir Adabi (1901-1944) untuk renungan kita bersama: “..kita sendiri memperlemahkan diri kita dan kita terima polisi pintu terbuka itu dengan tiada bergerak-gerak …jikalau polisi itu tiada diubahkan di dalam beberapa tahun ke hadapan ini … kita menderita keazaban …dan merbahayanya …seperti yang ditanggung oleh ummah Palestin … atau jika tidak maka tiadalah jauh watan kita Semenanjung Tanah Melayu ini … seperti Chzechoslovakia…”

Melihatkan sejarah lalu dan “amaran” oleh pengarang silam akan bahayanya kebanjiran pendatang asing tanpa kawalan, apakah kita mahu hanya berpeluk tubuh menantikan saat kehancuran itu?

Friday, October 7, 2011

Belanjawan 2012, belanja besar untuk pilihan raya

Seperti dijangka, Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Abdul Razak mengambil peluang pembentangan belanjawan 2012 dengan mengumumkan pelbagai ganjaran kewangan.

Kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kini bersaing dalam mengemukakan pelan-pelan populis menjelang pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.

Penjawat awam, jumlah pengundi yang besar dalam pilihan raya nanti, mendapat setengah bulan lagi bonus dengan jumlah minimum RM500, dan bantuan RM500 kepada pesara kerajaan.

Tindakan Najib ini menyaingi janji PR dalam belanjawan alternatif yang menjanjikan kenaikan gaji untuk 1.3 juta kakitangan awam.

Najib juga menjadikan Skim Rumah Pertamaku sebagai satu lagi tawaran menarik kepada rakyat, dengan meningkatkan jumlah maksimum pinjaman daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu.

Skim perumahan merupakan salah satu senjata penting Najib, ketika negara menyaksikan peningkatan harga rumah yang melambung di luar kemampuan sebahagian besar rakyat.

Isu politik yang hangat sejak menjelang Hari Malaysia yang lalu melibatkan anggota pasukan keselamatan, turut dieksploit apabila bantuan sekali berjumlah RM3,000 kepada balu, duda dan keluarga tentera.

Kedai Rakyat 1 Malaysia, instrumen kerajaan membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barangan juga diperbanyakkan jumlahnya di seluruh negara.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bawah RM3,000, melibatkan 3.4 juta isi rumah.

Satu lagi ganjaran ialah pemansuhan yuran sekolah rendah dan menengah, yang pertama kali dilakukan dalam sejarah.

Generasi muda turut mendapat perhatian Najib apabila pembinaan gelanggang sukan futsal yang semakin popular diperbanyakkan, dan menubuh sebuah syarikat modal teroka untuk belia.

Ganjaran-ganjaran yang diumumkan ini meliputi satu jumlah besar pengundi dan meliputi sebahagian besar rakyat yang berpendapatan sederhana hingga rendah.

Isu utama kenakan kos hidup ditangani dengan menjanjikan ganjaran kewangan, tetapi tidak menjelaskan langkah yang lebih jelas untuk menangani inflasi dan isu lain seperti undang-undang untuk menangani monopoli dan pelbagai amalan pemodal yang menjejaskan pengguna.

PR dalam belanjawan yang dibentangkan menjadikan isu menangani monopoli daripada syarikat tenaga hingga kepada syarikat teksi.

Janji populis PR melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam walau bagaimanapun diatasi oleh Najib melalui skim baharu dan bonus tambahan yang menjadikan bonus tahun 2011 kepada sebulan.

Ganjaran besar kepada sektor awam ini mengelak daripada menangani isu reformasi sektor ini, yang dikritik ramai sebagai terlalu besar dan tidak efisyen, lebih-lebih lagi memandangkan saiz populasi Malaysia yang relatif kecil.

Turut akan timbul ialah isu kaum disebabkan jumlah besar pekerja sektor awam yang terdiri daripada orang Melayu.

Kedai 1 Malaysia yang menawarkan harga lebih murah telah pun mencetuskan rasa kurang senang peniaga dan pemborong yang sebahagian besarnya kaum Cina.

Cukai 10 peratus untuk menangani gelembung hartanah yang melibatkan sebahagian besarnya pemaju dan pelabur kaum Cina juga boleh menyentuh sensitiviti pihak terbabit.

Janji-janji dalam belanjawan kali ini menunjukkan usaha membina sentimen feel good oleh pemerintah yang belum pernah disaksikan sebelum ini, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam persaingan menawan Putrajaya, kedua-dua BN dan PR kini semakin mudah mengemukakan janji dan retorik populis yang pelaksanaannya tidak dapat dijamin akan mencapai apa yang menjadi matlamat, seperti membantu menangani kos hidup, kerana kesan lain seperti inflasi dan perkembangan global lain tidak dapat dijangka.

Belanjawan 2012 kerajaan ini dilihat membawa banyak janji menarik untuk rakyat dan berpotensi mendapatkan undi yang diperlukan untuk pilihan raya nanti.

Soalnya kini ialah mampukah momentum yang dibina ini terus memberi kesan hingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Tindakan seterusnya pemerintah dan pembangkang PR dalam bulan-bulan akan datang kini menjadi semakin kritikal dalam menentukan pilihan pengundi nanti.

Sunday, October 2, 2011

MCA guna hudud untuk tarik undi, jejas sokongan DAP

MCA, parti komponen Barisan Nasional yang tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 lalu kelihatan terdesak untuk meningkatkan kedudukan dalam BN apabila menjadikan hudud sebagai bahan utama kempen.

Parti Cina utama BN itu dilihat mengambil kesempatan daripada kontroversi yang tercetus dengan memperlihatkan diri sebagai penentang terkuat undang-undang Islam itu, dalam persaingannya dengan DAP, sebuah parti Cina dalam Pakatan Rakyat.

MCA sebelum ini mengugut untuk meninggalkan Umno sekiranya parti itu melaksanakan hudud, pendirian yang turut disuarakan oleh Gerakan, parti Cina yang kubu kuatnya Pulau Pinang ditawan oleh DAP dalam pilihan raya umum yang lalu.

Ugutan itu sesuatu yang jelas sekali bersifat retorik murahan untuk menarik perhatian, kerana Umno bersikap realisitik dan menyedari kedudukannya dalam komponen BN tidak membenarkannya melaksanakan undang-undang itu.

MCA kelihatan mahu menarik perhatian masyarakat Cina yang kini tertumpu pada DAP yang sedang bertembung dengan PAS berhubung isu hudud, dengan menunjukkan pendirian lebih keras terhadap hudud, dan pendekatan yang lebih berkesan berbanding DAP.

Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek dalam ucapan di perhimpunan agung ke-58 parti itu juga menggesa ahlinya menghukum semua parti PR dalam pilihan raya akan datang kerana agenda PAS mahu melaksanakan hudud.

Ugutan untuk tidak bersama Umno itu juga secara tidak langsung menjadi satu cabaran kepada DAP untuk meninggalkan PAS, sekutunya dalam PR yang bertegas mahu melaksanakan undang-undang itu.

Melalui akhbar The Star yang dikuasai MCA, isu hudud kelihatan dikemukakan sebagai berita utama, menarik perhatian ramai, terutama kumpulan sasaran pengundi Cina kepada isu tersebut.

Isu hudud boleh menjejaskan sokongan bukan Melayu kepada PR dan DAP, dan memberi faedah terus kepada MCA.

DAP sebelum ini menjadikan hudud dan isu berkaitan negara Islam sebagai isu pemutus (deal breaker) dalam hubungannya dengan rakan-rakan pakatan, meninggalkan dua gabungan pembangkang sebelum PR disebabkan isu negara Islam.

Walau bagaimanapun, manfaat besar yang diperolehi melalui PR menjadikannya lebih pragmatik dan terus kekal bersama PAS dan PKR, walaupun memperlihatkan posisi yang tegas.

DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang dan mempunyai kedudukan yang kuat di Selangor. Kedua-dua negeri ialah negeri maju yang menjadi pusat kegiatan ekonomi, termasuk pelaburan asing.

Chua turut mengecam DAP yang didakwa mengamalkan politik kaum yang sempit dengan hanya bertanding di kawasan Cina sehingga menjadikan kaum Cina terus di kem pembangkang.

MCA cuba mengemukakan kedudukannya dalam kerajaan BN sebagai lebih bermanfaat kepada orang Cina berbanding DAP dalam pembangkang.

Kedudukan MCA dalam BN selepas Pilihan Raya Umum ke-13 bakal bergantung kepada prestasinya memenangi kerusi Cina.

Kekalahan teruk MCA dalam pilihan raya umum lalu menjadikan BN dikuasai oleh Umno. Parti Melayu yang menguasai BN itu kemudian dilihat bersendirian sejak 2008, dan kurang mendapat sokongan parti komponen lain dalam berdepan pelbagai isu.

Saturday, October 1, 2011

PAS 60 tahun: Peluang dan cabaran gerakan Islam

PAS, parti berideologi Islam dan parti Melayu kedua terbesar di Malaysia telah mencapai usia 60 tahun, satu tempoh yang panjang dihiasi sejarah yang mencabar.

Pada usia 60 tahun, PAS kini menerajui kerajaan di dua negeri; Kelantan dan Kedah dan rakan pakatan pemerintah di Selangor.

Dalam politik nasional, PAS menjadi rakan penting Pakatan Rakyat, sebagai parti dengan ahli dan jentera paling ramai, paling berkesan dan paling kohesif.

Kualiti tersebut menjadikannya anggota paling kritikal kepada gabungan PR, gabungan yang kini menjadi satu-satunya pesaing Barisan Nasional yang kredibel.

Selain menyumbang kepada kewujudan dan keutuhan sebuah pakatan pembangkang, PAS juga sebagai sebuah parti telah melalui pelbagai perubahan, seperti kewujudan kumpulan penyokong bukan Muslim.

Dari segi imej kepada rakyat bukan Muslim, PAS telah melalui perubahan yang dramatik, seperti yang ditunjukkan melalui penubuhan dewan untuk bukan Muslim dan pendirian pragmatik berhubung isu agama dan kaum bukan Melayu-Muslim.

Kedudukan PAS kini sebagai ahli penting PR membuktikan satu perjalanan panjang yang telah dilalui dan pencapaian yang telah dicapai.

Sebagai sebuah parti politik, PAS telah melalui pelbagai debat dalaman yang telah membentuk banyak sikap dan pendirian baharu berhubung penyertaannya dalam politik.

PAS sentiasa melalui proses-proses yang membina, menjadikannya lebih matang dan lebih memahami keperluan penglibatan dalam politik nasional sebagai parti yang benar-benar bersifat nasional.

Walau bagaimanapun, beberapa isu masih perlu ditangani dengan segera dan tegas oleh PAS, sebagai proses memantapkan lagi parti sebagai sebuah parti nasional dan juga pada masa sama sebuah gerakan Islam, seperti yang ditegaskan lagi oleh presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di majlis sambutan 60 tahun.

PAS perlu memantapkan lagi organisasi parti dalam hal melibatkan pendirian rasmi isu, hubungan parti peringkat nasional dengan negeri, pengurusan melibatkan latihan, penerangan dan banyak lagi hal penting.

Satu yang masih menjadi isu ialah kenyataan yang terlalu mudah dikeluarkan oleh pemimpin parti dalam pelbagai isu, termasuk bidang yang memerlukan pertimbangan lebih mendalam.

Hal ini akan menyediakan parti untuk bergerak sebagai sebuah parti nasional dan menampakkan kredibiliti kepada umum.

Dalam hal berkaitan pengisian kemenangan, PAS perlu meningkatkan lagi keupayaan dan tenaga yang boleh dimanfaatkan untuk menyumbang kepada jentera pentadbiran, daripada kerajaan tempatan hingga ke peringkat pusat.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, satu kritikan yang banyak diutarakan oleh pemerhati parti ialah ketiadaan atau kekurangan individu yang layak untuk memenuhi posisi-posisi penting dalam hal ehwal kerajaan.

Berhubung isu yang sama, PAS memerlukan pakar-pakar yang cukup dalam pelbagai bidang, yang mempunyai disiplin dalam bidang masing-masing tanpa dipengaruhi secara tidak wajar oleh politik, terutama politik puak dan parti.

Budaya kajian, seperti yang dibayangkan melalui penubuhan Pusat Penyelidikan PAS, perlu menjadi satu komponen penting dalam parti.

Pada masa sama, hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan pelbagai bidang, daripada alam sekitar hingga isu-isu hak asasi dan kepentingan spesifik tertentu perlu ditingkatkan, untuk mendapat pandangan yang diperlukan daripada kumpulan tersebut.

Sekiranya berjaya menguasai pemerintahan pusat, PAS akan perlu kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang, yang sebahagiannya sudah dimiliki parti-parti sekutu dalam PR.

Di peringkat kerjasama dengan parti-parti rakan, PAS perlu bersikap realistik dan berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai ahli gabungan, serta menyedari penyertaan dalam sebuah pakatan memerlukan kompromi dan tindakan sebagai ahli pakatan.

Dalam hal ini, PAS perlu menyedari apa manfaat yang boleh diperolehi dan berusaha agar apa yang diperjuangkan menjadi antara agenda utama pakatan.

Kejayaan PAS tiba pada titik penting usia 60 tahun, yang meliputi tempoh sebelum merdeka hingga era suram parti pemerintah membuktikan keberkesanan dan kejayaan PAS sebagai sebuah parti dan gerakan Islam.

Segala pengajaran yang telah diperolehi sepanjang tempoh 60 tahun ini perlu dimanfaatkan untuk menjadi lebih bersedia menangani peluang dan cabaran seterusnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...