Thursday, July 31, 2008

PAS tolak sebarang kerjasama dengan Umno

KUALA LUMPUR, 31 Julai: Selepas bermesyuarat selama lima jam, PAS memutuskan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Umno samada di peringkat negeri atau pusat tetapi sedia berjumpa dengan mana-mana pihak di negara ini.

"Oleh itu, tidak berbangkit soal PAS menerima tawaran dari Umno," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada sidang media selepas mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau dengan ditemani oleh Setiausaha Agung, Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua Muslimat, Nuridah Salleh membaca keputusan tiga perkara dalam mesyuarat itu hari ini.

Keputusan itu adalah:-

1) PAS tidak akan ada sebarang kerjasama dengan Umno.
2) PAS terbuka untuk bertemu dengan semua pihak, NGO atau parti politik.
3) PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat dan akan bergerak secara aktif dan positif dalam Pakatan. Untuk itu PAS akan berusaha untuk memujuk anggota Parlimen Umno untuk menyertai PAS atau PKR dalam Pakatan bagi membentu kerajaan baru.

Ketika menjawab persoalan dari wartawan, Abdul Hadi berkata, selepas ini jika ada sebarang pertemuan tidak akan dijalankan secara sulit lagi.

PAS juga, katanya, menghargai sokongan orang bukan Islam dan akan meningkat pengiktirafan kepada mereka selepas ini.

PAS juga, katanya, menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mencadangkan kerajaan menghakimi kes dakwaan terhadap beliau menurut hukum Islam.

"Jika tidak ada, Umno bertanggungjawab untuk membolehkannya," kata Abdul Hadi dalam sidang media yang berlangsung hanya kira-kira lima minit bermula jam tiga petang itu.

Monday, July 28, 2008

Tiada bukti Saiful diliwat: PKR tunggu reaksi polis

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunggu reaksi dari kerajaan khasnya polis berikutan laporan perubatan mengesahkan tidak ada sebarang kejadian liwat berlaku ke atas Mohd. Saiful Bukhari bin Azlan ketika dia membuat laporan polis 28 Jun lalu.

Pengarah Strategik PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, laporan dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) mengesahkan tidak ada sebarang kejadian sodomi berlaku ke atas Saiful.

"Kami juga mendapat pengesahan secara mulut dari Hospital kerajaan yang membuat pemeriksaan kedua selepas Pusrawi, bahawa pemeriksaan mereka juga mendapat hasil yang sama iaitu tidak ada tanda-tanda sodomi berlaku ke atas Saiful," kata Saifudin kepada Siasah.

Menurut laporan pemeriksaan itu, Pusrawi mengesahkan, tidak ada tanda-tanda kejadian sodomi berlaku ke atas Saiful iaitu "tiada pendarahan aktif, tiada parut, tiada luka dan tiada nanah." selepas pemeriksaan dibuat ke atas bahagian sulit Saiful.

Pemeriksaan itu dilakukan oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid terhadap Saiful pada 28 Jun sebelum Saiful membuat laporan polis. (lihat laporan bertulis di bawah)

Untuk mengesahkan pemeriksaan itu, Saiful diminta membuat pemeriksaan yang sama di hospital kerajaan.

Ekoran itu, Saiful membuat pemeriksaan di hospital kerajaan dan membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Sehingga kini, pihak hospital kerajaan berkenaan tidak memberikan sebarang laporan bertulis kepada Anwar.

"Kami kini menunggu apa reaksi dari kerajaan berkaitan dengan laporan Pusrawi ini," kata Saifudin yang juga anggota Parlimen Machang kepada Siasah.

Semalam, Malysia Today melaporkan, Dr Mohamad Osman pernah ditahan tiga hari oleh polis selepas itu dan kini sedang bersembunyi bersama keluarganya.

PAS adakan Mesyuarat Khas 31 Julai

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Para pemimpin PAS dijangka akan mencapai kata sepakat yang muktamad terhadap status perhubungan parti itu dengan Umno selepas mesyuarat khas mereka 31 Julai ini.

Mesyuarat bersama anggota Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat itu dipanggil khas untuk membincangkan hubungan parti Islam itu dengan Umno ekoran kekeliruan yang berlaku tentangnya.

Mesyuarat itu diadakan selepas seminggu Majlis Syura Ulamak mengadakan pertemuan mereka 23 Julai lepas di Kota Bharu.

Dalam mesyuarat di Kota Bharu itu, pemimpin Majlis Syura memutuskan tidak akan ada pengkongsian kuasa dengan Umno dan muzakarah sudah tutup fail, yang ada hanya pertemuan biasa sahaja iaitu muqabalah.

Menurut sumber, mesyuarat ini diadakan ekoran kecelaruan kenyataan dan pendapat di kalangan pemimpin PAS berkaitan dengan isu hubungan antara PAS dan Umno.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga telah campur tangan dengan mendakwa PAS tidak mempunyai kredibeliti lagi apabila berbincang dengan Umno ketika bekerjasama dengan parti itu dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, Karpal meminta Pakatan mengkaji kedudukan PAS dalam persepakatan itu.

Dalam masa yang sama, ada juga pihak yang berpendapat hanya pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh meredakan segala kegelisahan dalam Pakatan ini.

Oleh itu, mereka meminta agar mesyuarat di kalangan para pemimpin utama Pakatan diadakan segera.

Friday, July 25, 2008

Anwar perlu bertanding pilihan raya kecil - Husam

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, langkah seterusnya bagi Pakatan Rakyat ialah bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat bertanding di dalam pilihanraya kecil dan dari situ, sikap UMNO boleh diukur nanti.

“Kemenangan Datuk Seri Anwar boleh menggugat Abdullah dan UMNO. Untuk itu, lebih baik UMNO menguruskan kusut masai parti mereka tanpa melibatkan orang lain,” kata beliau dalam kenyataan terbarunya sebagaimana yang disiarkan dalam blog beliau http://www.husammusa.com/.,

Beliau juga meminta Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib agar menumpukan perhatian menyelamatkan partinya yang sedang menuju kehancuran tanpa cuba menggunakan parti lain untuk membantunya.

“Kerajaan UMNO yang mereput tidak boleh diselamatkan dengan gimmick seperti itu,” kata Husam mengulas kenyataan Muhamad kononnya muzakarah Umno dengan PAS akan diteruskan.

Padahal, Majlis Syura Ulamak PAS telah memutuskan fail muzakarah sudah tutup yang ada hanya pertemuan biasa sahaja boleh dilakukan iaitu muqabalah.

Wednesday, July 23, 2008

PAS kekal dengan Pakatan, tidak dengan Umno

KOTA BHARU, 23 Julai: Pemimpin tertinggi PAS menegaskan tidak pernah berbangkit PAS hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengan Umno bahkan akan kekal dalam Pakatan Rakyat.
Apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PAS adalah bersemuka (muqabalah) dengan para pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Tujuh daripada 13 anggota anggota Majlis Syura Ulamak Rabu lalu mengambil masa kira-kira sejam lima minit membincangkan kekeliruan berhubung ‘muzakarah’ yang dikatakan telah berlaku antara pemimpin PAS dan Umno baru-baru ini.

Pertemuan tertutup itu dipengerusikan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bermula kira-kira pukul 4.05 minit petang tadi di JKR 10, kediaman rasmi MB Kelantan.

Hadir sama dalam pertemuan itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Harun Din, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Muhammad Daud dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Ketika bertemu dengan media, tiga pemimpin utama PAS, Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi dan Datuk Dr Harun Din berkata, PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat.

Laporan lanjut dalam Siasah Jumaat ini.

Tuesday, July 22, 2008

Majlis Syura PAS bermesyuarat esok

KUALA LUMPUR, 22 Julai: Isu hubungan antara PAS dengan Umno dijangka akan selesai besok apabila Majlis Syura Ulamak, badan tertinggi dalam PAS bermesyuarat esok, 23 Julai di Kota Bharu.

Fokus mesyuarat ini dijangka satu sahaja iaitu isu muzakarah antara PAS dengan Umno yang sudah ditafsirkan sebagai usaha perlahan-lahan PAS untuk berbaik-baik dengan Umno dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ia sudah menjadi sebegitu ekoran pendedahan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dia sudah tiga kali bertemu dengan para pemimpin PAS yang boleh ‘membuat keputusan’.

Mursyidul Am PAS (Pengerusi Majlis Syura), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan mempengerusikan mesyuarat yang akan diadakan petang esok di JKR 10, kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan itu.

Ia juga bakal disertai oleh Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Harun Din dan juga anggota Majlis Syura yang lain.

Antara anggotanya adalah Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Monday, July 21, 2008

Umno paling untung dari muzakarah Umno-PAS

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Akhbar dalam talian milik kumpulanThe Star telah membuat poll mengenai muzakarah antara Umno dengan PAS. Berikut adalah keputusan poll itu sehingga kini (jam 2.45 petang Isnin)

Undian Mstar.com.my

Muzakarah Umno-PAS bakal menguntungkan parti?

Umno 59.7%

PAS 12.9%

Kedua-dua parti 27.4%

Rombongan PAS untuk mendengar tawaran BN, kata Khalid Samad

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Rombongan PAS menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik sahaja selesai pilihan raya ke 12, 8 Mac lalu bertujuan untuk mendengar apa tawaran pemimpin Barisan Nasional (BN).

Pemergian mereka juga bertujuan untuk membeli masa (buying time) agar kerajaan Pakatan Rakyat dapat dibentuk dengan selamat di Selangor ekoran masalah yang dihadapi oleh Pakatan ketika itu.

“Kerana itu, ketika kami berunding dan mendengar apa yang dikehendaki dan ditawarkan oleh Pak Lah, Tan Sri Khalid selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas PAS mengeluarkan surat sokongan lepada dia,” kata salah seorang delegasi PAS ke pertemuan itu iaitu anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika menghubungi Siasah.

Khalid disebut oleh Presiden PAS sebagai salah seorang dari tiga anggota delegasi PAS bertemu dengan Abdullah di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dua lagi delegasi PAS adalah Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Pada asalnya, kata Khalid, Presiden PAS yang akan mengetuai delegasi itu. Namun selepas berbincang, mesyuarat memutuskan Presiden digantikan oleh Datuk Mustafa Ali.

Khalid juga berkata, Datuk Dr Hassan Ali juga dikeluarkan dari senarai delegasi itu kerana kelihatannya perbincangan adalah mengenai Selangor dengan kehadiran Datuk Seri Khir Toyo di sebelah sana.

“Kerana itu saya dimasukkan untuk menggantikan Dr Hassan Ali untuk mengelakkan bertembung kepentingan berlaku,” jelas Khalid yang merupakan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor.

Pada peringkat awalnya, beliau sendiri tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi selepas dibincangkan atas dasar janji telah dibuat, mereka bersetuju untuk bertemu dengan pimpinan BN yang diadakan di sebuah rumah kerajaan berhampiran bangunan Parlimen itu.

“Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi jumpa dengan pimpinan Umno ini untuk bekerjama dengan mereka. Yang ada untuk memenuhi janji dan mendengar apa mereka nak tawarkan.

“Jadi kami dengar dan kata ya ya…tetapi kami tak boleh buat keputusan, kena bawa kepada parti dahulu,” jelas Khalid. Atas alasan itulah juga, katanya, Presiden tidak pergi ke pertemuan itu kerana tidak mahu sebarang komitment dibuat atas kuasanya sebagai presiden.

“Khir Toyo bukan main tawadhuk dalam perbincangan itu. Kepada saya saja tiga kali dia tolong tuangkan air,” kata Khalid lagi.

Ketika ditanya, apa punca jemputan itu dibuat oleh Umno, Khalid berkata, ia bermula dengan kerisauan Umno selepas DAP banyak menang di Selangor dan nasib orang Melayu selepas itu.

Namun, bagi Khalid, keikhlasan Abdullah untuk membincangkan kepentingan Melayu dan Islam hancur selepas beliau mengumumkan tentang pertemuan ini.

Bagi beliau, Abdullah cuba menimbulkan kesangsian di kalangan anggota Pakatan Rakyat terhadap PAS dengan mendedahkan perkara ini ketika berita angin tersebar kononnya PAS hendak bekerjasama dengan Umno.

Padahal, katanya, delegasi itu tidak ada mandat langsung dari parti untuk berbincang soal kerjasama dengan BN.

“Misi kami adalah fact finding (mendengar) dan engagement (berbincang) dan tidak ada langsung usaha untuk bekerjasama dengan Umno,” kata Khalid.

“Nampak sangat Abdullah berniat jahat untuk sabotaj usaha-usaha untuk membawa masuk anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai Pakatan. Ini kerana, jika PAS tidak bersama Pakatan buat apa mereka mahu masuk Pakatan,” beritahu Khalid.

Mengulas soalan kononnya PAS dipinggirkan dalam Pakatan Rakyat, Khalid berkata, ia tidak benar sama sekali.

“Benar kita menang 83 Dun, DAP 73 dan PKR 40 kerusi lebih. Tetapi dalam masa yang sama kita dapat tiga MB, PKR ada satu dan DAP pun dapat satu sahaja. Takkan PAS nak lebih dari itu. Tak kan nak jadi MB di Selangor juga….itu tamak namanya,”kata Khalid.

PAS mengakui bertemu Perdana Menteri

Oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam,YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

20 Julai 2008,
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Sunday, July 20, 2008

Bertemu PM: PAS akan buat kenyataan esok

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Para pemimpin PAS dijangka akan membuat kenyataan besok berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beliau pernah bertemu dengan beberapa pemimpin PAS beberapa kali.

Menurut sumber, besar kemungkinan satu sidang akhbar akan dibuat bagi menjelaskan perkara itu.

Menurut Andullah, beliau bertemu dengan pemimpin tertinggi PAS yang digolongkan dalam mereka yang boleh membuat keputusan untuk parti Islam itu.

Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak termasuk dalam pertemuan dengan Abdullah itu.

Abdullah berkata demikian kepada media selepas majlis pelacaran hari koperasi di Putrajaya hari ini.

Friday, July 18, 2008

Shabery gagal pertahan dasar kerajaan

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Persepsi yang ada, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek gagal dalam tugasnya mempertahankan dasar kerajaan dalam Debat antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lepas.

Pungutan suara yang dibuat oleh pelbagai pihak menunjukkan Anwar jauh di depan berbanding dengan Shabery.

Bagaimanapun ini adalah persepsi sahaja kerana Debat itu bukan boleh dinilai menang atau kalahnya.

Debat bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" anjuran portal berita Agendadaily, yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bermula pada 9 malam.

Ia disiarkan secara langsung melalui TV9, Astro Awani, Bernama TV dan juga beberapa laman web. TV3 pula menyiarkan secara siaran tertunda pada jam 11 malam.

Ia dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar manakala dua penal dilantik oleh pendebat adalah Tan Sri Nordin Kardi, Naib Cancelor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dilantik Shabery dan Ketua Pengarang Eksekutif Siasah, Zulkifli Sulong yang dilantik Anwar.

Sebelum Debat, Shabery dalam laporan Bernama berkata, beliau akan menyerahkan kembali jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jika kalah dalam Debat itu.

Selepas Debat, Shabery berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menilainya, termasuk sama ada beliau dikekalkan di dalam Kabinet.

Akhbar laman web Mstar.com.my yang dimiliki MCA melalui kumpulan akhbar The Starnya mendapati, 85.7 peratus memberikan undi kepada Anwar sebagai pemidato terbaik.

Shabery, Menteri Penerangan hanya diberi 7.7 peratus manakala sama-sama hebat 6.7 peratus.
Dalam pollnya, Mstar meletakkan tajuk pollnya, "Siapakah pemidato terbaik dalam debat bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak"?.

Seorang bekas profesor Universiti Malaya yang pernah menjadi pensyarah kepada Shabery semasa belajar di universiti itu pula memberikan Anwar 8 dari 10 markah manakala Shabery 6.5 dari 10 markah.

"Saya meletakkan kegagalan Shabery untuk mempertahankan dasar kerajaan di samping tindakan Shabery menyerang pribadi Anwar menyebabkan pencapaian beliau tidak baik dalam Debat ini," kata bekas profesor itu yang kini banyak terlibat dengan MIC.

PAS kekal bersama Pakatan – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS masih bersama dengan Pakatan Rakyat dan tidak ada apa-apa keputusan daripada parti untuk menilai kembali kedudukannya dalam pakatan berkenaan.

Cakap-cakap PAS akan menilai semula kedudukannya dalam pakatan itu tidak berbangkit saat ini kerana ianya tidak pernah dibincang secara rasmi dalam mana-mana badan tertinggi PAS.

Menurut Abdul Hadi, menjadi amalan PAS apa juga keputusan berhubung polisi dan dasar parti mestilah terlebih dahulu dirujukkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat ataupun Dewan-Dewan; Harian, Ulamak atau Majlis Syura.

"Dewan Harian bersama Dewan Ulamak adalah penting dalam memutuskan apa juga keputusan atau sebelum sesuatu tindakan hendak dibuat," katanya.

Menurutnya lagi cakap-cakap mengatakan PAS mungkin akan mengkaji balik kedudukan dalam Pakatan Rakyat itu adalah cakap-cakap individu yang mana ia bukan merupakan keputusan PAS dan ia tidak boleh dipegang serta bersifat perkara cabang, kecil.

"Sudah menjadi amalan PAS bila ada perkara penting ia akan dirujuk kepada akar umbi (ahli PAS) terlebih dahulu," jelasnya lagi ketika diwawancara di Institiut Jantung Negara (INJ) Selasa lalu.

Abdul Hadi dimasukkan ke IJN Ahad lalu untuk mendapat rawatan kerana mengalami stress. Beliau sudah dibenarkan keluar pada Selasa lepas.

Mengenai sikapnya terhadap DAP yang turut menjadi gabungan pakatan berkenaan ia tidak menjadi masalah besar kerana PAS sendiri dalam membina perpaduan Nasional yang beteraskan Islam tidak akan membelakangkan rakan-rakan bukan Islam.

"PAS akan tetap melayani rakan-rakan bukan Islam dengan penuh keadilan sesuai idengan prinsip Islam," tegasnya.

Mengenai reaksi Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan PAS, Abdul Hadi menjelaskan pihaknya juga menyabut baik bagaimana ia perlu ditujuk kepada parti terlebih dahulu.

"Kita sudah lama mengajak Umno bermuzakarah berhubung isu-isu kepentingan bersama, jadi kalau dia pelawa kita kita bersedia, tetapi apapun keputusan bergantung kepada PAS," tekannya.

Wawancara sepenuhnya dalam Siasah di pasaran sekarang.

Peranan Siasah dalam Debat harga minyak

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Siasah melalui Zulkifli Sulong telah diberikan peluang untuk turut terlibat secara langsung dalam Debat bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" anjuran portal berita Agendadaily, yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka Selasa lalu.

Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar yang memberikan kepercayaan kepada Siasah untuk bersama-sama beliau dalam Debat yang diadakan ala debat antara bakal Presiden Amerika, yang julong-julong kalinya diadakan di negara ini.

Berbangga juga kerana yang mewakili Shabery adalah Tan Sri Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.

Penal, seperti Siasah diberikan peluang untuk bertanyakan dua soalan sahaja iaitu satu kepada Anwar dan satu lagi kepada Shabery.


Kepada Shabery, kami telah bertanyakan soalan berikut:-

"Pada tahun 2006, kerajaan naikkan harga minyak 30 sen. Hasilnya, kerajaan dapat RM4.3 b darinya. Kerajaan berjanji ia akan digunakan untuk pengangkutan awam. Mengikut jawapan di Parlimen, kerajaan baru belanjakan RM834.75 juta untuk prasarana pengangkutan sejak dari tarikh itu. Kenapa perkara ini berlaku? Dengan kenaikan kali ini pula, kerajaan boleh jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion kerajaan terkial-kial membelanjakannya, apa jaminan kerajaan dalam membelanjakan wang dari penjimatan RM13 bilion ini."

Soalan ini kami pilih berdasarkan perbandingan yang dibuat dengan janji kerajaan yang dibuat ketika menaikkan harga minyak pada tahun 2006 lalu. Penjimatan sebanyak RM4.3 bilion itu katanya untuk mempertingkatkan prestasi pengangkutan awam di negara ini.

Namun selepas sekian lama berlalu, tidak jelas kelihatan apakah prasarana pengangkutan awam yang ditingkatkan oleh kerajaan. Ini sangat menyusahkan rakyat tambahan lagi selepas harga minyak dinaikkan secaran mendadak baru-baru ini.

Ketika inilah, rakyat akan memilih pengangkutan awam selepas tidak tahan menanggung kesan dari kenaikan harga minyak. Namun, tidak satupun sistem pengangkutan awam yang menyelesakan rakyat samada bas, teksi apatah lagi LRT, Komuter dan Monorel.

Cuba naik Putra LRT atau Komuter. Manusia di dalam gerabaknya macam ikan sardin terutama diwaktu puncak iaitu pagi ketika orang ramai mahu pergi kerja atau petang ketika mereka mahu pulang dari kerja.

Dalam pada itu, jawapan Menteri Pengangkutan kepada soalan yang dikemukakan oleh anggota Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria dalam soalannya di Dewan Rakyat, mendedahkan segala-galanya.

Dalam jawapannya pada 3 Julai lalu, Menteri Pengangkutan berkata, sehingga kini kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam telah meluluskan pelaksanaan sembilan projek bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam negara dengan keseluruhan kos berjumlah RM834.75 juta sahaja.

Mana pergi duit bernilai RM4.3 bilion yang dijimatkan dan dijanjikan untuk pengangkutan awam itu?

Dengan kenaikan harga minyak kali ini, kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan RM13 bilion. Kalau RM4.3 bilion kerajaan terkial-kial untuk membelanjakannya, apa nasib RM13 bilion ini. Ini soalan kami di Siasah.

Tetapi nampaknya Shabery tidak menjawab soalan ini bahkan menuduh wakil Siasah tidak mengikuti perkembangan isu ini.

Kepada Datuk Seri Anwar, kami tanyakan soalan berikut:-

"Bercakap soal minyak adalah harta masa depan, seingat saya, semasa Datuk Seri menjadi Menteri Kewangan dahulu, Datuk Seri pernah menubuhkan Tabung Warisan. Apa sebenarnya pemikiran Datuk Seri ketika itu, jika kita kaitkan dengan isu minyak yang juga untuk rakyat masa depan ini."
Dalam jawapannya Anwar menjelas, beliau memang menubuhkan Tabung Warisan itu dengan harapan untuk kepentingan anak cucu kita di masa depan.

Namun selepas beliau keluar, tidak ada lagi pihak yang berminat dengannya dan projek itu berkubur begitu sahaja.

Inilah sedikit peranan Siasah. Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar yang memberikan kepercayaan untuk bersama-sama dalam detik bersejarah ini dan terima kasih kepada semua pihak yang menghubungi kami dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Debat ini.

Wednesday, July 16, 2008

Mustafa dakwa komplot terhadap Abdullah dan Anwar serentak

KUALA LUMPUR, 16 Julai: PAS mengesyaki ada komplot dalam Umno dan kerajaan yang anti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dalam blognya menulis, komplot ini sedang berusaha untuk membunuh karier politik kedua-dua tokoh itu dengan satu tindakan iaitu menangkap Datuk Seri Anwar selepas tuduhan meliwat seorang pemuda.

Beliau dipercayai mengulas tindakan polis menangkap Anwar di luar rumahnya ketika beliau mahu ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk memberikan kenyataannya kepada polis.

"Saya rasa, ada semacam satu komplot dalam Umno dan kerajaan sendiri yang cuba untuk mengambil kesempatan daripada suasana yang ada sekarang. Komplot ini bagi saya memang anti Anwar dan juga anti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," tulis Mustafa dalam blognya, Politik Malaysia yang dipostkan hari ini.

Lojiknya, kata Mustafa, apabila tindakan dibuat terhadap Anwar, jari akan dituding kepada Abdullah selaku Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan.

"Mengikut bacaan saya, tindakan ini berjaya diambil kerana kegagalan Abdullah sendiri untuk menguasai seluruh jentera kerajaan. Oleh kerana itulah, komplot ini boleh berjalan sedemikian rupa," tulis beliau lagi.

Baca tulisan sepenuhnya dalam blog beliau http://www.padapendapatsaya.blogspot.com/.

Tuesday, July 15, 2008

Anwar akan ke balai polis petang esok

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memberikan keterangan secara sukarela kepada polis petang esok jam 2 petang di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Kesediaan beliau itu dinyatakan kepada para pembantunya ketika mereka membuat persiapan untuk debat antara beliau dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, tengahari tadi.

"Kita pergilah," kata Anwar kepada para pembantunya yang sedang berbincang itu. Mereka berbincang bagi menentukan halatuju debat antara Anwar dengan Shabery Cheek malam ini.

Anwar dijadualkan memberikan keterangan kepada polis di IPK Kuala Lumpur semalam. Namun kerana tekanan yang diberikan oleh polis terhadap beliau dan keluarganya, Anwar memutuskan untuk tidak pergi ke balai polis itu.

Beliau diminta memberikan kenyataan berhubung dengan aduan yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan. Saiful, dalam laporan polisnya, mendakwa Anwar meliwat beliau.

Siasah difahamkan, Anwar mempunyai dua pilihan iaitu polis datang ke rumah beliau untuk mengambil keterangan atau beliau ke balai polis untuk memberikan keterangan.

Namun selepas polis berhujjah, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sendiri ke Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah untuk memberikan keterangan di atas dakwaan yang dibuat ke atas mereka, kenapa Anwar tidak boleh pergi ke balai polis untuk memberikan keterangan.

Atas alasan itulah, Anwar difahamkan sedia ke balai polis untuk memberikan keterangan.
Pada peringkat awalnya, Anwar bersetuju untuk ke balai polis Khamis ini selepas membatalkannya semalam, namun dengan perbincangan beliau dengan polis dan peguamnya, beliau bersetuju pergi petang esok.

Soalan untuk Anwar dan Shabery

Jika ada diberi peluang untuk mengajukan soalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam debat mereka mengenai harga minyak malam ini, apakah soalan anda.

Hantarkan soalan anda dalam ruangan komen di bawah ini. Jika soalan anda terpilih, ia akan diajukan kepada mereka malam ini.

Monday, July 14, 2008

Debat Anwar - Shabery esok akan jadi tumpuan negara




KUALA LUMPUR: Siasah mengutip beberapa pandangan berhubungan perdebatan antara Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Sri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bakal berlangsug 15 Julai depan.

Perdebatan tersebut dijangka akan mendapat perhatian seluruh negera berikutan isu yang bakal diketengahkan adalah mengenai kenaikan harga minyak selain faktor pendebat yang merupakan tokoh besar dalam politik tanah air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan perdebatan itu adalah satu perkara yang baik sekiranya matlamat sebenar dicapai atas apa yang berlaku di negara ini.

Kata beliau, kedua pendebat harus fokus ke arah isu itu (kenaikan harga minyak) dan bukan menuju ke arah yang lain.

"Kritikan yang rasional diperlukan untuk membincangkan perkara yang didebatkan." kata beliau.

Perdebatan Anwar Shabery bakal berlangsuung di Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur 15 Julai nanti pada jam 9 malam dan akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen.
Menurut Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution, perdebatan tersebut wajar dan patut dilaksanakan secara langsung untuk membolehkan semua rakyat menyaksikannya dan mendengar hujah kedua pihak.

Bahkan beliau menyifatkan menyiarkan perdebatan itu secara langsung memberi keadilan kepada semua pihak.

Selain itu beliau juga yakin moderator yang akan mengendalikan perdebatan tersebut, Datuk Johan Jaafar akan berlaku adil di hadapan 200 jemputan yang menyaksikan di DBP dan juga seluruh rakyat Malaysia.

Bagi pengerusi BBC Negeri Perak, Khalil Idham Lim perdebatan itu jika disiarkan secara langsung untuk memberi kesan kepada rakyat Malaysia untuk menilai dakwaan dari pihak pembangkang serta kerajaan.

"Biarlah rakyat yang menilai sendiri akan apa juga keputusan perdebatan itu nanti,satu tindakan yang amat positif," katanya mengulas ringkas kepada Siasah.

Naib Ketua Puteri UMNO, Rasnah Abdul Rasid Shirlin turut positif dengan perdebatan itu dengan menyifatkannya sebagai amat baik kerana akan memberi peluang kepada kedua pihak untuk berhujah.

"Rakyat dapat menilai sendiri di akhir perdebatan itu setelah memberi peluang serta ruang yang cukup kepada kedua pihak.

"Segala perkara akan terungkai dan juga peluang kami untuk melihat dan mendengar apa yang akan dicadangkan oleh Anwar nanti. " kata beliau.

Sementara itu Anwar yang pada awalnya mahu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi berharap agar siaran lansung itu tidak akan dibatalkan oleh pihak kerajaan.

Antara perkara yang akan diketengahkan dalam perdebatan itu ialah mengenai cadangan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak.

Debat itu adalah di bawah tajuk ' Hari ini membentuk kerajaan,esok turun harga minyak '.

Syed Hamid diminta beri penjelasan esok

Oleh: WARTAWAN SIASAH



KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Azmin Ali dan Ketua Pemuda PAS,
Salahuddin Ayub menahan Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Hamid Albar untuk mendapatkan
penjelasan berkenaan kawalan polis di jalan masuk
menuju Parlimen hari ini.

Tindakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menahan
Syed Hamid itu telah menarik perhatian puluhan
wartawan yang berada dilobi Parlimen.
Syed Hamid ditahan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat
itu berhampiran tangga utama ketika menteri
tersebut mahu meninggalkan Dewan Rakyat sejurus
sesi pagi persedangan Dewan Rakyat hampir
berakhir.

Langkah itu diambil setelah usaha meminta Menteri
Dalam Negeri menjelaskan kawalan polis terhadap
Parlimen hari ini dalam persidangan dewan tidak
berhasil.

Antara yang digesa ialah Syed Hamid memberi
penjelasan dalam persidangan Dewan Rakyat esok
berhubung kawalan polis hari ini.
"Arahan siapa dan mengapa...perlu dijelaskan,"
kata Salahuddin kepada wartawan selepas
berbincang beberapa minit dengan Syed Hamid.

Kata Salahuddin penjelasan daripada Menteri Dalam
negeri perlu untuk membersihkan nama parti-parti
Pakatan Rakyat.

"Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri
Aziz menuduh Pakatan Rakyat hendak membuat
perhimpunan di parlimen hari ini, mungkin inilah
alasan polis menyekat laluan ke Parlimen hari ini,"
tambah beliau.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian
turut mendakwa, ekoran daripada sekatan tersebut
ramai tetamu-tetamu Ahli Parlimen pembangkang
yang mahu hadir mengikuti persidangan hari ini
tidak dibenarkan masuk.

Dalam persidangan dewan sebelum itu, Azmin juga
telah beberapa kali menggesa Syed Hamid memberi
penjelasan berkenaan perkara yang sama.

"Kebetulan Menteri Dalam Nageri ada hari ini, harap
beliau memberikan penjelasan," kata Azmin kepada
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin
Mulia.

Perkara yang sama turut dibangkitkan oleh Ketua
Pembangkang, Wan Azizah Ismail dengan
menyifatkan 'kawalan polis terhadap Parlimen hari
ini seolah-olah berada dalam keadaan perang.'

Mahfuz Omar (PAS - Pokok Sena) dan Karpal Sing
(DAP - Gelugur) juga membuat desakan sama.

Gesaan daripada Ahli-ahli Parlimen Pakatan rakyat
itu menjadikan Dewan Rakyat Gamat ekoran
bantahan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Bermula semalam polis telah mengawal beberapa
jalan menuju ke bangunan Parlimen kerana
dikatakan ada pihak mahu menganjurkan
perhimpunan.


Ekoran itu kawalan ketat telah dibuat dijalan masuk
utama bangunan parlimen mengakibatkan ramai
wartawan dan orang awam tidak dibenarkan masuk.

Dewan Rakyat tolak usul tidak percaya dari dibahaskan

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Speaker Dewan Rakyat menolak usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari dibahaskan.

Ekoran itu, semua wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar meninggalkan Dewan Rakyat.

Usul itu dikemukakan Wan Azizan dengan diiringi wakil-wakil PAS dan DAP di Pejabat Speaker pagi Khamis lepas.

Pengumuman penolakannya dibuat oleh Speaker, Datuk Seri Pendekar Amin Haji Mulia pagi ini.

Penolakan itu menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat termasuklah usaha untuk memindanya agar ianya boleh terus dibahaskan oleh Dewan Rakyat.

Ekoran dari tindakan pembangkang meninggalkan Dewan, sidangnya berjalan dengan hambar dan hanya wakil-wakil rakyat BN bertanya soalan untuk sessi soal jawab.

Tiga hari menjelang sidang hari ini, iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad, polis telah membuat sekatan di semua jalan raya menuju ke bangunan Parlimen.

Polis juga mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang penyokong Pakatan Rakyat ke Dewan Rakyat.

Pagi tadi, kekecohan berlaku apabila wartawan turut dihalang dari memasuki Dewan Rakyat untuk membuat liputan, namun ia dibenarkan semula kemudian.

Mereka dibenarkan masuk apabila Bung Mokhtar Radin, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BN - Kinabatangan) memberitahu polis wartawan yang mempunyai pass wartawan dari Jabatan Penerangan dibenarkan masuk.

Dalam sidang media selepas keluar dari Dewan, Wan Azizah berkata, mereka tidak berpuashati dengan cara usul itu ditolak.

Mereka juga tidak berpuashati dengan tindakan polis membuat sekatan jalan raya dan menampalkan notis di merata-rata tempat tentang larangan berhimpun di Parlimen padahal tidak ada mana-mana pihak membuat rancangan untuk berhimpun itu.

Bagi mereka, tindakan polis ini membayangkan polis tidak mempunyai maklumat yang tepat mengenainya dan bertindak atas andaian semata-mata.

Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula telah menemui secara langsung Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi bertanyakan hal ini.

Syed Hamid berkata, polis bertindak untuk keselamatan dan berdasarkan maklumat yang mereka ada.

Thursday, July 10, 2008

Rombongan Istana Kedah guna jet kerana masa suntuk

ALOR SETAR, 10 Julai: Rombongan Istana Darul Aman Kedah terpaksa menyewa jet eksekutif untuk menghadap Sultan Brunei semalam kerana masa telah suntuk dan itulah sahaja masa yang diberikan oleh Istana Brunei untuk menghadap baginda.

Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid berkata, rombongan itu menyewa jet itu bukan untuk bermewah-mewah tetapi itu sahaja cara yang ada untuk memenuhi masa yang ditetapkan bagi membolehkan rombongan istana Kedah menghadap Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah.

Rombongan Istana Kedah itu diketuai Ketua Istiadat istana Kedah. Ia turut disertai Tengku Bendahara iaitu adinda Sultan dan MB Kedah, Azizan Abdul Razak serta isteri masing-masing.

Mereka ke Brunei untuk menjemput baginda Sultan Brunei secara rasmi ke majlis perayaan Jubli Emas Sultan Kedah yang akan diadakan di Alor Setar tidak lama lagi.

Mereka menaiki sebuah jet yang disewa khas untuk membawa mereka pergi dan balik dari Alor Setar ke Brunei semalam dan pulang malam ini.

"Perkara ini telah dipersetujui oleh mesyuarat Exco," kata Helmi kepada Siasah.

Buletin Utama TV3 sekejap tadi (jam 8.15 malam) menyiarkan rakaman penggunaan jet itu semasa mereka bertolak ke Brunei dan mempertikaikan langkah Istana Kedah itu yang dianggap TV3 sebagai membazir.
Tinjauan kesan kenaikan harga minyak

1- Pengusaha Ikan sangkar terpaksa minta bantuan

TEMERLOH: Sepuluh tahun dahulu, tujuh bersahabat bermodalkan RM30 seorang telah meneroka bidang ternakan ikan sangkar di kawasan berpaya Kampung Chempaka, Lanchang.
Tanpa sesen pun bantuan kewangan atau barangan daripada pihak kerajaan, mereka berjaya mengkomersialkan ternakan ikan patin, tilapia, lampam, tongsan, keli Afrika dan baung sebagai sumber pendapatan kedua.

Bagaimana pun apabila berlaku kenaikan bahan bakar secara mendadak baru-baru ini, kesannya semua harga barangan melonjak naik termasuk yang berkaitan dengan perikanan sehingga menimbulkan kejutan kepada mereka.

“Sekarang ini makanan ikan yang dulunya berharga di bawah RM30 telah melonjak RM50 satu beg sedangkan harga jualan ikan tak boleh dinaikkan” kata salah seorang daripada mereka.

2 - Kontraktor pun gulung tikar

Sementara itu tinjaun di Kelantan pula mendapati kenaikan harga minyak ternyata memberi kesan besar kepada sektor pembinaan. Malah ada kontraktor kecil terpaksa gulung tikar dan terpaksa melupakan bidang tersebut.

Contohnya harga pasir selori sebelum ini RM90, kini dinaikkan kepada RM120 sebaik sahaja diesel melambung. Dan lebih mencelarukan lagi harga simen yang sudah dikeluarkan kerajaan daripada bahan kawalan.

Di negeri itu harganya berbagai-bagai. Ada peniaga yang menjual RM16, RM18, RM20 dan RM22 sekampit.

Dan lebih mendebarkan lagi harga simen di Dabong, Kuala Krai mencecah RM30 sekampit.

"Kenaikan harga simen berlaku antara 85 sen hingga 1.25 sen setiap dua hingga tiga minggu sekali, begitu juga dengan harga besi iaitu saiz 3/8 sebelum ini RM1,800 satu tan metrik dan kini mencecah RM3,750 satu tan metrik," katanya seorang peniaga.
  • Ikuti tinjaun terhadap kesan kenaikan harga minyak di Kelantan dan Pahang oleh wartawan Khairil Abdul Rahim dan Mohd Nor Yahya dalam Siasah Ahad ini.

Bapa daif rayu bantuan untuk bawa pulang anak

MELAKA : Seorang bapa, Mustafa Maiduni, 42 amat memerlukan bantuan orang ramai untuk membawa pulang dua anaknya yang tinggal di Indonesia.

Kedua-dua anaknya Mohd Ridzuan Mustafa, 6 tahun dan Ferry Aditya Mustafa, 4 tahun kini tinggal dengan neneknya di Tangjung Pura, Langkat, Medan, Indonesia.

Mustafa yang bekerja sendiri sangat bimbang dengan keadaan anaknya kerana menurut maklumat yang beliau perolehi, anaknya berada di dalam keadaan tertekan dan tidak menentu.
"Anak saya terutama yang tua seringkali berkurung di dalam bilik dan tiap-tiap hari beliau akan menunggu saya datang bersama adiknya berhampiran jalan di rumah mertua saya".

"Bila tanya siapa yang beliau tunggu, anak saya menjawab tunggu ayah, setiap kali kereta berhenti di jalan tersebut beliau akan memberitahu orang ramai bahawa ayahnya sudah sampai",kata Mustafa dengan sayu.

Mustafa memberitahu, beliau memerlukan kira-kira RM7,000 untuk tambang pergi balik beliau dan isterinya mengambil anak-anaknya.

Menurutnya sebelum ini beliau telah bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi memohon bantuan, namun Mohd Ali meminta beliau berusaha sendiri mengumpulkan wang sebanyak RM7,000 tersebut.

Beliau juga pernah berjumpa dengan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) iaitu Ustaz Abdul Halim Tawil bagi memohon bantuan namun hanya RM700 sahaja yang diluluskan kepada beliau melalui agensi di bawah MAIM.

"Saya tiada kerja tetap dan tidak mampu untuk menyimpan sebanyak itu, kalau saya mampu tidak perlulah saya berjumpa mereka" ujar Mustafa kecewa.

Beliau memohon sudi kiranya para pembaca menghulurkan derma untuknya dengan menghubungi talian 016-6537473 atau talian 017-9002958 (Ustaz Khirul Che Salleh) atau 06-2841780 (Pejabat Perhubungan PAS Negeri).

Sesiapa yang ingin berjumpa dengan beliau boleh juga datang sendiri ke rumahnya di alamat Bt 3 1/2, Kampung Bukit Pulau, 75150 Bukit Baru Melaka.

Wednesday, July 9, 2008

"Saya minta maaf"

'Sorry seems to be the hardest word' atau maaf adalah perkataan yang paling sukar diucap, kata penyanyi Elton John tetapi Penyelaras Protes yang juga Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, "Saya minta maaf" sebagaimana yang dinyanyikan oleh penyanyi Bryan Adams, 'Please forgive me' dan P Ramlee serta rakan-rakannya 'Maafkan kami'

Ikuti laporan penuh kami dalam Siasah Jumaat ini.

Saya akan keluar PAS - Datuk Amir

KUALA LUMPUR, 9 Julai: "Saya orang yang pertama keluar PAS." Demikian reaksi Datuk Amir Yaakub, bekas calon PAS Dun Lendu, Melaka jika PAS bersetuju menerima orang bukan Islam sebagai ahli PAS sepenuhnya.

"Jika begitu, apa beza keahlian saya dengan mereka dalam parti Islam ini," kata Datuk Amir berhujjah.

Datuk Amir, bekas Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, menyertai PAS bersama-sama dengan penghijrahan beramai-ramai bekas pegawai tinggi kerajaan khasnya bekas pegawai tinggi angkatan tentera dan polis ke dalam PAS awal tahun 2000an lalu.

Inilah dilema yang dihadapi PAS menjelang Muktamarnya yang ke 54 di Ipoh pertengahan Ogos depan.

Satu pihak mahukan orang bukan Islam diterima sebagai ahli PAS, namun sebahagian pula tidak bersetuju kerana PAS adalah parti Islam.

"Jika kita menerima orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu sahaja, ini bermakna kita meletakkan mereka sebagai ahli kelas kedua. Jika begitu, lebih baik tidak payah," kata Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Namun, setelah beberapa kali mesyuarat, para pimpinan PAS difahamkan masih belum mencapai kata sepakat dalam soal ini.

Desakan dari orang bukan Islam samada dari kaum India atau Cina semakin banyak sekarang bagi membolehkan mereka menjadi ahli PAS.

Dari segi politik pula, PAS sangat mahukan mereka menyertai parti itu bagi membolehkan PAS disokong oleh semua pihak tanpa ada batasan agama dan bangsa.

Lajnah Perpaduan Nasional PAS yang diketuai anggota Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof adalah pihak yang banyak mengendalikan hal ehwal mereka.

Mujahid mencadangkan agar Kelab Penyokong PAS, tempat berkumpulnya orang bukan Islam sekarang dijadikan dewan setaraf dengan Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang ada sekarang.

Baru-baru ini, mesyuarat satu unit dalam PAS mencadangkan agar orang bukan Islam diterima sebagai ahli penuh dalam PAS.

Namun, untuk jawatan presiden dan timbalan presiden, hanya orang Islam sahaja yang layak untuk menduduki kerusi itu. Ia perlu ditegaskan dalam perlembagaan parti.
"Ini satu cadangan yang baik," kata Datuk Amir.

"Kalau begitu saya setuju dan akan kekal bersama PAS kerana saya rasa, sebagai orang yang beragama Islam, saya ada kedudukan istimewa sesuai dengan PAS adalah sebuah parti Islam," katanya.

Dengan cara ini, kata beliau, orang bukan Islam tidak akan terasa mereka ahli kelas kedua kerana mereka berhak mengundi dan diundi sebagaimana ahli PAS yang lain.

Cuma tidak boleh menjadi timbalan dan presiden PAS sahaja kerana ia diperuntukkan kepada orang yang beragama Islam sesuai dengan namanya parti Islam.

"Itupun mereka boleh apabila mereka memeluk Islam selepas melihat keadilan yang diberikan Islam dalam PAS," kata Datuk Amir.

Saiful Bukhari kini terdedah di bawah hukuman qazaf

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Saiful Bukhari Azlan yang membuat laporan polis mendakwa bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya kini menghadapi tuduhan qazaf yang membolehkannya didenda tiga tahun penjara atau denda RM5,000.
Ini berikutan tindakan Anwar membuat laporan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan mendakwa Saiful telah membuat fitnah terhadapnya dengan menggunakan Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Laporan itu dibuat Anwar di Pejabat JAWI dekat sini Rabu, 9 Julai lepas. Turut serta bersama Anwar adalah isterinya yang juga Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di samping dua peguamnya iaitu Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

"Atas nasihat ulama dan peguam, saya telah membuat aduan kepada bahagian penguatkuasaan, untuk membersihkan nama saya dan keluarga daripada fitnah jahat dan mengaibkan ini," katanya kepada pemberita.

Sementara itu Kamar Ainiah (gambar) menjelaskan kepada pihak media, hukuman dan makna 'qazaf' yang termaktub dalam undang-undang syariah di negara ini.
Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan," kata Kamal Ainiah.

Qazaf katanya ialah tuduhan palsu terhadap zina dan jika sabit boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 dan ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan.

Muktamar PAS bakal bincang usul keahlian bukan Islam

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Beberapa PAS kawasan di seluruh Malaysia dipercayai akan membawa usul ke Muktamar Tahunan PAS ke 54 nanti untuk membolehkan isu keahlian bukan Islam dalam parti Islam itu dibincangkan secara terbuka.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof berkata, beliau difahamkan, beberapa kawasan termasuk Dewan Pemuda PAS membincangkan usaha untuk membawa usul ini.

Mujahid mengulas isu keahlian PAS yang mula dibincangkan sejak sekian lama tetapi sehingga kini belum mendapat kata putus dalam parti itu.

"Saya lebih cenderung untuk membuka keahlian bukan Islam ini sebagai ahli bersekutu buat permulaan ini. Ia amalan biasa mana-mana persatuan. Lepas itu, kita lihatlah perkembangannya," kata Mujahid.

Beliau juga mencadangkan agar mereka akan berada dalam satu dewan setaraf dengan dewan-dewan yang ada dalam PAS sekarang.

Untuk membolehkan perkara ini berlaku, perlembagaan PAS terpaksa dipinda dan struktor baru PAS juga perlu dibentuk.

Langkah ini, kata beliau, perlu untuk membolehkan mereka bergerak dalam PAS secara yang sah berbanding dengan hanya ahli kelab yang tidak berdaftar sekarang.

Sekarang ini, orang bukan Islam bergabung di bawah Kelab Penyokong PAS.

Ketika ditanya persoalan yang timbul kalau-kalau mereka terasa hanya sebagai ahli kelas dua dalam PAS, Mujahid berkata, perkara itu tidak timbul kerana ini hanya permulaan sahaja selepas kedudukan mereka tidak ada langsung dalam PAS selama ini.

Thursday, July 3, 2008

Najib kenalkan Altantuya kepada Razak Baginda

KUALA LUMPUR, 3 Julai: Penyiasat Persendirian, Balasubramaniam Perumal (Bala) yang dilantik oleh Abdul Razak Baginda dalam pengakuan bersumpahnya berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan Altantuya Shaaribuu kepada Abdul Razak Baginda.

Menurut Bala, Abdul Razak memberitahu perkara ini kepadanya ketika beliau masih menjalankan tugas sebagai Penyiasat Persendirian Abdul Razak dalam menguruskan 'gangguan' yang dibuat Altantuya kepadanya.

Semua ini terkandung dalam pengakuan bersumpah Bala yang didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya pagi Khamis lepas.

Ia telah dibuat Bala pada 1 Julai lalu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurut Bala dalam pengakuan bersumpah itu, Abdul Razak memaklumkan perkara berikut kepadanya:

1) Najib memperkenalkan dia kepada Aminah (Altantuya) di pusat pameran diamond di Singapura.

2) Najib meminta Razak menjaga Aminah (Altantuya) kerana tidak mahu wanita itu menganggunya kerana dia telah menjadi timbalan perdana menteri ketika itu.

3) Najib, Razak dan Aminah pernah bersama-sama makan malam di Paris.

4) Aminah meminta Razak membayarnya USD500,000 kerana dia merasa berhak menerima wang sebanyak itu sebagai bayaran kepada komisyen yang telah mereka perolehi dalam pembelian kapal selam di Paris.

Menurut Bala, dalam waktu yang lain, ketika dalam tugasannya itu juga, Aminah pula mencerita perkara yang sama kepada beliau, iaitu:

1) Dia berjumpa dengan Razak di Singapura bersama Najib.

2) Dia juga makan malam bersama Razak dan Najib di Paris.

3) Dia dijanjikan komisyen sebanyak USD500,000 kerana membantu dalam rundingan pembelian kapal selam di Paris.

Bala juga mendedahkan, beliau telah ditahan dua kali oleh polis ekoran penglibatannya sebagai penyiasat persendirian kepada Abdul Razak.

Dalam tahanan kali kedua, tulis Bala, beliau telah disoalsiasat selama tujuh hari berturut-turut di Bukit Aman.

"Saya memberitahu mereka segala-galanya termasuk semua yang diceritakan oleh Abdul Razak Baginda dan Aminah tentang hubungan mereka dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi apabila saya mahu menandatangani kenyataan itu, perkara itu telah tiada," tulis Bala dalam penyataan bersumpahnya.

"Saya telah memberikan keterangan dalam perbicaraan Azilah, Sirul dan Abdul Razak Baginda di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pendakwaraya tidak pernah bertanya saya berkaitan dengan hubungan Aminah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak atau tentang panggilan yang saya terima dari DSP Musa Safri, orang yang saya percaya adalah ADC kepada Datuk Seri Najib Razak dan/atau isterinya," tulis Bala lagi.

Dalam penyataan itu, Bala berkata, DSP Musa Safri pernah menghubunginya melalui Abdul Razak sejurus sebelum kali terakhir beliau melihat Altantuya.

Menurut Bala, ketika hari Abdul Razak di tahan, dia berada bersama Razak di pejabat peguamnya iaitu kira-kira jam 6.30 pagi.

Abdul Razak memaklumkan kepada beliau, dia telah menghantar mesej kepada Najib petang sebelumnya, kerana tidak dia akan ditahan, tetapi tidak menerima sebarang balasan.

Namun, sekejap sahaja selepas itu, kira-kira jam 7.30 pagi, kata Bala dalam penyataannya, Abdul Razak menerima SMS dari Najib, dan mereka berdua ditunjukkan mesej itu yang berbunyi:

"Saya akan jumpa IGP jam 11 pagi ini...hal ini akan selesai...bersabar." (“ I am seeing IGP at 11.00 a.m. today …… matter will be solved … be cool”)

Menurut Bala, Razak bagaimanapun telah ditahan jam 11 pagi itu juga.

Gantung tugas Najib

KUALA LUMPUR, 3 Julai: PAS mencadangkan Datuk Seri Najib bercuti atau jawatannya digantung buat sementara untuk membolehkan siasatan bebas dibuat ke atasnya dan juga laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini berikutan kenyataan Anwar yang mendedahkan penyataan bersumpah Balasubramanian Perumal (gambar), penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda yang mendedahkan Najib yang memperkenalkan Altantuya kepada Razak Baginda.

Di samping itu Najib juga didakwa oleh Bala, Razak Baginda memberitahunya, Najib ada hubungan sulit dengan wanita Monggolia itu.

Laporan penuh dalam Siasah minggu ini.

Wednesday, July 2, 2008

Muktamar PAS 15 Ogos di Ipoh

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Muktamar Tahunan PAS ke 54 akan diadakan pada 13, 14 & 15 Syaaban 1429 bersamaan 15, 16 & 17 Ogos 2008 bertempat di Dewan Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak Darul Ridzuan, kata Dato’ Kamarudin Jaffar, Pengerusi Muktamar PAS ke 54 yang juga Setiausaha Agung PAS.

Muktamar Dewan Ulamak diadakan pada 13 & 14 Ogos bertempat di Dewan Bandaran Ipoh, manakala Muktamar Dewan Pemuda di Stadium Indra Mulia dan Muktamar Dewan Muslimat di Institut Tadbiran Islam Negeri (INTIM) pada tarikh yang sama.

Dijangka 10,000 orang akan menghadiri Muktamar kali ini, kerana ini julung kali PAS mengadakan Muktamar dalam suasana lima negeri telah diperintah oleh Pakatan, kata Kamarudin.

Untuk memudahkan Urusan Muktamar saya menyeru kepada semua perwakilan yang ingin bantuan penempatan dan penginapan boleh hubungi Saudara Salman Salleh h/p : 013-3848044, katanya.

Bagi melicinkan perjalanan Muktamar diminta perwakilan kawasan-kawasan membuat tempahan awal, seru beliau.

Manakala untuk tempahan gerai jualan boleh menghubungi urusetia gerai Saudara Junus Mohamad h/p : 019-5589582, Saudara Mat Razali h/p : 019-5730243 dan Saudara Shamsul Effendey h/p : 019-5538771.

“Gerai adalah terhad,” tegas Kamarudin dalam kenyataannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...