Monday, June 30, 2008

Pakatan minta badan bebas siasat Anwar berikutan tragedi 1988

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Pakatan Rakyat menuntut agar badan bebas menyiasat dakwaan seorang pemuda berusia 23 tahun, Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak lapan kali.

Ini kerana kredibiliti Polis DiRaja Malaysia sudah hilang di mata rakyat apabila Ketua Polis Negara pada ketika itu sendiri menyebabkan kecederaan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu skandal 1998 lalu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP.

Berikut adalah kenyataan penuh mereka:

PAKATAN Rakyat percaya bahawa laporan polis yang dibuat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya beliau meliwat seorang pembantunya tidak lebih daripada hanya pengulangan pertuduhan tahun 1998 bagi menghancurkan karier politik beliau.

Ini dilakukan sebagai tindakbalas kepada kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat dalam masa terdekat.

Skandal 1998 telah memperlihatkan bagaimana seluruh institusi negara dimanipulasi bagi kepentingan pihak tertentu yang akhirnya dibuktikan satu demi satu pada hari ini. Kredibiliti kerajaan pusat akan hilang di mata rakyat, keyakinan pelabur akan terjejas dan nama Malaysia di mata dunia akan tercemar. Proses membangunkan semula negara akan terganggu dan memakan masa. Oleh itu kami menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan adil dan telus terhadap dakwaan ini.

Oleh kerana kredibiliti Polis DiRaja Malaysia sudah hilang di mata rakyat apabila Ketua Polis Negara pada ketika itu sendiri menyebabkan kecederaan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu skandal 1998, kami menuntut agar suatu badan bebas khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terbaru ini.

Dato' Seri Anwar juga percaya terdapat cubaan yang mengancam nyawa beliau sehingga memaksa beliau meminta perlindungan di Kedutaan negara luar. Pihak berkuasa perlu mengambil segala tindakan yang sepatutnya demi menjamin keselamatan beliau dan memberikan peluang sewajarnya untuk beliau mempertahankan diri bagi dakwaan kali ini.

Dokongan Terhadap Gabungan PROTES

Kami juga menyeru rakyat Malaysia agar tidak hilang fokus terhadap permasalahan sebenar yang memberikan kesan kepada kehidupan harian iaitu kenaikan harga minyak yang telah dibuat tanpa kewajaran.

Sekali lagi Pakatan Rakyat mengulangi sokongan penuh kepada Gabungan Protes yang berkempen mendesak penurunan harga minyak sebagai langkah utama untuk mengurangkan beban rakyat.

Pakatan Rakyat akan turut hadir bersama Gabungan Protes pada 6 Julai 2008 di Padang Timur, Petaling Jaya untuk memberi sokongan penuh kepada rakyat.

Buku Merah bakal membunuh Umno

Oleh Mohd Eslah Putra

KUALA LUMPUR, 30 Jun: BUKU "Tataetika Ahli Umno" berwarna merah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Parti itu yang mengariskan tatacara pemilihan pucuk pimpinan Disember hadapan disifatkan terlalu kejam dan boleh membunuh demorkasi dalam Umno.

Kesan dari etika yang 'tidak beretika' berkenaan juga menyebabkan Umno boleh hancur dan terkubur pada pilihan raya umum akan datang.

Demikian tanggapan dan komentar beberapa ahli Umno berhubung larangan yang terkandung dalam buku berkenaan yang kini sedang diperkatakan oleh kalangan Umno.

Menurut Naib Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Norasidi Salim peraturan yang termuat di dalam buku itu menjadikan Umno kini seperti parti cowboy di mana pemimpinnya boleh melakukan apa saja yang mereka sukai.

"Pada saya Umno kini sudah jadi parti cowboy yang boleh lakukan apa saja termasuk memperkenalkan undang-undang rimba," ujarnya.

(Dapatkan laporan lanjut dalam Siasah edisi cetak sekarang)

Sanglang: PAS rayu ke Mahkamah Persekutuan

KANGAR, 30 Jun: Calon PAS di Dun Sanglang, Ustaz Hashim Jasin telah memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kangar yang memutuskan pilihan raya Dun berkenaan tidak sah.

PAS memohon dalam rayuan itu agar Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Ustaz Hashim Jasin adalah pemenang yang sah untuk pilihan raya itu bukannya setakat mengisytiharkan pilihan raya itu tidak sah.

Ini kerana, dalam perbicaraan itu, para defendan iaitu SPR dan calon BN mengaku berlaku salah pengumuman oleh Pengurus Pilihan Raya semasa pengisytiharan calon 8 Mac lalu.

Sepatutnya, calon PAS Hashim Jasin diisytiharkan menang tetapi pegawai pengurus itu mengistiharkan calon BN yang menang.

Dalam keputusannya, Hakim Pilihan Raya Kangar memutuskan pilihan raya itu batal dan tidak sah selepas petisyen dibuat oleh Hashim.

Ini kerana, selepas kes Wee Choo Keong pada tahun 2003, pindaan telah dibuat terhadap akta pilihan raya di mana Mahkamah Pilihan Raya tidak lagi boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan mana-mana calon menang tetapi hanya boleh memutuskan sesuatu pilihan raya itu sah atau sebaliknya.

Sementara itu, Umno Perlis sudah mula turun ke kawasan pilihan raya itu untuk membuat persiapan. Majlis Tertinggi Umno juga dikatakan sedang menimbangkan samada pemilihan PARTI peringkat cawangan Umno yang sepatutnya bermula Julai hendak diteruskan atau tidak ekoran kemungkinan pilihan raya kecil kawasan Sanglang.

Namun, SPR tidak boleh mengisytiharkan pilihan raya kecil diadakan sehinggalah prosedur petisyen mahkamah ini selesai.

Saturday, June 28, 2008

Anwar bakal hadapi tuduhan liwat lagi?

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Cerita lama bakal berulang kembali. Itulah yang diramalkan oleh para petugas Parti Keadilan Rakyat apabila seorang petugas pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bahri ditangkap polis petang tadi.

Mereka mendakwa, Saiful ditahan dengan alasan diliwat dan pelakunya didakwa Anwar Ibrahim sebagaimana dakwaan Azizan sebelum ini.

“Kami menjangka Anwar akan ditahan malam ini atau dalam dua tiga hari ini,” kata Ketua Pengarang Suara Keadilan, Zulkifly Anuar Ul Haq atau Zunar ketika dihubungi Siasah.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Arfa’eza Aziz juga memaklumkan perkara yang sama lepada Siasah.

Menurut mereka, Saiful Bahri mula bekerja di pejabat Anwar selepas pilihan raya umum ke 12 lalu.

“Mengikut maklumat yang kami tarima, Saiful dipaksa mengaku diliwat Anwar,” kata mereka berdua.

Bukti akan didedah di mahkamah, kata Raja Petra

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Pengendali laman web Malaysia-today.net berkata, beliau akan mendedahkan segala bukti yang dinyatakan dalam akuan berumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu semasa perbicaraan berlangsung kelak.

Bagi beliau, mendedahkan segala bukti yang ada dimahkamah lebih penting dari menjawab segala kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak sekarang.

Raja Petra turut memberikan alasannya yang tidak melaporkan dakwaan terbarunya itu kepada polis.

Beliau berkata tindakannya itu disebabkan laporan yang pernah dibuatnya pada tahun 2002 tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak polis, bahkan mendakwa dipukul oleh seorang pegawai polis – oleh itu, beliau tidak yakin lagi untuk melaporkannya kepada polis.

Kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika ini bertambah hangat dengan akuan berkanun yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin pada 18 Jun 2008 yang lalu.

Dalam akuan tersebut Raja Petra menyatakan;

* Rosmah Mansor isteri Najib merupakan salah seorang daripada tiga individu yang ada di tempat kejadian. Dua orang lagi ialah Leftenan Kolonel Aziz Buyong (pakar letupan C4 – orang yang b ertanggung meletakkan C4 pada tempat-tempat tertentu badan Altantuya, dan isteri Aziz, yang juga pengawal peribadi Rosmah.

* PM Abdullah ada menerima laporan bertulis dari pihak perisikan tentera dan beliau menyerahkan laporan tersebut kepada menantunya untuk disimpan dengan selamat.

* Seorang Sultan juga telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan menyedari tentang tuduhan berkenaan. Dalam akuan tersebut, nama-nama seperti Rosmah Mansor (isteri TPM), Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan Khairy Khairy Jamaluddin disebut dengan jelas. Malah Rosmah dikaitkan secara langsung dalam pembunuhan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan telah mengambil keterangan daripada Khairy Jamaluddin, Rosmah dan dua individu lagi yang dikaitkan dengan kes ini, seperti yang dinyatakan dalam akuan Raja Petra, iaitu seorang yang didakwa berpangkat kolonel dan isterinya, pengawal peribadi Rosmah.

Namun akuan bersumpah itu segera dinafikan oleh mereka. Abdullah dengan tegas menyatakan tidak menerima apa-apa laporan bertulis dari pihak perisikan tentera, bahkan menantu beliau, Khairy Jamaluddin turut menafikan ada menyimpan laporan tersebut. Pada masa yang sama Khairy turut menyifatkan akuan berkanun tersebut berniat jahat dan mencemarkan kredibiliti beliau.
perdana menteri Datuk Seri Najib Razak turut menafikan bahawa isterinya Rosmah terbabit dalam pembunuhan Altantuya seperti didakwa oleh Raja Petra Kamarudin pengendali blog Malaysia Kini.

Dalam perkembangan lain, suatu usul tergempar dikemukakan oleh ahli parlimen DAP, bagi membincangkan dakwaan Raja Petra Kamarudin yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan Altantunya Shaariibuu. Lim berkata akuan bersumpah penulis tersebut sesuatu yang serius.

Namun usul tergempar yang diserahkan oleh wakil Ipoh Timur, bagi membincangkan dakwaan yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan Altantunya Shaariibuu ditolak.

Timbalan yang dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul Lim Kit Siang itu dengan alasan subjudis terhadap perbicaraan kes itu yang sedang berlangsung.

Friday, June 27, 2008

Datuk Mustafa Ali sertai dunia blogger

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Di mana sahaja beliau bercakap, Datuk Mustafa Ali tidak segan silu mengaku beliau 'buta IT" tetapi apabila semua sudah menjadi blogger, beliau menyertai dunia ini dengan membuka blognya sendiri 'padapendapatsaya.blogspot.com' mulai 24 Jun lalu.

Tulisan pertama beliau dipostingkan hari ini.

Dengan nama blognya, Politik Malaysia, Mustafa mula menulis hari ini dan beliau nampaknya menjadikannteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai sasarannya.

Mustafa, kini Pengarah Pilihan Raya PAS dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, melahirkan rasa tidak puashati dengan cara Khalid mengendalikan Selangor ala CEOnya manakala untuk Lim Guan Eng pula beliau tidak senang cara Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengkritik Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak.

"Sebagai MB, Khalid perlu bertindak sebagai seorang MB bukan seumpama seorang CEO. Sebagai MB, Khalid perlu merujuk kepada rakan-rakan dalam barisan Exconya serta juga rakan-rakan pimpinannya dalam PKR di samping parti-parti dalam Pakatan sebelum mengambil sebarang tindakan," tulis Mustafa dalam blognya.

Untuk Lim Guan Eng pula beliau menulis:-

"Namun demikian, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng tidaklah boleh menyerang Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak begitu sahaja tanpa merujuk dan secara yang berlapik.Apatah lagi alasan yang dibuat oleh Lim Guan Eng ketika menyerang Azizan adalah MB Kedah itu mengambil syarikat pembalakan dari Sarawak yang baik dengan kerajaan BN.

"Kalau begitu apa bezanya tindakan Lim Guan Eng di Pulau Pinang melantik seorang pemimpin Gerakan mengetuai sebuah syarikat GLC terpenting di Pulau Pinang. Ini bukan hubungan perniagaan lagi. Ini membawa masuk musuh ke dalam rumah tangga kita yang sudah pasti lagi bahaya dari setakat berhubungan perniagaan sebagaimana yang cuba dibuat oleh MB Kedah itu," tulis Mustafa dalam blognya.

Baca tulisan Mustafa sepenuhnya di sini:-
http://padapendapatsaya.blogspot.com/

Tuesday, June 24, 2008

Selepas nasi kerabu dan nasi dagang kini Ar Rahn menyerang Kuala Lumpur

Oleh : Hamdan MS

KUALA LUMPUR, 24 Jun: Selepas nasi dagang, nasi kerabu dan pelbagai jenis kueh mueh dari Kelantan dinikmati dengan baik oleh orang luar negeri itu, sistem pajak gadai pula mula mendapat tempat.

Sistem pajak gadai Islam Ar Rahn yang berasal dari Kelantan kini berkembang ke luar negeri dengan masyarakat ibu kota Kuala Lumpur menjadi pihak yang pertama menikmatinya selepas penduduk Kelantan.

Cawangan pertama Ar Rahn luar Kelantan dibuka dengan rasminya oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat di Jalan Raja Laut, (depan Pejabat Agung PAS), Kuala Lumpur semalam.

Ar-Rahn adalah merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan cawangan Jalan Raja Laut adalah cawangan Ar-Rahn yang ke 12.

Ia merupakan sistem gadaian Islam yang telah ditubuhkan sejak tahun 1992 lagi di negeri Kelantan. Kini Ar-Rahn telah mengorak langkah untuk membuka lebih banyak cawangan lagi terutamanya di utara tanah air.

Antara faktor yang menyebabkan pembukaan kepada cawangan baru ini ialah permintaan yang tinggi kepada perniagaan ini selain daripada lokasi yang sesuai.

Ar-Rahn juga adalah merupakan satu unit bisnes Permodalan Kelantan Bhd, sebanyak RM160juta telah direkodkan sebagai urusniaga di Ar-Rahn ini.

Di majlis pembukaan tersebut, Tuan Guru Nik Aziz telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Wan Yahya Wan Salleh di majlis yang sederhana yang dihadiri oleh 100 orang hadiri.

Nik Aziz juga telah menyarankan bahawa, sistem gadaian Islam Ar-Rahn ini tidak mengamalkan riba, seperti mana ianya adalah haram dan beliau juga mengatakan bahawa kelebihan Ar-Rahn adalah berasakan syariah Islam yang berteraskan telus dan adil.

Ar Rahn bakal menjadi pusat perkhidmatan kewangan warga kota tambahan lagi dengan ekonomi yang serba mencengkam mereka sekarang ini.

Monday, June 23, 2008

Sekampit beras untuk satu keluarga miskin

SEREMBAN, 23 Jun: Nampak kecil iaitu hanya sekampit beras untuk satu keluarga. Namur bagi yang miskin, ia satu sumbangan yang bermakna untuk mereka.

Inilah yang cuba dibuat oleh PAS Negeri Sembilan melalui program “Sekampit Beras Setiap Keluarga Setiap Bulan”.

Program yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan bertujuan untuk membantu keluarga miskin dan yang memerlukan dari pelbagai lapisan kaum dan agama.

Hari pertama ia dilancarkan, sebanyak 12 kampit beras telah diserahkan oleh para penderma semasa majlis ceramah umum yang telah diadakan di Pusat Khidmat DUN Paroi pada 18 Jun 2008.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Hj Omar menyeru kepada semua mereka yang berkemampuan terutamanya di kalangan AJK serta ahli PAS secara khususnya serta orang ramai agar tampil ke hadapan untuk membantu keluarga miskin yang semakin ramai sekarang ini akibat kenaikan harga minyak.

Protes kenaikan harga minyak



BERBASIKAL TANDA PROTES...Empat anggota Parlimen dari Pakatan Rakyat mengayuh basikal dari Bank Negara ke Bangunan Parlimen hari ini bagi melahirkan protes mereka terhadap kenaikan harga minyak baru-baru ini. Dari kanan adalah N. Gobalakrishnan (Padang Serai), Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Baru), Hee Loy Siang (Petaling Jaya Selatan) dan Chua Tian Chan (Batu). Gambar dari Malaysiainsider.com.

Tangguh Dewan untuk bincang dakwaan Raja Petra

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Ipoh Timur) mengemukakan usul tergempar hari ini agar Dewan Rakyat membincangkan dakwaan pengendali blog malaysia-today.net, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri menyaksikan pembunuhan Altantuya Syariibuu.

Raja Petra dalam statutory declarationnya hari ini mendakwa, Rosmah menyaksikan seorang Leftenan Kolonal angkatan tentera memasang peledak C4 pada badan Altantuya sebelum ia diletupkan.

Turut menjadi saksi kejadian itu adalah isteri pegawai angkatan tentera itu, dakwa Raja Petra dalam statutory declarationnya yang disiarkan dalam blog itu.

Lim Kit Siang mengemukakan usul untuk menangguhkan sidang dan membincangkan perkara itu di bawah Standing Order 18 (1).

Friday, June 20, 2008

Dakwa seleweng: Laporan polis dibuat ke atas Dewan Usahawan Industri Desa

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Selepas usaha melalui mesyuarat agung gagal bahkan menerima surat tunjuk sebab pula, Pemeriksa Kira-kira 2 Dewan Usahawan Industri Desa (Duid) Malaysia, Mohd Zabri Muda (gambar) mengambil keputusan membuat laporan polis.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi 7 Jun lepas, selepas kira-kira seminggu menerima surat tunjuk sebab dari Duid ekoran keengganan beliau menandatangani laporan tahunan badan bukan kerajaan itu.

Zabri yang datang sendiri ke pejabat Siasah berkata, beliau telah cuba menyelesaikan isu apa yang dinamakan beliau sebagai 'penyelewengan jutaan ringgit wang dari kerajaan' tetapi tidak berjaya.

"Bagi menjaga kepentingan saya selepas diberikan tunjuk sebab dan atas keyakinan saya bahawa apa yang saya buat betul, saya mengambil keputusan membuat laporan polis berkaitan dengannya," kata Zabri kepada Siasah.

Ekoran laporan itu, Zabri telah diambil kenyataan selama lebih empat jam oleh Pegawai Penyiasat dari Balai Polis Dang Wangi berkaitan dengan laporan itu.

Menjelang Mesyuarat Agung Duid pada 26 Mac lalu, Zabri telah dipanggil dua kali oleh Exco Duid untuk menandatangani laporan akaun Duid untuk dibentangkan dalam mesyuarat itu.
Namun, selepas beberapa soalan berkaitan akaun itu gagal dijawab dengan memuaskan oleh mereka, Zabri mengambil keputusan tidak mahu menandatanganinya.

Duid adalah sebuah NGO yang ditubuhkan dengan sokongan kerajaan untuk memajukan industri desa di negara ini.

Untuk itu, pelbagai jenis geran diterima dari badan kerajaan dan kementerian untuk membolehkan Duid menjalankan aktiviti untuk ahlinya atas nama membangunkan industri desa.

Antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan juga Kementerian Kewangan di samping badan kerajaan yang lain.

Namun, sebagai pemeriksa kira-kira, Zabri mendakwa pelbagai keraguan timbul dalam laporan akaunnya yang menyebabkan beliau sebagai juruodit membuat penyiasatan.

Namun, kerana membuat penyiasatan itu, Zabri telah dipersalahkan oleh Duid dan menjadi salah satu dakwaan yang dinyatakan dalam surat tunjuk sebab terhadap beliau.

Antaranya:-

"Sebagai Pemeriksa Kira-kira 2 Duid, tuan telah membuat penyiasatan dengan mengambil dokumen/penyata kewangan daripada pejabat Setiausaha Syarikat dengan niat jahat tanpa kebenaran pihak pengurusan.

"Sebagai Pemeriksa Kira-kira 2 Duid, tuan dengan niat jahat enggan menandatangan Penyata Kewangan Duid bagi tahun berakhir 2005, 2006 dan 2007 untuk dibentang dalam mesyuarat agung tahunan Duid kali ke 7..."

Menurut Zabri dalam laporan polisnya, tuduhan itu menafikan haknya sebagai pemeriksa kira-kira dan ahli Duid.

"Ini berpunca kerana Ahli Jawatankuasa telah mengetahui saya memiliki maklumat tentang penyalahgunaan kuasa oleh Ahli Jawatankuasa dan penyelewengan wang berjumlah jutaan ringgit milik Duid khususnya wang sumber daripada peruntukan kerajaan melalui pelbagai kementerian berlaku dalam jangkamasa hampir lebih kurang lapan tahun," tulis Zabri dalam laporan polisnya.

Bagi Zabri, surat tunjuk sebab tersebut bertujuan untuk menghalang dia dari mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan serta menyingkir beliau dari Duid secara terancang.

Beliau berkata, tujuan laporan itu dibuat adalah untuk keselamatan dan mempertahankan dirinya di samping memohon polis menyiasat peruntukan wang kerajaan ini untuk kepentingan usahawan kecil luar bandar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Duid, Wan Mansor Wan Omar ketika dihubungi Siasah berkata, beliau tidak tahu menahu lagi tentang laporan polis itu.

Beliau juga berkata, pihaknya akan memberikan reaksi selepas laporan ini disiarkan oleh Siasah nanti kerana beliau juga perlu merujuk kepada Mesyuarat Duid yang akan diadakan hujung bulan ini.

Beliau berjanji akan memberikan penjelasan mengenainya selepas berbincang dengan Presiden dan AJK yang lain.

Jika adakan pilihan raya semula Dun Sanglang: PAS akan saman SPR

ARAU, 20 Jun: PAS mempertimbangkan untuk menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan tuntutan gantirugi jika badan pengendali pilihan raya itu mengisytiharkan diadakan pilihan raya semula untuk Dun Sanglang.

Ini kerana, dalam perbicaraan kes itu jelas, pihak SPR dan peguam calon BN telah mengaku berlaku kesilapan pengumuman keputusan pemenang pilihan raya itu.

Ini bermakna, mahkamah telah mengesahkan rakyat telah membuat keputusan memenangkan calon PAS dalam pilihan raya itu.

Demikian kata peguam Ustaz Hashim Jasin, calon PAS Dun Sanglang, Mohamed Hanipa Maidin selepas Mahkamah memutuskan keputusan pilihan raya itu tidak sah dan batal.

Sepatutnya, kata Hanipa, mahkamah mengisytiharkan Hashim Jasin menang dalam pilihan raya itu setelah kedua-dua pihak defendan (SPR dan calon BN) mengaku berlaku kesilapan pengumuman.

"Yang menjadi masalah adalah pada tahun 2003, berikutan kes Wee Choo Keong, satu pindaan kepada undang-undang pilihan raya telah dibuat yang menetapkan mahkamah tidak boleh mengisytiharkan mana-mana pihak memenangi pilihan raya itu.

"Mahkamah hanya berhak mengisytiharkan pilihan raya itu sah atau tidak sah sahaja dan terserah kepada SPR untuk mengumumkan samada perlu diadakan pilihan raya kecil atau mengisytiharkan pemenangnya," jelas Hanipa yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS.

Menurut Hanipa, kini PAS mempunyai tiga pilihan berikutan kes ini.

"Pertama, rayu ke Mahkamah Persekutuan. Kedua memfailkan agar dibuat penilaian perundangan agar menggantikan nama calon BN yang telah digezetkan dengan nama calon PAS yang sebenarnya menang dan ketiga menyaman SPR jika pengendali pilihan raya itu mengisytiharkan pilihan raya semula untuk Dun Sanglang."

Menurut Hanipa, pada 28 Mei, ketika perbicaraan itu berjalan, peguam yang mewakili SPR telah mengaku berlaku kesilapan pengumuman dalam pilihan raya itu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Yang sepatut diumumkan menang adalah Hashim Jasin tetapi pegawai pengurus itu mengisytiharkan calon BN yang menang.

Pada 4 Jun pula, peguam yang mewakili Umno mengaku berlaku kesilapan itu.

"Bagi saya, Parlimen perlu membuat pindaan terhadap peruntukan tidak boleh mengisytiharkan pemenang ini walaupun didapati menang dalam perbicaraan di mahkamah.

"Jika dibiarkan, akan berlaku salah guna kuasa dimana undang-undang ini boleh disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan.

"Misalnya, calon BN kalah. Tetapi pegawai SPR umumkan dia menang. Bila dibawa ke mahkamah, terbukti calon BN kalah, lalu dibatalkan keputusan itu dan diadakan pilihan raya semula sebagaimana yang berlaku dalam kes ini. Padahal yang sebenarnya calon BN memang kalah. Ini bermakna, ia terdedah kepada salah guna," jelas Hanipa.

Ketika ditanya kes Pasir Puteh dimana Mahkamah mengisytiharkan calon BN yang menang sedangkan ketika keputusan pilihan raya calon PAS yang diisytiharkan menang, Hanipa menjelaskan;

"Dalam kes itu, kedua-dua pihak secara baik berunding dan bersetuju untuk mengaku calon Umno yang sepatutnya menang tetapi calon PAS tersalah diisytihar. Mahkamah hanya mengumumkan keputusan itu tanpa perbicaraan," katanya.

Tetapi dalam kes Sanglang ini, calon BN menafikan SPR tersalah umum pada peringkat awalnya bahkan memfailkan permohonan untuk membatalkan petition PAS itu.

"Setelah bicara baru calon Umno dan SPR mengaku tersalah umum," jelas Hanipa.

Tuesday, June 17, 2008

Anwar bakal pilih Permatang Pauh?

SHAH ALAM, 17 Jun: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili beliau sekarang adalah salah satu dari tiga kerusi pilihan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding dalam pilihan raya kecil untuk membolehkan beliau menjadi anggota Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak fakir Anwar dan partinya, PKR akan memilih Bandar Tun Razak untuk dijadikan tempat bertanding dalam pilihan raya kecil kerana ia bukan kawasan selamat.

“Saya adalah pihak yang paling gembira jika Anwar memilih kerusi itu tetapi melihat kepada peluang untuk menang, saya tidak fikir ia kerusi pilihan,” kata Khalid ketika ditanya Siasah dalam pertemuannya dengan ketua-ketua pengarang media di kediaman rasmi MB Selangor petang ini.

Lebih 30 pengarang kanan media termasuk ketua pengarang menyertai sessi yang berlangsung lebih dua jam itu.

Sebelum ini, Siasah melaporkan, kawasan Parlimen Bandar Tun Razak antara kawasan pilihan Anwar jika beliau perlu bertanding dalam pilihan raya kecil memandang Khalid adalah juga Menteri Besar Selangor di samping anggota Parlimen kawasan itu.

Menurut Khalid, beliau hanya menang dengan majoriti tidak sampai 3,000 undi sahaja dalam pilihan raya lalu dan bukanlah satu kawasan yang selamat untuk Anwar.

Dua lagi kawasan yang disebut-sebut menjadi fokus Anwar adalah kawasan yang diwakili isterinya, Dr Wan Azizah Ismail iaitu Permatang Pauh dan kawasan yang diwakili anaknya, Nurul Izaah, Lembah Pantai.

Dalam pilihan raya umum lalu, Khalid menang dengan majoriti 2, 515, Wan Azizah menang dengan majoriti 13, 888 di Permatang Pauh manakala Nurul Izzah menang dengan majoriti 2, 895 undi.

Bagi memastikan kemenangan, Permatang Pauh dipercayai bakal menjadi pilihan Anwar jika beliau memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil.

Walaupun Anwar pernah menyebut berminat untuk bertanding di Perak namun factor kawasan selamat untuk Anwar dijangka menjadi penyebab utama sesuatu kawasan itu dipilih.

“Saya merasai sendiri bagaimana berada dalam suasana semua jentera BN memberikan tumpuan kepada suatu kawasan dalam satu pilihan raya kecil iaitu dalam pilihan raya kecil Ijok. Tidak boleh bergerak kita,” kata Khalid.

Monday, June 16, 2008

Bila pemandangan sebegini mau berubah?

Seorang pembaca blog ini, kulatlapok.blogspot.com menghantar gambar ini untuk dikongsi bersama. Menurutnya, ini adalah pemandangan biasa di negeri Sabah. Aduhai kesiannya. Harap-harap dengan suasana yang ada sekarang, ia bakal merubah situasi ini ke arah yang lebih baik.

Air percuma: Pecat pegawai yang susahkan rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Jun: “Pecat pegawai kerajaan yang anti rakyat dan tidak patuhi arahan kerajaan.”

Itu cadangan anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ketika mengulas cerita kong kalikong antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bh (Syabas) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

“Buat apa kita simpan pegawai sebegini. Bukan sahaja menyusahkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat yang mahukan air percuma,” kata Dr Lo’ Lo’.

Beliau mengulas tindakan Syabas menolak cadangan KDEH, anak syarikat kerajaan negeri Selangor untuk membolehkan rakyat Selangor menikmati air percuma mulai 1 Jun ini.

Syabas adalah pemegang konsesi pembekalan air di Selangor. KDEH pula adalah anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor yang turut mempunyai saham yang terbesar (lebih 50 peratus) dalam Syabas.

Yang dibimbangi oleh Dr Lo’ Lo’ adalah pegawai kanan yang menjaga kedua-dua syarikat yang sepatutnya dikawal oleh kerajaan negeri Selangor itu bermain kong kalikong dengan Menteri Besar.

“Jika dibiarkan, kerajaan pun susah dan yang marah lagi adalah rakyat yang sepatutnya menerima manafaat ini,” kata Lo’ Lo’.

Bagaimanapun beliau lega dengan jaminan Menteri Besar bahawa 20 meter padu air percuma tetap diberikan kepada rakyat Selangor mulai 1 Jun lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, rakyat negeri Selangor akan diberikan air percuma 20 meter padu setiap rumah.

Pada 9 Jun, Syabas telah menerima surat akujanji dari KDEB untuk membolehkan pelaksanaan bekalan air percuma dimulakan 1 Jun ini dengan bil air untuk pengguna akan mula dipotong hujung bulan ini.

Namun kini, Syabas nampaknya cuba menyusahkan usaha kerajaan negeri Selangor ini.

Sebaliknya, Syabas mencadangkan agar pihaknya mengebilkan terus air percuma yang diberikan kepada rakyat negeri Selangor kepada KDEB dan mesti dibayar dalam masa 14 hari, jika tidak pemberian percuma ini akan diberhentikan.

“Syabas tak bersetuju dengan akujanji pihak KDEB yang mencadangkan pembayaran bil-bil air yang diberikan percuma kepada kepada pengguna hanya akan dibuat oleh pihak KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Negeri Selangor oleh pihak KDEB siap sepenuhnya pada bulan September 2008 ini,” kata Ruslan.

Ini kerana, katanya, cadangan pihak KDEB ini akan secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi Syabas.

Sebaliknya, Syabas mencadangkan bil-bil air percuma itu dibayar dalam masa 14 hari selepas Syabas menghantar bil itu kepada KDEB.

“Kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan ini akan menyebabkan Syabas teraksa menghentikan program pemberian air percuma ini,” kata Ruslan dalam kenyataannya.

Dilema Najib: Mencabar Abdullah atau menunggu dia berundur

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang berada di persimpangan. Mencabar bosnya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau membiarkan pihak lain mencabar dan menerima risiko tidak akan merasa kerusi Presiden Umno dan Perdana Menteri itu.

Sehingga kini, Tengku Razaleigh Hamzah sudah mengesahkan akan mencabar Presiden Umno dalam pemilihan parti Disember nanti. Yang sedang diusahakan oleh beliau sekarang adalah mencukupkan pencalonan untuk membolehkan beliau bertanding.

Untuk itu, pelbagai usaha telah dibuat oleh beliau dan penyokongnya termasuk menawarkan jawatan kanan kepada pemimpin Umno di Sabah.

Najib kekal dengan sikapnya tidak mahu melawan bos, sekurang-kurangnya di mata umum.
Namun, usaha keras sedang dibuat oleh penyokong dan petugas-petugas beliau untuk menekan Abdullah agar berundur menjelang perhimpunan Umno nanti untuk membolehkan Najib memegang jawatan itu secara yang baik.

Yang menjadi dilema beliau adalah bagaimana kalau Abdullah enggan berundur kerana mengikut pelan Abdullah sendiri dia akan berundur selepas 2010 nanti.

“Jika begitu, tetap aka nada orang yang akan mencabar Abdullah. Bagaimana kalau orang itu bukan Najib. Ku Li misalnya dan menang pula kerana peluang untuk menjatuhkan Abdullah dalam suasana sekarang sangat tinggi. Apa nasib Najib selepas itu?” kata satu sumber.

Oleh itu, Najib tidak boleh menolak faktor beliau akan terlepas peluang untuk menjadi presiden Umno jika tidak bertanding kali ini.
Rakan sepasukan Najib kini adalah Tan Sri Muhyidin Yasin yang nampaknya lebih vokal dalam menyampaikan hasrat dan menekan agar Abdullah berundur sebelum Disember ini.

“Muhyidin sudah mengesahkan akan bertanding timbalan presiden. Running mate beliau adalah Rais Yatim yang akan bertanding naib presiden. Jadi, ke mana Najib kalau tidak bertanding presiden. Ini yang Najib tak mahu lakukan. Sebab itu, cara yang diambil Najib adalah memberikan tekanan kepada Abdullah agar berundur dengan baik. Ini yang dinamakan mempercepatkan proses peralihan kuasa,” kata satu sumber Umno kepada Siasah.

Menurut sumber itu juga, pelbagai cara dilakukan Najib untuk menekan Abdullah.

Di Terengganu, orang Najib dikatakan datang dan bekerjasama dengan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) untuk kempen menyerahkan balik royalty minyak kepada kerajaan negeri Terengganu.

“Ini adalah usaha untuk menekan Abdullah,” kata sumber itu.

Dalam kes kenaikan harga minyak juga ada unsur tekan menekan ini.

“Najib memperlihatkan sokongan kepada pengumuman Abdullah menaikkan harga minyak padahal dia tahu rakyat marah dengannya. Ini pun sebenarnya satu usaha untuk memberikan tekanan kepada Abdullah,” kata seorang wartawan kanan.

Persoalan kewajaran Najib untuk memimpin Umno juga dibangkitkan kerana beliau terpalit dengan pelbagai skandal. Dari Altantuya hinggalah skandal pembelian pelbagai jenis peralatan tentera.

“Walaupun Najib dilihat tidak bersih dan terpalit dengan pelbagai skandal tetapi Umno tidak ada pilihan. Jika tidak mahu Abdullah, Najiblah sahaja pilihannya,” kata wartawan itu lagi kepada Siasah.

Dalam pada itu, Abdullah sendiri dikatakan mula membina pasukan sendiri setelah para penyokong beliau tahu Najib bukanlah pihak yang boleh dipercayai untuk mempertahankan dirinya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan disebut-sebut sebagai ‘running mate’ Abdullah.

“Mohamad Hassan telah umumkan akan bertanding untuk naib presiden. Dan tidak mustahil beliau juga akan dicalonkan untuk timbalan presiden. Nampaknya, mengikut perkiraan Abdullah, Najib akan kekal bersamanya. Tetapi jika apa-apa berlaku, Mohamad Hassan yang akan bertanding timbalan presiden melawan Muhyidin,” kata satu sumber kepada Siasah.

Kenapa Mohamad Hassan?

“Mengikut orang Abdullah, Mohamad Hassan tidak dilihat terlalu ambitious. Lagipun, beliau antara pemimpin yang sedang naik dalam Umno sekarang,” kata sumber itu lagi.

Thursday, June 12, 2008

Dahlah luka DBKL mari sapukan garam pula, kata Dr Lo' Lo'

KUALA LUMPUR, 12 Jun: Semalam di umumkan, hari ini anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali turun ke Jalan Pahang Barat dekat sini bagi membuat protes kenaikan kadar parking di Kuala Lumpur.

Jalan Pahang adalah sebagian dari jalan yang menerima sistem baru meter parking yang dibuat secara elektronik ini.

Kalau sebelum ini, kawasan Pekeliling Busines Centre tidak terkena sebarang bayaran parking, mulai Isnin 16 Jun depan, pemilik kenderaan di situ juga mula dikenakan bayaran parking dengan kadar baru 80 sen sejam ini.

Dr Lo' Lo' bersama pemilik kenderaan sekitar jalan pahang telah berdemo bagi membantah kenaikan parking itu.

Beliau menyifatkan DBKL kejam.

"Dahlah rakyat luka dengan kenaikan harga minyak, DBKL datang menyapukan garam pula ke atas luka ini," katanya membantah.

Kawasan Jalan Pahang terletak di bawah parlimen Titiwangsa yang diwakili beliau.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Dato' Ab Hakim Borhan berkata, Sistem Letak Kereta Eletronik (SLKE) berkuatkuasa Isnin ini dan pemilik kenderaan dikehendaki membayar caj 80 sen sejam bagi setiap petak letak kereta di pusat bandar berbanding hanya 60 sen sekarang.

"Bagaimanapun kadar letak kereta di luar pusat bandar (pinggir bandar) dikurangkan 10 sen kepada 50 sen sejam," katanya kepada pemberita semasa Program Datuk Bandar Bersama Media di DBKL di semalam.

Beliau juga mengumumkan lanjutan tempoh masa bayaran letak kereta bermula 7.30 pagi hingga ke 10 malam sepanjang tujuh hari seminggu, berbanding sekarang 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, kecuali Ahad dan cuti umum.

Buat permulaan kadar dan langkah-langkah baru itu hanya dilaksanakan di kawasan yang dilengkapi dengan SLKE bagi fasa pertama iaitu di kawasan Bukit Bintang, Masjid India, Jalan Sultan Ismail, Kampung Baru, Chow Kit, Pudu, Kompleks Damai dan Jalan Loke Yew.

Monday, June 9, 2008

Air percuma: Syabas tolak cadangan kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini menolak cadangan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEH), anak syarikat kerajaan negeri Selangor untuk membolehkan rakyat Selangor menikmati air percuma mulai 1 Jun ini.

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan dalam satu kenyataan media.

Syabas adalah pihak pemegang konsesi pembekalan air di Selangor. KDEH pula adalah anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor yang turut mempunyai saham yang besar dalam Syabas.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, rakyat negeri Selangor akan diberikan air percuma 20 meter padu setiap rumah.

Pada 9 Jun, Syabas telah menerima surat akujanji dari KDEB untuk membolehkan pelaksanaan bekalan air percuma dimulakan 1 Jun ini dengan bil air untuk pengguna akan mula dipotong hujung bulan ini.

Namun kini, Syabas nampaknya cuba menyusahkan usaha kerajaan negeri Selangor ini.

Sebaliknya, Syabas mencadangkan agar pihaknya mengebilkan terus air percuma yang diberikan kepada rakyat negeri Selangor kepada KDEB dan mesti dibayar dalam masa 14 hari, jika tidak pemberian percuma ini akan diberhentikan.

“Syabas tak bersetuju dengan akujanji pihak KDEB yang mencadangkan pembayaran bil-bil air yang diberikan percuma kepada kepada pengguna hanya akan dibuat oleh pihak KDEB selepas cadangan penstrukturan semula sistem bekalan air di Negeri Selangor oleh pihak KDEB siap sepenuhnya pada bulan September 2008 ini,” kata Ruslan.

Ini kerana, katanya, cadangan pihak KDEB ini akan secara langsung menjejaskan aliran tunai Syabas dan boleh menjejaskan operasi Syabas.

Sebaliknya, Syabas mencadangkan bil-bil air percuma itu dibayar dalam masa 14 hari selepas Syabas menghantar bil itu kepada KDEB.

“Kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan ini akan menyebabkan Syabas teraksa menghentikan program pemberian air percuma ini,” kata Ruslan dalam kenyataannya.

Sunday, June 8, 2008

Harga minyak turun segera selepas Pakatan memerintah - Anwar

PETALING JAYA, 8 Jun: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, Pakatan Rakyat akan menurun segera harga minyak kepada harga asal atau atau lebih rendah sebaik sahaja diberikan mandat untuk memerintah negara.

“Jika saya gagal melaksanakannya, saya akan meletakkan jawatan serta merta,” kata Anwar apabila ditanya apakah jaminan kenyataan beliau itu.

Anwar berkata demikian dalam siding media di pejabat PKR, dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Anwar, beliau akan membentangkan mekanisma dan konsepnya kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang akan bermesyuarat esok.

Anwar dipercayai mengulas kenaikan harga minya yang diumumkan Perdan Menteri 5 Jun lepas yang menyaksikan kenaikan mendadat harga petrol di pasaran dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala diesel dari RM1.58 ke RM2.58 seliter.

Anwar dan pemimpin Pakatan dari sebelum pilihan raya umum ke 12 lagi sudah berjanji akan menurunkan harga minyak dengan berkata, kenaikan harga minyak di dunia bererti kenaikan keuntungan kepada syarikat minyak negara, Petronas yang mengekspot minyak ke luar negara.

Ini mewajarkan sebahagian keuntungannya dikembalikan kepada rakyat negara ini dalam bentuk subsidi.

Tranungkite nafi siarkan pertemuan sulit PAS dan Umno

KUALA LUMPUR, 8 Jun: Laman web Tranungkite menafikan pernah menyiarkan pertemuan sulit antara pemimpin PAS dan Umno dengan menjelaskan ia hanya tersiar dalam forum laman web itu dan telah dipadamkan selepas ia disedari.

Menurut kenyataan yang dibuat Tranungkite hari ini dalam laman webnya, maklumat tersebut dipercayai disebarkan oleh para petugas Umno yang menyusut masuk ke forum di laman web itu untuk memporak perandakan PAS.

Sejak pagi tadi, SMS tersebar kononnya satu pertemuan sulit antara PAS dengan Umno akan berlangsung esok. Ia disebarkan kononnya berasaskan berita yang disiarkan dalam laman web milik Pemuda PAS Dungun, Terengganu itu.

Yang disebut mewakili PAS dalam SMS itu adalah Datuk Mustafa Ali dan Datuk Harun Taib, yang kebetulan kedua-duanya tokoh PAS dari Terengganu.

Saturday, June 7, 2008

Pembinaan semula New Orleans

Superdome Di bandar New Orleans ini menjadi tumpuan media ketika bandar di selatan Amerika Syarikat ini dilanda taufan Katrina pada Ogos 2005.

Sekitar 30,000 orang ditempatkan di sini, tanpa bekalan air dan makanan yang cukup untuk semua.
Hari ini, hampir 3 tahun selepas Katrina, New Orleans masih belum pulih sepenuhnya daripada bencana itu. yang implikasi politiknya masih menjadi topik perbincangan hangat di New Orleans dan Louisiana.

Bandar yang lebih 80 peratus kawasannya ditenggelami air ini masih meneruskan pembinaan semula, dengan sebahagian besar usaha digerakkan kumpulan-kumpulan bukan kerajaan dan sukarelawan dari seluruh AS. - Haris Zalkapli

Friday, June 6, 2008

Lagi bukti Umno jual tanah kepada bukan Melayu

KUANTAN: Satu lagi bukti terbaru skandal penjualan tanah milik Umno kepada syarikat bukan bumiputera telah didedahkan oleh bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman.

Dalam ‘serangan’ terbaru Ahmad Tajuddin terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob itu, mendakwa tanah berkeluasan 7 ribu ekar yang terletak di mukim Endau, Rompin itu adalah milik syarikat Umno Pahang, Rangkaian Delima Sdn. Bhd. dan telah dijual kepada sebuah syarikat bukan bumiputera Ria Gemilang Sdn. Bhd.

Sebelum ini Ahmad Tajuddin telah mendedahkan skandal yang sama mengaitkan Adnan berhubung penjualan ribuan ekar tanah milik Umno di daerah Maran kepada syarikat bukan bumiputra.

Turut disebut Adnan berbohong dengan menyatakan tanah dijual kepada Yayasan Pahang sedangkan berdasarkan kepada bukti tanah tersebut sebenarnya dijual kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh peniaga Cina.

Laporan penuh dalam akhbar Siasah Ahad 8 Jun
Cadangan perlantikan Pesuruhjaya PAS negeri bukan ditangan Presiden parti
Pro dan kontra

KUALA LUMPUR: Tiga Pesuruhjaya PAS negeri mempertahankan cara perlantikan jawatan pesuruhjaya-pesuruhjaya di negeri melalui kuasa PAS Pusat yang mana Presiden Parti mempunyai kuasa mutlak.

Baru-baru ini PAS kawasan Temerloh telah meluluskan usul dalam muktamar mereka supaya Perlembagaan PAS atas Fasal 34 (4,5,6,7) dipinda bagi membolehkan negeri-negeri mengadakan muktamar mereka sendiri sekaligus boleh memilih melalui undian pimpinan peringkat negeri termasuk jawatan pesuruhjaya.

Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Ahmad Awang ketika diminta mengulas cadangan tersebut berkata, beliau tidak yakin perlantikan pesuruhjaya dilakukan mengikut sistem yang dicadangkan itu kerana bimbang berlaku ketidakpuasan hati dikalangan calon-calon yang bertanding.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin pula menyifatkan pemilihan Pesuruhjaya negeri melalui undian akan menjadikan pemilihan jawatan tersebut bukan lagi berdasarkan kepada kelayakan dan pengalaman seseorang individu sebaliknya siapa yang lebih banyak mendapat undian.

Bagi Pesuruhanjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, pemilihan Suruhanjaya PAS negeri melalui undian kadangkala tidak tepat kerana undian tersebut tidak semestinya memihak kepada calon yang pengalaman, berkelayakan dan mempunyai keperibadian yang baik.

Manakala dalam satu tinjaun Siasah, cadangan PAS kawasan Temerloh itu mendapat respon positif dikalangan ahli dan pimpinan PAS peringkat bawahan.

"PAS sebagai sebuah parti Islam sepatutnya bersikap lebih terbuka dalam hal perlantikan saf kepimpinan," kata Ketua PAS Cawangan Taman Merdeka, Salleh Osman.

Ada ahli PAS juga menyokong cadangan tersebut kerana berpandangan hanya ahli-ahli PAS peringkat akar umbi sahaja yang benar-benar mengenali pemimpin di peringkat negeri yang layak mejadi Pesuruhjaya.

Ikuti laporan penuh dalam akhbar Siasah yang akan berada dipasaran Ahad 8 Jun

Thursday, June 5, 2008

Media "alternatif" di San Francisco

San Francisco dikenali sebagai pusat media "alternatif" seperti Sierra dan Mother Jones dan pusat syarikat-syarikat teknologi maklumat.

Negeri di pantai timur Amerika Syarikat ini juga dikenali dengan aktivisme alam sekitarnya. Dua majalah diatas terlibat dengan aktif dalam isu alam sekitar, walaupun Mother Jones tidak hanya memberikan fokus pada alam sekitar.

Kami juga melawat dan berbincang dengan saluran tv Current, yang pada tahap tertentu memberikan definisi baru bagi istilah media baru.

Saluran diasaskan bekas timbalan presiden AS, Al Gore dan ahli perniagaan Joel Hyatt ini mula beroperasi pada Ogos 2005. Current banyak menerima sumbangan video pendek dari penonton saluran ini. - Haris Zalkapli

Sunday, June 1, 2008

Ustaz Ahmad Awang selamat dalam kemalangan

IPOH, 1 Jun: "Alhamdulillah saya dan isteri serta dua orang anak terselamat apabila kereta yang dipandu isteri terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, kilometer 315 kira-kira jam 4.30 petang Khamis kelmarin."

Demikian tulis Ahmad Awang dalam blognya, usahmadawang.blogspot.com.

Kejadian berlaku dalam keadaan hujan renyai-renyai ketika beliau serta keluarga dalam perjalanan ke Ipoh untuk menghadiri mesyuarat di pejabat Badan Perhubungan PAS negeri.

Kereta mereka terlibat dalam kemalangan apabila sebuah kereta di hadapan berlanggar dengan sebuah kereta lain kemudian terbabas dan menggeseli sebuah treler, lalu menghalang laluan mereka, menyebabkan mereka kereta mereka tidak dapat mengelak dan terus melanggar kereta tersebut.

Kereta Ahmad yang dipandu isterinya, Ustazah Rosiyah, mengalami kerosakan teruk dan kini berada di Balai Polis Trafik Tapah.

"Kami bersyukur tiada kecederaan berat yang kami alami walaupun isteri saya mengalami sedikit lebam dan bengkak-bengkak di bahagian lengan dan belakang akibat hentakan yang kuat ketika merempuh kereta berkenaan. Saya juga mengalami sakit-sakit di bahagian tengkuk, bahu serta rusuk," tulisnya lagi.

Cerita sepenuhnya di www.usahmadawang.blogspot.com.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...