Monday, November 30, 2009

Kenyataan Media Wanita Keadilan : Kebajikan Anak-anak Malaysia diabaikan

Wanita KEADILAN memandang serius pengakuan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun bahawa KPWKM masih sedang ’berbincang’ untuk menyelesaikan beribu-ribu kes-kes mahkamah yang melibatkan kanak-kanak! Jika Kementerian Pembangunan Wanita sendiri tidak berupaya untuk menyelesaikan kes-kes mahkamah juvana ini, maka kementerian mana yang boleh diharapkan untuk melindungi kanak-kanak dalam sistem perundangan agar tidak merencatkan pertumbuhan mereka yang sedang membesar.

Kami juga resah apabila KPWKM hanya bercadang untuk menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) dua (2) tahun dari sekarang - tahun 2011. Bagaimana Kementerian Pembangunan Wanita hendak menyelaras dan memantau isu-isu berkaitan kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak jika penubuhan jabatan kanak-kanak ini dilewatkan?

Begitu juga Pelan Tindakan bagi Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang melibatkan hampir kesemua kementerian. Apakah peruntukan ’cross-cutting budget’ dari kementerian-kementerian yang terlibat dan bagaimana KPWKM hendak memantau samada pelan tindakan itu telah berjaya dilaksanakan?

Ini mengambil pengajaran dari kegagalan pemantauan ’cross-cutting budget’ oleh KPWKM dalam Belanjawan 2008 terhadap empat (4) kementerian berkaitan – Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

Jelas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kurang peduli dalam melindungi hak kanak-kanak walaupun negara kita telah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan. Tidak hairan perogol-perogol wanita dan kanak-kanak kaum Penan lepas bebas tanpa pertanggungjawaban.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT

Pas kesal sikap Muhyiddin

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal terhadap sikap Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Seri Muhyiddin Yasin kerana tidak membenarkan Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai KAUKUS yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat kerana dibentuk oleh parti Pembangkang.

Tindakan yang diambil oleh Tan Seri Muhyiddin tidak melambangkan sikap 1Malaysia yang sering dilaungkan oleh pimpinan Umno/BN.

KAUKUS perlu dibentuk kerana ia melibatkan soal maruah dan perundangan negara yang mengamalkan konsep Persekutuan. Negeri Kelantan perlu diberi hak untuk menguruskan wang royalti, bukan wang ehsan yang akan diberi kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Kenapa kerajaan Kelantan masih di anak tirikan lagi dalam soal wang royalti Petronas. Apakah di negara kita ada dua perlembangaan.

Kenapa Sabah dan Sarawak mendapat royalti, bukan wang ehsan. Ini bermakna perjanjian tidak terpakai dan berubah kalau sebuah negeri jatuh ke tangan pembangkang, walaupun melalui proses demokrasi.

PAS penuh yakin bahwa wang ehsan ini akan digunakan untuk kepentingan politik umno dan kroni di Kelantan, akhirnya rakyat Kelantan dapat kuah. Ini dibuktikan di Terengganu di bawah BN di mana rakyat Terengganu terus dihimpit dengan kemiskinan nombor dua selepas Sabah, walaupun negeri tersebut mendapat wang ehsan. Sedangkan sewaktu Terengganu di bawah pemerintahan PAS kadar kemiskinan telah berjaya diturunkan kepada tangga keempat walaupun royalti ditarik.

Persetujuan Pakatan Rakyat menubuhkan KAUKUS adalah tepat demi kepentingan rakyat Kelantan untuk menuntut hak mereka dengan melibatkan juga daripada wakil dari Sabah dan Sarawak. Sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno/BN dalam isu wang royalti di Kelantan, adalah lanjutan “Tradisi Menindas Rakyat” slogan 1 Malaysia hanyalah retorik semata-semata.

Kenyataan Media Zuraidah MP Ampang


Penduduk Bukit Antarabangsa menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mengubah semula status Laporan Siasatan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa. Sekali lagi, Menteri Besar Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat negeri Selangor.

Walau bagaimanapun, saya sungguh kecewa apabila penduduk Bukit Antarabangsa mengadu bahawa laporan yang sepatutnya dijual oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih belum boleh diperolehi. Ini berikutan keputusan Kementerian Kerja Raya untuk tidak mengeluarkan laporan tersebut dengan alasan Jemaah Kabinet tidak bersetuju untuk mengubah status laporan; dalam kata lain laporan ini masih menjadi rahsia Kerajaan.

Sebagai Ahli Parlimen Ampang, saya merayu agar Kerajaan Persekutuan membenarkan penyiaran laporan tersebut untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya tragedi lebih besar pada masa akan datang akibat kegagalan mendedahkan sebab musabab tragedi tersebut. Hasil laporan ini sangat penting untuk diketahui oleh orang ramai bagi melanjutkan perbincangan dalam usaha mempercepatkan proses mengeluarkan peraturan bagi pembangunan di kawasan cerun Bukit Antarabangsa dan kawasan tanah tinggi lainnya di negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan tidak perlu takut dan patut bersikap terbuka, telus dan bertanggungjawab dan mencontohi Kerajaan Negeri Selangor dalam isu ini.

Pendedahan kandungan laporan ini penting bagi menjaga keselamatan penduduk Bukit Antarabangsa dan membantu mereka dalam perancangan masa depan mereka. Apatah lagi, Bukit Antarabangsa telah diklasifikasikan sebagai kawasan tadahan air di bawah Rancangan Fizikal Negara (2005) yang memerlukan usaha pemuliharaan yang tinggi.

Sesungguhnya slogan ’1Malaysia’ yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri semakin sayup dan malap bagi penduduk Bukit Antarabangsa yang telah menunggu selama satu tahun untuk mengetahui hasil siasatan tragedi tanah runtuh yang meragut lima nyawa.


HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang

Exco nafi arak dijual secara terbuka di Kedah- Lim Soo Nee


Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Siam, Pekerja Ladang Perpaduan, Lim Soo Nee menafikan arak dijual secara terbuka di negeri Kedah seperti mana yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Menurut beliau lagi penjualan arak secara terbuka di kedai serbaneka termasuk di kedai 7 Eleven tidak berlaku kerana ia turut dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim berkata, masyarakat harus tahu membezakan antara bir dan arak yang dijual.

"Oleh kerana isu ini merupakan isu yang menyentuh kesensitiviti masyarakat maka pemantauan sering dibuat di lokasi-lokasi terbabit.Malah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah juga boleh membuat aduan sekiranya terdapat mereka yang menjual minuman keras ini yang membabitkan orang Islam kerana ia juga terletak dalam bidang kuasa mereka.Namun begitu kerjasama akan diberikan bagi menangani isu ini supaya ia adil kepada orang Islam dan juga yang bukan Islam."

Menurut Lim lagi terdapat perbezaaan dalam isu bir dan arak ini.
"Sehubungan itu perkara ini adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pihak Berkuasa Tempatan dan ianya bukan tertakluk kepada Eksais.Oleh itu masyarakat harus tahu membezakan perbezaan ini supaya ia tidak menjadi satu isu yang kontroversi apabila disalah tafsirkan." katanya lagi.

Mohamad Sabu sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang akan diganti


Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu akan digantikan dengan seorang pemimpin baru yang telah dikenal pasti oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, rombakan kecil yang dibuat itu adalah sebagai salah satu usaha untuk mengukuh dan memantapkan lagi PAS negeri Pulau Pinang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Calon yang layak untuk mengisi tempat tersebut telah pun dikenal pasti.Namun begitu pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat tidak lama lagi.Rombakan kecil ini masih mengekalkan Mohamad Sabu sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS Pulau Pinang.Beliau juga diberi kepercayaan untuk menganggotai Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Negeri.

"Tindakan mengadakan rombakan kecil ini juga adalah sebagai salah satu langkah untuk menawan semula kerusi-kerusi yang ada dalam negeri ini masih dikuasai oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya yang lalu."
Mohd Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata demikian semasa majlis korban di Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh.

Sebelum ini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat(PKR) Pulau Pinang, Dr.Mansor Othman turut membuat beberapa rombakan dalam PKR bagi memantapkan lagi parti dengan tujuan untuk menawan semula kerusi-kerusi yang turut dikuasai oleh Barisan Nasional(BN) dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Adalah difahamkan perubahan yang sedang diambil oleh parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat terutamanya di Pulau Pinang adalah bagi memberi satu komitmen penuh kepada usaha untuk merampas semula kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang masih dikuasai oleh Umno dan BN menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang.

Monday, November 23, 2009

SPR akan buat rayuanke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi tolak rayuan penangguhan keputusan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Nasharuddin Mat Isa dikejar ke IJN

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dikejar dengan ambulans ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadukan sakit dada.

Nasharuddin yang menghadiri sidang Parlimen pagi ini, sebelum ini dibawa ke klinik di situ.

Timbalan presiden PAS itu dikejarkan ke IJN selepas menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan di bangunan Parlimen setelah mengadu kepada ahli parlimen
PAS dari Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Bagaimanapun, selepas melalui ujian electrocardiaogram (ECG), doktor tidak dapat mengenal pasti punca sakit dadanya.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok, kemudiannya dirujuk ke IJN.

Beliau kemudiannya dilihat dibawa dengan kerusi roda ditemani Kamaruddin dan ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pada pukul 11.40 pagi ke IJN.

Mahfuz ketika ditemui pemberita berkata Nasharuddin "pada mulanya mengadu sakit otot di bahagian dada dan selepas pemeriksaan di klinik tadi, beliau dinasihatkan untuk ke IJN bagi pemeriksaan selanjutnya."

Beliau bagaimana pun enggan mengulas lebih lanjut mengenai keadaan Nasharuddin.

Pegawai khas timbalan presiden PAS itu, Mior Isfandy Mior Azizan, berkata Nasharuddin berada dalam keadaan stabil dan dijangka dibenarkan keluar pada Rabu.

Beliau dijangka menjalani pemeriksaan rapi pagi esok, katanya.

Mior Isfandy enggan mengulas ketika ditanya sama ada Nasharuddin diserang sakit jantung.

Hubungan Wanita PKR dan Muslimat PAS amat akrab-Salma Ismail


Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat(PKR)Negeri Kedah, Salma Ismail menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa hubungan antara wanita dalam Pakatan Rakyat tidak begitu akrab.

Menurut beliau lagi hubungan antara Wanita PKR dan Muslimat PAS terutamanya di negeri Kedah yang diterajui oleh beliau amat akrab dan begitu baik sekali.

"Dalam setiap aktiviti dan program kita sudah sekian lama memastikan ada partisipasi daripada komponen parti Pakatan Rakyat.Namun begitu jika dilihat dalam konteks Negeri Kedah hubungan antara Wanita PKR dan juga Muslimat PAS amat akrab sehinggakan setiap aktiviti yang diadakan kita akan bersama-sama bagi menjayakan program dan aktiviti yang direncanakan atau dianjurkan.

"Kita telah bersama sekian lama.Dalam pilihan raya umum dan juga pilihan raya kecil yang telah diadakan di Bukit Selambau calon kita daripada PKR bertanding.Muslimat PAS dan juga Wanita DAP turun padang sama-sama.Begitu juga di Bukit Gantang dan Permatang Pasir.Kita daripada Wanita PKR turun padang bersama-sama dengan Wanita DAP bagi memastikan calon daripada PAS menang.Inilah kesepaduan yang ada antara Wanita PR."

Menurut Salma lagi usaha bagi mempelbagaikan aktiviti dan mencambahkan program adalah antara usaha yang akan dipergiatkan supaya Wanita sebagai sayap parti akan dapat memainkan peranan yang konstruktif bagi membina jaringan dan hubungan akrab yang sedia ada antara Wanita dalam PR terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas majlis perasmian Konvensyen Keadilan Wanita Negeri Pulau Pinang di Dewan Perkeso, Seberang Jaya, Permatang Pauh.

Tiada penyelewengan di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat- Salahuddin Ayub


Alor Setar: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yakin Pakatan Rakyat(PR) yang didokong oleh PAS, PKR dan DAP akan mampu untuk meneruskan pemerintahan dan memberi khidmat yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Menurut beliau lagi sehingga kini tiada satu pun daripada negeri yang diperintah oleh PR kepimpinanannya terlibat dalam penyelewengan.

"Bukannya menjadi amalan PR menyembunyikan mana-mana pemimpin yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.Amalan telus yang dilaksanakan oleh kepimpinan PR dalam memimpin negeri telah meyakinkan rakyat bahawa kita tidak mengamalkan korupsi dan rasuah.

" Sebagai bukti perbelanjaan secara berhemah yang diamalkan oleh negeri-negeri yang ditadbir oleh pemimpin PR telah berjaya menjimatkan dan mengurangkan 30 peratus perbelanjaan pentadbiran.Jumlah ini pula telah berjaya dimanfaatkan bagi membantu rakyat yang memerlukan dalam bentuk yang lain pula."

Menurut beliau lagi kepimpinan dalam PR perlu mempamerkan perjuangan yang dilaksanakan dan diamalkan adalah bersih serta berperanan untuk membantu rakyat dan bukannya kerana kepentingan peribadi.

"Kita juga yakin kerajaan PR yang kita dokong ini akan mampu untuk meraih sokongan rakyat sekali lagi dalam pilihan raya yang akan datang.Oleh kerana itu perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat akan diteruskan dalam usaha kita untuk memberi keselesaan kepada rakyat."

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas PAS Jerai di Dewan Orang Ramai, Yan, Kedah.

"Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga"

Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

(Ketua Unit PR dan Media WIRDA Selangor)


Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil satu usaha murni dalam memperkenalkan One Stop Crisis Centre (OSCC) kepada masyarakat dalam usaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang prihatin terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, seksual, liwat dan dera.


Kewujudan OSCC ini mewujudkan suasana yang selesa dan penghidupan yang lebih baik kepada wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak keseorangan sebaliknya OSCC bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik jika mereka di dera oleh si pelaku keganasan yang durjana.


OSCC telah diperkenalkan sejak 1997 tetapi tidak digerakkan secara serius oleh kerajaan negeri yang memerintah sebelum ini. OSCC adalah satu pusat perkhimatan yang lengkap dan menyeluruh bagi membantu mangsa penderaan, perkosaan, liwat dan mangsa keganasan rumah tangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa tersebut serta di beri bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami taruma yang serius.


Exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail telah mula mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat bahawa terdapat satu pusat khidmat yang dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga dan dera.


Pusat ini dikendalikan oleh secara bersama yang melibatkan beberapa agensi iaitu Hospital, polis, peguam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perlu di tangani oleh setiap ahli dalam komuniti untuk melahirkan masyarakat penyayang yang memberikan saham besar dalam pembangunan negara yang lebih positif.


Ada tiga kaedah yang dikenal pasti untuk menangani keganasan rumah tangga dan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja.

1) Memberi kefahaman dan kesedaran kepada wanita mengenai konsep keadilan dalam hubungan kekeluargaan.

2) Memberi kefahaman dan kesedaran wanita terhadap hak-hak mereka yang dilindungi oleh undang-undang.

3) Menyediakan tempat yang selamat untuk mendapat rawatan dan tempat yang selamat dimaksudkan ialah di OSCC.


OSCC telah lama ditubuhkan namun masih ramai tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Objektif Kempen kesedaran "Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga ialah:

1) Mewujudkan kesedaran dan peranan OSCC kepada masyarakat dalam membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

2) Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasakan minda yang merdeka dan menggilap jatidiri wanita yang bermaruah.

3) Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih lagi benar mengenai isu-isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual ditempat kerja.

4) Memberi pendedahan dan kefahaman mengenai undang-undang yang dapat melindungi wanita dan kanak-kanak.


Dalam agenda merakyatkan ekonomi Selangor (MES) fasa 1, antaranya diperkasakan semula program OSCC dimana kempen ini akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran tentang keganasan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak di samping memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai.


Program ini dijalankan dan dikendalikan oleh beberapa buah badan NGO yang terpilih antaranya WIRDA, dan pelaksanaannya mengikut Dun di seluruh Selangor.


OSCC diwujudkan di enam hospital di Selangor iaitu Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Puan Rahimah Klang dan Hospital Kajang.


Mangsa tidak perlu takut untuk ke OSCC untuk mendapatkan rawatan kerana pihak hospital menyediakan bilik khas yang terasing dari orang ramai. Maklumat mangsa juga dirahsiakan. Maruah mereka akan dijaga dan dipelihara. Mangsa juga tidak perlu untuk mengambil nombor sebaliknya akan terus dibawa ke bilik OSCC. Jururawat terlatih dan doktor akan memberikan bantuan yang segera kepada mangsa. Mangsa akan dilindung dari sebarang ancaman dari si pelaku dera.


http://wirdaselangor.wordpress.com

Sunday, November 22, 2009

Kenyataan Media Ketua Umum Keadilan


Parti Keadilan Rakyat telah membincangkan isu pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd kepada anak syarikat PKNS yang berjumlah RM 391 juta. Isu tersebut telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Parti, Dato' Salehuddin Hashim melalui edaran e-mel.

Biro Politik KEADILAN sememangnya menghormati pandangan yang dibangkitkan oleh pimpinan yang menyentuh dasar mana-mana negeri, termasuklah negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PAKATAN). Ini membuktikan iltizam kami untuk terus berpegang serta melaksanakan prinsip-prinsip asas demokrasi dan tadbir urus yang baik.

E-mel Setiausaha Agung hanya untuk edaran dalaman sahaja dan ianya merupakan pandangan peribadi bertujuan mendapat penjelasan dari YAB Dato’ Menteri Besar Selangor berhubung isu tersebut. Perlu ditegaskan di sini Setiausaha Agung KEADILAN tidak menuduh wujudnya penyelewengan oleh YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Kami berpuas hati dengan penjelasan awal oleh YAB Menteri Besar berkenaan perkara dasar yang menyangkut transasksi tersebut. Tuntas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban, malah Tan Sri Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa transaksi tersebut terbuka untuk penelitian awam.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat

Monday, November 16, 2009

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Arahan itu dibuat oleh hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Menurut hakim itu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker Dun Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Menurut beliau, peguam plaintif (Speaker Dun Kedah) telah berjaya membuktikan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif, Adun Kota Seputeh telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hasan (gambar) hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini, Speaker menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun Kedah yang sah.

Mengulas mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pegawai undang-undang SPR perlu meneliti secara terperinci desakan dibangkitkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 18 Ogos lalu Abd Isa meminta SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong atas alasan Abu Hasan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tahun ini.

Peguam bagi Speaker, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong.”

Abu Hasan tidak hadir pada sidang 19 April dan kemudian pada 9 Ogos tanpa izin Speaker.

Sulaiman berkata, Abu Hasan tidak menafikan fakta itu.

“Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kemudian perjalanan undang-undang ialah Artikel 51, di mana kerusi itu dengan sendirinya menjadi kosong,” kata Abdullah yang juga bekas Presiden Majlis Peguam di mahkamah sebelum ini.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Abu Hasan agar terus menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan hari ini.

Katanya, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.

“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar.

Muhyiddin berkata, Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.

Abd Isa baru-baru ini berkata, beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun kawasan Kota Seputeh.

'Penyeludupan' 10 Juta, penjelasan MB dituntut

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hj Hassan dituntut memberi penjelasan berhubung isu 'Penyeludupan' RM10 juta yang didakwa telah dikirim ke luar negara.

Tuntutan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin melalui satu surat terbuka kepada Mohamad Hassan.

Dalam surat bertarikh hari ini, Badrul yang juga Ketua PKR Rembau membawa maklumat Bank Negara Malaysia (BNM) mendapat bukti menunjukkan Mohamad Hassan, melalui Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd (salah satu lesen perniagaan pengurupan wang yang didakwa dibatalkan) telah mengirim sejumlah wang yang bernilai RM10 juta ke London pada tahun 2008.

Menurutnya kegiatan itu juga telah melanggar Akta Pengurupan Wang 1998 iaitu Seksyen 30(1)(b), "… perbuatan yang melibatkan, yang berkaitan dengan, atau sebagai persediaan bagi, pengiriman atau pemindahan dana ke luar Malaysia…" dan; Seksyen 35(b), "memberikan apa-apa maklumat yang palsu dalam sesuatu butir material bagi mana-mana Akta ini".

Berikutan maklumat tersebut, beliau juga memohon dua persoalan berikut yang dianggap besar perlu dijawab.

"Adakah benar YAB Datuk Seri Utama terlibat dalam transaksi seperti maklumat yang diperolehi ? Dan kenapa ia melanggar undang – undang ?

"Bolehkah YAB Datuk Seri Utama secara telus menerangkan dari mana datangnya dana sebanyak RM10 juta dan apakah tujuan transaksi tersebut?" soalnya.

Beliau turut menyeru kepada Gabenor BNM, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz agar menyiasat segera terhadap Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd serta mengumumkan siapa penerima dan pengirim yang berkaitan serta tujuan transaksi yang dijalankan.

"Saya telah hilang kepercayaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun kesempatan ini saya mencabar SPRM (jika ia bukan perkakas regim penguasa) menyiasat segera secara terbuka terhadap punca-punca dana sebanyak RM 10 juta yang dikirim oleh Mohd Hassan dan penerima transaksi yang ditujukan," katanya lagi.

Baliau juga memberitahu satu laporan rasmi juga akan dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kormesial PDRM berkenaan perkara tersebut.

Turut dimuatkan dalam surat tersebut, kes-kes pengiriman wang secara haram pada tahun 2008 dan 2009 dan tindakan yang pernah dikenakan terhadap sebuah syarikat pengurup wang pada tahun 2006..

"Pada tahun 2009, telah berlaku 92 kes yang melanggar seksyen 30 dalam Akta tersebut. Perkembangan ini (pada tahun 2008, 12 kes telah meningkatkan kepada 92 kes pada tahun 2009) adalah satu fenomena yang membimbangkan.

"Ini menunjukkan bahawa pengiriman wang secara haram makin tidak terkawal.

"Manakala maklumat yang ada mendedahkan bahwa BNM mengenakan tindakan terhadap hanya satu pengirim dana yang melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998.

"Pengurupan wang ini telah dikompaun sebanyak RM50,000.00 pada tahun 2006, " katanya.

19 tahun PAS lulus KPI dengan cemerlang - Lim Kit Siang

Oleh Md Zuharman

KOTA BHARU, 16 Nov –
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama lima penggal berturut-turut adalah KPI cemerlang kerajaan PAS mengekalkan sokongan rakyat di negeri ini.

Kejayaan tersebut seharusnya menjadi landasan kepada Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha untuk menumbang kerajaan Umno – Barisan Nasional (BN) seterusnya menguasai Puterjaya.

Perjuangan ke arah itu mesti diperkasakan sepanjang masa demi menghapus ataupun melenyapkan sistem pemerintahan kerajaan Umno yang angkuh, sombong serta banyak menyusahkan rakyat.

Lim menyedari banyak kepincangan berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno terutama berkaitan struktur menangani sesuatu isu yang mana rakyat ingin melihat kesannya dari sudut yang adil seperti fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, beliau tetap malah terus dengan pendirian bahawa penubuhan SPRM adalah semata-mata demi untuk menjaga kepentingan politik kerajaan Umno dan ianya jelas menyimpang dari prinsip asal penubuhannya.

“Sampai ke hari ini kes penyelewengan jutaan ringgit dalam Umno melibatkan orang-orang ternama dalam politik Umno hanya bisu. Siasat juga, tapi siasatan tinggal siasatan sampai bertahun-tahun,” katanya pada satu majlis ceramah umum, dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyokong kenyataan Lim merujuk kepada beberapa isu seperti Perwaja, PKFZ yang hingga kini belum ada apa-apa tindakan terhadap mereka terbabit.

Lalu Hadi menegaskan kezaliman serta pembohongan dilakukan kerajaan Umno tidak boleh dimaafkan kecuali Umno bertaubat kerana perbuatan khianat dilakukan melibatkan hak rakyat.

Azmin saman Vigneswaran

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mengesahkan bahawa beliau telah memulakan prosiding undang-undang ke atas bekas Ketua Pemuda MIC, S.A. Vigneswaran kerana memfitnahnya.

Minggu lalu, Vigneswaran mendakwa beliau telah menerima satu dokumen yang ditinggalkan di kediamannya di Kota Kemuning yang mengandungi butiran-butiran mengenai pembelian saham-saham oleh Azmin serta isteri dan adik iparnya bernilai RM8.5 juta pada awal tahun 1990an.

Vigneswaran kemudiannyamemanggil satu sidang akhbar dan mendedahkan butiran-butiran tersebut dan meminta Azmin menjelaskan bagaimanakah beliau memperolehi wang untuk membeli saham-saham tersebut.

Azmin ketika itu masih berkhidmat dengan kerajaan sebagai setiausaha sulit kepada menteri kewangan.

“Rabu ini satu notis akan dikemukakan ke atas Vigneswaran kerana membuat dakwaan palsu ke atas saya yang merupakan satu fitnah dan pembohongan,” kata Azmin.

Azmin berkata, Vigneswaran gagal mendapatkan menjelasan berhubung kesahihan dokumen tersebut sebaik sahaja menerimanya.

“Sesiapa sahaja wajar memahami bahawa tindakan Vigneswaran itu adalah satu tindakan yang terdesak untuk menghidupkan semula nyawa politiknya tetapi malangnya beliau terlalu terdesak sehingga sanggup meletakkan dirinya di bawah sekali bagi mencari publisiti murahan,” kata Azmin ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Selangor.

GERAK Nafi PAS Terlibat Dalam Laporan Dakwaan Rasuah Tan Sri Khalid Ibrahim

Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak Malaysia), Mohd Nazree Mohd Yunus menafikan penglibatan PAS dalam isu pendedahan laporan dakwaan rasuah MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Beberapa dakwaan laman web yang menuduh Gerak Malaysia telah diberikan dokumen berkenaan oleh PAS Selangor adalah suatu bentuk tuduhan berat kepada Gerak Malaysia.

Tuduhan-tuduhan ini sengaja digembar-gemburkan bagi merosakkan reputasi Gerak Malaysia selaku badan bebas yang bertindak secara neutral dan adil dalam melaporkan apa-apa juga isu dakwaan salahgunakuasa dan rasuah.

Gerak menggesa agar pihak yang bertanggungjawab ini untuk mengemukakan bukti-bukti kukuh terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan. Kita bimbang tuduhan ini adalah bentuk-bentuk cabaran kosong tanpa bukti untuk dikemukakan bagi dijawab oleh pihak Gerak.

Gerak tetap berpegang pada prinsip integriti dan bergerak bebas tanpa ada kecenderungan untuk berpartisan dalam mana-mana juga isu yang melibatkan integriti dan anti korupsi. Gerak menyeru agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan rambang dan tidak berasas seumpama ini.

Klinik Bantuan Guaman di Kedah bela nasib masyarakat - Ahli Parlimen Si


Cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk mewujudkan Klinik Bantuan Guaman kepada penduduk setiap daerah di sambut baik oleh Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik.

Menurut beliau lagi dengan wujudnya klinik tersebut ia akan memberi peluang khususnya kepada masyarakat yang berada di kawasan pedalaman untuk mendapat khidmat berkaitan undang-undang.

"Kewujudan klinik ini akan dapat membantu penduduk untuk mendapat khidmat nasihat mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan undang-undang.Ini termasuklah undang-undang syariah yang membabitkan tuntutan harta, kes perceraian dan juga undang-undang sivil.

"Dengan pendedahan yang diberikan nanti ia akan dapat memberi pembelaan kepada mereka yang berhak dibela.Malah bagi merealisasikan aspirasi Menteri Besar itu maka Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sik akan menyediakan tempat bagi memastikan projek ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.."

Adalah difahamkan dengan wujudnya Klinik Bantuan Guaman tersebut, khidmat nasihat mengenai perkara yang berkaitan dengan undang-undang sivil dan syariah akan dapat diberikan secara tepat kepada masyarakat setempat bagi membantu masalah yang sering dihadapi sebelum ini.

Tidak mudah jatuhkan PAS - Naib Presiden PAS - Mahfuz Oma

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membatalkan pemergian beliau ke tanah suci Mekah pada 18 November yang akan datang.
Menurut beliau lagi dengan keputusan yang telah dibuat oleh Nik Aziz itu maka ia telah berjaya mematahkan usaha pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menjatuhkan PAS dan mencemarkan imej bersih yang ada pada PAS.
"Isu yang cuba dipolitikkan ini membuktikan ada pihak yang cuba untuk menjatuhkan PAS.Namun begitu dengan semangat perjuangan yang ada serta kematangan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PAS maka apa jua isu yang cuba dipoltikkan oleh pihak lawan sudah pasti akan dapat diatasi dengan mudah.
"Saya juga yakin dengan kepelbagaian isu yang timbul ini serta kejayaan PAS untuk menepis segala dakyah dan tuduhan membuktikan bahawa segala masalah yang melanda parti ini tidak akan menjejaskan PAS.Keputusan yang telah diambil oleh Nik Aziz itu membuktikan beliau bukanlah seorang pemimpin yang mudah untuk menerima pemberian daripada seseorang."

Wednesday, November 11, 2009

Kenyataan Media Wanita Keadilan: Bajet Selangor berimbang

Wanita KEADILAN merasa teruja, dan dalam masa yang sama terharu, dengan ucapan Bajet 2010 oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim – khususnya yang menyentuh penegasan dan komitmen untuk melaksanakan dasar minimum 30 peratus kepimpinan wanita di semua peringkat pembuat keputusan dalam pentadbiran negeri Selangor.


Ia adalah manifestasi kepada suatu keluhuran terhadap pengiktirafan pemberdayaan wanita oleh seorang Ketua Negeri di Malaysia.


Wanita Selangor, khususnya dan Wanita Malaysia amnya, kini memikul tanggungjawab besar untuk bersedia dan layak mengisi ruang yang dibuka oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Ia sewajarnya melonjakkan usaha-usaha mewujud, membina dan mengembangkan takungan wanita yang berkelayakan bagi mengisi perjawatan-perjawatan barisan pembuat keputusan dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.


Pemberdayaan wanita adalah diperlukan dalam usaha reformasi ke arah pembangunan masyarakat madani, yang menitikberatkan pembangunan menyeluruh, sosio-ekonomi dan politik, dengan gandingan para lelaki.


Dengan perancangan khusus misi pemberdayaan Wanita Selangor oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, Wanita KEADILAN percaya bahawa wanita Selangor akan berupaya mencapai ufuk-ufuk kejayaan dalam pelbagai bidang di masa mendatang.


Tumpuan utama yang lain, iaitu proses pembelaan dan perlindungan wanita di Mahkamah dan usaha pemberdayaan wanita berbagai golongan dalam bidang ekonomi amatlah menepati kehendak semasa menurut penilaian status wanita di Selangor.


Wanita KEADILAN mendoakan agar Menteri Besar Selangor dan seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sentiasa diberi segala keupayaan, kesabaran, ilham, dan kebijaksanaan dalam mentadbir Negeri Selangor secara telus dan adil bagi memelihara kepentingan rakyat marhain.


Wanita Berdaya, Harapan Negara

Biro Penerangan

Wanita KEADILAN

Isteri Datuk Kamarudin Jaafar meninggal dunia

KELANA JAYA, 11 Nov: Datin Kamariah Kamarudin, Isteri kepada Ahli Parlimen Tumpath, Datuk Kamarudin Jaafar meninggal dunia jam 6 pagi ini di rumahnya di No 2, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya, kerana penyakit Kanser.

Datuk Kamarudin juga adalah Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat masih dalam perjalanan pulang dari Qatar.

Beliau bergegas pulang ke Malaysia selepas mengetahui isterinya tidak sihat malam tadi. dan dijangka akan sampai ke KLIA tengahari ini.

Allahyarhamah Datin Kamariah, 50-an, telah sekian lama menghidap kanser usus dan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) termasuk kimoterapi.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin Jaffar di atas pemergian isterinya, Datin Kamariah Kamarudin pagi tadi.


"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada YB Datuk Kamarudin Jaafar di atas pemergian isteri beliau, Datin Kamariah Kamarudin, ke rahmatullah pagi ini 11 November 2009.

"Sudah tentu pemergiaan isteri beliau ini bukan sahaja dirasai oleh Datuk Kamarudin Jaafar, tetapi juga seluruh anggota keluarga yang sentiasa bersabar dengan ujian dari Allah ini.

"Semoga Datuk Kamarudin Jaafar bersabar dengan ketentuan Allah ini. Kita juga mendoakan agar roh isteri beliau itu berada dalam rahmat dan keampunan Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan.

Jenazah Allahyarhamah Datin Kamariah akan disembahyangkan di Masjid Nurul Yakin, SS7 Kelana Jaya dan akan dikebumikan di Bukit Kiara selepas solat Asar.

Seluruh warga PAS, kakitangan Harakah dan Harakahdaily serta anak-anak syarikat mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin dan keluarga. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah.

Alfatihah

Husam jelaskan kekeliruan berita Adun pembangkang jadi timbalan Exco


Oleh MAZLAN JUSOH

KOTA BHARU, 11 Nov: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menjelaskan berita mengenai Adun pembangkang mempunyai peluang dilantik sebagai timbalan Exco seperti disiarkan Siasah sebelum ini ada sedikit kekeliruan.

Katanya, apa yang dimaksudkan ada peluang tersebut apabila mereka meninggalkan parti lama dan menyertai PAS.

“Ini yang saya maksudkan biar pun perkataan itu tidak disebut semasa menggulung perbahasan pada persidangan Dun baru-baru ini.

“Ekoran itu menyebabkan beberapa penulis blog mengulas lanjut isu tersebut sehingga menimbulkan kekeliruan ramai apabila cuba dikaitkan pula dengan unity government,” katanya di sini.

Sebelum ini akhbar oposisi berkenaan melaporkan Husam sebagai berkata, tiga Adun pembangkang mempunyai peluang dilantik sebagai timbalan Exco kerajaan negeri.

Malah katanya, beliau sedia membincangkan cadangan melantik Adun pembangkang sebagai timbalan Exco dengan Menteri Besar (nada seloroh).

“Mungkin tiga daripada enam wakil rakyat pembangkang ada peluang menjadi timbalan Exco sekiranya perkara itu dibolehkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Saraan Adun (pindaan) 2009 pada persidangan Dun.

Oleh itu, kata Husam, peluang yang dimaksudkan tersebut apabila mereka menyertai PAS, biar pun perkataan itu tidak disebut secara terus terang ketika menggulung perbahasan.

Katanya, peluang yang dimaksudkan tersebut tidak ada sekarang kalau mereka masih lagi Adun Barisan Nasional tanpa menyertai PAS.

Rahsia tiga projek didedah MB Selangor

Kerajaan Selangor akan mendedahkan mulai esok tiga dokumen berkaitan projek pembangunan di negeri itu yang didakwa telah menguntungkan syarikat-syarikat tertentu bawah pentadbiran BN.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendedahan dokumen yang kini dikelaskan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan dilakukan melalui bidang kuasanya sebagai menteri besar Selangor seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 2(C) akta berkenaan.

Katanya, peruntukan undang-undang itu memberi kuasa kepada menteri dan menteri besar untuk membatalkan pengkelasan "rahsia" atau "sulit" sesuatu dokumen bawah OSA.


Pendedahan tersebut bertujuan mengurangkan kejadian rasuah dan penyalahgunaan peruntukan serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kelebihan berkaitan kebebasan maklumat, jelasnya.

"Apa yang kita hendak tunjuk, kita ada projek yang ditinggalkan. Rakyat tidak tahu siapa yang terlibat, berapa nilai tanah itu dan sebagainya," katanya di luar sidang DUN selepas membentangkan belanjawan negeri hari ini.

Jelasnya, projek yang akan didedahkan itu melibatkan satu projek penghutanan semula untuk tujuan komersil dan dua lagi projek, masing-masing di Bukit Botak, Selayang dan Bukit Cerakah, Shah Alam.

"Satu berkaitan projek penghutanan semula. Satu lagi mengenai kegagalan Bukit Botak, projek perumahan untuk setinggan. Ketiga adalah laporan mengenai Bukit Cerakah," tambah Abdul Khalid.

Beliau berkata, salah satu daripada kes yang akan didedahkan itu melibatkan tanah kerajaan seluas kira-kira 2,000 ekar yang telah diberikan kepada penduduk.

"Penduduk ini membuat perjanjian dengan satu pemaju untuk membina rumah di atas tanah mereka. Pemaju berjanji membayar mereka RM360,000 untuk tiga ekar. Akhirnya mereka tidak dapat aset tersebut dan mereka kehilangan semua wang," katanya.

Beliau juga berkata, beberapa laporan mengenai projek-projek berkenaan akan dikemukakan dalam sidang DUN.

"Bila kita tahu mengenai perkara ini, kita akan dapat membincangkan dengan baik dan produktif dengan mangsa-mangsa projek ini," katanya.

Sehubungan itu juga, Khalid berkata kerajaan Selangor akan memperkenalkan satu enakmen baru berkaitan hak kebebasan maklumat yang akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang.

"Apa yang kita hendak tunjuk, kebebasan maklumat memberi lebih kelebihan untuk membuat keputusan berbanding (kerahsiaan) bawah OSA pada masa sekarang," katanya.

Jelasnya, enakmen berkenaan masih perlu dikaji sebelum dibentangkan kerana mungkin akan berhadapan tentangan daripada Peguam Negara kerana dianggap mendatangkan konflik bidang kuasa persekutuan dalam akta OSA.

"Sebab di bawah perlembagaan (negara), undang-undang persekutuan boleh melebih undang-undang negeri," jelasnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...