Monday, November 30, 2009

Kenyataan Media Zuraidah MP Ampang


Penduduk Bukit Antarabangsa menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mengubah semula status Laporan Siasatan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa. Sekali lagi, Menteri Besar Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat negeri Selangor.

Walau bagaimanapun, saya sungguh kecewa apabila penduduk Bukit Antarabangsa mengadu bahawa laporan yang sepatutnya dijual oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih belum boleh diperolehi. Ini berikutan keputusan Kementerian Kerja Raya untuk tidak mengeluarkan laporan tersebut dengan alasan Jemaah Kabinet tidak bersetuju untuk mengubah status laporan; dalam kata lain laporan ini masih menjadi rahsia Kerajaan.

Sebagai Ahli Parlimen Ampang, saya merayu agar Kerajaan Persekutuan membenarkan penyiaran laporan tersebut untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya tragedi lebih besar pada masa akan datang akibat kegagalan mendedahkan sebab musabab tragedi tersebut. Hasil laporan ini sangat penting untuk diketahui oleh orang ramai bagi melanjutkan perbincangan dalam usaha mempercepatkan proses mengeluarkan peraturan bagi pembangunan di kawasan cerun Bukit Antarabangsa dan kawasan tanah tinggi lainnya di negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan tidak perlu takut dan patut bersikap terbuka, telus dan bertanggungjawab dan mencontohi Kerajaan Negeri Selangor dalam isu ini.

Pendedahan kandungan laporan ini penting bagi menjaga keselamatan penduduk Bukit Antarabangsa dan membantu mereka dalam perancangan masa depan mereka. Apatah lagi, Bukit Antarabangsa telah diklasifikasikan sebagai kawasan tadahan air di bawah Rancangan Fizikal Negara (2005) yang memerlukan usaha pemuliharaan yang tinggi.

Sesungguhnya slogan ’1Malaysia’ yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri semakin sayup dan malap bagi penduduk Bukit Antarabangsa yang telah menunggu selama satu tahun untuk mengetahui hasil siasatan tragedi tanah runtuh yang meragut lima nyawa.


HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang

1 comment:

Ibanez_Swk said...

Abg mie terjah,uncle nano,tabuan butuh bapa kamu org amput babi hutan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...