Tuesday, November 30, 2010

PRU 13: Walaupun yakin, Najib masih berdepan risiko tersilap langkah

Selepas membentangkan bajet yang memberi beberapa ganjaran kepada rakyat dan disusuli kemenangan dalam pilihan raya kecil Galas dan batu Sapi, kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kelihatan yakin untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tinjauan-tinjauan yang menunjukkan kembalinya sokongan Melayu dan masalah menimpa parti-parti pembangkang menambahkan lagi keyakinan itu.

Pada masa sama, pembukaan keahlian BN dijangka meluaskan sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, walaupun hasil selepas itu masih belum dapat dijangka.

Walau bagaimanapun, keyakinan Umno dan BN ini juga telah mendorongnya tersilap langkah dalam beberapa hal yang kritikal.

Dalam keghairahan menggunakan bencana alam di Kedah untuk kepentingan politik, pemerintah telah mengundang murka Sultan Kedah apabila menuduh kerajaan negeri tidak membantu.

Najib juga dilaporkan menolak nasihat bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad supaya menara 100 tingkat tidak dibina sekarang.

Dua contoh kesilapan ini mendedahkan keangkuhan Umno dan BN yang tidak mengambil kira suara rakyat terbanyak.

Dalam kes Kedah, Umno menambahkan rasa marah rakyat kepada parti pemerintah itu dengan tuduhan buruk terhadap kerajaan negeri itu. Lebih menambahkan kemarahan, sekitar masa yang sama, rakyat Kedah mengingati peristiwa Memali.

Menara 100 tingkat yang kuat diperjuangkan kerajaan BN itu mendapat tentangan ramai rakyat yang ketika ini dihambat dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Menara yang tidak dapat dihubungkan dengan manfaat kepada rakyat terbanyak itu menimbulkan pelbagai tanda tanya tentang tujuannya, dan siapa yang akan paling mendapat manfaat.

Keyakinan Najib untuk menghadapi pilihan raya tidak secara mudah dapat ditafsirkan kepada kemenangan.

Monday, November 29, 2010

Kongres PKR tegaskan lagi kuasa Anwar

Parti Keadilan Rakyat kini mencatat sejarah sebagai parti politik yang ditakrif dan ditentukan haluannya oleh seorang individu, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa sedikit pun rasa segan silu, seluruh parti menegaskan lagi kuasa Anwar sebagai pemimpin agung, mengatasi perlembagaan dan segala proses dalam parti.

Sejak rapat umum PKR Selangor sebelum kongres, Anwar menjadi tema dan tajuk perhimpunan. Di kongres, ada pemimpin yang mahu kedudukan Anwar ditegaskan dalam perlembagaan, untuk mengukuhkan lagi kedudukannya.

Kemudian, pemimpin yang sama memarahi media kerana "menyibuk." Masalahnya, sebagai parti yang paling berahi merampas Putrajaya, PKR tidak boleh menganggap segala yang dilakukan tidak ada kena-mengena dengan orang lain, terutama media.

Seperti PAS sejak lebih 10 tahun lalu, segala tindakan dan perkembangan dalam parti diletakkan di bawah mikroskop oleh media. Sebagai parti yang beraspirasi untuk menjadi sebahagian kerajaan pusat, hal ini tidak boleh dielakkan.

PKR perlu sedar sebagai sebuah parti yang aktif dalam politik nasional, ia tidak boleh melakukan sesuka hati tanpa mendapat maklum balas dan penilaian orang ramai. Setiap tindakan parti itu tidak boleh dilihat sebagai terpisah daripada perkembangan politik nasional.

Berdasarkan perkembangan ini, PKR kelihatan mendedahkan diri kepada pelbagai kritikan dan permainan media musuh. Tindakan memainkan sentimen kaum melalui perlekehan ketuanan Melayu menafikan dakwaan perubahan ke arah "politik baharu" yang diuar-uarkan sejak bertahun lalu.

Dalam berita media elektronik popular pada malam terakhir kongres, tiga berita mengenai kongres itu ialah tindakan Anwar memperlekehkan ketuanan Melayu, kritikan terhadap media kerana melaporkan cadangan meletakkan Anwar melebihi presiden dan tindakan seorang ahli bukan Muslim mentafsir secara salah ayat al-Quran.

Tanpa mengira betul atau tidak laporan itu, apa yang dilaporkan itu sampai dan menyentuh sentimen Melayu, yang boleh ditambahkan lagi dengan pelbagai krisis dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Perkembangan ini juga tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan kepada parti-parti dalam PR, yang secara tidak langsung akan dikaitkan kredibiliti mereka.

Sebagai parti yang menyumbang kepada perubahan politik besar pada 2008, dan bercita-cita mengulanginya dalam pilihan raya umum akan datang, PKR perlu lebih matang dan mengutamakan rakyat berbanding kepentingan-kepentingan individu tertentu dalam parti.

Friday, November 26, 2010

Kenapa Zaid keluar parti, dan haluannya selepas ini

Isu ideologi merupakan perkara yang agak kurang menjadi subjek laporan dan perbincangan dalam politik Malaysia, dengan nada wacana yang lebih cenderung mewarnakan pihak-pihak terlibat kepada baik dan jahat.

Walau bagaimanapun, ideologi politik ialah satu alat yang mampu memberikan kita pemahaman untuk menilai permainan politik, melihat hal yang lebih dalam berbanding yang muncul di permukaan.

Isu dominasi Umno, pakatan-pakatan pemerintah dan pembangkang sehingga kepada penilaian terhadap tokoh-tokoh memerlukan pengetahuan tentang ideologi untuk membolehkan pemahaman yang lebih mendalam.

Tidak terkecuali dalam hal ini ialah isu Datuk Zaid Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat yang menjadi cerita besar sejak beberapa bulan lalu. Kini, timbul cerita tentang kuasa ketiga yang dilihat mampu menggugat Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Di bawah ialah artikel mengenai persaingan dalam pemilihan kepimpinan PKR yang ditulis menjelang pemilihan baru-baru ini, menjelaskan kedudukan Zaid dan kumpulan-kumpulan lain dalam PKR.

Perang Azmin-Zaid dan masa depan PKR
Oleh Haris Zalkapli

Pemilihan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, PKR telah pun mencetuskan drama yang hebat, lebih awal daripada yang dijangka, sebelum calon-calon disempurnakan pencalonan mereka untuk bertanding.

Kenyataan sokongan yang dibuat oleh sekumpulan wakil rakyat PKR baru-baru ini mencetuskan suasana yang tidak menyenangkan, bukan sahaja dalam kalangan ahli parti tetapi juga pemerhati politik dan penyokong Pakatan Rakyat.

Kenyataan bersifat preemtif oleh penyokong Azmin Ali terhadap Datuk Zaid Ibrahim itu menunjukkan wujudnya politik kelompok yang kuat dalam PKR, dan keazaman satu kumpulan untuk mentakrif dan menguasai perjuangan dan kepimpinan parti.

Kenyataan kumpulan Azmin itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana hanya mengesahkan lagi apa yang telah diperhatikan sejak sekurang-kurangnya pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

Drama yang dicetuskan itu menunjukkan permainan politik seperti yang dikenali dalam politik parti negara ini masih terus hidup, walaupun dalam parti yang mendakwa membawa nilai-nilai yang lebih baik.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan persaingan pemimpin-pemimpin dan kumpulan-kumpulan dalam PKR sentiasa wujud, dan menegaskan lagi peranan penting ideologi dan pendekatan politik dalam parti itu.

Perbezaan-perbezaan melibatkan aliran ideologi dan gaya politik ini membezakan kumpulan-kumpulan dalam PKR, dan menjadi faktor utama dalam pelbagai isu, daripada penyingkiran Zulkifli Noordin hingga pemilihan Zaid untuk bertanding di Hulu Selangor.

Secara umumnya, tiga kumpulan besar bersaing dalam usaha mentakrif dan menguasai perjuangan PKR iaitu kumpulan yang sebahagian besarnya bekas Umno yang diwakili Azmin, kumpulan liberal dan berhaluan kiri diwakili individu seperti Tian Chua, Elizabeth Wong dan juga Zaid dan kumpulan Melayu Muslim diwakili Mustaffa Kamil Ayub.

Persaingan kumpulan ini dapat diperhatikan daripada mereka yang dijangka bertarung untuk jawatan timbalan presiden.

Ketiga-tiga kumpulan berusaha mengukuhkan pengaruh melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin berkuasa dalam PKR yang memutuskan banyak keputusan.

Sejak penubuhan sebagai Parti Keadilan Nasional, persaingan kumpulan berbeza ideologi telah berlaku, dengan kumpulan berlatar belakang gerakan Islam seperti Abim menjadi yang pertama ditolak.

Kelompok berlatar Islam pada masa itu menjadi antara inner circle utama dalam kepimpinan parti itu, tetapi mempunyai perbezaan besar dengan kumpulan berhaluan kiri dan liberal dan sebahagian aktivis reformasi.

Pada masa kini, persaingan paling sengit melibatkan kelompok yang secara umumnya dipimpin Azmin dengan kumpulan liberal yang berhasrat menaikkan Zaid, tokoh yang menjadi harapan kumpulan liberal untuk memimpin PKR pada masa depan.

Hasil daripada persaingan untuk jawatan timbalan presiden ini akan menentukan bentuk dan perjalanan PKR dalam menghadapi pilihan raya akan datang dan seterusnya menempuh masa depan.

Kumpulan liberal dilihat mempunyai kekuatan pada masa ini, sebahagiannya disebabkan kejayaan mereka menasihati dan mendesak Anwar dalam beberapa isu, paling berprofil tinggi melibatkan penyingkiran Zulkifli, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Mereka juga mampu membawa perjuangan PKR keluar daripada garisan Anwar, menjadikan PKR parti liberal sebenar, tanpa perlu berselindung atau cuba kelihatan mewakili semua.

Hal ini menimbulkan persoalan tentang pendirian Anwar sebagai pemimpin PKR, berhubung siapa yang direstuinya untuk menjawat jawatan timbalan presiden. - politikpop.com

Wednesday, November 24, 2010

Sultan Johor gesa lagi Najib bina jambatan baharu


Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya kerajaan pusat membina jambatan baharu menggantikan Tambak Johor. Ini merupakan kali kedua baginda menyatakan hasrat itu selepas dilantik menjadi sultan.

Sebelum itu Almarhum ayahanda beliau, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail juga mendesak dirobohkan tambak dan digantikan jambatan baharu demi kebaikan rakyat kedua-dua buah negara dan keperluan ekonomi yang lebih relevan.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 dengan harapan pembinaan jambatan baharu itu dapat memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang alik ke Singapura, malah kemudahan untuk rakyat negara jiran melancong ke negara ini.

Sambil menghargai sumbangan besar dan keperhatinan kerajaan kepada masalah rakyat, baginda dengan nada sayu seolah-olah terkilan kerana hasrat ingin melihat Tambak Johor diroboh dan digantikan dengan jambatan baru belum dipenuhi oleh kerajaan pusat.

Menurut baginda lagi, ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir selakigus memberi kesan terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Apakah reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak tentang permintaan kedua baginda itu? Adakah kerajaan perlu membuka semula perundingan baru dengan Singapura bagi mereaslisasikan hasrat dan gesaan baginda itu?

Apakah Najib bersedia mendengar lagi ulangan kali ketiga dan seterusnya gesaan itu jika pintu rundingan tidak dibuka segera dengan pemerintah Singapura bagi menyelesaikan tuntutan baginda itu?

Episod baharu ini membuktikan desakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Almarhum ayahnda baginda dan majoriti warga Johor yang ingin melihat jambatan baharu dibina bagi menggantikan Tambak Johor bukanlah cerita omong kosong atau impian individu tertentu yang tidak berpijak di bumi nyata.

Senario itu juga memberi isyarat bahawa soal pembinaan jambatan baharu adalah isu popular yang sudah menjadi perhatian dan kehendak mendesak semua rakyat Malaysia umumnya dan warga Johor khasnya.

Apa yang diperlukan kini ialah keazaman kuat dan keberanian Najib untuk mencari jalan keluar berunding sebaik mungkin dengan pemimpin negara jiran itu supaya menerima hakikat sebenar keperluan dirobohkan tambak dan dibina segera jambatan baharu demi persahabatan dan hubungan istimewa kedua negara yang sudah terjalin lama dalam ikatan sejarah.

Jika Singapura enggan bekerjasama, kerajaan boleh membina jambatan bengkok di sebelah perairan kita seperti yang dihujah Mahathir sebelum ini. Ini dibenarkan dari sudut undang-undang kerana kita tidak menyentuh atau memasuki daerah perairan Singapura.

Dan jika cadangan itu tidak diterima pemerintah negara jiran yang terkenal sikap kaisu (tidak mahu kalah), kerajaan harus segera menyerahkan perkara itu kapada mahkamah antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian adil dan abadi.

Tuesday, November 23, 2010

Dilema Najib hadapi pilihan raya umum

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah menafikan tanggapan tentang pilihan raya umum lebih awal sebagai khabar angin.

Walaupun Barisan Nasional kini dilihat lebih kuat dan Pakatan Rakyat terutama PKR dalam keadaan lemah, pemimpin pakatan pemerintah itu menafikan pilihan raya akan diadakan lebih awal.

Tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 kini merupakan dilema bagi pemerintah.

Ini kerana satu faktor yang penting, iaitu PR dalam keadaan lemah, jauh lemah berbanding pilihan raya umum Mac 2008 dan beberapa bulan selepas itu.

BN, terutama Umno pula bertambah kuat, ditambah pula dengan keahlian terbuka yang membuka gabungan itu kepada sokongan luas banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

Umno, sebagai parti terbesar kini berada pada tahap moral yang tinggi. Sokongan kepada Umno kini kelihatan meningkat, walaupun undi Melayu kepada parti Melayu itu sudahpun memperlihatkan perubahan sedikit, sekurang-kurangnya sejak pilihan raya Parlimen Bukit Gantang.

Pemerintah kini berdepan dilema memilih antara kekuatan faktor-faktor seperti ekonomi dan sebagainya dengan faktor kelemahan pembangkang. Pada masa ini, faktor yang besar ialah kelemahan relatif pembangkang. Sesetengah penyokong pemerintah melihat faktor ini perlu dimanfaatkan, memandangkan pelbagai perubahan boleh berlaku sekiranya pilihan raya dilambatkan.

BN baru sahaja memenangi dua pilihan raya kecil, dan pada masa sama PKR dan pemimpin utamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan masalah. Bagi sesetengah penyokong Umno dan BN, inilah faktor yang paling menentukan prestasi cemerlang pemerintah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, dan tidak boleh dibiarkan berlalu.

Monday, November 22, 2010

Ahli terbuka BN: Pakatan Rakyat perlu hadapi realiti

Usaha meluaskan sokongan oleh Barisan Nasional dengan memperkenalkan ahli terus dan bersekutu mendapat respons yang pelbagai daripada pemerhati.

Bagi pihak Pakatan Rakyat, mereka mendakwa tidak bimbang dengan perubahan itu kerana melihat perubahan itu sebagai tanda BN yang semakin tidak mendapat sokongan.

Dari satu sudut, pandangan ini ada benarnya kerana dengan keahlian yang ramai dalam parti komponen utama, sukar untuk dibayangkan tuntutan ini akan muncul.

Umno, MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen yang menarik untuk disertai memungkinkan isu keahlian terus dan bersekutu tidak timbul, kerana komponen-komponen utama kukuh dan mendapat sokongan.

Walau bagaimanapun, penyertaan dalam parti terbabit kurang tarikannya, sehingga mencetuskan keperluan membuka keahlian.

Hal ini menjadi lebih penting dalam usaha memenangi sokongan ramai pada pilihan raya umum dan menghadapi serangan-serangan pembangkang.

Tetapi, sekiranya tindakan itu berjaya mendapatkan sokongan untuk BN, walaupun sekadar cukup untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya, sudah cukup untuk BN terutama dalam jangka masa pendek.

Tuntutan untuk menjadikan BN sama-rata tidak terlaksana dengan perubahan itu kerana parti utama masih mahu mengekalkan status quo kuasa dengan menghadkan suara ahli terus dan bersekutu.

Ini perlu dilihat dengan serius oleh PR, yang hingga kini masih tidak berjaya mewujudkan satu gabungan yang kohesif dan berkesan, sekurang-kurangnya dalam politik pilihan raya.

PR sehingga kini masih dibelenggu agenda yang simplistik dan kurang jelas, dan pada masa sama menuntut kepatuhan yang ketat terhadap "semangat PR."

Beberapa agenda PR kelihatan dipaksakan dan masih berlaku percanggahan dalam banyak isu besar, yang hakikatnya memang tidak dapat dipersetujui semua, seperti isu kalimah Allah.

PR perlu sedar bahawa kepelbagaian ideologi tidak memungkinkan penyatuan seperti yang dibayangkan dalam retorik-retorik pemimpinnya.

Satu perbezaan besar BN dengan PR ialah BN lebih bersikap pragmatik dan bersetuju untuk bekerjasama secara agak realistik dalam perkongsian kuasa.

Parti-parti PR mempunyai ideologi yang jelas dan mengharapkan perbezaan ini ditangani dengan mudah dan PR sebagai satu badan seperti BN dapat diwujudkan dengan segera ialah sesuatu yang sangat tidak realistik.

Apa yang wajar dilakukan ialah mempersetujui satu agenda yang boleh diterima semua - seperti satu lawan satu menentang BN - dan bergerak sebagai pakatan yang longgar dahulu.

Kesepakatan dan kesatuan dalam kalangan parti berbeza ideologi sememangnya sukar dan memerlukan proses tawar-menawar yang panjang.

Sunday, November 21, 2010

Ahli terus BN, sejauh mana luaskan sokongan?

Barisan Nasional memutuskan untuk menerima ahli terus, sebagai ahli BN tanpa duduk di bawah parti komponen.

Dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 kini, tindakan ini dilihat mampu meluaskan keahlian dan sokongan daripada ramai yang menyokong agenda BN tetapi tidak mahu terlibat dengan parti komponen.

Dari satu sudut, keahlian terus ini boleh menjejaskan kuasa komponen besar seperti Umno yang kini mendominasi BN.

Walau bagaimanapun, beberapa langkah kawalan dijangka dilaksanakan untuk menjaga pengaruh Umno dalam pakatan itu, menunjukkan satu lagi keyakinan baharu pemimpin Umno dan BN, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Perkembangan ini merupakan satu petanda positif buat BN - dalam meluaskan sokongan - yang berdepan risiko perpecahan ekoran Pilihan Raya Umum ke-12 lebih dua tahun lalu.

Tetapi sejauh mana Umno berjaya memelihara kuasanya dan tidak berkompromi dalam hal melibatkan kepentingan parti dan konstituensinya, disebabkan tuntutan-tuntutan pelbagai kepentingan dan bentuk keahlian yang menggambarkan semangat sama-rata itu.

Umno merupakan pihak yang paling berkemungkinan melihat pengaruhnya terhakis melalui tindakan itu, walaupun ini masih bergantung kepada langkah-langkah kawalan yang boleh dilaksanakan.

Kemasukan ramai individu berpotensi diketengahkan - misalnya untuk mengisi posisi-posisi penting - boleh mengancam pemegang kuasa dalam Umno yang terus menguasai parti itu.

Walau bagaimanapun, parti-parti komponen lain turut bimbang dengan ahli-ahli terus yang berpotensi meningkat dalam BN tanpa tertakluk kepada politik parti komponen yang lebih sukar.

Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ialah antara tokoh pemerintah yang menyokong keahlian terus.

Saturday, November 20, 2010

Kes Sime Darby: Siapa bakal didakwa?


Oleh Izmas

Syarikat konglomerat negara, Sime Darby akan mengambil tindakan undang-undang pada hujung tahun ini terhadap beberapa individu untuk mendapatkan semula RM2.1 billion kerugian besar yang dialami akibat salah tadbir dan salah laku dalam bahagian tenaga dan kemudahan awam (energy and utilities - E&U).

Pengurusan Sime Darby telah mengenal pasti beberapa nama individu yang terlibat dalam skandal itu. Menurut sumber, beberapa pengurus kanan dan pengarah dalam bahagian E&U bakal didakwa di samping segelintir "ikan jerung" yang juga akan dipanggil sebagai saksi. Pengurusan di bahagaian itu didakwa menjalankan perniagaan melibatkan lebihan kos (over run cost) yang disangsikan menyebabkan Sime Darby kerugian besar dalam perniagaan baharu yang sepatutnya tidak mereka terokai.

Pengurusan atasan Sime Darby turut dipersalahkan kerana membuat keputusan menerokai perniagaan baharu tenaga yang bukan menjadi keutamaannya. Sepatutnya pihak pengurusan fokus kepada enam perniagaan teras (core businesses) yang menjadi perniagaan asalnya seperti perladangan, hartanah, automotif, perindustrian dan penjagaan kesihatan.

Syarikat konglomerat negara itu mengalami kerugian besar RM2.1 billion dalam perniagaan bahagian E&U yang dicatatkan dalam kira-kira kewangan tahunan Jun lalu yang menyaksikan ketua eksekuitfnya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zubair Mursyid dinasihatkan bercuti (dalam bahasa halus diminta melepaskan jawatan).

Menurut pemangku ketua eksekutif Sime Darby yang baru dilantik, Datuk Mohd Bakke Salleh, pihak pengurusan terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah demi untuk mendapatkan semula wang kerugian yang dialami syarikat dan mendakwa mereka yang benat-benar terlibat. Beliau menyerahkan skandal itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menjalankan siasatan lanjut.

Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam selepas mesyuarat tahunan syarikat bersetuju, urusan salah laku dan salah tadbir yang melibatkan jenayah bukan lagi urusan syarikat sebaliknya sudah diserahkan sepenuhnya kepada SPRM dan SC untuk bertindak sewajarnya.

Juru audit bebas KPMG dan Deloitte Enterprise Risk Sdn Bhd dan sebuah firma guaman sudah dilantik bagi melihat dan menyiasat situasi sebenar yang berlaku dalam empat projek besar termasuk empangan Bakun yang dikatakan mengalami kerugian luar biasa akibat lebihan kos. Pengurusan atasan Sime Darby dikatakan salah membuat perhitungan dengan terlibat dalam projek empangan Bakun yang menurut penganalisis ekonomi sangat berisiko tinggi.

Akibat kerugian besar syarikat, pemilik saham dalam mesyuarat tahunan telah mengambil keputusan drastik melantik lima pengarah baharu. Seorang pengarah lama meletak jawatan secara sukarela sementara enam lagi tidak mencalonkan diri untuk dilantik semula. Pengerusi jawatankuasa audit, juga salah seorang pengarah jawatankuasa Risk (pernilai risiko perniagaan) dalam syarikat, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Friday, November 19, 2010

Khairy masuk kabinet pecah-belahkan Umno

Spekulasi Khairy Jamaluddin dilantik ke kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sekiranya berlaku rombakan telah mencetuskan kempen anti-Khairy yang hebat.

Sejak spekulasi rombakan tercetus, nama Khairy disebut-sebut sebagai akan dilantik ke kabinet.

Ini menimbulkan kebimbangan ramai ahli dan penyokong kuat Umno yang menganggap ketua pemuda Umno itu sebagai pengkhianat dan satu punca masalah yang melanda Umno sejak pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam kalangan penulis blog Umno, blog House PK merupakan salah satu blog yang terlibat dalam kempen "Say No to Kitol," merujuk kepada Khairy yang dilabel sebagai pengkhianat.

Blog terbabit menerbitkan ulasan-ulasan dan pautan ke artikel-artikel yang didakwa mendedahkan pengkhianatan Khairy selama bergiat dalam kerajaan.

Kesediaan Najib melantik Khairy ke kabinet, sekiranya benar boleh dijelaskan oleh kuasa tawar-menawar yang dimiliki Khairy, paling utama apa yang boleh dibawa oleh Khairy untuk membantu Najib dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Najib juga boleh dilihat sudah yakin dengan kekuatan dalaman sekiranya bersedia meletakkan Khairy sebagai timbalan menteri atau menteri, antaranya dengan meletakkan langkah-langkah untuk mengawasi tindakan-tindakan Khairy nanti.

Najib kini berdepan dengan cabaran mengimbangi tuntutan-tuntutan keperluan memperkemas pasukan dan berdepan reaksi negatif ahli dan penyokong, dalam situasi kritikal persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Thursday, November 18, 2010

Third force, harapan baharu liberal Malaysia


Selepas lebih dua tahun Pilihan Raya Umum ke-12, gabungan Pakatan Rakyat semakin banyak dihadapkan dengan realiti politik aliansi yang rumit dan sukar.

Parti-parti anggota PR sendiri secara individu menghadapi masalah masing-masing dalam menguruskan kemenangan dan berdepan permainan politik dalaman.

Kini, satu gabungan baharu kumpulan liberal di Malaysia berazam untuk muncul sebagai kuasa ketiga dalam pilihan raya umum, berpotensi berdepan dengan kedua-dua BN dan PR dalam pilihan raya.

Perkembangan ini menunjukkan kebolehlaksanaan yang terhad apa yang digelar "sistem dua parti," yang menghadkan agenda-agenda dan menggalakkan pemikiran secara kelompok.

Sistem dua parti seperti yang dibayangkan itu mempunyai beberapa masalah yang terkait dengan perkara paling asas dalam politik, yakni ideologi, seperti dijelaskan antaranya, dalam satu artikel diterbitkan di Harakahdaily lebih setahun lalu.

Gabungan liberal dalam kuasa ketiga ini menunjukkan realiti dalam politik, iaitu sistem dua gabungan sangat terhad ruang bergeraknya, kerana kepelbagaian kepentingan amat sukar untuk diterjemahkan melalui gabungan dua parti sahaja.

Kemunculan kuasa ketiga berpotensi memperkuatkan lagi gerakan liberal di Malaysia - sama ada melibatkan Datuk Zaid Ibrahim atau tidak - yang kini bersedia memasuki gelanggang politik pilihan raya.

Sekiranya gabungan ini cukup kuat, ia bakal mempunyai kuasa tawar-menawar yang cukup untuk menjadi satu penentu dalam penubuhan kerajaan pusat, satu kekuatan yang diharapkan oleh kumpulan ini.

Mahathir beri petunjuk pilihan raya umum hampir

Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilapor berkata BN mampu menang dalam pilihan raya umum akan datang dan menubuhkan kerajaan pusat, tetapi pada masa sama melahirkan keyakinan gabungan itu dapat merampas beberapa negeri Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu ialah input terbaharu Mahathir kepada pemerintah yang diterajui Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

BN kini kelihatan yakin untuk menghadapi pilihan raya umum, ketika pakatan parti-parti pembangkang berdepan pelbagai masalah.

Keyakinan BN ditambah dengan kemenangan dua pilihan raya kecil tidak lama dulu, kemenangan yang menamatkan gelombang kemenangan bergaya PR dalam siri pilihan raya umum sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Spekulasi rombakan kabinet juga meningkatkan lagi jangkaan pilihan raya umum makin hampir kerana rombakan itu bakal menjadi usaha terbaharu Najib menyusun parti-parti pemerintah bagi menghadapi pilihan raya.

Keperluan merombak kabinet dilihat kritikal untuk menangani kritikan terhadap pemimpin tertentu dan menjadikan gerak kerja pemerintah lebih berkesan.

Pemerhatian tokoh di luar kerajaan boleh dipandang serius berbanding pemimpin-pemimpin politik. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, bekas menteri Tun Daim Zainuddin meramalkan kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya umum tersebut.

Tuesday, November 16, 2010

Kritik Anwar: Usaha Raja Petra pindah kem

Raja Petra Kamaruddin semakin kelihatan berubah pendirian daripada menyokong kuat segala agenda Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat kepada pengkritik kuat Anwar dan PR.

Raja Petra didakwa sedang mengubah kem daripada pembangkang kepada pemerintah ekoran masalah yang dihadapi ketika ini.

Kritikan Raja Petra ini bukan yang pertama diutarakan secara terbuka. Sebelum ini, beliau menyarankan kuasa ketiga yang tidak duduk di bawah BN atau PR.

Secara konsisten, Raja Petra mengkritik PR di pelbagai peringkat, daripada pihak berkuasa tempatan hingga kepada Anwar.

Walau bagaimanapun, ramai ahli dan penyokong Umno mengkritik usaha tersebut. Raja Petra dikatakan sedang "mencari tokey baharu" dan tidak mahu mengikut Anwar lagi.

Spin doctor terkenal ini juga digesa meminta maaf dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak oleh seorang penulis di laman pro-Najib, Malaysia Instinct.

Usaha mencari tokey baharu ini sedang mencetuskan polemik dalam Umno. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, perkembangan ini menjadi semakin menarik.

DAP perlu jadi pembangkang dihormati

Oleh Izmas

Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam parti Umno sebagai buta sejarah dan buta perlembagaan dan tidak memperjuangkan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini secara adil adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Menurut Lim, Umno lebih mengutamakan konsep "Melayu pertama, rakyat Malaysia kedua," sebagai melanggar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Katanya, Umno hanya mempertahan kedudukan istimewa orang Melayu apabila bercakap soal Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercakap tentang kepentingan dan masalah kaum lain yang didakwa kononnya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Sebagai orang Melayu, penulis berpendapat kenyataan ketua menteri Pulau Pinang itu patut disebut dan diluahkan di Singapura di hadapan Menteri Mentor Lee Kuan Yew, anaknya Perdana Menteri Lee Hsein Loong, Menteri Kanan, Goh Chok Tong dan barisan pemimpin PAP lainnya.

Beliau patut sedar kaum minoriti utama Melayu yang menjadi rakyat peribumi dan penduduk asal negara itu tidak boleh bersuara seperti yang dilakukan beliau di sini. Orang Melayu di sana dinafikan semua hak istimewanya; hak mengundi yang adil, hak mutlak sebagai presiden, pembahagian jawatan dalam kabinet, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penghapusan sekolah aliran Melayu dan berbagai lagi yang sudah dinafikan oleh parti PAP dan Lee.

Beberapa pemimpin Melayu cuba mempersoal kepentingan mereka tapi tidak pernah berjaya dan gagal di tengah jalan kerana gaya pemerintahan Lee dan amalan sistem demokrasi ala Singapura yang mengekang parti pembangkang dalam pemerintahannya. Jika Lim berani mempersoal sensitif atau mempertikai isu perlembagaan, seperti yang diucapkan di sini, beliau mungkin sedar nasib beliau dan tahap demokrasi di negara ini yang jauh berbeza dengan apa yang diamalkan di sana.

Penulis pernah menyaksikan dalam kempen pilihan raya umum Singapura awal tahun 80-an, seorang pemimpin muda Melayu dari parti pembamgkang cuba mempertikai soal istimewa orang Melayu dan partisipasi kaum itu dalam kemasukan perkhidmatan negara yang dikatakan tidak adil, pemimpin muda itu diberi amaran keras oleh Lee. Beberapa hari kemudian, tidak kelihatan wajah dan batang tubuh pemimpin muda itu lagi dalam kempen pilihan raya itu dan sudah menjadi perbualan umum dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura.

Lim Guan Eng seharusnya banyak bersyukur dan sepatutnya belajar menjadi pembangkang yang baik dan berkesan – dengan membela nasib rakyat dan menunaikan segala janji yang ditabur dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu - setelah diberi peluang memerintah tanpa cuba mempersoal perkara-perkara yang boleh merosakkan kestabilan dan kemakmuran negara yang sudah dinikmati selama ini.

Marilah kita sama-sama membangun negara ini tidak kira apa kaum dan fahaman politik demi kelangusungan keamanan dan pembangunan negara.

Monday, November 15, 2010

Zaid belum keluar PKR


Datuk Zaid Ibrahim menjadi berita besar hari ini apabila dilaporkan sudah meninggalkan PKR.

Zaid sebenarnya hanya mengatakan sedia meninggalkan PKR, seperti dilaporkan laman Free Malaysia Today.

Seperti laporan tentang menubuhkan PKR baharu, Zaid hanya menyatakan kesediaan untuk melakukan tindakan itu sekiranya keluar atau dipecat daripada parti.

Pilihan untuk Zaid sekiranya keluar daripada PKR agak terhad, dan kemungkinan besar tidak lebih baik berbanding dalam PKR kerana beliau masih mempunyai ramai penyokong dalam parti yang paling mampu menjadi sebuah parti yang membawa perjuangan liberal di Malaysia.

Walau bagaimanapun, berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh Zaid, segala pilihan berkemungkinan dipilih tokoh yang bersifat maverick ini.

Berdasarkan ideologinya, Zaid mempunyai peluang lebih cerah bersama PKR, walaupun masa yang diperlukan lebih panjang.

Sunday, November 14, 2010

Anwar main politik tipu helah -Zaid


Dikemaskini 10:00 pm. Datuk Zaid Ibrahim meneruskan tentangan terhadap gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali dalam wawancara di dua akhbar dikawal pemerintah, Mingguan Malaysia dan New Sunday Times hari ini.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Zaid menyeru penolakan terhadap "politik tipu helah," yang walaupun tidak disebut dengan tepat, ditujukan kepada Anwar dan Azmin.

Dalam kedua-dua wawancara, Zaid menegaskan PKR ialah parti Anwar dan oleh kerana itu sukar perubahan hendak dilaksanakan, dan suara ahli-ahli tidak bermakna.

Beliau juga mengkritik Azmin sebagai tidak mampu menjadi pemimpin PKR.

Zaid juga menyatakan kemungkinan menubuhkan parti baharu jika disingkir daripada parti. Ini disebabkan parti-parti sedia ada tidak selari dengan pendirian politik liberal beliau.

Sokongan yang beliau terima daripada liberal di negara ini menunjukkan perjuangannya yang masih panjang, dan akan terus dikemukakan sebagai seorang pemimpin dalam pembangkang walau apa keputusan pemilihan PKR kali ini.

Dalam New Sunday Times, Zaid menyarakan seorang pemimpin PAS ditonjolkan sebagai pemimpin Pakatan Rakyat, kenyataan yang bermaksud Anwar tidak boleh lagi memimpin PR.

Lebih memperlihatkan kesediaannya menyaingi Anwar ialah apabila beliau menamakan pemimpin-pemimpin yang lebih liberal dan menyokong kuat Anwar, yakni Datuk Husam Musa, Dr Hatta Ramli, Dr Mujahid Yusuf, Dr Dzulkifly Ahmad dan Khalid Samad.

Tindakan ini merupakan satu usaha untuk menarik sokongan mereka daripada Anwar. Pemimpin tersebut, yang dilabel "Erdogan" dalam PAS, menyokong kuat Anwar dan semua agendanya termasuk pelan peralihan kuasa "16 September."

Wawancara tersebut, kali kedua dalam tempoh lebih kurang tiga bulan dengan Mingguan Malaysia dan pada hari sama dengan dua buah akhbar harian, menunjukkan Zaid akan terus melawan Anwar dan Azmin, dan mungkin semakin mempunyai sokongan, walaupun hanya untuk menjatuhkan dua individu itu.

Kesediaan diwawancara akhbar propemerintah memberi simbol penentangan terhadap pendirian Anwar dan pembangkang.

Tindakan Zaid ini menjadikan politik PKR - dan juga PR - semakin kompleks terutama melibatkan kedudukan Anwar, dan menunjukkan Zaid akan terus menjadi satu faktor penting dalam politik pembangkang.

Apa yang dilakukan mampu memberi kesan kepada hubungan antara parti dalam
PR.

Setakat apa yang sedia dilakukan Zaid sehingga kini, tidak nampak tanda beliau akan menghentikan penentangannya terhadap Anwar, malah mencari sokongan lagi dalam usahanya itu.

Saturday, November 13, 2010

Pakatan Rakyat, awas perangkap Umno

Kebelakangan ini semakin banyak isu ditimbulkan oleh media pro-Umno, sama ada akhbar, elektronik mahupun blog.

Pelbagai isu kini diulas dan dikritik dengan keras, daripada banjir di Kedah hingga sosej babi di Sarawak.

Serangan yang dilihat dalam isu bantuan kerajaan negeri Kedah kepada mangsa banjir yang keterlaluan memberi gambaran satu kempen memburukkan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat sedang berjalan.

Banyak isu melibatkan perkara-perkara sensitif seperti institusi raja, agama Islam dan berkaitan kaum.

Isu-isu yang dimainkan itu boleh dibaca sebagai ditujukan kepada pengundi-pengundi Melayu yang diharap akan berubah dalam pilihan raya umum akan datang dan kembali mengundi Umno.

Dalam hal ini, PR perlu berhati-hati supaya tidak menari mengikut rentak Umno dan BN sehingga terdedah kepada tindakan-tindakan tertentu, lebih-lebih lagi dalam keadaan media baharu BN yang semakin agresif.

Friday, November 12, 2010

Kem Zaid mahu Wan Azizah ganti Anwar


Kem Datuk Zaid Ibrahim mendesak presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk benar-benar memainkan peranannya sebagai pemimpin tertinggi yang sah parti itu.

Dalam satu kenyataan oleh bekas pengarah komunikasi parti, Johnson Chong di laman pro-Zaid Free Malaysia Today, Wan Azizah digesa menangani masalah yang berlaku dalam parti sekarang ini termasuk masalah pengundian pimpinan pusat.

Kebelakangan ini usaha mendesak Wan Azizah mengambil peranan kepimpinan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin ditingkatkan, antaranya untuk menangani pengaruh kuat Anwar dan Azmin Ali dalam parti.

Wan Azizah dikatakan tidak sehaluan dalam banyak perkara dengan Anwar dan Azmin. Sejak penubuhan parti sebagai Parti Keadilan Nasional, Azmin didakwa menggunakan pengaruhnya dalam menentukan agenda parti.

Zaid dalam kempennya menggunakan hujah mengukuhkan peranan presiden bertujuan mengurangkan peranan Anwar yang mendominasi setiap keputusan parti secara individu dan dipengaruhi Azmin.

Usaha Zaid ini kelihatan mendapat sokongan ramai, termasuk individu seperti Chong, N Gobalakrishnan dan dipercayai juga Nurul Izzah Anwar.

Walau bagaimanapun, kempen Zaid melawan Anwar ini dikatakan menjadi punca perpecahan dalam parti dan melemahkan parti menjelang pilihan raya umum akan datang, sehingga dituduh pengkhianat parti.

Thursday, November 11, 2010

Peringatan untuk PKR: Muda tak semestinya lebih baik


Ketua de facto pakatan pembangkang Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata PKR akan meletakkan calon muda dan muka baharu dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan ini boleh dilihat sebagai satu kempen awal untuk menunjukkan imej yang lebih baik berbanding Umno dan BN yang dipenuhi calon-calon lama.

Apa yang dijanjikan ini memang menarik, kerana secara mudahnya, muda dan baharu sinonim dengan baik, cergas, dan sebagainya.

Tetapi, faktor muda tidak boleh dijadikan kriteria terpenting, sehingga secara default menjadi faktor yang menyebabkan orang muda diutamakan.

Faktor lain, seperti tempoh bergiat dalam parti, pengalaman, dan pelbagai kualiti lain perlu diberi perhatian serius, supaya muda tidak jadi selling point yang terlalu besar sehingga nanti dituntut oleh rakyat sehingga faktor-faktor lain terabai.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, rakyat Malaysia dapat melihat beberapa kes wakil-wakil rakyat muda tidak menunjukkan prestasi yang baik, malah, seperti bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang telah memalukan PKR dan mengecewakan rakyat Pulau Pinang.

PKR perlu mengelakkan daripada meletakkan calon-calon "botol kicap," yang diundi semata-mata kerana mereka daripada PKR dan dipilih oleh Anwar.

Kontroversi Zahid: Balasan dosa Umno


Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadapi kritikan banyak pihak termasuk kawan dan lawan ekoran kenyataannya yang mengaitkan bukan Melayu dengan kurang semangat patriotisme.

Selepas laporan di beberapa media, Zahid dikritik ahli parti komponen dan juga Pakatan Rakyat sehingga memaksanya mempertahankan diri segera.

Zahid mungkin tidak menyangka kenyataan itu boleh dibaca dengan negatif sekali, sehingga menjejaskan gagasan 1 Malaysia perdana menteri.

Mungkin benar Zahid tidak bermaksud begitu, dan sesetengah media sengaja menjadikan kenyataan itu sangat negatif.

Kalau perkara ini berlaku semasa Umno dan BN masih menguasai seluruh media satu masa dulu, tindak balas seperti ini tidak mungkin berlaku. Zahid boleh bercakap dan kemudian melupakan sahaja ucapannya itu.

Tetapi, pada zaman media baharu kini, setiap ucapan pada hampir setiap masa boleh diperhatikan, dilapor dan dipanjangkan dalam dunia internet.

Kini, Umno merasakan bagaimana diserang dari segenap sudut dan betapa sukarnya untuk mempertahankan diri, dengan media miliknya yang semakin ditolak.

Satu masa dulu, Umnolah yang melakukan kerja-kerja seperti ini, malah masih lagi dilakukan pada masa tertentu.

Kenyataan ahli politik pembangkang sering dimanipulasi dan dinegatifkan sehingga ramai terpaksa menerima hakikat asalkan ada publisiti, walaupun publisiti negatif.

Hari ini realiti sebaliknya melanda Umno, yang sentiasa terdedah kepada bermacam-macam laporan dan ulasan negatif di portal berita, blog dan jaringan sosial di internet.

Pada masa yang sama, keupayaan Umno melalui medianya untuk menangkis serangan-serangan ini semakin terhad.

Wednesday, November 10, 2010

Abim ada pengaruh dalam PKR?


Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hari ini masih dikaitkan dengan kumpulan Angkatan Belia Islam Malaysia, Abim, walaupun mempunyai agenda yang berbeza pada masa ini.

Abim pada masa kini mempunyai agenda yang berbeza dengan Anwar yang semakin dekat dengan agenda liberal, walaupun hanya untuk kepentingan jangka pendek.

Kontroversi nama Allah dan pelbagai isu lain meletakkan Abim dengan Anwar dalam kedudukan bertentangan, tetapi Anwar masih mendapat sokongan tokoh-tokoh tertentu seperti Mustaffa Kamil Ayub dan Muhammad Nur Manutty.

Muhammad Nur mencetuskan rasa kurang senang ramai dalam Abim dan ramai tokoh gerakan Islam yang dekat dengan beliau kerana menyokong pandangan Anwar dalam isu kalimah Allah.

Mustaffa Kamil Ayub, antara tokoh faksi Abim dalam PKR sudah mula menunjukkan penentangan terhadap Anwar, walaupun ada yang menjangka beliau akhirnya tidak akan berbuat sebarang tindakan drastik.

Hubungan kompleks Anwar dengan Abim, atau individu-individu dalam Abim menyebabkan berlaku turun naik dalam hubungan Anwar dan juga PKR dengan Abim.

Abim menjadi satu kumpulan yang kuat menyokong Anwar selepas September 1998, tetapi kemudian disingkir beramai-ramai oleh faksi bekas Umno, liberal dan berhaluan kiri dalam parti, semasa itu Parti Keadilan Nasional.

Walau bagaimanapun, beberapa tokoh seperti Mustaffa kekal dalam kedudukan selesa, tetapi kehadiran aktivis berlatarbelakang gerakan Islam masih tidak disenangi ramai dalam PKR.

Tokoh-tokoh seperti Mustaffa dan Muhammad Nur dilihat dipergunakan untuk melayan sentimen Islam dalam parti dan dalam politik nasional, tetapi tidak akan diberikan posisi yang lebih penting melainkan menjadi orang kuat Anwar yang menyokong semua agendanya.

Usaha Mustaffa meneruskan perjuangan dalam PKR dilihat memberi harapan kepada faksi Abim tetapi perkembangan hari ini menunjukkan sukar untuk Abim memberi impak kepada PKR.

Apapun, Anwar masih mempunyai tarikan terhadap ahli-ahli Abim dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM yang boleh menjadi penyokong dan pengikut Anwar.

Persaingan faksi Abim dengan kumpulan-kumpulan lain masih berlangsung dalam PKR, dengan Anwar menjadi faktor yang mengekalkan mereka dalam parti itu.

Walaupun dikritik sebagai dipergunakan oleh Anwar hanya untuk masa tertentu, ramai aktivis Abim masih meletakkan harapan pada Anwar.

Tuesday, November 9, 2010

Kritik Anwar, Azmin: Zaid dapat sokongan ramai?


Sebelum ini, kritikan-kritikan Datuk Zaid Ibrahim ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, dua orang kuat PKR masih tidak terlalu tajam.

Tetapi, dalam sidang media hari ini, Zaid mengambil tindakan tidak boleh berundur lagi apabila terus menamakan Anwar dan Azmin sebagai punca masalah dalam PKR.

Isu ini sudah lama dibincangkan, dan dikaitkan dengan kedudukan presiden parti yang hanya berada di kedudukannya sebagai simbol tanpa kuasa presiden.

Tindakan berani Zaid ini mungkin didorong sokongan kuat banyak pihak, terutama golongan liberal dalam dan luar parti.

Sukar untuk dipercayai Zaid boleh bertindak begitu tanpa sokongan ramai. Ini juga memberi gambaran Zaid dipercayai oleh satu jumlah besar ahli dan penyokong di luar parti sebagai mampu untuk memimpin PKR - sekiranya tidak meninggalkan parti - dan gerakan liberal di Malaysia.

Apa yang menarik lagi ialah kehadiran Mustaffa Kamil Ayub bersama Zaid, yang menunjukkan seolah-olah ada kerjasama antara faksi Abim dengan liberal dalam PKR.

Mustaffa hari ini masih mahu meneruskan perjuangan merebut jawatan timbalan presiden walaupun didakwa kumpulan Abim semakin jauh daripada Anwar dan Mustaffa hanya dipergunakan untuk memperlihatkan ada proses demokrasi dalam PKR.

Tindakan Zaid hari ini bakal memberi impak besar kepada PKR, dan menjadi ujian sejauh mana PKR mampu bergerak sebagai parti yang tidak dikuasai sepenuhnya oleh Anwar.

Monday, November 8, 2010

Zaid Ibrahim sertai PAS atau DAP?


Tindakan Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan penarikan diri daripada persaingan merebut jawatan timbalan presiden PKR telah mencetuskan satu kegemparan, yang sebenarnya tidak terlalu mengejutkan.

Tindakan yang dibuat susulan kekecohan berhubung pertikaian pengundian dalam pemilihan PKR dan selepas peguam Haris Ibrahim mendakwa berlaku kepincangan dalam proses pengundian itu merupakan satu tamparan kepada PKR.

Kenyataan Zaid sendiri mengaitkan pimpinan tertinggi dengan kepincangan itu, meletakkan beliau dalam posisi bertentangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai pemimpin lain dengan lebih jelas lagi.

Zaid, ekoran persaingannya dengan Azmin Ali telah mengambil posisi mengkritik Anwar, tindakan yang belum pernah dilakukan oleh pemimpin tinggi PKR sebelum ini, terutama semasa sedang dalam persaingan merebut jawatan.

Seperti yang dilakukan kepada pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa meninggalkan jawatannya di Jabatan Perdana Menteri, tindakan Zaid dalam PKR ini memberi impak negatif yang berpanjangan kepada pihak yang ditinggalkannya.

Bagi PKR, proses pengundiannya terus menjadi perhatian, termasuk sokongan Anwar kepada tokoh tertentu.

Satu lagi persoalan besar ialah ke mana Zaid selepas ini? Adakah beliau akan terus dalam PKR dan menunggu masa merebut jawatan nombor dua atau presiden atau terus meninggalkan PKR?

Disebabkan sifat liberal beliau, Zaid juga dijangka menyertai DAP, dan berpotensi menjadi menteri besar atau ketua menteri Melayu bagi parti Cina itu.

DAP sejak kemenangan di Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dilihat mencari tokoh Melayu untuk dijadikan menteri besar atau ketua menteri di negeri yang bakal dimenangi ekoran kesukaran meletakkan calon bukan Melayu di posisi itu.

Tindakan beliau menjual bangunan Umno Kota Bharu kepada PAS di Kelantan telah menimbulkan spekulasi tentang urusan dan perjanjian tertentu melibatkan beliau dengan PAS, yang dibantu dengan hubungan baiknya dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan yang juga pesuruh jaya PAS Kelantan dan Mursyidul Am PAS.

Apapun pilihan Zaid, matlamat jangka pendek beliau boleh dijangka melibatkan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

Thursday, November 4, 2010

Galas, Batu Sapi petanda pilihan raya umum awal


Barisan Nasional berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan dan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Di Batu Sapi, keputusan rasmi Datin Linda Tsen dari PBS menang dengan majoriti 6,359 manakala Ab Aziz Yusoff memenangi Galas dengan majoriti 1,190 undi.

Kemenangan BN ini, susulan ganjaran-ganjaran kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak melalui belanjawan dan pelbagai tindakan untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu menguatkan jangkaan pilihan raya yang lebih awal.

Blog-blog dan pemerhati pro-BN mendakwa BN telah memenangi semula undi bukan Melayu di Galas, sesuatu yang telah diusahakan sejak perubahan besar sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media di Batu Sapi mendakwa kemenangan di Sabah itu sebagai satu sokongan kepada gagasan 1 Malaysia perdana menteri.

Pada masa sama, kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini dilihat terpinggir daripada Umno. Razaleigh menjadi faktor kekuatan Umno dalam pilihan raya kecil ini.

Kemenangan Umno di negeri kubu kuat PAS ini walau bagaimanapun tidak menjejaskan kerajaan negeri PAS.

Kemanangan kedua-dua pilihan raya kecil ini memberi kesan positif yang besar kepada Umno dan Barisan Nasional, kerana mengalahkan dua parti PR iaitu PAS di Kelantan dan PKR di Sabah.

Tuesday, November 2, 2010

Sisters in Islam dapat perhatian Clinton


Kuala Lumpur, 2 Nov: Sisters in Islam, kumpulan wanita liberal kontroversi Malaysia mendapat pujian daripada Hillary Clinton, setiausaha negara Amerika Syarikat yang sedang melawat Malaysia.

Clinton menyebut nama Sisters in Islam sebanyak tiga kali dalam dialognya yang diadakan di Istac di sini, hari ini.

Menurutnya, Sisters in Islam telah "membuka jalan baharu" dalam perjuangan isu wanita.

Jelasnya lagi, pada abad ini, "wanita tidak boleh lagi diketepikan dalam pembuatan keputusan."

Pujian beliau terhadap pertubuhan yang kontroversi itu dijangka akan mencetuskan respons kuat daripada konservatif di negara ini, yang mengaitkan kumpulan liberal di sini dengan sokongan Barat, terutama Amerika Syarikat.

Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Clinton juga dijangka bakal dikaitkan dengan sokongan negara itu kepada Anwar dan kumpulan-kumpulan liberal di Malaysia.

Pertemuan yang dijangka itu telah dikaitkan sebagai satu sokongan pentadbiran Presiden Barack Obama kepada Anwar, yang rapat dengan kumpulan tertentu di Washington.

Potensi pertemuan kedua-dua tokoh itu telah mencetuskan debat di Malaysia dan AS, yang berkisar tentang sokongan AS kepada Anwar.

Dialog yang dihadiri sekitar 500 pelajar, akademik, pegawai kerajaan dan wartawan ini merupakan satu program setiausaha negara itu melibatkan orang awam.

Clinton menyatakan pertubuhan Sisters in Islam mempunyai peranan yang penting dalam menangani isu wanita dalam abad terkini yang didepani pelbagai cabaran.

Ketika mengulas mengenai dialog melibatkan Islam dengan Kristian, Clinton turut memuji peranan yang dimainkan oleh pertubuhan seperti Sisters in Islam, antara pertubuhan yang menyokong dan menggerakkan dialog antara agama.

Hillary Clinton akan berbincang dengan Anwar


Kuala Lumpur, 2 Nov: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton akan berbincang dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Perbincangan in disahkan oleh Elizabeth Wong, ahli PKR yang mengiringi presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di majlis dialog dengan Clinton di Istac pagi ini.

"Beliau (Clinton) akan berbincang dengan Anwar," kata Wong, salah seorang yang rapat dengan kepimpinan tertinggi PKR kepada Siasah.

Perbincangan itu dijadual diadakan hari ini, sebelum Clinton meninggalkan Malaysia awal pagi esok.

Lagi laporan dan gambar menyusul.

Monday, November 1, 2010

Piala Malaysia: Kelantan PAS atau Kelantan Umno?


Oleh HARIS ZALKAPLI

Pasukan bola sepak Kelantan memenangi Piala Malaysia baru-baru ini selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-1.

Sejurus kedua-dua pasukan ditetapkan bertemu di perlawanan akhir, simbol dan kod berkaitan kedua-dua pasukan mula dicetus dan disebarkan oleh penyokong kedua-dua pasukan, dan tidak terkecuali ahli-ahli politik.

Hal ini sememangnya dijangka disebabkan hubungan rapat sukan dengan aktiviti politik, sama ada secara nyata atau tersirat.

Kelantan, berdasarkan pemerhatian di laman-laman blog dan sosial, menjadi kod bagi PAS, dan Negeri Sembilan pula Umno. Tetapi, perebutan modal hasil kemenangan pasukan terbabit telah mencetuskan beberapa tindakan bijak berdasarkan politik oleh pihak-pihak yang terlibat dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri Galas di Gua Musang, Kelantan.

Kedua-dua pihak telah menanamkan kepentingan masing-masing, untuk dituai sekiranya Kelantan mencapai kemenangan. PAS dengan mudah boleh menggunakan simbol PAS sebagai negeri melambangkan parti itu, tetapi Umno juga tidak ketinggalan apabila menunjukkan secara jelas peranannya membantu dan memberi sokongan kepada pasukan dan penyokong Kelantan, termasuk menyediakan pengangkutan dan layar-layar televisyen besar untuk tontonan di Kelantan.

Menjelang perlawanan akhir, berita elektronik memainkan peranan memasukkan kod-kod politik dalam perlawanan itu, dengan melaporkan sumbangan Umno.

Dalam satu tindakan yang mungkin tidak disengajakan, naib ketua pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim - yang berasal dari Johor - menyatakan sokongan kepada Kelantan, memberikan Umno satu lagi saham dalam kemenangan Kelantan.

Selepas kemenangan, sebuah akhbar Melayu pro-Umno turut menjadikan penyediaan layar besar oleh Umno sebagai satu berita yang agak besar, menunjukkan satu usaha secara sedar untuk mengaitkan juga Umno dengan kemenangan Kelantan, selepas presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaitkan kemenangan itu dengan ulang tahun ke-20 pemerintahan PAS Kelantan.

Tidak seperti tahun lalu, pasukan Kelantan menjadi perhatian penting Umno, dan mungkin, dengan pelaburan-pelaburan yang telah dibuat oleh pemuda parti itu terutamanya, Umno kali ini turut dapat berkongsi sedikit kesan-kesan positif kemenangan "negeri PAS" itu.

Artikel ulasan perlawanan Kelantan dengan Negeri Sembilan di Politik Pop tahun lalu, bertarikh 10 November, 2009:

Kekalahan pasukan bola sepak Kelantan dan kekacauan yang tercetus semasa dan selepas perlawanan pasukan itu dengan Negeri Sembilan beberapa hari lalu terus menghasilkan simbol-simbol politik di media negara ini.

Dalam media dikuasai parti pemerintah, Kelantan telah lama menjadi kod kepada PAS. Berita mengenai AIDS di Kelantan, gejala seks bebas di Kelantan, dadah di Kelantan dan sebagainya biasanya disusun untuk mencapai kesan-kesan tertentu, termasuk memburukkan imej PAS sebagai parti yang sangat dikaitkan dengan Kelantan.

Kekalahan Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia beberapa hari lalu membawa implikasi dan simbol-simbolnya yang tersendiri. Laporan dan gambar di akhbar-akhbar menjelaskan perkara ini dengan mudah.

Dalam hal ini, kaitan PAS dengan Kelantan (yang dalam banyak kes disengajakan oleh kumpulan tertentu dalam PAS) tidak membawa kesan-kesan yang positif, kerana dieksploit dengan berkesan oleh media tertentu.

Walaupun kekecohan yang tercetus daripada perlawanan Kelantan dengan Negeri Sembilan jauh daripada konflik El Salvador dan Honduras pada 1969, perlawanan akhir itu berlaku pada satu masa yang tepat dalam permainan politik negara, seperti juga perlawanan Amerika Syarikat dengan Iran dalam Piala Dunia satu masa dulu.

Dalam pemahaman banyak pihak, Kelantan mewakili PAS dan Negeri Sembilan mewakili Umno.

Pasti, kemenangan Kelantan disambut dengan bahasa yang jelas sifat politiknya, dan pasti juga, banyak pihak sudah menyediakan laungan-laungan sambutan itu untuk diletakkan di blog, Facebook dan sebagainya.

Mungkin ada baiknya pihak pembangkang tidak diberikan hadiah yang terlalu besar ini.

Hal ini demikian kerana sukan ialah salah satu medan utama atau lanjutan politik (seperti juga perang ialah lanjutan kepada politik) dalam aktiviti manusia, dan bola sepak ialah salah satu simbol paling penting politik dalam lapangan sukan.

Politik akan sentiasa terkesan dan memberi kesan kepada bola sepak, dan begitu juga sebaliknya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...