Monday, November 8, 2010

Zaid Ibrahim sertai PAS atau DAP?


Tindakan Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan penarikan diri daripada persaingan merebut jawatan timbalan presiden PKR telah mencetuskan satu kegemparan, yang sebenarnya tidak terlalu mengejutkan.

Tindakan yang dibuat susulan kekecohan berhubung pertikaian pengundian dalam pemilihan PKR dan selepas peguam Haris Ibrahim mendakwa berlaku kepincangan dalam proses pengundian itu merupakan satu tamparan kepada PKR.

Kenyataan Zaid sendiri mengaitkan pimpinan tertinggi dengan kepincangan itu, meletakkan beliau dalam posisi bertentangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai pemimpin lain dengan lebih jelas lagi.

Zaid, ekoran persaingannya dengan Azmin Ali telah mengambil posisi mengkritik Anwar, tindakan yang belum pernah dilakukan oleh pemimpin tinggi PKR sebelum ini, terutama semasa sedang dalam persaingan merebut jawatan.

Seperti yang dilakukan kepada pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa meninggalkan jawatannya di Jabatan Perdana Menteri, tindakan Zaid dalam PKR ini memberi impak negatif yang berpanjangan kepada pihak yang ditinggalkannya.

Bagi PKR, proses pengundiannya terus menjadi perhatian, termasuk sokongan Anwar kepada tokoh tertentu.

Satu lagi persoalan besar ialah ke mana Zaid selepas ini? Adakah beliau akan terus dalam PKR dan menunggu masa merebut jawatan nombor dua atau presiden atau terus meninggalkan PKR?

Disebabkan sifat liberal beliau, Zaid juga dijangka menyertai DAP, dan berpotensi menjadi menteri besar atau ketua menteri Melayu bagi parti Cina itu.

DAP sejak kemenangan di Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dilihat mencari tokoh Melayu untuk dijadikan menteri besar atau ketua menteri di negeri yang bakal dimenangi ekoran kesukaran meletakkan calon bukan Melayu di posisi itu.

Tindakan beliau menjual bangunan Umno Kota Bharu kepada PAS di Kelantan telah menimbulkan spekulasi tentang urusan dan perjanjian tertentu melibatkan beliau dengan PAS, yang dibantu dengan hubungan baiknya dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan yang juga pesuruh jaya PAS Kelantan dan Mursyidul Am PAS.

Apapun pilihan Zaid, matlamat jangka pendek beliau boleh dijangka melibatkan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

1 comment:

Unknown said...

Semasa Zaid tinggalkan BN dulu dia dianggap sebagai wira oleh pembangkang. Turut diangat dan dipuji sehingga dijadikan calon di PRK Hulu Selangor. Kini, apabila mempersoalkan tentang kepimpinan PKR, dia dikeji.
Perkara ini seperti sudah biasa berlaku dalam PKR. Siapa menyokong diangkat, siapa melawan dijatuhkan dan dihina. Kes seumpamanya adalah Zulkifly Noordin, Zarin dan banyak lagi.
Bagaimana PKR mahu memerintah jika keadaan dalam parti sendiri sudah bermasalah? Sesuatu untuk direnungi pengundi dan pennyokong PKR.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...