Thursday, September 25, 2008

Pak Lah umum akan berundur Mac ini, tidak pertahan jawatan

TERKINI

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu para pemimpin BN, beliau akan berundur dari menjadi PM Mac ini dan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno.

Namun begitu, di luar Dewan Mesyuarat PWTC, para penyokong Abdullah berkumpul dan menaikkan sepanduk mendesak agar beliau terus kekal dan bertanding mempertahankan kerusinya.

Lagi menyusul.

Umno: Wajarkah Abdullah pasrah?

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Para penyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini sedang berusaha buat kali terakhirnya bagi memastikan Abdullah tidak pasrah dengan tekanan yang dibuat oleh para timbalannya dalam Umno.

Ini kerana, jika dibiarkan, Abdullah akan membuat pengumuman esok untuk melepaskan jawatan perdana menteri dan Presiden Umnokepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak Mac ini.

Keputusan ini diambil Abdullah selepas ditekan begitu hebat oleh rakan-rakannya dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.

Sebagai permulaan, Abdullah dikatakan akan membuat pengumuman dia tidak akan bertanding mempertahankan jawatan presiden Umno esok.

"Pak Lah diberikan gambaran oleh rakan-rakannya bahawa akar umbi Umno sudah tidak mahu kepada dia lagi. Kalau dia bertandingpun, dia besar kemungkinan tidak akan mendapat pencalonan yang cukup. Jadi, bagi mengelakkan dia malu, baik berundur. Ini gambaran yang diberikan Abdullah.

"Padahal, selepas disiasat, semua gambaran ini rupanya direkacipta oleh timbalan beliau sendiri untuk menekan Pak Lah agar berundur," kata satu sumber kepada Siasah.

Namun, apabila dimaklumkan perkara ini oleh rakan-rakannya, Abdullah sudah berada dalam keadaan pasrah dan sangat sedih dengan apa yang berlaku.

"Dia sangat terkejut dengan apa yang berlaku kerana dia sangat percaya kepada timbalannya selama ini. Dia pasrah kini. Biarlah apa orang hendak buat, dan dia mengambil pendirian kepentingan parti adalah segala-galanya," beritahu sumber yang rapat dengan Abdullah itu.

Bagi penyokong Abdullah, adalah tidak wajar untuk membebankan semua kesalahan kepada beliau.

"Pengarah pilihan raya BN 2008 adalah timbalan beliau. Takkan jeneral perang pulang ke ibu negeri beritahu punca kekalahan ini adalah raja. Dialah yang patut bertanggungjawab. Pak Lah kena tukar jeneral ini bukan dia yang kena berundur.

"Begitu juga dengan pilihan raya Permatang Pauh. Pengarah pilihan raya ini adalah timbalan beliau. Pengarah inilah juga yang meyakinkan Umno bahawa mereka boleh kalahkan Anwar di Permatang Pauh.

"Tiba-tiba, bila Anwar menang besar, sekali lagi Pak Lah dipersalahkan. Oleh itu kuasa perlu diserahkan kepada timbalannya. Betul ke ni?" kata seorang lagi penyokong Abdullah.

Beliau mengesyaki, semacam ada usaha untuk mengalahkan Umno dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu untuk memalukan Abdullah kerana dia adalah Pengerusi Umno Pulau Pinang.

"Siapa di belakang sumpah liwat di masjid Wilayah? Siapa yang menyebar dan memasang tape sumpah ini di merata-rata tempat di sepanjang kempen pilihan raya ini? Siapa pula yang turut bersumpah di sebuah masjid di Permatang Pauh bahawa dia tidak ada kaitan dengan Altantuya?

"Selepas pilihan raya baru semua tahu bahawa kedua-dua sumpah itu back fire kepada Umno dan Anwar menang besar kerananya. Apakah semua itu wajar dipersalahkan kepada Abdullah," katanya.

Bagi beliau dan ramai lagi pemimpin Umno, yang menjadi senjata Anwar sepanjang kempen itu adalah timbalan beliau bukannya Abdullah.

"Kes Altantuya, kes pembelian kapal selam, kes pembelian senjata dan sebagainya. Semuanya timbalan beliau, bukannya Pak Lah yang menjadi modal serangan Anwar," tambahnya.

Ekoran itu, mereka kini bimbang jika timbalan beliau yang naik menjadi presiden Umno dan Perdana Menteri, pembangkang akan lebih cepat mendapat kuasa tidak sebagaimana yang dibimbangi Abdullah.

"Pak Lah bimbang, jika dia membuat keputusan untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden, Umno akan berpecah dan akan menguntungkan pembangkang.

"Saya fikir tidak begitu. Jika timbalan beliau yang ada naik, lagi cepat pembangkang akan menang. Memang, dalam Umno timbalan beliau itu kelihatan sangat berpengaruh kerana kerja-kerja yang dia buat selama ini, namun pada mata rakyat, Pak Lah jauh lebih bagus dari timbalannya.

"Jika begitu, boleh jadi timbalan beliau boleh menang dalam Umno kerana kerja belakang tabirnya dan disokong oleh Tun Dr Mahathir pula, tetapi apabila pilihan raya umum datang, rakyat akan menolak Umno kerana tidak boleh menerima timbalannya itu. Ahli Umno kena fikir perkara ini," kata beliau lagi.

Para pemimpin PAS sepakat kini

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Alhamdulillah. Akhirnya berita yang ditunggu-tunggu para ahli dan penyokong PAS telah tiba apabila para pimpinan PAS sepakat dalam menghadapi perkembangan semasa.

Ia dibayangkan melalui keputusan mesyuarat Lajnah Politik PAS Isnin, 6 Oktober lepas yang menyatukan hampir kesemua pandangan saf kepimpinan utama PAS.

Mesyuarat itu memutuskan PAS akan bekerjasama sepenuhnya dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk berusaha sepenuhnya bagi membentuk kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan BN yang ada.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS itu memutuskan, PAS akan telibat sepenuhnya dengan usaha itu dan akan menghantar pemimpin paling kanan untuk semua mesyuarat dengan pemimpin Pakatan.

Kalau sebelum ini, mesyuarat Pakatan banyak diwakilkan kepada pemimpin junior dalam PAS, mesyuarat itu memutuskan semua mesyuarat selepas ini akan disertai oleh pemimpin paling senior dalam PAS.

Lima pemimpin yang terpilih adalah Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalanya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu di samping Setiausaha Agung Datuk Kamarudin Jaffar.

Siasah dalam keluaran lalu membuat laporan utama tentang masalah perbezaan pendapat yang ketara dalam PAS dengan tajuk muka depannya "PAS: Selesaikan perbezaan segera".

Laporan itu memberikan amaran, jika pimpinan PAS tidak berbuat sesuatu, parti itu bakal menghadapi krisis dalam yang ketara.

Ia berkaitan dengan pembentukan kerajaan baru yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebahagian pemimpin PAS setuju manakala sebahagian lagi ragu-ragu.

PAS: Selesaikan perbezaan segera

PAS dicadangkan agar mengadakan satu perbincangan khas untuk menghuraikan segala perbezaan pendapat di kalangan pimpinan mereka sekarang.

Ini kerana dibimbangi perbezaan pendapat berhubung dengan pembentukan kerajaan baru ini membawa kepada perpecahan kepada PAS.

Laporan penuh dalam Siasah Jumaat ini.

Kerajaan Pakatan majoriti Islam - Anwar

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majoriti ahli parlimen Islam dan bumiputera tetap akan dipertahankan sekiranya Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan baru kelak.

"Saya berikan ketegasan bahawa majoriti ahli parlimen Muslim dan bumiputera itu dapat dipertahankan.

"Pakatan rakyat termasuk DAP menerima kenyataan ini. Tidak jadi masalah sama sekali," kata Anwar dalam satu sidang media di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Di MARANG, Terengganu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bersedia untuk mengubah kerajaan dengan syarat kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

PAS juga, katanya meletakkan syarat supaya kerajaan baru itu dikuasai Islam.

“Pertama, PAS meletakkan syarat kerajaan itu dikuasai oleh Islam. Jika Islam tidak majoriti, perubahan itu tidak akan disertai oleh PAS. PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak majoriti Islam.

“Kedua, kerajaan itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh dan bukan kerajaan yang lemah. Dan kerajaan kukuh mestilah oleh wakil-wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukan yang penakut. Terang-terang kita sebut, jika wakil rakyat itu penakut, bagaimana hendak buat perubahan. Perubahan itu sementara sahaja,” ujarnya.

Siasah difahamkan, semasa pertemuan tiga penjuru antara Anwar, Abdul Hadi dan Mursyidul Am, Datuk Nik Andul Aziz Nik Mat di Kota Bharu, syarat majoriti Islam itu juga diberikan kepada Anwar oleh Abdul Hadi.

Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan telah memberikan penerangan tentang kaedah pembentukan kerajaan baru yang akan dibuat oleh beliau dan rakan-rakan Pakatan di Kuala Lumpur.

Wednesday, September 24, 2008

Kes Anwar: Pindah mahkamah ditentukan 7 Oktober

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Hakim Mahkamah Sesyen menetapkan 7 Oktober ini untuk memutuskan samada perbicaraan dakwaan liwat yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke mahkamah tinggi atau tidak.

Hakim SM Komathy berkata, beliau memerlukan masa dua minggu untuk mempertimbangkan penghujahan yang dibuat oleh kedua-dua pihak.

Anwar melalui peguamnya, Sulaiman Abdullah menolak permohonan pendakwaraya untuk memindahkan kes itu ke mahkamah tinggi atas alasan permohonan itu ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang sedang disiasat kerana menganggu penyiasatan kes Anwar sebelum ini.

Anwar tiba di mahkamah jam 10 pagi dengan diiringi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan peguamnya S. N. Nair.

Tuesday, September 23, 2008

Anwar bertemu Nik Aziz dan Abdul Hadi di Kota Bharu

KOTA BHARU, 23 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan khas dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.

Pertemuan itu bermula jam 12.05 tengahari tadi di rumah rasmi MB Kelantan, JKR 10.

Presiden PAS, Abdul Hadi kelihatan mula-mula sampai di situ iaitu kira-kira jam 11.50 pagi diikuti Nik Aziz yang sampai kira-kira jam 11.55 pagi. Anwar pula tiba kira-kira jam 12.05 tengahari.

Hanya mereka bertiga sahaja terlibat dalam pertemuan tertutup itu.

Turut mengiringi Anwar ke JKR 10 adalah anggota Parlimen dari PKR Saifuddin Nasution Ismail, Amran Abdul Ghani dan Abdul Aziz Abdul Kadir.

Monday, September 22, 2008

Abdullah akan lawan habis-habisan

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno akan datang walaupun sebelum ini disebut-sebut akan melepaskan jawatannya segera.

Menurut sumber, perbincangan Abdullah dengan para pegawai kanannya serta penyokong kuat beliau di kalangan anggota Majlis Tertinggi Umno memutuskan 'Abdullah boleh mendapat pencalonan yang cukup' dari bahagian-bahagian Umno.

Keyakinan ini mereka perolehi selepas berbincang dan menolak sama sekali pandangan Datuk Seri Rafidah Aziz dalam mesyuarat MT Umno baru-baru ini Abdullah akan malu jika meneruskan niatnya untuk mempertahankan jawatannya.

Ini kerana, Rafidah dikatakan berkata dalam mesyuarat MT Umno Khamis lepas, Abdullah besar kemungkinan tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden Umno.

Untuk itu, lebih baik Abdullah melepaskan jawatan itu sebelum mesyuarat bahagian Umno yang akan bermula Oktober ini.

Namun, selepas perbincangan dengan penyokong dan pegawainya, Abdullah mengambil sikap akan mempertahankan jawatannya kerana ingin menolak 'seolah-olah dia tidak akan mendapat cukup pencalonan untuk bertanding.'

Rafidah bersama Datuk Seri Muhyidin Yasin, Datuk Seri Hishamudin Tun Husein dan Datuk Shafei Apdal dikatakan mendesak Abdullah agar mempercepatkan peralihan kuasa bagi mempastikan BN terus kekal memerintah Malaysia.

Ekoran itu, Abdullah dikatakan bersedia untuk berundur lebih awal. Namun, selepas berbincang dan menilai semacam dia dihina oleh rakan-rakannya dalam Umno seolah-olah beliau sangat lemah sehingga tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi, Abdullah dikatakan bersedia berlawan balik.

Abdullah memerlukan pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus dari perwakilan Umno iaitu sekurang-kurangnya 58 pencalonan bagi membolehkan beliau mempertahankan jawatan presiden.

"Orang boleh menerima kalau ditolak sedikit tetapi kalau lebih-lebih sangat, dia akan melawan balik. Inilah yang berlaku kepada Abdullah. Dia sudah bersetuju untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa. Tetapi kalau dia dihina sehingga dikatakan tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi, dia akan lawan balik. Inilah yang berlaku. Orang-orang Abdullah akan pastikan dia akan mendapat pencalonan yang cukup dan menang. Kena ingat, Abdullah adalah Perdana Menteri," kata seorang penganalisis politik kepada Siasah.

Ekoran dari itu, petugas Abdullah dikatakan mula bekerja. Semalam, Abdullah meluangkan masa dari petang hingga ke malam bersama dengan para pemimpin Umno di Perak.
Perak mempunyai perwakilan Umno antara tertinggi selain dari Johor.

Dengan tindakan Abdullah ini bermakna timbalannya yang berada di belakang usaha untuk mempercepatkan peralihan kuasa ini, Datuk Seri Najib berada di pihak yang sangat tertekan sekarang.

"Abdullah tidak hilang apa-apa kalau kalah kerana dia memang sudah mahu bersara, tetapi kalau Najib kalah, dia akan hilang segala-galanya," kata penganalisis itu.

Friday, September 19, 2008

Siasah bakal disaman Ketua Menteri 1 Pulau Pinang


KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Siasah.

Laman web Malaysiakini melaporkan Fairus  yang juga Timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang berang dengan Siasah kerana menyiarkan satu berita yang beliau sifatkan telah menjejaskan kedudukannya.
 
"Tabloid itu (Siasah) hanya menyiarkan komentari tanpa menyemak kesahihan maklumat yang diterima dari sumber-sumbernya.
 
"Sekurang-kurang ia patut menghubungi saya dan turut menyiarkan penjelasan saya. Ia satu percubaan untuk memburuk-burukkan kredibiliti, maruah dan integriti saya," ," kata Fairus seperti mana lapor Malaysiakini.
 
Fairus juga dipetik berkata, peguamnya sedang menyiapkan dokumen untuk mengambil tindakan undang-undang tersebut.
 
Selain itu Fairus juga dilaporkan Malaysiakini berkata, perbincangan tentang beliau dalam mesyuarat tertutup Pimpinan PKR yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibocorkan kepada akhbar oleh individu-individu tertentu dalam parti yang mempunyai agenda tersembunyi.
 
"Laporan akhbar-akhbar berkenaan memberi gambaran seolah-olah Anwar dan pemimpin lain parti itu tidak menyenangi saya dan gaya saya. 

"Pihak akhbar telah memberi gambaran yang salah sama sekali tentang diri saya," tambahnya.

Beliau turut membidas pihak media kerana tidak menyiarkan kerja-kerja yang telah dilakukannya di kawasan pilihanrayanya sejak enam bulan lalu.

"Saya percaya beberapa individu cemburu dengan kejayaan saya pada usia yang muda.

"Jadi, mereka mengada-adakan cerita untuk memburuk-buruk saya," katanya.

Siasah bil 0115 lalu melaporkan dimuka surat empat berkenaan prestasi Fairus sebagai Ahli (Dewan Undangan Negeri Penanti) yang dikatakan mengecewakan pengundi di situ.

Antara yang dilaporkan, dalam majlis kesyukuran kemenangannya anjuran Wanita PKR di Sungai Semambu, Anwar melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan perkembangan tingkah laku Mohammad Fairus yang beliau sendiri pilih dan memasukkan sebagai calon PKR Dun Penanti.

"Saya amat sedih dengan keadaan ini, kerana inilah pertama kali pimpinan yang dikritik orang ramai secara terbuka dan pengaduan juga dibuat secara terbuka oleh pengundi Dun Penanti.

"PKR akan memberi perhatian serius dan segera membaikinya dan oleh itu Fairus perlulah berubah sikap dan segera bersedia menunaikan tugasan seperti dikehendaki kerana rakyat dan pengundi yang memilih dan berhak untuk menaik atau menurunkan kita", katanya di majlis itu.

Anwar menasihatkan Mohammad Fairus segera turun padang berjumpa rakyat dan melaksanakan program yang telah dijadualkan serta membuang tabiat lalu bagi kesejahteraan rakyat dan pengundi yang ingin melihat perubahan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat.



Mahkamah tolak petisyen BN untuk Dun Ladang

KUALA TERENGGANU, 22 Sept: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak dengan kos petisyen pilihan raya yang dikemukakan BN terhadap Adun PAS Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Hakim Dato' Ramly Ali ketika membacakan keputusannya berkata, keputusan ini dicapai berikutan kegagalan pempetisyen mengemukakan bukti munasabah berhubung dakwaan bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tugas dalam mengendalikan kertas undi pos tersebut.

Tengku Hassan diwakili peguam Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Ketua Umno cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut membuat petisyen bagi Dun Ladang dengan menamakan Datuk Tengku Hassan sebagai responden, melalui peguamnya dari Shafee & Co.

Petisyen berkenaan telah menamakan tiga responden iaitu Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mat Razali Kassim yang bertindak sebagai pengurus pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Mahari diwakili oleh barisan peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Mohd Said mewakili SPR.

Dalam PRU ke-12 lalu, calon BN bagi Dun Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang juga Bendahari Badan Perhubungan Umno Terengganu telah tewas dengan majoriti 31 undi kepada calon PAS tersebut.

Teresa Kok dibebaskan

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok dibebaskan jam 1.30 tengahari tadi selepas ditahan 10 hari di bawah ISA.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail berkata, Teresa yang juga Exco kanan kerajaan Selangor dibebaskan selepas polis merasakan tahanan ke atas beliau sudah mencukupi.

Thursday, September 18, 2008

Pakatan tuntut sidang tergempar Dewan Rakyat

PETALING JAYA, 18 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, tiga pemimpin Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Perdana Menteri menuntut agar diadakan sidang tergempar Dewan Rakyat.

Sidang ini bertujuan untuk membuat undi tidak percaya kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan.

Perkara ini dinyatakan Anwar dalam satu sidang media khas di ibu pejabat PKR hari ini jam 2 petang tadi.

Surat itu ditandatangani oleh beliau sendiri di samping Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dan Lim Kit Siang, pemimpin DAP.

"Jika Abdullah tidak percaya kami ada cukup penyokong, sila panggil sidang Dewan Rakyat segera," kata Anwar .

Anwar memberikan tempoh sehingga 23 September ini untuk Abdullah berbuat demikian. Jika tidak pemimpin Pakatan akan bermesyuarat lagi untuk membincangkan tindakan seterusnya.

Sebelum ini, Abdullah menyifatkan Anwar menipu apabila berkata dia mempunyai cukup anggota Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Bagi Anwar, negara sekarang berada dalam krisis ekonomi dan juga politik.

"Politik dan ekonomi kita dalam krisis, kita tidak boleh tangguh lagi untuk menghentikan semua ini," kata Anwar.

Selesai: Mustafa bertemu Nik Aziz di Kota Bharu

KOTA BHARU, 18 Sept: “Selesai,” kata Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja selesai pertemuan antara beliau dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi ini.

Setelah dilihat bertembung dalam akhbar rasmi parti mereka, Harakah, Mustafa bertemu dengan Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 jam 10 pagi ini.

Pertemuan itu berlangsung lebih satu jam dalam suasana yang sangat harmoni.

"Ia umpama pertemuan anak dan ayah," kata Mustafa kepada wartawan.

Kedua-dua mereka dilihat bertembung apabila Harakah menyiarkan wawancara khas dengan Mustafa berkait dengan 16 September dan usaha menubuhkan kerajaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mustafa, dalam wawancaranya, tidak pro sangat dengan projek itu.

Nik Aziz tidak bersetuju dengan Mustafa lalu membuat satu kenyataan kepada Harakah selepas lidah rasmi PAS itu menyiarkan wawancara Mustafa itu.

Harakah telah menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz itu dan dijadikan berita utama muka belakang.

Tidak cukup dengan kenyataan itu, Nik Aziz telah sekali lagi mengkritik Mustafa dalam ceramahnya di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar beberapa hari lepas.

Sesetengah pihak mendakwa Harakah menyekat kenyataan Nik Aziz seolah-olah tidak menyiarkannya dengan menuduh Harakah mengISAkan kenyataan itu.

Padahal apa yang dilakukan Harakah adalah menyiarkan kenyataan itu dengan mengambil fakta penting kenyataan itu dan dibuat dalam bentuk berita.

Wednesday, September 17, 2008

Siapa lagi akan tinggalkan Abdullah?

Selepas perletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim, pelbagai pihak tertanya-tanya siapa lagi yang akan meninggalkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya lima tokoh sudah meninggalkan Abdullah.

18 Mac...Tengku Azlan Abu Bakar dan Anifah Aman
19 Mac...Radzi Sheikh Ahmad
26 Mac...Ghafur Salleh
19 Mei...Dr Mahathir Mohamed
16 Sept...Zaid Ibrahim
Laporan penuh dalam Siasah Jumat ini.

Jangan berlindung di sebalik peralihan kuasa, kata Razaleigh

KOTA BHARU, 17 Sept: Tengku Razaleigh Hamzah mencabar mana-mana pimpinan Umno yang tidak bersetuju dengan pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi agar meletakkan jawatan sebagai menteri dan lawan dia (Abdullah).

"Sekarang sibuk hendak berselindung di bawah peralihan kuasa dan macam-macam. Itu semua karut, karut, dan kalau berani kita lawan," kata Razaleigh dalam satu sidang media dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, "rakyat susah sekarang. Kita duduk dengan jawatan kita. Kita tidak mahu lepaskan jawatan, kita pentingkan jawatan. Tetapi masalah rakyat macam mana, harga barang mahal berikutan harga minyak naik. Tidak ada sesiapa yang hendak fikirkan masalah itu."

Wawancara penuh dalam Siasah Jumaat ini.

Terlebih penjara: Bekas banduan terima RM900,000 walaupun ditawar RM1.5 juta

KUALA LUMPUR, 17 Sept: Selepas tersalah tahan selama 217 hari oleh Penjara Malaysia, seorang bekas banduan, Amri bin Abdullah dibayar pampasan sebanyak RM900,000 baru-baru ini.

Namun, perkara yang mengejutkan adalah sebelum ini Jabatan Peguam Negara telah menawarkan secara bertulis kepada Amri pampasan sebanyak RM1.5 juta.

Ia dibuat melalui satu surat dari jabatan itu bertarikh 26hb September 2007 yang antara lain berbunyi: “Sukacita dimaklumkan bahawa pihak kami bersedia menawarkan pampasan kepada Plaintiff sebanyak RM1,500,000.00 (RM1.5 juta) termasuk faedah dan kos. Tawaran ini adalah muktamad.”

Sebelum ini, Siasah telah melapurkan, Amri menuntut RM347 juta akibat terlebih tahanan itu. Pengiraan dibuat berdasarkan pampasan yang diberikan terhadap kes-kes tersalah penjara sebelum ini.

Namun, selepas turun naik ke mahkamah dan menderita tanpa pekerjaan kerana status bekas banduan, Amri mendapat RM900,000 sahaja.

Amri dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 26 Oktober 2005 dan mendapati beliau terlebih penjara selama 217 hari. Sejak itu beliau menuntut gantirugi melalui peguamnya.

Pelbagai pancaroba dilalui beliau termasuk terpaksa merawat isterinya yang bersalin secara cecarean, berlaku komlikasi dan memerlukan rawatan susulan.

Beliau juga mendapat 'tawaran' dari pelbagai pihak dalam menyelesaikan tuntutannya.

Namun akhirnya, Amri menerima jumlah gantirugi sejumlah itu sahaja selepas berjuang hampir tiga tahun untuk mendapatkan pampasan yang sewajarnya.

Kickdefella ditahan polis

KOTA BHARU, 17 Sept: Blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih Sheikh Kickdefella telah ditahan polis di bawah Akta Hasutan ekoran laporan beliau dalam webnya, 'kempen terbalikkan bendera Malaysia'.

Tulisan Syed Azidi ini telah di kecam oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Ekoran itu satu laporan polis telah dibuat terhadap beliau.

Tuesday, September 16, 2008

Selepas 45 tahun, pembentukan Malaysia diraikan

KELANA JAYA, 16 Sept: Selepas 45 tahun berlaku, pembentukan Malaysia diraikan dengan penuh kebanggaan di Stadium Kelana Jaya malam tadi.

Ia diraikan oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut serta adalah para pemimpin DAP dan PAS yang menjadi rakan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Mewakili PAS adalah Naib Presidennya, Ustaz Ahmad Awang serta Setiausaha Agung, Datuk Kamarudin Jaffar. Manakala DAP diwakili oleh pemimpinnya iaitu Lim Kit Siang dan juga Lim Guan Eng.

Mereka sama-sama menyanyikan lagu Negaraku sambil mengibarkan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang.

Sebelum itu, mereka berbuka puasa dan solat Maghrib dan Terawikh bersama-sama.


Saya ada lebih 31 anggota Parlimen untuk sertai Pakatan, kata Anwar

PETALING JAYA, 16 Sept: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu media, pihaknya mempunyai lebih 31 anggota Parlimen yang sedia menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru di negara ini.

Nama-nama itu akan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan yang dipohon oleh beliau sebelum ini dengan Perdana Menteri.

Demikian dinyatakan Anwar dalam sidang media di pejabatnya dekat sini hari ini.

Menurut Anwar, dia telah menghantar satu surat kepada Abdullah Isnin 15 September meminta untuk bertemu di samping menuntut empat perkara dari Perdana Menteri itu.


Empat perkara itu adalah:-

1) Jangan halang mana-mana anggota Parlimen untuk bertindakn berdasarkan kehendaknya, hak perlembagaan, dan kebebasan kehakiman.

2) Jangan gunakan akta ISA untuk menghalang mana-mana anggota Parlimen termasuk anggota Parlimen dari Pakatan.

3) Jangan gunakan undang-undang darurat atau menggantung perlembagaan atau membubarkan Parlimen.

4) Jangan adakan sekatan jalan untuk menghalang anggota Parlimen ke Dewan Rakyat atau mana-mana institusi kerajaan.

Sanglang kembali kepada PAS, Manir juga kekal

PUTRAJAYA, 16 Sept: Calon PAS di Sanglang, Ustaz Hashim Jasin diisytiharkan sebagai pemenang yang sebenarnya untuk kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri Perlis itu oleh Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini.

Penal tiga hakim yang bersidang, Datuk Zulkifli Ahmad Makinudin, Datuk Ariffin Zakaria dan Datuk Alaudin Sharif memberikan keputusan sebulat suara mengisytiharkan Hashim menang kerusi itu.

Dalam kes ini, Hashim diwakili Mohamed Hanipa Maidin, Iqbal Shipudin dan Zulmi Sabri. Calon BN diwakili oleh Jegakarupiah manakala SPR diwakili oleh Datuk Kamaludin Mat Said dan Puan Rozi Bainun.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima petisyen dari Hashim.
Namun Hashim membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan agar mengisytiharkan beliau adalah calon yang menang dalam pilihan raya itu kerana kedua-dua pihak mengaku berlaku kesilapan pengumuman pemenang dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Hashim menang dengan majoriti 45 undi mengalahkan calon BN Abdullah Hassan. Pada 8 Mac lalu, SPR mengumumkan Abdullah menang.

Sementara itu, Ustaz Harun Taib juga disahkan sebagai pemenang untuk Dun Manir, Terengganu oleh Mahkamah Persekutuan yang sama.

Mahkamah Persekutuan itu bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak petisyen calon BN dengan alasan petisyen itu cacat kerana tidak menyatakan pertuduhan rasuah secara yang khusus.

Anwar adakan sidang akhbar hari ini

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu pejabat PKR dekat Petaling Jaya jam 2.00 petang ini.

Sidang akhbar ini dijangka berkait dengan 16 September 2008.

Eli yakin pertukaran kerajaan akan berlaku sebelum Oktober

SHAH ALAM, 16 Sept: "Saya yakin pertukaran kerajaan akan berlaku." Apakah Oktober atau November? "Lebih awal dari itu," kata Elizabeth Wong, Ketua Penerangan Wanita PKR yang baru pulang dari Taiwan.

Elizabeth juga berkata, 'lawatan' mereka ke Taiwan untuk menemui anggota Parlimen BN yang dihantar untuk melancong sambil belajar pertanian di Taiwan memberikan hasil yang baik dan "jelas BN sangat gabra," katanya.

"Bayangkan, kami sampai jam 9.30 pagi di Taipeh. Mereka banyak program hari itu di situ tetapi tergesa-gesa keluar dari Taipeh jam 2.30 petang kerana takutkan kami," kata Elizabeth kepada Siasah.

Antara program yang dibatalkan oleh anggota Parlimen BN di Taipeh adalah pertemuan mereka dengan Speaker Parlimen Taiwan, kata Elizabeth.

Elizabeth bersama dengan beberapa lagi pemimpin PKR ke Taiwan baru-baru ini bagi menjejaki 41 anggota Parlimen BN yang dibawa keluar ke Taiwan itu antara 9 - 19 September.

Antara yang bersama beliau adalah Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), Saifudin Nasution Ismail (Pengarah Strategis) dan beberapa orang lagi pemimpin PKR.

"Kami terpaksa menggunakan pelbagai hubungan kami untuk berkomunikasi dengan mereka di sana. Semua telefon bimbit anggota rombongan telah dipegang oleh ketua rombongan (untuk menghalang mereka berkomunikasi)," kata Elizabeth lagi.

Monday, September 15, 2008

ISA: Amerika tidak perlu campur tangan

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Pemuda PAS menolak campur tangan Amerika dalam negara ini walaupun atas dasar untuk menegur negara ini kerana menggunakan ISA untuk menahan rakyatnya.

Ketuanya, Salahudin Ayub berkata, Pemuda PAS menentang sekeras-kerasnya penggunaan ISA di negara ini namun Pemuda PAS juga tidak bersetuju dengan tindakan Amerika campur tangan.

Ekoran itu, katanya, Pemuda PAS memandang serius tindakan Washington memanggil Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Ilango Karuppannan berkaitan isu penahanan beberapa rakyat negara ini di bawah ISA baru-baru ini.

Pemuda PAS berpandangan walaupun AS cuba menyampaikan satu pandangan tentang hak asasi manusia, tetapi dari sudut yang lain ia adalah satu campur tangan politik kuasa besar dunia ke atas negara ini.

Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan BN yang menyalahgunakan ISA untuk menahan pemimpin pembangkang, penulis blog dan wartawan kononnya atas nama keselamatan negara.

Kesan daripada kegelojohan pimpinan BN, AS telah cuba untuk mencampuri urusan politik dalam negara ini, katanya.

Wednesday, September 10, 2008

Mahathir cuba halang Ku Li sertai Anwar

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Langkah Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan pucuk pimpinan Umno akan datang disifatkan sebagai usaha beliau (Mahathir) untuk menyekat bekas musuh politiknya itu menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.

Menurut sumber yang rapat dengan Siasah, Ku Li dikatakan antara tokoh politik Umno yang dikatakan akan memimpin para anggota Parlimen Umno menyertai Anwar bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Tun Dr Mahathir dikatakan sedar dengan kemungkinan ini lalu bersetuju untuk menyokong Ku Li bagi merebut jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Disember ini.

"Ia bertujuan untuk menyekat Ku Li dari bersama Anwar membentuk kerajaan baru kerana Tun (Dr Mahathir) memang akan berbuat apa sahaja untuk menyekat Anwar," kata satu sumber kepada Siasah.


Laporan penuh dalam Siasah Jumaat ini.

Presiden PAS sampai sumbangan sempena Ramadhan

Presiden PAS yang juga Adun Rhu Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Ramadan anjuran PAS Cawangan Rusila di Dewan Banat, Maahad Darul Quran, Rusila, baru-baru ini.

Seramai 102 penerima yang terdiri daripada golongan miskin dari Kampung Rusila, Belubur, Padang Kapas, Gong, Tubir Che Nam dan Belubur Pantai menerima sumbangan berupa wang tunai pada majlis tersebut.

Turut menyampaikan sumbangan ialah isteri beliau, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah.

Kes Anwar ditangguh ke 24 September

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 24 September depan ekoran bantahan terhadap perintah yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Apabila kes itu disebut pada jam 10.00 pagi tadi di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah, pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Namun ia telah dibantah oleh para peguam Anwar kerana Ghani tiada kaitan dalam kes itu.

Di luar mahkamah, beratus-ratus penyokong Anwar datang untuk memberikan sokongan moral kepada beliau di samping berpuluh wakil media berebut-rebut membuat liputan kes itu.

Tuesday, September 9, 2008

Anggota rombongan BBC ke Taiwan letak jawatan dalam BN

TAIWAN, 9 Sept: Salah seorang anggota rombongan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Barisan Nasional ke Taiwan, Huan Cheng Guan menghantar notis melalui SMS meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda BN Pulau Pinang jam 12.30 tengahari tadi.

Beliau mengambil tindakan itu selepas tidak bersetuju dengan tindakan para penyokong Datuk Ahmad Ismail yang mengoyak gambar pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon di Menara Umno Pulau Pinang semalam.

Ahmad dengan disokong oleh kesemua 13 bahagian Umno Pulau Pinang turut mendesak Gerakan dipecat dari BN. (Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang adalah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).

Cheng Guan yang merupakan Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang menghantar notis itu kepada pemimpin BN serta Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamudin Tun Husein.
Salinan notis itu juga dihantar kepada media tengahari tadi.

41 anggota Parlimen BN serta beberapa pegawai (termasuk Cheng Guan) dalam siri lawatan ke Taiwan mulai semalam.

Lawatan ini disifatkan sebagai tindakan 'panik' BN untuk menghalang anggota Parlimen mereka menyertai Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan kerajaan baru yang dijadualkan 16 September ini.

Saturday, September 6, 2008

BN benar-benar dalam panik

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau telah meluluskan permohonan 75 anggota kelab penyokong BN untuk mengadakan lawatan keluar negara mulai 7 hingga 19 September ini melambangkan kepanikan BN.

Ini kerana, dalam kenyataannya juga Abdullah berkata, "Saya tidak akan biarkan mereka membentuk kerajaan pada 16 September."

Walaupun para pemimpinnya menyatakan cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan pada 16 September sebagai mimpi siang hari namun tindakan pemimpin BN melambangkan kepanikannya menjelang tarikh itu.

Bahkan, Bernama terpaksa membuat kenyataan rasmi mengatakan mereka bukan di belakang SMS yang mengatakan satu sidang akhbar akan diadakan oleh parti-parti BN di Sabah petang Jumaat semalam.

Semua ini disifatkan oleh ramai pemerhati sebagai tindakan panik BN terutama di kalangan pemimpin dan medianya "dan ini boleh menghilangkan lagi keyakinan kepada Abdullah," kata seorang pemerhati.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) BN, Tiong King Sing mengesahkan pihaknya merancang untuk melawat luar negara tidak lama lagi dan sedang memilih antara Taiwan atau China sebagai destinasi mereka.

Ada juga laporan yang mengatakan mereka akan berkunjung ke New Zealand atau Australia.

Hilang keyakinan kepada Abdullah diperkuatkan lagi semalam apabila hampir kesemua bahagian Umno di Pulau Pinang berdiri teguh di belakang Datuk Ahmad Ismail yang menolak arahan pemimpin Umno agar memohon maaf kepada masyarakat Cina ekoran kenyataannya.

Ahmad mempertahankan kenyataannya adalah benar walaupun beberapa hari lalu timbalan presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memohon maaf bagi pihak beliau. Abdullah juga dikatakan telah meminta Ahmad memohon maaf kerana permohonan Najib itu dikatakan tidak mencukupi kerana yang membuat kenyataan itu bukan Najib tetapi Ahmad.

"Abdullah adalah presiden dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang. Kalau semua pemimpin Umno negeri itu sudah menolak arahan dia agar Ahmad meminta maaf, apa lagi credibelity yang ada pada Abdullah," kata seorang bekas profesor sains politik dari Universiti Malaya kepada Siasah.

Sudahlah menolak untuk meminta maaf, Ahmad dalam sidang medianya mempertikaikan pula pemangku presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon dan berkata, "Saya kenal siapa awak dan awak adalah aktor yang baik."

Ahmad berkata, dia tidak salah. Yang salah adalah media dan pemimpin politik yang membuat tafsiran dari kenyataan media itu.

Kenyataan yang disiarkan secara panjang lebar dalam Buletin Utama TV3 malam tadi membayangkan ia dipersetujui oleh Umno, kata seorang pemerhati.

Kenyataan Ahmad dengan mendapat sokongan penuh Umno Pulau Pinang ini disifatkan sebagai mencabar kedudukan Gerakan dalam Barisan Nasional dan jika parti itu masih mahu kekal dalam gabungan itu ia benar-benar menghina anggota parti itu terutama dari kaum Cina.

"Jika sebelum ini Gerakan mengkaji kedudukannya dalam BN, dengan sidang akhbar Ahmad bersama para pemimpin Umno Pulau Pinang dan disiarkan secara besar-besaran dalam media yang dikawal Umno malam tadi, Gerakan boleh dianggap tidak ada 'telor' lagi kalau masih mahu kekal dalam BN," kata seorang pemerhati.

"Sekarang ini bukan Cina sahaja yang marah dengan kenyataan Ahmad itu bahkan India juga," kata bekas pensyarah sains politik UM itu yang sebelum ini adalah penyokong kuat Datuk Seri S Samy Vellu, presiden MIC.

Bagi beliau, masyarakat Malaysia tidak terkejut selepas ini jika semua orang bukan Melayu akan meninggal pemimpin mereka yang mahu kekal dalam BN.

"Ini lagi teruk. Lebih baik semua parti bukan Melayu ini tinggalkan BN secara blok dan serta Pakatan Rakyat," tambah beliau.

Thursday, September 4, 2008

Dr Osman tegaskan tiada tanda liwat pada Saiful

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Dr Mohamed Osman Abdul Hamid, doktor dari Hospital Pusrawi menegaskan, tidak ada sebarang tanda Mohd Saiful Bukhari Azlan diliwat ketika diperiksa beliau pada 28 Jun lalu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat Majlis Peguam bersama dua peguamnya hari ini untuk mengesahkan laporan perubatan yang disebarkan sebelum ini.

Kenyataan Dr Osman hari ini memecah kebuntuan apabila beliau tidak membuat sebarang penjelasan selepas laporan perubatan yang beliau tulis tersebar luas sebelum ini.

"Saya tidak terlibat dengan politik. Saya cuma mahukan kebenaran," kata beliau yang ditemani peguam M Peruvalen dan Yusri Kamarudin.

Osman berkata, dia menghilangkan diri selama ini selepas tertekan dengan siasatan yang dibuat polis terhadapnya ekoran laporan perubatan yang dibuat terhadap Saiful.

Namun beliau berkata akan bekerja semula secepat mungkin.

Osman mengesahkan laporan perubatan yang disebarkan merata-rata itu sebagai laporan yang dibuat dan ditandatangani oleh beliau.

Osman juga berkata, dia memanggil sidang akhbar hari ini untuk membersihkan namanya.

Dia juga mengesahkan akuan bersumpah yang disebarkan sebelum ini adalah dari beliau sendiri.

Wednesday, September 3, 2008

Umno memang patut jadi punching bag, kata pemikir MCA

KUALA LUMPUR, 3 Sept: "Umno memang patut menjadi punching bag (tempat melepaskan geram) kerana dia yang mencipta semua isu ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik dan Polisi (Insap) yang dimiliki MCA, Fui K. Soong kepada Siasah.

Fui mengulas tindakan dua calon presiden MCA yang sedang berkempen sekarang yang menjadikan Umno tempat mereka melepaskan geram.

Datuk Dr Chua Soi Lek berkata, MCA sekarang telah menjadi hamba abdi (slave) kepada Umno manakala Datuk Ong Tee Kiat pula berkata, MCA akan mengkaji kedudukannya dalam Barisan Nasional jika Umno terus dengan 'ketuanan Melayunya'.

Kedua-dua mereka disebut-sebut sebagai pihak yang akan bertanding untuk merebut jawatan presiden MCA selepas Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mahu dicalonkan sebagai presiden MCA lagi.
Laporan penuh dalam Siasah minggu ini.

Umno wajar lari ke bukit

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno sudah tidak wajar lagi duduk dalam masyarakat negara ini kerana parti itu sudah luar biasa dan tidak berpijak di bumi nyata.

Oleh itu, dia mencadangakan agar Umno lari ke bukit.


Tulisan penuh Nik Aziz dalam Siasah minggu ini.

Pemuda PAS minta Abdullah ikut jejak PM Jepun

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Pemuda PAS mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mencontohi keterbukaan pemimpin Jepun, Yasui Fukuda yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Malangnya, pemikiran feudal dunia ketiga yang mengokong Abdullah Badawi menyebabkan beliau terus bertahan, kata Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub dalam kenyataannya kepada Siasah.

Bagi beliau, sebab utama Abdullah bertindak demikian ialah supaya keluarga dan kroninya mendapat peluang mengaut kekayaan negara, manakala rasuah terus berleluasa.

"Rakyat terus ditindas dengan pelbagai dasar yang membebankan. Kini, Permatang Pauh pula menghantar mesej yang lebih jelas kepada Abdullah Badawi bahawa kepemimpinannya sudah tidak relevan dan beliau mesti berhenti segera.

"Jika beliau tidak mahu mencontohi pendekatan perdana menteri Jepun, rakyat negara ini akan terus menderita oleh dasar-dasar yang mengutamakan kroni dan keluarga," katanya dalam kenyataan itu.

PKR yakin Malaysia bertukar kerajaan 16 September

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) penuh yakin sasaran untuk menukar kerajaan Malaysia pada 16 September ini akan tercapai bahkan boleh jadi berlaku sebelum tarikh itu lagi.

Keyakinan ini digambarkan oleh Saifudin Nasution Ismail, Pengarah Strategik PKR ketika bercakap kepada Siasah.

Saifudin, anggota Parlimen Machang adalah antara orang penting di belakang rancangan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menukar kerajaan pada 16 September ini.

16 September adalah tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bersama dengan Semenanjung membentuk kerajaan bersama.

Bagi menggambarkan keyakinannyan, Saifudin dengan jelas berkata, "Berdasarkan dokumen yang saya lihat, peristiwa yang saya saksikan, apa yang kami rancangkan, saya yakin ia akan berlaku."
Laporan penuh dalam Siasah minggu ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...