Thursday, May 28, 2009

PKR bantah Umno ceramah di Penanti

Oleh Mohd Ali Hashim

PULAU PINANG, 29 Mei: Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Faris Musa mengecam tindakan Barisan Nasional(BN)terutamanya Umno yang cuba mengganggu proses pilihan raya kecil(PRK) di N.12 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dengan menganjurkan beberapa siri ceramah dalam Dun Penanti.

Menurut beliau lagi tindakan Umno bahagian Permatang Pauh menganjurkan tiga siri ceramah yang dikenali sebagai majlis penerangan 'Kenapa BN tidak bertanding'itu adalah satu pencerobohan hak dan mencemarkan ketetapan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) yang tidak membenarkan mana-mana parti yang tidak bertanding untuk mengambil bahagian dalam apa jua siri ceramah termasuklah memasang bendera parti.

Baru-baru ini bendera parti DAP telah diturunkan oleh SPR di Dun Penanti kerana didapati parti tersebut tidak bertanding dalam PRK tersebut.

Namun begitu siri ceramah yang dianjurkan oleh Umno ini menonjolkan exco pemuda Umno Malaysia, Lokman Noor Adam, Ustaz Kamal Saidin dan Haji Abdullah Bahari sebagai penceramah bertempat di Dewan Umno bahagian Permatang Pauh, Sg. Semambu, Dewan Kuala Mengkuang dan Dewan Guar Perahu, Penanti.

Faris bersama-sama dengan Ketua Penerangan AMK Permatang Pauh, Mohd Syukri Hamid telah membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Semang, Penanti terhadap Umno bahagian Permatang Pauh.

Umno didakwa melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh SPR kerana mengadakan ceramah politik dalam Dun Penanti sedangkan BN tidak bertanding dalam PRK kali ini. "Kita berharap SPR telus dalam perkara ini apabila jelas memperlihatkan bahawa BN dan Umno telah melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.Kita ingin melihat mereka menguatkuasakan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Sebelum ini Umno juga didakwa menganjurkan lawatan ke Wang Kelian kepada pengundi dalam Dun Penanti secara percuma pada hari pengundian yang akan berlangsung pada 31 Mei ini.
Mereka yang turut serta juga difahamkan akan ditanggung kos pengangkutan dan perbelanjaan sepanjang perjalanan pada hari tersebut.

Amalan BN sekarang sama dengan PKM dulu - Nik Aziz

PULAU PINANG,28 Mei. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan nasionalisma.
Menurut beliau lagi tindakan yang dilakukan oleh BN selama ini adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh PKM.

"Jika pada zaman PKM ramai mereka yang tidak bersalah dan berdosa dibunuh dan dizalimi.Apa bezanya pada zaman ini dimana mereka yang tidak bersalah mudah dizalimi oleh pemerintahan BN. Oleh kerana itu ada persamaan antara PKM yang dahulu dan BN yang wujud sekarang. Kedua-duanya sama saja.

"Oleh kerana itu siapa sahaja yang mengamalkan fahaman nasionalisma maka ia juga adalah serupa dengan PKM yang melakukan kezaliman,pembunuhan,kerosakan dan bermacam-macam lagi ancaman pada zaman darurat dahulu sehingga ramai yang sengsara.

"Kesan yang ditinggalkan oleh PKM pada ketika itu dapat dirasai sehingga sekarang.Begitu juga dengan kerajaan BN yang mengamalkan ISA sebagai satu akta yang menzalimi rakyat yang tidak bersalah.Bukankah ini juga semacam dengan mereka."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Kampung Guar Jering, Penanti, Bukit Mertajam.

Dalam ceramah itu beliau juga menyentuh mengenai kedudukan BN yang semakin terancam dengan perpecahan yang begitu ketara berlaku semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti PPP.Mereka mulai berpecah kepada dua presiden.Begitu juga di Trengganu yang berpecah dalam kumpulan Umno yang memerintah negeri disana.

"Di Perak juga berlaku kemelut yang sehingga ini rakyat tidak dapat menerima apa yang telah diputuskan walaupun hak rakyat untuk meimilih harus diserahkan kepada rakyat membuat pilihan terbaik," katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Tuesday, May 26, 2009

Husam tunggu Zahid hingga jam 9.35 malam di Sri Pentas

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menunggu Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hingga jam 9.35 malam di Sri Pentas, tempat berlangsungnya rancangan itu, sebelum meninggalkannya.

Mereka berdua sepatutnya berhujjah dalam rancangan Hujah TV 9, namun Zahid menarik diri di saat akhir dengan menggantikannya dengan Ezam Mohamad Nor.

"Setelah tiba di Sri Pentas Bandar Utama, untuk menyertai program Hujjah secara langsung di TV9 jam 9.35 malam ini sebagai ahli Panel bersama Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, saya dimaklumkan oleh penerbit rancangan, YB Menteri berkenaan tidak dapat hadir kerana keuzuran.

"Oleh yang demikian saya dengan rasa dukacita, menarik diri dari menyertai program ini dan menasihati penerbit rancangan supaya ianya ditunda kepada satu tarikh lain di masa hadapan yang sesuai dengan jadual Menteri.

"Ini kerana pengganti yang dijemput mengambil alih tempat YB Menteri, tidak memegang jawatan di dalam Kerajaan dan juga partinya yang memberi beliau keupayaan untuk bercakap bagi pihak Kerajaan atau partinya apalagi keupayaan untuk membawa perubahan kepada pentadbiran Kerajaan serta partinya.

"Saya mencadangkan kepada penerbit rancangan supaya menjemput Pengerusi GERAK bagi menggantikan tempat saya. Ini amat sesuai memandangkan ahli panel yang menggantikan tempat YB. Menteri adalah bekas Pengerusi GERAK," tulis Husam dalam blognya.

Husam minta Zahid sertai juga Hujah malam ini

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memohon agar Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan kembali tindakannya menarik diri di saat akhir dari menyertai rancangan Hujah dengan beliau di TV 9 malam ini.

Husam berkata, pengurusan TV9 telah memaklumkan mengenai keputusan Menteri Pertahanan terbabit membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir kerana sebab-sebab tertentu.

“Saya merasakan tajuk yang akan dibincangkan mengenai politik wang amat mustahak dan relevan dalam situasi sekarang.

“Dan rakyat keseluruhannya amat ternanti-nanti untuk mendengar buah fikiran Datuk Seri dan juga dari saya selaku wakil dari PAS untuk menangani permasalahan politik wang,” katanya dalam surat yang dihantar kepada Zahid di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menurutnya beliau memandang berat keputusan dibuat Zahid membatalkan kehadiran dalam rancangan Hujah malam ini.

“Saya memohon agar Datuk Seri dapat mempertimbangkan keputusan tersebut supaya saya dan Datuk Seri dapat sama-sama mengupas dan berbincang mengenai politik wang,” ujarnya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dijangka akan berhujjah secara langsung malam ini dengan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam rancangan Hujjah TV9.

Rancangan itu dijadualkan akan disiarkan secara langsung melalui TV 9 jam 9.30 malam ini.
Profesor Madya Dr Agus Yusof akan menjadi moderator rancangan ini.

Husam telah membuat persiapan untuk berhujjah dengan Zahid malam ini. Semalam, beliau telah menyiarkan dalam blognya hujjah beliau tentang topik politik wang yang menjadi tajuk Hujah itu.

Harakah dilarang kempen calon

Oleh: Hamdan MS

KUALA LUMPUR, 26 Mei : Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, Datuk Mustafa Ali, melarang akhbar rasmi PAS, Harakah untuk berkempen bagi calon yang bertanding di dalam pemilihan parti itu pada bulan depan.

Perkara ini dinyatakannya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut Selasa lepas.

Menurut Mustafa yang juga Pengerusi Jamaah Pengarah Harakah itu, akhbar rasmi PAS itu harus berlaku adil kepada semua calon yang bertanding nanti.

Dalam sidang media yang sama, Mustafa Ali juga mengumumkan senarai penuh bagi calon yang bertanding bagi sesi 2009-2011.

Pemilihan akan akan di jalankan pada Muktamar PAS yang ke 55 tahun ini yang akan dijalankan di Stadium Melawati, Shah Alam bermula dari 5 hingga 7 Jun 2009.

Dewan Pemuda akan bersidang pada 3 dan 4 Jun di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar dan akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

Manakala Dewan Ulamak akan bermesyuarat di Auditorium Muzium Shah Alam pada 4 Jun dan Dewan Muslimat akan bermesyuarat di Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam pada 4 Jun.

Konvensyen KPP 30 Mei ini tentukan halatuju ahli bukan Islam PAS


Oleh Hamdan MS

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Konvensyen Kelab Penyokong PAS (KPP) yang akan diadakan pada 30 Mei ini akan membincangkan dengan serius cadangan untuk menaiktarafkan kelab sebagai salah satu daripada sayap PAS dan bergelar "Dewan".

Demikian kata Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Halimah Ali di sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur Selasa lepas.

Menurutnya, konvensyen tersebut akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang akan bermula dari 8.30 pagi hingga 2.00 petang di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Klang.

Dengan bertemakan "BERDIRI TEGUH MENEMPUHI CABARAN",konvensyen itu bertujuan untuk menghimpunkan kepimpinan Kelab Penyokong Pas daripada seluruh negara.

Konvensyen sehari ini juga akan menerangkan peranan yang perlu dijalankan serta memberi penerangan berkaitan perancangan yang telah dirancangkan oleh KPP.

Selain daripada itu juga, pelan untuk menaikkan tarak kelab ke taraf Dewan akan diterangkan kepada pimpinan Kelab Penyokong PAS dalam konvensyen itu.

Menurut Dr Halimah Lagi, konvensyen itu bakal menjadi pemangkin baru dari masyarakat bukan Melayu yang telah lama menyetai KPP.

Monday, May 25, 2009

Pemuda dan Ulama PAS menang tanpa bertanding

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Tiga jawatan utama dalam Dewan Pemuda PAS telah dimenangi tanpa bertanding apabila tarikh tutup penerimaan pencalonan ditutup semalam.

Nasarudin Hassan telah menang tanpa bertanding sebagai ketua, Azman Shapawi Abdul Rani sebagai timbalan dan Subki Yusof sebagai naib.

Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, tiga jawatan utama untuk Dewan Ulama PAS juga dimenangi tanpa bertanding iaitu ketua Datuk Harun Taib, timbalan ketua Datuk Ahmad Yaakub dan naib ketua Datuk Dr Mahfodz Mohamad.

Sementara itu, tiga calon telah diumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS iaitu Nasharudin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Untuk naib presiden pula, calon yang bertanding adalah Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Mujahid Yusof dan Datuk Nik Mohamad Amar Abdullah.

Untuk Muslimat pula, pertandingan satu lawan satu antara Nuridah Salleh (pemegang jawatan sekarang) dan Dr Asiah Ali (bekas pensyarah UITM).

Untuk timbalan ketua, dua calon bertanding iaitu Wan Hasrina (pemegang jawatan sekarang) dan Siti Zailah Yusof.

Untuk naib pula, Mumtaz Mohd Nawi menang tanpa bertanding.

Husam jangka Dun Perak bubar minggu ini

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tetap yakin Dun Perak akan dibubarkan segera selepas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menang kesnya di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

"Posting saya tiga hari lalu (Rabu) telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini (Jumaat 22 Mei).

"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran Dun Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini," tulis beliau dalam blognya.

Bagi Husam, keputusan Mahkamah Rayuan memberikan implikasi besar kepada perundangan di negara ini.

"Keputusan ini memberi kesan besar. Baik di Parlimen mahu pun di Dun yang lain, Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya.

"Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau Dun seperti yang difahami sebelum ini?

"Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?," tanya Husam dalam tulisannya.

Mahfuz umum tanding Naib Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden PAS dalam muktamar PAS ke 55 nanti.

Beliau memberikan alasan berbuat demikian, selepas ketiga-tiga naib presiden yang ada sekarang tidak mempertahankan jawatan masing-masing.

Mereka adalah Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang bertanding timbalan presiden manakala Ahmad Awang tidak mahu bertanding sebarang jawatan.

Siasah difahamkan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin juga tidak akan bertanding jawatan naib presiden walaupun mendapat banyak pencalonan untuk kerusi itu.

Ini bermakna, calon yang popular untuk jawatan ini adalah Ketua Pemuda, Salahudin Ayub, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PJ PAS Pahang), Dr Mujahid Yusof ( anggota Parlimen Parit Buntar), Datuk Nik Amar Nik Abdullah (Kelantan) selain Mahfuz sendiri.

Husam umum tanding Timbalan Presiden PAS

KUALA LUMPUR 25 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, mengumumkan bahawa beliau memutuskan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan Muktamar ke-55 yang akan berlangsung minggu hadapan.

Pengumuman tersebut secara rasminya memaklumkan bahawa kini berlangsungnya pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan tersebut iaitu di antara beliau, Nasarudin Mat Isa yang juga merupakan penyandang jawatan tersebut dan seorang lagi Naib Presiden PAS iaitu Mohamad Sabu.

Datuk Husam mengumumkan keputusan beliau di hadapan sidang media di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut, di sini jam 11.30 pagi tadi.

Husam berkata, beliau telah memaklumkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenainya sebelum membuat sidang media itu dan akan memaklumkan secara rasmi kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka jam 3 petang nanti.

Husam juga akan menemui semua pemimpin kanan PAS untuk memaklumkan secara rasmi keputusannya itu.

Dalam kenyataannya Husam berkata, jika beliau menang, beliau yakin dapat memberikan sumbangan yang terbaik kepada PAS dan dapat menjadi gandingan yang baik kepada presidenya, Abdul Hadi.

Husam memulakan sidang media itu dengan mengucapkan tahniah kepada Abdul Hadi yang menang tanpa bertanding selaku presiden dan yakin kehebatan Abdul Hadi dalam memimpin PAS.

Friday, May 22, 2009

Mahkamah Rayuan memihak kepada Dr Zambry

MAHKAMAH RAYUAN memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Perak yang sah dan menolak keputusan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutus Datuk Seri Mohamad Nizar adalah MB yang sah.

Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh penal tiga hakim mahkamah itu.

PAS cadang Umno tidak bertanding di Manek Urai

KUALA LUMPUR, 22 Mei: PAS mencadangkan agar Umno tidak bertanding di Manek Urai kerana ia tidak akan memberikan apa-apa kesan jika BN menang atau kalah dalam pilihan raya itu.

"Jika BN menang pun, ia tidak akan mengubah apa-apa, tetapi jika BN kalah ia menambahkan malu sahaja," kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa membuat cadangan itu berikutan langkah BN tidak meletakkan sebarang calon di Penanti dengan alasan tidak mahu membazirkan wang dan tidak mahu mengikut rentak pembangkang.

Adun Manek Urai dari PAS, Ismail Yaakub, 60, meningal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu jam 6.00 subuh tadi.

Thursday, May 21, 2009

Mahkamah Rayuan dijangka buat keputusan esok

PUTRAJAYA, 21 Mei: Mahkamah Rayuan dijangka akan membuat keputusan esok berhubung dengan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Sidang ditangguhkan jam 3.30 petang tadi selepas mendengar penghujahan dari peguam Zambry Cecil Abraham, pencelahan dari Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan peguam Nizar, Sulaiman Abdullah.

Cecil dalam penghujahannya menyifatkan hakim Mahkamah Tinggi silap apabila tidak melihat secara mendalam penghujahan pihak Zambry dan kuasa Sultan Perak.

Sulaiman pula bertegas, Sultan tidak ada kuasa memecat Menteri Besar dan hanya ada kuasa untuk melantiknya sahaja.

Tok Guru pesan jangan dendam, jangan dengki - Elizabeth

Oleh M YARISMAN

KETEREH, 21 Mei: Anggota Exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong menjelaskan sejak peristiwa kontroversi membabitkan dirinya dicetus, kini beliau berasa lebih tenang dan bersemangat.

Beliau berkata, biar pun terus diserang, namun tidak mudah patah semangat untuk meneruskan perjuangan bersama rakyat.

“Apa yang mereka lakukan ialah untuk menghalang saya dari melaksanakan tanggungjawab. Ini memang boleh dilihat. Semasa saya bercuti, tidak ada cerita atau gambar atau khabar angin tersebar.

“Apabila saya pulang dan mengambil keputusan untuk menerima tawaran dari kerajaan Selangor, bermulalah serangan,” katanya Adun Bukit Lanjan itu ketika ditemui selepas ceramah di Taman Puspa, Kok Lanas, baru-baru ini.

Menurutnya selepas kejadian itu beliau tidak membaca blog-blog mengarut dan media konvensional yang cuba menyerang peribadinya. Oleh itu beliau mencabar pihak terbabit kalau beriya-iya mahu menentangnya tunggu pada pilihan raya yang akan datang.

Beliau juga mengakui sebagai anggota Exco wanita beliau sering terdedah kepada fitnah daripada pemimpin parti lawan.

Bagaimanapun beliau menghargai hubungan pimpinan Pakatan Rakyat yang terus menyokongnya ketika berada dalam tekanan baru-baru ini.

“Orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat boleh mendekati orang Islam, masing-masing mampu memahami antara satu dengan lain.
“Kita mahu menghormati orang Islam, memahami orang Islam dan belajar dari orang Islam,” katanya.

Beliau juga memberitahu amat menghargai nasihat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditimpa musibah.

“Tuan Guru Nik Aziz menasihati saya supaya jangan dendam, jangan dengki. Saya dengar, saya menerima nasihat Tuan Guru. Saya rasa ini nasihat yang amat tepat.

“Orang mengenakan saya, tapi saya tak dendam dan tak nak dengki juga, dan itu menyebabkan saya lebih tenang sekarang,” katanya.

Mahkamah Rayuan bersidang dengan tiga penal hakim

PUTRAJAYA, 21 Mei: Mahkamah Rayuan hari ini bersidang dengan tiga penal hakim bagi mendengar rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin adalah Menteri Perak yang sah.

Mahkamah juga akan mendengar rayuan Nizar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membenarkan permohonan Zambry agar keputusan Mahkamah Tinggi itu ditangguhkan pelaksanaannya.

Sebelum ini, Nizar memohon agar mahkamah bersidang dengan lima panel hakim tetapi sidang hari ini hanya tiga penal sahaja iaitu Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali and Datuk Ahmad Maarop.

Wednesday, May 20, 2009

Selangor belajar dari Singapura untuk bangunkan sungai

SINGAPURA, 20 Mei: Kerajaan negeri Selangor akan menjadikan pendekatan Singapura membersihkan Sungai Singapura dan Kallang Basin sebagai projek contoh untuk pembangunan sungai di negeri itu.

Untuk itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengunjungi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini.

Khalid juga turut berbincang dengan Lembaga Kemudahan Awam dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan untuk tujuan itu.

Dalam pertemuan dengan Lee, Khalid mempelawa kerajaan Singapura untuk turut sama melabur dalam projek pembangunan Sungai Klang yang dijangka menelan belanja RM50 bilion dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 15,000 orang itu.

Husam tarik diri?

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dikatakan bimbang dengan trend kempen dan laporan media sekarang seolah-olah PAS berpecah kepada dua kumpulan ulama dan profesional.

Jika beliau kalah, masyarakat akan beranggapan profesional ditolak dan jika beliau menang seolah-olah ulama pula ditolak.

Apabila ini berlaku, ia tidak baik kepada parti.

Laporan penuh Siasah Jumaat ini.

Pilihan raya Dun Perak tidak lama lagi - Husam

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjangkakan pilihan raya Perak akan diadakan secepat mungkin.

Beliau membuat andaian ini selepas bertemu dengan tiga tokoh penting iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Abu Talib awal minggu ini.

Laporan penuh dalam Siasah Jumaat ini.

Tuesday, May 19, 2009

PAS nafi laporan akhbar tentang jumlah pencalonan

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Jawatankuasa Pemilih PAS memberitahu pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap laporan jumlah pencalonan pimpinan PAS sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini.

"Kami tidak pernah memberitahu mana-mana pihak tentang jumlah pencalonan itu dan kami tidak ada kaitan dengannya," kata Datuk Mustafa Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS.

Beliau berkata demikian dalam sidang media jawatankuasa itu di Pejabat Agung PAS semalam.

Baru-baru ini, akhbar harian berkenaan melaporkan berdasarkan sumbernya, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa mendapat 60 peratus pencalonan untuk jawatan timbalan presiden.

Akhbar itu juga melaporkan, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu masing-masing mendapat 20 peratus.

"Angka itu pun tidak betul," kata timbalan Mustafa, Ustaz Hassan Shukri dalam sidang media yang sama.

Menurut Mustafa, hanya calon berkenaan sahaja yang tahu berapa jumlah pencalonan yang mereka dapat kerana ia disampaikan oleh pihaknya kepada calon berapa jumlah pencalonan yang mereka dapat untuk setiap jawatan.

Monday, May 18, 2009

BN tidak letak calon di Penanti

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan tidak akan meletakkan calonnya untuk pilihan raya kecil Penanti nanti.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat BN yang dipengerusi Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Mesyuarat Dewan Harian tolak dakwaan politik wang

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Mesyuarat khas Dewan Harian PAS hari ini mendapati tidak berlaku sebarang rasuah politik dalam parti itu sebagaimana yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

Mesyuarat yang mendengar laporan dari Ketua Dewan Ulama, Pengarah Pilihan Raya, Ketua Dewan Muslimat dan beberapa pimpinan PAS yang lain memutuskan tidak berbangkit isu rasuah itu.

"Setelah kita mengumpulkan maklumat dari semua negeri-negeri kita dapati tidak ada amalan politik wang dalam PAS," kata Datuk Seri Abdul Hadi AWang, Presiden PAS dalam kenyataannya hari ini.

Kenyataan penuh Abdul Hadi dalam www.tvpas.com.

PAS lancar dana bina kompleks RM27 juta di Putrajaya

PUTRAJAYA, 18 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan Tabung Pembangunan Kompleks PAS yang bakal dibina di atas tapak seluas 17 ekar di sebuah hotel terkenal hari ini.

Apabila siap, komplek ini bakal mempunyai sebuah dewan persidangan yang boleh memuatkan 8,000 orang di samping pusat latihan moden serba lengkap di samping kawasan perniagaan dan perumahan.

Tapak itu terletak di Sungai Merab iaitu kira-kira lima minit perjalanan dengan kereta dari pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

Ia di kelilingi oleh tasik dan sungai yang mengalir di sebelah tapak 17 ekar itu.

Menurut Abdul Hadi, kompleks ini bakal mempersiapkan PAS untuk melangkah ke Putrajaya.

Di majlis itu, beliau menerima sumbangan dari pelbagai pihak untuk menjayakan pembinaan komplek yang bakal dibuat secara gotong royong di kalangan tenaga pakar dalam PAS.

"Kompleks ini sudah dirancang sekian lama dan setelah mempunyai tapak yang sesuai kita lancarkan kutipan dananya hari ini," kata Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli.

Projek pembinaan kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM27 juta ini dipengerusi oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Harun Taib ketua Dewan Ulama

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Datuk Harun Taib dijadualkan memenangi jawatan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat tanpa bertanding apabila hanya nama beliau sahaja yang dicalonkan untuk jawatan itu.

Kedudukan Harun sebagai ketua Dewan Ulama hanya sah selepas beliau menerima pencalonan ini.

Harun Taib adalah ketua Dewan Ulama PAS sebelum ia diambil alih oleh Datuk Muhamad Daud 2007 lalu. Harun bertanding jawatan timbalan presiden menentang Nasharudin Mat Isa namun kalah pada tahun itu.

Bagi jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat pula, pertandingan dijangka akan berlaku antara Ustaz Nasarudin Hassan; Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat sekarang, dengan Zaki Ibrahim; Bendahari Pemuda PAS Pusat, apabila nama mereka dicalonkan untuk jawatan itu.

Manakala bagi Dewan Muslimat pula, empat nama telah dicalonkan untuk jawatan Ketua Muslimat Pas Pusat. Mereka adalah Dr Asiah Ali, Ustazah Azizah Khatib, Ustazah Nuridah Salleh; penyandang jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Bagaimanapun kedudukan ini hanya sah apabila kesemua mereka menerima pencalonan ini menjelang tarikh tutup 25 Mei ini.

Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya hari ini.

Sunday, May 17, 2009

Anwar ulangi sedia bincang dengan BN

PULAU PINANG, 17 Mei: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kesediaan beliau untuk berbincang dengan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di negeri Perak.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Kampung Tok Elong, Penanti, Bukit Mertajam.

Menurut Anwar, syarat penting perbincangan ini adalah Dun Perak harus dibubarkan dengan seberapa segera. Dengan cara ini beliau yakin kemelut politik yang berlaku di Perak ini akan segera teratasi.

"Kita daripada Pakatan Rakyat sudah sepakat bahawa perbincangan boleh diadakan tetapi dengan syarat bahawa Dun Perak mesti dibubarkan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk menjadi hakim.

"Ia harus diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.Hanya dengan keputusan rakyat sahaja maka keadilan akan dapat dicapai.Kadangkala kita merasa begitu hairan dengan Barisan Nasional(BN)yang begitu takut untuk membubarkan Dun Perak.

"Apakah yang mereka takutkan sehingga cuba mengelak untuk mengadakan pilihan raya sedangkan ia jelas membuktikan bahawa bukan sahaja rakyat negeri Perak yang mahukan pilihan raya diadakan di situ malah majoriti rakyat dalam negara mahukan krisis politik yang berpanjangan ini dapat diselesaikan," katanya.

Dr Zambry tidak wajar masuk ke pejabat MB semula

PULAU PINANG,17 Mei: Tindakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali yang membenarkan permohonan rayuan Dr.Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai status Menteri Besar Perak bukan membawa erti bahawa Dr. Zambry boleh masuk semula ke pejabat Menteri Besar kerana ianya adalah satu penangguhan yang tidak perlu diisi oleh Dr. Zambry.

Demikian dinyatakan oleh Bendahari PAS Pusat,Dr.Hatta Ramli dalam ceramah beliau di Kampung Tok Elong, Penanti, Bukit Mertajam Menurut beliau lagi jawatan yang sememangnya sebelum ini adalah hak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak perlu diisi oleh sesiapa kerana tiada berlaku kekosongan jawatan tersebut.

Dr.Hatta juga mempertikaikan tindakan Dr.Zambry dengan menyifatkan beliau sebagai satu contoh kepimpinan yang mempunyai moral yang rendah.

"Ianya adalah penangguhan.Bukannya perlu diisi kerana ia tidak kosong.Oleh kerana kemelut yang tidak berakhirnya dengan keputusan yang adil ini maka mandat yang sebenarnya haruslah diperolehi daripada suara rakyat sahaja.

"Oleh kerana itu maka Pakatan Rakyat(PR) telah pun membuat desakan kepada Barisan Nasional(BN) dan Umno supaya segera untuk membubarkan dewan undangan negeri(Dun) Perak.Dalam isu ini PR menitikberatkan keperluan rakyat.Demi masa depan rakyat.Demi Dun yang dimuliakan.Demi kesetiaan kepada Raja maka bubarkan Dun dan serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.Tapi pelbagai helah yang dibuat oleh BN dan Umno."

Menurut beliau lagi BN tidak harus berdolak dalik dengan keputusan mereka untuk bertanding di Dun Penanti.

"Kita yakin bahawa BN akan meletakkan calon mereka di Dun Penanti.Namun begitu kita daripada PR tidak harus berasa selesa kerana BN dan Umno akan melakukan apa saja tindakan bagi mencapai hasrat mereka untuk merampas semula kerusi ini walaupun sudah beberapa kali mereka gagal untuk mencapai kemenangan di Dun Penanti ini.

"Oleh kerana itu kita daripada PAS,PKR dan DAP akan memastikan kemenangan dicapai oleh calon daripada PR dalam pilihan raya kecil N.12 Dun Penanti ini bagi memberi satu pengajaran kepada BN dan Umno bahawa setiap pilihan raya yang diadakan telah membuka mata rakyat mengenai kezaliman dan penganiayaan yang telah dilakukan oleh BN dan Umno sebelum ini."

Saturday, May 16, 2009

Sepatutnya `undi percaya' terhadap Dr Zambry

KUALA TERENGGANU, 16 Mei: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kemelut politik di Perak terlalu berpihak dan bukan pandangan perundangan atau pentadbiran yang baik.

Katanya, mana boleh hendak diadakan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tetapi apa yang mungkin boleh jadi diadakan undi percaya terhadap Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir sebagaimana dilaporkan akhbar semalam iaitu jika BN benar-benar mempunyai majoriti, mereka boleh membawa usul tidak percaya terhadap Menteri Besar atau kerajaan, kemudian kerajaan baru boleh ditubuhkan.

Bekas Perdana Menteri itu juga dilaporkan berkata, jadi mengapa perlu untuk mengadakan satu pilihan raya yang baru kerana rakyat sudah berasa perit dengan pilihan raya.

"Hasilnya ialah satu kesimpulan yang sudah dapat dijangka. Itulah perasaan saya bahawa pakatan pembangkang akan menang. Jadi mengapa hendak pilihan raya," kata Mahathir.

Namun demikian, tambah Wan Muttalib, satu lagi masalah terdahulu adalah pensyoran Jawatankuasa Tatatertib yang telah bersetuju menggantungkan Dr Zambry bersama enam Exconya yang akan dibuat pengesahannya bila mana Dewan Negeri bersidang.

"Penggantungan itu adalah urusan prosedur Dewan yang mana mahkamah tidak boleh campur tangan di bawah doktrin pemisahan kuasa," ujarnya yang juga seorang peguam terkemuka ketika berucap pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu kali ke-34 di markas tarbiah PAS kawasan di sini, pagi ini.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.Tambahnya, dengan berlangsungnya persidangan Dewan, Kerajaan Pakatan Rakyat akan mengekalkan majoriti 28 kerusi berbanding dengan BN sebanyak 24 kerusi ( iaitu 28-7+3).

Menurutnya, sidang Dun pada 7 Mei lalu yang sekarang masih dalam pertikaian mestilah di bawah arahan Yang Dipertua, V Sivakumar dan selaku Speaker, beliau berhak menerima/menolak mana-mana usul yang dikemukakan.

"Kesahihan sidang Dewan pada 7 Mei 2009 boleh dipertikaikan kerana dibuat tidak mengikut Peraturan Dewan," ujarnya selaku Penasihat PAS kawasan.Beliau turut mengulas keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu.

Seperti mana diduga, katanya jika mahkamah membuat penghakiman undang-undang, sudah pasti Nizar akan dikembalikan (reinstate) jawatannya sebagai Menteri Besar Perak kerana kuasa memecatnya hanya boleh dilakukan melalui undi tidak percaya dalam Dewan Negeri - Art XVI (6).

Ahli Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatan mereka dalam masa perkenan ke bawah Paduka Seri Sultan Perak tetapi itupun Sultan akan hanya boleh membatalkan `perkenan' di atas nasihat Menteri Besar.

Mengenai perintah tangguh pelaksanaan perintah, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permintaan Dr Zambry supaya mentawakufkan penghakiman pembatalan perlantikan beliau sebagai Menteri Besar.

"Pada pandangan saya, perintah itu tidak tepat kerana penghakiman Mahkamah Tinggi adalah satu pengisytiharan penentuan siapakah Menteri Besar yang sah mengikut Perlembagaan negeri," ujarnya.

Jelasnya, oleh kerana Nizar telah diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah dan beliau yang terdahulunya dilantik secara sah, maka sepatutnya beliaulah yang diberi kuasa mengepalai kerajaan sehingga selesai rayuan Zambry.

"Katakanlah, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan mengesahkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2009 yang saya yakin itulah kedudukan undang-undangnya, maka sudah tentu apa-apa jua tindakan pemerintahan dan pentadbiran oleh Kerajaan BN akan dianggap tidak sah dari awal lagi (void abnitio), sebahagian daripadanya tidak akan boleh diremedikan manakala sebahagian lagi tidak," jelasnya lagi.

Friday, May 15, 2009

Kelab Penyokong PAS minta kaji jadi ahli PAS segera

PULAU PINANG, 15 Mei: Kelab Penyokong PAS (KPP) menyokong penuh saranan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu agar kelab itu menjadi sayap PAS dengan segera.

Pengerusi KPP, Hu Pang Chaw berkata, memang menjadi harapan ahli kelab itu agar KPP mendapat pengiktirafan dan boleh memainkan peranan lebih efektif dalam PAS.

Hu berkata demikian ketika berucap dalam konvensyen KPP Pulau Pinang yang telah diadakan di Dewan Besar Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara baru-baru ini.

Mohamad Sabu, ketika merasmikan konvensyen itu berharap PAS boleh menjadikan KPP sebagai sayap PAS dengan seberapa segera.

"Kita akan membantu PAS mencapai kemenangan kerana ahli kelab penyokong kita seluruh negara sudah mencapai melebihi 20,000 ahli.

"Ini adalah satu angka yang begitu besar. Oleh kerana itu sekiranya ahli kelab ini boleh menyertai PAS maka fungsi kami akan lebih bermakna setelah sekian lama menyokong PAS," kata Hu Pang Chaw dalam ucapannya.

Konvensyen itu berjaya merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli kelab tersebut yang terdiri daripada masyarakat India dan Cina.

Dalam konvensyen tersebut slogan 'PAS for All' telah berjaya menambat hari kebanyakan ahli-ahli kelab yang datang daripada Kedah, Perak dan Kelantan.

Pengarah Konvensyen, Mohd Nasir Abu Bakar berkata program ini telah berjaya untuk merapatkan hubungan sesama ahli kelab.

Disamping itu dengan adanya program sebegini ahli kelab daripada pelbagai negeri dapat bertukar-tukar pendapat dan mempelbagaikan aktiviti untuk manfaat mereka bersama.

Manakala Pengerusi Kelab Penyokong PAS Perak, S.Surianarayanan juga mempunyai harapan yang sama. "Dalam pilihan raya umum yang lalu kita telah bekerjasama dengan ahli-ahli PAS bagi memastikan kemenangan dicapai.

Oleh kerana itu supaya kelab ini boleh berperanan dengan lebih aktif maka saya mengharapkan agar kepimpinan PAS menerima kami untuk menjadi ahli," katanya.

Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Wednesday, May 13, 2009

Hadi menang presiden, 5 layak tanding timbalan

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Datuk Seri Abdul Hadi Awang bolehlah dikira menang tanpa bertanding sebagai presiden PAS apabila hanya beliau sahaja yang mendapat pencalonan lebih dari satu dan layak untuk bertanding jawatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sehingga tarikh tutup 8 Mei lalu, hanya nama beliau dikira layak untuk bertanding jawatan itu.

Mustafa memaklumkan, surat tawaran untuk bertanding telah dihantar kepada Abdul Hadi dan beliau mempunyai masa sehingga 25 Mei untuk membuat keputusan.

Untuk jawatan timbalan presiden pula, ada lima calon yang layak bertanding iaitu mereka yang mendapat pencalonan sekurang-kurangnya dari dua kawasan PAS.

"Nama-nama mereka akan diumumkan dalam sidang akhbar Sabtu 16 Mei nanti," kata Mustafa.

Bagi jawatan naib presiden pula, 16 calon layak untuk bertanding manakala untuk AJK PAS Pusat pula, 85 pemimpin layak untuk bertanding.

Bagi jawatan-jawatan dalam Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat pula, tarikh tutup pencalonan adalah 15 Mei ini.

Beliau juga memaklumkan, 137 kawasan telah membuat pencalonan untuk muktamar kali ini.

Anwar dan Najib kerjasama

Bagi menyelesaikan kemelut di Perak, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan masing-masing untuk bekerjasama.

Kesediaan kedua-duanya disokong oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Beliau bersetuju agar kerjasama itu adalah dengan kembali kepada rakyat dan bukannya melalui mahkamah.

Laporan penuh Siasah Jumaat ini.

Zambry pimpin kerajaan kuda kepang - V Sivakumar

IPOH, 13 Mei: Speaker Dun Perak, V Sivakumar menyifatkan kerajaan Perak pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir adalah kerajaan kuda kepang yang tidak boleh bertindak sendiri.

"Apabila kerajaan ini adalah kerajaan kuda kepang maka ia tidak boleh bergerak. Ia statik disitu. Sebab itulah kita mahukan sebuah kerajaan yang boleh membela nasib rakyat yang memerlukan pembelaan.

"Pelabur juga sudah tidak yakin untuk membuat pelaburan di negeri Perak jika kerajaan kuda kepang terus mentadbir dengan tidak banyak yang boleh mereka lakukan.

"Dalam konteks ini sudah beberapa kali kita nyatakan serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.Biar rakyat yang memilih kerajaan mana yang mereka mahukan. Bubarkan Dun dan adakah pilihan raya dengan segera," katanya.

Tangkap peguam: MCA tuntut polis minta maaf

KUALA LUMPUR, 13 Mei: MCA menuntut polis supaya memohon maaf kepada umum ekoran tindakan mereka menangkap sekumpulan peguam yang cuba memberikan bantuan guaman kepada sekumpulan penyokong yang mengadakan vigil untuk Wong Chin Huat yang ditahan polis sebelum itu.

Demikian kata Pengerusi Biro Pendidikan Politik MCA, Gan Ping Sieu dalam satu kenyataan medianya.

"Kita juga menuntut agar Ketua Polis Negara menjalankan siasatan dalaman bagi mengenalpasti apakah sebab yang munasabah sehingga polis berkenaan menangkap para peguam ini," kata Gan Ping Sieu lagi.

Baru-baru ini, kira-kira 200 peguam berhimpun di lobi komplek mahkamah Jalan Duta bagi mendapatkan penjelasan kenapa lima rakan mereka ditangkap oleh polis ketika cuba memberikan khidmat guaman kepada penyokong Wong.

Kelima-lima mereka yang sepatutnya dibawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman bagaimanapun dibebaskan kemudiannya dengan jaminan polis.

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang MCA, Datuk Leong Tang Chong juga mengeluarkan kenyataan yang sama dan meminta polis menghormati undang-undang di negara ini.

Tuesday, May 12, 2009

Polis tahan Dr Ramzi

KUALA TERENGGANU, 12 Mei: Bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir ditahan polis pagi tadi bagi membantu siasatan kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) pada 13 April lalu.

Ugutan bunuh itu berbunyi: “Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”

Polis mempunyai bukti bahawa beliau terbabit menghantar SMS yang mengandungi ugutan bunuh itu kepada Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Adun Paka, Zakaria @ Ariffin Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd Jamil yang mengesahkan penangkapan tersebut.

Semalam, polis mendapatkan perintah waran tangkap kepadanya apabila gagal hadir ke balai polis selepas tempoh tiga hari yang diberikan untuk memberi keterangan mengenai sms ugutan itu yang berakhir pada jam 3 petang semalam.

Pada malan 13 April lalu, Ramzi turut mengiringi Zakaria dan Abdul Halim membuat laporan polis berhubung sms ugutan bunuh itu di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Beliau yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu sebagai calon BN bagi Parlimen Marang tewas kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 2,747 undi.

Pegawai Kewangan dilantik pemangku SUK

IPOH, 12 Mei: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin hari ini mengeluarkan notis memaklumkan Pegawai Kewangan Perak, Datuk Jamalludin Al Amin Ahmad dilantik sebagai pemangku Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak.

Notis itu juga memaklumkan, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim digantung serta-merta sebagai SUK Perak begitu juga Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal M. Shahid.

Kedua-dua mereka dilarang sama sekali dari memasuki bangunan Perak Darul Ridhwan yang menempatkan pejabat MB, SUK, Exco dan Dun.

Notis itu ditampalkan di bangunan Perak hari ini.

Dr Zambry MB semula: Mahkamah Rayuan tangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi

Terkini jam 3.00 petang

PUTRAJAYA, 12 Mei:
Datuk Dr Zambry Abdul Kadir hari ini boleh memasuki pejabat Menteri Besar Perak semula apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Keputusan itu dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Ramly Mohd Ali yang bersidang mulai jam 11.30 pagi tadi selepas Zambry memfailkan rayuan jam 9.00 pagi tadi.

Beliau bersidang seorang diri berbanding amalan biasa yang sekurang-kurangnya tiga hakim.

Ekoran itu di Ipoh, Setiausaha Politik MB Perak, Misbahul Munir memaklumkan kepada AFP, MB dan Exco mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan hari ini. Mereka sedang membuat persiapan untuk keluar semula dari pejabat yang dimasuki mereka pagi tadi.

Semalam Mahkamah Tinggi membuat keputusan Datuk Seri Mohamad Nizar adalah MB Perak yang sah apabila perlantikan Zambry diputuskan tidak sah.

Ekoran itu, Nizar mula bertugas dengan membuat mesyuarat Exco tengah malam tadi dan memasuki pejabatnya awal pagi tadi.

Dalam mesyuarat Exco pertamanya dua pegawai kanan Perak, Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-undang digantung jawatan mereka selepas mereka bertindak secara yang tidak profesional sebagai pejawat awam.

Jam 8.00 pagi beliau bergegaskan ke Kuala Kangsar bagi menyertai Raja Muda Perak dalam satu majlis di sana. Beliau sedang berusaha untuk menghadap Raja Muda bagi membuat permohonan agar Dun Perak dibubarkan. Sultan Perak kini berada di luar negara.

Dengan keputusan baru ini, tidak diketahui apakah tindakan Nizar dan Exconya serta Zambry dengan Exconya.

Di Mahkamah Rayuan hari ini, Zambry diwakili Cecil Abraham dan Sunil Abraham. Turut hadir adalah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Hamzah.

Peguam Umno Hafarizam Harun dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin turut hadir.

Peguam Nizar, Haji Sulaiman Abdullah, Ranjit Singh dan Edmund Bon tiba jam 11 pagi tadi.

PAS nafi laporan akhbar tentang jumlah pencalonan

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Jawatankuasa Pemilih PAS memberitahu pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap laporan jumlah pencalonan pimpinan PAS sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini.

"Kami tidak pernah memberitahu mana-mana pihak tentang jumlah pencalonan itu dan kami tidak ada kaitan dengannya," kata Datuk Mustafa Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS.

Beliau berkata demikian dalam sidang media jawatankuasa itu di Pejabat Agung PAS semalam.
Baru-baru ini, akhbar harian berkenaan melaporkan berdasarkan sumbernya, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa mendapat 60 peratus pencalonan untuk jawatan timbalan presiden.

Akhbar itu juga melaporkan, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu masing-masing mendapat 20 peratus.

"Angka itu pun tidak betul," kata timbalan Mustafa, Ustaz Hassan Shukri dalam sidang media yang sama.

Menurut Mustafa, hanya calon berkenaan sahaja yang tahu berapa jumlah pencalonan yang mereka dapat kerana ia disampaikan oleh pihaknya kepada calon berapa jumlah pencalonan yang mereka dapat untuk setiap jawatan.

Kelap Penyokong PAS minta kaji untuk jadi ahli segera

PULAU PINANG, 15 Mei: Kelab Penyokong PAS (KPP) menyokong penuh saranan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu agar kelab itu menjadi sayap PAS dengan segera.

Pengerusi KPP, Hu Pang Chaw berkata, memang menjadi harapan ahli kelab itu agar KPP mendapat pengiktirafan dan boleh memainkan peranan lebih efektif dalam PAS.

Hu berkata demikian ketika berucap dalam konvensyen KPP Pulau Pinang yang telah diadakan di Dewan Besar Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara baru-baru ini.

Mohamad Sabu, ketika merasmikan konvensyen itu berharap PAS boleh menjadikan KPP sebagai sayap PAS dengan seberapa segera.

"Kita akan membantu PAS mencapai kemenangan kerana ahli kelab penyokong kita seluruh negara sudah mencapai melebihi 20,000 ahli.

"Ini adalah satu angka yang begitu besar. Oleh kerana itu sekiranya ahli kelab ini boleh menyertai PAS maka fungsi kami akan lebih bermakna setelah sekian lama menyokong PAS," kata Hu Pang Chaw dalam ucapannya.

Konvensyen itu berjaya merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli kelab tersebut yang terdiri daripada masyarakat India dan Cina.

Dalam konvensyen tersebut slogan 'PAS for All' telah berjaya menambat hari kebanyakan ahli-ahli kelab yang datang daripada Kedah, Perak dan Kelantan.

Pengarah Konvensyen, Mohd Nasir Abu Bakar berkata program ini telah berjaya untuk merapatkan hubungan sesama ahli kelab.

Disamping itu dengan adanya program sebegini ahli kelab daripada pelbagai negeri dapat bertukar-tukar pendapat dan mempelbagaikan aktiviti untuk manfaat mereka bersama.

Manakala Pengerusi Kelab Penyokong PAS Perak, S.Surianarayanan juga mempunyai harapan yang sama. "Dalam pilihan raya umum yang lalu kita telah bekerjasama dengan ahli-ahli PAS bagi memastikan kemenangan dicapai.

Oleh kerana itu supaya kelab ini boleh berperanan dengan lebih aktif maka saya mengharapkan agar kepimpinan PAS menerima kami untuk menjadi ahli," katanya.

Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Kelap Penyokong PAS minta kaji untuk jadi ahli segera

PULAU PINANG, 15 Mei: Kelab Penyokong PAS (KPP) menyokong penuh saranan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu agar kelab itu menjadi sayap PAS dengan segera.

Pengerusi KPP, Hu Pang Chaw berkata, memang menjadi harapan ahli kelab itu agar KPP mendapat pengiktirafan dan boleh memainkan peranan lebih efektif dalam PAS.

Hu berkata demikian ketika berucap dalam konvensyen KPP Pulau Pinang yang telah diadakan di Dewan Besar Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara baru-baru ini.

Mohamad Sabu, ketika merasmikan konvensyen itu berharap PAS boleh menjadikan KPP sebagai sayap PAS dengan seberapa segera.

"Kita akan membantu PAS mencapai kemenangan kerana ahli kelab penyokong kita seluruh negara sudah mencapai melebihi 20,000 ahli.

"Ini adalah satu angka yang begitu besar. Oleh kerana itu sekiranya ahli kelab ini boleh menyertai PAS maka fungsi kami akan lebih bermakna setelah sekian lama menyokong PAS," kata Hu Pang Chaw dalam ucapannya.
Konvensyen itu berjaya merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli kelab tersebut yang terdiri daripada masyarakat India dan Cina.
Dalam konvensyen tersebut slogan 'PAS for All' telah berjaya menambat hari kebanyakan ahli-ahli kelab yang datang daripada Kedah, Perak dan Kelantan.

Pengarah Konvensyen, Mohd Nasir Abu Bakar berkata program ini telah berjaya untuk merapatkan hubungan sesama ahli kelab.

Disamping itu dengan adanya program sebegini ahli kelab daripada pelbagai negeri dapat bertukar-tukar pendapat dan mempelbagaikan aktiviti untuk manfaat mereka bersama.

Manakala Pengerusi Kelab Penyokong PAS Perak, S.Surianarayanan juga mempunyai harapan yang sama. "Dalam pilihan raya umum yang lalu kita telah bekerjasama dengan ahli-ahli PAS bagi memastikan kemenangan dicapai.

Oleh kerana itu supaya kelab ini boleh berperanan dengan lebih aktif maka saya mengharapkan agar kepimpinan PAS menerima kami untuk menjadi ahli," katanya.
Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Nasihat Sultan bubarkan Dun

"Walaupun menjadi hak kepada mana-mana individu untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tetapi membiarkan kes ini berlarutan akan melahirkan persepsi BN gila kuasa. Oleh itu, saya menyeru Nizar dan Dr Zambry menasihatkan Sultan agar memanggil satu pilihan raya baru."

- Oh Tong Keong, Timbalan Ketua Pemuda Gerakan.

"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum."

- Tengku Razaleigh Hamzah, anggota Parlimen Gua Musang.

"Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar, insiden pada persidangan DUN Perak pada 7 Mei dan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat."

- Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Osman.

Mahkamah Rayuan bersidang serta merta sebaik permohonan difailkan

PUTRAJAYA, 12 Mei: Sebaik sahaja difailkan permohonan, Mahkamah Rayuan terus bersidang jam 11.45 pagi untuk mendengar rayuan dari Datuk Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Penal tiga hakim yang diketuai Datuk Ramly Mohd Ali telah bersidang di Istana Keadilan dekat sini.

Selain membuat rayuan, peguam Zambry juga membuat permohonan agar pelaksanaan keputusan hakim Mahkamah Tinggi semalam ditangguhkan.

Zambry diwakili Cecil Abraham dan Sunil Abraham. Turut hadir adalah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Hamzah.

Peguam Umno Hafarizam Harun dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin turut hadir.

Peguam Nizar, Haji Sulaiman Abdullah, Ranjit Singh dan Edmund Bon tiba jam 11 pagi tadi.

Turut hadir ke mahkamah adalah dua Adun Bebas pro BN iaitu Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang).

Hadiah untuk para ibu, kata Nizar

IPOH, 12 Mei: Tidak ada media yang tonjolkan berita ini tetapi itulah yang dinyatakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin bahawa kemenangan beliau di mahkamah semalam adalah hadiah untuk para ibu.

Ini kerana kemenangan itu diperolehi sehari selepas sambutan hari ibu iaitu pada 10 Mei setiap tahun.

"Ini adalah hadiah untuk para ibu sempena hari ibu yang kita sambut semalam," kata Nizar ketika berucap di perkarangan mahkamah selepas diisytiharkan sebgai menteri besar yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Nizar, Haji Sulaiman Abdullah berkata, keputusan hakim dalam kes ini adalah penegasan bahawa untuk melantik pemimpin politik hendaklah diberikan kepada rakyat atau wakil rakyat.

"Pada hemat saya Yang Arif Hakim hanya mempertahankan apa yang diterima lama di Malaysia iaitu keputusan politik adalah dalam tangan rakyat atau wakil rakyat.

"Mana-mana pihak lain tidak boleh membuat keputusan dalam kepimpinan politik iaitu mesti melalui rakyat sendiri atau wakil rakyat.

"Dia (hakim) hanya mempertahankan keputusan yang selama ini diterima pakai iaitu untuk membuang seorang MB hendaklah melalui undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.
"Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana dengan cara ini kemenangan bukan untuk Nizar seorang tetapi kemenangan untuk rakyat Perak dan rakyat Malaysia keseluruhannya," kata Sulaiman.

Mesyuarat Exco pertama gantung tiga pejawat awam utama

IPOH, 12 Mei: Mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri Perak malam tadi mengambil ketetapan menggantung tiga pejawat awam negeri itu yang dianggap menjalankan tugas secara tidak profesional.

Ketiga-tiga mereka adalah Setiausaha Kerajaan, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Jamalludin Al Amini Ahmad berkuat kuasa serta merta.

Semalam, Penasihat Undang-undang, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid digantung jawatan berkuatkuasa serta merta.

Mesyuarat itu diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Perak, kira-kira 500 meter dari pejabat SUK Perak tengah malam tadi.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh MB Perak yang disahkan oleh mahkamah, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yang disertai oleh semua Exco kecuali SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang yang biasanya menyertai mesyuarat Exco.

Monday, May 11, 2009

Nizar MB yang sah, kata Mahkamah Tinggi




Versi terkini jam 5.30 petang

KUALA LUMPUR, 11 Mei:
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak dilantik dengan sah sebagai Menteri Besar Perak.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutus Datuk Seri Nizar Jamaludin masih MB Perak yang sah.

Beliau menerima pakai keputusan yang pernah dibuat oleh Mahkamah sebelum ini dalam kes Stephen Kalong Nikan yang memutuskan menteri besar atau ketua menteri hanya boleh dipecat melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk memohon keputusan itu ditangguhkan untuk membolehkan rayuan dibuat kepada Mahkamah Rayuan ditolak oleh hakim.

Mahkamah juga mengarahkan Zambry dan Exconya mengosongkan kerusi masing-masing.

Hakim juga berkata, jika Sultan Perak mahu Nizar meletakkan jawatan, baginda hendaklah mengarahkan Dun Perak bersidang dan usul undi tidak percaya dikemukakan.

Selepas usul itu lulus barulah Sultan berhak memerintahkannya meletakkan jawatan dan melantik MB baru.

Sementara itu, Siasah difahamkan, Zambry akan mengosongkan segera pejabat MB Perak kerana menghormati keputusan mahkamah.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ketika dihubungi Siasah berkata, majlis di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar malam ini akan berjalan seperti biasa di mana penceramahnya adalah Datuk Seri Nizar dan Speaker V Sivakumar.

Nasarudin dan Zaki dicalonkan untuk ketua pemuda

KUALA LUMPUR, 11 Mei: Sehingga kini, sudah dua nama dicalonkan untuk menjadi Ketua Pemuda PAS Pusat iaitu Zaki Ibrahim (bendahari sekarang) dan Nasarudin Hassan (timbalan ketua sekarang).

Muktamar Pemuda PAS Kelantan baru-baru ini mencalonkan bekas ketua mereka iaitu Mohd Zaki Ibrahim sebagai calon Ketua Pemuda PAS.

Muktamar Pemuda PAS Selangor, Pahang dan Terengganu mencalonkan Nasarudin Hassan sebagai ketua.

Untuk jawatan timbalan, anak Mursyidul Am, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dicalonkan oleh Pemuda PAS Selangor manakala Pemuda Terengganu pula mencalonkan Azman Shapawi (naib sekarang) manakala Pemuda PAS Pahang mencalonkan Sabky Yusof.

Untuk naib ketua, Terengganu mencalonkan Sabky Yusof (setiausaha sekarang) manakala Pahang mencalonkan Nik Abduh.

William Leong cadang tukar YDP MPS

SELAYANG, 11 Mei: Anggota Parlimen Selayang, William Leong bercadang untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor bagi mencadangkan agar Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diambil tindakan atau ditukar.

Ini kerana, tindakan pihak penguatkuasa MPS seolah-olah badan itu menjadi alat kepada Barisan Nasional (BN) apabila menjadi alat kepada pihak-pihak tertentu merampas dan menurunkan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Bandar Tasik Puteri baru-baru ini.

9 Mei baru-baru ini, PKR kerugian hampir RM15,000 apabila pihak polis membatalkan permit sambutan 10 tahunnya di Bandar Tasik Puteri sehari sebelum majlis diadakan.

Ekoran pembatalan itu, beberapa trak polis telah ke tempat majlis itu hendak diadakan iaitu di Puteri Centre Park pada tengahari 9 Mei . Pihak penguatkuasa MPS telah memecat semua khemah-khemah yang telah dipasang oleh pihak MPS sendiri.

Namun yang mendukacitakan pihak pengajur adalah MPS telah bertindak membuang dan merampas segala bendera PKR yang digantung di sekeliling tapak majlis itu.

"Langkah penguatkuasa MPS ini seolah-olah mereka adalah alat kepada pihak tertentu padahal MPS adalah badan di bawah kerajaan Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat.

"Majlis ini pula sepatutnya disertai oleh Menteri Besar dari PKR di samping ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata William ketika bercakap dengan pihak penganjur dalam satu pertemuan Ahad 10 Mei sehari selepas peristiwa itu.

Ekoran tindakan polis dan MPS itu, Anwar telah memberikan tazkirah di masjid BTP di samping meraikan tetamu yang hadir dengan jamuan yang disediakan pihak penganjur.

PR sedia bincang dengan BN kemelut Perak

PULAU PINANG, 11 Mei: Pakatan Rakyat(PR) tidak akan menolak sesiapa sahaja yang ingin mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri Perak.

Ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pimpinan beliau bersedia untuk bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di negeri Perak.

Walau bagaimana pun Najib dalam kenyataannya tidak bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran bagi menyelesaikan kemelut yang berpanjangan itu.

Anwar juga berkata PR tidak pernah menolak mana-mana pihak termasuk daripada Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kemelut yang telah berlarutan sekian lama ini.

"Kita tidak mempunyai alasan bagi menolak sikap baik termasuk daripada Umno dan BN sekiranya perbincangan tersebut akan diikuti dengan tindakan yang beradab dan selaras dengan peraturan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Namun begitu, ia haruslah mengikut adab supaya tindakan yang akan diambil dapat mencari satu jalan penyelesaian yang boleh menyelesaikan masalah kemelut dan krisis politik yang berpanjangan di negeri Perak ini dari berterusan.

"Jika penyelesaian ini masih lagi tidak dapat diselesaikan maka ianya amat merugikan rakyat," kata Anwar.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di Permatang Pauh baru-baru ini.

Sunday, May 10, 2009

PAS Marang dapat ketua baru

MARANG, 10 Mei: PAS Kawasan Marang mendapat ketua baru apabila Yahaya Ali dipilih sebagai Yang Dipertua PAS kawasan bagi sesi 2009-2011 menggantikan Hassan Mohd Salleh.

Ahmad Maarof Ismail dipilih sebagai timbalan dan Mohd Nor Hamzah (naib) sementara jawatan setiausaha, bendahari dan ketua penerangan dikekalkan kepada Hassan Jusoh, Abdul Haris dan Sidik.

Bagi pemilihan ahli jawatankuasa PAS Kawasan Marang sesi 2009-2011 menyaksikan anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendapat undi tertinggi.

Khalil yang merupakan ahli jawatankuasa PAS kawasan mendapat 440 undi daripada 586 perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan kali ke-25 di Masjid Rusila, semalam.

Turut berucap pada mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik itu ialah Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak, Drs Idham Lim Abdullah.

Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Yahaya Ali mendapat tempat kedua dengan 437 undi, diikuti Abdul Haris Abdul Malik (433), Hassan Jusoh (413), Ahmad Maarof Ismail (410), Mohd Nor Hamzah (406), Zaihan Daud (372), Mohd Draman (329), Mohd Daik Abu Bakar (326), Sidik Abu Bakar (321).

Husin Ismail (306), Asri Abd Aziz (295), Abdullah Suhaimi Zakaria (295), Abdul Hadi Mohamad (273), Abu Bakar Salleh (268), Hassan Mohd Salleh (267), Mohd Nasir Ismail (247), Baharuddin Mohd (231), Yassin Salleh (229) dan Ramli Jambol (209).

Sementara itu, mesyuarat agung kawasan itu meluluskan usul yang mendesak PAS Pusat melakukan apa jua usaha bagi memperkasakan kepimpinan ulama sebagai teras perjuangan dalam menghadapi apa jua kemelut pilitik masa kini.

Usul daripada PAS Cawangan Tebakang itu pada mulanya dibuka untuk dibahas tetapi para perwakilan menerimanya sebulat suara setelah wakil cawangan berkenaan memberi penjelasan mengenai usul itu.

Friday, May 8, 2009

Manoharan bebas selepas seminggu ugut letak jawatan

PUTRAJAYA, 8 Mei: Selepas kira-kira seminggu M Manoharan membuat cadangan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan di situ, Menteri Dalam Negeri mengumumkan beliau akan dibebaskan segera bersama 12 tahanan ISA yang lain.

Manoharan bakal dibebaskan bersama dua lagi pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf). Mereka adalah P Uthayakumar dan K Vasantha Kumar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata, beliau akan menandatangani dokumen pembebasan itu hari ini.

"Mereka akan dibebaskan dalam masa dua atau tiga hari," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya di sini, hari ini.

Katanya, pembebasan tahanan tersebut bukan bermotifkan politik.

Selain ketiga-tiga mereka, sepuluh lagi yang dibebaskan termasuk tiga warga Malaysia, dua warga Indonesia dan lima warga Filipina.

Tiga warganegara itu adalah Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil and Adzmi Pindatun, manakala dua warga Indonesia adalah Zainun Rasyhid dan Aboud Ghafar Shahril.

Lima warga Filipina adalah Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih.

Bulan lalu, sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib umumkan pembebasan 13 tahanan ISA termasuk dua pemimpin Hindraf.

Ia dibuat menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Anwar diminta selesaikan konflik Penanti

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub meminta Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan segera konflik di Penanti ekoran cadangan PAS Pulau Pinang dan kawasan Permatang Pauh yang mahu meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kecil Penanti.

Laporan penuh muka dalam Siasah hari ini.

Patuhi amanat Fadzil Noor

Para pemimpin dan ahli PAS diminta jangan terpengaruh dengan laporan media yang selama ini memusuhi PAS.

Akhbar itu yang kelihatan mengapikan agar berlaku pertembungan antara profesional dan ulama dalam PAS dan dibimbangi cuba memecahkan parti Islam itu.

Padahal bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor telah menyelesaikan isu ini 10 tahun lalu melalui amanat dan gagasan 'mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama'.

Laporan penuh dalam Siasah hari ini.

Jangan terikut dengan media musuh - Hassan Shukri

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri mengingatkan ahli parti itu supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dipalu media musuh yang sengaja menimbulkan polemik bagi memecahkan perpaduan PAS menjelang muktamarnya bulan depan.

Katanya, media berkenaan ada agenda tersendiri untuk memecahkan PAS dengan mengkelompokkan pemimpinya dalam kem-kem atau puak tertentu.

“Saya melihat gejala ini sengaja ditimbulkan media massa untuk menjatuhkan imej dan keaslian PAS sebagai jemaah yang terkenal dengan perpaduan di kalangan ahlinya,” ujarnya.

Dalam wawancara khas dengan Siasah, Hassan juga menolak dakwaan mengatakan ada unsur luar yang cuba mempengaruhi pemilihan PAS pada muktamar nanti.

“Saya tidak nampak ada unsur luar dan kalau adapun ia tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana ahlinya cukup berdisiplin dan terdidik dengan asas-asas perjuangan untuk mencapai keredhaan Allah,” tegasnya.

Mengenai dakwaan golongan ulama yang berhak memimpin PAS, Hassan yang juga dianggap sebagai pakar perlembagaan PAS menjelaskan memang tidak ada di dalam perlembagaan PAS mencatatkan PAS hanya perlu dipimpin oleh ulama.

Katanya, golongan profesional yang memahami Islam, tahu mentafsir Quran, hadith, ijmak ulama dan qias juga boleh menjadi pemimpin PAS.

Ikuti wawacanara penuh dalam Siasah hari ini.

Wednesday, May 6, 2009

Lebih 200 peguam berhimpun bantah tangkapan lima peguam

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Bermula dari beberapa orang sahaja, akhirnya lebih 200 peguam menghitami lobi komplek mahkamah Jalan Duta pagi ini bagi membantah penangkapan lima rakan mereka semasa menjalankan tugas.

Lima rakan peguam mereka, Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar ditangkap polis semalam ketika membantu mereka yang ditangkap kerana mengadakan vigil untuk Wong Chin Huat yang ditangkap sebelum ini.

Turut berada di perhimpunan tanpa dirancang pagi ini adalah Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan dan beberapa peguam kanan termasuk Haji Sulaiman Abdullah, Tommy Thomas dan Ranjit Singh.

Mereka menunggu ketibaan kelima-lima peguam yang ditangkap itu yang dijangka akan dibawa ke situ untuk permohonan perintah reman oleh polis.

Usaha polis untuk menyuraikan mereka mendapat tentangan sengit dan polis terpaksa berundur.

Mereka kemudiannya bersurai kira-kira jam 11.30 pagi selepas diberitahu kelima-lima peguam itu akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Speaker V Sivakumar ditarik keluar dari Dun secara paksa




5.20 petang

Dalam sidang media selepas sidang Dun, Datuk Seri Nizar berkata, beliau akan berusaha lagi untuk memohon Tuanku bubarkan Dun Perak.

Speaker V Sivakumar tetap tidak mengiktiraf sidang Dun hari ini dan menganggap tidak ada sidang pada hari ini. Beliau kesal sekumpulan orang dibawa masuk tanpa kebenaran beliau sedangkan keputusan beliau membenarkan tujuh anggota Parlimen tidak dilaksanakan. Ini bermakna orang luar yang kuasai Dun bukannya Speaker yang sah.

Di Kuala Lumpur, Mahkamah Majistret menolak permohonan polis untuk mereman Mohamad Sabu dan membebaskan beliau.

4.10 petang

V Sivakumar dilepaskan selepas Raja Nazrin selesai berucap dan Dun ditanguhkan jam 4.05 petang. 13 dari 64 yang ditangkap dan di tahan di balai polis Sungai Senam dilepas dengan janji akan lapor diri ke IPK Ipoh 4 Jun ini. Mereka termasuklah Salahudin Ayub dan Mujahid.


2.50 petang

Sekumpulan petugas berpakaian seragam dipercayai samsemg demgam bantuan polis menarik V Sivakumar keluar dari kerusinya dan dari Dun.

Kemudian Raja Nazrin telah berucap selama setengah jam merasmikan Dun. Kandungan ucapan kebanyakannya isu ekonomi.

12. 30 tengahari

Speaker V Sivakumar mengarahkan Speaker BN, Ganesan keluar namun dia enggan. Lima Adun PR ke tempat beliau, namun Ganesan berkeras dengan berkata beliau adalah speaker yang sah.

12.00 tengahari

Sekarang ini, dalam Dun Perak ada dua MB, dua Speaker, dua kumpulan Exco dan dua kumpulan anggota Dun yang masing-masing bersidang.

11.30 pagi

Walaupun usul ditolak Speaker, Adun BN terus mencadang dan melantik Speaker baru R Ganesan. Dewan kini berehat tetapi semua Adun PR termasuk Speaker masih kekal di kerusi masing-masing.

11.20 pagi


Salahudin Ayub memberitahu, lebih 40 yang ditahan kini ditempatkan di perkarangan balai FRU, dekat Stadium Ipoh, di Sungai Senam.

11.00 pagi

Dalam kekecohan menghalau MB, Exconya dan tiga Adun, Zambry mengemukakan usul memecat Speaker dan melantik Speaker baru, R Ganesan. Ia disokong oleh Hamidah Othman. Semua Adun BN angkat tangan walaupun usul itu ditolak oleh Speaker V Sivakumar.

10.32 pagi


Siaran langsung sidang Dun melalui Perak FM dihentikan ekoran kekecohan dalam dewan.

MB, enam Exco dan tiga Adun lompat berkeras tidak mahu keluar dari Dun dan buat perangai lembu kenyang.

Adun PR terus membantai mereka dari kiri dan kanan.


10.30 pagi

Mujahid Yusof dan Salahudin Ayub kini berada dalam black maria polis bersama kira-kira 40 orang yang ditahan menunggu untuk dibawa ke balai polis.

"Kami macam duduk dalam ovem sekarang," kata Mujahid kepada Siasah melalui telefon bimbitnya.

10.10 pagi
Speaker mengarahkan Menteri Besar, Datuk Dr Zambry, enam Exconya serta tiga Adun yang meninggalkan PKR dan DAP meninggalkan Dun. Sidang sedang panas menjelang majlis perasmian.

Restoran mamak di bawah bangunan DAP dan pejabat DAP kini kosong tanpa ada orang luar. Restoran itu kini ditutup.

Dr Mujahid Yusof ditahan polis.

10.00 pagi

Semua Adun telah berada dalam Dun dan menduduki kerusi asal masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.

Mereka kini menunggu ketibaan Raja Muda Perak, Raza Nazrin Shah untuk merasmikan sidang itu.

Majlis perasmian dijadualkan bermula jam 10 pagi. Jam 11 Dun akan bersidang dengan agendanya adalah menukar Speaker Dun.

9.50 pagi

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub ditahan ketika polis mengejar mereka yang berada dalam 500 meter dari pagar pejabat SUK. Dr Mujahid Yusof, Nasir Mustafa dan Aris Awang yang turut berada sekitar bagaimanapun tidak ditangkap.

Polis terus menghalau orang termasuk yang sedang makan dan minum di restoran berdekatan. Ekoran itu, restoran mamak di bawah bangunan DAP, 200 meter dari pagar bengunan Perak mula menarik tirainya untuk ditutup.



9.40 pagi

Sehingga kini sudah 23 orang yang dirangkap polis di perkarangan bangunan Perak yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak. Antara yang ditangkap adalah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin.

Turut ditangkap bersama Zuraida adalah 10 yang lain yang berkumpul di perkarangan bangunan SUK Perak itu.

Antara mereka adalah Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong (DAP-Malaka), Adun Jenice Lee (DAP-Selangor) and Adun Bahau Tey Kok Seong (DAP-Negri Sembilan).

Jam 9.20 pagi, 12 lagi ditangkap ketika polis merempuh bangunan DAP Perak yang berada kira-kira 200 meter dari bangunan SUK.

8.30 pagi

Kelihatan Adun Pakatan Rakyat yang diketuai Datuk Seri Mohamad Nizar memasuki kawasan bangunan Perak. Hanya seorang pegawai mereka dibenarkan masuk. Pemandu juga tidak dibenarkan mengiringi Adun ke Dun.

Kira-kira 30 orang yang berpakaian hitam berkumpul di perkarangan. Polis telah mengarahkan mereka keluar dari situ. Berlaku pergelutan dan marah-marah. Ramai antara mereka ditangkap termasuk Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita PKR.


8.00 pagi

Laluan ke bangunan Perak telah dikawal ketat oleh polis sejak jam 7.00 pagi lagi. Penghadang besi dibuat untuk menyekat laluan ke situ.

Ramai pengguna biasa jalan dan beberapa pejabat dan sekolah di situ merungut dengan tindakan ini.

5.00 pagi

Orang ramai berkumpul di Surau Al Ikhlasiah, Jalan Pemimpin, Kampung Manjoi Baru selepas Masjid Ihtihadiah dihalang dari digunakan untuk solat hajat atas arahan Jabatan Agama Islam Perak.

Arahan bertulis itu ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Jaip dan ditampal di masjid berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...