Sunday, August 1, 2010

DAP pecat Tee Boon Hock

SHAH ALAM, 1 Ogos: Ekoran dakwaan menyalahgunakan kepala surat Exco untuk sokongan mendapatkan kontrak Majlis Perbandaran Klang (MPK), DAP semalam memecat ahli MPK Tee Boon Hock dari parti itu berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin DAP bermesyuarat hari ini.

Naib Presiden DAP, Tan Kok Wai berkata tindakan itu dibuat selaras dengan perinsip parti yang menekankan integriti dan kebolehpercayaan.

"Ini merupakan kali pertama Jawatankuasa Disiplin DAP memulakan penyiasatan berdasarkan laporan media kerana ini melibatkan kepentingan masyarakat awam dan sebagai satu tindakan yang mencerminkan prinsip asas parti DAP yang mementingkan integriti dan kebolehpercayaan," tegas Kok Wai yang juga merupakan Ahli Parlimen Cheras.

Boon Hock sebelum ini didakwa menggunakan kepala surat dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor, Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya bagi mendapatkan kontrak MPK.

Menurut Kok Wai lagi, walaupun tiada aduan bertulis dibuat oleh mana-mana ahli mahupun pemimpin DAP, namun dakwaan yang dilemparkan berkait dengan kepentingan awam dan memerlukan siasatan terperinci.

Ronnie Liu dan Tee akan dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa disiplin yang akan memanggil mesyuarat tergempar dalam masa tiga hari.

Menteri Besar, Tan sri Khalid Ibrahim sebelum ini mengumumkan Boon Hock direhatkan sementara jabatan audit dalaman membuat siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...