Sunday, December 28, 2008

Husam ziarahi jenazah Yang Dipertuan Besar

Oleh skamalidz@yahoo.com

SERI MENANTI, 27 Dis: Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) dan Zulkefli Mohamad Omar (PJ Negeri Sembilan) bersama pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan menziarahi jenazah Yang Dipertuan Beasr Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman di Istana Besar Seri Menanti.

Ketibaan rombongan mereka yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor.

Beliau memberi sedikit taklimat berhubungan upacara penghormatan terakhir kepada jenazah almarhum.

Tuanku Jaafar mangkat jam 11.45 Sabtu lalu. Jenazah baginda dijangka akan dikebumikan hari Isinin ini, selepas solat Asar di makam Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah.

Saturday, December 27, 2008

Isu hudud: Hadi yakin tidak jejas undi bukan Islam di Kuala Terengganu

(Yakin: Abdul Hadi sedang menjawab soalan wartawan. Turut bersama beliau Datuk Zahar dan Dr Halimah)

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin isu hudud yang sedang dimainkan oleh media ketika ini tidak akan menjejaskan undi masyarakat bukan Islam kepada PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Menjawab soalan wartawan selepas melancarkan kempen Jom Sertai PAS peringkat negeri Selangor dekat sini, Presiden PAS itu berkata dalam kontek negeri Terengganu masyarakat bukan Islam sudah memahami dan mengenali PAS.

"PAS pernah memerintah Terengganu dengan melaksanakan dasar lebih baik, menghapuskan cukai pintu termasuk kepada orang bukan Islam," kata beliau.

Perlimen Kuala Terengganu mempunyai lebih kurang 25 peratus pengundi bukan Melayu daripada 80,325 jumlah keseluruhan pengundi.


Polimik hudud mula dicetuskan kembali daripada Wacana Transformasi Politik Negara di Kota Bharu Sabtu, 20 Disember lalu antara Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dengan Naib Ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Ekoran jawapan Husam yang menegaskan "kita akan buat (hudud)" ketika ditanya oleh Khairy mengenai kesediaan PAS melaksanakannya, DAP dan MCA telah menyuarakan bantahan terbuka dengan reaksi daripada pimpinan tertinggi mereka.

Abdul Hadi ketika diminta penjelasannya sama ada PAS akan melaksanakan hudud atau tidak menjawab, " Kita (PAS) tahu berapa bilangan kita dalam parlimen".

"Tanggungjawab (melaksanakan hudud) sekarang pada Umno bukan pada PAS kerana mereka (Umno) mempunyai mejoriti dalam Parlimen.

"PAS di Kelantan sudah berusaha dan meluluskan dalam Dewan Undangan Negeri tetapi tidak dapat melaksanakan kerana halangan daripada kerajaan pusat yang dipimpin oleh Umno," ujar beliau.


(Orang ramai menghadiri program kempen 'Jom Sertai PAS' di Dataran Shah Alam)
Ketika ditanya bagaimana hudud boleh dilaksanakan, Abdul Hadi yang menolak anggapan bahawa hudud adalah undang-undang yang zalim berkata, ia bukanlah begitu mudah untuk terus dilaksanakan kerana pelbagai perkara perlu diambilk kira.

Menurut beliau, hudud tidak boleh dilaksanakan ketika rakyat dalam kesusahan ekoran faktor ekonomi, pengganguran yang ramai, pendidikan dan sosial masyarakat yang bermasalah.

"Kena selesaikan masalah kemiskinan, perbaiki ekonomi rakyat, peluang pekerjaan, pendidikan termasuk mengambil kira hubungan kekeluargaan dalam masyarakat terlebih dahulu," kata beliau yang memberi keyakinan aspek tersebut akan menjadi keutamaan kepada PAS.

'Kita tahu Umno tidak dapat menyelesaikan masalah ini," tambah beliau.

Kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.


"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

Sementara itu, kempen 'Jom Sertai PAS' yang diadakan di Dataran Shah Alam mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Majlis yang berlangsung selama lebih dua jam itu berjaya mendapatkan lebih 300 penyertaan ahli baru pada petang itu.

Majlis bermula dengan persembahan kumpulan nasyid dan ucapan daripada pimpinan PAS.

Turut hadir ialah Naib presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang; Setiausaha Pemuda PAS, Sabky Yusuf; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh; Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, Ketua Kawasan Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmod. (Gambar: Abdul hadi melancarkan kempen 'Jom Sertai PAS')


Bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim yang baru menyertai PAS turut diundang sebagai tetamu khas di majlis tersebut.


Kempen ini akan berlangsung selama lima bulan bermula Januari depan yang akan menjelajah ke beberapa buah negeri khususnya yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Menurut sekretariat kempen, PAS mensasarkan pertambahan 100 ribu ahli baru PAS dan kelab penyokong PAS dalam kempen tersebut. (Gambar: Ustazah Nuridah berbual-bual dengan keluarga Datuk Zahar)

Friday, December 26, 2008

Ungku Aziz dakwa mangsa konspirasi Concorde

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Yang Dipertuan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Prof Diraja Ungku Aziz kecewa dengan tindakan pihak berkuasa dalam menyiasat aduan yang dikemukakan beliau berhubung manipulasi kewangan yang berlaku dalam koperasi itu dan juga usaha hendak menjatuhkannya.

Ekoran kekecewaan itu memaksanya membuat kenyataan akhbar mendedah perkembangan yang tidak sihat yang berlaku dalam koperasi yang dipimpinnya sejak tahun 1977 itu.

"Kekurangan minat bertindak balas dengan segera serta reaksi yang munasabah oleh pihak berkuasa yang berkenaan telah mendorong saya membuat kenyataan pada hari ini," katanya dalam satu sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini Selasa lalu.

Beliau tidak menyebut identiti pihak berkuasa namun ianya difahamkan ialah pihak polis dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pendedahan yang ibuat oleh Ungku Aziz itu mengejutkan dan sekaligus mendedahkan kedudukan Angkasa yang selama ini dilihat sebagai salah satu koperasi yang teguh dan utuh serta menjaga aset lebih RM3.5 billion.

Laporan penuh dalam Siasah cetak hari ini.


Gambar: Ungku Aziz menunjukkan dokumen yang beliau ada.

Calon PAS: Profesional berjiwa rakyat, kata Presiden PAS

KUALA TERENGGANU, 26 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan keyakinan parti itu boleh memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan.

Ini kerana calon yang dikemukakan nanti boleh diterima oleh rakyat berdasarkan ketokohan, profesional dan berjiwa rakyat.

“Insya Allah, (PAS) boleh menang sebab Kuala Terengganu adalah salah satu dari tempat yang kita (PAS) kuat. Aspek ketokohan, profesional dan lapangan yang boleh diterima oleh rakyat,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini, Ahad lalu.

Gambar kelihatan Abdul Hadi bersama pimpinan PAS dalam sidang medianya baru-baru ini.

Basri, 105 tahun, penduduk tertua Selangor?

KUANG, Selangor, 26 Dis: Basri bin Karto Werono yang umurnya kini masuk 105 tahun bolehlah dikira manusia yang tertua di Selangor kini.

Beliau masih sihat, boleh berjalan seperti biasa bahkan masih boleh membaca al Quran dengan baik tanpa bantuan cermin mata.

Beliau kini tinggal di Lorong Kenanga, Kampung Damai, Kuang bersama isteri dan anak-anaknya.

"Saya sudah 60 tahun tinggal di sini selepas berpindah dari Slim River, Perak,"beritahu Basri kepada Siasah yang menyertai misi pencaraian warga tua Selangor oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Turut serta dalam misi pencaraian itu adalah A Shukur Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Rantaian Mesra.

Rantaian Mesra adalah syarikat yang dibentuk oleh kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat untuk mengurus Skim Mesra Warga Emas bagi membantu serta mengambil manafaat pengalaman mereka.

Skim ini dalam misi mendaftar warga emas di Selangor yang berusia lebih 60 tahun untuk membolehkan keluarga mereka mendapat manafaat apabila berlaku kematian ke atas warga emas ini.

Setiap kematian akan mendapat RM1,000 dalam masa 24 jam dan RM1500 lagi selepas itu.

"Mengikut rekod kami kini, Basri adalah warga tertua di Selangor. Namun, usaha mengesan warga tua ini akan berterusan. Sehingga kita ada penemuan baru, saya suka nyatakan dia yang tertua," kata Shukur kepada Siasah.

Laporan penuh dalam akhbar Selangor Kini, terbitan kerajaan negeri Selangor.

Bila Nik Aziz bercakap pasal cinta

Oleh Hasbullah Ahmad
Gambar oleh Jamal Foto

SELAYANG, 26 Dis: "Nik Aziz bercakap pasal cinta? Wow ini sudah bagus."

Itulah persepsi awal apabila Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan akan berceramah di Bandar Tasik Puteri, Rawang Sabtu 20 Disember lepas.
Nik Aziz telah digandingkan dengan seorang tokoh kontroversi PAS Selangor dalam ceramah itu iaitu anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Turut serta adalah Yang Dipertua PAS Selayang, Haji Muhamad Abdul Rahman dan juga Ketua PKR Selayang, Abdul Rahim.

Padang permainan kanak-kanak di bandar baru yang penduduknya 90 peratus Melayu itu penuh dengan penonton walaupun hujan turun renyai-renyai menjelang ceramah itu.

Di malam itu, Nik Aziz bercakap dengan penuh semangat walaupun memberitahu penulis, "letihlah" sebaik sahaja tiba dari Rumah Kelantan ke situ.

Dengan umurnya 78 tahun, memang Nik Aziz kelihatan letih sebaik sahaja tiba dengan diiringi motor superbike dari tol Rawang ke Bandar Tasik Puteri.

Namun, kerana di depan beliau adalah penonton baru yang mungkin tidak pernah beliau temui, Nik Aziz kelihatan bersemangat luar biasa.
Nik Aziz menghuraikan cinta yang sepatutnya ada pada umat manusia. Bukan setakat cinta sesama makhluk tetapi juga kepada pencipta manusia iaitu Allah.

Beliau melahirkan rasa hairannya dengan sikap manusia yang sentiasa menanamkan benih-benih benci sesama manusia atas alasan berlainan bangsa.

"Lihat isu bahasa papan tanda di Pulau Pinang. Papan tanda tak mahu bagi tulis tulisan Cina padahal bercakap dibenarkan. Bahasa ini adalah hak semua manusia," kata beliau.

Khalid Samad pula menghuraikan kepentingan para penyokong Pakatan Rakyat untuk menolak segala benih-benih kebencian dan kekeliruan terhadap kerajaan negeri Pakatan khasnya Selangor yang cuba dicucuk Umno sekarang.

"Puas hatilah...ini kali pertama saya mendengar dia ceramah secara live," kata seorang penyokong PAS di situ kepada penulis.

Di majlis itu, Nik Aziz melancarkan buku ulasan beliau, Kisah Cinta dari Al Quran.

Selepas majlis pelancaran, berpuluh-puluh penonton berbaris panjang untuk mendapatkan tandatangan beliau ke atas buku yang diterbitkan semula dengan ulasan beliau itu.

Yang mendahului adalah pimpinan PAS kawasan Selayang sendiri yang jarang-jarang bertemu secara langsung dengan beliau.

"PAS kawasan mengucapkan tahniah di atas kejayaan penganjuran ceramah semalam," tulis Yang Dipertua PAS Selayang, Muhamad Abdul Rahman terhadap majlis itu.

Pemuda PAS cadang semua bergabung bantah PPSMI

KUALA LUMPUR 26 Dis: Dewan Pemuda PAS mencadang agar semua pihak yang membantah perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) dalam Bahasa Inggeris bergabung bagi menghasilkan tindakan yang berkesan.

Mereka beranggapan sudah sampai masanya individu dan NGOs ini memperkukuhkan hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah ke tahap kedua bantahan ini.
Demikian kata Suhaizan Kayat (gambar), Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Pusat dalam satu kenyataannya kepada Siasah.

Katanya, Pemuda PAS telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah.

"Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini," katanya mengulas tindakan saman yang hendak diambil oleh Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Bagi mengajar orang-orang politik, katanya, pendekatan sekadar bantahan dalam persidangan yang kemudiannya dikeluarkan dalam media ini sudah tidak sesuai lagi.

Orang politik sangat faham bahawa selagi bantahan ini tidak menggugat undi mereka dalam pilihanraya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agong parti mereka maka selagi itulah mereka tidak akan berganjak, katanya.

Tapi, katanya, orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang di luar medan persidangan.

Individu dan NGOs ini pula, katanya, perlu lebih agresif lagi termasuk melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana impak negatif PPSMI ini lebih terkesan kepada pelajar-pelajar di sana.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Gabungan Penulis Nasional (Gapena) khususnya Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein selaku Ketua 1 Gapena yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik," kata Suhaizan.

Sebelum ini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, seorang peguam kanan (bekas Pengerusi MAS) telah menyatakan bahawa perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) bercanggah dengan undang- undang negara.

Tafsiran Tan Sri Aziz Abdul Rahman bahawa “maksud bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi” dalam Perkara 152 Perlembagaan negara turut merangkum bidang pendidikan sebagai bidang urusan rasmi negara. Undang-undang negara yang secara khusus dan secara terang-terangan dilanggar ialah Akta Pendidikan 1996 (Perkara 17(1)) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini.

Kementerian Pelajaran pula telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak. Malangnya, kata Suhaizan, tujuh pilihan yang dirumuskan dalam pertemuan meja bulat pada 16 Disember 2008 itu kabur dan mengelirukan sehingga boleh menyusahkan ibubapa dan pelajar-pelajar selepas ini.

PPSMI ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2003 hinggalah sekarang.
Beratus-ratus bantahan telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor, Pemuda PAS dan lain-lain lagi.

Ramai individu pula telah memberi pandangannya termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Bin Yatim; Bekas Menteri Besar Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Muhammad Khair Toyo; Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Fuad Zarkasi; bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Bekas Menteri Pendidikan, Tun Abd Rahman Yaakob; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hassan Ahmad Datuk Dr Zainal Kling; Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein; Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi.

Malangnya, pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah yang positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, kata Suhaizan.

Menurut Suhaizan, pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini dan tidak mustahil ISA akan digunakan.

"Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini?" kata beliau.

Agenda Najib disekat?

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Walaupun tidak sampai 100 hari lagi bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri, semua agenda Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendapat sekatan.

Dari pembelian Eurocopter, pemilihan calon BN untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu hinggalah yang terkini usaha untuk menswastakan Intitut Jantung Negara (IJN) kepada kumpulan Sime Darby Berhad disekat satu persatu.

Ekoran itu, ada yang berpendapat, Datuk Seri Abdullah semakin berkuasa dan besar kemungkinan akan kekal sebagai Perdana Menteri selepas Mac 2009 nanti.

Laporan penuh dalam Siasah hari ini.

Zahar Hashim serta 13 AJK bahagiannya sertai PAS

Kapten (b) Datuk Zahar Hashim, Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan bersama dengan 13 AJK bahagian dan 28 ketua Umno cawangan di bawahnya menyertai PAS Rabu 24 Disember lepas.

Abu Zahar yang kini digantung keahliannya dalam Umno berikutan isu Eurocopter menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.
Laporan penuh dalam Siasah hari ini.

Gambar atas: Abu Zahar menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Nasharudin dengan diperhatikan Hassan Ali 24 Disember lepas.

Wednesday, December 17, 2008

RM27,545.80 sehari untuk istana PM dan TPM


KUALA LUMPUR, 17 Dis: Dewan Rakyat diberitahu, Kerajaan Malaysia menyewa kediaman Perdana Menteri, Sri Perdana sebanyak RM4.15 juta setahun atau RM345, 833.33 sebulan dari Putrajaya Holding.

Untuk menyelenggarakannya pula, kerajaan menanggung RM1.89 juta setahun atau RM158,051.40 sebulan.

Kediaman Timbalan Perdana Menteri pula yang bernama Seri Satria, kerajaan menyewa sebanyak RM2.74 juta setahun atau RM228,333.33 sebulan manakala penyelenggaraannya adalah RM94,156 sebulan.

Ini bermakna, kerajaan menanggung RM27,545 sehari untuk membayar sewa dan menyelenggarakan kedua-dua istana pemimpin negara ini.

"Inilah bangunan yang Almarhum Datuk Fadzil Nor dulu cadang untuk dilelongkan jika BA (ketika itu) berkuasa. Saya tidak tahu tentang anda tetapi saya sendiri tidak terbayang begitu banyaknya wang yang dibelanjakan untuk menampung PM dan TPM kita sekeluarga," tulis Roslan Shahir, Setiausaha Akhbar Presiden PAS dalam blognya.

Sewa sehari Seri Perdana bersamaan RM11,527.77 sehari, sedangkan gaji pokok permulaan seorang guru dengan diploma hanyalah RM1,405.71.

Dengan RM1,405.71 inilah guru tadi menampung keluarga dan kehidupan hariannya sedangkan kita membayar RM11, 527.77 sehari buat PM kita!

Malah menurut jadual tangga gaji baru seorang Ketua Polis Negara pun dibayar lebih murah (perbandingan gaji pokok permulaan) dari kita menyewakan Seri perdana untuk Perdana Menteri kita.

Gaji pokok permulaan KPN adalah RM9, 615.98 (menurut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 tahun 2007) sebulan.

"Jadi apa nak kita lakukan?" tanya Roslan.

Dalam pada itu, tulisnya, rakyat diseru berjimat cermat. Tahun depan mungkin keadaan ekonomi semakin gawat, syarikat-syarikat gergasi dunia sudah mula memberhentikan para pekerjanya.

"Dan kita dalam susah-susah memuntahkan dari isi perut hampir RM10 juta setahun bagi menempatkan tak sampai 10 orang di dua istana kerana mereka adalah PM dan TPM kita," tulis beliau.

PAS pilih calon untuk menang - Nasharudin

KUALA TERENGGANU, 17 Dis: Kriteria utama calon PAS dalam pilihan raya Kuala Terengganu nanti adalah calon yang boleh menang, kata Pengarah pilihannraya kecil itu, Nasharudin Mat Isa.

Katanya, PAS akan meneliti senarai calon-calon dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat yang akan diadakan 21 Disember ini di Kuala Terengganu sebelum menentukan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau yang juga timbalan Presiden PAS berkata, berdasarkan persiapan yang ada, beliau yakin PAS boleh menang.

"Bagi memastikan kemenangan kita, saya menyeru semua petugas PAS bekerja dengan tekun dan buatlah yang terbaik demi membuktikan komitmen kita terhadap risalah yang dibawa," katanya.

Nasharudin berkata demikian kepada Siasah ketika dihubungi selepas mesyuarat khas beliau dengan Jawatankuasa Operasi pilihan raya kecil ini dekat sini.

Menurut Nasharudin, persiapan asas jentera pilihan raya ini sudah siap sepenuhnya dan segala kerja peringkat akar umbi sudah berjalan.

Lagi laporan dalam Siasah Jumaat ini.

Nik Aziz, Khalid Samad dan Tan Sri Khalid berpadu

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Selepas bersempendapat dalam banyak isu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan berceramah di atas satu pentas 20 Disember ini.

Mereka berdua akan berucap di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Turut dijangka menyertai mereka berdua adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kedua-dua Khalid dianggap saling sokong menyokong antara satu sama lain dalam politik negeri Selangor.

Thursday, December 11, 2008

Mat Sabu akan kerja keras walau bukan calon

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu akan tetap berkerja keras memastikan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu walaupun beliau tidak terpilih sebagai calon.

Mohammad yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu bagi kawasan Parlimen tersebut berkata, beliau akan tetap memberi sokongan kepada siapa sahaja calon yang dipilih parti itu untuk bertanding pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

"Saya akan tetap sokong siapa jua calon yang dipilih oleh parti," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani yang mahukan bakal calon PAS terdiri daripada anak tempatan.

Menurut Mohamad Sabu, siapa pun yang menjadi calon tidak penting kerana semuanya tertakluk kepada keputusan PAS Pusat.

"Saya akan terima apa jua keputusan parti," katanya.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Azman menyatakan pihaknya menolak cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil tersebut.

''Saya menganggap kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon adalah keputusan peribadi tetapi keputusan kita adalah keputusan bersama," katanya

Azman mahu PAS mengetengahkan anak tempatan yang berwibawa dan memberi mereka peluang kerana "mereka ini akan jadi pelapis bagi menggantikan pemimpin peringkat negeri yang ada sekarang".

''Terengganu tidak ketandusan pemimpin terutama golongan muda dan jika orang luar dicalonkan apa jadi dengan anak tempatan sendiri," katanya.

Mursyidul Am pula secara peribadi masih berhasrat untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu.

"Kalau boleh saya nak begitu, (kekal calon) sebab di Parlimen ni kena ada orang sepeti Mat Sabu (Mohamad) kerana lidah dia lantang, isu yang ditonjolkannya juga bukan dibuat-buat, tetapi realiti.

"Saya sudah lama menjadi penceramah dan sekarang pun saya masih berceramah, tetapi lidah saya tidak sehebat Mat Sabu,"ujarnya.

Tambahnya, itu berlaku kerana setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing,
"Saya ada cara saya, tetapi kalau di Parlimen ni baik Mat Sabu," katanya.

Friday, December 5, 2008

Nasharudin pengarah pilihan raya PAS Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Dis: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terenganu yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali pula dilantik sebagai timbalan beliau manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dilantik sebagai Setiausaha.

Pilihan raya kecil ini bakal diadakan ekoran kematian Datuk Razali Ismail yang mewakili Parlimen Kuala Terengganu sejak 2004.

Beliau menang dalam pilihan raya 2008 dengan mengalahkan naib presiden PAS, Haji Muhamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Sehingga kini, beberapa nama telah disebut-sebut bakal menjadi calon PAS dalam pilihan raya ini.

Mereka termasuklah Haji Mohamad Sabu sendiri di samping Datuk Wan Mutalib Embong (bekas Adun Batu Burok yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu), Datuk Mustafa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu), Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok) , seorang bekas pensyarah UPM yang kini seorang usahawan berjaya dan beberapa nama lagi.

Bagaimanapun, nama Wan Mutalib dan bekas pensyarah itu berada paling depan dalam senarai ini.

Pesuruhajaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa berkata, sehingga kini, siapa yang akan menjadi calon belum diputuskan lagi.

Katanya, proses pemilihan calon ini akan berjalan mengikut proses biasa iaitu dari peringkat percalonan dari kawasan Kuala Terengganu ke Perhubungan Negeri Terengganu dan seterusnya dipilih di peringkat pusat.

"Ini adalah pilihan raya PAS (dan Pakatan Rakyat) bukan PAS Terengganu saja," kata Mustafa.
Sementara itu, beberapa nama disebut-sebut sebagai bakal calon BN. Mereka adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Salleh, Penolong Pengarah Pendidikan Terengganu, Zuber Embong dan Ketua Penerangan Umno Terengganu yang juga bernama Zuber Embong.

Namun nama Wan Farid berada paling depan dalam senarai calon ini.

"Jika PAS meletakkan calon yang tepat, PAS mendahulu lebih 2,000 undi pada hari penamaan calon kerana undi PAS di peringkat Dun dalam Parlimen Terengganu melebihi 2,000 undi walaupun Muhamad Sabu kalah lebih 600 undi," kata seorang penganalisis politik.

Kerana serang Najib, Zahar digantung?

Oleh Nazeri Samad

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember 2008 lalu telah mengambil tindakan memecat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan menggantung keanggotaan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun.

Pemecatan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru ini yang berkuatkuasa serta merta dan tiada sebarang rayuan tidak begitu memeranjatkan kerana beberapa siri tindakan beliau yang disifatkan agak keterlaluan dari sudut pandangan kepemimpinan tertinggi Umno.
Bagaimanapun, keputusan menggantung Zahar agak mengejutkan selepas tindakan yang sama dikenakan ke atas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail kira-kira dua bulan yang lalu.


Dalam kenyataan kepada media, Presiden Umno yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu bahawa penggantungan bekas Adun Taman Medan ini adalah kerana beberapa tindakannya yang menimbulkan perkara sensitif dan boleh mencetuskan perbalahan dalaman.Difahamkan juga antara lain sebab Zahar dipecat adalah kerana menyertai laman-laman web pro pembangkang dan melontarkan ide-ide yang bertentangan dengan prinsip parti.


Berbeza dengan penggantungan Ahmad yang dikaitkan dengan isu perkauman, apakah releven penggantungan Zahar yang sekadar mengeluarkan ide bertentangan dengan prinsip parti di laman web pro pembangkang? Apakah ide Zahar terlalu sensitif sehingga boleh menyebabkan Umno akan berpecahbelah dan terus bermasalah?


Selepas keputusan teruk dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, Zahar dikatakan memberi pandangan agar kritikal terhadap kepemimpinan tertinggi Umno termasuk Abdullah dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.


Menurut maklumat, dalam beberapa siri mesyuarat Perhubungan Umno Negeri Selangor, Zahar seringkali mempertikaikan kewibawaan Abdullah dan Najib sehingga ke tahap kedua mereka perlu meletak jawatan di samping kritikan pedas terhadap Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Muhamamd Mohd Taib.


Sebelum berlakunya tekanan sehingga menyebabkan Abdullah melepaskan jawatan Presiden pada Mac depan, Umno bahagian Petaling Jaya Selatan itu dikatakan mahu mencalonkan bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Presiden. Selain daripada Gua Musang dan beberapa bahagian Umno yang dikenalpasti akan mencalonkan Tengku Razaleigh, Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan adalah di antara bahagian yang hebat mahukan bekas Menteri Kewangan ini.

Bagaimanapun, apabila keseluruhan mesyuarat pemilihan bahagian-bahagian Umno (melainkan Umno Bahagian Gua Musang) telah sebulat suara mencalonkan Najib, Zahar akur dengan kehendak akar umbi. Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan turut mencalonkan Najib sebagai Presiden.

Selain daripada kritikan di dalam mesyuarat Perhubungan Umno negeri, tindakan luar biasa yang dilakukan Zahar adalah mengedar risalah kepada seluruh kepemimpinan Umno bahagian-bahagian seluruh negara. Sama ada beliau terbabit mengedar risalah yang mempertikaikan kepemimpinan Abdullah dan Najib atau tidak namun hampir semua Ahli Jawatan kuasa bahagian-bahagian Umno telah menerima risalah yang dipos.

Risalah terbabit adalah mengandungi kenyataan Zahar sendiri dan beliau tidak pernah menafi membuat kenyataan demikian.Berkemungkinan ada pihak `tertentu’ yang cuba menjatuhkan Abdullah atau Najib namun nama Zahar sudahpun terjejas sedikit.


Tekanan terhadap Abdullah dan Najib disifatkan sebagai `terlalu berat’ apabila Zahar mengaitkan isu pembelian helikopter `Eurocopter untuk menggantikan Nuri. Kontraversi pembelian helikopter terbabit apabila Zahar yang juga pengerusi Mentari Services Sdn Bhd telah menulis surat kepada Najib pada 7 Oktober 2008 lalu yang mempersoalkan keputusan secara tergesa-gesa Kementerian Pertahanan menandatangani surat niat (LOI) dengan firman Jerman-Perancis Eurocopter.

Menurutnya, surat LOI terbabit ditandatangani tanpa melalui proses penilaian dan diluluskan dua hari sebelum Najib yang juga Menteri Pertahanan ketika itu berpindah potfolio ke Kementerian Kewangan.

"Kami tidak ketahui samada wakil dari Eurocopter dan Augusta Westland dipanggil oleh pasukan penilai untuk perundingan dan menyediakan penjelasan lanjut berhubung tawaran yang dibentangkan mereka, tetapi wakil daripada Kelowna dan Sikorsky tidak pernah dihubungi sama sekali”.


Tawaran kepada anda (Najib) daripada syarikat kami untuk menyediakan helikopter Kazan MI-172 untuk digunakan dan diuji oleh angkatan tentera selama enam bulan tidak pernah mendapat maklumbalas daripada kamu. Tawaran oleh Sikorsky untuk penerbangan ujian helikopter S-92 buatan syarikat terbabit juga tidak dilayan.


“Cara pemilihan helikopter Cougar EC-725 menimbulkan kesangsian jika kementerian di bawah pimpinan anda sememangnya serius, bersih dan boleh dipercayai dalam usaha untuk menilai semua tawaran yang dibuat daripada pembida atau adakah kemungkinan proses penilaian tersebut hanya satu gimik ketika (anda) telah pun merancang dari awal lagi untuk membeli Cougar EC-725 untuk tujuan tertentu," antara kandungan yang di sebut di dalam surat Zahar itu.


Isu ini juga pernah disentuh oleh Pengerusi Jawatankuasa Awam (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid yang menjalankan siasatan terhadap hasrat pembelian terbabit telah mengumumkan bahawa aspek teknika pembelian helikopter perang itu dibuat secara profesional.

Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat oleh beliau di Parlimen itu tidak memuaskan hati pelbagai pihak yang seterusnya mahukan siasatan itu dilakukan melalui Suruhanjaya Diraja yang perlu ditubuhkan khusus untuk menyiasat pelbagai aspek termasuk unsur rasuah dan keselamatan anggota tentera terhadap pembelian terbabit.

Walaupun Abdullah sebagai Menteri Pertahanan menangguh atau membatalkan pembelian helikopter ini, namun Zahar sudahpun menerima padah. Tindakan beliau telah dibayar dengan harga digantung dari parti selama tiga tahun.


Samada Zahar emosional atau wujud `masalah tersembunyi’ dalam isu terbabit hanya Ahli Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada 2 Disember lalu yang mengetahuinya. Apakah Najib tidak terbabit dalam usaha untuk menggantung Zahar ini?

Wednesday, December 3, 2008

PKR: Hayati mandat Kongres 2008

Oleh Nazeri Samad

Kira-kira 2,000 perwakilan PKR yang menghadiri kongres 2008 selama tiga hari di Shah Alam, Selangor sudahpun kembali ke tempat masing-masing. Kongres 2008 yang berlangsung pada 28-30 November lalu telah diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam yang turut dihadiri oleh ribuan pemerhati dari seluruh negeri.

Kongres yang bertajuk `Harapan Baru’ pastinya memberi impak yang cukup positif kepada para perwakilan dihayati dan diterjemahkan di kawasan masing-masing. Kritikan, cadangan dan pelbagai ide yang dilontar sama ada dari kalangan perwakilan mahupun kepemimpinan PKR sendiri telah dirumus untuk dilaksanakan dengan segera.

Apa yang lebih menarik, Penasihat PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berdiam diri. Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke Terengganu untuk berceramah di masjid Rusila. Dia menemui pimpinan PAS negeri termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Mustafa Ali.

Apa yang menarik dan perlu dihayati dengan nada segera hasil dari kongres 2008 PKR ini adalah ucapan dasar dari Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali. Beliau berucap dalam perasmian kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan.

Dalam ucapan tersebut, tiga perkara yang disifatkan sebagai tunggak kepada kekuatan PKR dan gabungan Pakatan Rakyat. Pertama adalah peringkat keahilan, kedua peringkat organisasi dan ketiga adalah peringkat Pakatan.

Menyebut perkara yang ketiga iaitu di peringkat Pakatan, Dr Syed Husin Ali menyebut betapa perlunya diwujudkan pemaufakatan antara parti dalam gabungan Pakatan Rakyat dengan kadar segera terutama di kalangan genarasi muda dan wanita.

“Di peringkat pimpinan nasional, terdapat kerjasama antara parti yang agak rapat terutama kita mempunyai majlis pimpinan PAKATAN yang sering bertemu untuk membincangkan pelbagai soal hubungan parti dan bermacam masalah yang dihadapi rakyat dan negara.”

Katanya, beberapa buah negeri dan bahagian telah berjaya mengadakan Majlis Pakatan negeri dan permaufakatan Bahagian. Kadar kejayaan kerjasama mereka berbeza-beza. Tetapi ada negeri dan bahagian yang belum menubuhkan lagi.

“Saya lihat di peringkat wanita dan Angkatan Muda sudah ada kerjasama dalam beberapa hal dan komponen lain dalam Pakatan. Namun organisasi atau struktur yang formal belum kelihatan utuh lagi. Saya harap ini dapat dibangunkan segera supaya lebih banyak aktiviti bersama dapat diadakan di dalam pelbagai bidang dan atas bermacam-macam isu. Ini sekaligus boleh memperkuatkan perpaduan dan mengurangkan percanggahan di antara mereka di samping membantu memperkukuh kedudukan kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan. Peranan serta sumbangan Wanita dan Angkatan Muda penting dan dialu-alukan” katanya lagi.

Dr Syed Husin juga melahirkan rasa khuatir dengan pelbagai serangan yang dilakukan oleh media cetak dan elektronik terutamanya yang dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional. Antara lain dia menyentuh, sekarang ini pimpinan Pakatan di lima negeri sering dikritik dan diburuk-burukan oleh media yang hampir semua di miliki atau dikuasai oleh Umno/BN atau nomini mereka.

“Sebagaimana yang disebut lebih awal mereka tidak henti-henti menjalankan propaganda untuk memburukkan Menteri Besar atau Ketua Menteri dan pemerintah di negeri bawah Pakatan. Jikalau boleh mereka hendak menjatuhkan Menteri Besar atau Ketua Menteri serta negeri-negeri ini dan merampas semula kuasa. Mereka pasti akan gagal apabila pimpinan pemerintahan Pakatan berjaya menjalankan tugas untuk membela rakyat dan meningkatkan taraf ekonomi, sosial dan kerohanian mereka” katanya.

Para pemimpin dan ahli gabungan Pakatan Rakyat di setiap peringkat cawangan, bahagian dan negeri sewajarnya mengenepikan masalah dan kepentingan peribadi dengan kadar segera. Masalah kecil tidak perlu diperbesarkan. Masalah besar perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Ini penting kerana setiap tindak tanduk ahli dan pimpinan dari parti-parti gabungan Pakatan Rakyat akan dinilai oleh para pengundi dan para penyokong masing-masing. Rakyat terutamanya di lima buah negeri yang dikuasai gabungan Pakatan Rakyat sudah memberi mandat dan kuasa untuk membela nasib mereka.

Selain itu, para pemimpin gabungan Pakatan Rakyat juga tidak terlalu terbawa-bawa dengan ideologi kepartian masing-masing sehingga ke tahap penuh emosional. Setiap tindakan perlu dilakukan secara berhemah dan berhati-hati agar tiada mana-mana ahli dan parti yang luka dan rakyat menderita.

Contohnya beberapa tindakan yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin kerajaan di negeri Selangor telah menimbulkan dilema kepada parti yang lain. Ini juga telah disebut dengan tegas oleh Ketua Pemuda AMK dalam ucapan dasar pemudanya. Segala-galanya perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati.

Oleh yang demikian, permaufakatan di peringkat bahagian perlu dilakukan dengan segera. Masih banyak ruang yang diberikan oleh kerajaan Negeri sehingga memberi laluan kepada Umno-BN untuk menabur fitnah dan kritikan melulu.

Sememangnya pandangan Dr Syed Husin banyak kebenaran dan perlu diterjemahkan dengan kadar segera.Selepas kejayaan Anwar dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, ujian kini bertumpu di Kuala Terengganu. Sebagaimana kepimpinan PAS bertungkus lumus membantu kemenangan Anwar di Permatang Pauh, diharap peranan yang lebih besar dapat dilakukan untuk pimpinan PKR di Parlimen Kuala Terengganu.

Rakyat akan terus melihat sejauhmana semangat setiakawan dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Monday, December 1, 2008

Anwar dan Mustafa Ali rancang strategi bersama


MARANG, 1 Dis: Setelah sekian lama tidak datang ke Terengganu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan ceramahnya di Masjid Rusila baru-baru ini.

Turut serta memberikan ceramah bersama beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali.

(Gambar atas kelihatan Anwar dan Mustafa berbincang bagi merangka strategi bersama dengan diperhatikan oleh pimpinan kanan PKR dan PAS yang lain.)




Sunday, November 30, 2008

Razali: Presiden PAS ucap takziah

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah bagi pihak diri beliau dan keluarga serta seluruh ahli-ahli PAS kepada keluarga Allahyarham Dato' Razali Ismail yang telah pulang ke rahmatullah petang semalam akibat serangan jantung.

Allahyarham adalah Timbalan Menteri Pelajaran dan ahli parlimen Kuala Terengganu. Beliau mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah swt dan semoga isteri dan keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian yang besar ini.

Bagi beliau, Allahyarham adalah seorang ahli parlimen dan Timbalan Menteri yang baik dan sangat komited dalam menjalankan tugas-tugasnya terutama semasa sesi sidang dewan di Parlimen.

Presiden PAS kini berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadat haji dan dijangka pulang ke tanahair sekitar pertengahan bulan Disember nanti, kata Roslan Shahir, Setiausaha Akhbar beliau.

Friday, November 28, 2008

Pertembungan impian: Wan Mutalib lwn Wan Farid













KUALA TERENGGANU, 28 Nov:
Berikutan kematian anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail petang tadi, kini Kuala Terengganu bakal menyaksikan pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Dan pertembungan impian adalah antara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong dengan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid.

Wan Mutalib adalah calon yang disebut-sebut untuk menjadi calon PAS di Kuala Terengganu sebelum PAS Pusat memutuskan untuk mencalonkan Naib Presidennya, Haji Muhamad Sabu di situ.

Wan Farid yang kini adalah senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pula adalah calon yang disebut-sebut untuk bertanding dalam pilihan raya lalu di kawasan ini tetapi nama beliau hilang selepas itu.

Ramai pihak menganggap pertembungan kedua-duanya adalah pertembungan impian banyak pihak kerana kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua calon itu di kawasan ini.

Wan Mutalib, AJK PAS Pusat, sebelum ini adalah Adun Batu Burok. Beliau kini menjadi Pengerusi JK Pemantau bagi pihak PAS Pusat untuk semua negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Selain beliau, turut tersenarai untuk menjadi calon-calon PAS adalah pesuruhajaya PAS Terengganu sendiri, Datuk Mustafa Ali.

Di pihak BN pula, nama bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu, Zuber Embong juga ada disebut-sebut.

Thursday, November 27, 2008

Benarkah Mustafa Ali dalang?


KUALA LUMPUR: Nama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali sekali lagi cuba ditimbulkan dengan masalah yang melanda dalam PAS. Kali ini beliau dikaitkan dalam tindakan PAS Selangor mengugurkan Khalid Samad (Timbalan Pesuruhjaya) dan Saari Sungib (Ketua Penerangan) PAS negeri itu. Akhbar NST yang melaporkan perkembangan terbaru dalam PAS itu antara yang mengaitkan nama Mustafa Ali.

Mustafa Ali sebelum ini pernah menimbulkan kontraversi apabila mengemukakan pandangan berbeza berhubung 16 September. Beliau juga cuba dilebelkan sebagai mastermaind dalam PAS yang banyak mempengaruhi keputusan atau tindakan politik Presiden parti.

Ikuti wawancara bersama Mustafa Ali dalam akhbar Siasah terbaru dimana beliau menjawab tuduhan ke atas dirinya.

10 ribu sasaran hadir forum mansuhkan ISA

FORUM RAKYAT (NO TO ISA)
Arus Pergolakan Politik di Malaysia: Antara cabaran dan harapan
Satu Penilaian Semula

Tarikh: 1 Disember 2008
Masa: 8.00 - 12.00 Malam
Tempat: Bar Council , Jalan Leboh Pasar, Kuala Lumpur

Ahli Panel

Mohammad Sabu (naib Presiden PAS)
Taresa kok (Ahli Parlimen Seputeh)
Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi Gabungan Mansuhkan ISA)
Hishamuddin Rais (Aktivis Reformasi)
Raja Petra Kamaruddin (Blogger)
Faridul Nasaruddin (Jurucakap Mahasiswa Mansuhkan ISA/Auku)
Ts Thenimtaram (wakil Masyarakat India Tertindas)

Tetamu undangan

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat
Wakil - wakil Badan Bukan Kerajaan

Anjuran: Cakap Rakyat Group

Orang Melayu perlu proaktif martabat tulisan Jawi

KOTA BHRU: Bangsa Melayu digesa bersikap proaktif untuk memartabatkan kembali tulisan jawi untuk memastikan kesinambungan warisan yang menjadi jati diri orang Melayu itu.

Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr. Johari Mat berkata, langkah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan Bahasa Melayu perlu mempunyai gerakan perubahan yang menyeluruh bermula dari awal kanak-kanak hingga ke peringkat menara gading.

"Ia lebih kepada soal jati diri, bahkan kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada bagaimana mereka menghargai warisan bangsa mereka sendiri. "Tidak usahlah bercakap mengenai isu global andainya bangsa sendiri terabai," katanya pada satu majlis di sini.

Kata beliau, memandangkan tulisan Jawi merupakan warisan bangsa Melayu, sewajarnya ia dimartabatkan ke tempat sepatutnya dan harus disedari bahawa tulisan Jawi adalah tulisan istimewa oleh kerana di serluruh dunia tulisan Jawi hanya ada pada masyarakat Melayu saja.

Katanya, bangsa Melayu bertanggungjawab memartabatkan tulisan Jawi, bahkan mereka wajib mempertahankannya oleh kerana ketinggian teknologi dan kekuatan ekonomi Melayu tidak bererti sama sekali andainya tulisan Jawi yang menjadi warisan bangsa gagal dipertahankan.

Katanya, sebelum pengetahuan moden dengan perbendaharaan yang sofistikated diperkenalkan, tulisan Jawi digunakan Istana dalam bidang persuratan, perjanjian dan undang-undang.

"Bagaimanapun serangan untuk menjatuhkan tulisan Jawi di Tanah Melayu dilakukan sebelum penjajah meninggalkan Tanah Melayu menerusi lidah anak Melayu sendiri," katanya.

Beliau berkata, jatuhnya tulisan Jawi berperingkat termasuk pada Kongres Persuratan Melayu 1952 yang akhirnya melahirkan resolusi;; "Tulisan Rumi dan Jawi digunakan dalam Persuratan Melayu dan tulisan Rumi dijadikan tulisan Rasmi".

Manakala Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGSM) pada kongres keduanya (1854) mengusulkan Kongres itu dengan merakamkan; "Bahawa Persuratan Melayu Se-Malaya yang bersidang pada 1 Januari 1954 di Seremban mengambil keputusan sudah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya".

Beliau berkata, usul itu turut dipersetujui Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) menerusi memorandumnya pada 27 Mac 1954.

"Memorandum itu memaparkan 11 kelebihan dan satu kelemahan tulisan Rumi, manakala tulisan Jawi pula mempunyai 12 kelemahan dan satu kelebihan.

"Memorandum itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelajaran Razak dan menerimanya setelah menimbangnya dengan halus mengenai penggunaan tulisan Rumi atau Jawi dalam Bahasa Kebangsaan dan mencadang supaya digunakan tulisan Rumi dengan syarat diadakan pelajaran Jawi bagi murid-murid Islam," katanya.

Menurutnya, ekoran itu tulisan Jawi yang sebelum itu dipandang hebat mulai hilang pengaruhnya.

"Betapa hebatnya orang Melayu dahulu merancang untuk menjatuhkan tulisan Jawi, tulisan yang menjadi saluran kekuatan bangsanya sendiri," ujar beliau.

Dr Johari menambah, rancangan untuk menjatuhkan orang Melayu dengan tulisan yang berdasarkan huruf-huruf wahyu dan mengubah sebutan serapan Arab agar orang Melayu menyebut kata tertentu dengan tidak betul akhirnya menemui kejayaan,.

Sehubungan itu, Dr. Johari berkata langkah memartabatkan semula tulisan Jawi hendaklah dipandang penting, bukan sekadar tulisan warisan, tulisan hiasan dinding.

"Setiap bangsa mempunyai bahasa dan tulisannya, kerana ianya merupakan lambang kepada citra dan jati diri bangsa itu. "Sekiranya kita orang Melayu tidak berbangga dan tidak memartabatkan tulisan Jawi, samalah tidak berbangga dengan budaya dan citra bangsa sendiri."

Thursday, November 20, 2008

Didakwa larikan anak orang tapi menang besar

TEMERLOH: Selepas gempar dengan cerita ada calon Umno yang bertanding untuk merebut jawatan dalam salah satu Umno Bahagian di Pahang dengan cara mengedarkan nombor ekor untuk mendapatkan undi kini Umno negeri ini sensasi lagi dengan kisah seorang calon yang bertanding Timbalan Ketua Bahagian telah menang besar walaupun dikaitkan dengan salah laku moral.

Calon tersebut dikatakan telah kahwin lari dengan anak dara orang untuk dijadikan isterinya nombor tiga.

Menurut laporan polis (gambar) yang dibuat oleh seorang wanita, beliau mendakwa anak perempuannya telah berkahwin dengan pemimpin Umno tersebut yang juga Adun salah sebuah kawasan dalam daerah Jerantut.

Beliau membuat laporan kerana meragui perkahwinan anaknya itu dan sebagai rujukan pihak Jabatan Agama

Laporan tersebut mengatakan, pada 22 Mei 2008 beliau telah melihat anak gadisnya itu keluar rumahnya di Felda Sungai Retang, Jerantut dengan membawa pakaiannya. Beliau cuba menghalang tetapi gagal.

Pada awal bulan Jun, beliau mendakwa, telah dimaklumkan bahawa anak perempuannya itu telah berkahwin lari dengan pemimpin Umno tersebut sebagai isterinya yang ketiga.

Sejak itu beliau tidak dibenarkan berjumpa anak gadisnya itu.

Siasah difahamkan salinan report polis tersebut telah digunakan oleh pihak tertentu untuk menghalang pemimpin Umno tersebut daripada memenangi pertandingan jawatan Umno Bahagian.

Salinan report itu dikatakan telah diedarkan kepada ahli-ahli Umno yang datang ke mensyuarat bahagian.

Bagaimanapun apa yang menarik, pemimpin itu telah menang besar dan bergaya menewaskan lawannya dengan melebihi 100 undi.

Monday, November 17, 2008

Menggarap keahlian bukan Islam dalam PAS

Oleh ZULKIFLI SULONG

Jika tidak ada sebarang masalah, Muktamar PAS pertengahan tahun depan akan membincangkan pembentukan satu lagi sayap parti Islam itu. Ia akan dikhaskan untuk orang bukan Islam. Demikian kata Dr Mujahid Yusof Rawa selepas pulang dari retreat PAS di Langkawi kepada wartawan Siasah baru-baru ini. Berikut adalah hasil perbincangan Siasah dengan Mujahid.

PAS telah menang sebanyak 23 kerusi Parlimen dalam pilihan raya 2008 lalu. Sebahagian dari kerusi itu adalah hasil sumbangan undi orang bukan Islam terhadap PAS.

Kota Raja, Kuala Selangor, Titiwangsa, Pokok Sena, Parit Buntar dan beberapa kawasan Parlimen lagi adalah antara sumbangan mereka kepada PAS.

Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) adalah antara pihak terlibat dalam usaha memujuk mereka memberikan undi kepada PAS. Melalui Lajnah Perpaduan Nasional yang dipimpinnya, Kelab Penyokong PAS ditubuhkan.

Menjelang pilihan raya lalu, kelab ini ditubuhkan di mana-mana. Berbondong-bondong orang bukan Islam, semada Cina atau India yang menyertai kelab ini. Bagi mereka, PAS adalah alternatif kepada Umno yang korup dan recist itu.

Namun, Mujahid mengaku, sokongan orang bukan Islam kepada PAS ini sedikit sebanyak terjejas dengan beberapa isu yang berlaku selepas pilihan raya umum. Ia bermula dengan apa yang dinamakan isu muzakarah Umno dengan PAS. Ia pula katanya dibuat atas kepentingan Melayu Islam. Kemudian isu itu berkembang ke PAS akan menyokong pembentukan kerajaan Pakatan di peringkat Pusat jika majoriti anggota Parlimennya adalah Melayu dan Islam.

Terakhir, isu perlantikan Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Penentangan PAS terhadap perlantikan itu dianggap kerana Madam Low adalah Cina.

"Saya sangat berbesar hati kerana ketika menggulung perbincangan tentang kertas yang saya bentangkan ini, Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz berkata, rancangan ini perlu dipercepatkan," cerita Mujahid kepada Siasah.

Mujahid menyatakan perkara ini ketika ditanya apakah respon pimpinan PAS terhadap kertas cadangan beliau agar satu dewan yang dikhaskan untuk orang bukan Islam dibentuk dalam PAS.

Mujahid membentangkan kertas cadangan agar satu Dewan dibentuk untuk membolehkan orang bukan Islam aktif secara rasmi dalam PAS di retreat PAS di Langkawi 7 ke 9 November lepas. Hampir 40 pemimpin PAS yang mengganggotai Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama menyertai retreat itu.

"Mereka ada antara 15,000 ke 20,000 orang yang aktif dalam kelab penyokong PAS ini. Namun sebagai ahli kelab, mereka tidak ada ruang untuk aktif yang jelas dalam parti. Jadi kita cadangkan agar kita tubuh satu sayap baru kepada PAS iaitu satu dewan untuk mereka. Namun, namanya belum kita muktamadkan lagi," kata Mujahid ketika ditemubual di pejabat pembangkang di bangunan Parlimen.

Ketika ditanya, apa respon pemimpin yang lain, Mujahid berkata, hampir kesemua mereka menyokong cadangan beliau itu. Hanya sebahagian kecil menimbulkan beberapa persoalan mengenainya, yang lain menyokong.

"Presiden PAS sendiri menganggap sudah tiba masanya PAS menerima orang bukan Islam ini sebagai ahlinya," cerita Mujahid.

Selepas ini, kata Mujahid, beliau akan menyediakan kertas pelaksanaan kepada cadangan ini. Beliau berharap, menjelang muktamar PAS tahun depan, semuanya sudah siap.

"Kita harap, dalam muktamar akan datang, para perwakilan dapat membahaskan cadangan ini dan seterusnya meluluskannya.

"Jika diluluskan muktamar, kita akan serahkan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk diluluskan sebelum kita dapat melaksanakannya dan mula membuka pintu kepada orang bukan Islam untuk menjadi ahli parti Islam ini," kata Mujahid.

Mujahid berbangga, jika diluluskan nanti, PAS akan menjadi satu-satunya parti dan gerakan Islam di dunia ini yang mempunyai keahlian bukan Islam.

Ketika ditanya, apakah cadangan beliau ini ada kaitan dengan apa yang dibuat oleh Tayyib Erdorgan di Turki dalam memperkasakan Parti AK, Mujahid berkata, tidak bahkan lebih dari itu.

Erdorgan telah melantik beberapa menterinya dari kalangan bukan Islam padahal di Turki penduduk Islamnya adalah 90 peratus berbanding di Malaysia hanya 55 peratus sahaja Islam.

"Jika 90 peratus Islampun boleh lantik orang bukan Islam sebagai calon dan pemimpin, apatah lagi kita di Malaysia," kata Mujahid.

Bagi beliau, sebelum diterima sebagai ahli, mereka perlu memahami PAS dengan mendalam terutama sekali dasar perjuangan PAS iaitu Islam.

Ke mana mereka selepas menjadi ahli dewan ini? Ini menjadi soalan panas yang sudah tentu ingin diketahui oleh ahli baru PAS ini selepas mereka menjadi ahli PAS.

"Pertama, sebagai ahli mereka bebas bergerak dalam PAS tetapi buat permulaan ini dalam sempadan dewan mereka. Mereka juga akan menjadi perwakilan dalam muktamar melalui dewan mereka.

"Mereka juga akan dipilih untuk mewakili PAS dalam pilihan raya umum akan datang. Kita akan pastikan ada di kalangan mereka dapat menjadi calon PAS untuk kawasan-kawasan tertentu. Kita harap ia akan berlaku mulai pilihan raya ke 13 nanti," beritahu Mujahid.

Di samping itu, katanya, beliau akan mencadangkan agar anggota dewan ini akan dilantik sebagai senator, anggota majlis kerajaan tempatan dan sebagainya.

"Dengan cara ini, mereka akan terasa mereka bukan dipergunakan oleh PAS tetapi menjadi sebahagian dari kita," kata beliau.

Ketika ditanya, oleh kerana naturenya mereka bukan anggota penuh PAS dan ada kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk menyifatkan mereka sebagai ahli kelas dua dalam PAS, Mujahid menjelaskannya:-

"PAS ini sudah 50 tahun bergerak dan tidak ada orang bukan Islam menjadi ahlinya. Jika kita buka pintu untuk mereka menjadi ahli, ini satu perkembangan baik untuk PAS. Sudah tentu selepas ini, ia akan berkembang sesuai dengan perkembangan semasa. Kita tidak tahu ia berkembang ke mana. Jadi saya tidak fikir soal ahli kelas dua ini berbangkit," kata Mujahid.

Mujahid yakin, dengan masuknya orang bukan Islam ke dalam PAS ini akan melahirkan satu suasana perhubungan yang baru dalam masyarakat negara ini khasnya dalam PAS sendiri.
Hubungan antara kaum tidak akan menjadi entnocentrik lagi tetapi akan menjadi multicentrik.

Apabila ini berlaku, tidak akan berlaku lagi soal perkauman dan racist di kalangan masyarakat dan perpaduan yang sebeginilah yang hendak dicapai, kata beliau.

Wednesday, November 12, 2008

Bukan Islam boleh jadi ahli PAS

Hasrat untuk membolehkan orang bukan Islam menyertai PAS bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila retreat PAS di Langkawi meluluskan kertas pelaksanaannya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, "ia patut disegerakan" manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, "sudah sampai masanya."

Laporan penuh dalam Siasah minggu ini.

Saya nafikan, kata Khairy Jamaludin

Buat pertama kalinya, calon Ketua Pemuda Umno sedia ditemuramah Siasah. Dalam temuramah eksklusif ini, Khairy Jamaludin Abu Bakar menafikan pelbagai jenis dakwaan terhadap beliau.

Antaranya:-


* Aktif politik kerana menantu PM

* Bahagikan projek kepada Pemuda Umno

* Tuduhan Tun Dr Mahathir


Wawancara penuh dalam Siasah minggu ini.

Sikap PAS terhadap perpaduan

PAS mengikuti perkembangan mutakhir dalam isu dan persoalan yang membabitkan kepentingan Perpaduan Nasional.

Perkembangan terkini menggambarkan ketidakpuasan hati kaum lain melalui kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan parti-pari politik samada dari komponen BN ataupun dari Pakatan Rakyat.

Isu kenyataan tentang pertikaian fakta sejarah, tuntutan kuaota 30% pemilikan korporat untuk bumiputera dan perlantikan Pengurus Besar PKNS bukan dari orang Melayu.

Begitu juga sebaliknya kenyataan yang menyinggung masyarakat bukan Melyu telah menimbulkan berbagai perspektif yang boleh menggugat perpaduan sekaligus kestabilan politik negara.

PAS menyeru supaya semua pihak mengawal emosi masing-masing dan melihat perspektif yang lebih besar dari kepentingan politik perkauman. Sepatutnya konsensus terhadap Kontrak Sosial, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi penghayatan yang perlu ditajdidkan maknanya untuk kepentingan semua rakyat Malaysia.

Oleh itu Lujnah Perpaduan Nasional ingin mencadangkan kepada semua pihak langkah berikut;

1. Kita harus mengecam diri kita sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat dan mempunyai susurgalur budaya dan sejarahnya yang tersendiri. Pengecaman kepada kaum dan identiti budaya masing-masing hanya akan meningkatkan lagi ketaksuban dan sentiment perkauman.

2. Hindari syak wasangka dan mentaliti ethno-centric yang sentiasa mengundang konflik sosial samada secara sembunyi atau nampak yang melihat kaum lain dengan kacamata kebencian dan permusuhan.

3. Hayati kontrak sosial sebagai satu toleransi yang asasnya meletakkan Raja Melayu, Agama Islam dan orang Melayu sebagai asas kepada terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia. Dengan pemahaman ini masing-masing akan lebih peka dalam menyampaikan apa sahaja pandangannya yang membina untuk negara.

4. Perlembagaan Persekutuan adalah semangat yang memandu apa sahaja transformasi politik hari ini supaya tidak tersasar niat dan semangat patriotik kita sebagai warganegara yang bertangungjawab kepada negaranya.

5. Pembentukan negara kita mestilah dengan acuan kita, pandangan dan pendapat dari luar tidak boleh diciplak secara totok tanpa kesesuaian dengan proses yang unik yang dilalui oleh negara kita.

6. Penghormatan kepada Islam sebagai agama resmi persekutuan negara hari ini seharusnya menjadi nilai paling supreme kepada seluruh warganegara Malaysia dengan tidak menyekat kebebasan menganut agama lain.

Lujnah Perpaduan Nasional yakin dengan langkah ini, keruncingan dari masalah perkauman hari ini dapat diselamatkan apatah lagi selama ini negara kita diperintah dengan hegemoni BN yang menyalahgunakan kerangka dan asas negara untuk tujuan kepentingan sempit politik perkauman yang mereka amalkan.

Sekian

Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS
Ahli Parlimen Malaysia.
5/11/08

Tuesday, November 11, 2008

Demonstrasi bantah ISA di Petaling Jaya

Foto oleh AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Gambar sekitar demonstrasi membantah ISA dan sokongan kepada pengendali blog, Raja Petra Kamaruddin yang baru dilepaskan atas perintah mahkamah baru-baru ini.

Demonstrasi disertai sekitar 200 orang diadakan di Petaling Jaya, bermula di hadapan bangunan Amcorp Mall dan berakhir di dataran Majlis Perbandaran Petaling Jaya, dengan penahanan 23 orang perserta demonstrasi.

Pihak polis telah membebaskan semua tahanan kecuali seorang yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes rogol.

Dua wakil rakyat DAP, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Adun Kampung Tunku Lau Wen Seng dalam sidang media di Parlimen semalam mendakwa polis bertindak kasar terhadap mereka dalam usaha menyuraikan perhimpunan itu.

Friday, November 7, 2008

PAS mula perkasa tarbiyyah



JERANTUT: PAS memulakan program untuk memperkasakan kembali program terbiyyah kepada ahli-ahlinya - satu usaha yang dilihat untuk mengurangkan banyak masalah yang melanda parti itu.

Lebih satu dekad lalu program terbiyyah PAS dikatakan semakin kurang diberi perhatian oleh pengikut parti itu, satu tempoh yang menyaksikan keahlian PAS bertambah berkali ganda dengan penyertaan daripada pelbagai golongan masyarakat.


Justeru memperkasakan kembali tarbiyyah dikalangan pengikut-pengikut PAS diyakini faktor penting sebagai persediaan dalaman untuk menghadapi cabaran semasa dan kelangsungan daya tahan parti.

"PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 bertahan sehingga ke hari ini kerana apa? Tarbiyyah..." kata Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa dalam Konvensyen Tarbiyyah peringkat negeri Pahang.

"Tapi hari ini saya percaya ada kawasan yang sudah tidak menjalankan usrah (salah satu dari pengisian tarbiyyah) lagi," tambah beliau.

Selain usrah iaitu satu bentuk perbincangan berkumpulan dikalangan ahli PAS biasanya dibuat secara bulanan, pengisian lain yang popular dalam program tarbiyyah PAS ialah tamrin dan mukhayyam.

Nasharuddin merupakan pengerusi Lujnah Tarbiyyah PAS, satu jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - kini memulakan usaha memperkasakan kembali elemen yang dikatakan kunci kekuatan PAS itu.

Setakat ini dilaporkan tiga negari telah selesai mengadakan pusingan pertama Konvensyen Tarbiyyah, program ini akan dilaksanakan keseluruh negara di mana menglibatkan Presiden dan Timbalan Presiden sendiri sebagai pembentang kertas kerja.

Dua timbalan kepada Nasharuddin telah dilantik iaitu Idris Ahmad dan Abu Bakar Chik yang akan melaksanakan peranan masing-masing bagi memastikan nafas baru kepada program tarbiyyah.

Thursday, November 6, 2008

Ekonomi: Najib - Anwar dicadang berdebat



KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mencadangkan debat terbuka mengenai belanjawan negara antara Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jika Najib merasa beliau tidak cukup masa dan kesempatan untuk memberi ruang pembangkang meminta penjelasan darinya di dalam Dewan Rakyat, satu debat terbuka mengenai belanjawan boleh diadakan antara beliau serta dua wakil di pihak Barisan Nasional (BN) dengan Anwar serta wakil dari PAS dan DAP di pihak Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Debat tersebut boleh dibuat di mana sahaja yang dipersetujui oleh Najib termasuk menggunakan kemudahan di Dewan Rakyat sendiri di luar waktu persidangannya dan disiarkan secara langsung untuk dinilai oleh rakyata, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Sebagai tokoh yang akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, hentikanlah sikap jaguh kampung yang hanya berani membidas dan mengecam di belakang pembangkang tetapi tidak berani berbahas secara berhadapan mengenai belanjawan negara," kata Mahfuz.

Beliau juga meminta Najib menghentikan pelbagai dakwaan mengenai ekonomi negara.
"Najib terus-menerus membuat pelbagai kenyataan bercanggah mengenai ekonomi Malaysia.

"Sekejap kata Malaysia tidak akan terjejas, selepas itu kata Malaysia juga akan turut menerima kesan kemelut ekonomi dunia. Satu ketika mendakwa Malaysia mempunyai fundamental kukuh, selepas itu nak gunakan pula lagi RM7 bilion untuk menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Najib seperti orang yang terpinga-pinga," katanya lagi.

Paling akhir, Najib tampil dengan dakwaan kononnya Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.

Dakwaan itu bertentangan dengan jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff yang menjangkakan peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.
Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya pula mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998

Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.

Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.
Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

Wednesday, November 5, 2008

Raja Petra bebas

Raja Petra Kamarudin dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam petang tadi selepas mahkamah mendapati dia ditahan tanpa mengikut lunas undang-undang yang betul.

Bicara kes Anwar kekal di Mahkamah Sesyen

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbicaraan tuduhan sodomi ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan di mahkamah itu.

Hakim M Komathy Suppiah membuat keputusan itu dengan menolak permohonan pendakwaraya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dengan berkata, arahan perpindahan oleh Peguam Negara tidak sah.

Mahkamah menetapkan perbicaraan akan bermula Jumaat 14 November depan.

Sebelum ini, peguam Anwar membantah arahan perpindahan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana ia ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang didapati bercanggah kepentingan dengan kes Anwar itu.

Apakah Raja Petra akan benar-benar bebas selepas ini

SHAH ALAM, 7 Nov: Selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, keluarga dan rakan-rakan tahanan ISA, Raja Petra Kamarudin tertanya-tanya apakah beliau akan benar-benar bebas.

Ini kerana, Raja Petra dikatakan sasaran sebenar ketika kerajaan menahan tiga orang di bawah ISA baru-baru ini.

Selain Raja Petra, dua lagi tahanan ISA bersama beliau adalah Exco kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Hong Cheng hanya ditahan beberapa jam manakala Teresa tidak sampai sebulan. Ketiga-tiga mereka ditahan pada 13 September lalu.

Raja Petra ditahan kerana didakwa menulis dan menyiarkan tulisan yang dikatakan menghina Islam.

Menurut sumber Siasah, Raja Petra adalah sasaran sebenar ISA kerana tulisannya benar-benar menyusahkan timbalan perdana menteri yang kini telah memenangi jawatan presiden Umno tanpa bertanding.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad hari ini membebaskan Raja Petra melalui tuntutan harbeus corpus dan mengarahkan dia dibawa ke mahkamah jam 4.30 petang ini untuk dibebaskan.

Perkuatkan rangsangan ekonomi pada negeri-negeri

Oleh Husam Musa

Di celah krisis ekonomi sedunia, apakah yang perlu dirangsangkan?

Ciri-ciri krisis ini antara lain ialah matawang turun naik tak menentu. Ringgit melemah. Ada pihak meramal ringgit turun sampai RM 3.80 berbanding satu USD. Import akan menjadi mahal. Inflasi akan naik kecuali negara dapat mengeluarkan gantian import melalui ransangan pengeluaran keperluan kita dalam negara.

Yang perlu dirangsang ialah peningkatan penggantian import dan pengeluaran domestik.Pasaran saham merudum. Bank mungkin terjejas bila pinjaman tak berbayar meningkat mendadak sama seperti kita pernah alami sekitar 90an. NPL akan menggoncang bank-bank sekali lagi.

Ekonomi melembab. Harga komoditi turun. Kesannya, pendapatan rakyat menurun. Pengganguran meningkat. Hasil negara turut terjejas.

Jangkaan Najib bahawa hasil negara tahun 2009 berkurangan hanya RM8 billion saja tentunya tak benar. Paling tidak, dengan kejatuhan harga minyak mentah, sawit dan getah, hasil negara 2009 berkurangan sekitar RM 20 billion atau lebih.

Yang perlu dirangsang ialah pewujudan peluang kerja produktif. Juga pengunaan alternatif komoditi utama kita.

Kenapa tak fikirkan kemudahan canggih dan lengkap untuk industri perikanan di Pantai Timur dan Malaysia Timur? Hasil laut kita sebahagian besar kini didaratkan di Thailand dan kita mengimport ikan yang ditangkap di perairan kita sendiri kerana kita tidak mempunyai rangsangan yang cukup dan lengkap untuk sebuah pembangunan industri perikanan yang sempurna. Aneh tapi benar.

Rangsangan yang diumumkan Najib lebih berunsurkan rangsangan politik - rumah dan sekolah(pendidikan). Lagi-lagi pengangkutan awam. Saling tak tumpah seperti pre emptive strike yang pernah dilancarkan Tun Mahathir yang berakhir dengan pembinaan sekolah rendah seakan kampus universiti di tengah hutan belantara.

Setengahnya, bumbung makmal komputer runtuh dan seribu satu macam jenaka dan sandiwara lagi. (Pre emptive itu dijadikan peluang kroni tertentu mendapat projek).

Ia tak menggambarkan daya kreativiti Najib sebagai Menteri Kewangan dinamik menggantikan Menteri sebelumnya. Stimulus amat ala kadar tanpa falsafah kukuh mendasarinya.

7 bilion (cadangan baru) dicampur 5 bilion (dari KWSP) untuk pasaran saham, RM12 bilion. Kita bimbang, wang habis, ekonomi tetap kuyup. Nanti kita kena berbelanja lagi.

Jika setiap negeri diberi peluang merangka program rangsangan ekonomi masing-masing selari dengan keperluan negara dan diberikan peruntukan RM 200 juta setiap negeri, kita hanya perlukan 2.6 billion saja dan saya yakin, kesannya berlipat ganda kerana Negeri lebih memahami apa yang berkesan untuk negeri masing-masing. Umpamanya perumahan.

Ia boleh menjadi rangsangan aktiviti ekonomi di negeri tertentu tetapi mungkin menambah 'bubble' pada negeri tertentu.

Tiba masanya stimulus seperti ini di 'empower' (diperkuatkan) sama kepada negeri-negeri. Rangsangan baru, bukan rangsangan lama diulang tayang berkali-kali.

Tahniah Barack Obama - PAS

Oleh SALMA HUSIN

KOTA BHARU, 5 Nov: Mursyidul Am PAS menyifatkan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini merupakan satu perkembangan baru politik dunia.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Amerika menolak cara agresif George W Bush yang sebelum ini menindas dengan rakus negara-negara umat Islam.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujarnya sebagai reaksi pertama ekoran kemenangan Obama yang kini menghampiri White House.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini, Rabu lalu.

Di Washington Senator Barack Obama berjanji kepada rakyat Amerika Syarikat akan membawa negara itu ke era baru yang diharapkan semua pihak.

Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House setelah ditunggu dalam tempoh begitu lama.

"Pilihan raya itu merupakan satu detik yang bermakna ke arah perubahan Amerika," kata Obama ketika berucap pada kemenangannya di hadapan kira-kira 240,000 penyokongnya di Chicago Rabu lalu.Manakala lawannya Mc Cain mengaku kalah dalam pemilihan tersebut.

Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini Amerika telah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dunia ekoran tindakan agresif yang akan diteruskan McCain dari Parti Republikan.

"Bush sebelum ini 'minum' darah dengan melancar peperangan di Afghanistan, Iraq, Palestin dengan menggunakan kuasa tenteranya," ujar beliau.

Beliau juga mencadangkan Obama menolak fahaman membezakan warna kulit seseorang, sebaliknya dilayan dengan sama rata.

Beliau berkata, semua bangsa di dunia ini sama ada mereka berkulit putih atau hitam sama di sisi Allah, dan apa yang membezakan antara mereka ialah ketaqwaan terhadapNya.

"Sekarang rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin kulit hitam dan diharap selepas itu serangan terhadap umat Islam juga berakhir tidak sebagaimana dilakukan Bush," ujarnya.

Beliau juga berharap perubahan ke arah itu benar-benar berlaku dan tidak menjadikan Islam sebagai musuh .Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa turut mengucapkan tahniah kepada Obama yang kini mendahului kemenangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Menurutnya, kemenangan Obama membuktikan rakyat Amerika sendiri menolak pemimpin yang angkuh serta tidak menerima pandangan rakyatnya.

Katanya, sebelum ini Bush begitu angkuh dengan mengenepikan pandangan orang lain terutamanya pemimpin negara umat Islam.

"Jadi kita berharap Obama tidak meneruskan gaya berkenaan, sebaliknya lebih bersikap tolak ansur dan berperikemanusiaan," ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...