Friday, December 26, 2008

Pemuda PAS cadang semua bergabung bantah PPSMI

KUALA LUMPUR 26 Dis: Dewan Pemuda PAS mencadang agar semua pihak yang membantah perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) dalam Bahasa Inggeris bergabung bagi menghasilkan tindakan yang berkesan.

Mereka beranggapan sudah sampai masanya individu dan NGOs ini memperkukuhkan hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah ke tahap kedua bantahan ini.
Demikian kata Suhaizan Kayat (gambar), Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Pusat dalam satu kenyataannya kepada Siasah.

Katanya, Pemuda PAS telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah.

"Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini," katanya mengulas tindakan saman yang hendak diambil oleh Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Bagi mengajar orang-orang politik, katanya, pendekatan sekadar bantahan dalam persidangan yang kemudiannya dikeluarkan dalam media ini sudah tidak sesuai lagi.

Orang politik sangat faham bahawa selagi bantahan ini tidak menggugat undi mereka dalam pilihanraya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agong parti mereka maka selagi itulah mereka tidak akan berganjak, katanya.

Tapi, katanya, orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang di luar medan persidangan.

Individu dan NGOs ini pula, katanya, perlu lebih agresif lagi termasuk melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana impak negatif PPSMI ini lebih terkesan kepada pelajar-pelajar di sana.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Gabungan Penulis Nasional (Gapena) khususnya Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein selaku Ketua 1 Gapena yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik," kata Suhaizan.

Sebelum ini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, seorang peguam kanan (bekas Pengerusi MAS) telah menyatakan bahawa perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) bercanggah dengan undang- undang negara.

Tafsiran Tan Sri Aziz Abdul Rahman bahawa “maksud bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi” dalam Perkara 152 Perlembagaan negara turut merangkum bidang pendidikan sebagai bidang urusan rasmi negara. Undang-undang negara yang secara khusus dan secara terang-terangan dilanggar ialah Akta Pendidikan 1996 (Perkara 17(1)) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini.

Kementerian Pelajaran pula telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak. Malangnya, kata Suhaizan, tujuh pilihan yang dirumuskan dalam pertemuan meja bulat pada 16 Disember 2008 itu kabur dan mengelirukan sehingga boleh menyusahkan ibubapa dan pelajar-pelajar selepas ini.

PPSMI ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2003 hinggalah sekarang.
Beratus-ratus bantahan telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor, Pemuda PAS dan lain-lain lagi.

Ramai individu pula telah memberi pandangannya termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Bin Yatim; Bekas Menteri Besar Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Muhammad Khair Toyo; Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Fuad Zarkasi; bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Bekas Menteri Pendidikan, Tun Abd Rahman Yaakob; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hassan Ahmad Datuk Dr Zainal Kling; Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein; Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi.

Malangnya, pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah yang positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, kata Suhaizan.

Menurut Suhaizan, pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini dan tidak mustahil ISA akan digunakan.

"Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini?" kata beliau.

3 comments:

aisal said...

Sahabat...

Tgk tu saudara, UMNO ni bkn setakat hukum ALLAH dia x nk..hukum dn perlembagaan yg dia gubal sndri pun dia x nk ikut...

Impaknya lahirlah rakyat yg MELAMPAU dgn HUKUM ALLAH dn lemban dgn pemikiran dunia. Mereka ini sebenarnya mangsa yg dianayai. Bukan shja di dunia malah di pesongkan utk akhirat...Nauzibillah

TokBatin X said...

Cerita2 nak buat kecoh jer. Biler ler gak nyer dunia na' aman. 'Tuhan' cuba dikawal olih penganut2 ugama nafsu.

'Tuhan' tu memiliki bukan dimiliki

aisal said...

" MEMILIKI " seluruh alam semesta dn segala hukum hakam di dunia...Tp ada penganut Tuhan yg "TIDAK MAHU DIMILIKI TUHAN"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...