Saturday, November 30, 2013

PAS tidak perlu apologetik muzakarah dengan Umno

Tanpa sebarang sebab yang jelas, PAS yang mengambil ketetapan mahu bermuzakarah dengan Umno menunjukkan sikap apologetik yang berlebihan apabila menjelaskan yang muzakarah ini bukan bertujuan menyertai Barisan Nasional.

Umumnya, PAS menunjukkan persetujuan atas cadangan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk mengadakan muzakarah isu-isu penting melibatkan agama dengan Umno.

Tetapi, akibat dibayangi kisah lama kecaman luar biasa terhadap pemimpin-pemimpin yang dituduh mahu bersama Umno, dan penyalahgunaan istilah muzakarah (yang disebut sebagai promuzakarah dan digunakan media liberal, contohnya The Nut Graph, Malaysiakini dan Malaysian Insider), PAS kini terpaksa meminta maaf dan bersusah payah memberi justifikasi muzakarah.

Malang sekali, ramai ahli PAS sendiri menggunakan label ini sesama ahli untuk memburukkan kumpulan lawan.

Muzakarah ialah ketetapan parti yang pernah digerakkan, tetapi terhenti akibat kemunculan satu sentimen yang tidak terkawal dan dikaitkan terus sebagai agenda bergabung dengan Umno, sehingga istilah muzakarah itu sendiri diselewengkan.

Salah tafsir itu begitu berleluasa hingga mencetuskan fitnah. Sebarang pertemuan dengan mana-mana pemimpin Umno, walaupun dalam kapasiti sebagai wakil pemerintah, dinilai secara sangat negatif.

Tidak lama selepas istilah promuzakarah dijadikan kod untuk kelompok yang didakwa mahu bergabung dengan Umno, istilah "pro-UG" pula digunakan, dengan UG daripada singkatan kerajaan perpaduan (yang juga disalah tafsir sebagai agenda bersatu dengan Umno) dalam bahasa Inggeris dijadikan kata kunci.

Permainan politik murahan ini kini kembali menyusahkan PAS dan menyebabkan tindakan meminta maaf yang tidak berasas ini.

Sebenarnya cukup dengan PAS menyatakan ketegasan tentang parameter perbincangan, topik dipersetujui dan matlamat pertemuan diadakan.

Terlalu jauh muzakarah dengan menyertai BN. Muzakarah ialah pertemuan untuk membincangkan isu-isu yang dipersetujui, yang sewajarnya dilakukan sepanjang masa, seperti juga dialog dengan pelbagai pihak untuk tujuan dakwah.

Sikap terlalu memandang negatif Umno dan mengelak daripada bertemu atau dilihat bertemu dengan pemimpin Umno sangat tidak rasional, lebih-lebih lagi dalam sistem politik Malaysia, dan membataskan ruang dakwah yang selalu disebut sebagai satu tugas PAS.

Kedua-dua PAS dan Umno ditunjangi oleh orang Melayu, kaum dominan yang beragama Islam di negara ini, dan kedua-dua parti sentiasa terdedah kepada persaingan dan kerjasama.

Kenyataan daripada PAS menjelaskan hal ini mendedahkan psikologi yang sering dilihat pada orang yang bersalah, yang terus menjelaskan sesuatu walaupun tanpa ditanya terlebih dahulu.

Thursday, November 28, 2013

Ulama PAS dan cabaran Islam liberal

Oleh HARIS ZALKAPLI

Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib semasa membaca doa penutup pada majlis perasmian Muktamar PAS ke-59 pada Jumaat lalu, menyertakan doa meminta supaya PAS dibantu untuk menghadapi musuh, dalaman dan luaran.

Ungkapan itu segera mendapat perhatian sesetengah perwakilan, yang menganggap hal itu merupakan satu isu kritikal yang perlu diambil perhatian oleh ahli.

Hari sebelumnya, di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam, muktamar Dewan Ulama meluluskan usul mengenai "pemikiran Islam liberal dan pluralisme yang menyesatkan," menyentuh aktiviti beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang disifatkan sebagai gerakan yang menyebarkan fahaman Islam liberal.

Usul itu menumpukan pada sebuah pertubuhan, Islamic Renaissance Front, IRF, yang aktif menggerakkan wacana pemikiran dan juga menerbitkan buku, salah satunya Wacana Pemikiran Reformis, yang disifatkan seorang aktivis Dewan Ulama, Muhammad Atiullah Othman sebagai mempersembahkan "ide-ide yang kufur."

Usul tersebut, yang dibawa oleh Dewan Ulama PAS Negeri Perak, menegaskan, "PAS sebagai parti yang memperjuangkan dasar dan pemikiran Islam, wajiblah menghadapi IRF ini dengan tegas."

Turut ditegaskan ialah menuntut supaya seluruh pemimpin dan ahli PAS menentang ide-ide Islam liberal dan pluralisme agama "dengan segala kudrat yang ada."

Perkembangan ini dapat diperhatikan dalam PAS, terutama sejak beberapa tahun lalu, apabila Dewan Ulama mula memperhatikan dan cuba menangani fahaman-fahaman seperti itu dengan lebih agresif.

Ancaman yang disebut ketua Dewan Ulama itu, tidak menjadi rahsia lagi merujuk kepada kebimbangan ulama dalam PAS berhubung berleluasanya aliran pemikiran yang liberal dan tidak selari dengan tafsiran Islam yang diterima PAS.

Pemikiran ini, menurut sesetengah pihak dalam PAS, telah turut sama melibatkan beberapa pemimpin dalam PAS sendiri, yang dinilai daripada beberapa kenyataan pemimpin terbabit.

Untuk menangani pemikiran yang menyeleweng itu, ulama telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Audit Syariah untuk memastikan pemimpin-pemimpin PAS mematuhi ketetapan syarak, walaupun ada yang mendakwa mekanisme itu ditubuhkan berdasarkan kepentingan politik kelompok, dengan mensasarkan pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengan ulama.

Kebimbangan terhadap aliran pemikiran Islam liberal, dalam pelbagai variasinya, semakin meningkat dalam kalangan ulama dalam PAS sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selari dengan perkembangan melibatkan penyebaran pemikiran liberal bersumber Barat di negara ini.

Muhammad Atiullah, yang muncul di media dan program-program parti, turut mengaitkan beberapa pemimpin PAS dengan aliran Islam liberal, ekoran hubungan rapat dan tindakan yang dinilai sebagai sokongan moral kepada aktivisme dan wacana kumpulan yang dikaitkan dengan ideologi itu.

Beliau secara terbuka mendesak Dr Mujahid Yusof menarik balik tindakan yang dilihat sebagai sokongan kepada pemikiran Islam liberal, melalui penglibatan dalam aktiviti IRF. 

Wacana mengenai beberapa isu melibatkan Islam yang semakin hangat sejak kebelakangan ini semakin menampakkan kebangkitan kelompok liberal.

Isu kalimah Allah, hudud, dan pelbagai lagi hal melibatkan Islam semakin terdedah kepada kritikan dan tafsiran jauh berbeza oleh pelbagai kumpulan, sama ada dianggotai aktivis Muslim dan bukan Muslim.

Tuntutan kebebasan, seperti melibatkan homoseksual juga semakin vokal dan diadakan secara terbuka, sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat terutama umat Muslim.

Isu-isu yang sebelum ini dibincang secara tertutup dan senyap-senyap kini dipersembahkan secara terbuka dan dibawa bersama wacana hak asasi manusia, dan semakin mudah dilihat di ruang arus perdana.

Ini memperlihatkan kehadiran fahaman-fahaman seperti liberalisme itu di sini, dan memaksa PAS sebagai sebuah gerakan Islam menanganinya, hal yang telah diperlihatkan oleh sikap yang ditunjukkan oleh Dewan Ulama itu.

Perkembangan terbaharu ini, yang digambarkan oleh doa ketua Dewan Ulama dan usul menangani Islam liberal oleh dewan itu dalam muktamarnya, menunjukkan satu kesedaran baharu menangani cabaran semasa ini. -  November 23, 2013

Sunday, November 24, 2013

Pemilihan Pemuda PAS: Undi mengikut kumpulan, tetapi populariti masih pilihan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Kemenangan Suhaizan Kaiat dalam persaingan jawatan ketua Pemuda PAS dalam pemilihan baru-baru ini memperlihatkan pemilihan merentasi kumpulan oleh para perwakilan bagi jawatan tertinggi dewan itu..

Walaupun ramai menjangkakan Kamaruzaman Mohamad akan menang bersama dengan gandingan Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Khairil Nizam Khirudin, Suhaizan Kaiat - yang diletakkan bersama Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi - berjaya mendapat undi mengatasi pesaingnya.

Kemenangan Suhaizan yang tipis, pada masa sama Muhammad Khalil dan Khairil Nizam mendapat undi yang tinggi, memperlihatkan campuran antara kedua-dua gandingan, dan menunjukkan perwakilan tidak memilih berdasarkan kumpulan semata-mata, tetapi turut dipengaruhi penilaian lain dalam mempertimbangkan Suhaizan.

Suhaizan mendapat 320 undi, 13 undi mengatasi pesaing utama Kamaruzaman yang memperolehi 307 undi. Dalam persaingan timbalan ketua, Muhammad Khalil mendapat 355 undi, jauh mengatasi Raja Ahmad yang dipilih oleh 282 perwakilan, perbezaan sebanyak 73 undi. Bagi jawatan naib ketua, Khairil Nizam pula memperolehi 411 undi, juga jauh mengatasi pesaingnya sebanyak 185 undi, Ahmad Zamri yang mendapat 226 undi.

Secara umumnya, Suhaizan, Raja Ahmad, dan Ahmad Zamri mewakili satu kumpulan dan bersaing dengan Kamaruzaman, Muhammad Khalil dan Khairil Nizam yang dilihat mewakili kumpulan agamawan dan mendukung gagasan kepimpinan ulama, yang ditafsirkan sebagai ketetapan tokoh menjawat jawatan-jawatan tertinggi timbalan dan presiden perlu daripada kalangan pemimpin yang berkelayakan ulama.

Kemenangan Suhaizan memberi petunjuk bahawa rekod dan kehadiran nasional beliau menjadi faktor dipilih oleh perwakilan, dan menunjukkan selera Pemuda PAS yang mahukan aktivis yang agresif seperti beliau mengetuai Pemuda.

Suhaizan sejak beberapa tahun lalu dirasai kehadirannya di peringkat nasional, walaupun kegiatan lajnah agak terhad disebabkan pembahagian kegiatan dengan negeri Johor, yang beliau mengetuai Pemudanya penggal lalu.

Beliau bertanding jawatan timbalan ketua dalam pemilihan kepimpinan Pemuda penggal lalu tetapi tewas kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Selepas itu, beliau mengekalkan kehadiran dalam Pemuda di peringkat pusat, satu faktor yang mungkin menyumbang kepada kejayaan beliau mengekalkan populariti hingga pada pemilihan kali ini.

Hal ini juga menunjukkan kejayaan kempen yang digerakkan oleh Suhaizan, terutama melalui program-program wacana yang diadakan di seluruh negara oleh sekumpulan penyokong kuat dan penggerak kempennya semasa musim kempen.

Suhaizan aktif menyertai wacana-wacana yang diadakan menjelang pemilihan, yang tidak disertai oleh Kamaruzaman.

Mood semasa sejumlah besar perwakilan menyokong usul mempertahankan kepimpinan ulama memperlihatkan satu petunjuk keputusan pemilihan Pemuda kali ini, yang diatasi oleh Suhaizan melalui kemenangannya.

Menjelang muktamar, mood Pemuda menunjukkan penguasaan kecenderungan menegaskan kepimpinan ulama apabila beberapa negeri termasuk Selangor dalam pemilihan peringkat negeri menyaksikan dominasi aliran agamawan.

Persaingan ide juga berlangsung dengan hangat di dunia siber, dengan kedua-dua aliran mengemukakan gagasan masing-masing dengan agresif melalui blog-blog dan laman-laman sosial.

Perkembangan itu dinilai sebagai satu petunjuk besar yang aliran menyokong kepimpinan ulama bakal mencorakkan pemilihan kepimpinan baharu Pemuda.

Kemenangan Suhaizan bakal menjadikan kepimpinan baharu Pemuda penggal terkini dibentuk oleh gabungan kedua-dua aliran dalam Pemuda, yang kedua-duanya memperlihatkan penegasan sikap dan kempen yang agresif.

Suhaizan menduduki posisi tertinggi sebagai ketua Pemuda, tetapi barisan kepimpinan Pemuda dibarisi pemimpin-pemimpin aliran menyokong kepimpinan ulama, daripada timbalan kepada naib hingga kepada barisan ahli jawatankuasa.

Aliran mendukung kepimpinan ulama merupakan majoriti dalam barisan ahli jawatankuasa seramai 12 orang yang dipilih, termasuk ahli Majlis Syura Ulama, Zaharuddin Muhammad, yang sering berdepan kritikan keras daripada kem lawan disebabkan pendiriannya mendukung kuat gagasan kepimpinan ulama.

Ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendapat undi sebanyak 433 undi, Syed Abdul Kadir Syed Hussin al-Joofre, juga mendapat 433 undi, Ahmad Fadhli Shaari (417), Mohd Syahir Sulaiman (415), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (404), Zaharuddin Muhammad (379), Ahmad Yahya (377), Wan Mohd Faizul Salleh (371), Dr Mohd Fadli Ghani (359), Nurul Islam Mohamed Yusoff (355), dan Mohd Sany Hamzan (340).

Hal ini berpotensi untuk memaksa kompromi dan kerjasama lebih harmonis melibatkan kedua-dua aliran, yang diwakili Suhaizan dan kelompok pendukung kepimpinan ulama.

Suhaizan walau bagaimanapun, dalam ucapan sulungnya sejurus menang jawatan ketua Pemuda cuba mendamaikan dan menunjukkan usaha kembali merapatkan saf, dan menunjukkan keghairahan untuk meningkatkan tarikan Pemuda PAS, dengan mengajak Pemuda menjadi lebih inklusif.

Keputusan pemilihan kali ini, yang menyaksikan persaingan sengit dan hasil kemenangan pemimpin-pemimpin gabungan dua aliran yang bersaing akan menjadikan kepimpinan penggal kali ini sangat menarik untuk diperhatikan. - November 22, 2013

Thursday, November 21, 2013

Endorsmen SiasahDaily, Mohd Amar untuk timbalan presiden PAS

Kempen untuk pemilihan PAS kali ini berjalan dengan rancak, dengan persaingan sengit dijangka sejak awal lagi.

Penilaian dari pelbagai sudut telah dibuat berhubung prospek dan prestasi calon-calon yang bertanding.

Berikut endorsmen daripada SiasahDaily untuk jawatan-jawatan tertinggi yang dipertandingkan, melibatkan timbalan presiden, naib presiden dan ketua, timbalan dan naib ketua Dewan Pemuda PAS.

TIMBALAN PRESIDEN

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar mengatasi penyandang Mohamad Sabu dari beberapa sudut penting, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, kemampuan akademik dan keterampilan seorang pemimpin jawatan tinggi seperti timbalan presiden. Walaupun dilihat sebagai kurang berpengalaman politik nasional berbanding penyandang, kekurangan ini tidak ketara dan boleh dibina melalui pengalaman, dan peralihan daripada pemimpin lama kepada pemimpin baharu wajar diterima sebagai satu proses perubahan untuk meningkatkan prestasi parti. Tanpa menafikan sumbangan yang telah diberikan oleh Mohamad, Mohd Amar kelihatan mempunyai potensi dan kelayakan untuk menjawat jawatan timbalan presiden PAS, dan menanggung tugas dan tanggungjawab sebagai bakal pemimpin tertinggi parti.

NAIB PRESIDEN

1. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim kini menjadi calon pilihan ramai ahli untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden, malah sebelum ini disebut-sebut sebagai calon timbalan presiden. Tuan Ibrahim tidak menampakkan kecenderungan kumpulan atau faksi dalam parti, satu faktor yang penting dalam memelihara kestabilan. Beliau telah menunjukkan kemampuan melaksanakan tugas penerangan, walaupun banyak pihak melihat perlu beliau menjadi lebih aktif dan agresif. 

2. Datuk Husam Musa
Apa pun persepsi ramai tentang Husam pada masa ini, beliau satu-satunya pemimpin yang berkelayakan tinggi dalam kalangan naib presiden. Husam berjasa dalam menggerakkan dan meningkatkan profil kempen seperti royalti minyak Kelantan, dan mempunyai pengikut yang aktif, walaupun sebahagiannya mencetuskan rasa kurang senang kerana beberapa tindakan yang tidak beretika. Husam juga memperlihatkan keterampilan sebagai seorang pemimpin.

3. Datuk Abu Bakar Chik
Abu Bakar mewakili kelompok yang kuat mendokong gagasan kepimpinan ulama dalam parti, gagasan yang penting kepada PAS dalam mengukuhkan kekuatan parti dan terus mendapat sokongan kuat ahli-ahli akar umbi. Beliau ialah seorang pemimpin berpengalaman dalam PAS, melalui tempoh mencabar semasa PAS tidak sepopular hari ini dan salah seorang pemimpin yang melonjakkan Pemuda semasa di bawah kepimpinannya.

KETUA PEMUDA

Suhaizan Kaiat
Suhaizan telah menunjukkan prestasi baik sejak beberapa tahun lalu sebagai tokoh yang memimpin pelbagai aktiviti bersama aktivis dalam dan luar parti. Suhaizan mempunyai kemampuan bekerja bersama dan membina rangkaian yang efektif bersama aktivis dalam isu-isu nasional. Beliau memiliki populariti dan menunjukkan prestasi yang baik dalam mengangkat isu ke peringkat nasional. Mempunyai kelebihan pengalaman dan diterima ramai di dalam dan luar parti.

TIMBALAN KETUA PEMUDA

Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
Raja Ahmad mempunyai kelebihan pengalaman berbanding pesaingnya, menjawat jawatan naib ketua sejak sepenggal lalu dan mengendalikan lajnah antarabangsa dengan cemerlang. Walaupun dilihat sebagai terlalu cenderung untuk mengkritik Umno dalam kenyataan-kenyataan medianya, beliau sejak kebelakangan ini menunjukkan ketegasan dalam isu melibatkan pertembungan parti dengan pemimpin DAP, Karpal Singh. Raja Ahmad turut mempunyai kelayakan tinggi dan telah menunjukkan keterampilan sebagai pemimpin Pemuda.

NAIB KETUA PEMUDA

Khairil Nizam Khirudin
Khairil Nizam ialah antara pemimpin Pemuda yang mendokong gagasan kepimpinan ulama, dan menjadi salah satu suara yang tegas mempertahankan presiden parti berdepan kecaman berhubung isu pertandingan di kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, yang yang terbaharu isu fitnah akhbar The Star terhadap mangsa keganasan di Memali, isu yang amat sensitif kepada PAS. Khairil Nizam menunjukkan keberanian sebagai seorang pemimpin Pemuda, mempunyai pengalaman dan kelayakan untuk menjawat jawatan naib ketua.


Monday, November 18, 2013

Mungkinkah berlaku perang merebut sumber air?

Oleh BRAHMA CHELLANEY

Dalam dunia yang semakin merosot bekalan air, sumber air yang dikongsi menjadi satu alat kuasa, mewujudkan persaingan di dalam dan antara negara serta memberi kesan segera kepada ekosistem.

Sidang Kemuncak Air Budapest tidak lama dulu merupakan satu inisiatif terbaharu mencari jalan mengharungi cabaran ini. Perhatikan beberapa fakta yang menyedarkan:

1. Air minuman dalam botol di kedai kini lebih mahal daripada minyak mentah di pasaran.
2. Lebih ramai orang hari ini memiliki atau menggunakan telefon bimbit berbanding mereka yang mempunyai akses kepada bekalan air bersih.
3. Air tidak bersih ialah pembunuh terbesar dunia, tetapi satu perlima daripada manusia masih tidak mendapat akses air minuman bersih.
4. Lebih daripada separuh populasi global hari ini hidup di kawasan yang berdepan kesukaran bekalan air, jumlah yang dijangka meningkat kepada dua pertiga dekad akan datang.

Kekurangan air yang dahsyat yang berpotensi berlaku di kawasan padat penduduk di Asia, Asia Barat dan Afrika Utara - kawasan paling kering di dunia - boleh menghasilkan jumlah besar "pelarian air" dan menyebabkan banyak negara tidak mampu menampung kesan pelarian itu. Persaingan merebut sumber air telah pun meningkatkan tekanan dalam negara dan antara negara.

Mesir yang kedudukannya di hilir Sungai Nil menggunakan sebahagian besar air sungai tersebut, tetapi ia kini mahu bertindak balas terhadap Ethiopia yang sedang membina sebuah ampangan besar.

China, negara paling banyak ampangan dan kuasa hidro terulung, telah meluluskan pembinaan 54 ampangan baharu - sebahagiannya di sungai-sungai yang menjadi talian hayat beberapa negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan - dalam usahanya membina kawalan strategik ke atas aliran air antara sempadan.

Turki, seperti juga China, sedang cuba mengukuhkan dominasinya melibatkan aliran air serantau dengan mempercepatkan usaha membina ampangan besar yang bakal mengurangkan aliran air ke negara jiran Syria dan Iraq. 

Perang dalaman Syria dan keganasan sektarian di Iraq telah mengurangkan tentangan serantau terhadap rancangan Turki itu.

Sementara itu, pertikaian perkongsian air antara negara semakin sengit, walaupun sebelum ini kurang menerima liputan media antarabangsa. Konflik air dalam negara yang budayanya pelbagai seperti Afghanistan, Pakistan, Yaman dan Sudan sering memunculkan dimensi etnik, lalu meningkatkan lagi cabaran keselamatan dalaman.

Tetapi seperti yang ditunjukkan oleh pertikaian, misalnya, di Amerika Syarikat, Sepanyol dan Australia, konflik air dalam negara tidak terhad kepada negara membangun sahaja. Konflik air AS telah merebak dari kawasan barat yang kering ke sebelah timur. 

Keganasan melibatkan konflik air, walau bagaimanapun, berlaku kebanyakannya di dunia membangun, dengan kesukaran sumber air sering menggalakkan kerosakan alam dan memanjangkan lagi kemiskinan.  
 
Akses yang cukup kepada sumber semulajadi, dalam sejarah, menjadi faktor kunci dalam masa aman dan peperangan. Air, walau bagaimanapun, sangat berbeza daripada sumber-sumber lain. 

Ada alternatif untuk beberapa sumber lain, termasuk minyak, tetapi tidak ada alternatif bagi air. Negara-negara boleh mengimport, malah dari negara yang jauh, bahan bakar fosil, bijih galian, dan sumber dari biosfera, seperti ikan dan kayu balak.

Tetapi air tidak dapat diimport, terutama dalam bentuk yang besar. Air secara asasnya ialah sumber setempat dan sangat mahal untuk diangkut melalui kapal merentasi lautan.

Satu paradoks air ialah ia sebagai penjamin kehidupan tetapi ia juga boleh memusnahkan apabila membawa bakteria bahaya atau muncul dalam bentuk tsunami, banjir kilat, dan ribut. 

Banyak bencana alam pada masa kini berkaitan air. Satu contoh terbaharu ialah bencana Fukushima di Jepun, yang kemudian mencetuskan bencana nuklear pula.

Akibat pemanasan global, air minuman bersih bakal menjadi semakin terhad walaupun pada masa sama aras laut meningkat dan cuaca ekstrem semakin kerap.

Perkembangan penduduk dan ekonomi telah pun menjadikan air minuman bersih sebagai isu besar di banyak tempat di seluruh dunia. Perubahan gaya hidup, sebagai contoh, telah meningkatkan penggunaan air perkapita dalam bentuk penggunaan industri dan pertanian.

Perkembangan-perkembangan inilah yang menjadi latar perang air dari sudut politik dan ekonomi yang telah pun berlaku melibatkan negara di beberapa rantau, termasuk melalui pembinaan ampangan di sungai antarabangsa, dan melalui cara diplomatik menghalang pembinaan ampangan seperti itu. Perisikan AS telah memberi amaran tentang perang air yang mungkin boleh bertukar ganas.

Menurut satu laporan yang menggambarkan penilaian agensi-agensi perisikan AS, penggunaan air sebagai senjata dalam perang atau alat terorisme semakin berpotensi menjadi kenyataan dalam dekad-dekad mendatang di beberapa rantau.

Sebuah panel, melibatkan lebih daripada 30 bekas ketua negara dan kerajaan pula menggesa tindakan segera, mengatakan beberapa buah negara berdepan risiko gagal menghadapi masalah kekurangan air. Jabatan Negara AS pula telah menaiktaraf air sebagai "satu isu penting dasar luar AS."

Kekurangan bekalan air semakin menelan kos sosioekonomi yang tinggi. Keputusan kerajaan negeri dan komersil di banyak negara untuk membina stesen janakuasa atau kilang semakin tersekat oleh keadaan kekurangan air di kawasan terbabit.

Bank Dunia menganggarkan kos ekonomi masalah air China sebanyak 2.3 peratus daripada KDNK negara itu. China, walau bagaimanapun, belum lagi berdepan tekanan penggunaan air - yang ditakrifkan dan dipersetujui di peringkat antarabangsa sebagai kesediaan bekalan kurang daripada 1,700 meter padu air setiap orang setiap tahun. 

Ekonomi yang telah sedia mengalami tekanan penggunaan air, dari Korea Selatan dan India ke Mesir dan maghribi, membayar harga lebih tinggi dalam menghadapi masalah air mereka.  

Bekalan air boleh diperbaharui tetapi bukan tidak terhad. Kemampuan tetap alam untuk memulih semula bekalan air tawar kini hampir 43,000 bilion meter padu setiap tahun. Tetapi populasi manusia telah berkembang hampir dua kali ganda sejak 1970-an, dan ekonomi berkembang lebih pantas lagi.

Pertambahan penggunaan ialah faktor tunggal terbesar menyebabkan situasi kekurangan bekalan air. Pendapatan meningkat, contohnya, menggalakkan perubahan pemakanan, terutama peningkatan makan daging yang penghasilannya sangat memerlukan banyak air. 

Sekitar 10 kali ganda banyak air diperlukan untuk menghasilkan daging berbanding protein dan kalori berasas tumbuhan.

Akibatnya, air kini menjadi cabaran keselamatan dan ekonomi terbaharu dunia. 

Walaupun tidak pernah berlaku lagi perang di zaman moden akibat perebutan air, sumber ini menjadi faktor sampingan dalam beberapa konflik bersenjata. 

Risiko perang air kini kembali selepas era bekalan air murah dan banyak berakhir, dan dunia kini menyaksikan bekalan yang meningkat dan kualiti yang merosot.

Untuk mengelakkan perang air memerlukan kerjasama berdasarkan peraturan, mekanisme perkongsian air dan penyelesaian pertikaian. Walau bagaimanapun, masih tidak ada undang-undang antarabangsa berhubung air yang berkuat-kuasa, manakala kebanyakan perjanjian air serantau tidak dikuatkuasakan. Lebih buruk lagi, banyak pihak cenderung untuk bertindak secara bersendirian.

Masalah ini menunjukkan yang masyarakat antarabangsa menghadapi satu masalah yang lebih besar daripada bekalan minyak yang hampir kering, kelembapan ekonomi dan pelbagai cabaran lain yang selalu disebut-sebut.

Menangani masalah asas ini menjadi kunci kepada menangani cabaran-cabaran lain kerana kaitan rapat air dengan pemanasan global, kekurangan tenaga, tekanan pada bekalan makanan, tekanan populasi, pencemaran, kemerosotan alam, epidemik global dan bencana alam.

Brahma Chellaney ialah pakar geopolitik dan strategi terkemuka India. Buku terbaharu beliau ialah Water, Peace, and War: Confronting the Global Water Crisis terbitan Rowman & Littlefield, 2013. Artikel ini dipetik daripada akhbar Japan Times.

Wednesday, November 6, 2013

Protes jatuhkan pemerintah: Aktivis perlu bijak pilih taktik dan strategi

Oleh ERICA CHENOWETH

Sejak beberapa tahun lalu, kita sudah biasa dengan ikon-ikon protes. Semasa kebangkitan Arab, imej-imej peserta demonstrasi menjeritkan slogan, mengangkat sepanduk, dan berkonfrontasi dengan pasukan keselamatan menjadi sesuatu yang biasa dilihat.

Tetapi kita juga melihat protes-protes yang gagal dan membawa kesan sebaliknya, seperti di Mesir dan Libya, dua kes paling jelas. Kebangkitan demonstrasi di Sudan baru-baru ini menimbulkan persoalan fundamental: Bagaimana protes rakyat menjejaskan kerajaan autoritarian? Adakah demonstrasi benar-benar kunci untuk menjatuhkan pemerintah autokratik?

Kajian menunjukkan, hakikatnya, demonstrasi hanyalah satu daripada banyak alat kebangkitan rakyat yang boleh digunakan untuk perubahan. Gerakan-gerakan yang berjaya menggunakan pelbagai cara menekan kerajaan yang menentang mereka dan tidak membahayakan aktivis.

Taktik demonstrasi yang kita biasa lihat hanyalah satu daripada banyak taktik. Kempen yang berjaya menggunakan lebih daripada satu taktik.

Saya dan Maria Stephan telah menjalankan kajian mengenai satu persoalan yang luas: "Bila kebangkitan rakyat berjaya?"

Keputusannya menunjukkan kempen pembangkang berjaya apabila dapat menggunakan tiga perkara: (1) menarik penyertaan yang ramai dan pelbagai (2) menbangunkan strategi yang membenarkan mereka mengelak tekanan; dan (3) mencetuskan pembelotan, perubahan kesetiaan atau ketidakpatuhan dalam kalangan elit rejim dan/atau pasukan keselamatan.

Yang paling penting menarik penyertaan, kerana kemampuan untuk mencetuskan pembelotan dan menewaskan gerakan lawan bergantung pada sama ada gerakan kebangkitan disertai ramai peserta dari pelbagai latar belakang. Faktor terpenting ialah kadar penyertaan.

Sepanjang 1900 hingga 2006, dalam 300 kempen aman dan bersenjata seluruh dunia, tidak ada kempen yang gagal selepas menarik penyertaan aktif dan berterusan 3.5 peratus daripada populasi - dan ada yang berjaya dengan jumlah kurang daripada itu.

Sudah tentu, jumlah 3.5 peratus bukan jumlah yang kecil. Di Amerika Syarikat hari ini, jumlah ini ialah 11 juta orang. Tetapi bagaimana sesebuah gerakan itu dapat menarik penyertaan sebesar ini, terutama di negara di mana menyertai protes massa ialah sesuatu yang sangat berisiko?

Satu cara untuk menarik penyertaan ialah dengan menggunakan juga taktik yang lebih selamat dan oleh itu lebih menarik kepada mereka yang tidak berani berdepan risiko. Contohnya, mengajak "protes elektrik" dengan cara menutup bekalan elektrik secara serentak pada satu masa atau mengetuk periuk pada waktu malam untuk memberi isyarat penyertaan yang ramai.

Penyertaan dalam bentuk ini akan menarik lebih ramai yang mempunyai perasaan bercampur-campur dan pada masa sama memberikan mereka rasa identiti dengan gerakan dan matlamatnya. 

Di Chile di bawah Pinochet, contohnya, demonstrasi sangat bahaya. Dalam satu kes, Pinochet berasa terancam dengan makna tersirat sebuah lagu popular lalu mengharamkannya dinyanyikan secara terbuka.

Tetapi dengan cara mengetuk periuk, ramai boleh melakukannya dengan selamat di rumah, dan semakin kuat tanda protes, penggerak anti-Pinochet menjadi semakin berani dan beralih kepada aksi yang lebih mengganggu dan terbuka.

Satu gerakan hampir sama sedang dijalankan di Mesir, dengan ribuan orang mengetuk periuk dan kuali di rumah setiap hari tepat jam 9 malam.

Dalam keadaan rejim menekan dengan keras, jumlah yang ramai boleh membantu mewujudkan rasa selamat. Aksi seperti ini boleh memberi isyarat kepada setiap peserta yang mereka tidak berseorangan, dan menyukarkan kerajaan bertindak terhadap peserta protes tersebut.

Apabila rakyat telah mula bergerak, kesan kepada politik dalaman rejim menindas amat kuat. Seperti dihujahkan oleh Gene Sharp, tidak ada rejim yang monolitik.

Setiap pemimpin diktator bergantung 100 peratus pada kerjasama, kepatuhan, dan bantuan mereka yang membentuk tunjang sokongan rejim: pasukan keselamatan, media kerajaan, elit bisnes dan pendidikan, pihak berkuasa agama, dan birokrat awam.

Apabila orang daripada golongan ini mula menilai semula peranan rejim dalam kepentingan jangka panjang mereka, mereka boleh ditarik meninggalkan sokongan kepada rejim. Ini lebih mudah berlaku apabila semakin ramai bergerak menentang kerajaan.

Kenapa? Kerana tidak ada penyokong kuat rejim yang hidupnya terpisah sepenuhnya daripada rakyat kebanyakan. Mereka mempunyai rakan, keluarga, dan hubungan-hubungan yang akan kekal dalam jangka panjang, sama ada pemimpin diktator kekal atau sebaliknya.

Satu contoh di Serbia, dalam kebangkitan rakyat menentang Slobodan Milosevic, yang akhirnya dijatuhkan pada Oktober 2000. Apabila jelas bahawa ratusan ribu rakyat Serbia berarak ke Belgrade untuk menuntut Milosevic meletak jawatan, anggota polis mengabaikan arahan melepaskan tembakan ke arah demonstran. Bila ditanya kenapa, salah seorang daripada mereka menjawab: "Saya tahu anak saya antara yang berarak itu."

Anggota polis itu bukan keseorangan di Serbia dan di mana-mana pun. Kami mendapati, umumnya, pasukan keselamatan cenderung untuk berpaling tadah apabila menghadapi kempen aman (berbanding kebangkitan bersenjata), terutama apabila angka peserta meningkat.

Pasukan keselamatan mempunyai kecenderungan untuk berpaling tadah sebanyak 60 peratus apabila berdepan protes-protes terbesar, dan berkecenderungan sebanyak 30 peratus dengan kempen aman bersaiz sederhana.

Antara contoh ialah pasukan keselamatan Iran semasa kebangkitan anti-Shah, pasukan bersenjata Filipina semasa kebangkitan anti-Marcos dan dalam kalangan tentera Israel semasa Intifadah pertama Palestin. Peralihan kesetiaan ini penting dan memberi kesan kepada hasil kebangkitan. Tindakan ini meningkatkan peluang kejayaan sebanyak lebih 60 peratus.

Tetapi demonstrasi dan gerakan massa secara umumnya menyaksikan jumlah yang gagal dan berjaya yang sama banyak. Tetapi yang jelas gagal - seperti Medan Tiananmen, kebangkitan Hungary pada 1956, atau Revolusi Safron di Myanmar - beberapa corak dapat diperhatikan.

Kempen-kempen yang gagal tidak melibatkan jumlah populasi yang besar dan tidak mengubah taktik daripada yang berisiko kepada yang lebih selamat. Mereka juga gagal mewujudkan strategi jangka panjang untuk menjadikan kempen boleh berterusan, yang sangat penting dalam berdepan dengan rejim yang ganas.

Purata tempoh kempen aman ialah antara dua tahun setengah hingga tiga tahun, tetapi hanya sedikit yang mempunyai strategi jangka panjang, selain harapan besar kemenangan mereka akan membuatkan rejim menurut permintaan mereka.

Kempen-kempen kebangkitan rakyat sedang berjalan di banyak tempat seluruh dunia, dari Bahrain ke Maldives, dari Turki ke Bulgaria. Dalam semua kes ini, perancang gerakan perlu menganalisis kesan-kesan politik daripada strategi seperti demonstrasi.

Sekiranya taktik ini gagal meningkatkan simpati di dalam dan luar negara, mempelbagaikan peserta, dan mengalakkan elit rejim berpaling tadah, maka taktik-taktik itu tidak membantu menjayakan kempen.

Tetapi tidak perlu menghentikan perjuangan kerana demonstrasi tidak lagi berjaya. Banyak lagi cara aman protes boleh digunakan.

Kempen yang akhirnya berjaya ialah yang benar-benar mengendahkan amaran Sun Tzu: "Taktik tanpa strategi ialah kekecohan menjelang kekalahan."

Erica Chenoweth ialah profesor madya di Sekolah Kajian Antarabangsa Josef Korbel di Universiti Denver dan pengelidik kanan bersekutu di Pusat Kajian Keamanan Oslo. Beliau, bersama Maria J Stephan ialah penulis buku Why Civil Resistance Works: The Strategic Logic of Nonviolent Conflict. Artikel asal ini terbit di majalah Foreign Policy.

Monday, November 4, 2013

Produksi perlu ditingkat untuk pastikan keselamatan makanan global

Oleh REN WANG

Kita semua sudah mendengar penerangan tentang angkanya. Sekitar 870 juta manusia seluruh dunia kekurangan zat makanan, dan penduduk dunia bakal bertambah 2.8 bilion orang lagi menjelang 2050.

Ini bermakna pengeluaran makanan global mesti meningkat sebanyak 60 peratus untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk semua.

Bagi sesetengah orang, angka itu terlalu besar untuk difahami dan masalah yang diterangkan itu hampir mustahil untuk diatasi. Kita, walau bagaimanapun, pernah berdepan dengan masalah ini.

Pada penghujung 1960-an, Profesor Paul R Ehrlich dari Universiti Stanford menulis dalam bukunya, The Population Bomb tentang peningkatan populasi global (yang telah meningkat sebanyak 2.8 bilion sejak buku itu ditulis): “Perjuangan untuk menyediakan makanan kepada semua manusia sudah berakhir. Pada 1970-an, ratusan juta manusia akan mati kebuluran walaupun program pantas dimulakan pada masa ini…”

Revolusi Hijau yang menyusul jangkaan menakutkan itu menjadi satu contoh kejayaan apabila hasil ditingkatkan bersama gabungan kepelbagaian tanaman dan penggunaan baja, racun serangga dan air.

Usaha itu membantu meningkatkan penghasilan bijirin sebanyak tiga kali ganda di India dan China dalam 25 tahun selepas 1965. Pertanian berjaya memenuhi keperluan makanan dengan meluaskan kawasan penanaman dan mengaktifkan pengeluaran.

Walau bagaimanapun, halangan-halangan kepada kemajuan seperti ini semakin dirasakan dan diterima.

Di seluruh dunia, masih banyak tanah berpotensi yang tidak diusahakan. Tetapi tanah itu menghadapi persaingan permintaan termasuk untuk penghasilan makanan, makanan haiwan dan tenaga bio (terutama kayu untuk bahan bakar, sumber tenaga utama di banyak negara membangun); dan pengurusan ekosistem seperti perlindungan tanah, pengurusan air (termasuk perlindungan daripada banjir dan kualiti air), pemeliharaan kepelbagaian bio, sekuestrasi karbon, dan penggunaan urban dan industri.

Wujud juga cabaran berkaitan air. Penyaliran memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan keperluan kepada tanah tambahan. Di seluruh dunia, tanah bersaliran – 16 peratus daripada tanah pertanian – menghasilkan 44 peratus daripada produksi tanaman. Tetapi air lebih diperlukan dan lebih sukar diperolehi berbanding tanah. Pada masa depan, mungkin bekalan tidak akan mencukupi untuk semua.

Bahan baker fosil dan baja sintetik ialah sumber terhad yang berperanan penting dalam produksi makanan. Tekanan untuk menghasilkannya dan kekurangan dari masa ke masa membawa kepada ketidaktentuan harga, mendorong kepada lebih ketidakpastian dalam penghasilan makanan.

Kemudian ada juga tekanan-tekanan lain pada kemampuan kita meningkatkan produksi: keperluan untuk tanah subur, perkhidmatan sumber-sumber genetik dan ekosistem, dan juga amalan pengurusan yang baik dan dasar kerajaan yang membantu.

Kini, banyak kawasan pengeluaran makanan paling produktif mengalami akibat alam sekitar daripada penggunaan berlebihan dan salah urus sumber asli, kemerosotan tanah, hakisan dan kemerosotan perkhidmatan ekosistem seperti pendebungaan.

Sebagai respons kepada cabaran besar menanam sumber makanan yang sangat diperlukan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian, FAO, telah melancarkan “Simpan dan Tanam” pada 2011, satu strategi global baharu untuk memastikan keselamatan makanan yang terfokus pada peningkatan produksi tanaman mapan (sustainable crop production intensification, SCPI): “Jimat” untuk menghasilkan lebih banyak dengan masukan yang sedikit pada tanah yang terhad, “Tanam” pada masa sekarang dan masa depan. SCPI memberi fokus pada pertanian produktif yang memelihara dan meningkatkan sumber alami.

Strategi ini menggunakan pendekatan ekosistem yang mengambil manfaat daripada penanaman sumber makanan dengan mengambil kesempatan daripada persekitaran dan menggunakan sumber dengan lebih efisyen.

Amalan-amalan dalam pendekatan ini menumpukan pada pengetahuan dan saling bergantung, dan pada masa sama bersifat setempat dan spesifik pada sistemnya. Pada peringkat awal, menggalakkan amalan-amalan ini memerlukan sokongan awam melalui insentif dan pelaburan yang khusus.

Sebagai respons kepada keperluan ini, FAO sedang memperluaskan pendekatan Simpan dan Tanam melibatkan sektor pertanian lain, termasuk penternakan, dan meluaskannya kepada satu perspektif rantaian makanan.

Salah satu contoh menarik pemakaian prinsip-prinsip Jimat dan Tanam ialah pengurangan kehilangan dan pembaziran makanan.

Kami percaya pendekatan ini menyediakan strategi yang diperlukan oleh warga dunia untuk memastikan keselamatan makanan global pada masa kini dan masa hadapan.

Ren Wang ialah penolong ketua pengarah Jabatan Pertanian dan Perlindungan Pengguna, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Artikel asal diterbitkan di laman Skoll World Forum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...