Sunday, November 24, 2013

Pemilihan Pemuda PAS: Undi mengikut kumpulan, tetapi populariti masih pilihan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Kemenangan Suhaizan Kaiat dalam persaingan jawatan ketua Pemuda PAS dalam pemilihan baru-baru ini memperlihatkan pemilihan merentasi kumpulan oleh para perwakilan bagi jawatan tertinggi dewan itu..

Walaupun ramai menjangkakan Kamaruzaman Mohamad akan menang bersama dengan gandingan Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Khairil Nizam Khirudin, Suhaizan Kaiat - yang diletakkan bersama Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi - berjaya mendapat undi mengatasi pesaingnya.

Kemenangan Suhaizan yang tipis, pada masa sama Muhammad Khalil dan Khairil Nizam mendapat undi yang tinggi, memperlihatkan campuran antara kedua-dua gandingan, dan menunjukkan perwakilan tidak memilih berdasarkan kumpulan semata-mata, tetapi turut dipengaruhi penilaian lain dalam mempertimbangkan Suhaizan.

Suhaizan mendapat 320 undi, 13 undi mengatasi pesaing utama Kamaruzaman yang memperolehi 307 undi. Dalam persaingan timbalan ketua, Muhammad Khalil mendapat 355 undi, jauh mengatasi Raja Ahmad yang dipilih oleh 282 perwakilan, perbezaan sebanyak 73 undi. Bagi jawatan naib ketua, Khairil Nizam pula memperolehi 411 undi, juga jauh mengatasi pesaingnya sebanyak 185 undi, Ahmad Zamri yang mendapat 226 undi.

Secara umumnya, Suhaizan, Raja Ahmad, dan Ahmad Zamri mewakili satu kumpulan dan bersaing dengan Kamaruzaman, Muhammad Khalil dan Khairil Nizam yang dilihat mewakili kumpulan agamawan dan mendukung gagasan kepimpinan ulama, yang ditafsirkan sebagai ketetapan tokoh menjawat jawatan-jawatan tertinggi timbalan dan presiden perlu daripada kalangan pemimpin yang berkelayakan ulama.

Kemenangan Suhaizan memberi petunjuk bahawa rekod dan kehadiran nasional beliau menjadi faktor dipilih oleh perwakilan, dan menunjukkan selera Pemuda PAS yang mahukan aktivis yang agresif seperti beliau mengetuai Pemuda.

Suhaizan sejak beberapa tahun lalu dirasai kehadirannya di peringkat nasional, walaupun kegiatan lajnah agak terhad disebabkan pembahagian kegiatan dengan negeri Johor, yang beliau mengetuai Pemudanya penggal lalu.

Beliau bertanding jawatan timbalan ketua dalam pemilihan kepimpinan Pemuda penggal lalu tetapi tewas kepada Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Selepas itu, beliau mengekalkan kehadiran dalam Pemuda di peringkat pusat, satu faktor yang mungkin menyumbang kepada kejayaan beliau mengekalkan populariti hingga pada pemilihan kali ini.

Hal ini juga menunjukkan kejayaan kempen yang digerakkan oleh Suhaizan, terutama melalui program-program wacana yang diadakan di seluruh negara oleh sekumpulan penyokong kuat dan penggerak kempennya semasa musim kempen.

Suhaizan aktif menyertai wacana-wacana yang diadakan menjelang pemilihan, yang tidak disertai oleh Kamaruzaman.

Mood semasa sejumlah besar perwakilan menyokong usul mempertahankan kepimpinan ulama memperlihatkan satu petunjuk keputusan pemilihan Pemuda kali ini, yang diatasi oleh Suhaizan melalui kemenangannya.

Menjelang muktamar, mood Pemuda menunjukkan penguasaan kecenderungan menegaskan kepimpinan ulama apabila beberapa negeri termasuk Selangor dalam pemilihan peringkat negeri menyaksikan dominasi aliran agamawan.

Persaingan ide juga berlangsung dengan hangat di dunia siber, dengan kedua-dua aliran mengemukakan gagasan masing-masing dengan agresif melalui blog-blog dan laman-laman sosial.

Perkembangan itu dinilai sebagai satu petunjuk besar yang aliran menyokong kepimpinan ulama bakal mencorakkan pemilihan kepimpinan baharu Pemuda.

Kemenangan Suhaizan bakal menjadikan kepimpinan baharu Pemuda penggal terkini dibentuk oleh gabungan kedua-dua aliran dalam Pemuda, yang kedua-duanya memperlihatkan penegasan sikap dan kempen yang agresif.

Suhaizan menduduki posisi tertinggi sebagai ketua Pemuda, tetapi barisan kepimpinan Pemuda dibarisi pemimpin-pemimpin aliran menyokong kepimpinan ulama, daripada timbalan kepada naib hingga kepada barisan ahli jawatankuasa.

Aliran mendukung kepimpinan ulama merupakan majoriti dalam barisan ahli jawatankuasa seramai 12 orang yang dipilih, termasuk ahli Majlis Syura Ulama, Zaharuddin Muhammad, yang sering berdepan kritikan keras daripada kem lawan disebabkan pendiriannya mendukung kuat gagasan kepimpinan ulama.

Ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendapat undi sebanyak 433 undi, Syed Abdul Kadir Syed Hussin al-Joofre, juga mendapat 433 undi, Ahmad Fadhli Shaari (417), Mohd Syahir Sulaiman (415), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (404), Zaharuddin Muhammad (379), Ahmad Yahya (377), Wan Mohd Faizul Salleh (371), Dr Mohd Fadli Ghani (359), Nurul Islam Mohamed Yusoff (355), dan Mohd Sany Hamzan (340).

Hal ini berpotensi untuk memaksa kompromi dan kerjasama lebih harmonis melibatkan kedua-dua aliran, yang diwakili Suhaizan dan kelompok pendukung kepimpinan ulama.

Suhaizan walau bagaimanapun, dalam ucapan sulungnya sejurus menang jawatan ketua Pemuda cuba mendamaikan dan menunjukkan usaha kembali merapatkan saf, dan menunjukkan keghairahan untuk meningkatkan tarikan Pemuda PAS, dengan mengajak Pemuda menjadi lebih inklusif.

Keputusan pemilihan kali ini, yang menyaksikan persaingan sengit dan hasil kemenangan pemimpin-pemimpin gabungan dua aliran yang bersaing akan menjadikan kepimpinan penggal kali ini sangat menarik untuk diperhatikan. - November 22, 2013

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...