Wednesday, November 6, 2013

Protes jatuhkan pemerintah: Aktivis perlu bijak pilih taktik dan strategi

Oleh ERICA CHENOWETH

Sejak beberapa tahun lalu, kita sudah biasa dengan ikon-ikon protes. Semasa kebangkitan Arab, imej-imej peserta demonstrasi menjeritkan slogan, mengangkat sepanduk, dan berkonfrontasi dengan pasukan keselamatan menjadi sesuatu yang biasa dilihat.

Tetapi kita juga melihat protes-protes yang gagal dan membawa kesan sebaliknya, seperti di Mesir dan Libya, dua kes paling jelas. Kebangkitan demonstrasi di Sudan baru-baru ini menimbulkan persoalan fundamental: Bagaimana protes rakyat menjejaskan kerajaan autoritarian? Adakah demonstrasi benar-benar kunci untuk menjatuhkan pemerintah autokratik?

Kajian menunjukkan, hakikatnya, demonstrasi hanyalah satu daripada banyak alat kebangkitan rakyat yang boleh digunakan untuk perubahan. Gerakan-gerakan yang berjaya menggunakan pelbagai cara menekan kerajaan yang menentang mereka dan tidak membahayakan aktivis.

Taktik demonstrasi yang kita biasa lihat hanyalah satu daripada banyak taktik. Kempen yang berjaya menggunakan lebih daripada satu taktik.

Saya dan Maria Stephan telah menjalankan kajian mengenai satu persoalan yang luas: "Bila kebangkitan rakyat berjaya?"

Keputusannya menunjukkan kempen pembangkang berjaya apabila dapat menggunakan tiga perkara: (1) menarik penyertaan yang ramai dan pelbagai (2) menbangunkan strategi yang membenarkan mereka mengelak tekanan; dan (3) mencetuskan pembelotan, perubahan kesetiaan atau ketidakpatuhan dalam kalangan elit rejim dan/atau pasukan keselamatan.

Yang paling penting menarik penyertaan, kerana kemampuan untuk mencetuskan pembelotan dan menewaskan gerakan lawan bergantung pada sama ada gerakan kebangkitan disertai ramai peserta dari pelbagai latar belakang. Faktor terpenting ialah kadar penyertaan.

Sepanjang 1900 hingga 2006, dalam 300 kempen aman dan bersenjata seluruh dunia, tidak ada kempen yang gagal selepas menarik penyertaan aktif dan berterusan 3.5 peratus daripada populasi - dan ada yang berjaya dengan jumlah kurang daripada itu.

Sudah tentu, jumlah 3.5 peratus bukan jumlah yang kecil. Di Amerika Syarikat hari ini, jumlah ini ialah 11 juta orang. Tetapi bagaimana sesebuah gerakan itu dapat menarik penyertaan sebesar ini, terutama di negara di mana menyertai protes massa ialah sesuatu yang sangat berisiko?

Satu cara untuk menarik penyertaan ialah dengan menggunakan juga taktik yang lebih selamat dan oleh itu lebih menarik kepada mereka yang tidak berani berdepan risiko. Contohnya, mengajak "protes elektrik" dengan cara menutup bekalan elektrik secara serentak pada satu masa atau mengetuk periuk pada waktu malam untuk memberi isyarat penyertaan yang ramai.

Penyertaan dalam bentuk ini akan menarik lebih ramai yang mempunyai perasaan bercampur-campur dan pada masa sama memberikan mereka rasa identiti dengan gerakan dan matlamatnya. 

Di Chile di bawah Pinochet, contohnya, demonstrasi sangat bahaya. Dalam satu kes, Pinochet berasa terancam dengan makna tersirat sebuah lagu popular lalu mengharamkannya dinyanyikan secara terbuka.

Tetapi dengan cara mengetuk periuk, ramai boleh melakukannya dengan selamat di rumah, dan semakin kuat tanda protes, penggerak anti-Pinochet menjadi semakin berani dan beralih kepada aksi yang lebih mengganggu dan terbuka.

Satu gerakan hampir sama sedang dijalankan di Mesir, dengan ribuan orang mengetuk periuk dan kuali di rumah setiap hari tepat jam 9 malam.

Dalam keadaan rejim menekan dengan keras, jumlah yang ramai boleh membantu mewujudkan rasa selamat. Aksi seperti ini boleh memberi isyarat kepada setiap peserta yang mereka tidak berseorangan, dan menyukarkan kerajaan bertindak terhadap peserta protes tersebut.

Apabila rakyat telah mula bergerak, kesan kepada politik dalaman rejim menindas amat kuat. Seperti dihujahkan oleh Gene Sharp, tidak ada rejim yang monolitik.

Setiap pemimpin diktator bergantung 100 peratus pada kerjasama, kepatuhan, dan bantuan mereka yang membentuk tunjang sokongan rejim: pasukan keselamatan, media kerajaan, elit bisnes dan pendidikan, pihak berkuasa agama, dan birokrat awam.

Apabila orang daripada golongan ini mula menilai semula peranan rejim dalam kepentingan jangka panjang mereka, mereka boleh ditarik meninggalkan sokongan kepada rejim. Ini lebih mudah berlaku apabila semakin ramai bergerak menentang kerajaan.

Kenapa? Kerana tidak ada penyokong kuat rejim yang hidupnya terpisah sepenuhnya daripada rakyat kebanyakan. Mereka mempunyai rakan, keluarga, dan hubungan-hubungan yang akan kekal dalam jangka panjang, sama ada pemimpin diktator kekal atau sebaliknya.

Satu contoh di Serbia, dalam kebangkitan rakyat menentang Slobodan Milosevic, yang akhirnya dijatuhkan pada Oktober 2000. Apabila jelas bahawa ratusan ribu rakyat Serbia berarak ke Belgrade untuk menuntut Milosevic meletak jawatan, anggota polis mengabaikan arahan melepaskan tembakan ke arah demonstran. Bila ditanya kenapa, salah seorang daripada mereka menjawab: "Saya tahu anak saya antara yang berarak itu."

Anggota polis itu bukan keseorangan di Serbia dan di mana-mana pun. Kami mendapati, umumnya, pasukan keselamatan cenderung untuk berpaling tadah apabila menghadapi kempen aman (berbanding kebangkitan bersenjata), terutama apabila angka peserta meningkat.

Pasukan keselamatan mempunyai kecenderungan untuk berpaling tadah sebanyak 60 peratus apabila berdepan protes-protes terbesar, dan berkecenderungan sebanyak 30 peratus dengan kempen aman bersaiz sederhana.

Antara contoh ialah pasukan keselamatan Iran semasa kebangkitan anti-Shah, pasukan bersenjata Filipina semasa kebangkitan anti-Marcos dan dalam kalangan tentera Israel semasa Intifadah pertama Palestin. Peralihan kesetiaan ini penting dan memberi kesan kepada hasil kebangkitan. Tindakan ini meningkatkan peluang kejayaan sebanyak lebih 60 peratus.

Tetapi demonstrasi dan gerakan massa secara umumnya menyaksikan jumlah yang gagal dan berjaya yang sama banyak. Tetapi yang jelas gagal - seperti Medan Tiananmen, kebangkitan Hungary pada 1956, atau Revolusi Safron di Myanmar - beberapa corak dapat diperhatikan.

Kempen-kempen yang gagal tidak melibatkan jumlah populasi yang besar dan tidak mengubah taktik daripada yang berisiko kepada yang lebih selamat. Mereka juga gagal mewujudkan strategi jangka panjang untuk menjadikan kempen boleh berterusan, yang sangat penting dalam berdepan dengan rejim yang ganas.

Purata tempoh kempen aman ialah antara dua tahun setengah hingga tiga tahun, tetapi hanya sedikit yang mempunyai strategi jangka panjang, selain harapan besar kemenangan mereka akan membuatkan rejim menurut permintaan mereka.

Kempen-kempen kebangkitan rakyat sedang berjalan di banyak tempat seluruh dunia, dari Bahrain ke Maldives, dari Turki ke Bulgaria. Dalam semua kes ini, perancang gerakan perlu menganalisis kesan-kesan politik daripada strategi seperti demonstrasi.

Sekiranya taktik ini gagal meningkatkan simpati di dalam dan luar negara, mempelbagaikan peserta, dan mengalakkan elit rejim berpaling tadah, maka taktik-taktik itu tidak membantu menjayakan kempen.

Tetapi tidak perlu menghentikan perjuangan kerana demonstrasi tidak lagi berjaya. Banyak lagi cara aman protes boleh digunakan.

Kempen yang akhirnya berjaya ialah yang benar-benar mengendahkan amaran Sun Tzu: "Taktik tanpa strategi ialah kekecohan menjelang kekalahan."

Erica Chenoweth ialah profesor madya di Sekolah Kajian Antarabangsa Josef Korbel di Universiti Denver dan pengelidik kanan bersekutu di Pusat Kajian Keamanan Oslo. Beliau, bersama Maria J Stephan ialah penulis buku Why Civil Resistance Works: The Strategic Logic of Nonviolent Conflict. Artikel asal ini terbit di majalah Foreign Policy.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...