Monday, October 3, 2016

Geopolitik kepimpinan dunia Sunni

Oleh HARIS ZALKAPLI

Persaingan merebut kuasa dan pengaruh dalam dunia Islam, terutama melibatkan rantau Asia Barat antara Arab Saudi dan sekutu dengan Iran meningkat sejak lebih sedekad lalu, apabila kemunculan satu wilayah disebut "bulan sabit Syiah" dari Syam hingga ke Iraq mencetuskan kebimbangan kuasa-kuasa Arab serantau.

Kuasa-Kuasa Arab diketuai Arab Saudi dan Qatar meningkatkan usaha mengekang Iran dan sekutunya, yang satu kemuncaknya ialah tekanan terhadap Syria dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam, yang dinaungi dan mendapat sokongan Tehran.

Selari dengan kempen politik dan bersenjata itu, sentimen sektarian digerakkan di seluruh dunia Islam, hingga dapat dilihat hampir wujud satu kesatuan anti-Syiah yang berleluasa di seluruh dunia Islam dari Asia Barat hingga ke Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, kerjasama kuasa-kuasa Arab yang kelihatan bersatu hati untuk menjatuhkan rejim Bashar al-Assad dan menyekat peningkatan pengaruh Iran itu kini berdepan cabaran lain, melibatkan kepimpinan dunia Islam Sunni.

Sejak kemunculan pelbagai kumpulan militan ekoran konflik di Syria, dan terutama sekali sejak kemunculan kumpulan digelar Negara Islam di Iraq dan al-Syam, ISIS, yang kini menggiatkan pengambilan rekrut dari seluruh dunia, aliran Salafi seperti yang menjadi pegangan Arab Saudi mula menerima penilaian kritikal dunia Islam, pada masa sama hubungan Saudi dengan kuasa besar Amerika Syarikat turut terjejas.

Ketika persaingan Saudi-Iran untuk menguasai dunia Islam masih berlangsung, persaingan antara kuasa-kuasa Arab Sunni telah tercetus, dan berpotensi menjadi lebih sengit dan kritikal.

Persaingan untuk menguasai dunia Islam Sunni ini melibatkan Arab Saudi yang masih memegang kedudukan  dominan, Qatar yang menyokong gerakan Ikhwan al-Muslimin dan Emiriyah Arab Bersatu yang sekular tetapi menggunakan aliran Sufi dan menguasai al-Azhar, menyaingi kedua-dua Saudi dan Qatar.

Satu perkembangan paling penting persaingan ini ialah persidangan di Grozny, Chechnya pada hujung Ogos lalu, melibatkan tokoh-tokoh dunia Sunni terpilih, yang mempunyai hubungan baik dengan Emiriyah dan Universiti al-Azhar, institusi pengajian Islam terkemuka dunia Sunni yang berhubungan baik dengan pemerintahan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Persidangan ini, yang bertujuan menjelaskan "siapakah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah" dilaksanakan dengan kerjasama pihak-pihak yang secara langsung terlibat dalam persaingan kepimpinan dunia Sunni, iaitu Yayasan Tabah - satu instrumen dasar luar Emiriyah, melalui penyebaran pendekatan sufi dan pengasingan daripada kegiatan politik - pimpinan Habib Ali al-Jifri yang berpangkalan di Abu Dhabi, dengan kerjasama badan kebajikan Akhmadovich Kadyrov, pertubuhan milik Presiden Chechnya Ramzan Kadyrov.

Hasil persidangan menjelaskan takrif Sunni, yang meliputi aliran Ashari dan Maturidi, empat mazhab fiqh yang diiktiraf dan sufi, aliran yang menjadi pegangan pihak penganjur, Emiriyah dan Chechnya. Takrif ini tidak menyertakan aliran Salafi, dan segera mencetuskan kemarahan Arab Saudi.

Penglibatan tokoh-tokoh agama dari Mesir (tanpa kehadiran wakil Saudi), masa (semasa perkembangan politik di Syria menyaksikan perubahan) dan pemilihan lokasi persidangan (di Rusia yang sedang membina hubungan baik dengan dunia Islam Sunni), dapat dilihat bahawa pertemuan ini disusun sebagai satu program penting dalam persaingan geopolitik kuasa-kuasa yang terlibat.

Selepas beberapa tahun konflik Syria, yang menyaksikan Assad kekal sebagai pemerintah, penyelesaian melalui pertempuran kelihatan semakin sukar dan tumpuan mula teralih ke ISIS dan kumpulan-kumpulan militan yang dilihat berkongsi aliran Wahhabi dengan Saudi, perkiraan hampir semua pihak terbabit mula berubah, dan ini terlihat melalui kerjasama di sebalik persidangan di Chechnya.

Perkembangan terkini di Syria bermakna agenda Qatar dan Arab Saudi semakin jauh daripada terlaksana, pada masa sama pengaruh Rusia dan sekutu sedang mengukuh. Kesempatan ini diambil oleh Emiriyah untuk meningkatkan usaha meminggirkan dua pesaingnya, Saudi, dan Qatar yang menggunakan proksinya, gerakan Ikhwan.

Kepimpinan Saudi cuba dikukuhkan melalui kerjasama menangani Iran, dan terbaharu melalui satu pakatan ketenteraan yang masih lagi terlibat dalam perang di Yaman, yang Iran dan Syiah disebut sebagai ancaman. Emiriyah turut menyertai operasi ini, tetapi Abu Dhabi mempunyai perancangan tersendiri untuk mengukuhkan penguasaannya di negara selatan Arab Saudi itu. Satu kepentingan bersama kedua-dua negara itu di Yaman ialah menyekat kemaraan kumpulan al-Islah, yang mempunyai kaitan dengan Ikhwan al-Muslimin.

Hal yang sama berlaku di Mesir. Emiriyah dan Saudi bersama membantu al-Sisi sebagai kuasa untuk menyekat Ikhwan, tetapi Emiriyah jelas menunjukkan perancangan tersendiri termasuk melibatkan al-Azhar. Emiriyah yang telah mula menghulurkan bantuan kepada Mesir sejak Mohamed Morsi dijatuhkan kelihatan menggunakan sepenuhnya pengaruhnya ini untuk mendapatkan sokongan melalui pengaruh al-Azhar, mengatasi Saudi yang turut sama membantu kerajaan al-Sisi.

Nama-nama besar yang hadir ke persidangan Chechnya dari Mesir termasuk Imam Besar al-Azhar Ahmad al-Tayeb (yang juga mengetuai Majlis Hukama, sebuah lagi instrumen dasar luar Emiriyah untuk menghadapi Ikhwan dan meluaskan pengaruh serantau), Mufti Mesir Shawki Allam, bekas mufti Mesir Ali Jum'ah, dan Usama al-Azhari, penasihat agama Presiden al-Sisi. Mufti Damsyik, yang juga penasihat kepada Presiden Bashar al-Assad, turut hadir.

Selain hubungan baik dengan Emiriyah, senarai kehadiran ini juga menjelaskan hubungan semakin baik Mesir dengan Rusia, yang mula membina hubungan lebih bermakna dengan Kaherah selepas hubungan Mesir-Amerika Syarikat terjejas.

Persidangan ini menunjukkan dengan jelas satu kerjasama Emiriyah-Rusia-Mesir untuk meminggirkan Arab Saudi dan aliran Salafinya, dan gerakan politik Ikhwan al-Muslimin dari arus perdana dunia Islam Sunni.

Rusia mempunyai satu sejarah panjang tersendiri yang menjelaskan pendiriannya terhadap Wahhabi, sejarah yang berlangsung dengan rancak semasa Perang Dingin. Kerjasama Saudi dengan AS menentang Kesatuan Soviet membuka ruang penyebaran fahaman Wahhabi, yang merebak hingga ke Afghanistan dan kemudian ke Kaukasus, yang menjadi satu medan perang dalaman yang amat sukar bagi Rusia.

Bagi Rusia, Wahhabi ialah sekutu kepada musuhnya AS. Peningkatan Wahhabi dalam dunia Islam termasuk di wilayah Rusia terkait langsung dengan bantuan daripada Washington sepanjang Perang Dingin.

Di sinilah keluarga Kadyrov memainkan peranan, sebagai sekutu kuat kerajaan Rusia dalam memerangi aliran Wahhabi dan Salafi dengan mengangkat aliran Sufi yang tidak melibatkan diri dengan politik, sekaligus menumpulkan penentangan terhadap Moscow. Program ini berjalan dengan agresif di bawah pemimpin Chechnya pada masa ini, yang kekal sebagai sekutu kuat Presiden Vladimir Putin.

Persidangan Chechnya itu memenuhi keperluan Rusia ini, melibatkan politik Chechnya dan juga dasar luarnya terhadap dunia Islam pada masa kini. Ekoran imej buruk dikaitkan dengan rejim Syria, Moscow bekerjasama dengan Abu Dhabi dalam usaha menyaingi kepimpinan dunia Sunni, dengan cara meminggirkan Saudi dan aliran agama pegangannya.

Dasar luar Emiriyah menggunakan pendekatan Sufi digerakkan oleh Yayasan Tabah memberikan satu alternatif kepada Islam politik aliran Ikhwan, yang kesannya dapat dilihat hingga ke Asia Tenggara, satu medan persaingan sengit melibatkan parti-parti politik Islam. Di Malaysia sebagai contoh, aktiviti gerakan ini mula agresif sekitar masa yang sama parti politik Islam PAS mula meningkatkan penguasaan dalam politik.

Sebuah lagi instrumen dasar luar Emiriyah, Majlis Hukama, kini turut meningkatkan peranan dalam wacana isu-isu umat Islam. Majlis ini yang ditubuhkan pada 2014 ialah pencabar kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia, pertubuhan ulama gerakan Islam berpangkalan di Doha, Qatar, pimpinan Dr Yusuf al-Qaradawi.

Perkembangan ini juga semakin menampakkan kemerosotan Arab Saudi, yang selama ini dapat menguasai Mesir dan negara-negara kecil dalam Majlis Kerjasama Teluk, GCC. Kemerosotan penguasaan Riyadh terhadap Mesir jelas kelihatan apabila Emiriyah berupaya menguasai institusi agama penting al-Azhar, dan menggerakkan dasar luar yang selari dengan pentadbiran al-Sisi.

Perkembangan terbaru ini juga memperlihatkan persaingan kuasa yang semakin sengit, pada masa kepentingan kuasa-kuasa terlibat mula memperlihatkan perbezaan walaupun mempunyai matlamat besar yang sama. Dasar luar negara-negara terbabit akhirnya mengambil haluan yang berbeza dan bertentangan.  Ini disaksikan di Libya, yang Qatar dan Emiriyah pada awalnya terlibat bersama Barat menjatuhkan Muammar Gaddafi, tetapi kini berada di dua pihak yang bertentangan. Hal yang sama juga berlaku di Syria dan terkini, Yaman.

Ketakutan Saudi ini dijelaskan oleh pelbagai perkembangan terkini, terutama perjanjian nuklear Iran dan kuasa-kuasa besar termasuk AS, yang hubungan baiknya dengan Saudi kelihatan berpotensi terjejas akibat pemulihan hubungan dengan Iran.

Satu tandanya dapat dilihat melalui satu tulisan Menteri Luar Iran, Muhammad Javad Zarif dalam akhbar New York Times pada 13 September lalu, mengajak dunia menghapuskan ajaran Wahhabi. Semua perkembangan ini menunjukkan Saudi semakin terpinggir, dengan pesaing-pesaing semua merapatkan kerjasama menghadapinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...