Wednesday, May 9, 2012

Bersih mampu tumbangkan rejim BN

Oleh HARIS ZALKAPLI

Debat tentang Bersih antara kumpulan pembangkang dengan pemerintah kini tertumpu pada dakwaan agenda protes berwarna tema kuning ini untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dilaporkan mendakwa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu bertujuan menjatuhkan kerajaan, dakwaan sama yang juga dibuat oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Gabungan pembangkang Pakatan Rakyat menafikan dakwaan ini, dengan alasan protes Bersih diadakan secara aman dan tanpa senjata, dirancang untuk berlangsung hanya selama dua jam di Dataran Merdeka.

Walau bagaimanapun, menurut satu kajian terhadap kebangkitan rakyat yang aman - seperti yang berpotensi untuk dilakukan oleh Bersih - mempunyai potensi yang besar untuk berjaya menggulingkan kerajaan, berbanding penentangan bersenjata.

Kajian yang dikemukakan dalam buku Why Civil Resistance Works: The Strategic Logic of Nonviolent Conflict, membandingkan hasil kebangkitan sivil secara aman dengan penentangan bersenjata dalam sejarah dunia, dan mendapati kebangkitan aman menunjukkan rekod kejayaan lebih besar mengatasi kebangkitan bersenjata.

Antara kebangkitan aman yang disenaraikan sebagai berjaya ialah revolusi di Iran pada 1979, protes rakyat Filipina menjatuhkan Ferdinand Marcos pada 1986 dan revolusi warna di republik bekas Soviet Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan pada 2003 hingga 2005.

Dalam tinjauan 25 kebangkitan besar-besaran antara 1900 hingga 2006, didapati 20 daripada kempen itu bersifat aman, dan lima bersenjata. Daripada 20 itu, 14 mencapai kejayaan, manakala hanya dua daripada lima kempen bersenjata berjaya.

Walaupun kaitan dengan Bersih boleh dibuat, terdapat beberapa perbezaan seperti rejim-rejim yang dikaji jauh lebih buruk berbanding pemerintah Malaysia, dan penyertaan dalam kebangkitan yang dikaji itu melibatkan jumlah yang dalam kes paling kecil, melibatkan angka 300,000 orang.

Persamaan yang jelas setakat ini ialah melibatkan penggunaan warna, kerjasama parti politik pembangkang dengan pertubuhan bukan kerajaan dan kempen yang sistematik dan menerima perhatian masyarakat antarabangsa, serta menerima beberapa bentuk bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan asing.

Penulisnya menyimpulkan lima sebab utama yang mendorong kejayaan kebangkitan aman besar-besaran:

1. Penyertaan massa yang ramai dan pelbagai mengakibatkan gangguan (civic disruptions) besar-besaran yang boleh mendorong penyokong rejim, termasuk pasukan keselamatan menilai semula kepentingan mereka dan menjadi lebih cenderung untuk mengalihkan sokongan daripada pemerintah kepada gerakan kebangkitan. Kebanyakan akan mahu menyelamatkan diri dan bersama pihak yang menang, dan ini mendorong perubahan sokongan.

2. Tekanan terhadap kempen aman yang besar lebih berkemungkinan mencetuskan kesan buruk ke atas pemerintah, termasuk penyertaan lebih ramai dalam kebangkitan, elit pemerintah berpaling tadah dan hukuman (sanctions) ke atas rejim terbabit.

3.Kempen yang menunjukkan penyertaan jumlah besar orang awam lebih mudah mendapat sokongan masyarakat antarabangsa dan menyebabkan rejim kehilangan sokongan daripada kuasa serantau dan antarabangsa.

4. Kempen aman yang besar lebih mampu mengelak dan menggagahi tekanan rejim, berbanding kempen kumpulan yang kecil.

5. Kempen aman besar-besaran cenderung untuk lebih mampu melakukan inovasi melibatkan taktik berbanding protes kecil, menjadikan mereka lebih mampu menyusun gerakan dan menyesuaikan diri dalam menghadapi tekanan rejim.

Suasana politik dunia terutama ketika kebangkitan di dunia Arab masih dirasai kesannya oleh pemerintah di seluruh dunia, menjadikan kuasa rakyat mula dilihat mampu membawa perubahan politik.

Dalam iklim politik masa kini, seperti ditegaskan pemikir geopolitik Amerika Syarikat Zbigniew Brzezinski, "buat pertama kali dalam sejarah, hampir seluruh warga dunia aktif dan sedar politik, dan menjadi semakin interaktif."

Seperti yang dilihat dalam protes massa dari Asia Tenggara ke Asia Tengah hingga ke Afrika Utara, kebangkitan rakyat mentakrifkan dunia politik pada masa ini, menjadi satu trend global yang merebak ke seluruh dunia tanpa sekatan, digalakkan lagi oleh populasi muda yang besar dan faktor-faktor ekonomi seperti harga keperluan asas dan peluang pekerjaan.

Di Malaysia, kuasa orang muda kelihatan semakin vokal dan berani, seperti disaksikan dalam kempen-kempen melibatkan mahasiswa yang mula aktif sejak kebelakangan ini. 

Suasana ini dirasakan oleh semua kerajaan di dunia, terutama negara-negara berpemerintah autoritarian yang merupakan majoriti di Asia Barat dan Asia Tengah. Malah, negara kuasa besar Rusia turut berdepan dengan kebangkitan besar-besaran yang mampu menggugat rejim masa kini.

Dalam mempertahankan diri, pemerintah yang berdepan cabaran kebangkitan rakyat ini mengemukakan hujah sokongan kuasa Barat kepada kumpulan-kumpulan sivil dan parti pembangkang yang bersatu tenaga dalam menjatuhkan pemerintah sedia ada, dakwaan yang juga pernah dikemukakan oleh Mahathir.

Tetapi dalam banyak kes, perhatian kepada bantuan Barat ini kelihatan digunakan oleh pihak rejim untuk menutup kesalahan masing-masing dan mengalihkan beban kepada penentang.

Hal ini disebabkan peranan dimainkan oleh pertubuhan seperti Endowmen Nasional untuk Demokrasi (NED) dan dua cabang utamanya mewakili dua parti utama AS, Institut Republikan Antarabangsa (IRI) dan Institut Demokratik Nasional (NDI), yang tidak bebas daripada kritikan dari dalam AS sendiri ekoran penglibatan dalam proses politik di negara asing.

Isu sokongan Barat terutama AS ini menjadi satu topik yang hangat dalam perbincangan melibatkan peranan AS dalam usaha yang disebut "menyebarkan demokrasi" ke seluruh dunia, yang didasarkan pada doktrin Wilsonisme, satu asas penting dalam wacana dasar luar AS.

Walau bagaimanapun, perubahan dalam politik Malaysia, sekurang-kurangnya berdasarkan ucapan umum pemimpin-pemimpin politik pembangkang setakat ini masih dituntut untuk dilakukan melalui pilihan raya dan bukan aksi massa.

Perhimpunan Bersih sebelum ini memperlihatkan hasilnya dalam pilihan raya umum selepas itu, yang dilihat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang diadakan kurang enam bulan selepas perhimpunan Bersih pertama.

Tetapi protes massa yang besar berpotensi diadakan, seperti yang dijalankan di negara-negara bekas Soviet, sekiranya keputusan pilihan raya berjaya diperlihatkan sebagai telah dipalsukan, atau proses pilihan raya masih tidak bersih sehingga menghasilkan keputusan yang tidak seperti diharapkan.

Pembinaan momentum sejak Bersih 2.0 pada Julai tahun lalu, diikuti oleh Bersih 3.0 hujung April lalu memungkinkan kebangkitan melibatkan jumlah yang besar dapat digerakkan oleh PR dan NGO yang terlibat.

Kebangkitan ini, yang dijangka akan terus didepani oleh gerakan Bersih, boleh membuka pelbagai kemungkinan termasuk menjatuhkan kerajaan BN, yang menjadi matlamat utama pembangkang.

Tetapi, satu pengajaran daripada kebangkitan massa yang perlu diperhatikan ialah potensi kemunculan faktor-faktor lain seperti elemen sektarian dan elemen negatif lain yang boleh tercetus daripada suasana yang tegang.

Kejatuhan kerajaan BN memang satu hasil yang berpotensi dicapai, tetapi pelbagai faktor boleh mengubah haluan dan sifat kebangkitan massa yang dicetuskan itu. 



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...