Perkembangan terkini dalam konteks dunia filem antarabangsa
tentulah tentang anugerah Palme D‘Or 2010 yang dirangkul oleh Apichatpong
Weerasethakul melalui filem arahannya Uncle Boonmee Who Can Recall His
Past Lives.
Dari beberapa sudut, khususnya dalam konteks dunia filem
asia tenggara – sedikit sebanyak kita punya asas yang kuat untuk sama-sama
bergembira. Anugerah Palme D’Or ialah anugerah berprestij, yang dalam beberapa
sudut yang boleh dipertahankan, khususnya jika dilihat dari perjalanan
sejarahnya – menjadi satu aras kepada kualiti filem dunia.
Dan, untuk tahun
2010, yang menjadi tanda aras kepada pencapaian dan kualiti filem dunia itu,
datangnya daripada Thailand.
Fakta yang terakhir ini, maksud saya filem itu datangnya daripada
Thailand, dari beberapa sudut, ialah satu fakta yang pedih untuk kita. Satu
soalan yang menarik di sini, jika benar para pengarah kita mahu memikirkannya,
apakah istimewanya negara itu, khususnya dunia filem mereka, berbanding dengan
dunia filem tempatan?
Jawapannya, jika mahu disenaraikan, memang banyak. Salah
satunya tentulah keseriusan para pengarah filem, yang menyuntik elemen-elemen
serius, budaya dan "nilai hidup Thai" dalam visual mereka.
Kejayaan yang dirangkul oleh pengarah filem Thailand itu
bolehlah diumpamakan seperti kejayaan Neil Amstrong memacakkan bendera Amerika Syarikat
di bulan. Maksud saya, itu ialah saat bersejarah, yang mana, boleh menjadikan
diri kita lebih besar di hadapan orang lain.
Seperti mana bangsa Amerika saat
Perang Dingin boleh menjadi bangga apabila berdiri di hadapan orang Rusia
apabila Neil Amstrong memacakkan bendera Amerika di bulan, sekurang-kurangnya
begitulah perasaan orang Thai apabila mereka bercakap tentang filem selepas
ini.
Mungkin, ketika industri filem di Thailand belum lagi habis
berseronok atas kejayaan tersebut, SM Zakir, dalam salah satu entri di dalam
blognya menulis bahawa filem Malaysia telah "beranjak" ke satu tahap lagi,
dengan penghasilan "filem jubur Melayu."
Dalam entrinya itu, SM Zakir mencemuh
fenomena filem Melayu yang terus-terusan memfilemkan hal-hal yang berkaitan
dengan "jubur." Filem-filem Jubur ini hadir setelah beberapa lama filem-filem
kita di layar putih secara kronologi di bingitkan oleh "enjin kereta dan
motor," hilai "suara hantu" plastik dan kisah-kisah percintaan yang ketiadaan
konteks dan kenihilan nilai.
Seolah-olah, tidak ada subjek lain yang
kelihatannya boleh diutarakan dalam konteks filem tempatan daripada hal-hal
sebegitu. Seolah-olah, kita seperti digambarkan bahawa, aras pemikiran para
pengarah kita terlalu rendah, serendah jalan raya, dan kalaupun cuba pergi
lebih tinggi, hanya boleh naik setakat juburnya sahaja.
Saya bukanlah anti kebebasan berkreatif atau bersuara -
namun, saya fikir, apapun hendaklah digunakan dengan baik. Selagi kita mengakui
kita ini makhluk Allah, dalam pengertian seorang "khalifah" – maka, selagi
itulah kita terpaksa tunduk dengan tanggungjawab atau taklif yang telah
ditetapkan.
Biarpun kita memiliki kebebasan berkreatif, namun, apakah kebebasan
berkreatif itu memberikan kita lesen untuk menggunakannya semahu mungkin.
Seperti kita memiliki sebilah pisau, begitulah jugalah seperti kita memiliki
kebebasan berkreatif.
Kita tidak boleh menggunakan sebilah pisau sesuka hati,
atas alasan memiliki hak menggunakan pisau itu kerana pisau itu milik kita.
Sebaliknya kita dituntut menggunakan pisau itu sebaik-baiknya agar tidak
memberikan kemudaratan.
Berdasarkan apa yang telah berlaku, saya fikir, filem jubur
dan bersifat seksual ini akan menjadi satu fenomena baru. Selepas ini kita akan
melihat ramai sekali karyawan filem, dan tentunya dengan dibantu oleh produser
yang hanya mencari keuntungan, akan dengan berani sekali mengarah dan menerbit
filem seperti ini.
Biarpun, alasan yang akan dikemukakan kelihatannya suci,
termasuk alasan kebebasan berkreatif, dan akan dituturkan oleh "pemikir filem"
yang bertaraf profesor (kangkung?) namun saya lihat, itu semua ialah satu
retorik murahan bagi menutup tahap pemikiran sesetengah pengarah kita yang tin
kosong.
Sebagai mana bisingnya filem Malaysia dengan hilai hantu dan bingit
enjin, begitulah bunyi tin kosong apabila diketuk. Dentingnya membingitkan,
tetapi hakikat isinya kosong.
Satu perkara yang juga boleh dilihat dalam perkembangan
filem-filem jubur ialah pemanifestasian isu perjuangan kebebasan seksual atau
nafsu. Apakah kini filem di Malaysia, dalam konteks ini yang dilahirkan oleh
pengarah Melayu – sedang mempromosikan kebebasan homoseksual dan mungkin
selepas ini, lesbian.
Hal ini (filem lesbian) tentulah tidak mustahil akan
berlaku, seperti mana yang berlaku pada filem-filem jubur ini, lebih-lebih lagi
apabila kita lihat fenomena tomboy yang berleluasa. Mungkin, sesetengah
produser/pengarah yang sudah selesai mengarahkan filem jubur, mungkin berminat
untuk memfilemkan dan menerbitkan filem lesbian pula.
Maka, ketika itu,
terjadilah sekali lagi anjakan dalam konteks filem Melayu, dan frasa "jubur"
yang digunakan sudah terpaksa ditukar kepada frasa yang kelihatannya
lebih taboo.
Apakah sudah tidak ada kebebasan yang lebih penting dan
mulia, selain memperkatakan tentang kebebasan di bawah? Apakah, ketika mereka
terus-terusan memperjuangkan kebebasan di bawah, mereka terlupa untuk
memperjuangkan kebebasan yang lebih penting dan perlu, yakni kebebasan di atas.
Saya yakin, jika mereka menumpukan filem-filem yang menumpukan kebebasan di
atas, maruah pemikiran mereka tidak akan jatuh dan menyembah jubur mereka
sendiri. Tidak ada tamadun, yang mana dapat diangkat dengan filem-filem seperti
ini. Malah, sering kali sejarah menyatakan yang sebaliknya.
Ketika dilema demi dilema yang berterusan dalam fenomena
filem Malaysia, kita mula terfikirkan satu soalan yang lebih penting; Ke manakah hala filem kita? Atau mungkin, dalam soalan yang lebih berterus terang,
apakah industri filem kita tidak mempunyai tujuan? Bolehkah industri filem kita
diumpamakan seorang buta yang kehilangan tongkat?
Jawapan-jawapannya memang pedih, lebih-lebih lagi jika kita
membandingkan perkembangan yang berlaku di belahan dunia filem yang lain. Jika
dunia Amerika Latin terus tegar dengan konsep "Sinema Ketiga" – satu antithesis
kepada filem-filem Hollywood dan Eropah, filem Iran yang tegar dengan identiti
Islam dan Syiahnya – filem-filem Afrika yang mula memperlihatkan kelantangan
visualnya, dan Hong Kong yang semakin jelas memperlihatkan nasionalisme Cinanya
biarpun dalam ruang yang popular seperti dalam filem Ip Man misalnya – jadi, di
manakah kita?
Jawapannya, kita mulai tegar dengan filem-filem yang mensepelekan
nilai Islami dan budaya Melayu, yang dalam konteks ini, perkembangannya sudah
sampai pada tahap "penghasilan filem jubur Melayu."
Artikel ini pernah disiarkan dalam akhbar Siasah, 6-12 Jun, 2010. Telah menghasilkan banya karya sastera dan rencana di pelbagai penerbitan. Koleksi cerpen Cerita Malam Pertama ialah buku terbaharunya, terbitan Ameen Books. Beliau menulis di blog Dunia Tanpa Fiksyen.
No comments:
Post a Comment