Budaya popular semakin menjadi ciri penting kempen politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, sehingga semakin mengambil bahagian yang besar dalam wacana politik popular negara.
Kempen Barisan Nasional melalui perhimpunan belia di Putrajaya minggu lalu menerima reaksi negatif, termasuk daripada mufti Perak ekoran kemunculan artis pop Korea yang berpakaian tidak sopan.
Sekitar masa yang sama, pemerintah juga menerima artis popular Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman menyertai Umno, perkembangan yang mencetuskan kejutan ekoran publisiti meluas sebelum ini melibatkan hubungan Amy dengan PAS.
Pada masa sama, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak ketinggalan dalam kempen menarik undi belia, dengan program utama untuk tujuan ini, festival Rock the Youth.
Festival ini menampakkan ciri politiknya dengan jelas, antaranya melalui kemunculan A Samad Said, seniman dan kini lebih dikenali sebagai aktivis Bersih 3.0 dan penyokong kuat PR.
Dengan tema "celebrating and empowering," kempen Rock the Youth ini menjadi medan untuk PR terutama di Selangor berusaha memenangi hati pengundi muda, tanpa terlalu menampakkan penglibatan ahli politik atau kerajaan negeri.
Sentimen yang digabung dan diraikan dalam festival itu memperlihatkan dengan jelas kecenderungan politiknya, yang paling jelas dapat dilihat melalui liputan oleh media kerajaan negeri.
Elemen rock dan budaya popular biasanya seiring dengan sentimen anti-establishment atau antirejim, yang dapat diperhatikan melalui festival Rock the Youth oleh kerajaan Selangor.
Kempen Rock the Youth oleh kerajaan Selangor ini mempunyai beberapa persamaan dengan kempen kesedaran politik Rock the Vote di Amerika Syarikat, yang dijalankan dengan imej budaya pop berciri MTV ditujukan kepada belia.
Elemen budaya popular dan kecenderungan liberal kempen berciri MTV itu (termasuk penglibatan artis yang sebahagian besarnya menyokong Demokrat) secara
langsung memberi manfaat kepada Parti Demokratik berbanding Parti
Republikan, walaupun Rock the Vote tidak memperlihatkan atau menyatakan
pilihan parti dengan jelas.
Malah, salah satu peristiwa yang disebut sebagai satu kejayaan kempen Rock the Vote ialah tindakan Presiden Bill Clinton menandatangani Akta Pendaftaran Pengundi Nasional pada 1993.
Kerajaan PR Selangor dapat memanfaatkan semangat yang diraikan dan dibina melalui program itu, pada masa sama memperlihatkan sikap mesra dengan generasi muda dan hiburan.
Hal ini penting dalam kempen politik melalui budaya popular yang semakin meningkat pada masa ini, dengan perdana menteri turut sama menonjolkan diri dalam acara-acara melibatkan golongan muda.
No comments:
Post a Comment