Tuesday, May 22, 2012

FTA Malaysia-Australia cetus banyak persoalan

Malaysia dan Australia bakal menandatangani perjanjian perdagangan bebas pada hari ini di Kuala Lumpur, hasil kejayaan rundingan yang bermula sejak Mei, 2005.

Perjanjian dua hala itu dijadual ditandatangani Menteri Perdagangan Australia Craig Emerson dan rakan sejawatannya Datuk Seri Mustapa Mohamed itu dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan bagi Canberra.

Selari dengan peningkatan hubungan Malaysia-Australia kebelakangan ini, perjanjian perdagangan bebas ini menambahkan senarai isu-isu penting yang menyaksikan kerjasama rapat Kuala Lumpur dengan Canberra.

Lapor akhbar The Australian, kejayaan mencapai persetujuan ini dijangka mendorong rundingan dengan rakan dagang utama Australia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Menteri perdagangan Australia itu dilapor berkata FTA dengan Malaysia itu memberi gambaran bahawa Canberra "bersungguh-sungguh mahu mencapai perjanjian perdagangan bebas berkualiti tinggi."

Kejayaan mencapai perjanjian ini juga dikaitkan dengan keperluan politik domestik dihadapi pemerintah di kedua-dua negara.

Bagi kerajaan Australia pimpinan Perdana Menteri Julia Gillard, perjanjian ini memberi satu kesan positif baharu di tengah-tengah politik yang agak bergolak pada masa ini.

Lapor akhbar itu lagi, perjanjian 21 bab itu termasuk penghapusan 97 peratus tarif barangan Australia yang dijual di Malaysia, termasuk kenderaan kecil, beras, wain dan besi, dan untuk barangan lain menyusul kemudian.

Jumlah ini bakal meningkat kepada 99 peratus menjelang 2017.

Sektor perkhidmatan pula menyaksikan peningkatan akses Australia ke pasaran Malaysia yang sangat luas, termasuk memiliki sehingga 70 peratus pemilikan firma tempatan.

Sektor ini termasuk universiti, sekolah, bank dan syarikat telekomunikasi.

Walau bagaimanapun, faedah kepada Malaysia sehingga kini tidak diberikan publisiti sewajarnya, menimbulkan persoalan tentang manfaat yang bakal diperolehi rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan mengkritik pentadbiran Najib kerana menjalankan "rundingan tertutup" itu tanpa melibatkan sebarang maklum balas daripada rakyat.

Kekurangan pendedahan tentang proses rundingan itu juga memberi gambaran bahawa pentadbiran Najib mahu mengelak daripada sebarang respons daripada pemerhati.

Antara isu kritikal ialah ketidakseimbangan dalam perjanjian bebas dua hala melibatkan negara membangun dengan negara maju, termasuk perjanjian terperinci ketat yang perlu dipatuhi dan kesannya terhadap peraturan dan penggubalan dasar pada masa akan datang.

Perjanjian dua hala seperti ini, yang menjadi satu pilihan bagi negara maju untuk mencapai kepentingan melalui persetujuan di luar kerangka perjanjian multilateral mampu menyekat kebebasan negara membangun, misalnya dalam menggubal dasar sosioekonomi spesifik untuk kepentingan rakyat.

Proses rundingan ini juga tidak melalui debat dan perbincangan dalaman melibatkan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan, malah turut kurang mendapat perhatian daripada pihak pembangkang.

Perjanjian ini kini menjadi isu berprofil tinggi ketiga melibatkan hubungan Malaysia dengan Australia selepas kontroversi pemprosesan nadir bumi oleh syarikat Australia, Lynas dan usaha kerjasama menyerahkan pelarian politik ke Australia ke Malaysia, rancangan kontroversi yang digelar "penyelesaian Malaysia."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...