Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Sunday, August 17, 2014

Isu MB Selangor: Keputusan PAS jalan keluar untuk semua?

Keputusan mesyuarat PAS hari ini mencapai keputusan yang boleh dijangka, iaitu PAS tidak lagi menyokong Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah dipecat dari PKR, tetapi pada masa sama PAS mengemukakan dua nama sebagai calon menteri besar dari PKR; Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan Mohamed Azmin Ali.

PAS tidak lagi memberikan sokongan kepada Khalid, yang bukan lagi anggota Pakatan Rakyat dan telah mengambil tindakan memecat enam orang anggota ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dari PKR dan DAP.

Tetapi keputusan yang tidak kurang penting yang menyebelahi kepentingan PAS dan PR ialah mengekalkan empat exco dari parti itu dalam pentadbiran Khalid di Selangor.

Hal ini telah mencetuskan rasa tidak senang sesetengah pihak, terutama PKR kerana PAS dilihat sebagai menyebelahi Khalid yang telah ditolak PKR dan juga bersama dengan Umno menyokong Khalid kekal.

Keputusan PAS ini boleh dilihat sebagai satu kompromi yang boleh menjadi jalan keluar kepada semua pihak, tetapi tetap akan berdepan dengan sultan Selangor, yang setakat ini masih merestui Khalid kekal sebagai menteri besar.

PKR cuba mengemukakan tafsiran yang PAS bersetuju dengan Wan Azizah sebagai menteri besar seperti yang diputuskan oleh PKR, tetapi tindakan menyertakan nama Azmin telah menunjukkan yang PAS masih mengekalkan pendirian sendiri dalam hal ini.

Keputusan PAS ini tidak dipastikan akan memberi kesan kepada PKR, kerana parti itu telah memutuskan presidennya, Wan Azizah, keputusan yang mencetuskan kritikan hebat terhadap Anwar, PKR dan seluruh PR disebabkan kedudukan Wan Azizah sebagai isteri Anwar.

PAS dalam kenyataan selapas tamat mesyuarat kekal berpendirian memberikan jawatan menteri besar kepada PKR, sebagai satu perjanjian yang dipersetujui dalam kerjasama politik PAS dengan PR.

Wan Azizah dan Azmin tidak sehaluan dan bersaing sengit dalam PKR, dengan masing-masing mempunyai jumlah penyokong yang besar, dan pada masa sama juga masing-masing mendapat sokongan beberapa media berita di internet, dengan Malaysian Insider cenderung kepada Wan Azizah dan Malaysiakini kelihatan lebih mewakili pendirian Azmin.

PAS telah dilihat sebagai tidak tetap pendirian dalam hal ini dan hanya menurut kehendak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR, tetapi selain dapat mengekalkan exco dalam kerajaan Selangor, PAS juga dapat mengekalkan peranannya dalam kerajaan negeri, menjadi satu-satunya parti PR yang masih berperanan dalam kerajaan negeri yang ingin dirampas Barisan Nasional ini.

Majlis presiden PR bermesyuarat petang ini untuk membuat keputusan, tetapi isu ini dijangka tidak akan selesai dengan mudah, disebabkan perbezaan pandangan dalam kalangan PR dan juga peranan sultan Selangor.

Saturday, August 16, 2014

Pakatan Rakyat dan pelajaran politik koalisi

Sejak tahun 1990, parti-parti pembangkang di Malaysia mula merapatkan kerjasama dalam menghadapi Barisan Nasional, dalam pakatan-pakatan yang lebih kohesif dan meyakinkan.

Bermula tahun 1990, PAS dan parti-parti pembangkang Semangat 46 dan tiga parti kecil Melayu bersatu menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah, APU, yang sempat bertanding dalam dua pilihan raya umum.

APU bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1990 dan 1995, dengan PAS mendapat kemenangan besar berjaya menguasai Kelantan dan kemudian mengekalkannya. PAS kekal menguasai Kelantan hingga ke hari ini, yang satu punca utamanya ialah kerjasama dalam APU.

Pada masa sama, Semangat 46 bekerjasama dalam Gagasan Rakyat yang anggota termasuk parti-parti yang kini membentuk Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Rakyat Malaysia, PRM, yang sebahagian besar ahlinya telah menyertai Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat.

APU dan Gagasan Rakyat walau bagaimanapun ialah dua pakatan yang berbeza walaupun bergerak secara seiringan dalam dua pilihan raya umum.

Selepas dua pilihan raya umum, hayat APU berakhir apabila Semangat 46 berpecah dengan ahli-ahlinya menyertai Umno bersama pemimpinnya Tengku Razaleigh Hamzah dan juga PAS.

APU mencatat sejarah berjaya menghadapi dua pilihan raya umum, dengan agenda yang sederhana dan dianggotai parti-parti yang tidak banyak berbeza dari sudut ideologi dan identiti.

Kemudian, pada pilihan raya 1999, ekoran peristiwa politik yang bermula September 1998, PAS bersama parti-parti pembangkang lain menubuhkan Barisan Alternatif. Barisan Alternatif menggabungkan PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan PRM dalam satu pakatan.

Dalam pilihan raya umum tahun 1999, Barisan Alternatif bertanding sebagai satu pakatan pilihan raya dengan meyakinkan, membawa satu manifesto bersama.

Tetapi, kemudian, perbezaan pandangan parti-parti terbabit terutama PAS dan DAP menjejaskan kesepakatan Barisan Alternatif, sehingga akhirnya DAP menarik diri pada 2001.

Selepas itu, Barisan Alternatif wujud dalam keadaan yang tidak sempurna, kerana sebuah parti yang penting kepada pakatan itu telah keluar, dan akibatnya tidak menampakkan gabungan itu sebagai apa yang dipersembahkan pada awal penubuhan.

Walaupun dalam pilihan raya umum berikutnya nama Barisan Alternatif masih didengari, hakikatnya ia tidak sama dengan pakatan yang dibayangkan pada tahun 1999, dan menunjukkan pakatan itu gagal mencapai kesepakatan dalam hal yang asas.

Secara praktiknya, Barisan Alternatif berakhir apabila DAP menarik diri, dan gabungan ini sebenarnya hanya berjaya melalui satu pilihan raya bersama.

Dalam pilihan raya umum tahun 2004, tidak wujud satu pakatan kerjasama pilihan raya yang meyakinkan, walaupun PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang dilancarkan pada tahun sebelumnya bekerjsama rapat.

Kemudian, dalam pilihan raya umum tahun 2008, parti-parti pembangkang sekali lagi berusaha menunjukkan kesepakatan dalam menghadapi BN, dengan keputusan pilihan raya yang menyaksikan PAS, PKR dan DAP mendapat kejayaan besar.

Pilihan raya ini telah memaksa PAS, PKR dan DAP bersatu, dan hasilnya Pakatan Rakyat ditubuhkan, dan muncul sebagai pakatan paling kohesif dalam sejarah terkini sejak APU dan Barisan Alternatif.

Pakatan Rakyat membina manifesto bersama, program bersama terperinci dalam Buku Jingga, dan memperlihatkan hubungan dan kerjasama rapat di semua peringkat. Pakatan Rakyat ialah gabungan terbaik selepas dua eksperimen sebelum ini, yakni APU dan Barisan Alternatif.

Selepas hampir 25 tahun sejak penubuhan APU dan Gagasan Rakyat, parti-parti pembangkang kini bersama dalam satu gabungan Pakatan Rakyat yang sukar dibayangkan pada masa itu, dan selepas Barisan Alternatif berpecah.

Tempoh 25 tahun ialah satu masa yang panjang, dan sepatutnya telah menyediakan pelajaran yang cukup untuk mematangkan parti-parti pembangkang dalam pembinaan aliansi.

Sekiranya Pakatan Rakyat tidak dapat dikekalkan, parti-parti pembangkang bakal kelihatan lemah dan tidak berwibawa, kerana banyak sebab, termasuk kerana terus tidak mampu membina pakatan yang kohesif dan stabil selepas puluhan tahun terlibat dalam politik pilihan raya Malaysia.

Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyediakan suasana yang kondusif untuk pembinaan pakatan politik yang mampu menyaingi BN, jauh lebih baik berbanding tahun 1990 dan 1999.

Pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat wajar membuktikan yang gabungan ini boleh dipertahankan, dan tidak mencatat sejarah sebagai pakatan yang hanya mampu melalui satu pilihan raya umum seperti pakatan sebelum ini.- Ogos 15, 2014

Monday, March 31, 2014

Pemilihan PKR: Persaingan parti dan persaingan politik Selangor

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kongres PKR di Seremban pada 2007, melalui satu ucapan penuh drama menolak untuk dipilih sebagai presiden parti dengan alasan masalah yang mungkin timbul melibatkan Pendaftar Pertubuhan.

Pada pemilihan tahun ini yang akan berlangsung tidak lama lagi, Anwar kelihatan bersedia menghadapi satu risiko besar.

Pelbagai spekulasi timbul ekoran keputusan Anwar itu, termasuk kemungkinan kaitan dengan satu perjanjian politik melibatkan parti pemerintah, dan Anwar sengaja mengundang masalah melalui pencalonan ini.

Keputusan Anwar ini, yang meletakkannya sebagai pencabar kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi isu yang menarik perhatian dalam pemilihan PKR kali ini, kerana kesediaan Anwar untuk bertanding dan juga kedudukan Wan Azizah yang disebut sebagai "insurans" sekiranya Anwar tidak dapat bertanding, yang bermakna jawatan presiden kekal tidak dapat direbut orang lain. 

Sama ada kedua-dua pemimpin akan bersaing merebut jawatan atau salah seorang menarik diri, keputusan ini telah mencetuskan pelbagai tanggapan terhadap PKR, dan mengesahkan beberapa label negatif yang telah berleluasa selama ini.

Apa pun keputusan pemilihan presiden, PKR sememangnya selama ini dikuasai Anwar hampir sepenuhnya, dengan beberapa tokoh lain, termasuk Wan Azizah, bertindak sebagai pengimbang kepada kuasa Anwar.

Selain pasangan suami isteri ini, tumpuan lain ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencabar Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden. Dua pemimpin ini masih bersaing sengit di Selangor, dengan pelbagai usaha dilakukan sejak bertahun lalu untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Selepas "langkah Kajang" berakhir tidak seperti yang diuar-uarkan pada awalnya, Khalid masih dilihat belum selamat, antaranya kerana kompleksiti kedudukan Wan Azizah, yang dilihat perlu diletakkan di kedudukan yang sewajarnya.

Keputusan Khalid mencabar Azmin menunjukkan keyakinan dan tekad yang kuat untuk menteri besar Selangor itu terlibat lebih mendalam dalam politik parti PKR, meningkatkan pertembungannya dengan Azmin.  

Pada masa sama, pemilihan ketua pemuda PKR juga menyaksikan persaingan kem-kem bertentangan yang berpihak pada pemimpin-pemimpin tertinggi dalam parti, paling jelas Azmin diwakili Amiruddin Shaari, pemimpin muda yang paling awal mengumumkan hasrat bertanding sebagai ketua sayap pemuda PKR, Angkatan Muda Keadilan.

Proksi Azmin ini bakal bersaing dengan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Mohd Nazree Yunus, yang kedua-duanya sama ada cenderung kepada Khalid atau agak kurang kesetiaan kem, tetapi Nik Nazmi juga dilihat sebagai orang Anwar, sehingga disimpulkan pertembungan proksi turut menemukan Anwar dengan Wan Azizah selain Azmin dengan Khalid.

Dalam wanita PKR, Azmin diwakili orang kuatnya Zuraida Kamarudin. Persaingan naib presiden pula menampakkan pemimpin-pemimpin yang tidak cenderung kepada Azmin mempunyai kelebihan, termasuk Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli.

Pemilihan kali ini jelas sekali dicorakkan oleh pertembungan di Selangor, negeri kaya di mana PKR paling kuat dan membentuk tonggak utama sumber parti, bermakna pemenang dalam pemilihan kali ini akan memperolehi peluang untuk lebih menguasai Selangor dan menentukan hala tuju parti masa depan, termasuk melibatkan hubungan PKR dengan Pakatan Rakyat.

Friday, February 28, 2014

Pintasan Putrajaya lemahkan langkah Kajang

Upacara menandatangani memorandum persefahaman penstrukturan semula bekalan air Selangor antara Selangor dan Putrajaya 26 Februari lalu berlangsung dengan sangat sederhana tetapi jelas mesej politiknya.

Majlis yang sepatutnya tidak seberapa besar itu dihadiri sama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis itu jelas menampakkan kejayaan Putrajaya dan Khalid memintas kemungkinan-kemungkinan yang bakal dicetuskan pihak lain sekiranya Khalid tidak lagi menjadi menteri besar.

Majlis yang dikatakan diadakan secara agak tergesa-gesa dan tanpa pengetahuan ramai sebelumnya segera mendapat respons arkitek langkah Kajang, Rafizi Ramli, mewakili kepimpinan PKR yang menunjukkan penentangan terhadap persetujuan itu.

Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin kemudian turut mempersoalkan tindakan Khalid itu, dengan mengaitkannya dengan kemungkinan kos air lebih tinggi dan dilakukan secara terburu-buru, walaupun dinyatakan dengan agak berlapik.

Persetujuan ini sebenarnya telah dicapai selepas rundingan Disember lalu, dan Khalid mengumumkannya Januari lalu. Tawaran kerajaan Selangor akhir tahun lalu pada mulanya tidak dipersetujui, yang kemudian membawa kepada persetujuan baharu, yang dipersetujui pentadbiran Khalid dan Putrajaya.

Satu lagi tawaran pengambilalihan melibatkan syarikat Gamuda Berhad, yang menawarkan pembelian aset air Selangor dengan nilai RM10.75 bilion.

Langkah Khalid ini segera mendapat perhatian seteru politik Anwar, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merancang bertanding di Kajang dan menjadi menteri besar Selangor, mempunyai rancangan lain yang kini telah dipintas oleh Khalid dan Putrajaya.

Khalid turut membuat kenyataan yang hampir sama, dengan menyatakan ada pemimpin PKR yang mahu menetapkan harga lain bagi aset air Selangor.

Dalam kalangan Pakatan Rakyat terutama PKR, ramai tidak bersetuju dengan tindakan Khalid, kritikan terhadap menteri besar Selangor itu masih dilakukan dengan agak berhati-hati.

Wednesday, February 26, 2014

Kajang antara pemulihan MCA dan kebimbangan Umno

Oleh JOHARI M

Barisan Nasional telah memutuskan untuk meletakkan Datin Paduka Chew Mei Fun, naib presiden MCA bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, bersaing dengan nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Zaid Ibrahim, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding.

Jelas sekali apa yang menjadi penilaian utama BN dalam meletakkan calon MCA ialah harapan merebut undi kaum Cina yang merupakan sekitar 40 peratus pengundi di kawasan itu.

Perkiraan ini sekali pandang nampak seperti strategi yang baik, tetapi apabila dilihat dengan lebih mendalam mendedahkan kaum Cina di Kajang kepada satu dilema dan implikasi yang negatif.

Calon Dun Kajang sebelum ini ialah wakil Cina daripada PKR, yang telah meletak jawatan dan memberi laluan kepada Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat berbangsa Melayu.

Pengundi Cina Kajang dijangka memberi undi secara blok kepada Anwar, atas merit beliau sebagai pemimpin PR yang dilihat sebagai boleh memelihara kepentingan mereka tanpa mengira bangsa.

Calon daripada MCA dinilai mampu mencabar Anwar dan calon lain berdasarkan MCA yang telah agak pulih dan diharap mampu menarik kembali sokongan kaum Cina yang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu meletak sepenuh harapan pada PR.

BN berharap perletakan jawatan wakil rakyat Kajang sebelum ini dan penyerahan kerusi itu kepada Anwar dilihat secara negatif oleh kaum Cina, dan akan membuat undi protes.

Sekiranya MCA menang, BN akan meraikan satu kejayaan yang mengejutkan dan menggembirakan, tetapi corak pengundian itu akan menunjukkan yang kaum Cina hanya mahu mengundi kaum mereka sendiri sahaja.

Hal yang sama juga sekiranya undi MCA meningkat dan majoriti kemenangan PR merosot berbanding PRU 13 yang lalu. Hakikat itu akan dapat dieksploit.


Perkiraan ini memberi gambaran tentang tanggapan BN terhadap pengundi Cina bukan sahaja di Kajang tetapi di seluruh negara, bahawa perkiraan kaum ialah yang paling penting.

Pilihan BN meletakkan calon daripada kaum Cina telah meletakkan pengundi Cina Kajang dalam persoalan yang boleh mencetuskan isu yang sukar kepada mereka.

Dalam persaingan di Kajang, Anwar nampaknya mempunyai kelebihan paling banyak, kerana sejak awal telah mengumumkan akan bertanding, tindakan yang menunjukkan kesungguhan dan tekad untuk mewakili rakyat Kajang.

Anwar turun bertemu orang ramai dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berhubung masalah setempat dan nasional, menunjukkan kesungguhan beliau.

Kehadiran beliau di Kajang sejak awal juga memberi kelebihan kerana paling awal bertemu rakyat Kajang dan membina hubungan, pada masa BN lambat membuat keputusan dan pada satu ketika kelihatan ketiadaan calon yang mempunyai kualiti boleh menang hingga muncul cadangan meletakkan jaguh badminton nasional Lee Chong Wei.

Sebab BN tidak meletakkan calon Umno dijangka disebabkan perkiraan yang hampir sama, yakni kerana tidak yakin kaum Cina akan memberi sokongan kepada calon Umno.

Pengundi Melayu yang membentuk majoriti juga tidak diyakini dapat memberi undi kepada Umno, kerana sokongan kuat kepada PR yang telah menunjukkan kemampuan menggantikan BN sebagai kerajaan di Putrajaya.

Pada PRU 13, Umno dihukum kerana mengambil kerusi yang selama ini ditandingi oleh MCA. Umno nampaknya tidak mahu hal ini berulang di Kajang, dan mungkin melihat tidak ada calon Melayu Umno yang mampu berdepan dengan Anwar, terutama dalam merebut sokongan kaum Cina.

Pilihan raya kecil Kajang itu nanti akan menjadi satu referendum kepada sokongan kaum Cina kepada MCA dan BN, selepas hampir setahun PRU 13 berlalu. - Februari 21, 2014

Saturday, February 1, 2014

Ke mana haluan konsensus nasional?

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Pakatan Rakyat terutama PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan kempen protes terhadap Barisan Nasional, menampakkan perbezaan yang tidak dapat didamaikan.

Tetapi kebelakangan ini cakap-cakap tentang satu konsensus nasional semakin tersebar luas, dan mendapat sokongan kuat Anwar dan PR.

Cadangan ini turut diterima baik oleh BN, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan minat terhadap dialog konsensus nasional ini.

Malah projek konsensus nasional ini turut disokong oleh Dr Mujahid Yusof, seorang ahli jawatankuasa pusat PAS dalam satu tulisannya, bertajuk Jalan ke Depan Bersama Konsensus Nasional yang disiarkan dalam portal Malaysian Insider, yang menunjukkan kecenderungan positif terhadap dialog ini, dan juga tindakan Anwar di Kajang.

Dialog ini disebut sebagai bertujuan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda rakyat pada masa ini, melibatkan pelbagai isu daripada hubungan antara kaum hingga ke harga barangan dan perkhidmatan.

Tetapi perkembangan ini tidak dapat mengelakkan daripada menampakkan sisi politik pragmatik kedua-dua pihak yang terlibat dalam rancangan ini.

Perbezaan yang kelihatan sebelum dan sejurus selepas PRU 13 menunjukkan yang tidak ada jalan lain bagi PR selain melawan habis-habisan pemerintah BN yang telah melakukan penipuan dalam pilihan raya, tetapi kebelakangan ini dapat diperhatikan kesungguhan untuk segera berdialog dan mencapai konsensus.

Perkembangan ini malah turut dikaitkan dengan projek gerakan Kajang, meletakkan Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dan menjadi menteri besar Selangor.

Kaitan antara kesungguhan untuk mengadakan dialog bagi mencapai konsensus nasional dengan gerakan Kajang dilihat sesetengah pihak, tetapi masih banyak mencetuskan spekulasi, terutama melibatkan rundingan antara Anwar dengan Najib.

Beberapa rundingan melibatkan dua pemimpin ini telah dilakukan sejak sebelum PRU 13 untuk mencapai penyelesaian politik.

Perkembangan terkini di Selangor tercetus ekoran percaturan PKR berhubung kedudukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti.


 

Pilihan raya kecil Kajang dan masa depan Pakatan Rakyat

Perletakan jawatan wakil rakyat Kajang dan persetujuan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu menjadi berita paling mengejutkan dalam politik negara pada masa ini.

Perkembangan ini meletakkan PKR dan Pakatan Rakyat dalam keadaan defensif, kerana tindakan yang tidak dapat diberi justifikasi dan memberi gambaran kepentingan agenda peribadi dan kumpulan mengatasi kepentingan rakyat.

Banyak persoalan sukar timbul ekoran keputusan perletakan jawatan dan hasrat Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, yang bakal membuka ruang kepadanya menjadi sebahagian kerajaan Selangor.

Sekurang-kurangnya tiga isu utama menjadikan episod terbaharu drama politik di Selangor ini menunjukkan kelemahan serius PKR terutamanya, dan juga PR dalam menangani persaingan kuasa di negeri ini.

Perletakan jawatan Lee Chin Cheh tanpa sebarang sebab yang dapat diterima ialah masalah pertama yang timbul, walaupun isu ini terus tenggelam disebabkan perkembangan selepas itu yang lebih menarik minat ramai.

Kedua ialah keperluan menukar menteri besar sedia ada kepada pemimpin lain, tanpa ada kesalahan atau isu-isu yang membolehkan tindakan ini diambil, dengan persetujuan parti-parti PR yang bersama membentuk kerajaan negeri.

Ketiga pemilihan Anwar, yang dilakukan dengan segera, untuk bertanding di kerusi Dun Kajang. Ini menimbulkan persoalan berhubung keperluan beliau bertanding dan berperanan dalam politik dan pentadbiran Selangor, pada masa sama beliau berperanan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Tiga isu ini, tidak dapat tidak menunjukkan ke arah politik peribadi dan kumpulan semata-mata, dengan mengabaikan kepentingan rakyat dan kerjasama politik parti-parti Pakatan.

Perkembangan ini kini menjadi ujian terbesar kepada PR, melibatkan integritinya sebagai sebuah gabungan yang selama ini mendakwa meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu agenda utama perjuangan.

Perletakan jawatan seorang wakil rakyat yang telah dipilih tidak sepatutnya berlaku dengan begitu mudah, dengan matlamat membuka jalan kepada pemimpin lain untuk memposisikan diri dan mendapatkan kuasa.

Menteri besar, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kontroversi. Ada yang lebih melibatkan permainan politik dalaman dan antara parti, dan ada yang melibatkan hal pentadbiran.

Menteri besar sedia ada tidak menampakkan sebarang kelemahan yang serius hingga memerlukan beliau diganti, apatah lagi dengan segala drama permainan politik yang bertaraf rendah dan menjejaskan imej dan nama baik PR secara keseluruhan.

Ruang yang dibuka kepada Anwar pula menunjukkan dominasi seorang pemimpin yang berlebihan dan mencetuskan pelbagai konflik lain, kepada kerajaan negeri, partinya dan PR.

Apa pun kedudukan Anwar sekiranya menang nanti, beliau bakal membawa pengaruh yang besar disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR. Ini akan memberi kesan yang tidak sepatutnya sekiranya beliau dapat menjadi menteri besar, dan lebih buruk lagi sekiranya tidak.

Kerosakan telah berlaku akibat percaturan politik ini, yang terus dikecam bukan sahaja oleh pesaing politik tetapi juga rakan dan penyokong. Parti-parti komponen dalam PR, terutama PAS, perlu mengambil tindakan yang rasional dalam menangani kemelut ini.

Kekecohan yang dirasai pada masa ini, walaupun menggemparkan, mungkin hanyalah permulaan kepada satu kerumitan yang lebih panjang dan kompleks.

Kepentingan kerjasama politik dan menjaga hubungan sememangnya penting demi memastikan kelangsungan pakatan politik ini, tetapi tidaklah jauh lebih mengatasi kepentingan rakyat. - Januari 28, 2014

Wednesday, April 24, 2013

PRU 13: NGO sekadar batu loncatan sertai politik?

Dua pilihan raya umum terkini telah menyaksikan hubungan semakin rapat pertubuhan masyarakat sivil - yang lebih dikenali dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) - dengan parti-parti politik.

Hubungan dan persepaduan aktiviti melibatkan parti-parti Pakatan Rakyat dengan pertubuhan Bersih dan Bersih 2.0 memperlihatkan hampir tidak ada garis pemisah antara badan-badan ini, dan semua berkongsi matlamat yang hampir sama.

Politik yang semakin panas sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga telah menarik ramai aktivis pertubuhan masyarakat sivil menyertai parti politik, sekaligus menimbulkan persoalan berhubung aktivisme kemasyarakatan mereka.

Satu contoh terbaharu ialah aktivis kumpulan Himpunan Hijau, Wong Tack yang memperjuangkan agenda anti-Lynas, pusat pemprosesan nadir bumi dekat Kuantan, Pahang.

Himpunan Hijau juga berkongsi agenda yang selari dengan parti-parti politik dalam PR, dan muncul hampir sepenuhnya sebagai sebuah kumpulan anti-Barisan Nasional, lebih daripada sebagai sebuah kumpulan pencinta alam sekitar.

Aktiviti Himpunan Hijau juga dijalankan sebagai sebahagian kempen yang mesra PR, termasuk menjadi salah satu kumpulan utama dalam perhimpunan besar-besaran di ibu negara pada 12 Januari, 2013.

Wong Tack yang sebelum ini pernah mencetuskan kekecohan apabila membuat kenyataan mahu membakar loji Lynas, kemudian telah memperlihatkan perubahan pendirian dalam tentangan kuatnya terhadap fasiliti tersebut.

Beliau kini bertanding di bawah tiket DAP di Parlimen Bentong di Pahang.

Sekiranya menang, beliau akan dapat menyampaikan suara agenda diwakilinya di Parlimen, tetapi masih timbul persoalan kesetiaan sekiranya agenda alam sekitar dan tiket diwakilinya tidak sehaluan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, dua aktivis masyarakat sivil, Elizabeth Wong dan Charles Santiago bertanding mewakili parti masing-masing, PKR dan DAP, dan menang. Kedua-duanya meneruskan karier politik dan mempertahankan kerusi masing-masing dalam pilihan raya kali ini.

Wong bergiat sebagai aktivis Suara Rakyat Malaysia, Suaram sebelum menyertai PKR manakala Santiago bergiat dalam Kumpulan Warga Prihatin dan aktiviti menangani isu penswastaan air.

Wong, mewakili kerusi negeri Bukit Lanjan di Selangor dan dilantik exco dalam kerajaan negeri. Santiago pula menjadi salah seorang pemimpin penting dalam DAP dan mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan tertinggi, dijelaskan lagi oleh hakikat bahawa beliau bertanding mewakili parti hanya sebulan selepas menyertai DAP.

Beberapa pemerhati telah menyuarakan kebimbangan terhadap trend ini, yang menyaksikan perubahan gaya hidup dan pendirian aktivis-aktivis terbabit selepas menjawat jawatan bergaji tinggi dan bergerak dalam koridor kuasa.

Dr Kua Kia Soong, aktivis dan penasihat Suaram dalam satu tulisannya baru-baru ini turut memberi amaran terhadap perkembangan yang tidak sihat ini, sambil menegaskan pendirian politik yang boleh berubah-ubah dan pengaruh wang terhadap parti-parti besar.

Pada masa sama, aktiviti dalam parti juga menuntut masa dan tenaga yang banyak sehingga sangat berpotensi mengganggu atau mengabaikan terus perjuangan masyarakat sivil yang disertai sebelum itu, yang didakwa akan lebih mudah diperjuangkan melalui parti politik dan kerajaan.

Perkembangan ini memerlukan lebih perhatian daripada semua yang terlibat, agar perjuangan agenda masyarakat terbanyak tidak terus ditewaskan oleh kuasa dan kedudukan.

Sunday, January 27, 2013

Dari Gaza ke Davos, Najib tewaskan PAS dan Anwar?

Selepas selesai melawat Gaza dan menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak boleh disimpulkan sebagai berjaya dalam kempen terbaharu dalam pembinaan imej positif beliau.

Melalui lawatan ke Gaza, Palestin, Najib telah mengaitkan nama beliau dengan perjuangan yang menjadi isu penting dunia Islam itu, yang selama ini dilihat lebih dekat dengan PAS.

Gaza dan Hamas mudah dikaitkan dengan PAS, dengan PAS melalui wacana popular berhubung isu ini memudahkannya dengan mewujudkan perumpamaan Hamas ialah PAS dan Fatah ialah Umno.

Lawatan ke Gaza itu bermakna Najib telah mengambil isu yang menjadi kekuatan PAS, yang melalui pelbagai program termasuk muktamar tahunan sentiasa menjadikan Palestin sebagai isu penting, dengan wakil Hamas menjadi tetamu tetap.

Ini dengan mudah menjelaskan reaksi daripada PAS yang meremehkan dan mencela lawatan Najib itu, rata-rata dengan laras dan bahasa rendah, termasuk daripada pemimpin-pemimpin tertinggi pemuda parti itu.

Serangan terhadap lawatan Najib itu - lawatan yang apa pun niat di sebaliknya memberi kesan meningkatkan imej beliau yang akan memberi kesan positif melibatkan kalangan pengundi Melayu Muslim - menjelaskan sendiri kesan lawatan ke Gaza itu, yang merupakan satu kejayaan perhubungan awam kepada Najib.

Menambahkan lagi kejayaan lawatan ke Gaza, Najib sejurus selepas itu turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Mesir, Presiden Mohamed Morsi, tokoh yang dipandang tinggi oleh PAS, sebahagiannya ekoran hubungan sejarah PAS dengan gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Kejayaan ini mendorong Pakatan Rakyat meningkatkan serangan terhadap lawatan itu, dengan menimbulkan isu-isu lain yang diletakkan di bawah tajuk "hubungan Malaysia dengan Israel" dan mencari sudut-sudut tertentu untuk menimbulkan sisi negatif lawatan itu.

Kritikan pemimpin Pihak Berkuasa Palestin, Presiden Mahmoud Abbas turut diperbesarkan sesetengah pengkritik Najib untuk mengalih tumpuan dan menjejaskan kejayaan lawatan itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas lawatan Najib itu, dengan mengkritik tindakan hanya melawat Gaza tetapi tidak bertemu pihak Fatah yang menguasai kerajaan Palestin yang diiktiraf.

Selepas menewaskan PAS di Gaza, Najib melangkah pula ke Davos, menunjukkan penerimaan dunia Barat terhadap dirinya, sesuatu yang selama ini dikenali sebagai medan Anwar.

Kemudian, selepas melawat Gaza, Najib menyertai Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, dengan bergaya, membawa bersama wajah-wajah kosmopolitan "satu Malaysia" seperti Tony Fernandes, Datuk Seri Michelle Yeoh dan Datuk Mohd Redzuawan Ismail, yang lebih dikenali sebagai Chef Wan di Malaysia.

Di medan berprestij WEF itu juga, Najib diwawancara wartawan terkenal Amerika Syarikat, Fareed Zakaria, mengemukakan ide-ide yang kelihatan disesuaikan untuk audiens elit dunia dengan bercakap dalam bahasa liberal.

Anwar sebelum ini, pada 2010, juga pernah diwawancara oleh wartawan dan pengulas popular AS itu, dalam kemunculan di CNN yang menjadi salah satu acara penting lawatan Anwar ke AS. 

Najib dalam wawancara itu antara lain mengemukakan pandangan melakukan "engagement" dengan kumpulan-kumpulan Islam yang dilihat sebagai ekstrem, pandangan sama yang turut pernah dikemukakan oleh Anwar.

Langkah Najib dengan selesa mengemudi kempen di Davos itu boleh disifatkan satu kemenangan mengatasi Anwar, yang dikenali sebagai berkemampuan mengendalikan diri di pentas-pentas antarabangsa seperti itu.

Dalam persaingan menarik perhatian Barat, sebahagiannya dalam usaha membina sokongan politik, kejayaan di Davos ini menambahkan lagi imej positif berkaitan hubungan ini bagi Najib.

Seolah-olah membuktikan gagasan wasatiyyah beliau, Najib menunjukkan kebolehannya menguasai kedua-dua pentas Gaza yang dikenali sebagai satu simbol utama perjuangan Islam dan Davos, medan penting elit dunia dikuasai Barat.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah liputan dan komentar negatif daripada lawatan ke Gaza - dan kemudian Davos - amat sedikit, termasuk daripada media liberal di Malaysia yang selama ini mudah mengaitkan Hamas dengan terorisme.

Selepas selesai dua acara besar di peringkat antarabangsa ini, Najib boleh menarik nafas lega meraikan kejayaan kempen besarnya yang memberi poin politik untuk kedua-dua audiens domestik dan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, kejayaan sebesar ini mencetuskan reaksi yang juga besar pada pihak lawan, dan pasti mendorong tindak balas yang tidak kurang dramatik dalam persaingan ini.

Thursday, January 3, 2013

2012: Politik artis dan suasana menunggu pilihan raya

Sejak awal tahun 2012, spekulasi tarikh pilihan raya menjadi tajuk besar dalam perbincangan politik negara.

Semua pihak ternanti-nanti bila parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya umum ditentukan.

Akibatnya, sepanjang tahun, aktiviti berpolitik pada tahap maksima berlangsung, dengan kedua-dua kumpulan utama bersaing dalam semua hal.

Dalam pentadbiran sebuah negara, politik kepartian dan kempen pilihan raya ialah satu bahagian yang besar, tetapi sepatutnya bukan yang paling besar. Selepas kempen dan berpolitik, urus tadbir dan pembinaan negara ialah hal yang sepatutnya diberi perhatian oleh pemain-pemain politik, terutama semua yang terlibat dalam kerajaan termasuk ahli parlimen pembangkang.

Malangnya, dalam keghairahan menuju pilihan raya dan Putrajaya, hampir seluruh tenaga dan masa dihabiskan dengan berpolitik, dengan segala mainan di media dan di segala ruang yang ada.

Suasana panas yang berterusan sejak 2008, terutama menjelang 16 September, diteruskan lagi pada tahun 2012.

Tahun ini, 2013, bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan, selepas sekurang-kurangnya dua tahun ramai tertunggu-tunggu untuk merasai dan terlibat dalam proses politik yang dianggap sebagai penentu penting haluan politik negara.

Satu hal yang menarik untuk diberi perhatian ialah Bersih dan protes besar-besaran yang menjadi identiti badan gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik Pakatan Rakyat ini.

Pada 2012, protes Bersih yang ketiga diadakan, yang antara tujuannya ialah sebagai persediaan meningkatkan momentum untuk menghadapi sebarang kemungkinan menyusul Pilihan Raya Umum ke-13.

Sejak Oktober 2007 hingga hari ini, Bersih telah berjaya membentuk kesatuan dan keberkesanan sebagai satu instrumen dan kuasa penyatu untuk menghadapi Barisan Nasional.

Bersih kini telah menjadi kuasa yang mampu digerakkan untuk menjejaskan pemerintah BN, terutama sekiranya segala elemennya mencukupi dan digerakkan dengan berkesan.

Momentum ke arah protes besar-besaran selepas pilihan raya umum telah kelihatan, termasuk melalui satu kenyataan A Samad Said, ahli jawatankuasa Bersih 2.0.

Usaha pemantauan oleh Bersih juga telah disusun, yang boleh meningkatkan lagi kredibiliti suara protes Bersih terhadap proses pilihan raya umum akan datang, sekiranya didapati tidak memenuhi tuntutan yang disuarakan selama ini.

Sekiranya protes besar-besaran diadakan, semua yang terlibat sukar untuk berundur lagi, dan terpaksa terus menggempur dan mara ke hadapan, lebih-lebih lagi memandangkan pertaruhan besar bagi semua pihak terlibat.

Ini bermakna apa yang digerakkan sejak 2007 dan ditingkatkan dengan mendadak pada 2012 bakal dilaksanakan pada 2013, membawa persaingan politik Malaysia ke satu tahap yang baharu dan lebih sengit.

Satu lagi isu yang mengambil bahagian yang besar dalam perbincangan politik negara ialah peningkatan peranan selebriti dalam kempen politik.

Sehingga kini, satu-satunya peranan besar yang dimainkan oleh penggiat budaya popular dalam pentas politik ialah kempen perhubungan awam untuk parti politik, terutama PAS.

Perkembangan sejak 2011 diteruskan pada 2012 dengan artis menjadi tumpuan utama dan menjadi penceramah popular program-program PAS, sehingga mencetuskan kritikan termasuk dari dalam parti.

Abby Abadi, yang pernah popular melalui drama Gerak Khas, muncul sebagai selebriti paling popular dalam politik tahun 2012 melalui aktivitinya bersama PAS.

Abby ialah salah seorang daripada satu gelombang "artis insaf" yang aktif dalam aktiviti keagamaan, yang sebahagiannya hampir secara eksklusif di atas platform parti politik.

Dari segi menarik perhatian massa, PAS telah berjaya dalam membina pengikut yang ramai melalui penglibatan selebriti.

Ini dikuatkan lagi oleh peranan penceramah popular Ustaz Azhar Idrus, yang pernah mendapat anugerah daripada Pemuda PAS dan mempunyai kaitan rapat dengan parti ini.

Peranan dan kedudukan penceramah ini dalam aktiviti seperti ini telah meningkatkan elemen budaya popular aktiviti keagamaan yang digerakkan parti politik ini, mencetus satu fenomena agak baharu yang menggabungkan budaya popular dengan aktiviti keagamaan.

Selain PAS, PKR juga telah mendapat bahagiannya melalui kemenangan penulis lirik lagi Awan Nano, Hasmi Hashim, yang sebelum ini aktif bersama PKR dan kembali aktif dalam beberapa program ekoran peningkatan popularitinya.

Episod ini juga tidak kurang elemen politiknya apabila pemuda PKR segera mengambil kredit daripada kemenangan Hasmi itu, dan mencetuskan reaksi negatif yang keras daripada blog-blog Umno.

Unsur Islam pop ini telah diperhatikan berleluasa, dan memainkan peranannya yang tersendiri dalam menarik massa mendekatkan diri kepada aktiviti keagamaan seperti ceramah.

Hasil jangka pendeknya dalam menterjemahkan hasil politik kepada PAS akan dilihat pada tahun ini, pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Friday, November 23, 2012

Persaingan Najib-Anwar ambil hati Obama, siapa menang?

Imej memainkan peranan yang sangat besar dalam politik, dalam usaha membina imej popular untuk meraih sokongan ramai.

Dalam dunia hari ini, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi pemimpin berimej paling popular, dengan muncul bergaya di pelbagai jenis majalah termasuk majalah budaya popular terkenal dan diminati di seluruh dunia.

Imej ini memberi implikasi positif yang luas kepada AS, ekoran kemampuan seorang presiden memberi impresi baik hanya melalui imej dirinya.

Imej Obama ini mampu memberi kesan positif kepada mereka yang mendekati dan dilihat bersamanya, menjadikan peluang dilihat bersama presiden AS daripada Parti Demokratik itu sesuatu yang sangat dihargai oleh pemimpin seluruh dunia.

Di Malaysia, dua pemimpin utama kerajaan dan pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersaing untuk mendapatkan kesan imej positif Obama, dan juga sokongan melibatkan politik.

Najib tidak melepaskan peluang untuk dilihat bersama Obama, dan hal ini sentiasa menjadi isu yang diangkat media pemerintah setiap kali Najib bertemu Obama.

Malah, gambar Najib sedang memegang gagang telefon dan dilaporkan sedang bercakap dengan Obama juga pernah diangkat oleh media pemerintah, dalam satu usaha yang kelihatan terdesak dan murahan untuk dilihat bersama Obama.

Kemuncak usaha Najib ini ialah pertemuan empat mata di Washington di sidang kemuncak isu nuklear dan pelancaran Gerakan Moderat Global yang sentiasa disesuaikan untuk menarik perhatian Obama.

Malah keputusan kes Anwar Januari lalu, yang terkait dengan kekangan terhadap homoseksualiti juga kelihatan mempunyai kaitan dengan usaha untuk tidak meletakkan Malaysia di posisi berseberangan dengan Obama, ekoran pengumuman sokongan Washington terhadap homoseksualiti di seluruh dunia.

Najib juga menunjukkan sikap selari dengan Washington di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, di Arab Saudi Ogos lalu dan kemudian tidak menghadiri sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Iran selepas itu.

Anwar, yang mengambil banyak pengajaran berhubung kempen politik dari AS, tidak ketinggalan dalam usaha menumpang imej Obama dan menarik perhatian pemimpin AS itu.

Kempen Anwar kini menampakkan hal ini; dengan bas dihiasi gambarnya seperti yang dilihat dalam kempen presiden di AS, dan gaya berceramah sambil berjalan yang menyerupai gaya Obama dan gaya ucapan dalam kempen pemilihan presiden.

Terbaharu, Anwar menulis sebuah artikel dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di laman webnya - dan bukan di akhbar seperti The Wall Street Journal yang biasa menjadi amalan Anwar untuk mengiringi pertemuan berprofil tinggi seperti Forum Ekonomi Asia Pasifik - menjelang lawatan Obama ke Burma.

Anwar biasa menulis komentar-komentar seperti ini untuk mengiringi acara-acara penting serantau dan global, untuk pelbagai tujuan yang antaranya termasuk menarik perhatian dan sokongan.

Dalam tulisannya itu, Anwar memuji peribadi Obama sambil turut menyebut kekerasan yang dikenakan ke atas peserta protes menuntut pilihan raya bersih, dipercayai merujuk kepada protes Bersih di Malaysia.

Pemimpin PKR itu memilih penggunaan nama Burma dalam tulisan ini, selari dengan dasar kerajaan AS. Dalam satu kenyataan lain, mengulas isu Rohingya, Anwar menggunakan nama Myanmar dalam kedua-dua kenyataan bahasa Melayu dan Inggeris. 

Anwar turut menggesa pentadbiran Obama membina kumpulan masyarakat sivil dan pakatan pembangkang yang efektif di Burma, dan dibaca berdasarkan konteks tulisan ini, juga dapat dikaitkan dengan seluruh rantau Asia Tenggara.

Di penghujung tulisan, Anwar memuji Obama dengan menyifatkan rakyat AS telah memilih seorang pemimpin yang "berprinsip dan berintegriti."

Persaingan merapati Obama antara Najib dan Anwar ini ialah satu sisi persaingan yang tidak kurang sengit berbanding persaingan lain antara kedua-dua tokoh yang masing-masing mengetuai kerajaan dan pakatan pembangkang itu.

Usaha kedua-dua pemimpin lama-kelamaan semakin jelas kelihatan dan semakin menarik untuk diperhatikan.

Persaingan ini menegaskan lagi kepentingan imej, yang berperanan meningkatkan profil dan populariti di dalam dan luar negara, dan paling utama, membuktikan kekuatan imej Obama sebagai seorang pemimpin.


Friday, November 9, 2012

Kontroversi kebebasan agama, Nurul Izzah tingkat sokongan liberal

Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyokong kebebasan beragama meliputi semua termasuk Melayu-Muslim yang mencetuskan kekecohan kini kelihatan meningkatkan sokongan terhadap beliau daripada golongan liberal negara ini.

Di laman-laman berita liberal dan media sosial, sokongan meluas dan komen positif berhubung pendiriannya itu dapat dilihat daripada ramai pembaca dan pengulas, walaupun mendapat respons negatif yang keras daripada konservatif dalam kalangan parti politik dan akademik.

Seorang pengulas di laman Malaysiakini menulis satu artikel panjang memuji pendirian Nurul Izzah itu, yang disifatkan sebagai satu ide penting yang perlu difikirkan oleh rakyat negara ini. 

Parti pemerintah Umno dan golongan konservatif menentang keras kenyataan beliau itu, tetapi politik parti yang sangat partisan memperlihatkan sokongan yang tidak berubah daripada parti beliau, PKR.

Episod ini turut dilihat meningkatkan imej dan kelayakan liberal beliau, ciri penting untuk terus mendapatkan sokongan komuniti liberal yang termasuk banyak pertubuhan bukan kerajaan berpengaruh di dalam dan luar negara serta, serta kerajaan Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Kenyataan Nurul Izzah itu kelihatan ditujukan kepada audiens liberal, yang jelas memperlihatkan pendirian terbuka beliau berhubung kebebasan memilih agama termasuk melibatkan orang Muslim.

Beliau kini telah mula dikemukakan sebagai bakal perdana menteri Malaysia oleh para penyokong, yang sebahagian besarnya terdiri daripada politikus dan aktivis liberal, dengan liputan agak meluas daripada media Barat.

Debat panas yang tercetus daripada kenyataan pemimpin muda PKR ini memperlihatkan penerusan debat terbuka berhubung isu berkaitan agama Islam di negara ini, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir.

Nurul Izzah menerima kritikan keras daripada akademik dan aktivis Muslim, yang melihat beliau sebagai meneruskan kesinambungan perjuangan bapanya, Datuk Seri Awnar Ibrahim yang dilihat membawa agenda liberal.

Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban di Universiti Teknologi Malaysia, Dr Khalif Muammar A Harris menulis kritikan yang dipercayai ditujukan kepada Nurul Izzah dan penyokong di laman Facebook beliau: "Sekadar teguran dan nasihat kepada para aktivis. Jangan kerana kesetiaan politik yang salah dibenarkan. Yang salah itu tetap salah, bila kenyataan telah dibuat dan seseorang itu sedar ia telah melakukan kesilapan ia perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf, dan bukan menyalahkan orang lain yg dianggap memutar belit."

"Hal serupa berlaku ketika Anwar Ibrahim memberi ucapan di LSE [Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London], ia jelas mendukung pluralisme agama, tetapi ramai aktivis justeru menyalahkan orang lain yang salah faham. Dalam kes Nurul Izzah memang ada tanggapan yang ekstrem sehingga menambahkan perkara yg tidak benar, tetapi lihatlah kata-katannya sendiri dan nilailah mengikut ilmu di dada jika tidak mampu rujuk yang tahu," tulis Khalif.

Walau bagaimanapun, kenyataan Nurul Izzah itu mendapat sokongan - walaupun dengan tafsiran yang pelbagai - daripada rakan-rakan ahli politik dan aktivis seperti Dr Ahmad Farouk Musa - antara aktivis yang memberi sokongan kuat kepada Nurul Izzah untuk menjadi perdana menteri Malaysia - ketua pertubuhan penganjur forum tempat naib presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan kebebasan agama itu.

Nurul Izzah kini telah meningkatkan lagi profil beliau sebagai seorang pemimpin Muslim beraliran liberal, yang diperlukan untuk beliau meningkatkan dan mengukuhkan lagi sokongan daripada kelompok liberal, dan pada masa sama juga telah meningkatkan pertembungan antara konservatif dengan liberal di Malaysia, yang menjadi satu ciri penting persaingan politik terkini.


Sunday, August 26, 2012

Guardian henti guna khidmat pelobi pro-Zionis dikait Najib

Guardian, akhbar Inggeris liberal beraluan kiri menghentikan khidmat Joshua Trevino, pemblog dan pelobi pro-Zionis sebagai kolumnis di akhbar itu, memberi alasan konflik kepentingan melibatkan aktiviti bisnes di Malaysia.

Menurut kenyataan ringkas Guardian dan Trevino, penulis itu telah melanggar etika kerana tidak mendedahkan konflik kepentingannya melibatkan Malaysia.

Trevino didakwa menjadi penulis upahan yang menulis bagi pihak pemerintah Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dengan satu misi utamanya menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membantu meningkatkan imej Najib.

Trevino mencetuskan kekecohan ekoran tulisannya mendakwa Anwar "membeli" khidmat CNN untuk membantu memulihkan imejnya dalam satu lawatan ke Amerika Syarikat hujung 2010 yang digelar "lawatan memohon maaf," ekoran beberapa kenyataannya yang dilihat anti-Yahudi.

Pemerhatian terhadap rancangan soal jawab melibatkan Anwar di CNN tersebut walau bagaimanapun cenderung untuk membenarkan dakwaan Trevino itu, ekoran soalan-soalan mudah dan terpilih yang diberikan kepada Anwar, dan tanpa susulan yang lebih menekan.

Walau bagaimanapun, kredibiliti Guardian turut terjejas ekoran episod ini, kerana menggunakan khidmat Trevino, bekas penulis ucapan Bush dan pelobi pro-Zionis itu walaupun pendirian kontroversi beliau termasuk menyokong pembunuhan oleh Zionis sedia diketahui ramai.

Wartawan dan pengasas bersama laman Electronic Intifada, Ali Abunimah dalam satu tulisan mengemukakan kaitan Trevino dengan Israel sambil mempersoalkan sikap Guardian yang mendapat respons segera akhbar itu, yang kelihatan cuba menyembunyikan hal sebenar.

Ali merupakan seorang penulis yang sejak awal memerhati dan mendedahkan sikap Guardian terhadap penulis anti-Islam itu.

Kaitan dengan Israel dan kedudukan Trevino sebagai pelobi Zionis telah menunjukkan satu konflik kepentingan yang jauh lebih besar sejak awal lagi, dan sewajarnya sudah mendesak Guardian memutuskan hubungan dengan Trevino.



Thursday, August 23, 2012

Lagi sokongan untuk Nurul Izzah di media Barat

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan pemimpin PKR, sekali lagi disebut dalam media Barat sebagai calon pengganti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sejak mengetuai protes menentang pemerintah pada penghujung 1998 disebut-sebut sebagai pewaris jawatan perdana menteri oleh gabungan parti-parti pembangkang.

Dalam satu tulisan yang tidak mengemukakan sebarang isu baharu, Luke Hunt di laman The Diplomat menyebut bahawa Nurul Izzah ialah salah seorang calon penerus misi Anwar.

Banyak pihak, terutama di Barat, melihat Anwar sebagai satu-satunya calon perdana menteri Malaysia gabungan pembangkang, disebabkan ideologinya yang lebih disenangi berbanding PAS, parti pembangkang terbesar dan lebih mudah diterima berbanding DAP yang dikuasai etnik Cina, selain hubungan Anwar dengan Barat yang telah lama terjalin.

Artikel bertajuk Malaysia's Opposition Leader Stepping Down? itu senada dan kelihatan hampir sama dengan satu tulisan di akhbar Inggeris Guardian awal Julai lalu, yang juga menyebut nama Nurul Izzah sebagai calon pengganti Anwar di penghujung rencana.

Tulisan agak ringkas ini sekadar mencatatkan peluang Anwar menewaskan Barisan Nasional yang semakin sukar dan keperluan menyerahkan kepimpinan kepada generasi lebih muda.

Menurut Hunt, peluang Anwar menwaskan BN semakin sukar ekoran pemberian ganjaran yang besar oleh kerajaan, ekonomi yang bertambah pulih, pemansuhan undang-undang yang mengekang kebebasan, kebebasan media dan proses perundangan yang terlaksana di bawah Najib.

Nurul Izzah kini menjadi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang paling jelas disebut sebagai pengganti bapanya sebagai pemimpin pembangkang dan calon perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan.

Beliau mempunyai sokongan kuat kelompok liberal Malaysia, ekoran pelbagai faktor termasuk populariti dan potensi untuk membawa agenda liberal tetapi tanpa mencetuskan banyak perpecahan seperti dilakukan bapanya.

Walaupun prestasinya di Lembah Pantai didakwa sesetengah pihak sebagai tidak cemerlang seperti yang dikemukakan, ahli politik yang menerima sokongan sebahagian besarnya akibat kedudukan keluarganya ini setakat ini belum mengalami kontroversi ekoran pendirian politiknya.

Anwar semakin terjejas populariti dan kredibiliti ekoran pelbagai isu, termasuk peribadi melibatkan dakwaan liwat, pendirian dalam isu homoseksualiti, dan melibatkan agama seperti pluralisme agama.

Beliau juga kini merupakan pemimpin yang jauh lebih tua berbanding ramai pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Sekiranya Anwar menjadi perdana menteri seterusnya, beliau bakal menjadi perdana menteri yang lebih tua enam tahun berbanding penjawat sebelumnya.

Tulisan terkini di media antarabangsa ini mampu meningkatkan lagi tekanan terhadap Anwar untuk berundur, sekiranya beliau tidak bercadang untuk berundur, lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, dan mampu meningkatkan lagi sokongan kepada anaknya Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendapat liputan agak meluas media dan menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak yang mampu membantu peningkatannya.


Monday, July 30, 2012

Kenyataan diskriminasi gay tidak jejas undi liberal?

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong diskriminasi terhadap golongan gay berhubung perkahwinan 18 Julai lalu telah mencetuskan kekecohan dalam kalangan komuniti gay dan liberal negara ini.

Kumpulan pemerhati hak asasi yang kuat membela Anwar selama ini telah mengeluarkan kenyatan mengecam kenyataan beliau itu.

Debat yang tercetus menjelaskan lagi tentang peningkatan suara dan pengaruh kelompok liberal di Malaysia, yang mendapat sokongan kuat antarabangsa.

Peningkatan aktivisme kelompok LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) merupakan isu paling panas dan mendapat perhatian dalam persaingan konservatif-liberal di negara ini, yang turut mengambil sikap secara kolektif dalam membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Kumpulan liberal Suara Rakyat Malaysia, Suaram, yang ramai ahlinya juga merupakan ahli berkedudukan dalam PKR, turut mengeluarkan kenyataan menggesa kedua-dua pakatan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mengeluarkan kenyataan berhubung hak asasi golongan LGBT.

Kenyataan Anwar menyokong diskriminasi terhadap gay dilakukan dalam mahkamah, dalam situasi yang tidak membenarkan ucapan kabur dan berhati-hati seperti yang biasa diamalkan beliau dalam usaha mengimbangi isu-isu sensitif.

Walaupun menjejaskan kredibiliti liberal dan dikecam ekoran kenyataan itu, Anwar dan parti liberal PKR mungkin tidak terjejas teruk dari segi sokongan kelompok LGBT dan liberal, dalam keadaan kekurangan pilihan melibatkan parti politik dan wakil liberal dalam pilihan raya.

Malah, ada kemungkinan kenyataan itu boleh meredakan kritikan penyokong dan kelompok lain yang mengharapkan Anwar menegaskan sikap menentang golongan LGBT.

Dari segi politik, kenyataan Anwar  membenarkan diskriminasi terhadap gay kelihatan lebih kepada melibatkan isu perkahwinan yang didefinisikan sebagai ikatan antara lelaki dengan wanita dan pendirian tidak mempromosi homoseksualiti, dan tidak lebih daripada itu.

Pendirian ini tidak melibatkan isu halal atau haram perlakuan terbabit, dan tidak sama sekali sealiran dengan kempen antihomoseksual yang giat dilakukan kumpulan bukan kerajaan Muslim yang bergiat aktif pada masa ini.

Dalam politik pilihan raya yang tidak memberi banyak pilihan kepada golongan LGBT, berbanding barisan konservatif Umno yang menguasai BN dan juga PAS yang kekal dengan pendirian menolak LGBT, undi kelompok LGBT kepada parti liberal PKR mungkin tidak akan terjejas.


Wednesday, July 11, 2012

Guardian lanjut spekulasi Nurul Izzah bakal PM

Akhbar Inggeris Guardian menerbitkan satu rencana mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menganalisis perjalanan mencabar barisan pembangkang menghadapi pemerintah Barisan Nasional dan apa yang dilihat sebagai peluang terakhir Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Menurut akhbar itu, pertempuran dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal menjadi yang terakhir untuk merealisasikan hasrat Anwar menjadi perdana menteri, hal yang sama dibicarakan dalam politik negara kebelakangan ini.

Rencana tulisan Kate Hodal itu masih memberi gambaran keseluruhan yang positif buat Anwar, memberi gambaran Anwar sebagai satu-satunya pemimpin pembangkang yang ditentukan untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang, walaupun turut menyelitkan beberapa kritikan kecil. 

Walau bagaimanapun, isu utama yang dibawakan atau dilanjutkan oleh rencana ini - yang kelihatan dipilih untuk disiarkan pada masa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 untuk mempengaruhi debat politik negara - ialah harapan terhadap Nurul Izzah Anwar, anak Anwar yang juga seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Peranggan terakhirnya menimbulkan isu "harapan banyak pihak di peringkat akar umbi" untuk melihat Nurul Izzah menyambung perjuangan Anwar, dan diletakkan sebagai calon utama perdana menteri gabungan parti Pakatan Rakyat sekiranya mendapat jumlah kerusi parlimen yang mencukupi.

Rencana Guardian ini melanjutkan lagi debat mengenai siapa selepas Anwar, yang semakin banyak diperkatakan pada masa ini ekoran banyak hal, termasuk imejnya yang semakin terjejas termasuk kepada pengikut dan penyokong PR sendiri.

Penulis rencana itu menyebut faktor Nurul Izzah yang bebas daripada bagasi sejarah seperti yang dimiliki bapanya, selain faktor muda dan popular, mencerminkan sentimen banyak pihak terhadap beliau.

Walau bagaimanapun, isu politik dinasti keluarga menjadi satu isu yang sentiasa membayangi PKR yang dikuasai oleh linkungan keluarga Anwar dan rakan terdekatnya.

Rencana ini bakal mencetuskan minat dan perhatian ramai dalam politik negara, terutama dalam kalangan PKR dan PR yang menaruh harapan yang sama, sama ada sebab sokongan kepada Nurul Izzah atau kerana faktor mencari calon kompromi.

Ia boleh dilihat sebagai satu bentuk endorsement dari pihak berpengaruh di peringkat antarabangsa, memberi gambaran sokongan yang diterima Nurul Izzah, dan kemungkinan juga merupakan satu rancangan transisi daripada Anwar kepada tokoh lain yang sudah digerakkan.

Pihak yang berada di kem seberang pula dijangka tidak akan berdiam diri, dan akan memberikan tindak balas sewajarnya.

Tuesday, May 22, 2012

FTA Malaysia-Australia cetus banyak persoalan

Malaysia dan Australia bakal menandatangani perjanjian perdagangan bebas pada hari ini di Kuala Lumpur, hasil kejayaan rundingan yang bermula sejak Mei, 2005.

Perjanjian dua hala itu dijadual ditandatangani Menteri Perdagangan Australia Craig Emerson dan rakan sejawatannya Datuk Seri Mustapa Mohamed itu dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan bagi Canberra.

Selari dengan peningkatan hubungan Malaysia-Australia kebelakangan ini, perjanjian perdagangan bebas ini menambahkan senarai isu-isu penting yang menyaksikan kerjasama rapat Kuala Lumpur dengan Canberra.

Lapor akhbar The Australian, kejayaan mencapai persetujuan ini dijangka mendorong rundingan dengan rakan dagang utama Australia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Menteri perdagangan Australia itu dilapor berkata FTA dengan Malaysia itu memberi gambaran bahawa Canberra "bersungguh-sungguh mahu mencapai perjanjian perdagangan bebas berkualiti tinggi."

Kejayaan mencapai perjanjian ini juga dikaitkan dengan keperluan politik domestik dihadapi pemerintah di kedua-dua negara.

Bagi kerajaan Australia pimpinan Perdana Menteri Julia Gillard, perjanjian ini memberi satu kesan positif baharu di tengah-tengah politik yang agak bergolak pada masa ini.

Lapor akhbar itu lagi, perjanjian 21 bab itu termasuk penghapusan 97 peratus tarif barangan Australia yang dijual di Malaysia, termasuk kenderaan kecil, beras, wain dan besi, dan untuk barangan lain menyusul kemudian.

Jumlah ini bakal meningkat kepada 99 peratus menjelang 2017.

Sektor perkhidmatan pula menyaksikan peningkatan akses Australia ke pasaran Malaysia yang sangat luas, termasuk memiliki sehingga 70 peratus pemilikan firma tempatan.

Sektor ini termasuk universiti, sekolah, bank dan syarikat telekomunikasi.

Walau bagaimanapun, faedah kepada Malaysia sehingga kini tidak diberikan publisiti sewajarnya, menimbulkan persoalan tentang manfaat yang bakal diperolehi rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan mengkritik pentadbiran Najib kerana menjalankan "rundingan tertutup" itu tanpa melibatkan sebarang maklum balas daripada rakyat.

Kekurangan pendedahan tentang proses rundingan itu juga memberi gambaran bahawa pentadbiran Najib mahu mengelak daripada sebarang respons daripada pemerhati.

Antara isu kritikal ialah ketidakseimbangan dalam perjanjian bebas dua hala melibatkan negara membangun dengan negara maju, termasuk perjanjian terperinci ketat yang perlu dipatuhi dan kesannya terhadap peraturan dan penggubalan dasar pada masa akan datang.

Perjanjian dua hala seperti ini, yang menjadi satu pilihan bagi negara maju untuk mencapai kepentingan melalui persetujuan di luar kerangka perjanjian multilateral mampu menyekat kebebasan negara membangun, misalnya dalam menggubal dasar sosioekonomi spesifik untuk kepentingan rakyat.

Proses rundingan ini juga tidak melalui debat dan perbincangan dalaman melibatkan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan, malah turut kurang mendapat perhatian daripada pihak pembangkang.

Perjanjian ini kini menjadi isu berprofil tinggi ketiga melibatkan hubungan Malaysia dengan Australia selepas kontroversi pemprosesan nadir bumi oleh syarikat Australia, Lynas dan usaha kerjasama menyerahkan pelarian politik ke Australia ke Malaysia, rancangan kontroversi yang digelar "penyelesaian Malaysia."

Friday, May 18, 2012

Politik baharu dan kebangkitan LGBT

Satu gelombang aktivisme homoseksual kini sedang melanda dunia, mencabar nilai-nilai tradisional dan konservatif yang selama ini menjadi nilai dominan di kebanyakan negara.

Dengan peningkatan penerimaan wacana hak asasi manusia dan demokrasi, perjuangan liberal ini dapat didirikan di atas wacana tersebut, yang kini diletakkan di sebelah yang bertentangan dengan nilai-nilai seperti politik kuku besi yang mudah dikaitkan dengan pihak konservatif di banyak negara.

Di Malaysia, gelombang ini semakin dirasakan sejak kebelakangan ini, dengan aktivisme kelompok LGBT - lesbian, gay, biseksual dan transgender - semakin muncul di ruang awam dan arus perdana.

Kemunculan dan penegasan hak asasi LGBT ini mencetuskan pertembungan sengit melibatkan kelompok konservatif dengan liberal yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, seperti yang dilihat semasa kekecohan berhubung festival Seksualiti Merdeka Oktober tahun lalu.

Kebangkitan golongan LGBT ini sedang memberi kesan besar kepada politik negara, antaranya disebabkan kemampuan mereka mengutarakan pandangan, akses kepada media termasuk di luar negara dan aktivisme yang mempunyai jaringan dan sokongan kuat dari seluruh dunia.

Di dalam negara, agenda LGBT ini menerima sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam

Parti-parti politik, terutama yang berhaluan liberal, kini menjadi sandaran kepada golongan ini untuk membantu perjuangan agenda mereka yang termasuk tuntutan persamaan hak melibatkan perkahwinan.

Dalam satu surat kepada media, seorang aktivis LGBT, Pang Khee Teik menegaskan: "Pilihan raya umum akan datang akan menyaksikan persaingan sengit. Di banyak konstituensi, perbezaan undi pemenang dengan yang tewas ialah sekitar 3 hingga 10 peratus, peratusan sama jumlah LGBT dalam masyarakat."

Menekankan kuasa undi golongan ini, Pang menegaskan lagi, "Undi LGBT oleh itu merupakan penentu antara menang atau kalah. Dengan majoriti berpecah kepada dua gabungan, minoriti akan menentukan hasil pilihan raya nanti."

Walaupun gambaran ini agak simplistik, kenyataan itu menunjukkan kesediaan golongan LGBT untuk menunjukkan pengaruh mereka kepada parti-parti politik yang bersaing dalam medan politik negara.

Secara semulajadi, parti-parti konservatif seperti Umno dan PAS menjadi parti yang bertentangan dengan agenda liberal LGBT ini.

Hal ini akan terus meningkatkan lagi pertembungan secara terbuka kelompok liberal dengan konservatif dalam politik negara.

Dalam suasana iklim politik global yang liberal masa kini, parti-parti politik terutama yang liberal tidak dapat mengelakkan daripada memberi perhatian kepada isu ini, yang menjadi salah satu pengukur kepatuhan terhadap nilai-nilai liberal.

Malaysia juga tidak dapat mengelak daripada dilanda suasana ini, lebih-lebih lagi dengan penegasan sokongan untuk LGBT oleh kuasa besar dunia Amerika Syarikat.

Selain AS dan kerajaan negara-negara Barat yang akan sentiasa memerhatikan isu yang diletakkan di bawah tajuk hak asasi manusia ini, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan global yang berpengaruh turut menjadi pendesak dalam perjuangan hak LGBT ini.

Human Rights Watch contohnya pada Disember tahun lalu menegaskan Malaysia memansuhkan undang-undang yang menghukum pelaku seks homoseksual dan luar tabie.

Isu berkaitan kebebasan seksualiti ini menjadi salah satu pengukur kebebasan dan hak asasi manusia, sesuatu yang mampu memberi kesan kepada persepsi negara luar terhadap Malaysia.

Malah baru-baru ini, pemimpin AS Presiden Barack Obama menyatakan sokongan kepada perkahwinan sejenis, mesej yang walaupun lebih dikaitkan dengan pilihan raya presiden negara itu, merupakan satu mesej yang disambut dengan serius oleh komuniti LGBT seluruh dunia.

Perkembangan terbaharu, termasuk kehadiran aktivis lesbian Irshad Manji ke Malaysia menunjukkan persaingan yang semakin sengit antara liberal dengan konservatif di negara ini.


Tuesday, February 14, 2012

Umno kuatkan 'kuasa ketiga' untuk tawan Selangor

Kuasa ketiga, ruang dan suara yang lebih bebas pada mulanya digerakkan untuk mengimbangi kuasa Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, ekoran pertembungan sengit kedua-dua kumpulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Kini, Umno kelihatan dapat memanfaatkan suara yang agak bebas daripada pengaruh politik parti ini untuk kepentingan mereka.

Satu misi utama Umno kini ialah menawan kembali Selangor, yang dirampas PR selepas kekalahan mengejut dan memalukan Umno yang menguasai negeri itu.

Dua individu yang bebas daripada parti politik kini menjadi tumpuan utama dalam siri tindakan yang berpotensi menjejaskan PR di Selangor; bekas exco negeri Datuk Dr Hasan Ali dan pengendali blog Raja Petra Kamaruddin.

Hasan yang muncul di tengah-tengah kontroversi berkaitan agama di Selangor ekoran sokongannya untuk beberapa langkah yang dikatakan bertujuan membela umat Muslim negeri itu dipinggirkan dan kemudian dipecat daripada PAS.

Raja Petra pula konsisten dalam kritikannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang PR, termasuk melalui wawancara dengan akhbar dikuasai Umno.

Terbaharu, Raja Petra mendakwa PKR terlibat dalam skandal projek pasir hingga membawa kepada pembunuhan seorang ahli perniagaan.

Pengendali blog yang kini berada di London itu kini dilihat dengan sangat kritikal oleh PR dan kumpulan politik liberal lain ekoran kritikannya terhadap pakatan pembangkang utama negara itu, walaupun beberapa isu yang dibawa beliau tidak berlebihan dan wajar diberi perhatian.

Beliau sebelum ini dalam satu wawancara menafikan kaitan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dakwaan yang lama menjadi modal pembangkang.

Raja Petra semakin kritikal terhadap Anwar yang didakwa berdepan isu moral ekoran pelbagai dakwaan skandal seks ketua pembangkang itu.

Sikap kritikal kedua-dua Hasan dan Raja Petra - yang mendapat sokongan kuat dan layanan baik media pro-Umno - kini kelihatan membimbangkan pentadbiran PR Selangor yang dikuasai PKR dan DAP.

Hasan pula kelihatan menarik ramai hadirin ke ceramah jelajahnya di Selangor dan seluruh negara yang sebahagian besar merupakan kritikan terhadap sikap PAS dan PR di Selangor terhadap agama Islam.

Kempen Hasan itu berpotensi menarik undi Melayu daripada PAS, sekaligus mampu menguatkan lagi sokongan kepada Umno.

Umno kini mengeksploit isu-isu berkaitan Melayu dan Islam dalam usaha memenangi undi Melayu dan merampas negeri Selangor daripada PR.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...