Perletakan
jawatan wakil rakyat Kajang dan persetujuan meletakkan Datuk Seri Anwar
Ibrahim bertanding di kerusi itu menjadi berita paling mengejutkan
dalam politik negara pada masa ini.
Perkembangan ini meletakkan PKR dan Pakatan Rakyat dalam keadaan
defensif, kerana tindakan yang tidak dapat diberi justifikasi dan
memberi gambaran kepentingan agenda peribadi dan kumpulan mengatasi
kepentingan rakyat.
Banyak persoalan sukar timbul ekoran keputusan perletakan jawatan
dan hasrat Anwar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, yang
bakal membuka ruang kepadanya menjadi sebahagian kerajaan Selangor.
Sekurang-kurangnya
tiga isu utama menjadikan episod terbaharu drama politik di Selangor
ini menunjukkan kelemahan serius PKR terutamanya, dan juga PR dalam
menangani persaingan kuasa di negeri ini.
Perletakan jawatan Lee Chin Cheh tanpa sebarang sebab yang dapat
diterima ialah masalah pertama yang timbul, walaupun isu ini terus
tenggelam disebabkan perkembangan selepas itu yang lebih menarik minat
ramai.
Kedua ialah keperluan menukar menteri besar sedia ada kepada pemimpin
lain, tanpa ada kesalahan atau isu-isu yang membolehkan tindakan ini
diambil, dengan persetujuan parti-parti PR yang bersama membentuk
kerajaan negeri.
Ketiga pemilihan Anwar, yang dilakukan dengan segera, untuk
bertanding di kerusi Dun Kajang. Ini menimbulkan persoalan berhubung
keperluan beliau bertanding dan berperanan dalam politik dan pentadbiran
Selangor, pada masa sama beliau berperanan sebagai ketua pembangkang di
Parlimen.
Tiga isu ini, tidak dapat tidak menunjukkan ke arah politik peribadi
dan kumpulan semata-mata, dengan mengabaikan kepentingan rakyat dan
kerjasama politik parti-parti Pakatan.
Perkembangan ini kini
menjadi ujian terbesar kepada PR, melibatkan integritinya sebagai
sebuah gabungan yang selama ini mendakwa meletakkan kepentingan rakyat
sebagai satu agenda utama perjuangan.
Perletakan jawatan seorang wakil rakyat yang telah dipilih tidak
sepatutnya berlaku dengan begitu mudah, dengan matlamat membuka jalan
kepada pemimpin lain untuk memposisikan diri dan mendapatkan kuasa.
Menteri
besar, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain
sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kontroversi. Ada yang
lebih melibatkan permainan politik dalaman dan antara parti, dan ada
yang melibatkan hal pentadbiran.
Menteri besar sedia ada tidak menampakkan sebarang kelemahan yang
serius hingga memerlukan beliau diganti, apatah lagi dengan segala drama
permainan politik yang bertaraf rendah dan menjejaskan imej dan nama
baik PR secara keseluruhan.
Ruang yang dibuka kepada Anwar pula menunjukkan dominasi seorang
pemimpin yang berlebihan dan mencetuskan pelbagai konflik lain, kepada
kerajaan negeri, partinya dan PR.
Apa pun kedudukan Anwar
sekiranya menang nanti, beliau bakal membawa pengaruh yang besar
disebabkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi PKR. Ini akan memberi
kesan yang tidak sepatutnya sekiranya beliau dapat menjadi menteri
besar, dan lebih buruk lagi sekiranya tidak.
Kerosakan telah berlaku akibat percaturan politik ini, yang terus
dikecam bukan sahaja oleh pesaing politik tetapi juga rakan dan
penyokong. Parti-parti komponen dalam PR, terutama PAS, perlu
mengambil tindakan yang rasional dalam menangani kemelut ini.
Kekecohan yang dirasai pada masa ini, walaupun menggemparkan,
mungkin hanyalah permulaan kepada satu kerumitan yang lebih panjang dan
kompleks.
Kepentingan kerjasama politik dan menjaga hubungan
sememangnya penting demi memastikan kelangsungan pakatan politik ini,
tetapi tidaklah jauh lebih mengatasi kepentingan rakyat. - Januari 28, 2014
No comments:
Post a Comment