Saturday, January 25, 2014

Harun Taib, ilmuan yang tegas pertahan prinsip

Oleh MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI


Sabda Nabi sallallahualaihi wasallam: "Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan sekaligus daripada manusia, akan tetapi ditarik ilmu dengan kematian ulama sehingga apabila tidak ada ulama, manusia akan mengambil daripada ketua-ketua yang jahil, orang bertanya dan mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain" (Hadis sahih riwayat Imam Muslim.)

Umat Islam di Malaysia pada hari ini menyaksikan pulangnya ke Rahmatullah seorang lagi tokoh ulama dan murabbi, Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib akibat keuzuran dari penyakit yang beliau hidapi.

Al-marhum tuan guru adalah ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulama PAS.
Nama al-marhum tuan guru begitu sinonim dengan tarbiyah dan perkaderan.

Boleh dikatakan majoriti pimpinan yang mengisi saf kepimpinan jamaah pada waktu ini pernah merasa didikan tarbiyah secara langsung daripada beliau. Buah fikiran al-marhum, antaranya yang berkaitan siasah, qiadah dan wala serta taadud jamaah melatari silibus usrah PAS.

Komitmen al-marhum terhadap ilmu amat jelas. Seorang penulis karya dakwah yang prolifik, al-marhum merupakan antara segelintir kecil anak Melayu ketika zamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti al-Azhar yang memang diketahui umum sebagai sangat-sangat sukar.

Keilmuan yang ada pada al-marhum menjadikan beliau antara pakar rujuk utama penggubalan enakmen hudud negeri Kelantan dan Terengganu.

Al-marhum juga terkenal dengan sikap tegas di dalam menjelaskan pendirian jamaah sehinggakan dalam banyak isu, beliau dianggap sebagai menongkah arus.

Ini dapat disaksikan dalam komentar beliau mengenai isu kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-12, penggunaan kalimah Allah dan peningkatan fahaman liberal dan pluralisme agama dalam masyarakat.

Pada waktu ramainya ahli-ahli politik masa kini yang mengambil pendirian populis, al-marhum tidak apologetik dan berani di dalam keyakinannya melahirkan pandangan yang boleh menjelaskan jati diri Islam dan PAS.

Sesungguhnya pemergian murabbi agung ini adalah satu lagi tanda Allah SWT sedang menjemput pulang mereka yang fakih akan agamaNya dan semakin dekat pula hari penentuan.

Al-Marhum Tuan Guru Datuk Harun Taib meninggalkan seorang balu Datin Fatimah Ibrahim dan lima orang anak. Anak al-marhum, Ustaz Hilmi Harun kini menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Manir yang pernah di sandang oleh al-marhum.

Semoga ruh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada dan salihin. Al-Fatihah.

Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...