Showing posts with label Kenyataan. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan. Show all posts

Saturday, January 25, 2014

Harun Taib, ilmuan yang tegas pertahan prinsip

Oleh MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI


Sabda Nabi sallallahualaihi wasallam: "Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan sekaligus daripada manusia, akan tetapi ditarik ilmu dengan kematian ulama sehingga apabila tidak ada ulama, manusia akan mengambil daripada ketua-ketua yang jahil, orang bertanya dan mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain" (Hadis sahih riwayat Imam Muslim.)

Umat Islam di Malaysia pada hari ini menyaksikan pulangnya ke Rahmatullah seorang lagi tokoh ulama dan murabbi, Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib akibat keuzuran dari penyakit yang beliau hidapi.

Al-marhum tuan guru adalah ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulama PAS.
Nama al-marhum tuan guru begitu sinonim dengan tarbiyah dan perkaderan.

Boleh dikatakan majoriti pimpinan yang mengisi saf kepimpinan jamaah pada waktu ini pernah merasa didikan tarbiyah secara langsung daripada beliau. Buah fikiran al-marhum, antaranya yang berkaitan siasah, qiadah dan wala serta taadud jamaah melatari silibus usrah PAS.

Komitmen al-marhum terhadap ilmu amat jelas. Seorang penulis karya dakwah yang prolifik, al-marhum merupakan antara segelintir kecil anak Melayu ketika zamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti al-Azhar yang memang diketahui umum sebagai sangat-sangat sukar.

Keilmuan yang ada pada al-marhum menjadikan beliau antara pakar rujuk utama penggubalan enakmen hudud negeri Kelantan dan Terengganu.

Al-marhum juga terkenal dengan sikap tegas di dalam menjelaskan pendirian jamaah sehinggakan dalam banyak isu, beliau dianggap sebagai menongkah arus.

Ini dapat disaksikan dalam komentar beliau mengenai isu kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-12, penggunaan kalimah Allah dan peningkatan fahaman liberal dan pluralisme agama dalam masyarakat.

Pada waktu ramainya ahli-ahli politik masa kini yang mengambil pendirian populis, al-marhum tidak apologetik dan berani di dalam keyakinannya melahirkan pandangan yang boleh menjelaskan jati diri Islam dan PAS.

Sesungguhnya pemergian murabbi agung ini adalah satu lagi tanda Allah SWT sedang menjemput pulang mereka yang fakih akan agamaNya dan semakin dekat pula hari penentuan.

Al-Marhum Tuan Guru Datuk Harun Taib meninggalkan seorang balu Datin Fatimah Ibrahim dan lima orang anak. Anak al-marhum, Ustaz Hilmi Harun kini menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Manir yang pernah di sandang oleh al-marhum.

Semoga ruh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada dan salihin. Al-Fatihah.

Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS.

Thursday, January 10, 2013

Fenomena amanat dan takfir

Oleh ABDUL HADI AWANG

Saya tidak menduga petikan ucapan saya pada awal 1980-an telah dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat masuk Umno selepasnya, telah dijadikan satu polemik.

Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh Umno, mungkin kerana menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka Felda dan penyelewengan yang berlaku kepada Felda, riuh-rendah pembongkaran Deepak Jaikishan, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain kelemahan kerajaan Umno-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal pemerintahan ini.

Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah ke hadapan untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah ke belakang.

Isu “takfir” (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular dalam Umno, di seluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah kebangkitan Islam pada zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun 1960-an.

Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran Barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam al-Quran dan hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik, ekonomi dan sebagainya.

Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan. Pada waktu itulah kita mendengar istilah "hantu kum-kum" dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. 

Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat pada zaman kitab itu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.

Isu ini berlaku di seluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka di atas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan para ulamanya sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya. Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli kerosakan akidah yang berlaku.

Ramai dalam kalangan ulama PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal 1960-an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti: “Kalau laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak  cukup batu nak bina jalan dan bangunan, boleh  makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri,” dan sebagainya.

Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga ke peringkat antarabangsa dan angkasa lepas.

PAS dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab, mursyid aAm Ikhwan al-Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku Kita Pendakwah Bukan Hakim.

PAS berada dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut Umno tidak mempelajarinya di waktu itu.

Apabila PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1979 isu kafir mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan PAS di bawah pimpinan Datuk Asri Muda, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya Batas-Batas Iman dan Kufur dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.

Apabila kalangan Umno yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka, sehingga ke satu ucapan saya diselidik oleh pasukan yang ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah.

Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus menjawab: "Ya! Sebenarnya itu ucapan saya." Maka hamba Allah yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.

PAS berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam Umno secara langsung dan melalui pihak ketiga kalangan pertubuhan bukan kerajaan Islam, dengan ruang terbuka dengan Umno boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara terbuka. Umno tidak menjawab.

Tiba-tiba presiden Umno pada masa itu memberi isyarat kepada kalangan agama dalam Umno supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak Umno yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak PAS, pihak Umno melantik pengerusi dan penentuan masa.

PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan debat dengan Umno, padahal Umnolah yang membuka pintunya. Akhirnya Umno terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa dan hari raya.

Saya bentangkan senario tersebut semata-mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh pada masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.

Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara daripada kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang berlaku dalam tahun 1980-an dahulu.

Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah dengan permainan kalangan Umno yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang tidak diingini." (Surah al-Furqaan: 63)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah presiden PAS.

Tuesday, July 17, 2012

Memorandum Pena kepada menteri pelajaran menuntut usaha tegas memartabatkan bahasa Melayu

Memorandum kepada Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia

Daripada 

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena)

Tarikh: 28 Jun 2012
Tempat: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendahuluan

Pembentukan sebuah negara bangsa tidak hanya memerlukan pembangunan ekonomi dan kemajuan fizikal, tetapi yang lebih penting ialah pembangunan jati diri, semangat patriotisme dan nasionalisme. Tumpuan kepada kebudayaan untuk dijadikan alat pembinaan negara bangsa sejajar dengan saranan Malek Bennnabi: budaya merupakan belajar untuk hidup secara bertamadun; ertinya kita menggunakan semua kekuatan kejiwaan dan pemikiran serta kebolehan dalam unsur diri manusia mengikut suara hati kita. Daripada kebudayaan manusia membina jaringan sosialnya, dan dalam masa yang sama, jaringan sosial membina kebudayaan. Hasil daripada itulah terbinanya peradaban apabila hubungan atau jaringan sosial yang diikat oleh kebudayaan bersama menghasilkan produk peradaban demi memenuhi tuntutan kehidupan.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan kaum perlu digembleng dengan cara merumuskan satu wadah bernilai sepunya. Tanpa kefahaman dan rasa kekitaan antara kaum yang masing-masing telah memiliki rasa bangga terhadap kebudayaannya sendiri, perpecahan dan pergeseran sangat mudah berlaku disebabkan perspektif dan kepentingan kaum yang berbeza. Sekiranya perpecahan berlaku, binaan satu peradaban yang khusus bagi negara ini akan runtuh. Malek Bennabi menegaskan bahawa hubungan sosial merupakan aset penting untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan masyarakat serta menjaga sifatnya di samping berfungsi untuk menyusun tadbir tenaga hayat masyarakat bagi membolehkan mereka menjalankan tindakan bersama dalam sejarah. 

Satu alat kebudayaan yang dapat merapatkan pelbagai kaum ialah bahasa. Sudah termeterai dalam Perlembagaan Persekutuan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, dan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan kedudukan bahasa Melayu tertegak kukuh. Oleh itu, sebarang tuntutan untuk mengubah persefahaman yang bersifat undang-undang ini perlu ditanggapi sebagai usaha untuk memecahkan perpaduan yang sedang dibina, atau sebagai kaedah halus untuk menakluki seluruh sendi kehidupan di negara ini. Dengan leburnya bahasa Melayu atau terpinggirnya dalam sistem pendidikan akibat daripada tuntutan untuk melaksanakan sistem sekolah dua aliran akan mengakibatkan kemusnahan bangsa Melayu sebagai pemegang hak ke atas negara ini.

Menyedari bahaya itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) meminta jaminan dan ketegasan kerajaan untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Penegasan ini perlu dilaksanakan dengan beberapa kaedah:

1. Menyegerakan pemansuhan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tanpa tunduk kepada desakan pihak yang mahukan PPSMI dikekalkan. Di samping itu, tanpa mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris, kami menyokong usaha YAB Tan Sri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran memperkemas MBMMBI [Memartabatkan bahasa Melayu dan memperkuhkan penguasaan bahasa Inggeris. Tindakan serampang dua mata inilah yang dapat menyelesaikan pertikaian PPSMI dan mengembalikan kepercayaan kaum penulis, ilmuwan, dan budayawan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama untuk mengikis anggapan bahawa pemimpin negara telah bertindak sangat autoritarian walaupun dalam hal yang menyangkut kehidupan berjuta-juta pelajar dan ibu bapa, dan maruah bahasa serta tamadun Melayu itu sendiri.

2. Mengekalkan sistem persekolahan satu aliran, iaitu beraliran bahasa Melayu dan menolak tuntutan mengadakan sekolah dua aliran. Kewujudan sekolah dua aliran akan menyebabkan bahasa Melayu terpinggir kerana masyarakat yang berkemampuan dan memegang tampuk ekonomi akan menggunakan sekolah beraliran Inggeris manakala masyarakat tidak berkemampuan kekal dengan keterpinggirannya di sekolah aliran Melayu. Akhirnya, bukan sahaja bahasa, malahan bangsa Melayu pun akan tenggelam dalam arus besar bahasa Inggeris yang mempunyai nilai ekonomi.

3. Memandangkan bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan kesusasteraan, dan perkembangan bahasa dapat dijanakan melalui karya kesusasteraan, subjek kesusasteraan Melayu perlu diperluas penawarannya di sekolah, sama ada di sekolah rendah mahupun menengah dan IPTA. Pada tempat yang munasabah, penggunaan karya sastera Melayu perlu diwajibkan. Jika sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil dan Cina telah menggunakan karya sastera mereka dalam kurikulumnya kenapa sastera Melayu dinafikan haknya?

4. Kerajaan juga perlu menolak tuntutan pihak tertentu supaya hanya guru Cina boleh mengajarkan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina. Tuntutan tersebut cenderung bersifat perkauman dan bertujuan menghilangkan peranan guru Melayu di sekolah jenis itu.

5. Di samping itu, dalam jangka panjang, strategi memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu perlu disegandingkan kerana kedua-dua berhubungan secara simbiotik. Oleh itu, perhatian wajar diberikan kepada penyuburan dan pemuliharaan korpus tentang bahasa dan persuratan Melayu. Bagi tujuan tersebut, kerajaan perlu meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi pusat dokumentasi rujukan terbesar di dunia untuk merumahkan:
i) Semua terbitan/karya lisan atau tulisan berbahasa Melayu yang terbit di Malaysia dan di dunia;
ii) Semua tulisan dalam bahasa asing yang membicarakan tentang bahasa dan persuratan Melayu;
iii) Semua terjemahan terhadap tulisan dalam bahasa Melayu yang diterjemah dlm bahasa-bahasa asing. [BM termasuk bahasa Melayu Brunei dan bahasa Indonesia; Perpustakaan Nasional Jerman di Frankfurt dan Munich mengumpulkan semua khazanah dalam bahasa Jerman atau tentang Jerman.]

6. Kerajaan menubuhkan suatu Majlis Bahasa dan Persuratan Nasional yang menjadi badan kehormat tertinggi yang memberi pandangan serta nasihat tentang arah perkembangan bahasa kebangsaan dan persuratannya. Mereka bertanggungjawab memastikan kedudukan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan sentiasa terpelihara dan tersebar dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi tujuan meneguhkan ideologi perpaduan kebangsaan. Dalam majlis itu juga wajar ditubuhkan sebuah tribunal khas yang menjaga kebajikan sasterawan atau penulis memandangkan nasib mereka selama ini sering diperkotak-katikkan oleh penerbit kapitalis, terutama dalam soal hak cipta. 

7. Kerajaan memperuntukkan dana awal sekurang-kurangnya RM10 juta sebagai bantuan permulaan bagi menerbitkan jurnal ilmiah/saintiifik dalam bahasa Melayu tentang sastera/kemanusiaan dan sains kemasyarakatan; terbit dua kali setahun yang anggota editorialnya terdiri daripada ilmuwan/akademik berwibawa dari dalam dan luar negara.

Semoga pandangan yang menyebelahi bahasa Melayu diterima dengan tidak berbelah bahagi. Pandangan ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak pentadbiran, perundangan, dan pendidikan di negara ini. Insya Allah, Allah memberkati usaha kita untuk mewujudkan perpaduan dan mengekalkan bangsa Melayu sebagai pemegang hak di negara ini.

Wassalam.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad,
Presiden,
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Thursday, July 12, 2012

Resolusi bersama sidang meja bulat isu-isu antarabangsa parti Islam dan NGO Islam Nusantara

Kami, mewakili suara umat Islam Nusantara yang diwakili oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Perwakilan Malaysia - Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Thai Muslim Students Society - Young Muslim Association of Thailand (YMAT), Keluarga Besar Pelajar Islam Indonesia (KBPII) Malaysia, telah bersidang dan membuat resolusi berikut;

1. Kami bersama-sama umat Islam seluruh dunia dan umat Islam di Syria mengutuk sekeras- kerasnya kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad.

2. Justeru, kami menggesa kerajaan Syria menghentikan serta-merta kezaliman tersebut jika tidak al-Assad akan menerima nasib yang sama sebagaimana Hosni Mubarak, Zine el-Abidine Ben Ali dan Muammar Ghaddafi.

3. Dalam masa sama, umat Islam mengharapkan agar Pertubuhan Negara-Negara Islam atau Organization of the Islamic Cooperation (OIC) yang dianggotai oleh negara-negara umat Islam seluruh dunia segera memanggil anggotanya untuk mengadakan persidangan tergempar untuk membincangkan isu ini sekaligus menghentikan kezaliman yang berlaku.

4. Selain itu, kami menolak sebarang campur tangan luar terutama Amerika Syarikat, Barat dan konco-konconya daripada terlibat dalam isu ini yang dilihat cuba mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dalam persitiwa yang berlaku di Syria.

5. Tidak lupa juga kepada krisis keganasan yang berlaku di Myanmar [Burma] yang melibatkan pembunuhan berama-ramai umat Islam Rohingya, kami turut mengecam kejadian ganas ini dan mendesak kerajaan Myanmar mengambil tindakan segera untuk menghentikannya dan menggesa OIC turut membincangkan isu ini untuk mencari titik penyelesaian.

6. Akhir sekali, kami berharap agar umat Islam seluruh dunia dan di Nusantara khususnya untuk tidak putus-putus berdoa kepada Allah terutama dalam bulan Ramadhan kelak agar Allah memberi kemenangan kepada umat Islam di Syria, Myanmar dan di seluruh dunia umumnya.

Sekian, terima kasih.

Ustaz Nasrudin Hassan - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merangkap Pengerusi Bertindak,

Dr Raja Ahmad al-Hiss - Lajnah Antarabangsa DPPM merangkap Koordinator,

Dr Mohd Fauzi Zakaria - Persatuan Ulama Malaysia (PUM),

Sdra Mohamad Raimi Ab Rahim - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),

Sdra Eikhwan Ali - Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis),

Sdra Teddy S Gunawan - Perwakilan Malaysia - Partai Keadilan Sejahtera (PKS),

Sdra Abdulhalim Naha - Thai Muslim Students Society - Young Muslim Association of Thailand (YMAT),

Sdra Mu’min Effendi - Keluarga Besar Pelajar Islam Indonesia (KBPII) Malaysia.

12 Julai 2012
Kuala Lumpur, Malaysia.

Sunday, May 20, 2012

Muzakarah dan politik berpaksi fakta, bukan fitnah

Oleh NASRUDIN HASSAN

1. Sebelum ini saya telah mencadangkan agar Bersih 4.0 dibuat dalam format duduk dan debat. Ertinya saya melihat ruang politik baharu mendepani Pilihan Raya Umum ke-13 adalah melalui persaingan hujah yang sihat berpaksi fakta dan figure. Bukan lagi politik selak dan dedah atau politik tohmah dan fitnah.

2. Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula telah menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan semua pihak asal sahaja menepati syarat yang telah ditetapkan oleh pihak beliau. Nada serupa ditegaskan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS.

3. Saya bangga dan sokong kesediaaan mereka untuk duduk dan berbincang, berdialog dan berbahas untuk mencari kebenaran dan tentu sahaja semua pihak berkewajipan tunduk kepada kebenaran. Sementara kebenaran itu pula pastilah datang dari Allah Jalla wa A'la Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam cakerawala ini.

4. Semua pihak tidak perlu angkuh atau skeptikal antara satu sama lain demi masa depan agama, bangsa dan negara. Ada kesungguhan dan keikhlasan, maka tiada sebab kenapa kita tidak boleh menerima Islam sebagai dasar dan asas perjuangan serta hidup kita, malah pegangan dan prinsip politik kita juga mestilah dilandasi Islam. Kepimpinan dan pemerintahan kita juga mesti tunduk kepada perintah dan kehendak Allah SWT. Jangan angkuh terhadap kebenaran! Biar sehebat mana anda mempertahankan kebatilan, apabila datang kebenaran ini, nescaya binasalah kebatilan itu.

5. Media massa sebagai penghubung pelbagai pihak secara umum mesti bersikap positif. Bukan menjalankan agenda pihak tertentu dan akhirnya suatu yang baik bukan sahaja gagal tetapi dilihat buruk dan jahat. Bukan sahaja orang politik bertanggungjawab memimpin dan mengurus rakyat, media juga mesti sedia membina pemikiran positif di kalangan rakyat, bukan menjadi batu api yang menyemarakkan persengketaan dan kebencian melampau sesama manusia.

6. Telah saya tegaskan, kita selesaikan apa jua persoalan yang tercetus dengan debat, dialog atau muzakarah. Paksinya ialah tunduk dan akur dengan kebenaran. Justeru kebenaran itu suatu yang mulia dan terpuji. Hanya pesalah takutkan kebenaran, hanya orang yang lemah jiwanya takut kepada kebenaran, hanya orang yang mempunyai agenda buruk dan berkepentingan diri serta puak sendiri yang takut pada kebenaran. Sedarlah, ahli politik hari ini mesti bina iklim politik yang lebih bistari dan harmonis bertunjangkan hujah yang benar dan akal yang rasional.

7. Rakyat dan negara tidak boleh membiarkan petualang agama dan bangsa terus melonjak nafsu politik mereka tanpa peduli letak duduknya kebenaran. Petualang inilah kelak merosakkan tamadun dan pemikiran generasi yang sedang membangun dengan nafsu politik yang tiada sempadan kawal. Sanggup rasuah, menyeleweng, menyalahgunakan kuasa, menindas yang lemah, melobi yang kaya dan mengipas yang berkuasa akan menjadi rutin di pentas politik tanahair apabila mereka bergelar politikus atau penguasa melalui manipulasi politik dan kelicikan mereka meraih sokongan pengundi tanpa landasan ilmu dan hujah yang benar, jauh sekali berpaksikan taqwa kepada Allah SWT.

8. Banyak jalan dan cara untuk berkuasa dalam negara kita termasuk melalui manipulasi pilihan raya, sogokan, ugutan dan sebagainya. Kita tidak mahu jalan dan cara ini. Kita mahu pemimpin negara kita terdiri daripada pemimpin yang benar dan memiliki nilai integriti yang baik menepati pelan integriti nasional dan yang lebih penting menepati piawaian akhlak kepimpinan yang telah dimuktamadkan oleh Islam. Lantas rakyat memilih pemimpin yang terbaik melalui standard piawaian tersebut setelah rakyat pula mendapat maklumat yang adil dan seimbang.

9. Al-Quran telah menggariskan kaedah dialog, debat dan muzakarah ini sebagai strategi dakwah yang berhikmah untuk mengembalikan manusia kepada Allah SWT. Ingatlah, sebagai seorang Muslim malah seluruh umat manusia, kita berpolitik adalah bersaing untuk mencari individu atau pihak yang terbaik sebagai pengurus dan penyelia urusan hidup manusia di muka bumi ini berpandukan pedoman dan petunjuk Allah SWT Tuhan Yang Maha Mencipta.

10. Kita tidak berhak dan kita juga tiada autoriti untuk membuat pilihan lain selain apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi menyelamatkan negara dan rakyat dari pengaruh politik jijik dan keji. Pelaku politik jijik dan keji tidak suka muzakarah, tidak suka debat dan tidak suka dialog kerana apa yang mereka suka ialah dedah dan selak keaiban individu, fitnah dan tohmahan liar serta berdendang dengan lagu politik lapuk dan primitif. Mereka tidak ada hujah tapi mahu cari kuasa. Mereka tidak ada ilmu tapi mahu cari pengaruh. Mereka tidak miliki kebenaran tetapi mahu memimpin. Hancur masa depan negara kita!

Nasrudin Hassan ialah ketua Dewan Pemuda PAS.

Monday, March 12, 2012

Misi bantuan Dewan Pemuda PAS

Oleh DEWAN PEMUDA PAS

Dewan Pemuda PAS Malaysia melancarkan tabung khas untuk membantu sekitar dua pertiga penduduk dalam Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor yang dilanda banjir lumpur yang dahsyat, 5 hingga 10 kaki menenggelamkan rumah penduduk yang didiami sejak 40 tahun yang lalu. Sumbangan juga akan disalurkan ke penduduk Ampang yang turut menerima musibah yang sama. Semua sumbangan warga prihatin boleh disalurkan ke :

Tabung Rakyat Prihatin
564025400414
(Maybank
)

Sementara bantuan kebajikan buat keluarga (isteri dan tujuh orang anak) Imam Hoslan Hussin yang dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan Dewan Pemuda PAS Malaysia juga prihatin terhadap nasib seorang ibu tua yang lumpuh Faridah Maulud, 66, yang dilaporkan telah ditinggalkan oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru beberapa hari lepas. Insya Allah bantuan kebajikan sebahagian turut akan disalurkan kepada beliau. Semua bantuan warga prihatin untuk bantuan kebajikan ini boleh disalurkan ke :

Tabung Kemanusiaan Pemuda
564025400100
(Maybank
)

Monday, December 26, 2011

Isu qazaf, Yusri jawab tuduhan Wadah

Oleh YUSRI MOHAMAD

Baru-baru ini saya mendapat panggilan daripada Prof Datuk Dr Sidek Baba tentang kenyataan media Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia) bertarikh 19 Disember 2011 tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu qazaf yang mengheret nama kami berdua.

Secara tidak langsung, kenyataan ini menggambarkan bahawa seolah-olah kami berdua terlibat dalam melakukan jenayah qazaf, tidak menghormati syarak dan melanggar hukum syarak dalam isu ini. Ini adalah dakwaan-dakwaan yang berat. Saya belum sempat untuk membuat respons penuh kerana sedang bermusafir.

Saya keberatan juga untuk memberi respons tetapi jika saya berdiam sahaja nanti ada yang menyimpulkan bahawa kenyataan tersebut adalah yang benar tanpa menyelidik lebih lanjut.

Apabila pimpinan Wadah memilih untuk tiba-tiba membuat kenyataan secara terbuka maka terpaksalah penjelasan juga dibuat secara terbuka.

Untuk rekod, sebagai bekas pimpinan tinggi Abim, saya sudah cuba dan beberapa kali menawarkan untuk membincangkan isu ini dalam organisasi secara keluarga dan tertutup tetapi kurang sambutan terutamanya di pihak pimpinan Wadah.

Respons ringkasnya dahulu, saya berpandangan bahawa pimpinan Wadah sudah tersasar dalam memahami hukum qazaf dalam syariah Islam dalam kes Anwar-Mohd Saiful Bukhari Azlan ini.

Mereka harus mengkaji semula dan merujuk balik kepada pakar-pakar syariah yang khusus dalam bidang ini. Janganlah kasih atau benci kita terhadap mana-mana orang atau kumpulan menghalang kita bersikap objektif dan berlaku adil.

Soal utamanya, adakah kes Anwar-Saiful suatu kes tuduhan zina/liwat biasa? Atau adakah ia kes seorang yang mendakwa dirinya menjadi mangsa zina/liwat yang melibatkan paksaan?

Adalah jelas jika dilihat secara objektif bahawa ini bukan kes tuduhan zina/liwat daripada pihak ketiga terhadap mereka. Peguam negara hanya mewakili Saiful yg mendakwa sebagai mangsa. Jadi ini jelas bukan kes zina/liwat yang hanya boleh dibuktikan dengan empat orang saksi.

Kes ini lebih sesuai dikategorikan sebagai dakwaan rogol atau lebih tepatnya sebanding dengan kes-kes sumbang mahram atau gangguan seks oleh majikan di tempat kerja. Dalam kes-kes sebegini, beban buktinya dalam Islam tidak sama dengan dakwaan zina/liwat. Bukan empat orang saksi. Bukan. Bukan.

Kalau masih dituntut empat orang saksi ke atas seseorang yang mendakwa dirogol, atau jadi mangsa sumbang mahram ataupun gangguan seks di tempat kerja maka bayangkan akan mampukah mana-mana mangsa kes-kes tersebut mendapat pembelaan dan keadilan? Zalimlah Islam dan syariah Islam! Sukar sangatkah untuk memahami hal ini?

Maka Anwar (dan Wadah?), dalam kes Saiful, tidak boleh berselindung di sebalik hukum empat orang saksi atau di sebalik hukum qazaf. Mahkamah harus memberi peluang kepada Saiful untuk membentangkan apa-apa bukti lain yang diiktiraf syarak dalam kategori bayyinah atau qarinah kalaupun bukan saksi mata (syahadah).

Itulah intipati sikap saya dalam hal ini. Apabila balik nanti saya akan berbincang lebih lanjut dengan Cikgu Sidek tentang apakah langkah susulan yang perlu diambil. Kalau ada dan kalau mahu.

Sebenarnya saya dan saya yakin Cikgu Sidek banyak tugas dan tumpuan lain dan saya yakin sepatutnya Wadah juga banyak tugas dan tumpuan lain di gelanggang dakwah di Malaysia yang begitu luas.

Sampai bilakah dakwah Islamiyyah, umat Islam dan organisasi Islam di Malaysia hendak terlalu tertumpu, terheret dan terikat dengan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.

Saya yakin bahawa kita semua tahu bahawa Islam, dakwahnya dan umatnya adalah lebih besar dan lebih tinggi daripada mana-mana individu, organisasi atau kumpulan.

Wallahu a'lam.

Dr Yusri Mohamad ialah pengerusi Yayasan Sofa dan gabungan Persatuan-Persatuan Pembela Islam (Pembela).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...