Monday, May 22, 2017

Pakatan Sunni-Israel: Imaginasi atau realiti?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Lawatan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan ucapannya semalam memberi gambaran jelas satu kesepakatan yang diusahakan oleh Amerika Syarikat bersama Arab Saudi, negara-negara Arab sekutu dan Israel. Perkembangan terkini sejak Trump menjadi presiden menjelaskan lagi satu pakatan yang telah diusahakan sejak llebih sedekad lalu. Artikel di bawah ini yang pertama kali diterbitkan pada 27 Disember, 2012 merakamkan sejarah rancangan ini, termasuk percaturan dan perdebatan yang berlangsung dalam membina kerjasama politik ini.


Tahun 2012 menyaksikan pergolakan yang sengit dan berpanjangan melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global di rantau Asia Barat, menjadikannya tumpuan utama masyarakat dunia.

Satu persaingan yang menjadi tumpuan dan mencetuskan sentimen ialah persaingan antara kuasa-kuasa Arab bersama Turki dengan Iran dan sekutunya Syria, yang menjadi satu isu utama dunia Islam.


Di seberang gabungan Iran dan sekutu ialah kuasa-kuasa Arab Saudi dan Qatar yang mendominasi Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dan Liga Arab, dan Turki.

Iran dan sekutunya Syria pada masa sama juga ialah musuh yang dianggap sebagai ancaman kepada Israel, yang hubungannya dengan Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kelihatan tertumpu pada isu nuklear Iran.

Persaingan sengit yang menggerakkan pelbagai tindakan Saudi, Qatar dan sekutu ini kelihatan selari dengan kepentingan Israel, sehingga menampakkan kewujudan satu pakatan tidak formal dan kerjasama antara kuasa-kuasa Arab terbabit dengan Israel, walaupun pada permukaan kelihatan bermusuh.

Perkembangan melibatkan Syria, usaha mengalih sokongan dan bantuan kepada Hamas daripada Iran kepada kuasa-kuasa Arab dan kerjasama menangani Iran menunjukkan satu bentuk pakatan Arab Sunni dengan Israel, walaupun dalam bentuk yang tidak sepenuhnya jelas.

Dalam sejarah terkini, perkembangan terkini melibatkan pakatan menentang Iran ini bermula ekoran kejatuhan rejim pimpinan Presiden Saddam Hussein di Iraq, yang membuka ruang kepada peningkatan kuasa politik masyarakat Syiah, yang dilihat sebagai kesinambungan atau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Iran.

Kenyataan pemimpin Jordan, Raja Abdullah tentang apa yang dilihat sebagai ancaman Iran dan Syiah ini mencetuskan debat panjang berhubung "bulan sabit Syiah" iaitu satu kawasan dikuasai Iran di dunia Arab dan juga dalam kalangan akademik dan pembuat dasar di Amerika Syarikat, yang kemudian memberi kesan kepada dasar luar AS di rantau Asia Barat.

Persepsi ancaman seperti ini, yang mudah untuk diperbesarkan atau dipermudahkan untuk tujuan politik kemudian membentuk menjadi satu isu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kuasa-kuasa Arab, walaupun sebenarnya mempunyai penjelasan yang lebih mendalam, terutama berhubung kepentingan Iran dan tindakan yang sedia dilakukan untuk memelihara kepentingannya di Asia Barat.

Persepsi ancaman Iran-Syiah ini semakin kuat ekoran perang Hizbullah dengan Israel pada musim panas 2006, yang dinilai sebagai satu kejayaan Hizbullah yang disokong Iran, sehingga menjadikan kumpulan Syiah Lubnan ini popular di dunia Arab.

Populariti ini mempunyai potensi untuk meningkatkan pengaruh Iran di dunia Arab, dan hakikat bahawa Hizbullah berpegang kepada aliran Syiah membuka peluang kepada aliran ini tidak dilihat secara negatif ekoran episod ini.

Menyedari sentimen Arab yang berasa terancam ekoran kesan perang Hizbullah-Israel, Martin Indyk, bekas duta AS ke Israel yang kini felo di badan pemikir berpengaruh Institusi Brookings, mencadangkan satu pakatan melibatkan negara-negara Sunni dengan Israel, sebagai satu usaha menangani pengaruh Iran.

Rejim-rejim Arab Sunni yang bimbang dengan pengaruh paksi Iran-Syria dilihat mempunyai kepentingan yang sama dengan Israel, yang terancam oleh pakatan didominasi Iran itu, lebih-lebih lagi berkait kedudukan Syria sebagai negara jirannya yang berperanan penting dalam memelihara kumpulan seperti Hizbullah dan Hamas.

Selain Lubnan yang dari segi praktiknya masih berperang dengan Israel, Syria satu-satunya jiran yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu. Mesir dan Jordan mengekalkan hubungan baik dengan Israel.

Seorang akademik dari Universiti Columbia, Gary G Sick juga mempunyai pandangan yang sama, menegaskan strategi baharu anti-Iran ini mula muncul ekoran perang Hizbullah-Israel pada 2006, yang semakin menyedarkan rejim-rejim Arab Sunni tentang peningkatan pengaruh Iran.

Perkembangan strategi baharu ini dilaporkan wartawan Seymour Hersh dalam majalah The New Yorker pada 2007. Strategi yang disifatkan mereka yang terlibat sebagai satu perubahan besar itu menyaksikan kerjasama rapat AS dengan Saudi untuk melemahkan pakatan Iran-Syria dan Hizbullah.

Laporan Hersh itu mendedahkan sokongan kewangan Saudi kepada Ikhwan al-Muslimin Syria, elemen terkuat dalam pembangkang Syria. Sokongan kepada Ikhwan ini diberikan untuk membina penentang yang kuat kepada rejim Bashar al-Assad.

Ikhwan pada masa ini ialah kumpulan terbesar dalam pakatan penentang kerajaan Syria yang telah pun menerima pengiktirafan AS, Saudi, Qatar, Turki dan sekutu-sekutu.

Strategi digelar pakatan Sunni-Israel ini terus mendapat perhatian dalam kalangan akademik dan pemerhati dasar luar AS. Pendekatan ini dilihat sebagai pilihan yang wajar dilaksanakan untuk menyusun semula aturan kuasa di Asia Barat bagi memenuhi kepentingan AS dan sekutu pentingnya, Israel dan negara-negara Arab.

Malah, menjelang 2007, pilihan yang sukar itu juga semakin menjadi opsyen bagi pemimpin-pemimpin Israel, disebabkan perkongsian kebimbangan terhadap pengaruh Iran.

Seorang pemerhati melihat pakatan Sunni-Israel yang sedang terbentuk itu, yang menyaksikan peranan penting Arab Saudi, akan membuka ruang kepada perdamaian di rantau Asia Barat. Isu penting yang sama; menangani peningkatan pengaruh Iran yang dilihat sebagai ancaman oleh Israel dan Arab Sunni, dinilai sebagai faktor yang membenarkan strategi baharu ini terlaksana.

Seorang wartawan pro-Israel di AS, Jeffrey Goldberg, penulis di majalah The Atlantic, mengulas potensi dan kepentingan projek ini dalam satu tulisannya pada 2009. Goldberg menjelaskan pemerhatiannya bahawa rejim-rejim Arab kelihatan lebih bersikap kritikal terhadap Iran, melebihi yang ditunjukkan oleh pemimpin Israel.

Di Israel, sikap yang sama terhadap pakatan ini juga telah kelihatan. Seorang penulis di media Israel Ynetnews, menggesa Riyadh melakukan tindakan drastik menjalin kerjasama dengan Israel demi memastikan kelangsungan rejim itu.

Saudi dan Israel disifatkan sebagai pihak yang berkongsi kepentingan yang sama berhubung Iran dan perlu mengambil langkah bersama menangani ancaman itu.

Satu laporan akhbar Israel, Haaretz pada April 2012 lalu menunjukkan satu bentuk persefahaman berdasarkan kepentingan bersama, terutama ekoran kebangkitan rakyat yang semakin berleluasa di rantau Asia Barat.

Perkembangan sejak 2010 memperlihatkan hubungan yang terus diperkukuhkan antara AS dan sekutu penting di dunia Arab seperti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu, yang kedua-duanya mencapai perjanjian jual beli senjata bernilai puluhan bilion dolar AS.

Rancangan ini ialah sebahagian usaha mengukuhkan sekutu kalangan negara Arab sekitar Teluk Parsi, negara yang bakal berada di barisan hadapan sekiranya tercetus konflik bersenjata melibatkan Iran.

AS di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama meluluskan pakej jualan senjata bernilai AS$60 bilion kepada Arab Saudi, melibatkan beberapa jenis pesawat termasuk F-15 dan helikopter Apache.

Tahun 2011, sebagai sebahagian pakej AS$60 bilion urus niaga senjata itu, Riyadh diluluskan untuk membeli pesawat F-15 bernilai AS$30 bilion.

Tahun yang sama, UAE menyempurnakan perjanjian pembelian sistem pertahanan pemintas peluru berpandu dari syarikat AS bernilai AS$3.5 bilion.

Israel yang tidak menunjukkan penentangan kepada penjualan senjata besar-besaran kepada Riyadh seperti ditunjukkan semasa penjualan senjata kepada negara-negara Arab pada 1980-an, paling utama jualan pesawat pemantau Awacs pada 1981, menunjukkan petanda persefahaman kedua pihak menghadapi musuh bersama, Iran.

Tahun 2012, Washington turut mencadangkan pembinaan sistem pertahanan peluru berpandu untuk melindungi negara-negara ahli GCC daripada serangan peluru berpandu Iran.

Penjualan senjata besar-besaran ini berlaku pada masa yang kritikal melibatkan hubungan negara-negara Arab tersebut dengan Iran, yang merupakan ancaman yang mendorong urus niaga senjata tersebut, dan dilihat sebagai perubahan strategi yang nyata oleh AS dalam persediaan menghadapi konflik di rantau itu.

Perkembangan terkini di dunia Arab terutama melibatkan konflik Syria yang menjadi manifestasi utama pendekatan baharu kuasa-kuasa Arab serantau ini menunjukkan satu kerjasama didasari kepentingan bersama sedang berjalan.

Agenda berhubung Syria yang mempunyai sisi sektarian yang besar menyukarkan untuk kewujudan kerjasama negara-negara Sunni dengan Israel untuk dinafikan, lebih-lebih lagi dengan Israel menjadi pihak yang mendapat manfaat besar sekiranya paksi diketuai Iran dilemahkan.

Pemilihan istilah pakatan Sunni walau bagaimanapun boleh mencetuskan kekeliruan ekoran tafsiran simplistik yang diberikan, dengan menjadikan ideologi sebagai identiti dan penyatu.

Hal yang sama telah dicetuskan oleh istilah Syiah, yang digunakan dengan mudah untuk menyifatkan kuasa-kuasa yang pelbagai seperti Iran, Syria, Hizbullah, Hamas dan kumpulan-kumpulan Syiah di negara-negara Teluk Parsi.

Dari satu sudut, istilah Syiah digunakan untuk mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pihak yang kritikal terhadap sekte ini.

Syiah dalam hal ini digunakan sebagai kata ganti untuk menyifatkan pakatan politik ini, yang dasarnya tidak semestinya aliran agama tetapi juga kepentingan geopolitik dan tempatan.

Pakatan yang digelar paksi Syiah ini malah juga melibatkan kepentingan kuasa-kuasa luar seperti Rusia, yang asas sikapnya ialah perkiraan geopolitik.

Istilah pakatan Sunni-Israel ini juga, seperti digunakan pencetusnya dalam kalangan pemikir dasar luar AS, secara mudah menggunakan istilah Sunni untuk menyifatkan pakatan yang asasnya ialah sikap anti-Iran, atau lebih tepat lagi Iran seperti yang wujud hari ini.

Sekiranya berlaku perubahan rejim di Iran sehingga memunculkan pemerintahan baharu yang berbeza nilai dan kecenderungan aliansinya sehingga selari dengan kepentingan pesaingnya sebelum perubahan, aliran agama tadi akan diabaikan dan tidak diperbesarkan seperti disaksikan sekarang.

Pakatan Sunni-Israel dilihat oleh pendukungnya menggabungkan semua negara Arab Sunni monarki di Teluk Parsi dan juga Jordan, republik Mesir dan Turki.

Walau bagaimanapun, gabungan yang berkongsi kepentingan berhubung menangani pengaruh Iran ini tidak semestinya digerakkan oleh aliran agama mereka.

Pihak yang paling memusuhi Iran dalam kalangan negara Arab ialah Arab Saudi (di bawah kepimpinan pada masa ini dan berdasarkan pendirian pada masa ini), yang mempunyai pengaruh kuat terhadap dunia Arab terutama jiran-jiran di Teluk Parsi.

Walaupun perancangan terhadap Syria dan paksi dipimpin Iran memperlihatkan kepentingan yang selari, negara seperti Qatar, Mesir dan Turki juga mempunyai kepentingan untuk mengimbangi hubungan dengan Iran, sebagai sebahagian strategi pragmatik memelihara kepentingan masing-masing.

Dua negara republik Mesir dan Turki juga kelihatan mempunyai gagasan dasar luar yang berbeza daripada yang dipegang gabungan Arab diketuai Saudi, dan kelihatan mempunyai kepentingan untuk lebih merapatkan hubungan dan meningkatkan lagi pengaruh di dunia Arab.

Qatar, Mesir dan Turki mempunyai agenda dasar luar yang lebih bebas dan tidak semestinya selari dengan agenda Saudi dan sekutu.

Arab Saudi, negara berpengaruh dunia Islam kini telah mencetuskan agenda yang tidak selari dengan kepentingan umat ekoran keperluan memelihara rejim dan kepentingannya di rantau Asia Barat, dengan kini mendominasi hala tuju GCC dan juga Liga Arab.

Riyadh kini sedang mengusahakan kesatuan yang lebih rapat melibatkan negara-negara monarki Teluk Parsi dan telah berjaya menyingkirkan Syria daripada Liga Arab.  

Kebangkitan rakyat di dunia Arab kini telah membawa kepada satu perkembangan yang lebih kompleks dan mencetuskan akibat-akibat yang mencetuskan kekacauan, kemusnahan dan pecah belah.

Perkembangan ini menunjukkan kemelut melanda dunia Islam yang kritikal disebabkan persaingan kuasa sehingga mendedahkan umat kepada krisis dan konflik yang melemahkan. - 27 Disember, 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...