Tahun 2013 telah menjelaskan lagi dengan lebih terperinci
perkembangan sejak 2011 dan 2012, seperti kemerosotan kuasa dan pengaruh
Amerika Syarikat secara relatif, atau boleh disifatkan sebagai
kemunculan sebuah dunia pasca-Amerika, persaingan dan pertikaian di
rantau Asia-Pasifik melibatkan China dan negara sekitar, penyebaran
demokrasi oleh AS, perkembangan politik yang disifatkan sebagai
kebangkitan Syiah di Asia Barat dan persaingan kuasa-kuasa besar
meluaskan pengaruh di negara-negara bekas Soviet.
Berikut
lima buku yang dipilih sebagai yang paling menjelaskan perkembangan
penting politik dunia tersebut, yang merupakan antara isu kritikal
politik global dalam era masa kini. Buku-buku ini dipilih berdasarkan
nilai kajian dan isu besar politik global semasa yang dikemukakan.
1. Shiism and Politics in the Middle East oleh Laurence Louer, Columbia University Press, 2012.
Kajian
yang menjelaskan Syiah dan hubungannya - dan juga pemisahannya - dengan
politik di Asia Barat. Mengemukakan penjelasan lain isu penguasaan Iran
dalam dunia Syiah yang selalu menjadi konsensus dalam perbincangan
mengenai isu ini. Menjelaskan sejauh mana - dengan lebih mendalam
berbanding The Shia Revival: How Conflicts within Islam Will Shape the Future
karya Vali Nasr - Syiah dan Iran dilihat sebagai satu dalam kalangan
komuniti Syiah di negara-negara Asia Barat lain dari Lubnan ke Bahrain,
termasuk perkembangan terkini berhubung pandangan terhadap ulama rujukan
(marja), dan sejauh mana Bahrain yang dikuasai politiknya oleh komuniti
Syiah akan menjadi sekutu kuat atau agen kepada Iran.
Kajian
ini relevan disebabkan isu Syiah yang semakin menjadi topik sentral
dalam perkembangan di Asia Barat dan seluruh dunia Islam, isu yang
mencetuskan keganasan dan kempen propaganda sektarian, menyentuh
peristiwa politik utama yang melanda dunia hari ini, iaitu konflik
Syria.
2. Samudra Manthan: Sino-Indian Rivalry in the Indo-Pacific oleh C Raja Mohan, Carnegie Endowment for International Peace, 2012.
Buku
yang menambahkan karya tentang kebangkitan kuasa ketenteraan China di
lautan, daripada Lautan Hindi ke Pasifik, dari perspektif India, kuasa
pesaing China. Meneruskan bentuk penilaian seperti dilakukan oleh Robert
Kaplan melalui Monsoon: The Indian Ocean and the Future of American Power,
dan menggunakan tarikan istilah popular masa kini, Indo-Pasifik - yang
dipopularkan kembali oleh kertas putih pertahanan Australia di bawah
Perdana Menteri Tony Abbott - yang sebenarnya agak terlalu luas. Buku
yang memberi penekanan pada kebangkitan dan potensi ancaman China di
rantau Asia-Pasifik. Turut menegaskan peranan penting yang perlu
dimainkan oleh AS dalam menangani kebangkitan China dan persaingan India
dengan China.
Buku yang menyentuh isu politik yang
panas pada masa ini, melibatkan kebangkitan ketenteraan China di rantau
Asia-Pasifik, dan persaingan kedua-dua kuasa China dan India
meningkatkan keupayaan ketenteraan laut lepas.
3. US Foreign Policy and Democracy Promotion: From Theodore Roosevelt to Barack Obama disunting oleh Michael Cox, Timothy J Lynch dan Nicolas Bouchet, Routledge, 2013.
Topik
penyebaran demokrasi terus menjadi satu isu yang divisif dalam kalangan
pemerhati dasar luar AS, dan sering dinilai sebagai helah mengukuhkan
penguasaan AS dalam orde dunia. Mengemukakan diskusi meliputi asas
falsafah penyebaran demokrasi AS - dan sama ada wujudkah apa yang
disebut sebagai "penyebaran demokrasi" itu - dan penilaian rekod
presiden yang terlibat dalam meluaskan demokrasi melalui dasar luar
mereka, hingga ke presiden terakhir Barack Obama, yang dikait dengan
kesedaran di Mesir hingga mendorong protes yang menjatuhkan Presiden
Hosni Mubarak. Buku ini membawa diskusi penting topik kritikal dalam era
yang mencabar kepada Washington pada masa ini, ketika demokrasi dinilai
dengan lebih kritikal berhubung manfaat yang dapat diberikan.
Buku
yang sangat relevan pada masa ini, pada era penyebaran demokrasi
berlaku di seluruh pelusuk dunia dari Afrika Utara hingga ke Asia Tengah
dan Asia Tenggara, dengan peranan yang bukan kecil daripada AS dan
badan-badan bukan kerajaan AS.
4. No One's World: The West, The Rising Rest, and the Coming Global Turn oleh Charles A Kupchan, Oxford University Press, 2012.
Selepas The Post-American World oleh Fareed Zakaria, No One's World,
walaupun jauh kurang popular, mengemukakan kajian yang lebih mendalam
dan memberikan gambaran lebih jelas berhubung kemunculan dunia
pasca-Amerika. Mengemukakan pandangan bahawa dunia pasca-Amerika bukan
dunia konsensus Beijing atau konsensus lain yang sering diperkatakan,
atau kemunculan hegemon lain sebagai pengganti tetapi satu disensus
global, tanpa satu kuasa yang dominan seperti AS masa kini. Seiringan
dengan itu, demokrasi liberal yang dilihat sebagai sistem yang
sepatutnya menjadi pilihan turut berdepan saingan sistem lain yang
dibawa kuasa-kuasa selain AS seperti China dan Brazil.
Buku
yang memberikan penilaian terhadap masa depan orde liberal
antarabangsa, melibatkan aturan kuasa dan sistem urus tadbir ekonomi
global (termasuk kedudukan tertinggi dolar AS), yang kini mula kelihatan
tercabar oleh kebangkitan kuasa-kuasa lain. Buku ini juga dapat
menjelaskan diskusi popular di media mengenai kebangkitan BRICS (Brazil,
Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan terkini, MINT (Mexico,
Indonesia, Nigeria dan Turki).
5. Great Games, Local Rules: The New Great Power Contest in Central Asia oleh Alexander Cooley, Oxford University Press, 2012.
Tidak
seperti banyak kajian lain, Cooley menegaskan peranan tersendiri
negara-negara Asia Tengah dalam menghadapi percaturan dan tekanan
kuasa-kuasa besar AS, Rusia, dan China. Hal ini antaranya diperhatikan
melalui tindakan kerajaan Kyrgyzstan dan Uzbekistan yang menjadi lokasi
pangkalan tentera dan direbut oleh kuasa-kuasa AS dan Rusia, pangkalan
dan akses yang menjelaskan pengaruh kuasa-kuasa terbabit. Kyrgyzstan
mendapat perhatian akibat tindakan berprofil tingginya menuntut sewa
lebih tinggi daripada AS untuk kekal di pangkalan udara Manas, dan pada
masa sama menerima bantuan Rusia dan berjanji menamatkan kehadiran
tentera AS di pangkalan itu. Turut memberi perhatian khusus kepada
protes besar-besaran Revolusi Warna, yang bukan sahaja menunjukkan
pengaruh luas AS, Barat dan Rusia, tetapi juga kesediaan rejim-rejim
Asia Tengah terbabit menyesuaikan strategi menghadapi cabaran
pendemokrasian ini.
Memperincikan lagi persaingan
geopolitik rantau ini, dan turut mengemukakan satu gambaran masa depan
pasca-Amerika, melibatkan kredibiliti AS yang berkait dengan tindakan
dalam negara. Kajian yang penting untuk mendalami rantau penting yang
agak kurang mendapat perhatian ini. - Januari 13, 2014
No comments:
Post a Comment