Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak baru-baru ini
mencetuskan trending di laman-laman sosial apabila ucapannya yang
menyebut contoh harga sayur kangkung yang turun menjadi bahan lucuan orang ramai.
Najib dalam ucapannya semasa majlis memberi bantuan menyebut sayur
kangkung yang turun harga sebagai contoh barangan yang tidak naik
harga, dalam usahanya meredakan keresahan ramai disebabkan harga
barangan yang terus naik.
Sejurus memberi ucapan itu,
kangkung dijadikan satu topik lucu dan sinis di laman-laman sosial,
mencetuskan pelbagai hashtag dengan topik kangkung.
Pelbagai status, kenyataan dan komen secara sinis mengangkat topik kangkung, termasuk melibatkan pemimpin politik.
Dari sudut yang lebih serius, ucapan Najib itu dinilai sebagai tidak
menjawab persoalan lebih besar kenaikan kos hidup yang meliputi bahan
makanan, keperluan asas seperti elektrik, pengangkutan dan bakal
ditambah dengan cukai barangan dan perkhidmatan yang akan mula
diperkenalkan tahun depan.
Melalui kenyataan ini, Najib mengambil
satu sudut yang sukar dan memberikan penjelasan yang tidak menjawab
keresahan orang ramai berhubung kenaikan kos yang menyeluruh.
Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang
kangkung hanyalah satu contoh ada benarnya, tetapi hakikat bahawa
kangkung dipilih untuk dijadikan contoh menunjukkan yang sangat sedikit
(atau mungkin hanya satu) barang yang turun harga, sedangkan kos-kos
lain terus meningkat.
Kenyataan lucu ini menambahkan lagi senarai
kenyataan beliau yang pelik, lucu atau sangat tidak kena tempat
sepanjang menjadi perdana menteri, menimbulkan persoalan tentang
keprihatinannya dalam membuat ucapan dan pera-nan penasihat-penasihat
yang sepatutnya membantu dalam hal ini, dalam usaha memelihara imej dan
kredibiliti Najib sebagai perdana menteri.
Najib sebelum ini
telah beberapa kali membuat kenyataan yang mengundang reaksi negatif
orang ramai, akibat sifatnya yang kelihatan tidak perlu, tidak
difikirkan dengan mendalam dan tidak cermat.
Disember 2013 yang
lalu, dalam satu usaha mempertahankan isteri beliau, Datin Seri Rosmah
Mansor, Najib menceritakan dua jasa isterinya itu dalam satu ucapan
semasa Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.
“Ada dua jasa
isteri saya yang belum saya terangkan, yang tak pernah saya maklumkan
sebelum ini,” Najib dipetik sebagai berkata.
Jelasnya, dua jasa
Rosmah itu ialah membantu membebaskan seorang pelajar Malaysia yang
disalah anggap sebagai pengintip di Mesir dan membantu pelajar Malaysia
transit di Jeddah dan kemudian ke Kuala Lumpur tanpa visa, dalam operasi
menghantar pulang pelajar Malaysia dari Mesir ketika kebangkitan
menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak.
Mac tahun lalu, dalam kempen
di Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Najib mengajak rakyat menolak PAS dan
Pakatan Rakyat kerana didakwa telah melakukan “tujuh dosa besar” yang
termasuk mengadakan kerjasama politik dengan DAP.
Najib dalam
majlis di Tanah Merah itu menyenaraikan tuduhan beliau berhubung dosa
PAS sebagai membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim,
gagal mengurus Kelantan dan membenarkan pemimpin DAP membotakkan kawasan
di Tanah Tinggi Lojing.
Pada Mei 2012, ketika mengecam
pembangkang berhubung isu kontroversi penyenaraian saham Felda Global
Ventures Holdings Berhad di Bursa Malaysia, Najib yang marah menyebut
“haram jadah.”
Najib mempersoalkan peneroka yang menerima wang “durian runtuh” tetapi pada masa sama menentang penyenaraian FGVH.
Pada Mei 2011, mengulas laporan kematian Osama bin Laden, Najib
mengemukakan pandangan bahawa kematian pemimpin militan itu boleh
menyumbang kepada dunia menjadi lebih “aman, selamat dan adil.”
Pandangan satu hala dan simplistik itu dikritik ramai, termasuk
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang
menyifatkannya sebagai tidak cermat dan cuba menampakkan diri sebagai
penyokong Amerika Syarikat.
Sebelum itu, pada Februari tahun yang
sama, Najib dalam satu wawancara bersama media Turki dilaporkan
mengaitkan gerakan Ikhwanul Muslimin dengan keganasan.
Kenyataan
Najib itu dilihat menuduh Ikhwan sebagai terlibat dengan keganasan dan
perlu menolak keganasan sekiranya mahu terlibat dalam pilihan raya.
No comments:
Post a Comment