Cuaca panas yang berpanjangan di negara ini mula menampakkan kesan
politiknya apabila kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mula dilihat
dijadikan sasaran untuk dipersalahkan.
Media elektronik dan media cetak yang pro-Barisan Nasional telah
bersama mengangkat kemungkinan krisis air berlaku sekiranya cuaca panas
berterusan dan bekalan air merosot.
Antaranya, laporan akhbar Umno, Berita Harian pada 14 Februari
mengaitkan kemungkinan krisis air di Lembah Klang dengan apa yang
dianggap sebagai kegagalan kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu
pembinaan loji air baharu.
Akhbar Berita Harian di muka depannya memaparkan gambar air yang
surut di sebuah ampangan dengan tajuk Akibat Degil: Lembah
Klang Tidak Akan Berdepan Risik Catuan Air Jika Kerajaan Selangor
Pimpinan PKR Benarkan Pembinaan Loji Langat 2.
Tindakan media Umno memainkan isu ini sejak awal lagi, sama ada
krisis yang dijangka itu benar-benar akan berlaku atau tidak,
memperlihatkan satu kempen terbaharu BN dalam usaha menjejaskan imej dan
kredibiliti kerajaan negeri Selangor.
BN dan sekutu dilihat kecewa dengan pendirian kerajaan Selangor
pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak sehaluan dengan
pengurusan bekalan air negeri ini oleh syarikat konsesi.
Empat syarikat konsesi menguruskan bekalan air beroperasi di
Selangor; Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga
(M) Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Sungai
Selangor Sdn Bhd (Splash).
Hujung tahun 2013, kerajaan Selangor memutuskan untuk mengambil alih
pengurusan empat syarikat tersebut, dengan membuat tawaran RM9.65 bilion
bagi tujuan itu melalui cabang pelaburannya Kumpulan Darul Ehsan Berhad.
Rancangan pengambilalihan itu walau bagaimanapun tidak berjaya
dilaksanakan.
Menurut Abdul Khalid, kerajaan Selangor mahu mengambil alih syarikat
konsesi air di Selangor kerana syarikat terbabit gagal memberikan
perkhidmatan yang baik dan tarif yang berpatutan walaupun telah
memperolehi keuntungan besar.
Walau bagaimanapun, Januari lalu, Abdul Khalid mengumumkan yang
projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan semula selepas siri
rundingan dengan Putrajaya, dan kerajaan Selangor bersetuju bekerjasama
dengan kerajaan persekutuan mengambil alih syarikat konsesi air di
Selangor, menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.
Keputusan Abdul Khalid itu walau bagaimanapun tidak dipersetujui
sepenuhnya dalam kalangan wakil-wakil rakyat PKR, dan dipercayai menjadi
satu isu yang membawa kepada krisis politik dalaman Selangor masa kini.
Isu air Selangor menjadi isu yang banyak dipolitikkan di Selangor,
dan dilihat berpotensi menggugat kedudukan pemerintahan PR
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Media BN memperlihatkan kerajaan PR Selangor sebagai tidak cekap
menguruskan air hingga menyebabkan gangguan bekalan sering terjadi,
tanpa memberi perhatian pada syarikat konsesi yang mempunyai hubungan
baik dengan BN.
Sepanjang 2012, Selangor menyaksikan banyak gangguan bekalan air
berlaku, dan perkembangan ini segera mencetuskan pertengkaran terbuka
antara kerajaan negeri dengan syarikat konsesi Syabas.
Pada awal 2013, krisis air sekali lagi melanda Lembah Klang, yang
dikatakan akibat kerosakan stesen pam. Krisis ini segera mendapat liputan meluas media pro-BN dan menjadi bahan kempen terbaharu terhadap
Pakatan di Selangor.
Akhbar-akhbar meletakkan liputan isu krisis air itu di muka hadapan,
dengan pertanggungjawaban dihalakan kepada kerajaan negeri Selangor.
Pada masa sama, Umno menggunakan krisis itu untuk kempen politik,
termasuk melibatkan isteri perdana menteri, Datin Sri Rosmah Mansor
memberikan bantuan bekalan air dalam botol kepada penduduk Lembah Klang.
Umno kelihatan cuba menyebarkan persepsi yang kerajaan negeri
Selangor menangani isu air tersebut berdasarkan kepentingan politik,
sedangkan Umno turun kepada rakyat dan memberikan bantuan.
Pilihan Raya Umum ke-13 yang dirasakan semakin hampir pada masa itu memanaskan lagi krisis air yang menjejaskan ribuan warga Selangor dan
Kuala Lumpur itu.
Kali ini, BN telah memulakan tindakan preemtif dengan menghalakan
perhatian kepada kerajaan PR Selangor, mengambil kesempatan
daripada suasana cuaca panas yang melanda negara.
Sekiranya krisis air benar-benar terjadi, krisis tersebut boleh
dijangka akan sekali lagi dimanipulasi untuk kepentingan politik BN,
yang telah mula dapat diperhatikan dalam media tertentu.
Krisis terbaharu itu nanti bakal menjadi sangat sengit dan memberikan
implikasi yang luas, memandangkan pada masa sama, Selangor juga sedang
menyaksikan krisis politik dalaman. - Februari 14, 2014
1 comment:
Saya seorang guru di lembah kelang. Tolonglah hentikan dan selesaikan ape sahaja permasalahan mengenai air di lembah kelang. Fikirlah bertapa susahnya jika tiada air di rumah ini kan pula di sekolah dengan seribu lebih pelajar....air yg ada dan ditakung hanya dua hari sekali takan cukup untuk jumlah pelajar sebegini. Apakah tuan-tuan akan mula beri perhatian setelah ada nyawa yang melayang dek kerana keracunan, wabak dan penyakit....? Tolong fikir....kami dah tak tahan bergelumang dengan najis dan bau.....bawa politik anda ke tempat lain. Bukan di sekolah dan anak-anak yang masih belum mengerti.
Post a Comment