Friday, January 4, 2013

Krisis air, kenapa berlaku sekarang?

Penduduk di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur memasuki tahun 2013 dengan berdepan masalah bekalan air, dilaporkan akibat kerosakan stesen pam.

Krisis ini masih baru tercetus, dan mungkin boleh sahaja selesai tanpa berlaku sebarang implikasi politik.

Tetapi masa krisis ini terjadi menjadikannya menarik untuk diperhatikan, lebih-lebih lagi isu ini sentiasa tidak terlepas daripada kaitan politik.

Beberapa akhbar harian hari ini telah menjadikan isu ini tajuk muka depan, memberi gambaran seriusnya masalah ini.

Kerajaan negeri Selangor telah dipersalahkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor, Syabas, melanjutkan lagi pertembungan antara kedua-dua pihak terbabit yang bermula beberapa bulan lalu.

Isu bekalan air Selangor ini juga telah mencetuskan pertembungan antara kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan Putrajaya dan menampakkan tanda akan berpanjangan.

Pilihan Raya Umum ke-13 kini semakin hampir, disebabkan tempoh mandat daripada pilihan raya umum yang lalu hampir tamat, bermakna  pilihan raya umum tidak dapat ditangguh lagi.

Krisis yang sedang berlaku ini baru bermula dan belum menunjukkan gambaran jelas sama ada hanya sementara atau akan berlanjutan lagi.

Dari segi politik kepada kerajaan PR Selangor, krisis air yang berpanjangan dan melibatkan lebih ramai penduduk boleh memberi kesan negatif sekiranya dimainkan dengan berkesan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Umno telah menjadikan isu-isu melibatkan air termasuk kekurangan bekalan dan bekalan air percuma dijanjikan kerajaan negeri yang tidak terlaksana sepenuhnya sebagai bahan politik, menyebabkan kerajaan PR Selangor kelihatan agak defensif.

Sebagai negeri yang menjadi sasaran utama Umno dan BN, peluang ini tidak akan dilepaskan, memandangkan krisis ini melibatkan jumlah penduduk yang besar.

Sekiranya BN mahu benar-benar mempolitikkan isu ini - jika krisis berlanjutan - masa kelihatan berpihak kepada mereka, tetapi kesan negatifnya tetap boleh kembali kepada BN, sekiranya persepsi ramai melihatnya sebagai sengaja diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13atau kesalahan lebih diletakkan di bahu Syabas.


1 comment:

Pasti As Shafie said...

inilah akibatnya apabila bekalan asas rakyat diswastakan dan keuntungan perniagaan diutamakan. urusan perbekalan sumber alam sebaiknya diserahkan kembali untuk diuruskan oleh pemerintah tanpa matlamat keuntungan. bil atau bayaran biarlah sekadar untuk menampung kos pembaikan dan penyenggaraan berterusan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...