Friday, January 4, 2013

Isu Amanat Haji Hadi untuk jejas kredibiliti agama PAS

Umno kelihatan kembali ke era 1980-an apabila memainkan kembali isu Amanat Haji Hadi sebagai sebahagian kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-13 yang menjelang.

Petikan ucapan dalam ceramah pada 1981 yang diperbesarkan oleh ahli parti itu telah lama mencetuskan perbahasan panas, dan dikaitkan sebagai satu punca perpecahan dan pelbagai kekeliruan dalam masyarakat Melayu Muslim terutama di Terengganu.

Tindakan pemerintah menimbulkan kembali isu ini, dan tanpa tindakan serius untuk membenarkan penjelasan dan pendengaran pandangan selain yang menjadi konsensus parti pemerintah menimbulkan persoalan besar.

Keengganan menyahut cabaran Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen utama - yang matlamatnya dipercayai mengelakkan suntingan dan manipulasi selain mendapatkan audiens yang besar - telah mendedahkan kebimbangan pemerintah terhadap sebarang gugatan terhadap naratif yang dikemukakan pemerintah itu.

Masa yang lama untuk mencapai satu sikap terhadap ucapan Abdul Hadi itu, lama selepas April 1981 juga mendedahkan pemerintah dan birokrasi berkaitan kepada kelemahan yang besar.

Sikap itu menjelaskan bahawa isu ini dibawa kembali ke perhatian awam sebagai kempen pilihan raya dan tidak lebih daripada itu.

Debat isu ini setakat ini hanya dilakukan di media dikuasai pemerintah, dengan hanya satu pihak mengemukakan pandangan dan dakwaan-dakwaan yang sering meragukan.

Tidak seperti isu-isu berkaitan agama sebelum ini seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim dan pluralisme agama, isu Amanat Haji Hadi ini tidak mendapat reaksi daripada aktivis dan intelektual Muslim seperti yang disaksikan dalam kes kalimah Allah dan isu pluralisme agama yang dikaitkan dengan PKR dan Pakatan Rakyat.

Isu Amanat Haji Hadi ini, yang antara pencetus awalnya pada kali ini ialah akhbar Utusan Malaysia dan TV3, menjadi hampir sepenuhnya permainan politik Umno.

Malah, isu ini juga bersaing dengan isu berhubung kenyataan pemimpin DAP, Lim Guan Eng supaya penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Isu amanat ini kelihatan menjadi satu isu yang digunakan untuk menambahkan lagi isu yang boleh menjejaskan kredibiliti agama yang dimiliki PAS, selepas isu kalimah Allah dan kontroversi gereja di Selangor.

Pemerintah dijangka akan turut menerima kesan negatif daripada isu amanat ini, termasuk disebabkan reaksi kepada kempen murahan dan desakan membenarkan penjelasan yang terus dielakkan.




2 comments:

Anonymous said...

Umno yang dikafirkan oleh amanat itu cuma menggunakan kembali senjata yang digunakan pas dulu untuk mengugut orang melayu supaya ridak mengundi umno dan bn. Harap hj hadi cepat cepat beri penjelasan dan bukan alasan yg pelbagai.

Anonymous said...

haji hadi memang nak bagi penjelasan, beliau dah minta sejam di kaca televisyen, live..itu sahaja..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...