Thursday, January 3, 2013

2012: Politik artis dan suasana menunggu pilihan raya

Sejak awal tahun 2012, spekulasi tarikh pilihan raya menjadi tajuk besar dalam perbincangan politik negara.

Semua pihak ternanti-nanti bila parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya umum ditentukan.

Akibatnya, sepanjang tahun, aktiviti berpolitik pada tahap maksima berlangsung, dengan kedua-dua kumpulan utama bersaing dalam semua hal.

Dalam pentadbiran sebuah negara, politik kepartian dan kempen pilihan raya ialah satu bahagian yang besar, tetapi sepatutnya bukan yang paling besar. Selepas kempen dan berpolitik, urus tadbir dan pembinaan negara ialah hal yang sepatutnya diberi perhatian oleh pemain-pemain politik, terutama semua yang terlibat dalam kerajaan termasuk ahli parlimen pembangkang.

Malangnya, dalam keghairahan menuju pilihan raya dan Putrajaya, hampir seluruh tenaga dan masa dihabiskan dengan berpolitik, dengan segala mainan di media dan di segala ruang yang ada.

Suasana panas yang berterusan sejak 2008, terutama menjelang 16 September, diteruskan lagi pada tahun 2012.

Tahun ini, 2013, bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan, selepas sekurang-kurangnya dua tahun ramai tertunggu-tunggu untuk merasai dan terlibat dalam proses politik yang dianggap sebagai penentu penting haluan politik negara.

Satu hal yang menarik untuk diberi perhatian ialah Bersih dan protes besar-besaran yang menjadi identiti badan gabungan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik Pakatan Rakyat ini.

Pada 2012, protes Bersih yang ketiga diadakan, yang antara tujuannya ialah sebagai persediaan meningkatkan momentum untuk menghadapi sebarang kemungkinan menyusul Pilihan Raya Umum ke-13.

Sejak Oktober 2007 hingga hari ini, Bersih telah berjaya membentuk kesatuan dan keberkesanan sebagai satu instrumen dan kuasa penyatu untuk menghadapi Barisan Nasional.

Bersih kini telah menjadi kuasa yang mampu digerakkan untuk menjejaskan pemerintah BN, terutama sekiranya segala elemennya mencukupi dan digerakkan dengan berkesan.

Momentum ke arah protes besar-besaran selepas pilihan raya umum telah kelihatan, termasuk melalui satu kenyataan A Samad Said, ahli jawatankuasa Bersih 2.0.

Usaha pemantauan oleh Bersih juga telah disusun, yang boleh meningkatkan lagi kredibiliti suara protes Bersih terhadap proses pilihan raya umum akan datang, sekiranya didapati tidak memenuhi tuntutan yang disuarakan selama ini.

Sekiranya protes besar-besaran diadakan, semua yang terlibat sukar untuk berundur lagi, dan terpaksa terus menggempur dan mara ke hadapan, lebih-lebih lagi memandangkan pertaruhan besar bagi semua pihak terlibat.

Ini bermakna apa yang digerakkan sejak 2007 dan ditingkatkan dengan mendadak pada 2012 bakal dilaksanakan pada 2013, membawa persaingan politik Malaysia ke satu tahap yang baharu dan lebih sengit.

Satu lagi isu yang mengambil bahagian yang besar dalam perbincangan politik negara ialah peningkatan peranan selebriti dalam kempen politik.

Sehingga kini, satu-satunya peranan besar yang dimainkan oleh penggiat budaya popular dalam pentas politik ialah kempen perhubungan awam untuk parti politik, terutama PAS.

Perkembangan sejak 2011 diteruskan pada 2012 dengan artis menjadi tumpuan utama dan menjadi penceramah popular program-program PAS, sehingga mencetuskan kritikan termasuk dari dalam parti.

Abby Abadi, yang pernah popular melalui drama Gerak Khas, muncul sebagai selebriti paling popular dalam politik tahun 2012 melalui aktivitinya bersama PAS.

Abby ialah salah seorang daripada satu gelombang "artis insaf" yang aktif dalam aktiviti keagamaan, yang sebahagiannya hampir secara eksklusif di atas platform parti politik.

Dari segi menarik perhatian massa, PAS telah berjaya dalam membina pengikut yang ramai melalui penglibatan selebriti.

Ini dikuatkan lagi oleh peranan penceramah popular Ustaz Azhar Idrus, yang pernah mendapat anugerah daripada Pemuda PAS dan mempunyai kaitan rapat dengan parti ini.

Peranan dan kedudukan penceramah ini dalam aktiviti seperti ini telah meningkatkan elemen budaya popular aktiviti keagamaan yang digerakkan parti politik ini, mencetus satu fenomena agak baharu yang menggabungkan budaya popular dengan aktiviti keagamaan.

Selain PAS, PKR juga telah mendapat bahagiannya melalui kemenangan penulis lirik lagi Awan Nano, Hasmi Hashim, yang sebelum ini aktif bersama PKR dan kembali aktif dalam beberapa program ekoran peningkatan popularitinya.

Episod ini juga tidak kurang elemen politiknya apabila pemuda PKR segera mengambil kredit daripada kemenangan Hasmi itu, dan mencetuskan reaksi negatif yang keras daripada blog-blog Umno.

Unsur Islam pop ini telah diperhatikan berleluasa, dan memainkan peranannya yang tersendiri dalam menarik massa mendekatkan diri kepada aktiviti keagamaan seperti ceramah.

Hasil jangka pendeknya dalam menterjemahkan hasil politik kepada PAS akan dilihat pada tahun ini, pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...