Oleh HARIS ZALKAPLI
Perkembangan terkini dunia Arab telah menampakkan perubahan, melibatkan perubahan kepimpinan di beberapa negara dan perubahan pendekatan dan aliansi.
Hamas, kumpulan yang terpinggir di Gaza sejak kemenangannya dalam pilihan raya pada 2006 mendapat manfaat ekoran kebangkitan serantau, dan mula menyesuaikan diri menjadi lebih pragmatik.
Politik baharu Hamas dalam menyesuaikan diri dalam persaingan kuasa serantau kini sedang mengubah gerakan ini, yang perlu mengimbangi peranannya sebagai kerajaan dan gerakan penentangan yang dilabel pengganas oleh masyarakat antarabangsa dan persaingan dalaman menentukan hala tuju gerakan.
Sejarah sejak 2006 menyaksikan Hamas berdepan situasi yang amat sukar, selepas kemenangan dalam satu pemilihan demokratik tidak mendapat respons sewajarnya daripada masyarakat dunia, yang sesetengahnya melihat peningkatan peranan Hamas akan menyukarkan lagi proses damai.
Dunia mengiktiraf Fatah sebagai wakil rakyat Palestin, walaupun, seperti dibuktikan dalam pilihan raya itu, tidak mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Palestin seperti Hamas.
Hamas yang terus dipinggir, termasuk melalui sekatan bantuan itu walau bagaimanapun mendapat talian hayat apabila Iran bersetuju untuk memberi bantuan kewangan kepada kumpulan itu, yang telah berperanan sebagai kerajaan.
Tetapi bantuan Iran tidak membebaskan Hamas daripada peminggiran, dan nasib Hamas hanya kelihatan berubah ekoran usaha mengatur semula pakatan antara kuasa-kuasa di dunia Arab, yang bergerak selari dengan gelombang kebangkitan rakyat terbaharu.
Selepas kepimpinan politik Hamas, diketuai Khaled Meshaal meninggalkan Damsyik ekoran tekanan ke atas rejim Basyar al-Assad dan membina hubungan dengan Qatar, Hamas menampakkan perubahan haluan dengan lebih jelas, dan pada masa sama perbezaan pandangan dalaman mula kelihatan.
Meshaal meninggalkan Damsyik dan mula membina hubungan rapat dengan pemerintah Qatar, yang lebih berkemampuan dari segi kewangan.
Isu pemberontakan di Syria dan pakatan Syria dengan Iran dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam yang telah dikemukakan sebagai satu persaingan didasari ideologi antara Sunni dengan Syiah turut meningkatkan lagi tekanan ke atas Hamas untuk mengubah pakatan.
Doha, bersama sekutu Arab dan Turki menyokong pemberontak Syria dalam satu usaha untuk melemahkan pakatan Iran-Syria.
Lawatan Emir Qatar ke Gaza pada Oktober lalu, menjanjikan bantuan AS$400 juta untuk membina semula kediaman dan infrastruktur yang musnah ekoran serangan Israel hampir empat tahun lalu dari satu sudut telah meningkatkan profil Hamas, meningkatkan posisi Hamas berbanding Fatah yang di samping mengikat lagi Hamas dengan Doha.
Qatar berkepentingan dalam isu Palestin ekoran peranannya sebagai perantara antara Hamas dengan Fatah yang telah bermula sejak 2006 lagi, dan bantuan kepada Gaza boleh dilihat sebagai satu usaha untuk memenangi komitmen Hamas di Gaza untuk menerima pelan Doha.
Berdepan realiti politik baharu yang melanda rantau Asia Barat, kepimpinan Hamas diwakili Meshaal dan yang berpangkalan di Gaza diketuai Ismail Haniyeh telah mula menampakkan perbezaan pandangan berhubung pendekatan politik lebih awal, beberapa bulan sebelum pertemuan di Doha untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Fatah.
Kepimpinan di Gaza mahu meneruskan penentangan bersenjata, manakala Meshaal menampakkan kecenderungan lebih pragmatik dan mahu mengubah pendekatan menjadi lebih aman.
Haniyeh walau bagaimanapun turut kelihatan mengimbangi aliansi dengan dunia Arab, yang didominasi kerajaan monarki seperti Qatar dan Arab Saudi, apabila menyatakan sokongan kepada rakyat Syria, yang menandakan penolakan terhadap rejim Bashar al-Assad dan sokongan kepada pemberontak.
Haniyeh sebelum itu, pada bulan yang sama, Februari, melawat Iran dan menyertai sambutan ulangtahun Revolusi Islam republik itu.
Hamas juga dalam satu kenyataan Mac lalu, ketika perubahan haluan Hamas semakin jelas, menegaskan tidak akan membantu Iran dengan melakukan serangan ke atas Israel sekiranya Iran diserang.
Hubungan Iran dengan Hamas telah terjejas, sehingga Tehran menurut satu laporan telah menghentikan bantuan tahunan sebanyak AS$300 juta pada pertengahan Ogos 2011.
Selepas itu, Turki dilaporkan bersedia menggantikan bantuan yang dihentikan Iran itu, tetapi dinafikan oleh Ankara.
Apapun yang berlaku selepas ini, perkembangan semasa menjadikan sukar untuk Hamas membina kembali hubungan dengan Syria dan Iran.
Perkembangan ini bermakna Hamas telah menjarakkan diri dan memutuskan hubungan dengan pakatan dikenali "paksi penentangan" menggabungkan Iran, Syria dan gerakan-gerakan Islam di Palestin dan Lubnan, yang juga dikemukakan oleh rejim-rejim Arab sebagai satu pakatan Syiah.
Pada masa sama, Syria dan Iran pula mula meningkatkan sokongan kepada kumpulan lain termasuk Jihad Islami, yang bertempur dengan Israel pada Oktober tahun lalu dan terbaharu Mac lalu, ketika Hamas berusaha mengekalkan gencatan senjata dengan Israel.
Pemimpin Jihad Islami, dalam satu wawancara dengan Reuters selepas serangan Israel penghujung tahun lalu menyatakan kesediaan untuk berperang habis-habisan dengan Israel dan menyatakan penghargaan kepada Iran yang memberi bantuan.
Dalam serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, Jihad Islami sekali lagi menyatakan terima kasih kepada Iran yang memberi bantuan, termasuk membekalkan peluru berpandu Fajr-5.
Iran, dalam tindakan untuk memperlihatkan peranan dalam konflik terbaharu Gaza, secara terbuka menyatakan bertanggungjawab memberi bantuan kepada Hamas dan Jihad Islami.
Pada masa sama, suara konservatif di Iran mengkritik kuat Hamas kerana meninggalkan aliansi dengan Iran dan bersekutu dengan Qatar dan Turki, mengingatkan kepimpinan Hamas bahawa sejarah membuktikan bahawa Iran lebih membantu Hamas berbanding negara-negara serantau yang didekati gerakan itu pada masa ini.
Walau bagaimanapun, perbezaan antara faksi dalam Hamas terus kelihatan, dan ditandai dengan lebih jelas melalui operasi ketenteraan Israel ke atas Gaza yang baru berlalu, yang disifatkan sebagai menampakkan kemenangan kumpulan di Gaza yang komited terhadap penentangan bersenjata.
Perkembangan selepas ini, yang masih bergerak pantas ekoran perkembangan terkini melibatkan kuasa-kuasa serantau, bakal menampakkan dengan lebih jelas haluan Hamas selepas ini.
Ini juga membuktikan yang kebangkitan rakyat di dunia Arab pada masa ini bukan sahaja melibatkan politik dalaman dan pendemokrasian, tetapi juga melibatkan persaingan antara kuasa-kuasa serantau yang sengit, yang sedang mengubah aturan kuasa di seluruh dunia Arab.
No comments:
Post a Comment