Oleh HARIS ZALKAPLI
Isu Palestin sentiasa menjadi satu isu sentral dalam dunia Islam, dengan perhatian pada wilayah ini tidak pernah berakhir dan sentiasa berupaya mencetuskan emosi dan tindakan politik.
Kedudukan yang penting ini juga, walau bagaimanapun, mendedahkan Palestin kepada permainan politik antara kuasa-kuasa serantau yang bercita-cita tinggi.
Pemimpin-pemimpin negara Iraq, Iran, Qatar, Turki, Syria, Arab Saudi dan banyak lagi semuanya terlibat dalam menjadikan Palestin sebagai satu isu dalam meningkatkan kredibiliti kepimpinan umat masing-masing, walaupun pada tahap komitmen dan keikhlasan yang berbeza-beza.
Sepanjang sejarah, ramai pemimpin telah muncul dengan imej pembela Palestin dan pemimpin umat Muslim, imej yang dapat dengan segera meningkatkan kedudukan dan pengaruh pemimpin tersebut dalam dunia Islam.
Walau bagaimanapun, komitmen yang ditunjukkan dengan dramatik itu berdepan dengan turun naik dan sangat bergantung kepada kepentingan masing-masing, yang berubah menurut keadaan dan masa.
Pada Januari 2009, di Davos, Switzerland, pertengkaran terbuka Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dengan Presiden Israel Shimon Peres mencetuskan imej pembela Palestin pada Erdogan.
Kemudian pada Mei 2010, MV Mavi Marmara, sebuah kapal bantuan dikendalikan kumpulan dari Turki diserang komando Israel, menjadi peristiwa antarabangsa yang sekali lagi menempatkan Turki dalam perhatian dunia melibatkan isu Palestin.
Respons kerajaan Turki selepas itu memperlihatkan satu sikap amat tegas terhadap Israel, menjejaskan hubungan kedua negara yang berhubungan baik itu.
Tetapi, kini, Turki sejak setahun lalu lebih menunjukkan perhatian terhadap usaha menjejaskan dan menjatuhkan pemerintah Syria, dan memerangi Kurdi, isu dalaman yang lebih segera.
Sekiranya diukur berdasarkan tindakan Erdogan di Davos dan retorik menyusul serangan ke atas Mavi Marmara, Ankara memberi gambaran melaksanakan tindakan sama tegas dan dramatik, tetapi pelbagai perkembangan terkini, daripada hal melibatkan Syria hingga kepada pemberontak Kurdi telah menarik komitmen kerajaan Turki terhadap Palestin.
Hal yang hampir sama turut kelihatan pada Mesir di bawah pimpinan Presiden Mohamed Morsi, pemimpin berlatar belakang Ikhwan al-Muslimin.
Kemunculan kepimpinan yang dilihat lebih rapat dengan Hamas yang menguasai Mesir dijangka mengubah nasib wilayah Gaza yang dikepung Israel dengan bantuan rejim Mubarak sebelum itu.
Walau bagaimanapun, janji itu masih belum terlaksana, dan Mesir di bawah Morsi tetap tertakluk kepada kepentingan nasional dan politik dalaman, selain perkiraan melibatkan persaingan serantau.
Pentadbiran Morsi telah menunjukkan sikap yang tegas dengan memanggil pulang duta Mesir ke Israel, menunjukkan komitmen dan janji yang lebih besar dalam perjuangan membela Palestin.
Melibatkan kepentingan dalam persaingan serantau kuasa-kuasa Arab dan dunia Islam, tindakan Mesir ini mengukuhkan lagi imej dan kredibilitinya sebagai pejuang Palestin, yang membawa bersamanya imej kepimpinan serantau dan umat.
Perkembangan terkini di Gaza memberikan peluang kepada Kaherah untuk meningkatkan pengaruhnya sebagai pemimpin umat dan pejuang Palestin, upaya yang membolehkannya mengulangi apa yang dilakukan oleh Erdogan sebelum ini.
Pada masa sama, tindakan melibatkan isu Palestin ini juga menepati tuntutan dan sentimen popular dalam negara, sesuatu yang penting kepada mana-mana pemerintah.
Tetapi dengan sejarah sebagai petunjuk, perkembangan semasa belum tentu menjanjikan kesinambungan hingga ke masa depan, seperti yang telah ditunjukkan oleh Turki.
Negara-negara serantau telah menunjukkan sikap mereka terhadap isu Palestin sejak lebih setahun lalu.
Negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatar (dalam pakatan bersama Turki) memberikan tumpuan kepada usaha menjatuhkan rejim Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad, dalam usaha yang didasari kepentingan kuasa serantau berbanding membela rakyat Syria, yang ditunjukkan dengan jelas melalui kumpulan yang disokong Riyadh dan Doha.
Negara-negara ini menggunakan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, untuk menjalankan agenda mereka, termasuk mengadakan persidangan pada bulan Ramadan dengan menumpukan pada hal Syria, dan bukan Palestin.
Qatar, Arab Saudi, negara-negara monarki Majlis Kerjasama Teluk dan Turki bekerjasama dalam satu pakatan melemahkan pemerintah Syria, yang bersekutu dengan Iran dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam.
Dengan menggunakan kempen sektarian, pakatan Syria-Iran-gerakan Islam Syam itu dilabel sebagai satu pakatan Syiah yang membentuk "bulan sabit Syiah" dari Syam, meliputi Iraq, Iran dan berakhir di Teluk Parsi di wilayah timur Arab Saudi.
Kejatuhan pakatan ini, yang berseberangan dengan Saudi-Qatar dan sekutu mereka, bakal menjejaskan pengaruh Iran dan Syria yang bergantung kuat pada gerakan-gerakan Islam di Syam, yang termasuk Hamas.
Permainan politik serantau itu kini telah membawa manfaat kepada pakatan monarki Arab itu, apabila kepimpinan Hamas yang berpangkalan di Damsyik berpindah ke Qatar, sekaligus menerima naungan negara yang aktif menyokong pemberontak Syria itu.
Ekoran itu, seperti yang terlaksana Oktober lalu, Qatar dalam satu lawatan berprofil tinggi pemimpinnya ke Gaza menunjukkan kepada dunia kedudukan baharunya sebagai pembela Palestin dan Gaza, juga sebahagian usaha mengukuhkan pengaruh serantau.
Qatar, negara terkenal dengan peranannya sebagai perantara dalam meredakan konflik di rantau Asia Barat dan Afrika, turut mempunyai kepentingan melibatkan misi perantaraannya dalam menyatukan Hamas dan Fatah dalam satu kerajaan perpaduan di Palestin.
Penglibatan Qatar di Gaza, melibatkan bantuan dan pelaburan ratusan juta dolar dan lawatan Oktober lalu yang meningkatkan kedudukan Hamas berbanding Fatah, dijangka memudahkan lagi usaha Doha mencapai penyerlesaian dalam misi perantaraannya melibatkan Hamas dengan Fatah.
Pada masa sama, Qatar ialah negara Arab yang mempunyai hubungan yang luar biasa baik dengan Israel, ekoran dasar luarnya yang pragmatik.
Perpindahan Hamas ke Qatar dan negara Arab lain berpotensi meningkatkan imej negara-negara terbabit sebagai pembela Palestin, dan sekaligus menjanjikan masa depan yang lebih cerah kepada Hamas berbanding bersama Syria, tetapi hanya sejarah akan menunjukkan sejauh mana janji ini akan terlaksana.
Ekoran perkembangan semasa, dunia Arab dijangka menunjukkan reaksi yang tegas dan mengutarakan retorik keras, tetapi turut sama akan menimbulkan persoalan sejauh mana komitmen untuk menangani Palestin lebih daripada sekadar percaturan dalam persaingan kuasa serantau.
1 comment:
ulasan yang adil,ada dinyatakan sejak awal lagi khoemeini telah meminta Arafat bergiat di selatan Lubnan tetapi di tolak oleh beliau, dokongan Iran bermula selepas Revolusi.Ada laporan tersebar mengatakan Qatar tidak boleh dipercayai,agenda yg selari dgn turki dan zionis.Namun kemenangan Hamas dan Jihad Islam tidak disambut menyeluruh di dunia sunni memandangkan di sana ada roket Iran
Dunia sunni secara umumnya suka menolong melalui bulan sabit merah sahaja,,namun syabas kepada pejuang
Post a Comment