Sejak demonstrasi pertama pada 2007 hingga yang terkini pada April lalu, gabungan pertubuhan dan parti politik yang membentuk Bersih menjadi kerjasama menentang rejim Barisan Nasional yang paling kohesif dan berkesan.
Selepas disifatkan sebagai satu penyumbang penting kepada kejayaan parti-parti yang kemudian membentuk Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Bersih kini menjadi senjata paling berkesan gabungan PR dan kumpulan-kumpulan bukan kerajaan untuk mengubah rejim di Malaysia.
Pengukuhan dan peningkatan kempen Bersih sejak kebelakangan ini juga menjadikan protes aman digerakkan oleh PR ini semakin menampakkan kemampuan untuk menumbangkan rejim BN melalui tindakan protes, termasuk potensi menjalankan protes sejurus selepas pilihan raya akan datang sebagai satu kemuncak penentangan.
Dalam perkembangan protes aman antirejim seluruh dunia sejak awal dekad lalu, Bersih boleh diletakkan dalam kategori sama dengan protes pilihan raya yang disaksikan di negara-negara bekas Soviet seperti Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan yang digelar "revolusi warna" itu.
Protes yang diberi nama popular revolusi itu dalam wacana tajuk ini meliputi protes negara bekas komunis termasuk Serbia ekoran keruntuhan Kesatuan Soviet.
Ketiga-tiga protes selepas pilihan raya itu berjaya menumbangkan pemerintahan sedia ada yang dilihat semakin tidak popular - walaupun masih mempunyai sokongan yang signifikan - selepas kempen protes yang berlarutan digerakkan oleh pelbagai pertubuhan dan dipimpin oleh tokoh-tokoh politik.
Walaupun wujud banyak perbezaan dalam suasana dan sistem politik Malaysia dengan negara-negara yang dalam proses transisi ke politik yang lebih demokratik, sekurang-kurangnya protes yang dilakukan Bersih dan kumpulan lain menampakkan persamaan elemen dan penggunaan model atau "template" yang sama dengan protes-protes yang berjaya menjatuhkan rejim tersebut.
Pergerakan-pergerakan memprotes rejim di seluruh dunia mengambil pengajaran daripada pergerakan yang tercetus sebelumnya dan melibatkan hubungan secara langsung dan malah persamaan simbol.
Banyak ciri yang dapat diperhatikan di negara-negara terbabit juga kelihatan wujud di Malaysia, dan Bersih mengeksploit isu pilihan raya dengan cara yang sama.
Akademik dari Universiti Columbia di Amerika Syarikat, Lincoln Mitchell dalam bukunya The Color Revolutions dalam menyifatkan protes tersebut menyenaraikan beberapa elemen persamaan, termasuk penggunaan penipuan pilihan raya sebagai pencetus kebangkitan, dikuasai ahli politik dan menerima bantuan daripada "komuniti bantuan demokrasi."
Michael McFaul, pengkaji Rusia dan Asia Tengah (kini duta AS ke Rusia) menyifatkan beberapa faktor yang mendorong kejayaan protes antirejim pascapilihan raya:
1. Kerajaan separa autokratik dan bukan autokratik sepenuhnya.
2. Penyandang yang tidak popular.
3. Penentangan yang bersatu dan tersusun.
4. Kejayaan menyampaikan mesej yang keputusan pilihan raya dipalsukan.
5. Kewujudan media independen yang cukup untuk menyampaikan maklumat penipuan pilihan raya.
6. Pembangkang yang mampu memobilisasi puluhan ribu atau lebih demonstran untuk melakukan protes.
7. Perpecahan dalam rejim.
Seorang lagi pengkaji, Mark A Beissinger menyenaraikan beberapa elemen yang mentakrifkan revolusi warna, antaranya, penggunaan penipuan pilihan raya untuk mencetus mobilisasi besar-besaran, sokongan asing yang membantu gerakan demokrasi dan pembangkang yang bersatu, aktiviti belia radikal menggunakan taktik tidak konvensional sebelum pilihan raya untuk menjejaskan populariti rejim dan sebagai persediaan protes kemuncak, tekanan diplomatik dari luar dan pemantauan pilihan raya yang besar dan mobilisasi besar-besaran sejurus selepas keputusan pilihan raya diumumkan dan penggunaan taktik aman.
Mitchell walau bagaimanapun, menolak faktor belia dan pembangkang yang bersatu sebagai faktor, kerana menurutnya, protes boleh dijalankan walaupun tanpa dua faktor ini.
Penggunaan warna, penglibatan belia yang radikal dan pelbagai tindakan simbolik tersebut dipopularkan melalui karya aktivis Gene Sharp, yang karyanya mengenai cara menggerakkan kebangkitan mula mendapat perhatian dalam era kebangkitan rakyat pada masa ini.
Di Malaysia, aktiviti belia radikal telah disaksikan melalui tindakan protes kumpulan-kumpulan mahasiswa yang semakin aktif kebelakangan ini, menjalankan taktik yang disebut termasuk pengkebumian olok-olok dan protes antirejim di Dataran Merdeka.
Kempen Bersih yang mampu menjejaskan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya dan populariti pemerintah Barisan Nasional membina momentum atau suasana sebagai persediaan protes besar-besaran sekiranya diperlukan seperti disaksikan di negara-negara bekas Soviet.
Di Ukraine sebagai contoh, kempen dilakukan sejak sebelum pilihan raya dan kemuncaknya ialah selepas keputusan pilihan raya yang didakwa dipalsukan itu berjaya mencetuskan protes besar-besaran bermula hujung November 2004 hingga Januari 2005, yang akhirnya menyaksikan penyandang tewas dalam pilihan raya yang diadakan semula.
Satu faktor dalam kejayaan mobilisasi dan protes di Ukraine (yang medan utamanya ialah Dataran Merdeka di ibu negara, Kiev) ialah tinjauan pendapat yang mendapati kemenangan calon penentang rejim Viktor Yushchenko, tetapi keputusan pengiraan oleh suruhanjaya pilihan raya mendapati penyandang Viktor Yanukovych menang.
Pertikaian ini, yang dibina oleh maklumat awal dan harapan kemenangan calon penentang rejim berjaya mencetuskan protes besar-besaran yang akhirnya menumbangkan rejim.
Strategi ini memerlukan media bebas, termasuk jaringan sosial di internet untuk menyebarkan maklumat yang boleh membentuk persepsi dan sentimen yang diperlukan, dan perlu berhadapan dengan media dikuasai pemerintah yang lebih meluas.
Pada masa sama, pemerhati pilihan raya yang dilihat bebas dan berkecuali - yang boleh dilihat sebagai tidak berpihak - seperti pemerhati asing biasanya menjadi faktor dalam menyampaikan kepada umum tentang penipuan yang berlaku dalam proses pilihan raya, satu sebab Bersih mendesak pihak berkuasa membenarkan pemerhati asing dalam pilihan raya umum nanti.
Protes besar-besaran sejurus selepas pilihan raya yang boleh dijalankan melalui mobilisasi Bersih berpotensi memperlihatkan kemampuan untuk mengubah rejim di Malaysia, berdasarkan perkembangan kejayaan Bersih membina sentimen dan membentuk pendapat umum sejak akhir 2007.
Walau bagaimanapun, tindak balas rejim dan isu dalaman seperti yang disaksikan pada Bersih ketiga April lalu mampu menjejaskan kesatuan gabungan ini yang diperkuatkan oleh parti-parti pembangkang yang berbeza ideologi.
Peranan pertubuhan dan kerajaan asing juga berpotensi menjejaskan kredibiliti Bersih dan pakatan pembangkang, melalui kempen pemerintah dan elemen berhaluan ekstrem kanan dalam Umno dan penyokongnya.
Isu peranan asing juga menjadi satu isu yang secara konsisten diketengahkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blog dan kenyataan-kenyataan kepada media.
Peranan kuasa besar, yang paling utama kerajaan AS dan pertubuhan seperti National Endowment for Democracy, Soros Foundation dan sebagainya kini menjadi sesuatu yang berleluasa, ekoran kedudukan penyebaran demokrasi dan hak asasi manusia yang menjadi tunjang penting dasar luar Washington, dan menurut Beissinger kini menjadi strategi pilihan kerajaan AS dan organisasi berkaitan dalam mempromosi demokrasi di negara-negara bekas Soviet dan seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, seperti dikemukakan oleh Mahathir dan penyokong-penyokong rejim, alasan peranan asing sering kali sekadar menjadi alasan menafikan keburukan dan kelemahan rejim yang korup dan terus mengambil manfaat daripada kesedaran politik yang rendah dalam kalangan rakyat.
Hujah ini juga terlalu memperbesarkan peranan dan pengaruh kuasa asing dalam mencorakkan haluan politik tempatan, dan menafikan tuntutan-tuntutan yang sah daripada rakyat dalam sistem politik demokrasi.
Dakwaan-dakwaan seperti korupsi, kekangan terhadap media dan kepincangan dalam sistem pilihan raya telah dirakam dengan baik oleh banyak pihak yang bukan hanya terdiri daripada pihak pembangkang.
Tetapi, seperti yang telah didapati dalam banyak kajian, walaupun protes pilihan raya seperti dalam bentuk revolusi warna merupakan satu perkembangan demokratik yang dramatik, proses pendemokrasian yang lebih luas - yang asalnya merupakan isu dasar yang mencetuskan penentangan terhadap rejim - memerlukan lebih daripada sekadar protes dan perubahan rejim.
Satu kajian terhadap protes pilihan raya di negara-negara bekas Soviet mendapati, "Secara keseluruhannya, revolusi pilihan raya tidak memenuhi harapan penyokong-penyokongnya." Protes tersebut didapati "hanya simptom dan bukan penyelesaian" kepada masalah rejim terbabit.
Mitchell, dalam kajiannya melibatkan Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan itu pula menyatakan hasil perubahan menyaksikan perubahan pemimpin yang "hakikatnya kebanyakan daripada mereka dan orang sekeliling mereka telah menjadi sebahagian rejim lama. Pemimpin-pemimpin Revolusi Warna tersebut tidak mengutarakan ideologi yang radikal atau baharu, tetapi memenangi kuasa hasil kritikan keras terhadap pemerintah sedia ada dan dakwaan mampu menguruskan negara dengan lebih baik dan jujur."
Walaupun berbeza dari segi bentuk rejim dan keadaan sosioekonomi, hal ini wajar menjadi pengajaran penting kepada semua.
Di Malaysia, yang politiknya semakin menunjukkan perbezaan dan pertembungan yang tajam, pendemokrasian yang benar-benar akan dapat membawa ke arah perubahan yang dituntut melalui kempen-kempen memerlukan kesedaran dan kematangan yang lebih daripada sekadar kesedaran politik kepartian dan kelompok.
Wacana yang lebih adil, konstruktif dan matang tidak memerlukan perubahan kepimpinan negara terlebih dahulu. Semua pihak, terutama pemimpin-pemimpin politik, pengamal media, akademik dan intelektual perlu mula berperanan memikirkan lebih jauh daripada sekadar perubahan rejim, dan meningkatkan langkah membentuk Malaysia yang lebih baik.
2 comments:
dengar ada pelajar2 uia yang ditangkap hari itu akan dikenakan displin
Selagi kerajaan zalim tidak dijatuhkan...proses jalanan akan diteruskan...Daulat ISLAM..
Post a Comment