Saturday, August 16, 2014

Pakatan Rakyat dan pelajaran politik koalisi

Sejak tahun 1990, parti-parti pembangkang di Malaysia mula merapatkan kerjasama dalam menghadapi Barisan Nasional, dalam pakatan-pakatan yang lebih kohesif dan meyakinkan.

Bermula tahun 1990, PAS dan parti-parti pembangkang Semangat 46 dan tiga parti kecil Melayu bersatu menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah, APU, yang sempat bertanding dalam dua pilihan raya umum.

APU bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1990 dan 1995, dengan PAS mendapat kemenangan besar berjaya menguasai Kelantan dan kemudian mengekalkannya. PAS kekal menguasai Kelantan hingga ke hari ini, yang satu punca utamanya ialah kerjasama dalam APU.

Pada masa sama, Semangat 46 bekerjasama dalam Gagasan Rakyat yang anggota termasuk parti-parti yang kini membentuk Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Rakyat Malaysia, PRM, yang sebahagian besar ahlinya telah menyertai Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat.

APU dan Gagasan Rakyat walau bagaimanapun ialah dua pakatan yang berbeza walaupun bergerak secara seiringan dalam dua pilihan raya umum.

Selepas dua pilihan raya umum, hayat APU berakhir apabila Semangat 46 berpecah dengan ahli-ahlinya menyertai Umno bersama pemimpinnya Tengku Razaleigh Hamzah dan juga PAS.

APU mencatat sejarah berjaya menghadapi dua pilihan raya umum, dengan agenda yang sederhana dan dianggotai parti-parti yang tidak banyak berbeza dari sudut ideologi dan identiti.

Kemudian, pada pilihan raya 1999, ekoran peristiwa politik yang bermula September 1998, PAS bersama parti-parti pembangkang lain menubuhkan Barisan Alternatif. Barisan Alternatif menggabungkan PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan PRM dalam satu pakatan.

Dalam pilihan raya umum tahun 1999, Barisan Alternatif bertanding sebagai satu pakatan pilihan raya dengan meyakinkan, membawa satu manifesto bersama.

Tetapi, kemudian, perbezaan pandangan parti-parti terbabit terutama PAS dan DAP menjejaskan kesepakatan Barisan Alternatif, sehingga akhirnya DAP menarik diri pada 2001.

Selepas itu, Barisan Alternatif wujud dalam keadaan yang tidak sempurna, kerana sebuah parti yang penting kepada pakatan itu telah keluar, dan akibatnya tidak menampakkan gabungan itu sebagai apa yang dipersembahkan pada awal penubuhan.

Walaupun dalam pilihan raya umum berikutnya nama Barisan Alternatif masih didengari, hakikatnya ia tidak sama dengan pakatan yang dibayangkan pada tahun 1999, dan menunjukkan pakatan itu gagal mencapai kesepakatan dalam hal yang asas.

Secara praktiknya, Barisan Alternatif berakhir apabila DAP menarik diri, dan gabungan ini sebenarnya hanya berjaya melalui satu pilihan raya bersama.

Dalam pilihan raya umum tahun 2004, tidak wujud satu pakatan kerjasama pilihan raya yang meyakinkan, walaupun PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang dilancarkan pada tahun sebelumnya bekerjsama rapat.

Kemudian, dalam pilihan raya umum tahun 2008, parti-parti pembangkang sekali lagi berusaha menunjukkan kesepakatan dalam menghadapi BN, dengan keputusan pilihan raya yang menyaksikan PAS, PKR dan DAP mendapat kejayaan besar.

Pilihan raya ini telah memaksa PAS, PKR dan DAP bersatu, dan hasilnya Pakatan Rakyat ditubuhkan, dan muncul sebagai pakatan paling kohesif dalam sejarah terkini sejak APU dan Barisan Alternatif.

Pakatan Rakyat membina manifesto bersama, program bersama terperinci dalam Buku Jingga, dan memperlihatkan hubungan dan kerjasama rapat di semua peringkat. Pakatan Rakyat ialah gabungan terbaik selepas dua eksperimen sebelum ini, yakni APU dan Barisan Alternatif.

Selepas hampir 25 tahun sejak penubuhan APU dan Gagasan Rakyat, parti-parti pembangkang kini bersama dalam satu gabungan Pakatan Rakyat yang sukar dibayangkan pada masa itu, dan selepas Barisan Alternatif berpecah.

Tempoh 25 tahun ialah satu masa yang panjang, dan sepatutnya telah menyediakan pelajaran yang cukup untuk mematangkan parti-parti pembangkang dalam pembinaan aliansi.

Sekiranya Pakatan Rakyat tidak dapat dikekalkan, parti-parti pembangkang bakal kelihatan lemah dan tidak berwibawa, kerana banyak sebab, termasuk kerana terus tidak mampu membina pakatan yang kohesif dan stabil selepas puluhan tahun terlibat dalam politik pilihan raya Malaysia.

Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyediakan suasana yang kondusif untuk pembinaan pakatan politik yang mampu menyaingi BN, jauh lebih baik berbanding tahun 1990 dan 1999.

Pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat wajar membuktikan yang gabungan ini boleh dipertahankan, dan tidak mencatat sejarah sebagai pakatan yang hanya mampu melalui satu pilihan raya umum seperti pakatan sebelum ini.- Ogos 15, 2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...