Tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 ditembak di ruang udara Ukraine, di kawasan pertembungan Rusia dengan Barat, memaksa Malaysia terlibat secara langsung dalam satu konflik yang jauh dari sempadan negara.
Tiba-tiba, Malaysia menjadi satu pemain penting dalam satu persaingan antara kuasa besar Amerika Syarikat, sekutunya Ukraine dan Rusia.
Tindakan Malaysia menjadi perhatian kuasa-kuasa yang terlibat, dalam satu pergelutan paling sengit dan panjang antara AS dan Ukraine dengan Rusia yang sedang bangkit dan mahu meneruskan penguasaan terhadap wilayah dekatnya itu.
Wilayah Ukraine di timur Eropah itu, yang selama ini tidak mendapat perhatian Malaysia berbanding rantau Asia Timur, tiba-tiba menjadi salah satu medan diplomasi Malaysia, yang kesannya melibatkan hubungan Kuala Lumpur dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Di Asia Barat, nama Malaysia tiba-tiba disebut oleh perisikan Israel sebagai satu lokasi latihan pejuang Hamas, dikatakan untuk satu operasi serangan menggunakan payung terjun.
Pendedahan ini, yang dinafikan segera oleh pemerintah Malaysia, mengheret Malaysia ke dalam konflik bersenjata di Palestin, yang Malaysia diketahui memberi sokongan kepada pihak Palestin.
Dakwaan ini meletakkan Malaysia di barisan yang lebih ke hadapan dalam usaha menentang kekejaman Zionis di Asia Barat, kerana implikasinya memungkinkan tindakan dikenakan ke atas Malaysia.
Malaysia selama ini lebih memberikan sokongan dari jauh, dengan menyampaikan bantuan kemanusiaan dan menjalankan kempen-kempen boikot terhadap syarikat-syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dan membantu Israel.
Pada masa yang sama, Malaysia kini juga menjadi salah sebuah negara yang mempunyai ramai warga terlibat dalam konflik bersenjata di Syria dan kawasan sekitarnya.
Malaysia cuba menjarakkan diri daripada tindakan segelintir rakyatnya itu, tetapi perkembangan ini sukar dihalang akibat sentimen yang telah lama dibina dan tersebar dalam kalangan Muslim di sini.
Malaysia yang selama ini menjadi medan persaingan antara kuasa-kuasa dalam dunia Islam terlibat makin mendalam di Syria yang merupakan satu medan pertembungan negara-negara Asia Barat yang bersaing dalam melebarkan pengaruh di dunia Islam.
Perkembangan di Syria - dan juga di Iraq pada masa ini - turut akan mendatangkan implikasi negatif kepada negara, yang akan mendatangkan kesan berpanjangan dan sukar diatasi.
Perkembangan ini semua melibatkan kuasa-kuasa dalam dunia Islam terutama Arab Saudi, Iran, dan Turki, yang semuanya berhubungan baik dengan Malaysia.
Walaupun kecil dan tidak mempunyai pengaruh seperti negara-negara Arab Saudi, Iran dan Turki, sejarah telah menunjukkan yang Malaysia menjadi negara yang diperlukan sokongannya.
Dalam hal ini, Malaysia mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia Islam, disebabkan imej sederhana dan maju yang dibawa.
Dalam tempoh yang singkat tahun ini, dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin terheret dalam isu-isu kritikal politik global yang selama ini dinilai sebagai jauh dari segi geografi dan jarang diteliti secara lebih dalam.
Konflik di Syria telah meningkatkan sentimen sektarian dalam kalangan Muslim di Malaysia sehingga mencetuskan satu krisis.
Tragedi MH370 meletakkan Malaysia di tengah-tengah dalam persaingan kuasa Asia, China, dengan kuasa besar dunia AS.
Kemudian, MH17 sekali lagi menguji Malaysia yang selama ini mengekalkan hubungan baik dengan dua pihak yang bertentangan, AS dan Rusia.
Dalam semua peristiwa ini, Malaysia terpaksa berdepan ujian mengimbangi rakan dan sekutu yang penting. Arab Saudi, Iran, AS, China semuanya rakan yang mempunyai kedudukan dalam kepentingan negara.
Malaysia kini memasuki satu fasa baharu yang lebih mencabar dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa, apabila dipaksa berdepan dengan hal politik global yang selama ini dirasakan jauh.
Semua ini menuntut tenaga dan perhatian lebih banyak daripada Malaysia kepada hal diplomasi, dan memerlukan pemerhatian terhadap isu-isu penting melibatkan hubungan kuasa-kuasa, sama ada dalam kalangan dunia Islam dan juga kuasa global. - Ogos 22, 2014
1 comment:
adakah bngsa melayu d katakan mmpunyai dna abraham 17-47% itu benar...adakah bangsa melayu salah satu bangsa dri kturunan abraham yg hilang rantaian (root) itu..jika benar ..anda tau jawapannya..
Post a Comment