Semasa kebangkitan yang melanda seluruh rantau Arab berlangsung, Hamas telah berdepan pilihan sukar dalam memilih sekutu dan penaung.
Pilihan ini menjadi semakin penting dan mendesak apabila imej Bashar al-Assad menjadi semakin buruk di mata dunia dan dalam kalangan negara serantau.
Damsyik menjadi semakin tidak popular dalam kalangan negara serantau, yang sedang menyaksikan kebangkitan rakyat dengan Ikhwan al-Muslimin menjadi salah satu kuasa penting yang dijangka mengisi kepimpinan negara baharu selepas kebangkitan.
Rejim Damsyik muncul menjadi pariah baharu di Asia Barat, ekoran konflik bersenjata antara kerajaan dengan pemberontak yang mendapat sokongan kuasa serantau seperti Qatar, Turki dan Arab Saudi dan juga negara-negara Barat seperti Perancis dan Amerika Syarikat.
Sepanjang kebangkitan yang memuncak di Syria, negara ini berdepan tindakan pemulauan termasuk digantung keahlian daripada Liga Arab, dutanya dihalau keluar di beberapa negara, dan wakil pemberontak mula dilayan seperti wakil tunggal yang sah kepada rakyat Syria.
Rejim Bashar berdepan tekanan yang sangat kuat dari segenap sudut dan kelihatan semakin kekurangan pilihan untuk bertindak balas, dan dilihat sedang menunggu hari untuk tamat riwayatnya.
Damsyik menjadi simbol penentangan terhadap demokrasi dan kebebasan yang mendasari kebangkitan rakyat di seluruh rantau Asia Barat.
Sentimen pada masa itu ialah harapan optimistik terhadap dunia Arab baharu yang lebih bebas dan demokratik, dan Hamas berdepan dengan pilihan untuk menyertai harapan baharu ini.
Akibatnya, Hamas, atau lebih tepat lagi biro politiknya diketuai Khaled Meshaal, atas desakan Qatar dan Turki berpindah keluar dari Damsyik.
Tindakan ini menjadi simbol Hamas memutuskan hubungan dengan paksi Syria-Iran, dan bersama apa yang dilihat sebagai harapan baharu rakyat seluruh Asia Barat.
Khaled sebelum ini telah menjadi suara yang berbeza dengan kepimpinan Hamas lain, apabila menyarankan pendekatan politik yang lebih aman sebagai pilihan Hamas, saranan yang merendahkan kedudukan dan peranan Briged Izzudin al-Qassam, sayap bersenjata gerakan ini.
Biro politik pimpinan Khaled sepanjang kebangkitan Arab memegang pendirian yang berbeza dengan kepimpinan Hamas di Gaza, terutama Mahmoud al-Zahar, yang dilaporkan telah tidak lagi menyertai biro politik sejak awal 2013.
Khaled dan kepimpinan Hamas di Gaza masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza, dan hubungan dengan Iran menjadi salah satu isu yang menguji Hamas sejak kebangkitan di dunia Arab memunculkan isu perbezaan Sunni-Syiah dan memecah-belahkan masyarakat Muslim dan meningkatkan persaingan geopolitik serantau.
Sejak 2012, perbezaan-perbezaan dalaman Hamas semakin banyak muncul di media, yang paling utama melibatkan haluan yang perlu diambil oleh Hamas dalam menghadapi Asia Barat yang sedang pantas berubah.
Walaupun tidak sepenuhnya sebulat suara, Hamas telah mengambil pendirian mengubah haluan dan merapatkan diri dengan Doha, Ankara dan Kaherah, yang dikuasai pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan Ikhwanul Muslimin serantau.
Pada masa itu, Qatar, Turki dan Mesir kelihatan sebagai kuasa baharu yang bakal menjadi pemain penting mencorakkan Asia Barat baharu, terutama disebabkan dukungan mereka untuk Ikhwan al-Muslimin yang telah berkuasa di Mesir dan dijangka berperanan besar di Syria yang pada masa itu menjangkakan kejatuhan rejim Bashar.
Qatar mempunyai kekuatan kewangan yang besar, dan memiliki media al-Jazeera yang meluas capaian di seluruh dunia Arab. Ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi juga bermastautin di Doha, menyumbang kepada satu pengaruh tersendiri Qatar di dunia Islam.
Turki pula mempunyai pemimpin yang popular di seluruh dunia Islam, Recep Tayyip Erdogan, yang telah menunjukkan kredibilitinya dalam menangani isu dengan Israel dan dalam hal pendemokrasian.
Mesir, satu-satunya negara Arab yang bersempadan dengan Gaza, telah dikuasai Ikhwan melalui Mohamed Morsi yang memenangi jawatan presiden.
Berdepan dengan kenyataan serantau ini, Hamas tidak mempunyai banyak pilihan selain menyertai aliansi dengan kuasa-kuasa meningkat ini.
Akhirnya, perkembangan yang memuncak pada 2012 dan kelihatan akan berterusan dan terus mencorak politik serantau Asia Barat semakin terjejas geraknya.
Penguasaan dan pengaruh Qatar dan Turki semakin merosot, ekoran perubahan kepimpinan di Doha dan masalah dalaman melibatkan Ankara.
Kedua-dua kuasa tidak lagi dapat mempengaruhi haluan kebangkitan dan hasilnya seperti sebelumnya. Orde baharu Ikhwanul Muslimin di Asia Barat tidak dapat direalisasikan.
Mesir pula menyaksikan kuasa kontrarevolusi menjatuhkan Ikhwan dan kembali menguasai Kaherah, dan pada masa sama membina semula kerjasama dengan Zionis, musuh utama Hamas.
Hamas di Gaza terutamanya kini melihat akibat daripada kebangkitan Arab, yang memaksanya membuat pilihan sukar dan kini memberi kesan kepada kesejahteraannya.
Serangan Zionis ke atas Gaza menunjukkan sukar untuk mengharapkan negara-negara Arab menghulurkan bantuan. Malah, gerakan anti-Ikhwan disertai Mesir, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait menjadi penyumbang utama yang menyukarkan lagi keadaan untuk Hamas dan Gaza.
Dalam kalangan negara-negara Arab dan serantau, Qatar dan Turki masih merupakan sekutu yang mempunyai hubungan baik dengan Hamas di Gaza, tetapi tidak dapat melaksanakan langkah yang kuat untuk membantu pada masa ini.
Sebahagian halangan ini ialah akibat pemerintah Mesir, yang wilayahnya ialah satu-satunya laluan darat ke Gaza yang tidak di bawah penguasaan Zionis, kini mempunyai hubungan baik dengan Zionis.
Qatar dan Turki kini mempunyai pengaruh dan ruang untuk bertindak yang jauh lebih kecil berbanding dua, tiga tahun lalu, dengan emir baharu yang jauh lebih muda di Doha dan Erdogan yang sedang menghadapi kempen pilihan raya presiden pada masa tekanan terhadapnya dan parti terus hebat.
Kedua-dua kuasa ini walau bagaimanapun masih merupakan negara yang paling bebas dalam tindakan dasar luar, termasuk melibatkan hubungan dengan Israel dan AS, dan mempunyai kemampuan untuk membantu sekutu mereka di Gaza.
Perkembangan seterusnya di Gaza, terutama melibatkan rundingan gencatan senjata dan bantuan pembangunan semula, bakal membuka ruang kepada kedua-dua Qatar dan Turki berperanan untuk membantu Hamas dan Gaza. - Ogos 7, 2014
No comments:
Post a Comment