Sunday, August 17, 2014

Gul, Davutoglu dan dominasi Erdogan

Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan akan dilantik ke jawatan presiden Turki tidak lama lagi, melanjutkan lagi kehadiran dan kemungkinan dominasi pemimpin popular ini selama hingga 10 tahun lagi.

Selepas kejayaan Turki bangkit daripada kelembapan ekonomi dan muncul sebagai negara berpengaruh di rantau Arab, Erdogan kini muncul sebagai pemimpin yang mencatat sejarah penting Turki.

Era Erdogan memimpin Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, menyaksikan seorang pemimpin dan sebuah parti mencapai sokongan yang cukup untuk menguasai dan mencorakkan politik Turki.

Kini, sebagai presiden yang dipilih, Erdogan bakal menegaskan lagi kehadiran dalam politik Turki dan kelihatan telah menyediakan rancangan untuk turut menguasai AKP.

Pemerhati melihat Erdogan mahu Ahmet Davutoglu, menteri luar yang diangkat oleh beliau untuk menerajui dasar luar baharu yang didasari cita-cita tinggi untuk melebarkan pengaruh serantau, dipilih memimpin AKP dan menjadi perdana menteri.

Davutoglu jelas sekali ialah orang kepercayaan Erdogan dan patuh sepenuhnya dengan beliau, kerana Davutoglu dinaikkan sepenuhnya melalui pilihan dan tindakan Erdogan sendiri.

Tidak seperti Abdullah Gul yang mempunyai populariti sendiri dan naik pada masa yang sama dengan Erdogan, Davutoglu banyak bergantung pada Erdogan.

Davutoglu ialah seorang ahli akademik sebelum diangkat oleh Erdogan untuk menerajui dasar luar Turki, yang pada awalnya kelihatan mencatat kejayaan demi kejayaan dan melonjakkan nama Turki dengan pantas.

Gul mempunyai sokongan yang kuat dalam AKP dan mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk mengimbangi Erdogan, seperti yang ditunjukkan melalui pendiriannya yang beberapa kali berbeza dengan Erdogan dalam hal-hal penting, seperti tindakan terhadap demonstran di Taman Gezi.

Pendirian berbeza Gul telah mengundang kritikan beberapa pemimpin penyokong Erdogan dalam AKP, yang antaranya menyifatkan Gul sebagai tidak membantu Erdogan semasa berdepan cabaran protes tersebut.

Pemilihan pemimpin AKP tidak lama lagi dilaporkan akan berlangsung pada masa Gul masih menjawat jawatan presiden Turki, yakni pada 27 Ogos, sehari sebelum tempoh Gul berakhir.

Maka Gul terlepas peluang untuk memimpin AKP, dan dijangka tokoh yang lebih mendapat kepercayaan Erdogan, yakni Davutoglu, bakal dipilih memimpin AKP.

Gul boleh kembali melibatkan diri dengan parti selepas tidak menjawat jawatan presiden, manakala Erdogan yang akan memegang jawatan presiden akan meninggalkan AKP.

Peralihan kepimpinan AKP ini menjadi percaturan penting kepada Erdogan untuk membina dan mengukuhkan pengaruhnya.

Persaingan Erdogan-Gul berlangsung dengan rancak bermula 2013, apabila Erdogan disebut-sebut oleh pendukungnya sebagai calon paling wajar bertanding sebagai presiden pada Ogos 2014, walaupun Gul masih layak untuk bertanding satu penggal lagi.

Gul tidak dianggap sebagai wajar bertanding pada 2014, dan dinilai perlu memberi laluan kepada Erdogan, sehingga mencetuskan kemarahan kem Gul. Seorang pembantu Gul pernah mengeluarkan kenyataan membidas pendukung Erdogan, mengatakan yang tidak pernah ada persefahaman Gul tidak bertanding dan memberi laluan kepada Erdogan.

Erdogan, selain dilihat akan menaikkan Davutoglu, juga akan disokong oleh pemimpin-pemimpin baharu yang lebih muda, yang setia kepada beliau.

Davutoglu yang berkongsi visi dasar luar yang bermatlamat meluaskan pengaruh Turki dengan Erdogan bakal menjadi gandingan yang memperkuatkan lagi kedudukan Erdogan, dan menjadikan AKP sentiasa selari dengan Presiden Erdogan, membuka ruang untuk merealisasikan agenda memberikan presiden lebih kuasa eksekutif.

Sekiranya peralihan kepimpinan AKP nanti berjalan dengan lancar, agenda Erdogan untuk menguasai parti ini dan meluaskan dominasinya akan bermula dengan sempurna.

Sebagai presiden, Erdogan dijangka memberi tumpuan pada isu dasar luar yang bersifat simbolik dan berguna kepada kepentingan politik domestik, serantau dan dunia Islam, seperti isu Gaza dan Palestin.

Flotila bantuan ke Gaza yang diumumkan akan dilaksanakan oleh badan bantuan Turki IHH dijangka sekali lagi akan dapat menyumbang kepada kempen imej Erdogan. - Ogos 14, 2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...