Showing posts with label Seniman. Show all posts
Showing posts with label Seniman. Show all posts

Thursday, May 31, 2012

K-pop, artis dan Pilihan Raya Umum ke-13

Budaya popular semakin menjadi ciri penting kempen politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, sehingga semakin mengambil bahagian yang besar dalam wacana politik popular negara.

Kempen Barisan Nasional melalui perhimpunan belia di Putrajaya minggu lalu menerima reaksi negatif, termasuk daripada mufti Perak ekoran kemunculan artis pop Korea yang berpakaian tidak sopan.

Sekitar masa yang sama, pemerintah juga menerima artis popular Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman menyertai Umno, perkembangan yang mencetuskan kejutan ekoran publisiti meluas sebelum ini melibatkan hubungan Amy dengan PAS.

Pada masa sama, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak ketinggalan dalam kempen menarik undi belia, dengan program utama untuk tujuan ini, festival Rock the Youth.

Festival ini menampakkan ciri politiknya dengan jelas, antaranya melalui kemunculan A Samad Said, seniman dan kini lebih dikenali sebagai aktivis Bersih 3.0 dan penyokong kuat PR.

Dengan tema "celebrating and empowering," kempen Rock the Youth ini menjadi medan untuk PR terutama di Selangor berusaha memenangi hati pengundi muda, tanpa terlalu menampakkan penglibatan ahli politik atau kerajaan negeri.

Sentimen yang digabung dan diraikan dalam festival itu memperlihatkan dengan jelas kecenderungan politiknya, yang paling jelas dapat dilihat melalui liputan oleh media kerajaan negeri.

Elemen rock dan budaya popular biasanya seiring dengan sentimen anti-establishment atau antirejim, yang dapat diperhatikan melalui festival Rock the Youth oleh kerajaan Selangor.

Kempen Rock the Youth oleh kerajaan Selangor ini mempunyai beberapa persamaan dengan kempen kesedaran politik Rock the Vote di Amerika Syarikat, yang dijalankan dengan imej budaya pop berciri MTV ditujukan kepada belia.

Elemen budaya popular dan kecenderungan liberal kempen berciri MTV itu (termasuk penglibatan artis yang sebahagian besarnya menyokong Demokrat) secara langsung memberi manfaat kepada Parti Demokratik berbanding Parti Republikan, walaupun Rock the Vote tidak memperlihatkan atau menyatakan pilihan parti dengan jelas.

Malah, salah satu peristiwa yang disebut sebagai satu kejayaan kempen Rock the Vote ialah tindakan Presiden Bill Clinton menandatangani Akta Pendaftaran Pengundi Nasional pada 1993. 

Kerajaan PR Selangor dapat memanfaatkan semangat yang diraikan dan dibina melalui program itu, pada masa sama memperlihatkan sikap mesra dengan generasi muda dan hiburan.

Hal ini penting dalam kempen politik melalui budaya popular yang semakin meningkat pada masa ini, dengan perdana menteri turut sama menonjolkan diri dalam acara-acara melibatkan golongan muda.


Thursday, April 19, 2012

PAS, Umno bersaing bantu Bob Kuman

Kedua-dua parti politik utama Melayu, PAS dan Umno kini kelihatan bersaing dalam menawarkan bantuan kepada artis Bob Kuman.

Media PAS melaporkan lawatan dan pemberian bantuan oleh presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan pada masa sama, pemuda Umno turut memberi bantuan kepada selebriti berkenaan.

Perkembangan ini menegaskan lagi perhatian terhadap golongan seni dan kaitannya dengan politik kepartian di negara ini, yang meningkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang.

Kedua-dua PAS dan Umno sejak kebelakangan ini bersaing untuk mendapatkan nilai positif daripada hubungan dan kaitan dengan budaya popular, yang paling mudah diperhatikan ialah kaitan penggiat budaya popular dengan parti masing-masing.

Laporan pemberian bantuan itu mampu untuk menimbulkan dan menambahkan lagi kesan imej positif untuk parti yang terlibat.

Harakahdaily misalnya menerbitkan berita yang menumpuan pada aspek emosi pertemuan Bob dengan presiden PAS, dan memuatkan petikan kata-kata Bob, "Rupa Tok Guru macam arwah ayah saya."

Berita mengenai penderitaan Bob Kuman mendapat perhatian sejak beberapa hari lalu melalui laporan di blog dan media lain.

Tuesday, January 3, 2012

Game changer?: Selebriti dan parti politik (Bhg 3/3)

3. Politik selebriti dan selebriti politik

Dua orang pelawak popular, Harun Salim Bachik dan Afdlin Shauki menyerahkan borang menyertai Umno hari ini.

Pasangan pelawak yang menduduki tempat kedua sebuah pertandingan lawak di televisyen Astro itu menjadi selebriti terbaharu menunjukkan sokongan kepada Umno selepas Lisa Surihani yang menerima anugerah daripada Pergerakan Puteri Umno November lalu.

Kedua-dua pelawak menjadi selebriti terkini yang pernah terlibat dengan rancangan itu yang menyertai pentas politik.

Penyertaan dua orang pelawak terkenal itu meningkatkan lagi wajah popular parti pemerintah Umno, yang kini bersaing sengit dengan PAS dalam membariskan selebriti penyokong parti masing-masing.

Perkembangan terbaharu ini juga turut menghangatkan lagi politik selebriti dalam medan politik parti negara, dengan kedua-dua PAS dan Umno mempunyai barisan selebriti yang setara.

Penglibatan mereka kini menjadi tumpuan media dan bakal menjadi bahagian penting dalam liputan kempen pilihan raya akan datang.

Persaingan kedua-dua PAS dan Umno bermula dengan sengit terutama selepas penyertaan berprofil tinggi Bob Lokman dalam PAS, dan menjadi penggiat aktif bersama pemuda parti itu sehingga mencetuskan rasa kurang senang sesetengah penggiat industri budaya popular.

Kedua-dua pelawak dijangka aktif dalam kempen parti pemerintah itu sehingga pilihan raya umum akan datang.

Afdlin sebelum ini menunjukkan kecenderungan liberal melalui kegiatan seninya, dan turut mencetuskan kritikan sesetengah pihak ekoran penglibatannya dalam filem kontroversi Nasi Lemak 2.0.

Ekoran perkembangan yang relatif agak baharu ini, selebriti terbabit berpotensi dilihat dan dikaitkan dengan rapat dengan kecenderungan parti masing-masing, sehingga mungkin muncul sebagai selebriti yang jelas elemen politik mereka.

Identiti politik mereka mungkin menjadi satu identiti penting, atau identiti utama disebabkan kaitan dengan parti politik terbabit, seperti yang berlaku pada Bob Lokman yang kini muncul lebih sebagai selebriti PAS berbanding identiti lain.

Di sebelah Umno, pengarah Tan Sri Jins Shamsudin juga muncul sebagai selebriti yang sangat dikaitkan dengan parti yang disertai.

Kempen politik, sama ada secara langsung atau tidak langsung melibatkan penggiat budaya popular dan personaliti terkenal telah digerakkan, terbaharu melibatkan pelawak Zizan yang digandingkan dengan penceramah Ustaz Azhar Idrus dalam satu program menjelang tahun baharu 2012 di Shah Alam, Selangor, anjuran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Agamawan popular itu menerima anugerah daripada Pemuda PAS dalam muktamar tahunan parti itu tahun lalu.

Zizan sebelum ini terlibat dalam kontroversi yang tercetus akibat dialognya dalam filem Hantu Bonceng, kontroversi yang kemudian menemukannya dengan pemimpin Pemuda PAS.

Perkembangan ini semakin memberi gambaran kemeriahan kempen pilihan raya akan datang, yang bakal menyediakan ruang yang jauh lebih besar kepada elemen budaya popular, sehingga mempunyai potensi untuk menenggelamkan isu-isu yang kompleks dan menjadikan persaingan imej popular sebagai faktor yang lebih utama.

Wednesday, November 30, 2011

Lisa Surihani tingkat imej pop Umno

Selepas ketinggalan jauh dalam persaingan menarik (atau menumpang imej) selebriti, Umno menerima suntikan positif ekoran anugerah khas puteri Umno kepada selebriti Lisa Surihani yang diberikan hari ini.

Lisa menerima hadiah pencapaian khas daripada Pergerakan Puteri Umno sempena perhimpunan agung parti itu tahun ini, yang dijangka terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Perkembangan ini memperlihatkan trend memberi anugerah kepada tokoh popular pada perhimpunan tahunan semakin menjadi amalan parti-parti politik untuk membina imej popular.

Pakatan pembangkang pertengahan tahun lalu menghangatkan dunia politik dan budaya popular apabila pengacara popular Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot kelihatan menunjukkan sokongan kepada pembangkang, mencetuskan reaksi keras pemblog-pemblog Umno.

Sebelum itu, selebriti Bob Lokman menyertai PAS dan aktif berceramah di pentas parti itu sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan seniman dan dengan pihak berkuasa agama.

Umno kelihatan bimbang dengan imej pop yang jauh ketinggalan berbanding pakatan pembangkang ekoran semakin ramai selebriti mendekatkan diri dengan pembangkang, yang berpotensi membina imej untuk menarik sokongan orang ramai terutama golongan muda.

Persaingan imej popular melalui selebriti semakin hangat menuju pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Sokongan selebriti memudahkan sesebuah parti diterima orang ramai disebabkan populariti penggiat budaya popular terbabit, yang mendapat lebih tumpuan berbanding dasar dan tindakan parti yang lebih sukar dan mungkin kontroversi.

Tindakan Lisa menghadiri perhimpunan Umno dan menerima anugerah itu walau bagaimanapun dijangka mencetuskan reaksi kurang senang sesetengah pihak, terutama peminat yang juga penyokong kuat pembangkang.

Lisa ialah selebriti muda popular dan menerima lebih daripada sejuta peminat - jauh meninggalkan selebriti lain - di laman Facebook beliau, jumlah yang terbesar bagi selebriti Malaysia.

Sebelum Lisa, Datuk Siti Nurhaliza (sebelum berkahwin) menjadi selebriti kegilaan kedua-dua pembangkang dan parti pemerintah, menjadi topik rujukan dalam ucapan dan ceramah pemimpin kedua-dua parti.

Mawi, penyanyi yang muncul daripada rancangan televisyen realiti juga menjadi rebutan parti-parti politik pada masa kemunculannya pada 2005.

Siti walau bagaimanapun tidak menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik pada masa itu, walaupun pernah disebut menyertai puteri Umno.

Wednesday, August 24, 2011

Azizi Abdullah sasterawan rakyat sejati

Sasterawan Azizi Abdullah, penulis yang meninggal dunia pada 21 Ogos lalu di Hospital Pulau Pinang telah menghasilkan puluhan karya bertema perjuangan rakyat.

Penulis prolifik ini meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang setelah berbulan terlantar sakit. Allahyarham dilahirkan pada 4 April, 1942 di Kota Kuala Muda, Kedah Darul Aman.

Allahyarham, yang juga setia dengan perjuangan PAS hingga ke akhir hayat mengakhiri hayatnya dengan perjuangan rakyat di Persatuan Pengguna Pulau Pinang, yang agak jauh daripada perhatian berbanding lapangan politik.

Selayaknya Azizi diiktiraf sebagai saterawan rakyat sejati kerana hasil karyanya Seorang Tua di Kaki Gunung hingga karya-karya terakhir menyampaikan suara hati rakyat yang ingin bebas merdeka.

Menjelang hujung hayatnya, Azizi menghasilkan buku Jiwa Hamba, satu kritikan berterus terang dan tajam terhadap sesetengah amalan adat yang membelenggu jiwa bangsa Melayu dalam kemunduran.

Ketika kudrat semakin berkurangan dan dengan kesihatan yang ada kalanya tidak seberapa, Azizi menggagahi perjalanan panjang dari kediamannya di Kulim, Kedah ke pejabat di Pulau Pinang dengan kenderaan sederhana Perodua Kelisa, sebagai memenuhi amanahnya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Allahyarham terus aktif menulis blog, mengulas pelbagai isu terutama politik dan turut cergas menyampaikan teguran dan kritikan kepada parti disertainya, PAS, ketika parti Islam itu melalui cabaran getir selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Peranannya ini merupakan satu lagi hujah yang menegaskan kedekatan Azizi dengan suara rakyat, yang ditemui dan disantuninya saban hari.

Allahyarham meninggalkan kita tanpa sempat dianugerahi penghormatan sebagai Sasterawan Negara, yang menurut banyak pihak, sudah layak dimilikinya, dan menurut sesetengah pihak lagi, tidak dianugerahkan kerana pendirian politiknya.

Bagi PAS, nama Azizi wajar sekali diabadikan dengan sewajarnya, sebagai seorang pejuang rakyat sejati yang aktif dalam dunia seni pada masa sama terus bergerak aktif dalam parti.

Sunday, July 31, 2011

Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal meninggal dunia

Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Syed Jamal menghembuskan nafas terakhir semalam, 30 Julai, 2011 sekitar jam 9 malam di kediamannya di Gombak pada usia 82 tahun.

Syed Ahmad dilahirkan pada 19 September, 1929 di Bandar Maharani, Muar, Johor, dan mendapat pendidikan tinggi dalam bidang seni di Chelsea School of Art di London, United Kingdom, 1951 hingga 1955.

Pelukis yang banyak merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan sejarah negara ini akan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Pusu, Gombak pagi ini, 31 Julai, 2011.

Allahyarham meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd Noor dan dua anak lelaki, Syed Nabil dan Syed Nurlhaq.

Syed Ahmad dianugerahkan Hadiah Seni Negara pada 1995, dan pelbagai hadiah lain sepanjang penglibatannya dalam seni visual.

Beliau sangat dikenali dengan keberaniannya merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk politik negara dan dunia.

Allahyarham menerima pelbagai tanggapan ekoran lukisannya yang menyentuh kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Mahathir, perjuangan Palestin, peristiwa politik 1998 (gambar bawah) dan tsunami pada 2004.

Beliau enggan menyertai mana-mana parti politik tetapi tidak mengelak daripada menyuarakan pandangan dan mengambil pendirian terhadap isu-isu kritikal.

Syed Ahmad ialah pelukis logo gerakan bukan kerajaan Adil, atau Pergerakan Keadilan Sosial yang ditubuhkan sebagai respons tindakan-tindakan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri dan pemimpin Umno.

Al-Fatihah. Syed Ahmad Syed Jamal, 1929-2011.

Foto oleh ZAMZARINA ABDULLAH.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...