Sasterawan Azizi Abdullah, penulis yang meninggal dunia pada 21 Ogos lalu di Hospital Pulau Pinang telah menghasilkan puluhan karya bertema perjuangan rakyat.
Penulis prolifik ini meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang setelah berbulan terlantar sakit. Allahyarham dilahirkan pada 4 April, 1942 di Kota Kuala Muda, Kedah Darul Aman.
Allahyarham, yang juga setia dengan perjuangan PAS hingga ke akhir hayat mengakhiri hayatnya dengan perjuangan rakyat di Persatuan Pengguna Pulau Pinang, yang agak jauh daripada perhatian berbanding lapangan politik.
Selayaknya Azizi diiktiraf sebagai saterawan rakyat sejati kerana hasil karyanya Seorang Tua di Kaki Gunung hingga karya-karya terakhir menyampaikan suara hati rakyat yang ingin bebas merdeka.
Menjelang hujung hayatnya, Azizi menghasilkan buku Jiwa Hamba, satu kritikan berterus terang dan tajam terhadap sesetengah amalan adat yang membelenggu jiwa bangsa Melayu dalam kemunduran.
Ketika kudrat semakin berkurangan dan dengan kesihatan yang ada kalanya tidak seberapa, Azizi menggagahi perjalanan panjang dari kediamannya di Kulim, Kedah ke pejabat di Pulau Pinang dengan kenderaan sederhana Perodua Kelisa, sebagai memenuhi amanahnya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Allahyarham terus aktif menulis blog, mengulas pelbagai isu terutama politik dan turut cergas menyampaikan teguran dan kritikan kepada parti disertainya, PAS, ketika parti Islam itu melalui cabaran getir selepas Pilihan Raya Umum ke-12.
Peranannya ini merupakan satu lagi hujah yang menegaskan kedekatan Azizi dengan suara rakyat, yang ditemui dan disantuninya saban hari.
Allahyarham meninggalkan kita tanpa sempat dianugerahi penghormatan sebagai Sasterawan Negara, yang menurut banyak pihak, sudah layak dimilikinya, dan menurut sesetengah pihak lagi, tidak dianugerahkan kerana pendirian politiknya.
Bagi PAS, nama Azizi wajar sekali diabadikan dengan sewajarnya, sebagai seorang pejuang rakyat sejati yang aktif dalam dunia seni pada masa sama terus bergerak aktif dalam parti.
No comments:
Post a Comment