Tuesday, August 9, 2011

Siasat gereja, sokongan untuk Jais meningkat

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor, Jais, ke atas sebuah gereja di Damansara minggu lalu semakin mendapat sokongan daripada pertubuhan-pertubuhan Islam, meningkatkan suara sokongan terhadap tindakan itu dalam kalangan masyarakat Muslim.

Terbaharu, Persatuan Ulama Malaysia dalam satu kenyataan menegaskan sokongan terhadap tindakan Jais seperti diperuntukkan undang-undang.

Setiausaha agung PUM, Dr Mohd Roslan Mohd Noor dalam kenyataan ringkas itu turut menggesa semua pihak menerima kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan tidak mempertikaikannya.

Kumpulan Islam itu juga menggesa isu itu tidak dijadikan "bahan provokasi" oleh pemimpin politik dan media.

"Dalam hal ini juga, PUM juga menyeru dan menasihatkan seluruh pihak termasuk para pemimpin politik dan pihak media agar tidak menjadikan isu ini sebagai bahan provokasi."

"Tindakan memutar-belit fakta kejadian adalah sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan langsung tidak akan membantu untuk merungkaikan permasalahan ini selain akan membibitkan perpecahan dan ketegangan dikalangan rakyat," tegasnya dalam kenyataan itu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan yang lebih dikenali sebagai ACCIN turut menggesa media lebih bertanggungjawab dalam melaporkan kontroversi itu.

ACCIN dalam kenyataan itu mengajak semua menghormati sensitiviti umat beragama dan mendesak "usaha memurtadkan umat Islam, khasnya di Kuala Lumpur, Selangor, dan seluruh negara dihentikan segera."

Kenyataan itu diperakukan 17 ahli gabungan yang termasuk PUM, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan beberapa pertubuhan Cina dan India Muslim.

Sebelum itu, gabungan Pertubuhan Pembela Islam, Pembela, menegaskan sokongan terhadap operasi pihak berkuasa agama negeri Selangor itu dan mengkritik pihak yang mempolitikkan isu itu.

Ketuanya Dr Yusri Mohamad berkata operasi itu telah diberi gambaran salah dengan disifatkan sebagai "serbuan" dan pencabulan terhadap sebuah rumah ibadat, sedangkan rundingan untuk menjalankan siasatan dilakukan antara Jais dengan pihak gereja.

Pembela turut menolak campurtangan politik dalam kes itu, termasuk oleh menteri besar Selangor.

"Pembela tidak bersetuju dengan campur tangan politik dalam hal ehwal agama Islam oleh pemimpin yang berkepentingan.

"Kenyataan menteri besar Selangor yang bersifat 'apologetic' amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan.

“Begitu juga kenyataan beberapa pemimpin politik yang bukan beragama Islam menghiris hati dan perasaan umat Islam serta menggambarkan seolah-olah agama Islam tidak bertempat di negara ini," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS mengajak pertubuhan-pertubuhan Islam menyertai satu sidang meja bulat untuk membincangkan kontroversi gereja dan Jais tersebut.

Persidangan itu dijadualkan di Dewan Kohilal Diamond Square, Diamond Square, Jalan Gombak, Setapak, pada 13 Ogos jam 4.30 petang.

Kenyataan ringkas oleh setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan isu seperti ini sebagai mampu menggugat keselamatan negara, dan mengajak pertubuhan Islam "membincangkan dan mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ini."

2 comments:

dangwangi said...

"Kenyataan menteri besar Selangor yang bersifat 'apologetic' amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan"

... kenapa dia sebok sangat?

Anonymous said...

Entah aper2 punyer MB Selangor ni...Banggang kut...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...