Wednesday, August 10, 2011

Cukup setengah bulan untuk sampai PRU 13?


Oleh JOHARI M

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sudah mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji dan RM500 untuk kakitangan awam dan pesara.

Memang pemberian ini tidak dapat dipisah daripada dibincang bawah tajuk pilihan raya, kerana sebelum ini kakitangan awam tidak diberikan bonus, kerana katanya belanjanya akan melebihi RM3 bilion untuk bonus sebulan gaji, walaupun setengah bulan pun tidak diberi sebelum ini.

Sebelum ini ada yang menjangka semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-13, kerajaan Barisan Nasional akan umum ganjaran-ganjaran, yang kita lihat sudah diputus untuk diberi kepada peneroka Felda dan kakitangan kerajaan.

Ini kita sedia maklum menandakan pilihan raya umum semakin hampir, dan Najib mahu faktor feel good ini dirasakan hingga pilihan raya nanti dan memberi kesan kepada undi, lebih-lebih lagi selepas lama tidak merasa bonus.

Kerajaan juga pada masa sama umumkan kos kehidupan menjadi salah satu bidang keberhasilan negara untuk ditangani, satu usaha yang terpuji walaupun sepatutnya telah dibuat lama dulu, sebelum memikirkan penubuhan Permata dan membuat "pejabat first lady."

Apa yang ingin diberi perhatian di sini ialah peningkatan kos yang berpunca daripada keputusan kerajaan BN dulu, yang membenarkan wujudnya monopoli televisyen satelit Astro yang menaikkan kos kepada rakyat tanpa dikawal, monopoli Indah Water Konsortium dan lebuh raya yang akan dilalui berjuta kenderaan musim perayaan nanti.

Bil Astro, tol lebuh raya Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dan banyak lagi ialah kos yang kita rakyat Malaysia tanggung hari ini kesan daripada dasar penswastaan dan amalan kronisme zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dulu.

Apapun NKRA diusahakan kerajaan sekarang tidak dapat mengubah apa yang telah dipersetujui dan ditandatangani dulu, yang kini menjadi kontrak yang mesti dipatuhi. Dan banyak konflik kepentingan yang wujud melibatkan projek-projek besar itu semua.

Pernahkah kita saksikan satu perkara yang kerajaan buat untuk kepentingan rakyat dan mengorbankan kroni atau kapitalis besar? Kerajaan Pakatan Rakyat pun tidak berdaya menangani kepentingan pemodal besar perumahan, perniagaan rumah urut dan sebagainya, apatah lagi kerajaan BN.

Kita juga mendapat berita tentang Dawama yang memonopoli kerja percetakan dan pengedaran daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang kini melepas tangan membiarkan beratus kakitangan menghadapi Hari Raya Aidilfitri dengan hiba.

Kenapa boleh dibenarkan penubuhan Dawama itu, yang menafikan banyak syarikat lebih kecil lain daripada mendapat job daripada DBP? Dan bagaimana pula perjanjian perkongsian untung Dawama dengan DBP, dan bagaimana boleh begitu lama sekali dibiarkan berjalan tanpa dinilai semula segala perjanjian yang berat sebelah?

Takkan tidak ada sesiapa - pengurusan Dawama, mereka yang terlibat menghasilkan perjanjian Dawama-DBP - boleh dipertanggungjawabkan dalam hal ini? Dan lebih buruk lagi, kenapa penubuhan Dawama dan segala perjanjiannya dulu boleh lulus begitu sahaja?

Kesimpulannya, banyak sangat isu kos hidup dan salah urus yang membelenggu kita hari ini. Ini semua akan terus memberi kesan kepada kita semua, lama selepas bonus setengah bulan gaji itu habis dibelanjakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...