Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak baru-baru ini mengumumkan nama baharu perhentian bas bersejarah negara, Hentian Pudu Raya kepada Pudu Sentral.
Pengumuman itu dibuat ketika stesen bas penting ibu negara itu mencapai puncak operasinya ketika bulan Ramadhan, dan menjelang sambutan kemerdekaan ke-54.
Alasan diberikan Najib ialah nama baharu itu (yang katanya dicadang oleh seorang di Twitter) mencerminkan kualiti dan pembaharuan stesen bas itu.
Najib secara mudah telah mengaitkan kemodenan dan peningkatan kualiti dengan nama yang diceduk daripada bahasa Inggeris, sekaligus melanjutkan lagi pandangan singkat bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa kemodenan, yang mencerminkan segala yang lebih baik.
Pengumuman yang dilihat mengabaikan bahasa Melayu itu kini mencetuskan satu kritikan meluas terhadap Najib yang kini berdepan ujian populariti yang mencabar, ketika pemerintah terjejas akibat dasar bahasa Inggeris dalam pembelajaran di sekolah dan Najib menanggung kesan negatif kempen 1 Malaysia beliau.
Dalam hal ini, Najib telah melupakan dimensi sejarah stesen itu, yang telah tercatat dalam sejarah negara, terutama sejarah popular melibatkan ramai rakyat Malaysia dari luar Kuala Lumpur.
Tindakan Najib mengubah nama itu, yang diumumkan secara muktamad tanpa sebarang debat nasional, merupakan tindakan menamatkan sejarah lama tempat bersejarah itu dan memaksakan satu sejarah baharu yang artifisial.
Hal itu menunjukkan pemikiran tidak mendalam Najib dalam hal melibatkan bahasa dan identiti, serta memberi gambaran pemikiran penasihat-penasihat beliau dalam hal tersebut.
Penukaran nama itu juga merupakan sesuatu yang tidak perlu, superfisial dan dari segi praktikal mampu mencetuskan kekeliruan, terutama dalam jangka masa pendek.
Tindakan Najib yang tidak sensitif terhadap bahasa dan identiti yang berkepentingan sejarah itu menjejaskan lagi populariti beliau dalam hal melibatkan isu Melayu.
Isu ini, yang turut dikaitkan dengan orang sokongan beliau di posisi strategik yang mengabaikan isu Melayu semakin menjadi beban kepadanya, dan menambahkan kepercayaan dan sokongan ramai terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang disebut-sebut sedang memulakan usaha mencabar kepimpinannya, dengan isu kepentingan Melayu menjadi fokus utama.
1 comment:
tadi saya jenguk pudu raya. perniagaan lesu. budak niaga simpan beg melambai-lambai, tak ada orang nak simpan beg, berapa sewa tempat dia tu? bolehke cari makan? seorang peniaga mengeluh, sewa RM3000 sebulan. ambil dua lot jadi RM6,000, kalau setakat ambil komisyen jual kitab, tak berbaloi. saya sengaja nak cari Suara Keadilan atau harakah. Nak tahu, agaknya media macam ni dilarang dari dijual.oh ada juga. pekedai bagi tahu di mana nak beli. dia kata tak tahulah bagaimana masa depan pudu raya. memang sekarang pudu raya tak macam dulu, lagi kemas susun aturnya lagi tak ada orang.semua orang dah berpecah, satu pergi perhentian pekeliling, ada yang pergi bandar tasik selatan, dan ada yang pergi hentian putera, dan hentian duta. akhirnya pudu raya sepi. peniaga mengeluh. kalau begini ramai peniaga akan tutup kedai dan buka di tempat lain yang murah sikit dan ada pelanggan. zaman mewah dah berlalu nampaknya. itulah gambaran sekilas yang saya lihat di puduraya hari ini(7/9/2011).
Post a Comment