Wednesday, August 31, 2011

Mat Sabu, komunis dan PRU 13

Mohamad Sabu menjadi pemimpin pembangkang terbaharu yang berkonfrontasi dengan Utusan Malaysia, akhbar harian dikuasai parti pemerintah, Umno.

Ucapan timbalan presiden PAS itu yang didakwa pengkritiknya sebagai mengina pejuang kemerdekaan kini menjadi isu besar yang diwacanakan media propemerintah menjelang kemerdekaan.

Mohamad bukan individu pertama yang cuba memberi penilaian semula sejarah negara melibatkan persaingan ideologi dalam perjuangan menentang penjajah dan kemerdekaan.

Dalam penafsiran semula hal itu, tidak dapat dielakkan penilaian terhadap golongan berhaluan kiri termasuk sosialis dan komunis, yang diabaikan dalam penulisan sejarah paling dominan negara ini.

Pengiktirafan terhadap golongan kiri, yang pernah dilakukan antaranya melalui buku-buku terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia turut mencetuskan kontroversi serupa, yang dikritik keras secara simplistik sebagai pengiktirafan terhadap komunis.

Hakikatnya, perjuangan komunis dikawal China tidak diterima sepenuhnya oleh golongan kiri di Malaysia, terutama yang berbangsa Melayu dan mempunyai jati diri berasaskan Tanah Melayu. Dominasi China ialah penguasaan berbentuk penjajahan yang ditentang golongan kiri tersebut.

Ucapan Mohamad itu dieksploit dalam konteks persaingan wacana perjuangan kemerdekaan yang penting kepada pemerintah untuk memastikan versi sejarahnya kekal dominan, dan kepentingan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Mohamad dalam kes ini meneruskan kritikannya terhadap apa yang dilihatnya sebagai dominasi satu versi sejarah, walaupun kritikannya itu kurang cermat dan tidak mengambil kira sensitiviti sejumlah besar orang Melayu.

Hal ini sama dengan kritikan lamanya terhadap orang Melayu yang didakwa kurang sensitif terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding orang Cina, yang turut dieksploit penyokong Umno.

Turut memperlihatkan kekurangan sensitiviti beliau ialah pujian berpanjangan terhadap Lim Guan Eng, pemimpin DAP rakan karibnya yang juga ketua menteri Pulau Pinang, pujian yang dianggap berlebihan dan hampir menghina termasuk oleh penyokongnya sendiri.

Dalam hal melibatkan sensitiviti Melayu ini, Mohamad boleh disifatkan telah melakukan kesilapan kerana tidak cermat, dan boleh menjejaskan undi Melayu terhadap PAS ketika pelbagai isu termasuk kes gereja di Selangor menambah persepsi negatif Melayu terhadap PAS.

Walau bagaimanapun, kontroversi ini tidak semestinya negatif terhadap beliau, terutama melibatkan pertandingan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sekiranya beliau bertanding di kerusi majoriti Cina, apa yang berlaku selama ini memberi kesan positif kepada beliau, kerana imej mesra dengan masyarakat itu - terutama hubungan baik dengan DAP yang mendapat sokongan kuat Cina - telah terbina lama.

Beliau disebut-sebut akan bertanding di kawasan bandar atau majoriti Cina. Kerusi seperti Parlimen Bayan Baru di negeri dikuasai DAP, Pulau Pinang ialah satu contoh kerusi yang mempunyai majoriti Cina yang berpotensi untuk Mohamad.

Bayan Baru mempunyai 48.46 peratus pengundi Cina pada pilihan raya lalu, dan 39.14 peratus pengundi Melayu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim telah meninggalkan PKR dan kini menjadi ahli bebas. PAS berhasrat mengambil alih kerusi-kerusi yang ditandingi oleh wakil PKR yang telah melompat keluar parti.

Mohamad ialah salah seorang pemimpin PAS yang paling rapat dan mempercayai DAP, dan yakin kedua-dua parti mampu membina hubungan rapat walaupun berbeza ideologi.

7 comments:

Anonymous said...

Perkiraan yang sungguh baik dan amat tepat jika Muhammad Sabu bertanding di Bayan Baru. Bagai sireh pulang ke gagang.

Anonymous said...

betul! untuk diri dia, bukan PAS secara keseluruhan!

Abd Rahman said...

Seorang Pemimpin perlu bijak bila bercakap, sayangnya Mat sabu berjaya mendapat sokongan org Cina tetapi pada masa yg sama beliau telah menyebabkan ramai org Melayu & golongan bekas perajurit & keselamatan yg kebelakangan ini mulai jinak dgn PR terutamanya PAS telah kembali menjauhi & mendekati PAS.

ayam hutan said...

Rumah anda kena rampas olih orang putih (British)dan dikawal olih orang melayu sebagai pengawal. Tuan milik rumah asal menyerang rumah tersebut maka jadilah pertempuran, kedua dua belah pihak ada yang terkorban. Persoalan ?. adakah Ahmad Indera dianggap penganas mempertahankan hak dia?. Pengawal yang berkerja dengan British dianggap pejuang bangsa (Hero).

choptokyed said...

Yang lepas itu telah berlalu. Kita tak mahu ikut lagi tapi sekarang tengah Islam nak berkembang adakah kita mahu campur aduk ideologi Komunis. Apa yang perlu kita perkuatkan ialah demokrasi yang baik mirip Islam supaya yang komunis itu ikut. Selama ini meraka tewas dan telah cilak budaya british malah kominis telah mulai berkubur di Cina pun. Apakah orang Islam tidak boleh berbuat seperti British itu

Anonymous said...

Tukang Masak Rempah Opor

Sejarah, lebih daripada biasa, ditulis, diolah, dicatur, diinterpretasi dll., oleh pihak yang menang. Soal kebenaran, fakta dll., tertakluk kepada budi bicara pihak yang menang. Sejarah Malaysia tidak terkecuali.
Mat Sabu mahu melakukannya dalam keadaan dia/PAS/PR belum menang. Tentulah percubaan ini bakal menerima penentangan yang kuat malah dianggap ke tahap pengkhianatan terhadap bangsa dan negara (mengikut) sejarah itu tadi.
Soalnya, adakah tindakan Mat Sabu ini boleh dianggap bijak lagi menguntungkan dari sudut politik? Sama ada politik dirinya sendiri, parti politiknya PAS serta gabungan politik Pakatan Rakyat? Sama ada rakyat Malaysia umumnya, tak kira tua muda, tak kira agama atau bangsa, sudah bersedia membuat penafsiran semula terhadap sejarah sedia ada & lebih penting bersedia berhadapan dengan reaksi balas serta implikasi daripadanya?
Manusia pintar selalu dikata mendahului masa dari segi ucapan & tindakan mereka & selalu juga menerima natijah yang tidak menguntungkan akibat "kepintaran" sebegitu. Sama dengan jenis manusia terlebih berani. Mungkin ada waktunya bersederhana itu, yakni "adil" (baca meletakkan perkara kena pada tempat & waktunya) merupakan sebaik-baik pilihan. Terutama buat orang politik.

Dahan Jati said...

Kenyataan saudara mat sabu mengguris hati dan manikkan kemarahan banyak pihak. Mungkinkah ia satu helah untuk membangkitkan isu perkauman dan memberi kredit kepada pas. Ini kerana kebanyakan komunis adalah kaum cina, dan anggota keselamatan pula adalah kaum melayu. Jika isu ini berterusan maka akan muncul isu perkauman. Kenyataan rasmi pas ternyata mempertikaikan kenyataan mat sabu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Adakah mat sabu juga sokong penubuhan negara komunis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...