Monday, August 22, 2011

Kita antara kuasa ketiga dan pengacau Pakatan Rakyat

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, menjadi perhatian kembali menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Kita bakal bertanding di beberapa negeri yang menjadi kubu kuat Pakatan Rakyat, memungkinkan pertembungan tiga penjuru dan tawar-menawar belakang tabir yang menarik.

Selain Kita, Tengku Razaleigh Hamzah dan kumpulan seperti Perkasa di sebelah kanan dan kumpulan liberal seperti Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia, MCLM juga bakal menyaksikan permainan politik yang rancak menjelang pilihan raya nanti.

Setakat ini, hanya parti Kita yang memperlihatkan kesediaan dan kesungguhan politik untuk terlibat dalam pilihan raya dengan, pada masa sama membuka peluang kerjasama dengan pelbagai kumpulan dan menampakkan juga potensi pertembungan, termasuk dengan PR yang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi seorang pemimpinnya.

Artikel di bawah ialah satu penilaian terhadap Kita, yang ditulis selepas pelancaran parti itu Januari lalu.

Kita sebagai kuasa ketiga atau pengacau Pakatan Rakyat
Oleh HARIS ZALKAPLI

Parti pimpinan Datuk Zaid Ibrahim, yang dikenali dengan nama popularnya Kita, dilancarkan dengan satu acara meriah pada 19 Januari lalu di ibu negara.

Pelancaran secara rasmi parti pimpinan Zaid itu segera menarik pelbagai penilaian daripada pemerhati, terutama melibatkan prospek hayatnya dalam politik Malaysia dan peluang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Seperti biasa, sebagai parti kecil yang dinilai sebagai serpihan, sebahagian besar pemerhati masih skeptikal dengan kemampuan dan masa depan Kita.

Kita mempersembahkan dirinya sebagai kuasa politik yang berbeza daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, meletakkan dirinya di satu ruang ketiga, mewakili rakyat yang tidak melihat aspirasi mereka dibawa oleh kedua-dua gabungan besar tersebut.

Satu cabaran besar yang dihadapi Kita boleh dilihat sebagai menempatkan dirinya dalam medan politik yang kini dikuasai BN dan PR.

BN dan PR bukan sahaja menguasai politik negara melalui sokongan ramai dan jumlah kerusi yang dimiliki tetapi juga wacana yang dibentuk dan dipersembahkan.

BN mengemukakan hujah kestabilan dan mempertahankan kepentingan-kepentingan dasar negara serta mengekalkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum melalui formula yang telah dipersetujui.

PR pula membawa naratif besar menyelamatkan Malaysia daripada kezaliman dan salah urus serta korupsi BN yang didakwa mengekang kemajuan negara. Naratif besar ini dipersembahkan melalui buku tawaran yang dikeluarkan semasa konvensyen gabungan itu Disember lalu.

Parti pimpinan Zaid mendakwa senario ini tidak memberikan pilihan yang cukup bagi rakyat Malaysia, disebabkan keterbatasan kedua-dua kumpulan. Zaid menjelaskan tentang BN yang korup dan tidak menghormati demokrasi dan PR yang sangat populis.

Menurut Zaid, bagi rakyat Malaysia, “pilihan kita terbatas.” Jelasnya, “Selalunya, kita sukar memilih antara jauhari dengan manikam. Apakah kita mahu terus berada di bawah kerajaan yang mahu ‘mempertahankan Putrajaya tidak kira setinggi mana kosnya,’ atau tunduk di bawah pesona sebuah barisan pembangkang yang akan berjanji apa saja dan melakukan apa saja untuk memenangi pilihan raya?”

Kenyataan Zaid ini segera meletakkan Kita berbeza daripada kedua-dua BN dan PR dan mengemukakan partinya sebagai pilihan tersebut.

Parti Kita turut dipersembahkan oleh Zaid – yang sehingga kini masih menjadi satu-satunya wajah dan tokoh yang kelihatan dan dikenali dalam politik nasional bagi pihak Kita – sebagai sebuah parti yang memegang nilai-nilai “moderat, demokratik dan liberal.”

Kenyataan memperkenalkan diri pemimpin Kita ini merupakan satu kenyataan yang paling berterus-terang dan berani tanpa berselindung – sesuatu yang agak berbeza dalam politik negara kita.

Penegasan dukungan terhadap kesamarataan setiap warganegara dan perlembagaan tertinggi yang sekular menegaskan dengan jelas pendirian parti Kita.

Pada awal ucapannya, Zaid telah menegaskan keperluan mempunyai ideologi yang jelas, menjelaskan kepentingan kedudukan ideologi bagi Zaid.

Ciri-ciri liberal Kita telah serta-merta meletakkan parti itu dalam satu posisi yang jelas, menjanjikan politik yang berlandaskan prinsip-prinsip liberal.

Bagi pengundi yang menerima perjuangan liberal Kita, parti ini sememangnya memberikan janji yang jelas, dan disokong oleh haluan yang diambil oleh Zaid sendiri sepanjang dalam politik, seperti dalam tindakan undang-undangnya terhadap usaha pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan.

Dalam bersaing dengan BN, Kita boleh menunjukkan perbezaan dengan mudah dengan gabungan parti-parti konservatif yang pragmatik itu.

Sejak meninggalkan Umno dan BN, Zaid telah menunjukkan dengan jelas pendirian beliau yang tidak sehaluan dengan Umno yang bersifat nasionalis etnik itu.

Zaid telah mengemukakan wacana balas terhadap tafsiran dan perjuangan Melayu oleh Umno dalam buku tulisannya, Saya Pun Melayu.

Pendirian liberal Zaid mudah untuk dilihat bertentangan dengan Umno dan BN yang masih menerima politik berasakan kaum dan memanfaatkannya melalui permainan politik setiap parti komponen.

Persaingan dengan PR pula lebih sukar disebabkan penguasaan kedudukan pembangkang oleh gabungan PR, yang sehingga kini masih jelas kelihatan sebagai pakatan yang paling berupaya mengambil alih pemerintahan pusat daripada BN.

PR pula hampir memonopoli wacana kepembangkangan mengemukakan dirinya sebagai satu-satunya pilihan untuk berhadapan BN, satu-satunya pembangkang yang boleh dipilih.

Hal ini paling jelas muncul lebih setahun lalu apabila PR mewacanakan “sistem dua parti” sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan.

PR juga menggabungkan parti-parti berbeza ideologi termasuk Islamis PAS, PKR melibatkan hampir semua ideologi tetapi dikuasai golongan pragmatis dan DAP yang berhaluan kiri tetapi lebih kelihatan sektarian.

Ini membolehkan PR menerima sokongan daripada segmen-segmen utama pengundi, mewakili sentimen jumlah yang besar dalam kalangan pengundi.

Sentimen sokongan ramai dan wacana dikuasai PR inilah yang mencetuskan tanggapan Kita sebagai pengacau kepada peluang PR untuk “menawan Putrajaya” dalam pilihan raya akan datang.

Kita dilihat sebagai pemecah undi kepada PR. Hal ini disebabkan PKR, parti yang disertai Zaid sebelum ini dilihat tidak mampu membawa dan memperjuangkan agenda liberal seperti yang diharapkan sesetengah pihak.

Agenda yang digariskan Zaid menunjukkan saingan utamanya dalam merebut kerusi dalam pilihan raya ialah PKR.

Malah, Kita juga terus dilihat sebagai mampu untuk menarik ahli-ahli PKR untuk menyertainya.

Potensi ini dapat diperhatikan daripada pertembungan Zaid dan penyokongnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam PKR.

Visi Zaid untuk PKR menerima sokongan sejumlah ahli berpengaruh yang berkongsi pandangan denganya, walaupun sokongan itu tidak mampu membantu Zaid merebut jawatan tinggi dalam parti.

Satu lagi medan persaingan sokongan Kita dengan PR, terutama PKR, ialah Sabah, negeri yang Zaid sebagai figur PKR menerima sokongan kuat.

Zaid kini terus mengukuhkan kedudukan di Sabah melalui penglibatan dalam banyak aktiviti, dan hubungan dengan bekas pemimpin-pemimpin PKR negeri itu yang masih berpengaruh dalam politik negeri.

Persaingan Kita dengan PKR di Sabah ini menjadikan negeri itu faktor penting untuk mengukuhkan kedua-dua parti dan juga PR yang PKR menganggotainya.

Sabah telah menjadi tumpuan sejak pelan merampas Putrajaya oleh Anwar dan PR dinamakan 16 September, tarikh yang mempunyai signifikan besar kepada Sabah dan Sarawak di Borneo.

Kita juga mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan isu-isu Sabah dan Borneo. Ini berpotensi menjadi salah satu kekuatan Kita dalam persaingannya dengan PR untuk memenangi sokongan dari Sabah terutamanya.

Diperhatikan daripada permukaan, kedua-dua PR dan Kita memberi tumpuan kepada Borneo daripada simbol-simbol yang dipersembahkan kepada umum.

PR dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas Disember lalu meletakkan slogan-slogan “selamatkan Malaysia” dalam bahasa suku kaum dari Borneo di latar besar di atas pentas.

Kita pula menyertakan peta Borneo dalam imej tangan bersatu dengan Semenanjung dalam imej yang sama sebagai simbol parti itu.

Isu-isu Borneo juga menjadi satu topik yang secara konsisten mendapat perhatian laman berita pro-Zaid, Free Malaysia Today, lebih daripada semua media lain berpangkalan di Semenanjung.

Persaingan kedua-dua pihak ini meningkatkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam arus perdana politik yang selama ini lebih tertumpu kepada Semenanjung.

Walau bagaimanapun, masa akan menentukan sejauh mana perhatian ini berasaskan sikap dan prinsip yang konkrit, berbanding keperluan pragmatik untuk memenangi sokongan untuk kuasa.

Sentimen Borneo juga turut berpotensi untuk mencetuskan isu-isu yang mampu mencetuskan rasa tidak senang berhubung penyatuan rakyat negara ini, disebabkan potensi sentimen tersebut muncul atau dibaca sebagai berbentuk pemisahan.

Parti Kita turut menjadikan warna jingga sebagai warna parti, yang diselaraskan dengan warna tali leher yang dipakai Zaid semasa majlis pelancaran yang dramatik itu.

Warna jingga telah hampir menjadi warna rasmi PR apabila konvensyen pertama dan kedua gabungan ini menjadikan jingga sebagai warna utama.

Dalam konvensyen kedua, PR turut melahirkan “buku jingga” menggariskan rancangan-rancangan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia, merapatkan lagi imej jingga dengan PR.

Dalam politik dunia, warna mempunyai peranan penting dalam membawa identiti sesebuah parti atau gerakan, dengan warna jingga dikaitkan dengan liberalisme di beberapa negara.

Warna jingga telah menjadi warna gerakan yang menjatuhkan rejim lama di Ukraine pada hujung 2004, dalam kebangkitan satu kumpulan rakyat yang digelar “Revolusi Jingga.”

Walaupun perjalanan kisah di Ukraine itu telah menunjukkan hasil yang tidak seperti diharapkan pada 2004, warna tersebut muncul sebagai pengenalan kepada kebangkitan rakyat di negara itu.

Di Inggeris, juga pada 2004, sebuah buku mengandungi tulisan-tulisan tokoh liberal negara itu – termasuk Nick Clegg – diterbitkan, bertajuk The Orange Book: Reclaiming Liberalism.

Buku yang juga berwarna jingga itu mengemukakan rancangan-rancangan parti Demokrat Liberal, hampir sama dengan buku jingga dikemukakan oleh PR.

Selain konstituensi dan kerusi, dari satu sudut, Kita dan PR juga kini kelihatan bersaing untuk menjadikan warna jingga sebagai identiti utama, dan pada tahap tertentu, bersaing untuk mewakili agenda-agenda liberal dalam politik Malaysia.

Hal ini meletakkan Kita berseberangan dengan parti dan kumpulan yang mahukan kedudukan Islam yang dominan dalam budaya dan perundangan negara.

Penegasan terhadap isu Melayu oleh Zaid menjadikannya tidak menarik kepada sejumlah besar orang Melayu, tetapi seperti yang dapat diperhatikan sejak awal, konstituensi itu bukan menjadi perhatian utamanya, sekurang-kurangnya pada masa ini, atau Kita menyesuaikan retorik untuk konstituensi tersebut nanti.

Kedua-dua BN dan PR pasti melihat Kita dengan sinikal, disebabkan sejarah melibatkan Zaid dengan kedua-dua gabungan politik terbesar itu.

Dengan penubuhan Kita dan penyertaan Zaid bersama satu agenda liberal dalam politik negara kini, persaingan politik Malaysia boleh dijangka menjadi lebih sengit.

Pilihan Raya Umum ke-13, dan pilihan raya Sarawak akan menjadi perhatian untuk penilaian pertama Kita dalam realpolitik pilihan raya.

Perkembangan dilalui Kita akan menunjukkan sejauh mana sokongan terhadap agenda liberal yang dibawanya, dan sejauh mana ia dilihat sebagai pilihan lain selain BN dan PR.

Zaid, yang sehingga ini masih menjadi tumpuan utama dalam menilai Kita, tidak dapat menulis semula sejarah politik yang telah dilaluinya atau mengelak daripada kisah itu dijadikan satu ukuran menilai diri dan partinya.

Tetapi, sejarah yang mula dicatatkan kini – dan ekoran pertikaian terbukanya dengan Anwar ketika dalam PKR sebelum ini – akan menentukan sama ada Kita mampu memainkan peranan seperti yang menjadi agendanya dan menjadi salah satu kuasa yang perlu diambil kira dalam persaingan politik Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...