Showing posts with label Kita. Show all posts
Showing posts with label Kita. Show all posts

Wednesday, February 19, 2014

Sarawak selepas Taib Mahmud

Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai ketua menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun telah mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini.

Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri telah mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.

Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB dan Barisan Nasional.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 31 dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah Parti Keadilan Rakyat pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika PR menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Piliha raya 2011 telah mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada parti-parti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, PR menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-PR, terutamanya memandangkan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus parti-parti pembangkang, terutama PR dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepentingan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah telah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh PR. - Februari 11, 2014

Monday, April 22, 2013

PRU 13: Panas, celaru dan sesak

Pilihan Raya Umum ke-13 ini ialah yang pertama di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bagi Barisan Nasional, dan kali pertama Pakatan Rakyat menyertai pilihan raya umum bersama selepas ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Selesai penamaan calon pada 20 April lalu, pilihan raya kali ini mencatat sejarah dengan jumlah 579 calon merebut 222 kerusi Parlimen, dan 1,321 bersaing di 505 kerusi negeri, dan tiada satu pun kerusi dimenangi tanpa bertanding.

Pilihan raya umum kali ini muncul menjadi pilihan raya yang dikuasai isu-isu panas sehingga menyentuh pelbagai hal sensitif, bercelaru dengan parti-parti pemerintah dan pembangkang menyaksikan jumlah besar ahli bertanding bebas dan pada masa sama gagal mencapai persefahaman asas bertanding satu lawan satu menentang BN, dan jumlah calon yang banyak hingga berlaku persaingan sehingga tujuh penjuru.

Barisan Nasional

Kebimbangan menghadapi tentangan ahli menjadi realiti apabila lebih 20 ahli bertanding bebas tanpa mandat parti, dan menghadapi tindakan pecat. Ini berlaku selepas proses panjang pemilihan calon, yang dilihat mengambil kira pelbagai faktor termasuk sokongan pengundi muda dan mengemukakan imej baharu yang lebih segar kepada pengundi, selepas bencana Pilihan Raya Umum ke-12. Paling berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding bebas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar. Muka-muka baharu yang ramai dicalonkan memungkinkan tindakan protes daripada orang lama yang tidak berpuas hati. BN walau bagaimanapun kelihatan mempunyai keyakinan baharu untuk menhadapi pilihan raya kali ini.

Pakatan Rakyat

Persetujuan paling asas dalam pilihan raya, satu lawan satu menentang BN gagal dilaksanakan, apabila bertembung sesama sendiri di tujuh kerusi; satu persekutuan dan enam negeri, melibatkan PKR dan PAS. PKR dan DAP juga menghadapi ahli bertanding bebas ekoran tidak puas hati dengan keputusan kepimpinan utama parti. Isu pertembungan sesama sendiri menjadi berita panas dalam kalangan PR seminggu sebelum penamaan calon. Perkembangan ini jauh sekali daripada kegembiraan selepas pilihan raya 2008, dan semangat yang diperhatikan sejak beberapa tahun lalu. Tetapi, kempen PR kali ini muncul sebagai kempen paling yakin dalam usaha menggantikan BN sebagai kerajaan di peringkat persekutuan.

Kerusi marginal

Kerusi-kerusi dimenangi dengan majoriti tipis menjadi perhatian dalam setiap pilihan raya, dan dalam persaingan yang dijangka sengit kali ini, kedua-dua BN dan PR berharap dapat merampas kerusi-kerusi panas ini, seperti PAS yang mensasarkan Arau dan BN mensasarkan Kuala Selangor. Sejumlah 14 kerusi Parlimen di seluruh negara dimenangi pada pilihan raya 2008 dengan majoriti kurang 1,000 undi. Negeri-negeri medan persaingan utama Selangor, Terengganu, Perak, Kedah dan Kelantan kesemuanya mempunyai jumlah kerusi marginal yang agak banyak. Daripada 32 kerusi negeri di Terengganu, 12 dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 undi.

Parti-parti kecil

Parti yang melalui laluan sukar sejak penubuhan, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, bertanding di dua kerusi persekutuan dan 11 negeri. Parti Berjasa kembali bersaing, mengambil kesempatan daripada sentimen negatif terhadap PAS, dengan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan lima kerusi negeri. Pilihan raya kali ini akan menjadi medan ujian kepada parti-parti kecil terbabit, mengukur sejauh mana kemampuan dan populariti mereka.

"Malaysian spring"

Jangkaan tentang protes massa besar-besaran pada Pilihan Raya Umum ke-13 sentiasa menjadi topik yang diperdebatkan antara dua gabungan utama BN dan PR, dengan masing-masing menuduh pihak lawan akan mencetuskan kekacauan sekiranya tewas. Pelbagai petunjuk memberi gambaran kecenderungan sesetengah pihak dalam kalangan penentang BN untuk mencetuskan protes massa "Malaysian spring," sekiranya tidak berpuas hati dengan tahap integriti pilihan raya kali ini.

Politik berasakan kaum

Sekuat mana pun retorik disuarakan kedua-dua belah pihak sama ada BN mahupun PR, politik berasakan kaum masih menjadi senjata penting kempen politik di negara ini. Pemilihan kerusi untuk ditandingi tidak dapat mengabaikan komposisi pengundi, isu ketuanan Melayu masih menjadi bahan kempen Umno, sebahagainnya digunakan untuk menafikan beban sejarahnya sendiri yang penuh dengan pencabulan amanah, dan kebimbangan terhadap dasar dan peraturan bersumberkan Islam masih dimomokkan kepada pengundi Cina.

Ketiadaan debat ideologi

Hampir semua isu kedua-dua kumpulan utama, BN dan PR berasaskan kepada isu, dengan kedua-dua menaburkan janji-janji populis. Pemerhatian terhadap ideologi parti-parti bertanding kebanyakannya disembunyikan dengan petikan-petikan kenyataan ringkas dan pelbagai imej dan simbol pop. Kebangkitan liberal dan reaksi konservatif kurang dinilai dengan lebih mendalam di media. Sentimen kelihatan menguasai hampir sepenuhnya pilihan raya kali ini.


Tuesday, May 22, 2012

'Raja-raja Melayu perlu nilai semula kedudukan'

Datuk Zaid Ibrahim, pengasas parti liberal Kita, muncul dengan buku terbaharu Ampun Tuanku: A Brief Guide to Constitutional Government, satu karya yang dijangka mencetus kontroversi ekoran penilaian kritikal terhadap institusi monarki.

Zaid dalam bukunya itu menilai peranan dan kedudukan raja-raja Melayu dalam konteks hari ini, ketika perubahan politik semakin mencabar tradisi.

Gambaran tentang ide-ide yang diwakili dalam buku itu telah disampaikan oleh Malik Imtiaz Sarwar, peguam dan aktivis hak asasi manusia yang merasmikan buku ketiga Zaid itu petang tadi.

Menurut Malik dalam ucapan perasmiannya, perkembangan sejak kebelakangan ini menjadikan persoalan peranan raja-raja Melayu dalam pentadbiran negara semakin kritikal.

"Dari segi sejarah, kita tahu kenapa raja-raja berada di kedudukan mereka itu. Tetapi persoalannya, apakah peranan mereka pada hari ini?" soal Malik.

Katanya, pengalaman di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan peranan raja dalam satu perubahan parti pemerintah menjadikan isu ini penting untuk dinilai.

Menurut Malik lagi, rakyat Malaysia kini tidak lagi hanya membenarkan sahaja apa yang berlaku, merujuk kepada episod peralihan kuasa di Perak pada awal 2009 yang menyaksikan peranan sultan dicabar oleh peguam yang juga pemimpin DAP, Karpal Singh.

Katanya lagi, berdasarkan kes Perak pada 2009 dan krisis pelantikan menteri besar di Terengganu pada 2008, persoalan yang besar timbul berhubung peranan monarki pada pilihan raya akan datang.

Ekoran episod perubahan parti pemerintah di Perak, kontroversi tercetus hasil daripada tindakan pihak Pakatan Rakyat yang didakwa membelakangi perintah sultan.

Di Terangganu, parti pemerintah Umno pula berdepan dengan tindakan sultan yang menolak menteri besar yang dipilih oleh parti tersebut.

"Kita perlu memikirkan apa yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Apa yang boleh kita harap peranan yang akan dimainkan oleh raja-raja?" soal Malik.

Malik walau bagaimanapun cuba melunakkan mesej yang disampaikan dengan menegaskan yang buku itu bukanlah sesuatu yang bersifat "antimonarki atau republikan," tetapi pada masa sama menegaskan bahawa raja-raja Melayu perlu "menilai semula kedudukan mereka agar dapat memimpin rakyat ke arah masa depan yang kita mahukan."

Pelancaran buku oleh pemimpin parti Kita itu, dengan sokongan peguam-aktivis liberal memperlihatkan satu kesungguhan kelompok liberal memperjuang dan mempromosi ide mereka, dalam usaha memgambil tempat dalam lapangan politik yang semakin terbuka masa kini.


Thursday, February 2, 2012

Bubar Kita, Zaid bantu atau jejas Pakatan Rakyat?

Datuk Zaid Ibrahim, tokoh yang sering berubah parti politik mengumumkan pembubaran parti baharunya, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, dengan alasan untuk bersama pembangkang Pakatan Rakyat.

Pembubaran ini merupakan kali ketiga Zaid meninggalkan partinya, selepas Umno dan PKR sebelum ini.

Parti yang muncul dengan identiti liberal yang kelihatan lebih tegas berbanding PKR dan membawa politik yang didakwa lebih matang dengan menolak penguasaan dua pakatan itu kini bakal menamatkan riwayatnya, tanpa sempat melalui pilihan raya umum.

Zaid memberikan alasan yang kelihatan kurang meyakinkan, yakni bertujuan untuk bersama pembangkang setelah gagal menarik ahli yang berminat dan komited dan kegagalan mendapatkan dana.

Zaid dan Kita sebelum ini menunjukkan tindakan yang mencetuskan persoalan apabila sering mengkritik pembangkang dan menunjukkan sokongan kuat kepada pemerintah, dan kemudian kembali menunjukkan sokongan kepada pakatan pembangkang.

Pengumuman membubarkan Parti Kita ini menyempurnakan penjelasan sikap Kita terhadap pakatan pembangkang.

Persoalan walau bagaimanapun kini timbul sama ada haluan baharu Zaid ini benar-benar akan membantu PR, atau menyesakkan lagi gabungan yang bertekad mahu menguasai kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Kehadiran Zaid bakal menambahkan lagi tokoh yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin utama dalam PR dan kerajaan pusat yang bakal ditubuhkan sekiranya memenangi pilihan raya akan datang.

Tengku Razaleigh Hamzah - yang kini menjarakkan diri dari Umno - pernah menjadi pilihan sebagai pelan kedua sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berjaya menduduki jawatan tertinggi dalam kerajaan sekiranya PR menang.

Zaid akhir tahun lalu disebut-sebut mahu kembali kepada PKR dan berpakat dengan Nurul Izzah Anwar untuk menjatuhkan Azmin Ali, timbalan presiden yang juga orang kuat Anwar yang menguasai PKR.

Wednesday, December 28, 2011

Zaid Ibrahim bantu Nurul Izzah lawan Azmin?

Persaingan kuasa dalam PKR, yang semakin jelas dilihat sejak menjelang pemilihan lalu muncul lagi, mengaitkan pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

Pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa Azmin Ali, timbalan presiden PKR di belakang penyebaran surat layang memburukkan Nurul Izzah Anwar, naib presiden PKR.

Surat itu menggesa ahli-ahli PKR menghalang Nurul Izzah yang didakwa cuba membawa semula Datuk Zaid Ibrahim - yang kini memimpin partinya Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) - menyertai semula PKR.

Dalam kolum terbaharunya, Raja Petra menerbitkan semula surat itu dengan ulasan ringkas mengatakan Azmin dipercayai di belakang penyebaran surat layang tersebut, dalam usaha menyekat anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu daripada menghalang kemaraan Azmin.

Menurut surat itu, Nurul Izzah mempunyai pengaruh untuk membolehkan Zaid dibawa semula menyertai PKR disebabkan kedudukannya.

"Sebagai naib presiden paling kanan dalam PKR dan anak kepada Anwar Ibrahim, Nurul Izzah pastinya mampu memanipulasi ayahnya dan setidak-tidaknya dapat membuka ruang buat Zaid menyertai PKR dan Pakatan Rakyat semula."

Menurut surat itu lagi, "Nurul Izzah perlu sedar bahawa status beliau sebagai anak kepada Anwar Ibrahim tidak semestinya akan merestui semua tindakan politiknya."

Zaid keluar parti setelah kecewa dengan politik Anwar dan permainan Azmin menyekat kemaraannya dalam parti.

Dakwaan Raja Petra ini sekiranya benar memberi gambaran usaha Azmin mengukuhkan kedudukannya dalam parti termasuk dengan menyekat Nurul Izzah, pemimpin muda yang dilihat berpotensi dan tidak mempunyai beban sejarah seperti beberapa pemimpin lain termasuk Azmin.

Kedudukan Nurul Izzah sebagai anak Anwar, pemimpin kanan yang muda dan popular mampu menggugat Azmin dalam kepimpinan parti.

Zaid semasa masih dalam PKR juga dilihat sebagai pencabar terdekat Azmin, disebabkan kedudukan seniornya yang dilihat mengatasi kelayakan Azmin.

Monday, August 22, 2011

Kita antara kuasa ketiga dan pengacau Pakatan Rakyat

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, menjadi perhatian kembali menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Kita bakal bertanding di beberapa negeri yang menjadi kubu kuat Pakatan Rakyat, memungkinkan pertembungan tiga penjuru dan tawar-menawar belakang tabir yang menarik.

Selain Kita, Tengku Razaleigh Hamzah dan kumpulan seperti Perkasa di sebelah kanan dan kumpulan liberal seperti Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia, MCLM juga bakal menyaksikan permainan politik yang rancak menjelang pilihan raya nanti.

Setakat ini, hanya parti Kita yang memperlihatkan kesediaan dan kesungguhan politik untuk terlibat dalam pilihan raya dengan, pada masa sama membuka peluang kerjasama dengan pelbagai kumpulan dan menampakkan juga potensi pertembungan, termasuk dengan PR yang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi seorang pemimpinnya.

Artikel di bawah ialah satu penilaian terhadap Kita, yang ditulis selepas pelancaran parti itu Januari lalu.

Kita sebagai kuasa ketiga atau pengacau Pakatan Rakyat
Oleh HARIS ZALKAPLI

Parti pimpinan Datuk Zaid Ibrahim, yang dikenali dengan nama popularnya Kita, dilancarkan dengan satu acara meriah pada 19 Januari lalu di ibu negara.

Pelancaran secara rasmi parti pimpinan Zaid itu segera menarik pelbagai penilaian daripada pemerhati, terutama melibatkan prospek hayatnya dalam politik Malaysia dan peluang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Seperti biasa, sebagai parti kecil yang dinilai sebagai serpihan, sebahagian besar pemerhati masih skeptikal dengan kemampuan dan masa depan Kita.

Kita mempersembahkan dirinya sebagai kuasa politik yang berbeza daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, meletakkan dirinya di satu ruang ketiga, mewakili rakyat yang tidak melihat aspirasi mereka dibawa oleh kedua-dua gabungan besar tersebut.

Satu cabaran besar yang dihadapi Kita boleh dilihat sebagai menempatkan dirinya dalam medan politik yang kini dikuasai BN dan PR.

BN dan PR bukan sahaja menguasai politik negara melalui sokongan ramai dan jumlah kerusi yang dimiliki tetapi juga wacana yang dibentuk dan dipersembahkan.

BN mengemukakan hujah kestabilan dan mempertahankan kepentingan-kepentingan dasar negara serta mengekalkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum melalui formula yang telah dipersetujui.

PR pula membawa naratif besar menyelamatkan Malaysia daripada kezaliman dan salah urus serta korupsi BN yang didakwa mengekang kemajuan negara. Naratif besar ini dipersembahkan melalui buku tawaran yang dikeluarkan semasa konvensyen gabungan itu Disember lalu.

Parti pimpinan Zaid mendakwa senario ini tidak memberikan pilihan yang cukup bagi rakyat Malaysia, disebabkan keterbatasan kedua-dua kumpulan. Zaid menjelaskan tentang BN yang korup dan tidak menghormati demokrasi dan PR yang sangat populis.

Menurut Zaid, bagi rakyat Malaysia, “pilihan kita terbatas.” Jelasnya, “Selalunya, kita sukar memilih antara jauhari dengan manikam. Apakah kita mahu terus berada di bawah kerajaan yang mahu ‘mempertahankan Putrajaya tidak kira setinggi mana kosnya,’ atau tunduk di bawah pesona sebuah barisan pembangkang yang akan berjanji apa saja dan melakukan apa saja untuk memenangi pilihan raya?”

Kenyataan Zaid ini segera meletakkan Kita berbeza daripada kedua-dua BN dan PR dan mengemukakan partinya sebagai pilihan tersebut.

Parti Kita turut dipersembahkan oleh Zaid – yang sehingga kini masih menjadi satu-satunya wajah dan tokoh yang kelihatan dan dikenali dalam politik nasional bagi pihak Kita – sebagai sebuah parti yang memegang nilai-nilai “moderat, demokratik dan liberal.”

Kenyataan memperkenalkan diri pemimpin Kita ini merupakan satu kenyataan yang paling berterus-terang dan berani tanpa berselindung – sesuatu yang agak berbeza dalam politik negara kita.

Penegasan dukungan terhadap kesamarataan setiap warganegara dan perlembagaan tertinggi yang sekular menegaskan dengan jelas pendirian parti Kita.

Pada awal ucapannya, Zaid telah menegaskan keperluan mempunyai ideologi yang jelas, menjelaskan kepentingan kedudukan ideologi bagi Zaid.

Ciri-ciri liberal Kita telah serta-merta meletakkan parti itu dalam satu posisi yang jelas, menjanjikan politik yang berlandaskan prinsip-prinsip liberal.

Bagi pengundi yang menerima perjuangan liberal Kita, parti ini sememangnya memberikan janji yang jelas, dan disokong oleh haluan yang diambil oleh Zaid sendiri sepanjang dalam politik, seperti dalam tindakan undang-undangnya terhadap usaha pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan.

Dalam bersaing dengan BN, Kita boleh menunjukkan perbezaan dengan mudah dengan gabungan parti-parti konservatif yang pragmatik itu.

Sejak meninggalkan Umno dan BN, Zaid telah menunjukkan dengan jelas pendirian beliau yang tidak sehaluan dengan Umno yang bersifat nasionalis etnik itu.

Zaid telah mengemukakan wacana balas terhadap tafsiran dan perjuangan Melayu oleh Umno dalam buku tulisannya, Saya Pun Melayu.

Pendirian liberal Zaid mudah untuk dilihat bertentangan dengan Umno dan BN yang masih menerima politik berasakan kaum dan memanfaatkannya melalui permainan politik setiap parti komponen.

Persaingan dengan PR pula lebih sukar disebabkan penguasaan kedudukan pembangkang oleh gabungan PR, yang sehingga kini masih jelas kelihatan sebagai pakatan yang paling berupaya mengambil alih pemerintahan pusat daripada BN.

PR pula hampir memonopoli wacana kepembangkangan mengemukakan dirinya sebagai satu-satunya pilihan untuk berhadapan BN, satu-satunya pembangkang yang boleh dipilih.

Hal ini paling jelas muncul lebih setahun lalu apabila PR mewacanakan “sistem dua parti” sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan.

PR juga menggabungkan parti-parti berbeza ideologi termasuk Islamis PAS, PKR melibatkan hampir semua ideologi tetapi dikuasai golongan pragmatis dan DAP yang berhaluan kiri tetapi lebih kelihatan sektarian.

Ini membolehkan PR menerima sokongan daripada segmen-segmen utama pengundi, mewakili sentimen jumlah yang besar dalam kalangan pengundi.

Sentimen sokongan ramai dan wacana dikuasai PR inilah yang mencetuskan tanggapan Kita sebagai pengacau kepada peluang PR untuk “menawan Putrajaya” dalam pilihan raya akan datang.

Kita dilihat sebagai pemecah undi kepada PR. Hal ini disebabkan PKR, parti yang disertai Zaid sebelum ini dilihat tidak mampu membawa dan memperjuangkan agenda liberal seperti yang diharapkan sesetengah pihak.

Agenda yang digariskan Zaid menunjukkan saingan utamanya dalam merebut kerusi dalam pilihan raya ialah PKR.

Malah, Kita juga terus dilihat sebagai mampu untuk menarik ahli-ahli PKR untuk menyertainya.

Potensi ini dapat diperhatikan daripada pertembungan Zaid dan penyokongnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam PKR.

Visi Zaid untuk PKR menerima sokongan sejumlah ahli berpengaruh yang berkongsi pandangan denganya, walaupun sokongan itu tidak mampu membantu Zaid merebut jawatan tinggi dalam parti.

Satu lagi medan persaingan sokongan Kita dengan PR, terutama PKR, ialah Sabah, negeri yang Zaid sebagai figur PKR menerima sokongan kuat.

Zaid kini terus mengukuhkan kedudukan di Sabah melalui penglibatan dalam banyak aktiviti, dan hubungan dengan bekas pemimpin-pemimpin PKR negeri itu yang masih berpengaruh dalam politik negeri.

Persaingan Kita dengan PKR di Sabah ini menjadikan negeri itu faktor penting untuk mengukuhkan kedua-dua parti dan juga PR yang PKR menganggotainya.

Sabah telah menjadi tumpuan sejak pelan merampas Putrajaya oleh Anwar dan PR dinamakan 16 September, tarikh yang mempunyai signifikan besar kepada Sabah dan Sarawak di Borneo.

Kita juga mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan isu-isu Sabah dan Borneo. Ini berpotensi menjadi salah satu kekuatan Kita dalam persaingannya dengan PR untuk memenangi sokongan dari Sabah terutamanya.

Diperhatikan daripada permukaan, kedua-dua PR dan Kita memberi tumpuan kepada Borneo daripada simbol-simbol yang dipersembahkan kepada umum.

PR dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas Disember lalu meletakkan slogan-slogan “selamatkan Malaysia” dalam bahasa suku kaum dari Borneo di latar besar di atas pentas.

Kita pula menyertakan peta Borneo dalam imej tangan bersatu dengan Semenanjung dalam imej yang sama sebagai simbol parti itu.

Isu-isu Borneo juga menjadi satu topik yang secara konsisten mendapat perhatian laman berita pro-Zaid, Free Malaysia Today, lebih daripada semua media lain berpangkalan di Semenanjung.

Persaingan kedua-dua pihak ini meningkatkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam arus perdana politik yang selama ini lebih tertumpu kepada Semenanjung.

Walau bagaimanapun, masa akan menentukan sejauh mana perhatian ini berasaskan sikap dan prinsip yang konkrit, berbanding keperluan pragmatik untuk memenangi sokongan untuk kuasa.

Sentimen Borneo juga turut berpotensi untuk mencetuskan isu-isu yang mampu mencetuskan rasa tidak senang berhubung penyatuan rakyat negara ini, disebabkan potensi sentimen tersebut muncul atau dibaca sebagai berbentuk pemisahan.

Parti Kita turut menjadikan warna jingga sebagai warna parti, yang diselaraskan dengan warna tali leher yang dipakai Zaid semasa majlis pelancaran yang dramatik itu.

Warna jingga telah hampir menjadi warna rasmi PR apabila konvensyen pertama dan kedua gabungan ini menjadikan jingga sebagai warna utama.

Dalam konvensyen kedua, PR turut melahirkan “buku jingga” menggariskan rancangan-rancangan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia, merapatkan lagi imej jingga dengan PR.

Dalam politik dunia, warna mempunyai peranan penting dalam membawa identiti sesebuah parti atau gerakan, dengan warna jingga dikaitkan dengan liberalisme di beberapa negara.

Warna jingga telah menjadi warna gerakan yang menjatuhkan rejim lama di Ukraine pada hujung 2004, dalam kebangkitan satu kumpulan rakyat yang digelar “Revolusi Jingga.”

Walaupun perjalanan kisah di Ukraine itu telah menunjukkan hasil yang tidak seperti diharapkan pada 2004, warna tersebut muncul sebagai pengenalan kepada kebangkitan rakyat di negara itu.

Di Inggeris, juga pada 2004, sebuah buku mengandungi tulisan-tulisan tokoh liberal negara itu – termasuk Nick Clegg – diterbitkan, bertajuk The Orange Book: Reclaiming Liberalism.

Buku yang juga berwarna jingga itu mengemukakan rancangan-rancangan parti Demokrat Liberal, hampir sama dengan buku jingga dikemukakan oleh PR.

Selain konstituensi dan kerusi, dari satu sudut, Kita dan PR juga kini kelihatan bersaing untuk menjadikan warna jingga sebagai identiti utama, dan pada tahap tertentu, bersaing untuk mewakili agenda-agenda liberal dalam politik Malaysia.

Hal ini meletakkan Kita berseberangan dengan parti dan kumpulan yang mahukan kedudukan Islam yang dominan dalam budaya dan perundangan negara.

Penegasan terhadap isu Melayu oleh Zaid menjadikannya tidak menarik kepada sejumlah besar orang Melayu, tetapi seperti yang dapat diperhatikan sejak awal, konstituensi itu bukan menjadi perhatian utamanya, sekurang-kurangnya pada masa ini, atau Kita menyesuaikan retorik untuk konstituensi tersebut nanti.

Kedua-dua BN dan PR pasti melihat Kita dengan sinikal, disebabkan sejarah melibatkan Zaid dengan kedua-dua gabungan politik terbesar itu.

Dengan penubuhan Kita dan penyertaan Zaid bersama satu agenda liberal dalam politik negara kini, persaingan politik Malaysia boleh dijangka menjadi lebih sengit.

Pilihan Raya Umum ke-13, dan pilihan raya Sarawak akan menjadi perhatian untuk penilaian pertama Kita dalam realpolitik pilihan raya.

Perkembangan dilalui Kita akan menunjukkan sejauh mana sokongan terhadap agenda liberal yang dibawanya, dan sejauh mana ia dilihat sebagai pilihan lain selain BN dan PR.

Zaid, yang sehingga ini masih menjadi tumpuan utama dalam menilai Kita, tidak dapat menulis semula sejarah politik yang telah dilaluinya atau mengelak daripada kisah itu dijadikan satu ukuran menilai diri dan partinya.

Tetapi, sejarah yang mula dicatatkan kini – dan ekoran pertikaian terbukanya dengan Anwar ketika dalam PKR sebelum ini – akan menentukan sama ada Kita mampu memainkan peranan seperti yang menjadi agendanya dan menjadi salah satu kuasa yang perlu diambil kira dalam persaingan politik Malaysia.

Thursday, August 18, 2011

Kuasa ketiga dan cabarannya terhadap perjuangan Islam

Oleh HAYKAL HASHIM

Kemunculan kumpulan politik yang memakai label kuasa ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-12, dengan calon-calon seperti Malik Imtiaz Sarwar dan diterajui Raja Petra Kamaruddin menunjukkan satu perkembangan yang semakin merancakkan politik Malaysia.

Dua kelompok besar gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kini mempunyai pencabar selain musuh tradisi masing-masing.

Pada masa yang sama, Datuk Zaid Ibrahim juga sekarang memimpin sebuah parti yang akan dibawa ke arah perjuangan liberal seperti yang diyakini beliau.

Tokoh-tokoh ini seperti yang diketahui ramai berpendirian liberal dan semestinya tidak selari dengan perjuangan gerakan Islam di negara kita yang diterajui PAS.

Perkembangan kedatangan kuasa ketiga ini dalam pentas politik negara membimbangkan sekiranya difikirkan dengan mendalam kesannya untuk jangka panjang.

Biarlah sekiranya ada kerjasama dengan parti dan kumpulan terbabit, kerjasama dihadkan dan dijelaskan pada hal yang dipersetujui sejak awal lagi.

Parti dan kumpulan terbabit mungkin tidak akan bertembung dengan PAS dalam pilihan raya akan datang, dan mungkin terus pada pilihan raya seterusnya.

Ini disebabkan sasaran pengundi yang berbeza antara parti liberal itu dengan parti Islam, PAS.

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), dan Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) mensasarkan konstituensi bandar dan masyarakat majmuk yang lebih mudah menerima agenda-agenda mereka.

Masyarakat yang menjadi sasarannya ialah yang menerima kebebasan tafsiran liberal yang mengutamakan kebebasan individu.

Kemunculan Parti Kita dan MCLM meramaikan lagi tokoh-tokoh liberal bergiat dalam medan politik Malaysia dan bertanding dalam pilihan raya, selepas ramai terlibat dalam PKR.

Bertanding dalam pilihan raya membuka jalan untuk mereka menjadi wakil rakyat dalam Parlimen dan terlibat dalam pembuatan undang-undang.

Mereka juga, dengan menjadi wakil rakyat berkemampuan mengetengahkan suara-suara yang sebelum ini berada di pinggir.

Kegiatan mereka sebagai pemimpin juga membolehkan suara mereka sampai kepada masyarakat dengan lebih meluas dan berkesan kerana liputan media yang mereka terima.

Apa yang mereka sampaikan tentulah idea-idea liberal yang tidak selari atau bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam di negara kita.

Zaid, ketua Parti Kita baru-baru ini mengulas isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan sebuah gereja Metodis di Selangor dengan mengatakan tindakan Jais itu bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas PKR dan DAP, golongan liberal dapat lebih ramai wakil dalam Kita dan MCLM, yang akan merebut kerusi dalam Parlimen Malaysia.

Malaysia sudahpun melihat aktiviti liberal yang banyak dan pelbagai di negara kita. Aktiviti mereka dan apa yang mereka tuntut adalah berdasarkan tafsiran Barat dalam hak asasi manusia.

Kebebasan ini termasuk bebas memilih melaksanakan agama atau tidak, yakni menolak kuasa pihak berkuasa agama dalam peraturan melibatkan meminum arak, berzina (termasuk sama jantina), dan sebagainya.

Bagi mereka, semua ini hak asasi manusia yang mesti mengatasi apa sahaja peraturan. Mereka menganggap tindakan pihak berkuasa agama itu sebagai “moral policing” yakni melakukan tugas polis moral.

Termasuk dalam hal ini ialah kebebasan beragama yang Malik Imtiaz bergiat aktif dalam mempertahankan.

Kumpulan ini bergerak selari dan seiring dengan kumpulan seperti Sisters in Islam yang menuntut persamaan hak wanita dengan lelaki menurut tafsiran yang bukan bersumberkan Islam.

Ini bukan bermaksud mereka bekerjasama dalam setiap hal, tetapi matlamat akhir mereka tidak jauh berbeza antara satu sama lain.

Kita pasti masih ingat episod imam wanita Amina Wadud yang menggemparkan suatu ketika dulu. Ini disokong oleh Sisters in Islam yang yakin dengan tafsiran yang membenarkan tindakan itu.

Mungkin ramai yang tidak melihat kaitan antara setiap satu kes tersebut tetapi semua itu bergerak dalam satu kerangka, satu tafsiran idea Barat yang bertentangan dengan penerimaan masyarakat kita, dan apa yang diperjuangkan gerakan Islam seperti PAS.

Gerakan Islam PAS perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini, yang semakin sukar dan menuntut kekuatan yang tinggi sebagai individu dan secara jamaah sebagai gerakan Islam.

Haykal Hashim ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily.

Thursday, March 3, 2011

Anwar, Zaid rebut pengaruh di Sabah

Menyedari pengaruh Datuk Zaid Ibrahim dan partinya, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, di Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memulakan usaha menarik kembali Jeffrey Kitingan menyertai PKR.

Perkembangan ini memberi gambaran tentang pengaruh kedua-dua Zaid dan Anwar di Sabah, yang semakin kritikal menjelang pilihan raya umum akan datang.

Anwar dipercayai mengalami kemerosotan pengaruh di Sabah dan juga Sarawak kerana dilihat hanya mempergunakan sokongan dari Malaysia Timur untuk kepentingan politik pilihan raya.

Tindakan keluar PKR oleh Jeffrey mengurangkan lagi pengaruh Anwar di Sabah, ekoran pengaruh dan ikutan yang dimiliki Jeffrey.

Hubungan baik Jeffrey dengan Zaid dan pakatan liberal yang tidak bersama Pakatan Rakyat mampu menjejaskan peluang gabungan tiga parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Sabah menjadi medan penting bagi Zaid - seorang bekas pemimpin PKR - membina sokongan bagi Kita, selepas terhakis sokongan terhadap PKR.

Menurut pihak yang rapat dengan beliau, isu Sabah menjadi satu perkara yang menjejaskan hubungan Zaid dengan Anwar dan Azmin Ali sejak awal penyertaan Zaid ke dalam PKR.

Sikap Zaid dalam menangani isu Sabah telah membantu beliau membina sokongan dari negeri itu hingga kini.

Kelulusan diperolehi untuk parti Kita beberapa minggu lalu mengukuhkan lagi kedudukan Zaid dalam politik negara, terutama melibatkan persaingannya dengan Anwar dan PR.

Thursday, January 20, 2011

Parti Kita: Zaid Ibrahim antara imej katak dan ruang tengah

Pelancaran Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, yang popular dengan singkatannya Kita semalam mencetuskan pelbagai reaksi.

Ada yang menolaknya terus sebagai satu kuasa yang perlu diambil kira dan ada juga yang melihat potensinya untuk menjejaskan peluang kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, paling utama PR.

Penegasan Datuk Zaid Ibrahim yang Kita berbeza daripada kedua-dua BN dan PR dan nilai demokratik dan liberal yang menjadi asasnya menjelaskan lagi dasar ideologi parti yang dianggap sebahagian kuasa ketiga dalam politik Malaysia itu.

Kita, mahu tidak mahu dilihat sebagai pengacau kepada PR kerana potensinya merebut konstituensi urban dan liberal yang menjadi perhatian DAP dan Parti Keadilan Rakyat dan akan bersaing dengan kedua-dua DAP dan PKR untuk menunjukkan sifat dan kelebihan liberal masing-masing.

Walau bagaimanapun, akibat perlakuannya dalam dua parti yang pernah disertai dan ditinggalkan sebelum ini, Zaid perlu berdepan dengan imej "katak" yang berupaya menjejaskan kredibilitinya sebagai pemimpin sebuah parti yang becita-cita besar.

Selain itu, politik Malaysia yang sejarahnya tidak menunjukkan kejayaan parti-parti kecil seperti Kita juga menjadi satu cabaran besar buat Zaid, yang masih belum dilihat keupayaannya menjadi pemimpin sebuah parti.

Setakat ini, Kita masih belum menampakkan tokoh-tokoh besar dalam politik Malaysia menyertainya sepeti halnya parti-parti lain.

Kelebihan yang mungkin akan dimanfaatkan Kita ialah aliansi dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak dan calon-calon bebas yang liberal dalam menghadapi pilihan raya dan menyertai kerajaan sekiranya mendapat kemenagan yang cukup.

Kita kini muncul sebagai salah satu kuasa dan harapan kepada liberal Malaysia, memperjuangkan aspirasi yang dilihat tidak berupaya diperjuang DAP dan PKR yang dikuasai politik kaum dan pemimpin kultus.

Sebelum bersaing dalam medan politik, Kita telah sedia berdepan cabaran besar imej pemimpinnya yang masih dikait dengan imej katak.

Artikel berkaitan: Kenapa Zaid Keluar Parti, dan Haluannya Selepas Ini

Thursday, December 16, 2010

Kita: Sejauh mana Zaid mampu tarik lebih ramai ahli?

Datuk Zaid Ibrahim telah berjaya menerajui sebuah parti, dinamakan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, yang sebelum ini dikenali Akim.

Seperti dijangka, Zaid akan meneruskan agenda liberalnya, dengan tindakan pertama menjadikan Kita parti berbilang kaum.

Parti baharu Zaid ini dikatakan akan menarik beberapa orang ahli berprifil tinggi PKR.

Dengan munculnya parti Kita, Zaid telah berjaya dengan jalan pintas, menubuhkan parti dan meletakkan diri dan partinya dalam peta politik tanah air, dan mengemukakan dirinya sebagai satu daripada kuasa ketiga.

Seperti ditulis SiasahDaily pada 18 November lalu, kuasa ketiga bakal menjadi satu harapan baharu untuk liberal di Malaysia:

"Gabungan liberal dalam kuasa ketiga ini menunjukkan realiti dalam politik, iaitu sistem dua gabungan sangat terhad ruang bergeraknya, kerana kepelbagaian kepentingan amat sukar untuk diterjemahkan melalui gabungan dua parti sahaja.

"Kemunculan kuasa ketiga berpotensi memperkuatkan lagi gerakan liberal di Malaysia - sama ada melibatkan Datuk Zaid Ibrahim atau tidak - yang kini bersedia memasuki gelanggang politik pilihan raya.

"Sekiranya gabungan ini cukup kuat, ia bakal mempunyai kuasa tawar-menawar yang cukup untuk menjadi satu penentu dalam penubuhan kerajaan pusat, satu kekuatan yang diharapkan oleh kumpulan ini."

Sama ada parti Zaid disertai ahli-ahli Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (Malaysian Civil Liberty Movement, MCLM) atau tidak, Kita akan mempunyai hubungan yang baik dengan gerakan itu, termasuk melibatkan perkiraan pilihan raya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...