Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Monday, May 13, 2013

Peristiwa 13 Mei: Patut dilupakan atau dikaji?


Oleh RUSTAM A SANI

Dr Kua Kia Soong sebagai penulis buku May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots 1969 (Suaram: Kuala Lumpur, 2007) sungguh beruntung. Beberapa hari sebelum diterbitkan, dan beberapa hari setelah diterbitkan, bukunya masih meluas diperkatakan – dari posting di laman-laman blog hinggalah kepada kenyataan oleh timbalan perdana menteri.

Para pegawai dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mulai bertindak merampas beberapa naskah buku itu dari sebuah toko buku yang ternama di Kuala Lumpur. Meskipun ada kata-kata yang bermaksud mengancam daripada timbalan menteri tentang kemungkinan buku itu diharamkan, namun sehingga waktu rencana ini ditulis pengharaman itu tampaknya masih belum terjadi.

Bahawa rakyat Malaysia begitu berminat terhadap kandungan buku ini tidaklah terlalu menghairankan saya. Peristiwa rusuhan kaum yang telah tercetus di beberapa kawasan Kuala Lumpur-Petaling Jaya dan beberapa bandar besar di Semenanjung Malaysia 38 tahun lalu itu memanglah merupakan peristiwa hitam yang penting dalam sejarah semasa negara ini.

Namun peristiwa itu tetap merupakan peristiwa yang penuh rahsia dan sukar ditafsirkan secara saksama implikasi dan pengertiannya terhadap realiti sosial dan politik negara itu.

Sehingga kini pun masih terlalu banyak yang tidak kita ketahui tentang peristiwa itu – sebahagiannya kerana banyak fakta yang sengaja dirahsiakan daripada kita untuk memberikan kredibiliti kepada penceritaan "rasmi" tentangnya, dan sebahagiannya kerana pentafsirannya yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Buku terbaru Kua ini menarik minat umum kerana penceritaan dan analisisnya didasarkan pada dokumen-dokumen yang sudah tidak dilindungi dan dirahsiakan lagi di Pejabat Rekod Awam di London.

Sejak dua tiga hari sebelum buku itu dilancarkan, Malaysiakini telah menyiarkan banyak bahan promosi tentang buku ini (termasuk wawancara dengan Kua). Pada 13 Mei lalu (sempena "perayaan" peristiwa itu dan Hari Ibu) pelancaran buku tersebut telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur.

Turut terlibat dalam forum pelancaran dan pembicaraan buku itu ialah beberapa penulis dan ahli akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr S Nagarajan dan Beth Yaph – selain pembicaraan oleh Kua sendiri.
Saya sendiri sejak semula telah membuat telahan bahawa buku tersebut akan merupakan buku yang penting lagi menarik – dan akan menimbulkan perbincangan yang mendalam dan meluas di kalangan masyarakat.  Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu merupakan peristiwa yang penting, meskipun getir, untuk difahami kerana implikasinya yang mendalam terhadap ciri-ciri suasana sosial dan politik di negara kita hingga kini.

Secara kebetulan, tahun lalu (9 September 2007) saya telah memasang sebuah "posting" di laman blog saya dalam bahasa Inggeris yang berjudul: Are We Heading Towards Another May 13? Rencana itu mulanya ditawarkan kepada Malaysiakini yang enggan menyiarkannya – tetapi kemudiannya disiarkan oleh Aliran Monthly (September 2007).

Kegusaran yang telah mendorong saya menulis rencana itu ialah tanggapan saya bahawa ciri-ciri serta keriuhan wacana dan percaturan yang seringkali terjadi sekitar waktu itu amat kuat mengingatkan saya akan persamaannya yang mengerikan dengan suasana sekitar waktu tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969.

Percaturan politik yang saya maksudkan itu ialah peristiwa saling kecam mengecam – dan saling menuntut permohonan maaf – antara para pemimpin pemuda Umno (seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein yang menghunus keris) dan para pemimpin parti-parti Cina seperti MCA dan Gerakan, isu-isu yang bersifat keagamaan, isu peratusan habuan untuk pelbagai kaum sebagai kesan DEB, dan sebagainya.

Oleh itu saya berasa khuatir bahawa percaturan politik yang demikian itu akan membawa kepada kesan politik dan sosial yang sama seperti yang telah terjadi pada tahun 1969 itu.

Setelah membeli, dan membaca buku Kua itu secara sambil lalu, pada majlis pelancaran itu, memang saya akui bahawa buku tersebut merupakan suatu sumbangan penting terhadap kefahaman kita tentang sejarah sosial dan politik terkini negara ini. Namun demikian, saya tidaklah begitu yakin bahawa penerapan bahan-bahan "declassified" itu dengan sendirinya akan menaikkkan taraf maupun nilai analisis buku tersebut.

Seperti yang dinyatakan oleh Syed Husin dalam forum pelancaran buku itu, laporan para diplomat Inggeris dan para diplomat Komanwel (Australia dan New Zealand, misalnya) maupun laporan para wartawan Barat tidak semestinya lebih tepat, lebih peka malah lebih telus daripada pemerhatian orang tempatan atau penganalisis tempatan.

Bagi saya, kesimpulan paling menarik yang dikemukakan Kua dalam buku yang memanfaatkan bahan-bahan tersebut ialah bahawa peristiwa 13 Mei itu merupakan hasil daripada sebuah coup d'etat yang berhasil yang telah dilancarkan oleh beberapa pemimpin Umno lainnya dan sekumpulan para kapitalis tunjangan negara (state capitalists) terhadap Tunku Abdul Rahman yang mereka anggap terlalu berlembut dengan kaum Cina.

Selain itu, kelompok itu juga menjadi gempar oleh kedudukan mereka yang terasa goyah oleh keputusan pilihan raya umum tahun 1969 yang baru sahaja berakhir, dengan keputusan yang begitu menggalakkan bagi pihak pembangkang.

Oleh kerana golongan ini turut menguasai jentera negara, maka beberapa alat negara seperti polis dan tentera tidaklah dapat dianggap sebagai unsur-unsur yang berkecuali dalam peristiwa itu. Para "hoodlums" (samseng) Melayu dari luar juga telah diangkut ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam peristiwa itu.

Saya memang senantiasa menyokong seruan agar Peristiwa 13 Mei itu dikaji dengan mendalam dan terperinci – dengan mengutip sebarang bahan bukti yang mungkin dan sebarang bahan dokumen yang mungkin. Namun, kajian yang demikian itu mestilah mantap dari segi pemikiran analitisnya dan mantap perspektif intelektualnya – bukan sekadar untuk menuduh sesuatu pihak sebagai bertanggungjawab.

Bagi saya, sekarang pun – sewaktu buku Kua ini sedang mendapat perhatian dan perbincangan yang mendalam – terlalu banyak nada perbincangan yang tidak sihat yang dapat saya kesan. Dan nada perbincangan seperti itu – yang berlangsung dalam suasana dan iklim politik Malaysia yang amat perkauman (racist) sifatnya ini – tidaklah akan membawa kita kepada kefahaman yang bermanfaat.

Malah saya khuatir perbincangan yang bernada demikian itu – seperti yang telah saya nyatakan dalam posting di laman blog saya tahun lalu itu – lebih banyak kemungkinannya mencetuskan lagi peristiwa getir yang sama juga seperti Peristiwa 13 Mei itu.

Pada asasnya saya dapat melihat dua perspektif yang terbit daripada perbincangan yang telah dicetuskan oleh buku Kua ini.

Di satu pihak terdapat golongan racist Melayu. Mereka ini tetap melihat Peristiwa 13 Mei itu sebagai sesuatu yang wajar dicetuskan oleh orang Melayu – demi mempertahankan kedudukan dan hak mereka sebagai kaum peribumi.

Jika ada para ahli politik Melayu yang sebenarnya mengambil kesempatan daripada suasana keruh tahun 1969 itu, maka mereka itu harus dianggap sebagai wira dan penyelamat Melayu. Oleh itu, perbuatan jahat mereka itu tidak harus diungkit-ungkit dan diperkatakan lagi – malah harus disanjung atau sekurang-kurangnya dilupakan begitu sahaja.

Di hujung yang lain pula terdapat pandangan golongan racist bukan Melayu yang menganggap Peristiwa 13 Mei itu sesungguhnya sebagai suatu pertanda jelas tentang sifat perkauman dan sikap menindas di kalangan orang Melayu (atau satu kelompok pemimpin mereka yang bersifat fascist).

Bagi sudut pandangan ini, Peristiwa 13 Mei itu harus terus menerus dikaji dan diperkatakan – sehingga hakikat sebenarnya (yakni sikap perkauman orang Melayu itu) disedari dan dikecam – dan sikap "tidak perkauman" orang bukan Melayu, serta keperluan mereka membela diri dan menyelamatkan budaya mereka, diberikan pengikhtirafan yang sewajarnya.

Pandangan saya sendiri cenderung untuk menolak kedua-dua perspektif ini. Bagi saya sikap perkauman dalam politik Malaysia bukanlah monopoli orang Melayu atau parti pemerintah sahaja. Sikap itu, hingga ke hari ini, merupakan ciri asasi kehidupan sosial dan politik yang dominan di kalangan semua pihak dan kelompok di negara ini.

Penerusan sikap ini, bagi saya, merupakan bukti kegagalan kolektif kita semua untuk melakukan penyimpangan daripada struktur sosial yang telah diwariskan oleh situasi kolonial dalam proses pembinaan bangsa kita selepas kemerdekaan. Penerusan sikap perkauman yang masih wujud hingga kini merupakan pertanda tentang kegagalan cendekia kita semua.

Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu sekadar merupakan satu bukti tentang kegagalan tersebut. Yang bersikap racist sekitar peristiwa tersebut, sehingga mencetuskan rusuhan, bukanah sekadar Melayu dan bukan juga sekadar bukan Melayu – tetapi semuanya.

Jerit pekik para hoodlum Melayu di depan kediaman Harun Idris di Princess Road memanglah bersikap perkauman, tetapi demikianlah juga perarakan kelompok bukan Melayu di Chow Kit Road dan di Imbi Road. Di kedua-dua pihak memang terdapat para "pemimpin" jahat yang senantiasa menunggu peluang untuk memanfaatkan situasi yang genting seperti itu.

Sehingga kini realiti sosial dan politik kita masih terus berkeadaan demikian, masih belum berubah – semata-mata kerana kedangkalan cendekia kita semua. Sehingga kini juga para pemimpin yang demikian memang terdapat di semua pihak, bersiap sedia untuk memanfaatkan sebarang suasana genting yang bakal dicetuskan oleh kecetekan cedekia kita bersama itu.

Realiti inilah yang sepatunya merisaukan kita, mencemaskan kita, bukan sekadar bercakap kosong berulang-kali tentang Peristiwa 13 Mei yang sama – meskipun dengan menggunakan bukti-bukti baru dari sumber-sumber baru tetapi dengan terus menggunakan pemikiran dan kefahaman kita yang terus menerus cetek dan dangkal.

 Artikel di atas ditulis oleh Allahyarham Rustam A Sani, dan diterbitkan pertama kali dalam akhbar Siasah bilangan 48 pada 2007.

Friday, January 18, 2013

Wacana buku Detik Utopia oleh Ahmad Lutfi Othman

Buku terbaharu Ahmad Lutfi Othman, wartawan aktivis yang kini ketua editor Harakah akan diadakan di Shah Alam, Selangor pada Selasa 22 Januari.

Diskusi disertai panelis Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, aktivis Adam Adli dan wartawan Lim Hong Siang itu akan diadakan di tingkat 3, Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 12, Shah Alam.

Program dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Persatuan Seniman Paksi Rakyat.

Buku Detik Utopia: Komentar Kritis Isu Pakatan Rakyat dan Politik Malaysia menghimpun tulisan-tulisan terbaik Ahmad Lutfi berkenaan kerjasama dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, isu-isu kritikal berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kebebasan media dan juga mengemukakan komentar jujur beliau berhubung pelbagai isu yang merancakkan medan politik negara ini.

Friday, January 4, 2013

Detik Utopia, karya terbaharu Ahmad Lutfi Othman


Ahmad Lutfi Othman, pengamat politik yang kini ketua pengarang Harakah baru saja menghasilkan buku terbaharu, Detik Utopia: Komentar Kritis Isu Pakatan Rakyat dan Politik Malaysia, mengumpulkan tulisan-tulisan terbaik penulis prolifik ini.

Ulasan dan analisis beliau yang dimuatkan dalam buku ini meliputi isu-isu penting berkaitan Pakatan Rakyat dan usaha membawa perubahan ke arah yang lebih baik di Malaysia.

Lutfi mengulas dengan mendalam dan kadang-kala dari sudut yang sedikit berbeza isu Akta Keselamatan Dalam Negeri, kebebasan media, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik, dan berkaitan gabungan Pakatan Rakyat yang kini bercita-cita untuk menawan pemerintahan persekutuan di Putrajaya.

Buah fikiran Lutfi ini menyentuh isu berkaitan kekuatan dan kelemahan PR, harapan dan kebimbangan yang tercetus sejak kemenangan besar pada 8 Mac 2008, dan saranan-saranan penting untuk gabungan yang dijangka bakal membentuk kerajaan pusat satu hari nanti.

Komentar dan saranannya berdasarkan pengalamannya sebagai aktivis media sejak mula berkhidmat sebagai wartawan dan editor di Harakah, sebagai pengusaha penerbitan-penerbitan berkala dan tidak berkala dan akhirnya kembali bergiat bersama Harakah.
 
Karya terbitan Buku Harakah ini telah berada di pasaran dan dijual dengan harga RM25.00 di Semenanjung Malaysia dan RM28.00 di Sarawak dan Sabah.

Wednesday, July 18, 2012

Kementerian Dalam Negeri rampas buku Sinema Spiritual

Kementarian Dalam Negeri semalam merampas satu naskhah buku Sinema Spiritual: Dramatrugi dan Kritikan tulisan aktivis seni dan akademik Faisal Tehrani.

Rampasan dilakukan di sebuah kedai buku di Presint 16, Putrajaya, didakw untuk tujuan kajian, dipercayai berkaitan aliran pemikiran penulis buku ini.

Rampasan dilakukan oleh Unit Penguatkuasa, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Penerbit dalam satu kenyataan kepada SiasahDaily melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap tindakan merampas dari sebuah kedai itu, yang dibimbangi boleh mencetuskan sentimen negatif terhadap karya itu.

Menurut pihak penerbit, pihaknya boleh menyerahkan beberapa naskhah kepada pihak berkuasa sekiranya diminta dengan tujuan untuk menilai karya tersebut, yang merupakan koleksi tulisan yang pernah tersiar dalam akhbar politik mingguan Siasah.

Sinema Spiritual terbitan Unit Buku Harakah ialah antara karya terbaharu Faisal Tehrani, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa yang kini bertugas sebagai akademik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM.

Sebuah lagi buku beliau, Perempuan Nan Bercinta diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, ITBM, menerima pelbagai reaksi daripada pembaca dan pengkritik.

Tuesday, May 22, 2012

'Raja-raja Melayu perlu nilai semula kedudukan'

Datuk Zaid Ibrahim, pengasas parti liberal Kita, muncul dengan buku terbaharu Ampun Tuanku: A Brief Guide to Constitutional Government, satu karya yang dijangka mencetus kontroversi ekoran penilaian kritikal terhadap institusi monarki.

Zaid dalam bukunya itu menilai peranan dan kedudukan raja-raja Melayu dalam konteks hari ini, ketika perubahan politik semakin mencabar tradisi.

Gambaran tentang ide-ide yang diwakili dalam buku itu telah disampaikan oleh Malik Imtiaz Sarwar, peguam dan aktivis hak asasi manusia yang merasmikan buku ketiga Zaid itu petang tadi.

Menurut Malik dalam ucapan perasmiannya, perkembangan sejak kebelakangan ini menjadikan persoalan peranan raja-raja Melayu dalam pentadbiran negara semakin kritikal.

"Dari segi sejarah, kita tahu kenapa raja-raja berada di kedudukan mereka itu. Tetapi persoalannya, apakah peranan mereka pada hari ini?" soal Malik.

Katanya, pengalaman di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan peranan raja dalam satu perubahan parti pemerintah menjadikan isu ini penting untuk dinilai.

Menurut Malik lagi, rakyat Malaysia kini tidak lagi hanya membenarkan sahaja apa yang berlaku, merujuk kepada episod peralihan kuasa di Perak pada awal 2009 yang menyaksikan peranan sultan dicabar oleh peguam yang juga pemimpin DAP, Karpal Singh.

Katanya lagi, berdasarkan kes Perak pada 2009 dan krisis pelantikan menteri besar di Terengganu pada 2008, persoalan yang besar timbul berhubung peranan monarki pada pilihan raya akan datang.

Ekoran episod perubahan parti pemerintah di Perak, kontroversi tercetus hasil daripada tindakan pihak Pakatan Rakyat yang didakwa membelakangi perintah sultan.

Di Terangganu, parti pemerintah Umno pula berdepan dengan tindakan sultan yang menolak menteri besar yang dipilih oleh parti tersebut.

"Kita perlu memikirkan apa yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Apa yang boleh kita harap peranan yang akan dimainkan oleh raja-raja?" soal Malik.

Malik walau bagaimanapun cuba melunakkan mesej yang disampaikan dengan menegaskan yang buku itu bukanlah sesuatu yang bersifat "antimonarki atau republikan," tetapi pada masa sama menegaskan bahawa raja-raja Melayu perlu "menilai semula kedudukan mereka agar dapat memimpin rakyat ke arah masa depan yang kita mahukan."

Pelancaran buku oleh pemimpin parti Kita itu, dengan sokongan peguam-aktivis liberal memperlihatkan satu kesungguhan kelompok liberal memperjuang dan mempromosi ide mereka, dalam usaha memgambil tempat dalam lapangan politik yang semakin terbuka masa kini.


Thursday, May 17, 2012

Program Irshad Manji batal lagi

Program awam aktivis liberal Irshad Manji di sekitar ibu negara dijadualkan bermula esok dibatalkan atas sebab tentangan dan tekanan pihak berkuasa agama, menurut maklumat penganjur ZI Publications di laman Facebook sebentar tadi.

Menurut kenyataan ringkas penganjur, "Borders menyatakan kebimbangan tentang keselamatan manakala Monash mendakwa bahawa mereka mendapat tekanan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)."

Kenyataan itu turut memuatkan kenyataan daripada Manji tentang keazamannya untuk mengadakan perbincangan dan mendakwa menerima mesej sokongan melalui Twitter.

"Saya komited untuk adakan perbincangan awam di Kuala Lumpur sebelum kami pulang.

"Kita tahu bahawa ramai rakyat Malaysia mahu mendengar tentang pembaharuan Islam dan keberanian moral kerana twitter saya dihujani dengan mesej-mesej yang memberi sokongan daripada rakyat Malaysia sejak saya mengumumkan ketibaan saya di KL semalam," katanya.

Pembatalan kali kedua ini memperlihatkan tekanan kuat terhadap aktiviti pejuang hak asasi manusia yang kontroversi ini.

Rancangannya mengadakan program di Universiti Monash di Sunway Jumaat ini pada waktu solat Jumaat mencetuskan protes keras daripada beberapa kumpulan bukan kerajaan Muslim.

Penganjur walau bagaimanapun masih mencari ruang untuk program awam Manji, yang mungkin akan diadakan tanpa publisiti meluas.

Wednesday, May 16, 2012

Irshad Manji kini di Malaysia, masih bimbang isu keselamatan

Aktivis kontroversi Irshad Manji kini telah berada di Malaysia selepas terpaksa menangguhkan program di sini yang dijadual bermula Sabtu lalu ekoran insiden serangan di Jogjakarta, Indonesia.

SiasahDaily difahamkan Manji tiba di Malaysia lewat malam semalam dari Indonesia dan dijadual memulakan program terbuka pada Jumaat nanti.

Manji dan rombongannya masih terkejut dengan apa yang berlaku di Jogjakarta dan dijangka mengambil langkah-langkah keselamatan lebih ketat di sini, walaupun pihak penganjur tidak menjangka insiden ganas yang berlaku di Indonesia akan berulang di sini.

Beberapa orang termasuk pembantu Manji, Emily Rees cedera selepas dipukul oleh sekumpulan lelaki yang mahu menghentikan program tersebut.

Program-program Manji di sekitar Kuala Lumpur bermula Sabtu lalu dibatalkan pada Jumaat selepas insiden di Indonesia memaksa beliau dan rombongan menyelesaikan beberapa isu di sana.

Kehadiran Manji ke Malaysia menerima tentangan pelbagai kumpulan termasuk PAS dan pertubuhan bukan kerajaan Pembela, yang mengaitkan aktivis wanita itu dengan aktivisme gay dan Islam liberal.

Manji dijadual melancarkan buku terbaharunya, Allah, Kebebasan dan Cinta, terjemahan buku Allah, Liberty and Love yang diterbitkan pada tahun lalu di Universiti Monash pada Jumaat, 18 Mei, menurut maklumat dari laman Facebook ZI Publications, penerbit buku beliau yang juga menguruskan program aktivis itu di sini.

Program tersebut dijadual diadakan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, ketika waktu solat Jumaat, dipercayai untuk mengelak protes daripada penentang Manji.

Friday, May 4, 2012

Buku Faisal Tehrani dan Abdul Shukur Harun di Pesta Buku

Dua buku terbaharu terbitan Unit Buku Harakah boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di gerai M20-M21, bilik Mawar.

Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan ialah karya terbaharu penulis dan pengkaji seni budaya Faisal Tehrani (Dr Mohd Faizal Musa), memuatkan ide-ide asas gagasan yang dinamakan "Sinema Spiritual" dan kritikan filem-filem terpilih dari seluruh dunia.

“Sesungguhnya kita tidak boleh lagi bergantung dengan produk filem seperti Lion of the Desert, atau
The Message dan dua tiga lagi filem yang sudah lapuk. Musuh Islam telah meninggalkan kita jauh, amat jauh. Maka atas semangat dan kesedaran itulah saya teringin menerjuni dalam lubuk dunia ini.

"Kerana kita sudah banyak membina masjid, kita sudah melahirkan beratus ribu graduan al-Azhar, Madinah dan Jordan tetapi ulama masih gagal menyelesaikan persoalan masyarakat malah asyik bergaduh dan terikut-ikut mengejar populariti seperti artis.

"Rasa-rasanya di sini kita tiada filem Islam (saya sedari sesetengah orang begitu alahan dengan label ini), jadi kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dan tidak ada yang paling anggun sekali dengan memulakan produk pertama kali dalam bidang perfileman dengan menghasilkan sebuah filem mengenai peranan manusia sebagai khalifah Allah,” tulis Faisal dalam sebuah artikel awalnya.

Dengan kata pengantar oleh Sasterawan Negara dan pengerusi bersama Bersih 3.0, A Samad Said, penulis veteran Abdul Shukur Harun melahirkan karya terbaharu Gelombang di Pesisir Waktu: Kumpulan Rencana Politik, Gerakan Islam, Kesusasteraan dan Kehidupan.

Buku ini mengumpulkan tulisan-tulisan terbaik Abdul Shukur yang lebih dikenali sebagai Pak Shukur oleh teman-teman wartawan yang rapat, mengenai politik negara terutama yang berkaitan dengan PAS, isu-isu sastera dan seni budaya negara.

Pak Shukur, bekas pengarang akhbar Harakah juga banyak menulis untuk akhbar Siasah semasa masih di bawah kendalian kumpulan Harakah memerhatikan perkembangan PAS dalam politik negara, melalui era kebangkitan dan paling menarik perhatiannya, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Gelombang di Pesisir Waktu mengemukakan pandangan dan analisis dari perspektif seorang wartawan yang telah memerhatikan dunia politik dan seni budaya tempatan sejak puluhan tahun lalu.

Juga boleh didapati di gerai yang sama ialah Kebangkitan Gerakan Islam dalam Fenomena Arab Spring oleh Haris Zalkapli, buku kedua menyusuli Revolusi Global yang menganalisis perkembangan di dunia Arab dan implikasi kepada gerakan Islam.

Kebangkitan Gerakan Islam dalam Fenomena Arab Spring memberi fokus pada isu-isu berkaitan gerakan Islam dalam menangani tuntutan rakyat dan sistem politik demokrasi, persaingan kuasa-kuasa serantau di Asia Barat dan isu terbaharu yang kritikal kepada gerakan Islam Hamas, Hizbullah dan Jihad Islami, iaitu isu Syria.

Buku ini diterbitkan oleh Jundi Resources, dan dengan kata pengantar oleh Riduan Mohamad Nor.

Monday, November 21, 2011

Era kebangkitan rakyat, bagaimana Malaysia?

Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat (2011)
Oleh Haris Zalkapli
Buku Harakah, RM15.00.

Buku terbaharu terbitan Harakah, Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat, membawa isu protes rakyat yang menjadi trend sedunia pada masa ini, hingga dirasai kesannya di Malaysia.

Buku menghimpunkan artikel isu kebangkitan rakyat yang sedang berpusat di dunia Arab. Mengulas isu-isu serantau dunia Arab sejak 2009, ketika kebangkitan berlaku di Yaman, dan tahun berikutnya di Bahrain.

Mengandungi analisis krisis dan konflik serantau dan kedudukannya dalam percaturan serantau melibatkan persaingan Arab Saudi dan Iran, agenda Turki, Qatar dan kuasa besar Barat.

Turut menimbulkan persoalan peranan internet, media baharu dalam kebangkitan dan konteks tempatan; potensi "revolusi" berlaku di Malaysia.

Pada masa ini, boleh didapati di kedai buku Nufair, 22 Jalan Pahang Barat. Atau hubungi En Faisal 019 292 4683 atau En Zali 019 202 5679.

Friday, September 30, 2011

Menegak Agama Membela Bangsa: Sejarah perjuangan kemerdekaan PAS

"Setelah mencapai kemerdekaan sampailah kita kepada peringkat perjuangan mengisi kemerdekaan, dari sini bermulalah peringkat kedua perjuangan kita, peringkat jangka panjang perjuangan PAS.

"Sebagai sebuah parti yang berideologi, kita berazam hendak mengisi kemerdekaan itu dengan ideologi kita sendiri, iaitu ideologi Islam atau Islamisme. Kita percaya dengan Islam sahajalah negara kita dan umat kita dapat dibawa ke arah keselamatan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

"Dengan lain-lain perkataan bahawa tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan." - Prof Zulkifli Mohamad

Menegak Agama Membela Bangsa: Perjuangan PAS 1951-1970
Oleh Dr Ismail Said
Buku Harakah, 2011.

Buku Menegak Agama Membela Bangsa: Perjuangan PAS 1951-1970 ini amat relevan dengan perkembangan semasa politik tanah air, semasa kita masih meraikan ulangtahun kemerdekaan dan menyaksikan perdebatan hangat menilai semula sejarah negara.

Hasil kajian akademik Dr Ismail Said ini merakamkan sejarah awal PAS, menjelang kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dan perjuangan getir tahun-tahun awal selepas merdeka.

Buku ini menceritakan perjuangan PAS di bawah pemimpin-pemimpin awal Haji Ahmad Fuad Hassan, Dr Haji Abbas Alias dan Dr Burhanuddin al-Helmi.

Hasil kajian yang dikemukakan dengan mudah menjawab dakwaan bahawa hanya parti nasionalis Umno dan sekutunya sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan, atau mereka sahaja pejuang tulen kemerdekaan.

Buku ini menjelaskan bagaimana asas kesedaran Islam telah membina perjuangan Islam untuk memerdekakan tanah air daripada penjajahan Inggeris, dan gandingan kesedaran Islam dan semangat membela bangsa memperkukuhkan perjuangan PAS pada tempoh awal kemerdekaan negara.

Dapatan pengkaji ini memperlihatkan semangat Islam dan Melayu yang kukuh dalam diri setiap pemimpin awal PAS itu, seperti yang dicatat dalam perlembagaan parti.

Dengan tegas sekali, pemimpin-pemimpin PAS terbabit memperjuangkan agama Islam dalam mengisi kemerdekaan negara, dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang merdeka ini.

Turut dirakamkan ialah perjuangan getir PAS menghadapi beberapa pilihan raya awal, berdepan dengan tekanan dan sekatan oleh pemerintah termasuk ditahan tanpa bicara.

Banyak iktibar boleh diperolehi daripada kisah perjuangan pemimpin-pemimpin terawal PAS yang terakam dalam buku ini, menjadikannya sebuah karya yang terus relevan dan bacaan penting kepada ahli-ahli PAS.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...