Tuesday, May 12, 2009

PAS nafi laporan akhbar tentang jumlah pencalonan

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Jawatankuasa Pemilih PAS memberitahu pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap laporan jumlah pencalonan pimpinan PAS sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini.

"Kami tidak pernah memberitahu mana-mana pihak tentang jumlah pencalonan itu dan kami tidak ada kaitan dengannya," kata Datuk Mustafa Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS.

Beliau berkata demikian dalam sidang media jawatankuasa itu di Pejabat Agung PAS semalam.
Baru-baru ini, akhbar harian berkenaan melaporkan berdasarkan sumbernya, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa mendapat 60 peratus pencalonan untuk jawatan timbalan presiden.

Akhbar itu juga melaporkan, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu masing-masing mendapat 20 peratus.

"Angka itu pun tidak betul," kata timbalan Mustafa, Ustaz Hassan Shukri dalam sidang media yang sama.

Menurut Mustafa, hanya calon berkenaan sahaja yang tahu berapa jumlah pencalonan yang mereka dapat kerana ia disampaikan oleh pihaknya kepada calon berapa jumlah pencalonan yang mereka dapat untuk setiap jawatan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...